Thursday, June 10, 2010

Grammar - Back To Basic



7 dan 8hb Jun 2010 aku menghadiri kursus selama dua hari di Hotel Armada, Petaling Jaya. Kursus bertajuk Grammar - Back To Basic ni mengingatkan kembali tentang ketika belajar di sekolah dulu. Banyak betul yang mengelirukan. Hehehe...

Aku sebenarnya bercadang nak menulis buku kanak-kanak versi english. Ala.. Aku sekadar nak menulis buku yang mudah aje untuk bacaan budak-budak kecil. Jadi aku sengaja memohon untuk menghadiri kursus tersebut. Sekurang-kurangnya aku dapat menulis menggunakan grammar yang betul.

Hurm... Mungkin selepas ini aku akan kurangkan masa aku di ruangan sembang. Aku banyak terleka ni. Banyak karya aku yang tergantung. Maka untuk menyelesaikan apa yang telah aku mulakan, aku harus berkorban masa dan tenaga.

Semalam aku sudah mula kembali operasi penulisan. Insyaallah... Aku akan meneruskannya lagi walaupun mood aku tak berapa baik sekarang disebabkan geraham bongsu dan pembengkakan gusi ni. Begitu juga dengan masalah kewangan yang melanda aku kini, sedikit sebanyak mengganggu emosi aku.

Jika aku sudah boleh mula menulis kembali di blog ini, bermakna aku boleh juga memulakan kembali penulisan aku yang tergantung. So, doakan aku berjaya menyelesaikan segala misi yang tertunggak agar segala masalah kewangan yang melanda akan dapat aku selesaikan.

Wednesday, June 02, 2010

Cinta Itu Bukan Milikku

Suatu waktu dahulu
Di tepi pantai itu
Di atas putih pasirnya
Kita mesra duduk berdua
Menganyam rasa cinta

Suatu waktu dahulu
Di tepi pantai itu
Di atas putih pasirnya
Kau lafazkan janji akan setia
Kepadaku buat selamanya

Suatu waktu dahulu
Di tepi pantai itu
Di atas putih pasirnya
Aku menerima lafaz setiamu itu
Lalu ku semat ke dalam jiwa

Namun...

Di ketika ini
Di tepi pantai ini
Di atas putih pasirnya
Aku termangu sendiri
Sambil mengenang kisah lalu

Di ketika ini
Di tepi pantai ini
Di atas putih pasirnya
Ku benamkan segala rasa kecewa
Yang bermukim di dalam dada

Kepada kau yang pernah bertakhta di jiwa
Ku pulangkan kembali segugus cinta yang pernah kau tanam di hatiku
Kerana aku amat yakin dan pasti
Sesungguhnya di dalam hatimu itu kini
Sudah tiada lagi tempat untukku

Terima kasih wahai kekasih
Kerana mengajarku erti cinta dan rindu
Juga mengajarku erti sendu dan pilu
Dalam mengharungi kehidpan yang penuh berliku

Kepada Allah aku bermohon
Semoga dirimu sentiasa bahagia


Cinta Itu Bukan Milikku
Nukilan rasa
Adrin Malina aka Tun_Teja
Klang Bandar Diraja

Tuesday, May 04, 2010

Tangisan Di Tanah Perkuburan

Panggilan telefon yang diterima Ustaz Kamal lewat malam semalam membawa berita yang kurang enak. Sepupunya yang telah lama menetap di Kampung Batu ternyata ditimpa musibah. Mengucap panjang Ustaz Kamal tatkala mendengar perkhabaran itu. Segera dia memberi persetujuan untuk ke sana keesokan harinya.

Usai menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah pada subuh yang hening itu, Ustaz Kamal bertolak ke Kampung Batu. Hanya sepasang pakaian yang dibawa bersama. Ustaz Kamal bercadang hendak terus balik semula ke rumahnya setelah selesai tugasnya nanti.

Ketika Ustaz Kamal tiba di sana, keadaan di Kampung Batu tidaklah setenang hembusan angin yang bertiup lembut di waktu petang. Kampung yang belum diusik pembangunan ini menyimpan rahsia pegangan segelintir penduduknya yang masih mengagungkan perbuatan syirik dan bertentangan dengan islam.

“Assalamualaikum.” Tok Penghulu yang sedang berbual-bual dengan Pak Imam di dalam masjid sementa menunggu masuk waktu Zohor dikejutkan dengan huluran salam. Mata keduanya melirik ke arah pemilik suara tersebut. Sedikit terkejut keduanya dengan kedatangan Ustaz Kamal ke kampung mereka.

“Walaikumsalam. Oh! Ustaz Kamal rupanya. Bila sampai?” Tanya Pak Imam. Pemuda yang dipanggil Ustaz Kamal itu lantas menghulurkan tangan bersalaman dengan Tok Penghulu dan Pak Imam. Segera huluran tangannya disambut oleh kedua orang kuat kampung itu dengan senyuman tersungging di bibir masing-masing.

“Baru saja saya sampai Pak Imam, Tok Penghulu. Saya bercadang nak ke rumah sepupu saya melihat keadaan anaknya yang khabarnya sedang sakit terkena buatan orang di hilir kampung ni.” Ustaz Kamal menceritakan tujuannya datang ke kampung itu sebaik duduk di hadapan Pak Imam dan Tok Penghulu. Perlahan songkok yang dipakainya diletakkan di atas peha.

“Anak dara Sarip yang baru habis SPM tu ke?” Pak Imam bertanya sekadar untuk kepastian. Memang ada khabar angin yang telah sampai ke pendengarannya. Ustaz Kamal hanya mengangguk tanda mengiakan pertanyaan Pak Imam.

“Syukurlah cepat perasannya. Bolehlah kita berusaha mengubatinya Kalau tidak, tak tahulah apa akan jadi pada budak tu. Muda lagi budak tu, masih panjang lagi perjalanan hidupnya.” Tutur Ustaz Kamal. Tok Penghulu memandang tepat ke wajah Ustaz Kamal. Dari riak wajahnya seolah tersimpan satu rahsia yang ingin dikongsikannya bersama Ustaz Kamal.

“Beginilah Ustaz. Nanti lepas dah selesai urusan ustaz di rumah Sarip tu, ustaz datanglah ke rumah saya. Ada sesuatu yang saya nak ceritakan pada ustaz. Kalau boleh, saya nak minta bantuan ustaz menangani masalah ni.” Ujar Tok Penghulu. Pandangan matanya penuh mengharap.

“Insyaallah Tok. Kalau tak ada yang menghalang urusan saya nanti, sampailah saya ke rumah Tok.” Ustaz Kamal memberi janjinya pada Pak Imam. Tidak sampai hati pula rasanya hendak menghampakan permintaan Tok Penghulu.

“Biasanya Maghrib dan Isyak saya akan berjemaah di masjid.” Tutur Tok Penghulu. Ustaz Kamal dan Pak Imam mengangguk tanda faham maksud Tok Penghulu. Ustaz Kamal memakai songkoknya semula lalu bangun dari silanya setelah Bilal mula melaungkan azan. Ketiga-tiga mereka turun ke kolah untuk berwuduk sebelum menunaikan solat Zohor berjemaah.

“Saya minta diri dulu Pak Imam, Tok Penghulu.” Ustaz Kamal bersalaman dengan Tok Penghulu dan Pak Imam sebelum meninggalkan masjid. Keretanya yang diletakkan di perkarangan masjid lalu dipandu keluar menuju ke hilir Kampung Batu. Tujuannya hanya satu, hendak membantu anak sepupunya yang sedang ditimpa masalah.

Ketika sampai di rumah Sarip, kelihatan sepupunya itu sedang duduk termenung di serambi rumah. Sebaik terlihat kereta Ustaz Kamal memasuki perkarangan rumahnya, segera Sarip turun ke halaman menyambut kedatangan sepupunya itu. Mereka berbual-bual dahulu di serambi rumah mengenai musibah yang sedang dihadapi. Mereka berhenti berbual apabila azan Asar yang dilaungkan dari Masjid Kampung Batu berkumandang di serata pelusuk kampung. Selepas menunaikan solat, Ustaz Kamal memulakan rawatan ke atas anak sepupunya itu. Berkat doa yang tidak putus dan redha dari Allah, anak sepupunya itu berjaya diubati.

“Alhamdulillah bang, berkat doa kita semua dan izin Allah, berjaya kita membuang sihir yang dikenakan pada anak abang ni. Syukur kepada Allah.” Ujar Ustaz Kamal kepada sepupunya itu. Sarip merupakan anak kepada kakak sulung ibunya, berkahwin dengan orang Kampung Batu. Selepas pencen dari perkhidmatan polis, dia membawa keluarganya pulang ke situ mendiami rumah pusaka peninggalan mertuanya.

“Alhamdulillah. Terima kasih Mal.” Sarip memeluk Ustaz Kamal tanda berterima kasih atas bantuan sepupunya itu.

“Semua tu kuasa Allah bang. Saya hanya membantu saja.” Ustaz Kamal sekadar tersenyum. “Dah hampir maghrib ni, biarlah saya minta diri dulu bang.” Tambahnya lagi.

“Tidurlah di sini malam ni. Bolehlah kita bercerita panjang.” Sarip mempelawa sepupunya itu. Terasa terhutang budi Sarip sekeluarga dengan bantuan yang dihulurkan oleh Ustaz Kamal. Beruntung dia mempunyai sepupu yang mempunyai kelebihan dalam hal-hal perubatan tradisional ini.

“Tak apalah bang, saya ada urusan lain nak dilakukan. Lain kali jika berkesempatan, sampailah saya ke mari.” Ustaz Kamal bersalaman dengan sepupunya itu lalu memandu menuju ke masjid. Sewaktu keretanya memasuki perkarangan masjid, bilal sedang mengalunkan azan Maghrib. Kelihatan Tok Penghulu sedang mengambil wuduk di kolah masjid. Ustaz Kamal lantas menyertai Tok Penghulu mengambil wuduk dan menunaikan solat Maghrib bersama jemaah yang lain. Selesai menunaikan solat Maghrib, Ustaz Kamal berbual-bual dengan Tok Penghulu sementara menunggu waktu Isyak. Tok Penghulu lantas menceritakan hajatnya. Ustaz Kamal agak terkejut mendengar cerita Tok Penghulu. Wajahnya sedikit berubah.

“Ustaz tak percaya cerita saya ke? Tak mengapa, lepas solat Isyak nanti saya bawa Ustaz ke kawasan perkuburan. Kebetulan malam ni malam Jumaat dan kebetulan juga ada anak dara sulung dari ibu sulung yang baru meninggal di kampung ni semalam. Bolehlah Ustaz saksikan sendiri.” Ujar Tok Penghulu. Ustaz Kamal hanya mengangguk dan melemparkan senyuman.

Suasana malam agak tenang. Angin malam berhembus lembut dan menyegarkan. Tidak lama kemudian kedengaran bilal melaungkan azan Isyak pula. Selesai azan dilaungkan, semua jemaah memenuhi saf menunaikan solat Isyak. Begitu juga dengan Tok Penghulu dan Ustaz Kamal. Mereka turut serta memenuhkan saf.

Selesai solat Isyak, Tok Penghulu membawa Ustaz Kamal ke kawasan perkuburan yang terletak di hujung kampung. Kawasan perkuburan yang terletak agak jauh dari rumah penduduk kampung dan dikelilingi oleh pokok-pokok getah milik penduduk kampung itu kelihatan sunyi. Tok Penghulu lantas mengarahkan Ustaz Kamal menyorok di celahan pokok renek yang terdapat berdekatan kubur anak dara yang baru semalam dikebumikan itu sementara Tok Penghulu sendiri menyorok di sebalik pokok bunga kertas yang ditanam di tepi kubur yang terletak tidak jauh dari situ.

Sesekali terdengar bunyi burung jampuk dari atas dahan pokok getah di keliling kawasan tersebut yang diselang-selikan dengan bunyi lolongan anjing liar dari hutan kecil berhampiran. Bunyi unggas malam bersahutan menjadi irama alam yang syahdu. Setelah menunggu lebih setengah jam, kelihatan dua orang lelaki berpakaian serba hitam berjalan menghala ke arah kubur tersebut membawa cangkul dan sebuah beg jinjing. Ustaz Kamal terus memerhati. Dia sudah dapat meneka apa yang hendak dilakukan oleh kedua orang lelaki berpakaian serba hitam itu.

Apabila sampai di kubur anak dara tersebut, lelaki berpakaian serba hitam tanpa berlengah terus sahaja menggali kubur tersebut. Setelah sampai ke liang lahat, mayat anak dara tersebut dibawa naik ke atas. Ustaz Kamal sekadar melihat lelaki berpakaian serba hitam tersebut membuka kain kapan yang membaluti mayat tersebut. Ustaz Kamal hendak keluar dari tempat persembunyiannya untuk menghalang perbuatan kedua-dua lelaki tersebut namun Tok Penghulu mengisyaratkan agar Ustaz Kamal membiarkannya sahaja dan hanya terus memerhati. Ustaz Kamal merasa sedih dan kasihan melihat mayat itu diperlakukan yang tidak sepatutnya.

Salah seorang dari lelaki berpakaian serba hitam itu lantas menyalakan sebatang colok dan dua batang lilin. Setelah lilin dipasang, lelaki tersebut membaca mantera. Seketika kemudian angin bertiup kencang di sekitar kawasan tersebut namun lilin yang dipasang terus menyala. Petir berdentum seolah-olah tempat tersebut dilanda ribut namun hujan yang turun hanyalah renyai-renyai sahaja.

Tiba-tiba Ustaz Kamal melihat mayat anak dara tersebut terapung di udara dan kemudian mayat tersebut berpusing membalikkan diri. Kelihatan wajah mayat tersebut menghala ke tanah. Lelaki berpakaian serba hitam mengambil lilin yang sudah dinyalakan tadi lantas meletakkannya di bawah dagu mayat tersebut.

Ketika lelaki berpakaian serba hitam itu membakar dagu mayat anak dara tersebut, tiba-tiba kedengaran suara tangisan seperti orang yang di dalam kesakitan meminta tolong. Bila Ustaz Kamal mengamati tangisan tersebut, rupanya tangisan tersebut daripada mayat anak dara tersebut. Lelaki berpakaian serba hitam terus membakar dagu mayat anak dara tersebut sehingga mengeluarkan minyak. Setelah minyak yang menitik telah cukup memenuhi bekas yang digunakan untuk menadah, lelaki berpakaian serba hitam itu lantas berhenti membakar dagu mayat tersebut.

Mayat anak dara tersebut yang terapung tadi dijatuhkan semula ke atas tanah dan kedua-dua orang lelaki berpakaian serba hitam itu lantas membawa semua perkakas yang dibawanya meninggalkan kawasan itu. Ustaz Kamal dapat melihat kedua-dua orang lelaki itu hilang hanya selepas beberapa langkah meninggalkan mayat itu. Mayat anak dara itu pula dibiarkan begitu sahaja di situ tanpa bertutup dan tidak dimasukkan semula ke dalam kubur. Tangisan dari mayat anak dara itu masih kedengaran menyelubungi kawasan perkuburan di tengah malam yang hening itu.

Setelah pasti kedua-dua lelaki berpakaian serba hitam itu pergi dari kawasan itu, Ustaz Kamal dan Tok Penghulu lantas keluar dari tempat persembunyian mereka. “Tok, zalim sungguh mereka membiarkan mayat tu tak bertutup begitu aje.” Ustaz Kamal bersuara. “Kenapa Tok tak benarkan saya keluar menghalang perbuatan dua orang lelaki tadi Tok?” Soal Ustaz Kamal tegas.

“Ustaz nampak mereka berdua aje tapi mana kita tahu, mungkin mereka ramai di situ. Ilmu hitam sebegini tentu ada pendampingnya ustaz. Saya takut ustaz tak mampu melawan mereka.” Tok Penghulu menjelaskan kepada Ustaz Kamal. Ustaz Kamal memandang Tok Penghulu tanda faham.

“Beginilah Tok, elok kita panggil beberapa orang kampung untuk membantu mengkebumikan semula mayat ni Tok. Biarlah saya tunggu di sini. Tok pergilah panggil orang kampung.” Ustaz Kamal meminta Tok Penghulu memanggil beberapa orang kampung untuk mengkebumikan semula mayat anak dara tersebut. Sementara Tok Penghulu pergi memanggil beberapa orang penduduk kampung, Ustaz Kamal menunggu di situ untuk menjaga sekiranya ada anjing liar yang datang untuk memakan mayat tersebut.

Suasana di kawasan perkuburan itu semakin sunyi. Lolongan anjing semakin galak. Ustaz Kamal membaca ayat-ayat al-quran dan menutup semula mayat anak dara itu dengan kain kapan yang telah dibuka tadi. Tangisan dari mayat itu terhenti setelah tubuhnya ditutupi oleh kain kapan tersebut.

Tidak lama kemudian, Tok Penghulu sampai semula di kawasan perkuburan tersebut bersama beberapa orang kampung. Mayat tersebut dimasukkan semula ke dalam liang lahat dan kuburnya dikambus semula seperti sebelum digali oleh kedua-dua orang lelaki berpakaian serba hitam tadi.

Selepas selesai mengkebumikan semula mayat anak dara tersebut, mereka semua pulang ke kampung dan berkumpul di masjid. Tok Penghulu menerangkan kejadian yang berlaku kepada penduduk kampung yang membantu dan meminta mereka tidak menghebohkan kejadian tersebut untuk menjaga kehormatan keluarga mayat anak dara tersebut. Setelah itu mereka semua pulang ke rumah masing-masing.

Ustaz Kamal meminta izin Tok Penghulu untuk pulang ke rumah namun Tok Penghulu mengajak Ustaz Kamal bermalam di rumahnya sahaja. “Pagi-pagi esok sahajalah ustaz balik. Malam ini bermalam di rumah saya sahajalah ustaz.” Pelawa Tok Penghulu.

“Tak apalah Tok, nanti menyusahkan Tok saja. Biarlah saya balik sahaja. Lagipun bukannya jauh sangat kampung saya dari sini.” Balas Ustaz Kamal.

“Mana ada menyusahkan. Kalau nak diikutkan saya yang dah menyusahkan ustaz tadi. Marilah ustaz, singgah ke rumah saya.” Tok Penghulu memandang Ustaz Kamal dengan wajah mengharap. Ustaz Kamal lantas bersetuju dengan pelawaan Tok Penghulu apabila dilihatnya wajah Tok Penghulu seperti itu. Mereka lantas berjalan ke rumah Tok Penghulu yang terletak tidak jauh dari masjid.

Pada malam itu Ustaz Kamal bermalam di rumah Tok Penghulu. Selepas menunaikan solat subuh keesokan harinya Ustaz Kamal bertolak balik ke kampungnya. Kedua-dua lelaki yang berpakaian serba hitam yang melakukan kerja syirik dengan menyiksa mayat anak dara di kawasan perkuburan malam tadi menghilangkan diri begitu saja dan tiada seorangpun yang tahu dari mana mereka datang dan ke mana mereka menghilang.

Airmata Kekasih

Dia masih diam berteleku di atas batu di hujung pantai yang semakin sunyi. Di situlah tempat dia memberi sumpah dan janji akan setia. Dan akhirnya kesetiaan yang dijanjikan itu dikhianatinya sendiri. Dan kini dia kembali untuk menebus kekhilafannya namun sayang, ternyata dia terlewat.


*******************

“Sal jangan risau, abang pergi demi untuk kebahagiaan masa depan kita.” Salbiah hanya tertunduk menahan airmata dari mengalir. Salbiah sememangnya tidak rela melepaskan Fikri ke bandar. Dia takut Fikri akan berubah hati seperti kebanyakan drama yang ditontonnya di televisyen.

“Tapi Sal risau. Sal risau abang akan berubah hati. Sal tahu di bandar tu ramai gadis-gadis cantik dan berpelajaran tinggi. Sal ni apalah yang ada.” Fikri menggenggam jemari gadis itu. Diseka airmata yang mengalir di pipi gadis itu dengan hujung jarinya.

“Sal jangan cakap macam tu. Abang berjanji akan setia pada cinta kita. Bila abang dah cukup duit, abang akan minta mak dan ayah abang bincangkan hal majlis perkahwinan kita dengan keluarga Sal. Kita akan hidup bahagia bersama.” Salbiah cuba mengukir senyum dengan janji yang diberikan oleh lelaki itu. Fikri sudah bertekad untuk meninggalkannya di situ. Mahu tidak mahu Salbiah terpaksa menerima keputusan yang telah Fikri buat.

“Sal harap abang akan tepati janji abang. Sal akan setia menunggu abang di sini.” Salbiah cuba mengukir senyum namun ketara senyuman itu tidak mampu menutup perasaan ragu yang bersarang di hatinya. Jemari yang kemas berada di dalam genggaman Fikri ditarik perlahan. Terkedu lelaki itu dengan tingkahnya.

************************

Dia meraup muka. Lautan yang luas masih menjadi santapan matanya. Ombak yang bergelora, tak ubah seperti perasaannya tika itu. Rasa bersalah, sedih, menyesal semua bercampur menjadi satu. Kesal dia mempermainkan perasaan seorang gadis yang begitu menyayanginya. Seorang gadis yang tidak peduli akan kemiskinannya. Seorang gadis yang sanggup menerima apa saja keputusannya.

************************

Fikri berjaya mendapat pekerjaan yang baik di bandar. Sungguh-sungguh dia bekerja berdasarkan niat hendak mengumpul duit secukupnya agar gadisnya yang ditinggalkan di kampung akan menjadi miliknya secepat mungkin. Namun, takdir tuhan mengatasi segala. Fikri berubah. Semuanya kerana kehadiran Alyssa di dalam hidupnya. Gadis bandar yang bijak bergaya, punya pekerjaan yang menjamin masa depan dan sangat menggoda.

Fikri semakin melupakan kewujudan Salbiah yang setia menunggunya. Dia alpa dengan cinta bertunjangkan nafsu bersama Alyssa. Hidupnya bahagia dalam kekaburan. Bahagia dalam kenikmatan dunia. Bahagia dalam dosa hingga sanggup memutuskan ikatan pertunangan dengan Salbiah yang terus setia menunggunya di kampung.

**************************

Semalaman Salbiah menangis. Semenjak keluarga Fikri pulang dari membawa perkhabaran yang tidak terduga itu, Salbiah mengurung diri di dalam bilik. Keraguannya akhirnya menjadi nyata. Fikri telah melupakannya bersama segala janji-janji yang telah mereka meterai bersama.

Puas Salbiah merenung diri. Ditilik apa kesilapan yang telah dilakukan hingga menyebabkan dia terhukum sebegitu. Tiada ternampak akannya sebarang kesilapan. “ Apa dosa aku ya Allah.... hingga aku terhukum begini?” Lemah ungkapan itu terluah dari bibirnya.

Dibawa langkah kaki ke sudut bilik. Meja solek yang menghuni sudut itu dihampiri. Kerusi yang kemas tersisip di bawah meja ditarik keluar. Punggung dilabuhkan di atasnya. Pantas jemarinya menarik laci yang tertutup rapat. Sebuah album yang merakam seribu kenangan manis waktu jari manisnya disarungkan cincin ditarik keluar. Diselak satu persatu helaiannya. Ditatap semula riak gembira yang terpancar di wajahnya waktu itu. Dialihkan pandangan ke cermin yang berada di hadapannya. Berbeza sungguh imej wajahnya yang terbias ketika ini.

Helaian demi helaian diselak perlahan. Ada sendu mengiringi. Ada rawan yang ditangisi di hati. Pilu di hati tidak dapat diselindungkan lagi. Berderai airmatanya lagi. Helaian terakhir yang kemas di pegangan ditutup semula lalu disimpan di tempat asalnya. Ditutup kembali laci itu dan kaki terus melangkah membawa diri ke katil kayu yang kemas berbalut cadar berwarna biru. Tubuh dibaringkan perlahan di atas tilam. Bantal bersarung warna sama dicapai dari susunannya lalu diletak perlahan mengalas kepala. Mata dipejam rapat dengan harapan kesedihan yang sedang ditanggung akan hilang sebaik mata kembali dicelikkan nanti.

***********************

“Kita putus.” Fikri terkedu. Tidak disangka lamarannya ditolak oleh Alyssa yang dibangga-banggakannya malahan perhubungan mereka yang sudah tidak mengenal halal haram itu turut musnah.

“But why Lyssa? I nak bertanggungjawab atas perbuatan kita. Bukankah you kata you cintakan I?” Cuba dipujuk gadis itu namun sia-sia. Hanya ungkapan yang lahir dari bibir Alyssa yang menyedarkan betapa bodohnya dia.

“You ingat you boleh menumpang harta kekayaan keluarga I hanya dengan pengakuan I cintakan you? You silap Fikri. I bukan bodoh. You tak layak menjadi suami I. You hanya orang kampung yang makan gaji dengan papa I. You hanya layak dengan gadis kampung yang pernah jadi tunang you dulu.” Serta-merta wajah Salbiah muncul di fikirannya. Terasa menyesal meninggalkan gadis itu dahulu.

Fikri terduduk di kerusi. Alyssa sudah hilang dari pandangan. Jambangan bunga dan kotak baldu berisi sebentuk cincin masih berada di atas meja. Mata-mata pelanggan restoran mewah itu yang menala kepadanya tidak diendahkan. Perlahan dia bangun. Beberapa keping not lima puluh ringgit ditarik keluar dari dompetnya lalu ditinggalkan di atas meja. Kotak cincin diambil lalu digenggam. Langkah diatur meninggalkan tempat itu.

Hatinya nekad. Dia akan kembali ke pangkuan Salbiah untuk menuntut kemaafan dan kembali menyambung cinta yang telah terputus. Kotak cincin yang berada digenggamannya dipandang. Senyuman diukir. Terbayang cincin itu tersarung di jari manis Salbiah.

***********************

Riuh rendah suara kanak-kanak berkejaran di halaman. Kerusi meja yang tersusun kemas di bawah khemah berwarna putih merah sudah dipenuhi tetamu. Pelaminan yang cantik terhias di serambi rumah kayu bertangga batu itu menjadi perhatian. Sepasang mempelai kelihatan sepadan bergandingan di atasnya. Tersenyum simpul diusik sanak saudara yang sedang menepung tawar.

Seraut wajah yang sentiasa menghantui siang dan malamnya menjadi perhatian. Ditatap tanpa berkelip seraut wajah yang kelihatan berseri itu dari kejauhan. Jauh di sudut hatinya menyesali akan kekhilafan yang pernah dilakukan terhadap pemilik wajah itu. Diseka airmata yang bergenang di tubir mata. Perlahan langkah diatur menjauh meninggalkan keriuhan itu.

************************

Panggilan telefon yang diterima siang tadi merentap semangatnya. Kerja-kerja yang sedang dilakukan terus sahaja ditinggalkan tanpa sempat untuk diselesaikan. Terkejut juga setiausahanya apabila dengan tiba-tiba dia meninggalkan pejabat tanpa sebarang pesanan. Telefon bimbit turut dimatikan. Tidak mahu menerima sebarang kejutan lagi. Sudah cukup rasanya kejutan yang diterima tadi.

Beberapa helai pakaian dari dalam almari dicapai lalu dimasukkan ke dalam beg. Disusun kemas sebelum dimasukkan ke dalam bonet kereta. Pintu rumah dirapatkan dan dikunci kemas sebelum kaki melangkah ke arah kereta yang sudah siap dihidupkan enjinnya. Tubuh diboloskan ke kerusi bahagian pemandu. Pintu kereta ditutup dan tali pinggang keledar disematkan melingkari tubuh. Perjalanan dimulakan dengan ucapan bismillah serta zikir memuji Allah mengiringinya.

Hari hampir tengah malam ketika kereta yang dipandu memasuki kawasan kampung. Sengaja dia melalui jalan yang telah lama tidak dilaluinya. Suasana sekeliling rumah kayu bercat merah bata itu kelihatan terang-benderang. Khemah-khemah telah siap dipasang. Kerusi meja telah siap disusun. Kelihatan juga beberapa orang yang mungkin saudara-mara pemilik rumah sedang memasak air di tepi rumah. Sayu hatinya memandang ke arah rumah itu lalu pandangan ditala kembali ke jalan lalu pemanduan diteruskan hingga memasuki halaman rumahnya.

*******************

Tetamu yang hadir memeriahkan majlis persandingan kedua mempelai sudah meninggalkan rumah itu setelah majlis selesai. Saudara-mara juga turut pulang ke rumah masing-masing setelah selesai mengemaskan apa yang perlu. Tinggallah Salbiah sekeluarga menghabiskan saki-baki periuk belanga yang belum bercuci.

Kemesraan pasangan pengantin baru itu diperhatikan dari kejauhan. Tidak sanggup lagi menonton adegan demi adegan. Dicapai tisu yang terletak di atas papan pemuka kereta lalu dilap airmata yang masih bersisa di pipinya. Kotak berbalut cantik di atas kerusi penumpang dipandang sepi. Enjin dihidupkan lalu kereta meluncur perlahan meninggalkan rumah itu.

*******************

Ombak yang menghempas ke batu seolah badai yang menghempas di pantai hatinya. Laut yang bergelora seakan perasaannya yang berkocak hebat di dalam. Seribu penyesalan yang bertandang di hatinya sudah tidak berguna lagi. Dia sudah kehilangan insan yang sangat dicintainya.

Kenangan indah waktu bersama terimbas lagi di matanya. Mengalir lagi airmatanya walau cuba ditahan. Sungguh kehilangan ini sangat memedihkan. Mungkin inilah yang dirasai oleh Salbiah ketika dia tegar meninggalkan gadis itu untuk bersama orang lain. Hatinya menangis. Airmata penyesalannya masih mengalir di mata dan di hati.

‘Maafkan aku kekasih... Airmata ini akan sentiasa mengiringi kehidupanmu meniti bahagia.’

Friday, April 30, 2010

Tag dari SK



Dapat ni daripada SK. ehehehe...terima kasih dik.

Thursday, April 08, 2010

Update






Sudah agak lama aku tak update blog ni. Dah bersawang dah pun. Walaupun hampir setiap hari aku melawat ke sini. Bukan taknak update tetapi tak tahu nak tulis apa.

Hurm.. Cerita ni sebenarnya dah basi tapi aku tetap nak berkongsi juga di sini. Sebenarnya aku sedang bercuti sakit sejak satu April hingga sembilan April. Esok, aku akan ke hospital sekali lagi untuk follow up check.

Aku menjalani sedikit pembedahan kecil pada pergelangan tangan kanan aku. Keloid yang tumbuh di situ akibat kemalangan sewaktu aku di tempat kerja di sebuah kilang dahulu sudah mula sakit dan berdenyut. Disebabkan kesakitan yang selalu aku alami itulah, aku mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan membuang keloid itu.

Selepas selesai pembedahan, doktor telah meletakkan simen di bahagian bawah lengan aku untuk mengelakkan jahitan luka akan terbuka jika aku menggerakkan tangan. Rasa tak selesa dengan keadaan itu. Apatah lagi luka pembedahan terbalut kemas. Langsung tiada pengudaraan. Tangan juga sentiasa berasa kebas.

Tak sabar nak buka simen esok. Sudah agak lama tak rasa mandi yang sebenar-benarnya mandi. Susah betul rasanya hidup dengan sebelah tangan. Ini pun aku gunakan juga jari-jari tangan kanan ini untuk menaip walaupun rasa sakit berdenyut.

Esok juga ada exam financial accounting sebelah petang. Harap dapat jawab dengan baik esok. Amat berharap juga simen ni akan dibuka esok. Kalau tidak susah la nak jawab soalan. Aku bukannya kidal. Sangat susah.

Tuesday, March 30, 2010

Pesta Buku 2010

Hari terakhir Pesta Buku 2010 aku menjejakkan kaki ke PWTC. Rambang mata aku tengok punya la banyak buku. Nasib baik otai sita duit yang aku ada. Kalau tidak entah berapa buah buku yang aku beli.

Entah la.. Tak tahu nak tulis apa di sini. Rasa kosong pula dalam kepala ni. Tak dapat nak flashback kisah yang berlaku pada hari tersebut buat masa ini. Kepala pula rasa bengal aje ni. Aku sambung lain kali aje la.

Tuesday, March 23, 2010

Kacau....

Tubuh rasa lemah, mata panas, muka pijar, hidung dan tekak rasa perit. Selsema sudah mula menunjukkan dirinya berjaya menguasai fungsi tubuh aku. Aku rasa seperti hampir rebah, tidak berdaya hendak melakukan apa-apa kerja. Kepala aku sudah mula hendak mogok bila mana kini aku sedang mengalami kesakitan yang bakal menjadi lebih teruk.

Ku letakkan belakang tangan di dahi, terasa sedikit membahang. Mungkinkah aku akan demam? Aku berharap aku tidak mendapat penyakit itu. Aku harus kuat. Aku perlukan upaya aku untuk terus menyiapkan tugasan dan sedikit latihan sebelum menjalani pembedahan kecil pada bahagian tangan kananku.

Malam ini kalau terdaya, aku bercadang hendak menyiapkan tugasanku. Esok hari terakhir untuk menyerahkannya kepada tutor yang membimbingku untuk sems ini. Aku akan cuba bertahan selagi terdaya kali ini.

Mata terasa semakin panas untuk berlamaan celik. Mungkin perlu aku rehatkan seketika tubuhku ini. Menikmati makan malam yang simple sendirian sebelum memanjakan tubuh dengan ubatan yang dibekalkan oleh doktor siang tadi.

Aku berhenti dulu setakat ini. Akan aku teruskan celoteh di sini jika diizinkan Allah.

Sunday, March 21, 2010

Dada Rasa Padat Dan Air Asam Jawa

Petang ni dada rasa padat ler. Bernafas ada bunyi. Tak boleh nak tarik nafas panjang, rasa berat je. Mungkin sebab semalam aku kemas bilik depan dan hari ni aku kemas bilik tengah pulak. Masa berkemas tu tak rasa apa-apa pun. Tapi bila dah rehat-rehat,baru ler rasa macam nak semput.

Tadi dah ngadu ngan otai. Dia suruh minum madu tapi madu di dalam simpanan dah habis. Belum beli baru. Nak suruh adik pergi beli tadi dia takmo sebab pagi tadi dia dah pi beli sayur kat pasar. Akhirnya otai suruh aku bancuh air asam jawa pekat-pekat, campur sedikit gula dan minum. Aku buat ler td. Tengah tunggu kesannya la ni.

Sekarang aku tengah berbaring. Lepas post entry ni, aku nak baca buku sikit lagi. Pastu aku tak tau ler nak buat assignment ke ataupun nak tidur aje. Masak untuk malam pun aku malas ni. Hurm.. tengok ler malam-malam sikit karang.

Saturday, March 20, 2010

Bola Sepak Dan Buku

Mak dan abah aku dah balik kampung petang tadi. Sampai rumah jam lapan lebih tadi. La ni mak ngan abah tengah tengok bola kat tv. Negeri Sembilan lawan KL Plus. Dah tentu-tentu la abah ngan mak sokong N9. Kalau orang N9 sokong KL Plus, memang ler N9 murtad namanya. Hahaha...

Sekarang ni N9 mendahului 3-1. Sampai habis perlawanan nanti tak tau ler apa keputusannya sebab KL Plus pun tak kurang hebatnya. Adik-adik aku kat rumah ni pun tengah tengok bola jugak. Aku sambil-sambil je tengok.

Kepala aku terasa bengal pulak ni. Migrain nak menyerang ke agaknya. Harap-harap tak la. Siang tadi aku kemaskan bilik depan. Tukar kedudukan katil, alihkan meja sisi, alihkan penyidai tudung dan towel, keluarkan sofa kecik dan meja ala-ala jepun yang aku guna buat keje-keje penulisan ni.

Negeri Sembilan dah menang dah game ni. 3-1. La ni adik-adik aku tengah tengok Bujang Sepah pulak. Hurm... Aku nak baca buku ler kejap.

Operate Dan Exam

Selangor Medical Centre atau lebih dikenali sebagai Selangor Specialist Hospital Sdn Bhd telah aku jejaki sekali lagi pagi tadi. Berjumpa dengan Dr. Dillion untuk mengenalpasti boleh atau tidak dilakukan apa-apa kepada kelloid yang sudah semakin kerap sakit yang melekap kemas di pergelangan tangan kanan aku ni. Setelah diperiksa tadi, doktor nak jalankan  pembedahan kecil membuang kelloid ni. So, selepas berbincang, aku akan dioperate pada 1 April nanti. Beberapa hari sebelum final exam.

Doktor kata tadi sakitnya sekejap aje so nanti aku boleh hadapi exam dengan tenang. Harap-haraplah kan. Tangan ni nak guna lama. Nak berkarya pun memerlukan tangan untuk menaip idea yang terlintas di fikiran. Harap-harap juga selepas pembedahan tu nanti, pergelangan tangan kanan ni tak sakit lagi.

Abah kata nak balik kampung hari ni. Ah! Duit pulak takde nak bagi. Belum gaji lagi. Dua hari ni aku nak guna untuk selesaikan assignment aku yang masih belum siap. Kalau dah dapat gaji maunya aku ke pesta buku esok. Hehehe...

Sebelum dioperate, aku kena luangkan banyak masa tu untuk mengadap buku ni. Banyak nak kena baca walaupun dua subjek soalan pelbagai pilihan.

Friday, March 19, 2010

Hidup Mesti Bertanggungjawab

Tadi adik aku bising lagi cakap dengan mak nak beli motor. Dia masih bersekolah lagi. Baru tingkatan empat. Mak tak nak belikan. Ye la, mana la mak nak tanggung bayar motor lagi, belanja sekolah dia lagi. Lepas tu dia bandingkan pulak dengan abang dia yang dapat beli motor. Mak cakap lg dengan adik, akhirnya abah geram. Abah bertempik. Adik merajuk lari masuk dalam bilik. Abah pulak aku nampak tadi dah pegang kepala. Naik ler darah tinggi abah agaknya tu. Mak pun dah menung-menung.

Mak pun pening, dia anak bongsu memang ler mak manjakan tapi kena la berpada kan. Mak tu surirumah, abah pulak peneroka yang dah tak menoreh lagi, sekarang cuma makan duit sara hidup yang FELDA bagi tiap-tiap bulan sebanyak RM1400 tu aje. Kat situ la semua nak dikira belanja. Di situ makan, di situ bil segala dan di situ juga bayaran hutang. Anak-anak lelaki tak bekerja untuk membantu. Anak-anak perempuan dah kawin dan yang bujang macam aku pun banyak hutang sendiri nak kena bayar.

Aku dah banyak kali cakap dengan adik aku, sekolah dulu, nanti dah habis sekolah, cari kerja dan beli ler harta sendiri. Masa tu kumpul la harta sendiri sebanyak mana pun. Nak beli kereta, motor, rumah, hatta nak beli bas pun boleh. Sediakan aje la duitnya. Aku selalu kata juga, kalau nak berharta, cari sendiri. Jangan mintak dengan mak abah. Bukannya mak abah tu orang senang, mintak apa pun boleh dibagi.

Satu lagi, aku selalu kata dengan adik-adik aku, kalau dah ada tanggungjawab, kerja la untuk langsaikan tanggungjawab tu. Macam adik lelaki aku yang sorang tu, dia sampai merajuk nak beli motor. Abah tunaikan saham yang FELDA bagi, abah buat downpayment motor dia, konon janji lepas dapat motor nak keje untuk bayar tiap bulan. Alih-alih, tak bekerja. Tinggal dengan aku pun dah berapa lama tak keje. Takat makan tu aku tak kisah la, apa ada makan ler sama tapi kalau bab bayar hutang tu, cari ler sendiri. Bila dia tak bekerja, siapa yang bayarkan motor? Abah jugak.

Sorang adik perempuan aku, baru bekerja, sibuk nak beli motor. Aku kata tak payah ler dulu. Dia nak juga, ok la, beli la. Guna nama aku tp dia bayar. Alih-alih baru berapa bulan, dia berhenti kerja. Kerja bagus pulak tu. Kerja dekat pusat dialisis FELDA. Lepas berhenti, bertunang pulak. Tak lama pastu kawin pulak. Dah tak kerja, sapa nak bayar motor? Aku jugak sebab pengutip hutang bising dengan aku, ye la, nama aku kan. Bila aku bising, dia suruh jual je. Aku punya jenis, kalau dah beli, buat apa nak jual. Nanti buat jadik buah mulut orang kampung je.

Keluarga aku tu dah la menjadik perhatian jiran tetangga. Ingat lagi masa aku baru beli kete kancil sekenhen. Jiran sebelah rumah canang kat kedai, katanya tak lama abah aku pakai kete tu. Tiga bulan je. Alih-alih kete tu dah langsai. Lepas tu ada orang nak jual Kris RM1000. Kebetulan masa tu aku berduit sikit, abah cakap ler ngan aku nak belikan tuk adik. So aku bagi ler duit beli. Adik aku godek sini sana, bawak motor macam orang tak pernah dapat motor, sekarang ni rosak. Kalau nak repair beratus jugak ler nak kena keluar duit.

Pastu sekarang ni dia bising nak mintak belikan motor pulak. Motor ego s tu yang adik perempuan aku takmo bayar tu, sekarang ada kat kampung. Adik perempuan aku yang lagi sorang, yang duduk dengan aku ni yang aku suruh bayar. Kiranya nanti langsai jadik harta dia la. Aku suruh adik lelaki aku amik motor tu aje, baru lagi, dia takmo. Dia kata macam perempuan.

Bagi aku tak kisah la macam mana pun, dah ada tu pakai aje la yang tu. Nak memilih apanya lagi. Kalau dah rosak tak boleh repair lagi tu lain ler. Masa tu baru ler beli yang baru. Sama kes macam mesin basuh aku. Dah bertahun aku pakai mesin basuh separa otomatik, memula rosak tak boleh pusing balik, aku terus je guna. Pastu dia langsung takleh takung air pulak. Baru ler aku beli lain. Itupun aku masih guna jugak tempat perah dia. Hehehe....

Sebenarnya, kalau hidup ni ada rasa tanggungjawab, kita akan sentiasa bekerja untuk menyelesaikan segala tanggungjawab kita. Sentiasa berusaha mencari duit untuk membayar segala hutang piutang atas harta yang kita nak sangat. Dan kita tak akan bergantung pada orang untuk menyelesaikan segala hutang yang kita buat untuk kegunaan kita sendiri.

Aku, Motor Dan Kenangan

Tadi aku dapat guarantee letter bagi mendapatkan rawatan kat specialist seperti yang aku minta kelmarin. Aku kena bawa surat tu waktu pergi mendapatkan rawatan. Aku pilih tarikh esok sebab abah masih ada di sini. Bolehlah aku minta abah tolong hantarkan aku ke hospital.

Sebenarnya kalau aku berani, aku boleh saja memandu sendiri ke hospital tu. Aku ada lesen, kereta pun ada selagi abah ada di sini. Cumanya aku tak berani sangat nak memandu, mungkin sebab tak pernah nak biasakan diri. Buatnya aku gelabah karang, nak tekan brek tapi tertekan minyak, mau eksiden aku.

Teringat masa aku muda-muda dulu. Aku teringin nak bawa motor. So aku pun belajar ler bawak motor dengan abah. Masa tu aku baru balik dari Gemencheh dengan abah. Sampai kat simpang Jelai, jalan tu dalam kawasan kebun getah walaupun ianya jalan besar, abah berhentikan motor. Abah suruh aku bawak. Aku pun excited sangat ler. Aku pun start enjin, pulas minyak dan mula jalan. Kaki pulak terus aje aku naikkan atas tempat pemijak. Rupanya abah pun sama. Kaki abah terus naik atas pemijak.

Sebaik motor tu jalan, aku yang memang tak pandai nak kawal handle motor terus aje gelabah. Motor tu dah menuju ke tepi jalan. Abah jerit "lepas minyak, tekan brek." Aku pulak pi pulas lagi tempat pulas minyak tu. Makanya, motor terus menuju ke longkang di tepi jalan tu. Dan kedua-duanya tergolek dok kat situ. Hahaha.... Masa tu abah tak marah pun tapi abah gelakkan aku. Sejak tu aku memang tak berani nak belajar motor lagi.

Belajar dengan arwah abang ngah pun aku punya kenangan juga. Dengan dia, aku boleh bawa motor bersiar dalam kampung sebab dia selalu juga tolong kawal handle motor. Yang aku tak boleh lupa masa bawak motor dengan dia, motor yang aku tunggang tu dah merayau kat dalam pokok bunga orang yang melata tumbuh kat tepi jalan. Masa tu arwah abang ngah tegur "nak ke mana pulak tu?" Hehehe... Dia juga yang kawal handle motor tu naik semula atas jalan.

Sampai sekarang aku tak pandai bawa motor. Adik-adik perempuan aku semua pandai bawa motor, aku je tak. Motor aku ada tapi bawak tak pandai. Hehehe... Aku lebih sesuai berjalan kaki sahaja kot. Dan kalau nak jalan jauh, naik aje bas ataupun train.

Semangat Di Awal Pagi

Mata masih kelat namun aku berjaya juga bangun jam empat pagi ni dengan pertolongan adik aku dan juga otai mengejutkan serta semangat yang membara untuk menyambung menyiapkan assignment yang masih belum siap.

Dengan bertemankan lagu-lagu jiwang ni aku cuba menyiapkan kerja aku. Sekejap lagi aku bercadang hendak membuat air minum. Argh! Perut pula terasa minta diisi. Rasanya lebih baik aku pergi ke dapur mencari sesuatu untuk dimakan. Tadi kalau tak silap, aku ada nampak nasi dan sedikit lauk sambal terung purple yang mak masak tadi malam.

Aku akan menulis lagi nanti. Buat masa ini aku hanya terfikirkan makanan. Selepas makan, aku akan terus menyambung tugasan sebelum berhenti untuk bersiap ke pejabat. Hari ini hari Jumaat. Hari terakhir kerja untuk minggu ini. Harap-harap ada berita baik hari ini bila aku sampai di pejabat pagi nanti.

Thursday, March 18, 2010

Dateline....

I think today was my boring day. Hahaha.... Grammar tunggang langgang lagi mahu menulis dalam english. inilah dia bodoh tak boleh diajar, bijak tak boleh diikut.

Sesungguhnya hari aku memang betul-betul terasa keboringan yang teramat sangat. Walaupun telah aku cuba menghilangkan kebosanan itu dengan makan dan mendengar lagu-lagu jiwang karat, namun kebosanan itu tetap juga melingkari hidup aku hari ini.

Dari senja tadi aku menghadap notebookku yang comel ini namun tiada sepatah perkataan mahupun sepotong ayat yang dapat aku tuliskan dalam koleksi novel aku yang sedang dalam pembikinan. Entah ke mana idea aku menghilang. Entah ke mana semangat menulis aku terbang.

Mungkin aku patut lelapkan mata barang seketika agar aku dapat menjana semula tenaga dan idea. Okay la, aku ikut la saranan aku sendiri tadi. Aku tidur sekarang. Sama seperti otai. Tidur dulu, berjaga kemudian untuk menyambung tugas-tugas penulisan. Cuma yang berbezanya otai menulis ada dateline tapi aku tak pernah ada dateline. Dan disebabkan tiada dateline la tulisan aku tak siap-siap sampai sekarang. Mungkin jika otai memberikan aku dateline, karya aku mungkin akan siap on time. Mungkin je la. Huhu...
.