Sunday, November 14, 2010

Cerpen - Diganggu Penunggu Tasik

MALAM kian larut. Bayu dingin berhembus menyegarkan. Air tasik yang tenang berkilau disinari panahan cahaya sang bulan yang kelihatan tergantung di dada langit. Hujung joran pancing yang dipacakkan di pinggir tasik sesekali kelihatan bergetar lembut. Mungkin itu petanda umpan sedang dijamah ikan-ikan yang lalu atau mungkin juga dilanggar arus air di dasar tasik yang tidak setenang di permukaannya.

Di tebing tasik kelihatan dua susuk tubuh sedang duduk bersebelahan unggun api yang nyalaannya malu-malu seperti gadis sunti kampung sedang dirisik bakal mertua. Sesekali terdengar bunyi desingan nyamuk yang diikuti bunyi tamparan yang entah mengenai sasaran ataupun tidak. Unggas rimba bersahutan melagukan irama alam tak ubah seperti sebuah orkestra yang mengiringi nyanyian penyanyi terkenal yang sedang mengadakan konsert di Istana Budaya.

Kepulan asap rokok dihembus dari rongga mulut sang pemancing yang setia menunggu umpannya diragut mangsa. Berlegar-legar seketika di udara dan kemudian hilang dibawa angin yang berlalu. Bagi sang pemancing, rokok merupakan teman setianya. Berguna sebagai ubat untuk menghilangkan kebosanan menunggu rezeki untuk dibawa pulang tersangkut di mata kail.

“Dah dua jam kita kat sini Man. Seekor ikan pun kita tak dapat lagi ni. Jangankan direntap, disentuh pun tidak umpan kita.” Khairul bersuara perlahan memecah keheningan malam yang kian merangkak ke pagi.

“Sabarlah. Mana tahu sekejap lagi tali pancing kita direntap ikan besar. Haaaa…. Makan ikan bakar kita esok.” Jawab Rosman untuk menyejukkan hati sahabatnya yang sentiasa setia bersamanya walau ke mana sahaja diajak memancing.

“Orang kata kononnya kat sini banyak ikan. Lempar tali kejap aje dah kena rentap. Tapi ni dah dua jam kita menunggu. Dah habis sekotak rokok aku hisap. Macam ini punya gaya, cepatlah aku mati diserang kanser jawabnya.” Khairul mengomel lagi. Terdengar keluhan kasar dari rongga mulutnya. Lebih geram apabila tangannya terpaksa bekerja keras menampar nyamuk yang tak sudah-sudah mencuba menyedut darahnya.

“Engkau ni Rul… tak sabar-sabar. Adat orang memancinglah. Ada kala rezeki melimpah, tak menang tangan nak layan tali yang direntap ikan. Ada kala rezeki tak menyebelahi kita, menunggu lamalah jawabnya.” Rosman menggeleng sambil menyabarkan sahabatnya itu.

Suasana sepi seketika. Baik Khairul mahupun Rosman, kedua-duanya memilih untuk tidak bersuara. Mungkin kehabisan cerita atau mungkin sedang melayan perasaan masing-masing sambil berlatarbelakangkan dendangan unggas rimba dan lagaan dedaunan yang disentuh desiran angin malam.

****************

LOLONGAN anjing liar mendayu-dayu memecah kesunyian. Semakin lama semakin sayu. Desir angin semakin kuat menghentam dedaunan. Bauan bunga tanjung yang semerbak mewangi tiba-tiba dihidu rongga hidung kedua-dua sahabat tersebut diiringi pelbagai bunyi-bunyian. Bulu roma mereka meremang. Keduanya saling berpandangan tanpa sepatah perkataan.

Burung jampuk yang entah dari mana muncul bertenggek di atas dahan sebatang pohon besar berhampiran tasik. Bunyi yang dikeluarkan terdengar agak menyeramkan. Khairul yang sudah biasa melalui keadaan sebegini terus berpandangan dengan Rosman.

Perlahan-lahan Khairul menyeluk sakunya lalu mengeluarkan telefon bimbit yang sedari tadi tidak digunakan. Butang-butang kekuncinya ditekan dengan cermat. Pembesar suara di telefon bimbitnya dikuatkan. Jemarinya lantas mencari rakaman ayat suci Al-Quran yang memang sudah sedia tersimpan. Apabila telah dijumpai apa yang dicarinya, dia lantas menekan butang ‘mainkan’ lalu bergemalah alunan bacaan ayat suci di tengah-tengah kawasan hutan itu.

Suasana malam kembali tenang setenang permukaan tasik yang disirami cahaya bulan penuh. Rosman merenung ke dada langit. Dia kelihatan seperti sedang mencongak-congak sesuatu. Seketika dia berpaling ke arah Khairul.

“Rul, kalau tak silap aku, malam ni lima belas haribulan melayu. Bulan penuh.” Matanya menyorot ke wajah sahabatnya itu.

“Eh! Iye ke? Tak perasan pula aku.” Balas Khairul. Pancaran cahaya bulan yang terang mengenai ke wajahnya. Terkesan oleh Rosman perubahan di wajah sahabatnya itu.

“Kau takut ke?” Soal Rosman separuh berbisik. Wajah Khairul direnungnya. Kelihatan sedikit tidak keruan sahabatnya itu.

“Isk! Apa pula kau cakap macam tu?” Balas Khairul sambil mencebik ke arah sahabatnya itu. Pandangan kemudian dilemparkan ke tengah tasik.

“Orang tua-tua kata tak elok keluar waktu-waktu bulan mengambang.” Tambah Rosman lagi. Niatnya hanya mahu mengusik Khairul yang sudah terkesan sedikit riak takut di dalam bicaranya.

“Isk! Mana ada aku takut. Bukankah kita dah selalu menghadapi benda-benda macam ni.” Jawab Khairul. Wajahnya kelihatan tidak senang dengan kata-kata Rosman. Rosman tersenyum memandang ke wajah Khairul. Dia tahu Khairul agak tersinggung dengan kata-katanya. Pasti Khairul merasakan Rosman memandang rendah akan keberanian yang dimilikinya.

“Kau janganlah terasa hati dengan aku Rul. Aku tak berniat langsung nak menyinggung perasaan engkau. Aku sekadar nak mengusik engkau saja.” Rosman menerangkan keadaan yang sebenarnya. Tidak mahu mengeruhkan hubungan persahabatan mereka yang sudah lama terjalin.

“Tak apalah Man, aku faham. Dah berapa lama kita berkawan? Takkanlah aku tak faham-faham sikap kau lagi.” Khairul cuba melindungkan rasa kecil hatinya dengan memberikan jawapan sebegitu sambil mengukir senyum. Rosman turut sama tersenyum.

**************

WAKTU terus berlalu. Khairul melihat jam yang melingkar kemas di pergelangan tangannya. Bantuan lampu suluh memang tidak diperlukan ketika ini, cukup dengan cahaya bulan yang menyinar terang. Jarum panjang menunjukkan ke angka enam manakala jarum pendek menunjukkan ke angka tiga.

“Dah tiga setengah ni Man. Dah tidur ke ikan-ikan ni semua agaknya. Langsung tak ada getar tali pancing kita tu. Atau umpan kita yang tak sesuai ke?” Khairul melahirkan rasa tidak puashatinya. Tidak pernah pula mereka menghadapi situasi sebegini sebelum ini.

“Apa pula umpan tak sesuainya. Selalu kita guna umpan yang sama juga. Tak pernah pula kita balik dengan tangan kosong. Kalaupun tak banyak, dua tiga ekor tetap ada.” Balas Rosman. Terasa geli hati juga dia dengan sikap Khairul yang agak tidak sabar malam ini.

Alunan ayat suci dari telefon bimbit Khairul tiba-tiba terhenti. Pantas Khairul menekan-nekan butang kekunci. Skrin kelam. Tiada sebarang cahaya atau tulisan yang tertera di skrin telefonnya.

“Argh! Bateri habis pula.” Getusnya sambil menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam saku seluar. Dicapai beg sandangnya yang diletakkan tidak jauh dari tempat dia melabuhkan punggung. Zip beg dibuka dan tangannya meraba-raba ke dalam beg mencari sesuatu. Wajahnya berubah. Mungkin barang yang dicarinya tidak ditemui.

“Kau cari apa Rul?” Soal Rosman apabila dilihatnya wajah sahabatnya itu berubah selepas tidak menjumpai apa yang dicarinya di dalam beg yang dibawanya.

“Aku cari bateri ‘spare’. Tak ada pula. Kalau tak silap, ada aku masukkan dalam beg ni tadi.” Nada suara Khairul kedengaran sedikit kecewa.

“Entah-entah kau lupa nak masukkan tak?” Rosman meneka. Jika tidak, tentu barang yang dicari mudah sahaja ditemui. Beg sandang Khairul itu tidaklah sebesar mana.

“Aku rasa aku dah masukkan tadi. Tak mungkin aku lupa pula. Benda penting tu.” Balas Khairul. Memang setiap kali mereka pergi memancing, Khairul tidak pernah lupa membawa bateri gantian untuk telefon bimbitnya.

“Tak apalah Rul. Kalau kau nak buat panggilan, kau guna ajelah telefon aku ni ha!” Rosman menyuakan telefon bimbit kepunyaannya ke arah Khairul.

“Tak apalah Man. Aku bukan nak buat panggilan kepada sesiapapun. Aku cuma nak mainkan bacaan ayat Quran tadi je.” Jawabnya sambil tersenyum. Rosman turut tersenyum memandang sahabatnya itu.

Dua sahabat itu mendiamkan diri. Suasana kembali dibalut sunyi. Hanya nyanyian unggas rimba mengiringi pergerakan waktu yang terasa begitu perlahan. Hembusan bayu yang semakin dingin membuatkan kelopak mata yang sudah terasa mengantuk menjadi semakin memberat.

“Man, kita biar ajelah joran kita kat situ. Aku rasa nak tidur kejap. Mengantuk sangat pula rasanya ni. Kau pun tidurlah juga. Aku tengok dah banyak kali kau menguap.” Khairul memberikan cadangannya apabila dilihatnya Rosman sudah terkuap beberapa kali. Rosman membalas pandangan Khairul lalu mengangguk tanda setuju dengan cadangan sahabatnya itu.

Pintu khemah kecil yang telah didirikan semenjak petang tadi dikuak sedikit oleh Khairul. Kemudian dia berpaling dan membetulkan sedikit jorannya. Rosman yang telah siap membetulkan kedudukan jorannya masuk ke dalam khemah. Perbuatannya itu kemudian diikuti oleh Khairul. Mereka merebahkan diri bersebelahan. Tanpa sempat bersembang, kedua-duanya hanyut di alam lena.

Tiba-tiba Khairul merasa kedinginan yang amat sangat. Dirabanya ke kanan dan ke kiri. Tak terasa tersentuh tubuh Rosman oleh tangannya. Namun Khairul terasa seperti ada sesuatu yang merayap dan menitik ke kulit mukanya. Panas. Lekit. Terasa geli.

Khairul meraba mukanya. Jemarinya terpegangkan sesuatu. Terasa sesuatu yang lembut dan lekit. Kelopak matanya yang berat dibuka. Khairul menjerit dan pandangannya terus kelam.

**********

MALAM menutup tirai. Rosman tersedar dari lena apabila terdengar alunan azan subuh dari telefon bimbitnya. Dia telah menetapkan azan mengikut waktunya di telefon bimbitnya itu menggunakan perisian yang didapati sewaktu melayari internet di pejabatnya beberapa bulan yang lalu.

“Rul, bangun. Dah subuh dah ni.” Tanpa menoleh, Rosman mengejutkan Khairul sambil tangannya meraba ke arah tempat tidur sahabatnya itu. Terasa kosong. Rosman segera berpaling.

“Dah bangun dulu budak ni rupanya.” Getus Rosman sendirian. Perlahan dia bangun dan keluar dari khemah. Dipandangnya ke sekeliling. Kelibat Khairul tidak kelihatan. Rosman berjalan ke arah tasik, mencuci muka dan mengambil wuduk. Dia lalu segera mendirikan solat Subuh.

Selesai menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah, Rosman mengambil jorannya yang dibiarkan terpacak di tebing tasik. Dipusingnya pemegang mesin perlahan. Tali tergulung semula. Ditukarkannya umpan yang masih bersisa di mata kail dan dilempar kembali mata kail itu ke tengah tasik. Joran yang sudah berumpan baru dipacakkan semula ke tanah.

Rosman menghidupkan semula unggun api yang sudah terpadam. Cerek yang masih lagi berbaki air di dalamnya diletakkan di atas batu yang dijadikan tungku di sekeliling unggun api tersebut. Air tersebut dibiarkan mendidih seketika sebelum membancuh kopi.

Air kopi yang masih berasap dituangkan ke dalam cawan yang turut dibawa. Dikeluarkan juga sebuku roti manis dari dalam bekas yang memang dikhaskan untuk mengisi bekalan makanan. Rosman membawa kopi dan roti tersebut ke tepi tebing. Walaupun sekadar roti dan kopi namun terasa nikmatnya makanan itu di dalam keadaan perut lapar setelah semalaman tidak menjamah makanan.

*************

ROSMAN memandang lagi ke sekeliling. Sudah setengah jam Rosman duduk di tepi tebing namun masih tidak kelihatan kelibat Khairul. Rosman merasa sedikit pelik.

“Mana pula perginya si Khairul ni. Buang air ke? Takkan lama sangat.” Rosman tertanya-tanya.

Dia bangun dan pergi melihat-lihat di celahan pokok yang berada berhampiran tasik. Sambil mencari-cari, Rosman memanggil nama Khairul namun tiada jawapan yang diterimanya. Rosman bertambah pelik. Dia terus mencari di kawasan sekitar itu sambil mulutnya tidak henti-henti menyeru nama Khairul.

Rosman masuk lebih dalam sedikit lagi ke celah rimbunan pokok-pokok besar yang ada di sekeliling tasik. Hampir sahaja Rosman tersungkur mencium tanah apabila tiba-tiba kakinya tersepak sesuatu. Dia lantas berpaling. Matanya tertancap ke arah banir sebatang pokok yang besar. Rosman sedikit terkejut apabila terpandangkan tubuh Khairul yang mengerekot di situ.

“Rul! Rul! Bangun. Apa kau buat tidur kat sini.” Rosman menggoncang badan Khairul untuk menyedarkannya. Senyap. Tiada jawapan mahupun pergerakan. Rosman menggoncangkan badan Khairul lagi. Masih sama. Diletakkannya jari ke hidung Khairul. Ada desah nafas. Dirasanya leher Khairul, ada terasa denyut nadinya. Cuba dikejutkannya lagi namun Khairul masih juga tidak sedar. Rosman agak panik.

Rosman mengumpulkan air embun yang berada di hujung daun lalu disapukannya air dingin itu ke muka Khairul. Masih tiada pergerakan. Rosman bertambah panik. Dicempungnya tubuh Khairul lalu dibawa balik ke khemah. Dicapai telefon bimbitnya yang ditinggalkan di dalam khemah lalu segera mendail nombor telefon kecemasan. Setelah memberikan butir-butir yang diminta, Rosman mematikan panggilan.

************

LEBIH kurang setengah jam menunggu, pihak polis tiba bersama anggota jabatan pertahanan awam. Keadaan Khairul diperiksa dan diberi rawatan segera. Khairul yang masih tidak sedarkan diri dihantar ke hospital.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak hospital untuk menyedarkan Khairul namun tiada perubahan yang berlaku. Pelbagai ujian dilakukan namun tiada sebarang penyakit yang dapat dikesan. Akhirnya selepas seminggu berada di hospital, doktor yang bertanggungjawab merawat Khairul mencadangkan agar dia dibawa pulang ke rumah untuk mendapatkan rawatan tradisional.

“Encik Rosman, saya ni seorang doktor yang berpegang kepada fakta sains tapi sebagai orang melayu, saya juga mempercayai kaedah tradisional. Saya rasa elok Encik Khairul dibawa balik dan cuba diubati mengikut cara tradisional pula.” Doktor Affendi yang berusia lingkungan empat puluhan yang merawat Khairul itu memberikan pandangan peribadinya.

“Kalau doktor dah cakap begitu saya akan ikhtiarkan cara kampung pula.” Jawab Rosman yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga Khairul sendiri.

Khairul dibawa pulang ke rumah setelah mendapat nasihat doktor yang merawatnya. Keluarganya telah mendapatkan khidmat seorang perawat tradisional untuk merawat Khairul. Menurut perawat tersebut, Khairul telah diganggu penunggu tasik.

Dengan izin Allah, setelah dirawat selama tiga hari dengan bantuan ayat-ayat suci Al-Quran dan pelbagai petua, Khairul telah mulai sedar. Namun begitu, dia tidak mampu menceritakan pengalamannya sebelum tidak sedarkan diri.

Tiada siapa yang tahu bagaimana rupa penunggu tasik yang telah dilihat oleh Khairul sebelum pengsan. Perkara tersebut terus kekal terpendam menjadi rahsia di dalam hati Khairul. Namun begitu, hobi memancingnya masih tetap diteruskan sehingga ke hari ini.
.