Monday, July 26, 2010

Luka bab 1





KAKI dihayun tanpa tujuan membawa sekeping hati yang luka berdarah. Drama sebabak sebentar tadi menghancurluluhkan jiwanya. Sangkanya kepulangan secara rahsia mampu memeranjatkan orang yang paling disayanginya namun sebaliknya yang terjadi. Dia sendiri yang dikejutkan oleh kenyataan yang selama ini tidak diketahuinya.

Kemesraan dua manusia yang sangat disayangi dan dipercayainya menyebabkan airmatanya menitis. Sungguh dia tidak menyangka, seorang sahabat yang sudah dianggap seperti adik sendiri sanggup memadu kasih dengan kekasih sahabat sendiri. Sungguh tidak dia menyangka kekasih yang pernah berjanji sehidup semati tergamak mengkhianati janjinya sendiri.

Tidak sanggup dia terus menunggu dan membiarkan matanya menyaksikan kejutan yang benar-benar membunuh semangatnya lantas kaki terus dihayun pergi meninggalkan kedua insan tersayang asyik berbahagia di atas kelukaannya.

Kakinya terus melangkah tanpa arah tujuan dan akhirnya setelah kepenatan, punggung dilabuhkan di atas bangku batu di pinggir kolam. Matanya terus menyoroti ketenangan yang terbentang di hadapannya.

“Andai aku tahu apa yang akan terjadi di masa depan, pasti aku tidak akan menyerahkan seluruh cintaku kepada lelaki yang tidak tahu menghargainya.” Terluah kekesalan dari seulas bibirnya yang pucat. Air jernih di pinggir mata yang cuba ditahan sedari tadi akhirnya mengalir juga membasahi pipi. Terhenjut-henjut sekujur tubuh itu menangis sendirian.

**************
“EHEM!” Bunyi deheman yang tiba-tiba memecah kesunyian sedikit memeranjatkannya lantas muka yang ditekup di pehanya diangkat perlahan. Wajah didongakkan untuk melihat gerangan empunya suara. Airmata yang telah berhenti menitis tertumpah kembali tatkala empunya suara menghulurkan sehelai saputangan kepadanya.

“Sudahlah Tiha. Janganlah bersedih. Tak guna kau menitiskan airmata kerana seorang lelaki yang tak tahu menghargai sebuah cinta yang tulus yang telah kau berikan. Tentu ada hikmah di sebalik kejadian ini. Redhakanlah.” Taufiq melabuhkan punggung di sisi Fatiha. Wajah Fatiha yang murung direnung penuh kasih. Sayangnya terhadap Fatiha masih utuh terpahat dalam hati namun dia terpaksa menyimpan rasa itu sendiri demi kerana persahabatannya dengan Fatiha.

“Entahlah Fiq. Aku tak tahu apa nak buat sekarang. Aku sungguh tak sangka sahabat baik aku sanggup buat aku macam ni. Sanggup Sahana menikam aku dari belakang. Apa salah aku Fiq? Apa dosa aku?” Bertalu-talu soalan terhambur dari bibirnya. Taufiq masih terus menatap wajah itu. Membuak-buak rasa kasihan apabila melihat mata Fatiha yang masih bersisa manik-manik air jernih memandang tajam ke arah tengah kolam. Renungan yang seolah tembus jauh ke dasar kolam.

“Kau tak salah Tiha. Mereka yang tak tahu nak menghormati perasaan orang lain.Biarkan ajelah mereka. Aku percaya satu hari nanti mereka akan dapat balasan atas perbuatan mereka tu.” Taufiq menyeka airmata di pipi Fatiha. Langsung tiada bantahan dari gadis itu. Mungkin fikirannya tiada di situ waktu itu. Menerawang entah ke mana.

“Tolong aku Fiq. Tolong aku buangkan ingatan aku ni. Aku tak nak hidup aku dihantui perbuatan diorang.” Taufiq terkejut apabila Fatiha tiba-tiba sahaja berpaling kepadanya lalu tangan gadis itu menggoncang tubuhnya. Airmata terus melimpah laju dari kolam mata gadis itu.

“Insyaallah Tiha, insyaallah. Aku akan sentiasa ada di sisi kau selagi kau memerlukan aku.” Tangan kecil gadis itu yang masih berada di bahunya digapai lalu terus digenggam erat seolah tidak akan dilepaskan lagi. Namun dia sedar itu tak mungkin terjadi di antara mereka. Perlahan-lahan jemari halus itu dilepaskan.

“Kenapa kau baik sangat dengan aku Fiq sedangkan dulu aku pernah kecewakan kau?” Penuh rasa bersalah Fatiha menuturkan soalan. Wajah Taufiq yang tidak beriak dipandang sayu. Dia tahu perasaan lelaki itu terhadapnya namun dia tidak boleh menerima cinta Taufiq. Dia tidak mahu persahabatan yang bertukar kepada percintaan akan lenyap bila cinta itu terputus di tengah jalan. Dia tidak sanggup kehilangan seorang sahabat seperti Taufiq yang begitu sempurna.

“Sebab aku sayang kau Tiha. Kau kan sahabat aku.” Ringkas jawapan Taufiq mematahkan persoalan yang berligar di fikiran Fatiha. Sedikit-sebanyak dia merasa gembira kerana lelaki itu masih menyayanginya sebagai seorang sahabat.

Taufiq merenung jauh ke tengah kolam. Terimbas kenangan lama di kotak ingatannya. Kenangan yang telah bertahun tersimpan kemas. Kenangan yang telah cuba dilupakan sejak dahulu.

Namun itu hanyalah kenangan lalu. Kini di tempat yang sama, Taufiq masih lagi setia menjadi seorang sahabat kepada gadis bernama Fatiha. Masih setia menemaninya. Walau cinta masih bersisa namun biarlah ia menjadi sejarah.

***************
TAUFIQ menghulurkan sekuntum bunga mawar merah kepada Fatiha yang sedang leka membaca novel di bawah pokok di hujung taman itu. Di situlah tempat biasa mereka bertemu. Terkejut Fatiha dengan pemberian itu.

Taufiq hanya tersengih menunjukkan barisan giginya yang putih melihatkan respon Fatiha atas pemberiannya. Sungguh dia sebenarnya sayangkan gadis itu. Sudah lama dia menyimpan perasaan kepada gadis itu namun gadis itu hanya menganggapnya sebagai seorang sahabat.

Hari ini Taufiq nekad hendak meluahkan rasa cintanya kepada gadis itu sekali lagi. Dia sudah tidak mampu membendung perasaannya. Walaupun dahulu dia pernah meluahkannya kepada Fatiha dan ditolak oleh gadis itu mentah-mentah namun dia tidak pernah berputus asa.

“Fiq… Kenapa beri Tiha mawar merah ni? Mimpi eh?” Tanpa rasa bersalah Fatiha mempersoalkan pemberian Taufiq kepadanya.

“Tiha… Fiq sebenarnya nak beritahu Tiha sesuatu. Tiha janji jangan marah Fiq eh?” Fatiha mengerutkan dahi. Hairan pula dengan sahabat baiknya itu. Selalunya tidaklah dia pernah meminta Fatiha berjanji dahulu jika hendak berkata sesuatu.

“Baiklah Fiq… Tiha janji. Ha! Apa dia? Cepatlah cakap.” Rasa tidak sabar hendak mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh sahabatnya itu. Entah apa perkara yang menyebabkan dia harus berjanji.

“Fiq sebenarnya… hurm…” teragak-agak Taufiq hendak berterus-terang. Bimbang sekiranya Fatiha akan marah kepadanya. Bimbang Fatiha akan memutuskan persahabatan mereka yang telah lama terjalin.

“Kenapa ni Fiq? Tiba-tiba tergagap-gagap pula. Apa sebenarnya yang Fiq nak beritahu Tiha?” Sedikit mendesak Fatiha apabila Taufiq seperti itu. Pelik. Selalunya lancar sahaja percakapannya.

“Fiq cintakan Tiha!” Sekali nafas Taufiq menghamburkan kata. Membulat mata Fatiha mendengar pengakuan Taufiq.

“Fiq… Bukankah dulu kita dah berjanji tak akan bercakap tentang ini lagi? Fiq dah lupa eh?” Fatiha merenung tepat ke anak mata Taufiq. Berharap agar Taufiq dapat memahami apa yang ada di fikirannya.

“Ye Tiha. Fiq ingat… Tapi Fiq tak dapat buangkan perasaan cinta Taufiq kepada Tiha. Tiha… Fiq betul-betul sayangkan Tiha. Fiq tak mahu kehilangan Tiha.” Fatiha menggeleng. Tidak percaya Taufiq berdegil seperti itu.

“Fiq… Tolonglah. Tiha pun sayangkan Fiq tapi hanya sebagai seorang sahabat. Tiha pun tak mahu kehilangan seorang sahabat seperti Fiq. Cukuplah hubungan kita hanya sebagai sahabat. Tak perlu lebih dari itu. Jika Fiq masih ada rasa cinta tu… kita putuskan saja persahabatan kita di sini.” Ucapan Fatiha merobek hati Taufiq. Taufiq tidak sanggup kehilangan gadis itu.

“Kenapa Tiha cakap macam tu?” Taufiq menatap wajah sayu Fatiha. Tahu gadis itu juga tidak rela memutuskan persahabatan mereka ini.

“Tiha tak mahu kerana cinta nanti Tiha akan kehilangan Fiq. Seorang kekasih boleh menjadi sahabat Fiq tapi seorang sahabat tidak boleh menjadi kekasih.” Fiq kehairanan. Hairan dengan apa yang diucapkan oleh Fatiha.

“Kenapa pula tak boleh?” Fatiha mengalihkan pandangan ke arah kolam.

“Sudahlah Fiq. Anggap saja Tiha menolak. Jika Fiq masih dengan kedegilan Fiq, lupakan Tiha.” Taufiq terdiam mendengar jawapan Fatiha. Sungguh dia kecewa namun untuk memutuskan persahabatan dengan gadis itu dia tidak rela.

“Tiha… jika itu keputusan Tiha… Fiq akan cuba membuang rasa cinta ini. Fiq masih mahu menjadi sahabat Tiha.” Taufiq mengukir senyuman. Walaupun kelihatan hambar namun tetap juga dibalas Fatiha.

Cinta Si Tukang Kasut bab 8


BADRUL memberhentikan kereta di hadapan Pasaraya Mesra. Matanya melilau seolah-olah mencari sesuatu. Maya yang terpandang wajahnya sebelum membuka pintu kereta merasa sedikit hairan.

“Kenapa bang? Abang cari apa?” Pertanyaan Maya sedikit mengejutkan Badrul. Tersengih seketika Badrul sebelum menjawab soalan Maya yang masih lagi menghadap ke arahnya.

“Tak ada. Tadi abang nampak kecoh-kecoh dekat depan pejabat abang masa abang nak jemput sayang tadi. Abang pun perhatikan saja dari jauh. Kemudian abang nampak bos abang, Datuk Jamal tengah bercakap dengan seorang tukang kasut. Rupa dia macam abang pernah nampak aje. Kalau tak silap abang macam tukang kasut yang ‘repair’ kasut kat sini tu.” Maya tertawa sebaik Badrul habis bercerita. Badrul kehairanan.

“Jadi… Tadi tu abang tengah cari tukang kasut tu la eh? Abang nak pastikan betul ke tukang kasut yang dekat depan pejabat abang tu orang yang sama dengan tukang kasut dekat sini tu?” Badrul mengangguk mendengarkan pertanyaan Maya.

“Betullah dia tu bang. Pagi tadi Maya dah maki dia. Itu sebab dia ada dekat sana. Malu la agaknya dengan orang-orang dekat sini. Kerja tukang kasut… Ada hati nak mengorat Maya.” Angkuh sungguh Maya berkata-kata. Badrul mencebik di dalam hati.

“Kenapa?” Soal Badrul ingin tahu.

“Pagi tadi bang. Dia nampak abang hantar Maya. Kemudian dia sibuk tanya Maya ke mana malam tadi. Siapa abang la. Tapi yang tak boleh tahan tu dia boleh cakap yang dia sayangkan Maya, dia cintakan Maya. ‘then’ dia boleh tanya siapa dia pada Maya.” Terhambur tawa usai Maya bercerita. Badrul turut ikut ketawa. Mungkin merasakan perkara itu sesuatu yang melucukan.

“Habis tu apa yang sayang cakap sampai dia pergi ke tempat lain?” Masih lagi Badrul ingin mengorek cerita yang telah berlaku. Tentu sahaja Maya telah mengucapkan sesuatu yang sangat menyakitkan hati hinggakan tukang kasut itu meninggalkan tempat biasa dia mencari rezeki.

“Maya cakap dengan dia… Abang ni kekasih Maya.. kerja besar. Maya suruh dia cerminkan diri dia… tengok sesuai ke tidak dengan Maya.” Masih lagi Maya ketawa. Bangga dengan penghinaan yang telah dilakukannya terhadap Shah pagi tadi. Badrul hanya tersenyum sambil mengangguk.

“Baiklah sayang, abang nak balik pejabat ni. Lambat nanti takut ada yang cari abang.” Maya yang masih menghadap ke arah Badrul mendekatkan wajahnya ke wajah Badrul. Satu kucupan hinggap di bibir Badrul. Tersengih Badrul sambil memandang Maya yang berpaling membuka pintu kereta. Kereta mendesup laju meninggalkan Pasaraya Mesra selepas Maya berlalu masuk menyambung tugas.

****************
PENGAWAL keselamatan yang sedang bertugas di hadapan bangunan Wisma Hanija melemparkan senyum kepada Shah yang sedang tersenyum ke arahnya. Perlahan pengawal keselamatan berbangsa India itu datang ke tempat Shah.

Melihatkan pengawal keselamatan itu sedang menuju ke arahnya, Shah meletakkan makanan yang diberikan oleh Datuk Jamal tadi ke atas kotak peralatannya. Bungkusan air disangkutkan ke paku khas yang terdapat di penjuru kotak.

“Aya…. Saya minta maaf susahkan Aya pagi tadi.” Pengawal keselamatan itu tersengih ke arah Shah. Teringat semula kejadian pagi tadi.

“Tara apa hal la. Saya cuma jalankan tugas. Itu Datuk Jamal sudah kasi izin sama awak… Saya pun tara boleh halau sama awak la.” Balas pengawal keselamatan itu sambil ketawa. Shah turut ketawa. Terasa lucu dengan kata-kata pengawal keselamatan itu.

“Aya sudah lama kerja sini ke?” Pengawal keselamatan itu mengangguk dengan pertanyaan Shah. Sesekali matanya melingas ke arah lobi Wisma Hanija.

“Saya sudah dua tahun kerja sini. Dulu saya kerja dekat tempat lain. Lepas syarikat tutup, saya minta kerja dekat sini. Sama itu Datuk Jamal la. Dia banyak baik punya orang.” Giliran Shah pula mengangguk. Tinggi pujian pengawal keselamatan itu kepada Datuk Jamal.

“Awak sudah lama ke bikin ini kerja?” Soal pengawal keselamatan itu kepada Shah. Laju Shah menggeleng.

“Baru lagi. Belum sampai satu bulan pun Aya.” Berkerut dahi pengawal keselamatan itu.

“Kenapa awak bikin ini kerja? Awak muda lagi. Awak tak sekolah ke?” Soal pengawal keselamatan itu. Shah tersenyum.

“Saya sudah habis sekolah Aya. Susah la nak dapat kerja bagus. Dari saya menganggur, baik saya ‘repair’ kasut kan. Ada juga hasil.” Mengangguk sahaja pengawal keselamatan itu dengan kata-kata Shah. Ada benarnya. Daripada menganggur, lebih baik lakukan sahaja kerja yang boleh mendatangkan hasil.

“Awak banyak bagus la. Cuba la tanya dalam ada kerja kosong ke tidak. Apa awak punya kelulusan?” Shah tersenyum dengan cadangan pengawal keselamatan itu.

“Saya ada ijazah saja Aya.” Jawapan Shah membuatkan pengawal keselamatan itu terkejut.

“Awak ada ijazah tapi bikin kerja ‘repair’ kasut saja? Rugi. Tak apa. Nanti saya tanya dalam ada kosong ke tidak. Kalau ada, saya cakap dengan awak.” Pengawal keselamatan itu meninggalkan Shah sebaik terlihat ada sebuah kereta berhenti di hadapan Wisma Hanija. Shah hanya menghantar langkah pengawal keselamatan itu dengan senyuman.

‘Baik hati juga pengawal tu. Datuk pun baik. Harap rezeki aku ada di sini.’ Hati Shah berkata-kata. Bungkusan makanan yang diletakkan di atas kotak tadi dibuka. Perut yang sedia lapar menjadi bertambah lapar melihatkan isi ayam yang wangi dan kelihatan sungguh menyelerakan. Sudu plastik yang ada segera dicapai. Dilap terlebih dahulu dengan tisu yang turut ada di dalam plastik itu. Laju sahaja Shah menyuap makanan ke dalam mulut usai berdoa.

*****************
SEBUAH kereta Mercedes berwarna hitam metalik sudah siap sedia berhenti di hadapan lobi Wisma Hanija. Seorang lelaki separuh abad keluar dari pintu sebelah pemandu. Berdiri sebentar di sebelah pintu sebelum berjalan ke arah lobi lalu menghilangkan diri ke dalam bangunan Wisma Hanija.

Seketika kemudian lelaki itu keluar semula sambil menjinjit sebuah beg bimbit. Di belakangnya kelihatan Datuk Jamal dan Haslinda sedang berjalan sambil berbual. Sempat lagi Datuk Jamal melemparkan senyum ke arah Shah yang sedang memandang ke arahnya. Shah membalas senyuman yang diberikan.

Lelaki separuh abad tadi membuka pintu bahagian hadapan dan menutup kembali setelah meletakkan beg di atas kerusi penumpang. Kemudian pintu bahagian belakang pula dibuka. Kedua beranak itu memboloskan diri ke dalam kereta sebelum kereta bergerak keluar dari kawasan Wisma Hanija.

Shah membelek jam yang berada di pergelangan tangan kanannya. ‘Dah pukul lima setengah.’ Bisik hatinya. Seketika kemudian kelihatan beberapa orang pekerja yang keluar dari Wisma Hanija menuju ke arah hentian bas di seberang jalan.

‘Dah waktu balik kerja agaknya ni. Aku kemas dululah. Esok pagi-pagi aku datang lagi sini. ’ Hatinya berkata lagi sambil tangan ligat mengemaskan peralatan yang berada di atas lantai masuk ke dalam kotak.

“Bang! Esok ada tak?” Sedikit terkejut Shah mendengar pertanyaan yang tiba-tiba. Matanya tertancap ke wajah gadis yang berdiri di sebelahnya. Tersenyum sedikit gadis itu kepadanya, Shah membalas senyuman itu.

“Ada dik. Kenapa? Ada kasut nak dibaiki ye? Bawalah esok. Hurm… Jam berapa pejabat buka ye?” Soal Shah kepada gadis itu.

“Lapan setengah bang. Ada kasut saya nak tukar tapak. Berapa ringgit abang ‘charge’?” Shah tersenyum mendengar pertanyaan gadis itu.

“Biasa kalau tukar tapak abang ‘charge’ lapan ringgit je dik. Tapi disebabkan adik ni pelanggan pertama, abang ambil lima ringgit aje. Boleh?” Tersengih gadis itu mendengar kata-kata Shah. Laju sahaja dia mengangguk setuju. Shah turut tersenyum dengan reaksi gadis itu.

“Wah! Bertuah saya jadi pelanggan pertama abang. Boleh dapat diskaun lagi. Terima kasih bang. Esok pagi-pagi saya bawa kasut tu ye bang?” Ujar gadis itu sebelum berlalu meninggalkan Shah meneruskan kerja mengemas.

Kotak peralatan yang sudah kemas disangkutkan ke bahu kiri. Bangku kecil yang menjadi alas duduk dipegang di tangan kanan. Sempat Shah melambai tangan kepada pengawal keselamatan yang masih lagi setia bertugas sebelum melangkah pergi meninggalkan bangunan Wisma Hanija.

Di tepi jalan Shah berpaling menghadap ke arah bangunan Wisma Hanija yang tersergam megah. Shah tersenyum. ‘Semoga rezeki aku ada di sini.’ Hati kecilnya berbisik kata sebelum langkah kaki diteruskan kembali ke Pasaraya Mesra.
.