Tuesday, May 04, 2010

Tangisan Di Tanah Perkuburan

Panggilan telefon yang diterima Ustaz Kamal lewat malam semalam membawa berita yang kurang enak. Sepupunya yang telah lama menetap di Kampung Batu ternyata ditimpa musibah. Mengucap panjang Ustaz Kamal tatkala mendengar perkhabaran itu. Segera dia memberi persetujuan untuk ke sana keesokan harinya.

Usai menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah pada subuh yang hening itu, Ustaz Kamal bertolak ke Kampung Batu. Hanya sepasang pakaian yang dibawa bersama. Ustaz Kamal bercadang hendak terus balik semula ke rumahnya setelah selesai tugasnya nanti.

Ketika Ustaz Kamal tiba di sana, keadaan di Kampung Batu tidaklah setenang hembusan angin yang bertiup lembut di waktu petang. Kampung yang belum diusik pembangunan ini menyimpan rahsia pegangan segelintir penduduknya yang masih mengagungkan perbuatan syirik dan bertentangan dengan islam.

“Assalamualaikum.” Tok Penghulu yang sedang berbual-bual dengan Pak Imam di dalam masjid sementa menunggu masuk waktu Zohor dikejutkan dengan huluran salam. Mata keduanya melirik ke arah pemilik suara tersebut. Sedikit terkejut keduanya dengan kedatangan Ustaz Kamal ke kampung mereka.

“Walaikumsalam. Oh! Ustaz Kamal rupanya. Bila sampai?” Tanya Pak Imam. Pemuda yang dipanggil Ustaz Kamal itu lantas menghulurkan tangan bersalaman dengan Tok Penghulu dan Pak Imam. Segera huluran tangannya disambut oleh kedua orang kuat kampung itu dengan senyuman tersungging di bibir masing-masing.

“Baru saja saya sampai Pak Imam, Tok Penghulu. Saya bercadang nak ke rumah sepupu saya melihat keadaan anaknya yang khabarnya sedang sakit terkena buatan orang di hilir kampung ni.” Ustaz Kamal menceritakan tujuannya datang ke kampung itu sebaik duduk di hadapan Pak Imam dan Tok Penghulu. Perlahan songkok yang dipakainya diletakkan di atas peha.

“Anak dara Sarip yang baru habis SPM tu ke?” Pak Imam bertanya sekadar untuk kepastian. Memang ada khabar angin yang telah sampai ke pendengarannya. Ustaz Kamal hanya mengangguk tanda mengiakan pertanyaan Pak Imam.

“Syukurlah cepat perasannya. Bolehlah kita berusaha mengubatinya Kalau tidak, tak tahulah apa akan jadi pada budak tu. Muda lagi budak tu, masih panjang lagi perjalanan hidupnya.” Tutur Ustaz Kamal. Tok Penghulu memandang tepat ke wajah Ustaz Kamal. Dari riak wajahnya seolah tersimpan satu rahsia yang ingin dikongsikannya bersama Ustaz Kamal.

“Beginilah Ustaz. Nanti lepas dah selesai urusan ustaz di rumah Sarip tu, ustaz datanglah ke rumah saya. Ada sesuatu yang saya nak ceritakan pada ustaz. Kalau boleh, saya nak minta bantuan ustaz menangani masalah ni.” Ujar Tok Penghulu. Pandangan matanya penuh mengharap.

“Insyaallah Tok. Kalau tak ada yang menghalang urusan saya nanti, sampailah saya ke rumah Tok.” Ustaz Kamal memberi janjinya pada Pak Imam. Tidak sampai hati pula rasanya hendak menghampakan permintaan Tok Penghulu.

“Biasanya Maghrib dan Isyak saya akan berjemaah di masjid.” Tutur Tok Penghulu. Ustaz Kamal dan Pak Imam mengangguk tanda faham maksud Tok Penghulu. Ustaz Kamal memakai songkoknya semula lalu bangun dari silanya setelah Bilal mula melaungkan azan. Ketiga-tiga mereka turun ke kolah untuk berwuduk sebelum menunaikan solat Zohor berjemaah.

“Saya minta diri dulu Pak Imam, Tok Penghulu.” Ustaz Kamal bersalaman dengan Tok Penghulu dan Pak Imam sebelum meninggalkan masjid. Keretanya yang diletakkan di perkarangan masjid lalu dipandu keluar menuju ke hilir Kampung Batu. Tujuannya hanya satu, hendak membantu anak sepupunya yang sedang ditimpa masalah.

Ketika sampai di rumah Sarip, kelihatan sepupunya itu sedang duduk termenung di serambi rumah. Sebaik terlihat kereta Ustaz Kamal memasuki perkarangan rumahnya, segera Sarip turun ke halaman menyambut kedatangan sepupunya itu. Mereka berbual-bual dahulu di serambi rumah mengenai musibah yang sedang dihadapi. Mereka berhenti berbual apabila azan Asar yang dilaungkan dari Masjid Kampung Batu berkumandang di serata pelusuk kampung. Selepas menunaikan solat, Ustaz Kamal memulakan rawatan ke atas anak sepupunya itu. Berkat doa yang tidak putus dan redha dari Allah, anak sepupunya itu berjaya diubati.

“Alhamdulillah bang, berkat doa kita semua dan izin Allah, berjaya kita membuang sihir yang dikenakan pada anak abang ni. Syukur kepada Allah.” Ujar Ustaz Kamal kepada sepupunya itu. Sarip merupakan anak kepada kakak sulung ibunya, berkahwin dengan orang Kampung Batu. Selepas pencen dari perkhidmatan polis, dia membawa keluarganya pulang ke situ mendiami rumah pusaka peninggalan mertuanya.

“Alhamdulillah. Terima kasih Mal.” Sarip memeluk Ustaz Kamal tanda berterima kasih atas bantuan sepupunya itu.

“Semua tu kuasa Allah bang. Saya hanya membantu saja.” Ustaz Kamal sekadar tersenyum. “Dah hampir maghrib ni, biarlah saya minta diri dulu bang.” Tambahnya lagi.

“Tidurlah di sini malam ni. Bolehlah kita bercerita panjang.” Sarip mempelawa sepupunya itu. Terasa terhutang budi Sarip sekeluarga dengan bantuan yang dihulurkan oleh Ustaz Kamal. Beruntung dia mempunyai sepupu yang mempunyai kelebihan dalam hal-hal perubatan tradisional ini.

“Tak apalah bang, saya ada urusan lain nak dilakukan. Lain kali jika berkesempatan, sampailah saya ke mari.” Ustaz Kamal bersalaman dengan sepupunya itu lalu memandu menuju ke masjid. Sewaktu keretanya memasuki perkarangan masjid, bilal sedang mengalunkan azan Maghrib. Kelihatan Tok Penghulu sedang mengambil wuduk di kolah masjid. Ustaz Kamal lantas menyertai Tok Penghulu mengambil wuduk dan menunaikan solat Maghrib bersama jemaah yang lain. Selesai menunaikan solat Maghrib, Ustaz Kamal berbual-bual dengan Tok Penghulu sementara menunggu waktu Isyak. Tok Penghulu lantas menceritakan hajatnya. Ustaz Kamal agak terkejut mendengar cerita Tok Penghulu. Wajahnya sedikit berubah.

“Ustaz tak percaya cerita saya ke? Tak mengapa, lepas solat Isyak nanti saya bawa Ustaz ke kawasan perkuburan. Kebetulan malam ni malam Jumaat dan kebetulan juga ada anak dara sulung dari ibu sulung yang baru meninggal di kampung ni semalam. Bolehlah Ustaz saksikan sendiri.” Ujar Tok Penghulu. Ustaz Kamal hanya mengangguk dan melemparkan senyuman.

Suasana malam agak tenang. Angin malam berhembus lembut dan menyegarkan. Tidak lama kemudian kedengaran bilal melaungkan azan Isyak pula. Selesai azan dilaungkan, semua jemaah memenuhi saf menunaikan solat Isyak. Begitu juga dengan Tok Penghulu dan Ustaz Kamal. Mereka turut serta memenuhkan saf.

Selesai solat Isyak, Tok Penghulu membawa Ustaz Kamal ke kawasan perkuburan yang terletak di hujung kampung. Kawasan perkuburan yang terletak agak jauh dari rumah penduduk kampung dan dikelilingi oleh pokok-pokok getah milik penduduk kampung itu kelihatan sunyi. Tok Penghulu lantas mengarahkan Ustaz Kamal menyorok di celahan pokok renek yang terdapat berdekatan kubur anak dara yang baru semalam dikebumikan itu sementara Tok Penghulu sendiri menyorok di sebalik pokok bunga kertas yang ditanam di tepi kubur yang terletak tidak jauh dari situ.

Sesekali terdengar bunyi burung jampuk dari atas dahan pokok getah di keliling kawasan tersebut yang diselang-selikan dengan bunyi lolongan anjing liar dari hutan kecil berhampiran. Bunyi unggas malam bersahutan menjadi irama alam yang syahdu. Setelah menunggu lebih setengah jam, kelihatan dua orang lelaki berpakaian serba hitam berjalan menghala ke arah kubur tersebut membawa cangkul dan sebuah beg jinjing. Ustaz Kamal terus memerhati. Dia sudah dapat meneka apa yang hendak dilakukan oleh kedua orang lelaki berpakaian serba hitam itu.

Apabila sampai di kubur anak dara tersebut, lelaki berpakaian serba hitam tanpa berlengah terus sahaja menggali kubur tersebut. Setelah sampai ke liang lahat, mayat anak dara tersebut dibawa naik ke atas. Ustaz Kamal sekadar melihat lelaki berpakaian serba hitam tersebut membuka kain kapan yang membaluti mayat tersebut. Ustaz Kamal hendak keluar dari tempat persembunyiannya untuk menghalang perbuatan kedua-dua lelaki tersebut namun Tok Penghulu mengisyaratkan agar Ustaz Kamal membiarkannya sahaja dan hanya terus memerhati. Ustaz Kamal merasa sedih dan kasihan melihat mayat itu diperlakukan yang tidak sepatutnya.

Salah seorang dari lelaki berpakaian serba hitam itu lantas menyalakan sebatang colok dan dua batang lilin. Setelah lilin dipasang, lelaki tersebut membaca mantera. Seketika kemudian angin bertiup kencang di sekitar kawasan tersebut namun lilin yang dipasang terus menyala. Petir berdentum seolah-olah tempat tersebut dilanda ribut namun hujan yang turun hanyalah renyai-renyai sahaja.

Tiba-tiba Ustaz Kamal melihat mayat anak dara tersebut terapung di udara dan kemudian mayat tersebut berpusing membalikkan diri. Kelihatan wajah mayat tersebut menghala ke tanah. Lelaki berpakaian serba hitam mengambil lilin yang sudah dinyalakan tadi lantas meletakkannya di bawah dagu mayat tersebut.

Ketika lelaki berpakaian serba hitam itu membakar dagu mayat anak dara tersebut, tiba-tiba kedengaran suara tangisan seperti orang yang di dalam kesakitan meminta tolong. Bila Ustaz Kamal mengamati tangisan tersebut, rupanya tangisan tersebut daripada mayat anak dara tersebut. Lelaki berpakaian serba hitam terus membakar dagu mayat anak dara tersebut sehingga mengeluarkan minyak. Setelah minyak yang menitik telah cukup memenuhi bekas yang digunakan untuk menadah, lelaki berpakaian serba hitam itu lantas berhenti membakar dagu mayat tersebut.

Mayat anak dara tersebut yang terapung tadi dijatuhkan semula ke atas tanah dan kedua-dua orang lelaki berpakaian serba hitam itu lantas membawa semua perkakas yang dibawanya meninggalkan kawasan itu. Ustaz Kamal dapat melihat kedua-dua orang lelaki itu hilang hanya selepas beberapa langkah meninggalkan mayat itu. Mayat anak dara itu pula dibiarkan begitu sahaja di situ tanpa bertutup dan tidak dimasukkan semula ke dalam kubur. Tangisan dari mayat anak dara itu masih kedengaran menyelubungi kawasan perkuburan di tengah malam yang hening itu.

Setelah pasti kedua-dua lelaki berpakaian serba hitam itu pergi dari kawasan itu, Ustaz Kamal dan Tok Penghulu lantas keluar dari tempat persembunyian mereka. “Tok, zalim sungguh mereka membiarkan mayat tu tak bertutup begitu aje.” Ustaz Kamal bersuara. “Kenapa Tok tak benarkan saya keluar menghalang perbuatan dua orang lelaki tadi Tok?” Soal Ustaz Kamal tegas.

“Ustaz nampak mereka berdua aje tapi mana kita tahu, mungkin mereka ramai di situ. Ilmu hitam sebegini tentu ada pendampingnya ustaz. Saya takut ustaz tak mampu melawan mereka.” Tok Penghulu menjelaskan kepada Ustaz Kamal. Ustaz Kamal memandang Tok Penghulu tanda faham.

“Beginilah Tok, elok kita panggil beberapa orang kampung untuk membantu mengkebumikan semula mayat ni Tok. Biarlah saya tunggu di sini. Tok pergilah panggil orang kampung.” Ustaz Kamal meminta Tok Penghulu memanggil beberapa orang kampung untuk mengkebumikan semula mayat anak dara tersebut. Sementara Tok Penghulu pergi memanggil beberapa orang penduduk kampung, Ustaz Kamal menunggu di situ untuk menjaga sekiranya ada anjing liar yang datang untuk memakan mayat tersebut.

Suasana di kawasan perkuburan itu semakin sunyi. Lolongan anjing semakin galak. Ustaz Kamal membaca ayat-ayat al-quran dan menutup semula mayat anak dara itu dengan kain kapan yang telah dibuka tadi. Tangisan dari mayat itu terhenti setelah tubuhnya ditutupi oleh kain kapan tersebut.

Tidak lama kemudian, Tok Penghulu sampai semula di kawasan perkuburan tersebut bersama beberapa orang kampung. Mayat tersebut dimasukkan semula ke dalam liang lahat dan kuburnya dikambus semula seperti sebelum digali oleh kedua-dua orang lelaki berpakaian serba hitam tadi.

Selepas selesai mengkebumikan semula mayat anak dara tersebut, mereka semua pulang ke kampung dan berkumpul di masjid. Tok Penghulu menerangkan kejadian yang berlaku kepada penduduk kampung yang membantu dan meminta mereka tidak menghebohkan kejadian tersebut untuk menjaga kehormatan keluarga mayat anak dara tersebut. Setelah itu mereka semua pulang ke rumah masing-masing.

Ustaz Kamal meminta izin Tok Penghulu untuk pulang ke rumah namun Tok Penghulu mengajak Ustaz Kamal bermalam di rumahnya sahaja. “Pagi-pagi esok sahajalah ustaz balik. Malam ini bermalam di rumah saya sahajalah ustaz.” Pelawa Tok Penghulu.

“Tak apalah Tok, nanti menyusahkan Tok saja. Biarlah saya balik sahaja. Lagipun bukannya jauh sangat kampung saya dari sini.” Balas Ustaz Kamal.

“Mana ada menyusahkan. Kalau nak diikutkan saya yang dah menyusahkan ustaz tadi. Marilah ustaz, singgah ke rumah saya.” Tok Penghulu memandang Ustaz Kamal dengan wajah mengharap. Ustaz Kamal lantas bersetuju dengan pelawaan Tok Penghulu apabila dilihatnya wajah Tok Penghulu seperti itu. Mereka lantas berjalan ke rumah Tok Penghulu yang terletak tidak jauh dari masjid.

Pada malam itu Ustaz Kamal bermalam di rumah Tok Penghulu. Selepas menunaikan solat subuh keesokan harinya Ustaz Kamal bertolak balik ke kampungnya. Kedua-dua lelaki yang berpakaian serba hitam yang melakukan kerja syirik dengan menyiksa mayat anak dara di kawasan perkuburan malam tadi menghilangkan diri begitu saja dan tiada seorangpun yang tahu dari mana mereka datang dan ke mana mereka menghilang.

Airmata Kekasih

Dia masih diam berteleku di atas batu di hujung pantai yang semakin sunyi. Di situlah tempat dia memberi sumpah dan janji akan setia. Dan akhirnya kesetiaan yang dijanjikan itu dikhianatinya sendiri. Dan kini dia kembali untuk menebus kekhilafannya namun sayang, ternyata dia terlewat.


*******************

“Sal jangan risau, abang pergi demi untuk kebahagiaan masa depan kita.” Salbiah hanya tertunduk menahan airmata dari mengalir. Salbiah sememangnya tidak rela melepaskan Fikri ke bandar. Dia takut Fikri akan berubah hati seperti kebanyakan drama yang ditontonnya di televisyen.

“Tapi Sal risau. Sal risau abang akan berubah hati. Sal tahu di bandar tu ramai gadis-gadis cantik dan berpelajaran tinggi. Sal ni apalah yang ada.” Fikri menggenggam jemari gadis itu. Diseka airmata yang mengalir di pipi gadis itu dengan hujung jarinya.

“Sal jangan cakap macam tu. Abang berjanji akan setia pada cinta kita. Bila abang dah cukup duit, abang akan minta mak dan ayah abang bincangkan hal majlis perkahwinan kita dengan keluarga Sal. Kita akan hidup bahagia bersama.” Salbiah cuba mengukir senyum dengan janji yang diberikan oleh lelaki itu. Fikri sudah bertekad untuk meninggalkannya di situ. Mahu tidak mahu Salbiah terpaksa menerima keputusan yang telah Fikri buat.

“Sal harap abang akan tepati janji abang. Sal akan setia menunggu abang di sini.” Salbiah cuba mengukir senyum namun ketara senyuman itu tidak mampu menutup perasaan ragu yang bersarang di hatinya. Jemari yang kemas berada di dalam genggaman Fikri ditarik perlahan. Terkedu lelaki itu dengan tingkahnya.

************************

Dia meraup muka. Lautan yang luas masih menjadi santapan matanya. Ombak yang bergelora, tak ubah seperti perasaannya tika itu. Rasa bersalah, sedih, menyesal semua bercampur menjadi satu. Kesal dia mempermainkan perasaan seorang gadis yang begitu menyayanginya. Seorang gadis yang tidak peduli akan kemiskinannya. Seorang gadis yang sanggup menerima apa saja keputusannya.

************************

Fikri berjaya mendapat pekerjaan yang baik di bandar. Sungguh-sungguh dia bekerja berdasarkan niat hendak mengumpul duit secukupnya agar gadisnya yang ditinggalkan di kampung akan menjadi miliknya secepat mungkin. Namun, takdir tuhan mengatasi segala. Fikri berubah. Semuanya kerana kehadiran Alyssa di dalam hidupnya. Gadis bandar yang bijak bergaya, punya pekerjaan yang menjamin masa depan dan sangat menggoda.

Fikri semakin melupakan kewujudan Salbiah yang setia menunggunya. Dia alpa dengan cinta bertunjangkan nafsu bersama Alyssa. Hidupnya bahagia dalam kekaburan. Bahagia dalam kenikmatan dunia. Bahagia dalam dosa hingga sanggup memutuskan ikatan pertunangan dengan Salbiah yang terus setia menunggunya di kampung.

**************************

Semalaman Salbiah menangis. Semenjak keluarga Fikri pulang dari membawa perkhabaran yang tidak terduga itu, Salbiah mengurung diri di dalam bilik. Keraguannya akhirnya menjadi nyata. Fikri telah melupakannya bersama segala janji-janji yang telah mereka meterai bersama.

Puas Salbiah merenung diri. Ditilik apa kesilapan yang telah dilakukan hingga menyebabkan dia terhukum sebegitu. Tiada ternampak akannya sebarang kesilapan. “ Apa dosa aku ya Allah.... hingga aku terhukum begini?” Lemah ungkapan itu terluah dari bibirnya.

Dibawa langkah kaki ke sudut bilik. Meja solek yang menghuni sudut itu dihampiri. Kerusi yang kemas tersisip di bawah meja ditarik keluar. Punggung dilabuhkan di atasnya. Pantas jemarinya menarik laci yang tertutup rapat. Sebuah album yang merakam seribu kenangan manis waktu jari manisnya disarungkan cincin ditarik keluar. Diselak satu persatu helaiannya. Ditatap semula riak gembira yang terpancar di wajahnya waktu itu. Dialihkan pandangan ke cermin yang berada di hadapannya. Berbeza sungguh imej wajahnya yang terbias ketika ini.

Helaian demi helaian diselak perlahan. Ada sendu mengiringi. Ada rawan yang ditangisi di hati. Pilu di hati tidak dapat diselindungkan lagi. Berderai airmatanya lagi. Helaian terakhir yang kemas di pegangan ditutup semula lalu disimpan di tempat asalnya. Ditutup kembali laci itu dan kaki terus melangkah membawa diri ke katil kayu yang kemas berbalut cadar berwarna biru. Tubuh dibaringkan perlahan di atas tilam. Bantal bersarung warna sama dicapai dari susunannya lalu diletak perlahan mengalas kepala. Mata dipejam rapat dengan harapan kesedihan yang sedang ditanggung akan hilang sebaik mata kembali dicelikkan nanti.

***********************

“Kita putus.” Fikri terkedu. Tidak disangka lamarannya ditolak oleh Alyssa yang dibangga-banggakannya malahan perhubungan mereka yang sudah tidak mengenal halal haram itu turut musnah.

“But why Lyssa? I nak bertanggungjawab atas perbuatan kita. Bukankah you kata you cintakan I?” Cuba dipujuk gadis itu namun sia-sia. Hanya ungkapan yang lahir dari bibir Alyssa yang menyedarkan betapa bodohnya dia.

“You ingat you boleh menumpang harta kekayaan keluarga I hanya dengan pengakuan I cintakan you? You silap Fikri. I bukan bodoh. You tak layak menjadi suami I. You hanya orang kampung yang makan gaji dengan papa I. You hanya layak dengan gadis kampung yang pernah jadi tunang you dulu.” Serta-merta wajah Salbiah muncul di fikirannya. Terasa menyesal meninggalkan gadis itu dahulu.

Fikri terduduk di kerusi. Alyssa sudah hilang dari pandangan. Jambangan bunga dan kotak baldu berisi sebentuk cincin masih berada di atas meja. Mata-mata pelanggan restoran mewah itu yang menala kepadanya tidak diendahkan. Perlahan dia bangun. Beberapa keping not lima puluh ringgit ditarik keluar dari dompetnya lalu ditinggalkan di atas meja. Kotak cincin diambil lalu digenggam. Langkah diatur meninggalkan tempat itu.

Hatinya nekad. Dia akan kembali ke pangkuan Salbiah untuk menuntut kemaafan dan kembali menyambung cinta yang telah terputus. Kotak cincin yang berada digenggamannya dipandang. Senyuman diukir. Terbayang cincin itu tersarung di jari manis Salbiah.

***********************

Riuh rendah suara kanak-kanak berkejaran di halaman. Kerusi meja yang tersusun kemas di bawah khemah berwarna putih merah sudah dipenuhi tetamu. Pelaminan yang cantik terhias di serambi rumah kayu bertangga batu itu menjadi perhatian. Sepasang mempelai kelihatan sepadan bergandingan di atasnya. Tersenyum simpul diusik sanak saudara yang sedang menepung tawar.

Seraut wajah yang sentiasa menghantui siang dan malamnya menjadi perhatian. Ditatap tanpa berkelip seraut wajah yang kelihatan berseri itu dari kejauhan. Jauh di sudut hatinya menyesali akan kekhilafan yang pernah dilakukan terhadap pemilik wajah itu. Diseka airmata yang bergenang di tubir mata. Perlahan langkah diatur menjauh meninggalkan keriuhan itu.

************************

Panggilan telefon yang diterima siang tadi merentap semangatnya. Kerja-kerja yang sedang dilakukan terus sahaja ditinggalkan tanpa sempat untuk diselesaikan. Terkejut juga setiausahanya apabila dengan tiba-tiba dia meninggalkan pejabat tanpa sebarang pesanan. Telefon bimbit turut dimatikan. Tidak mahu menerima sebarang kejutan lagi. Sudah cukup rasanya kejutan yang diterima tadi.

Beberapa helai pakaian dari dalam almari dicapai lalu dimasukkan ke dalam beg. Disusun kemas sebelum dimasukkan ke dalam bonet kereta. Pintu rumah dirapatkan dan dikunci kemas sebelum kaki melangkah ke arah kereta yang sudah siap dihidupkan enjinnya. Tubuh diboloskan ke kerusi bahagian pemandu. Pintu kereta ditutup dan tali pinggang keledar disematkan melingkari tubuh. Perjalanan dimulakan dengan ucapan bismillah serta zikir memuji Allah mengiringinya.

Hari hampir tengah malam ketika kereta yang dipandu memasuki kawasan kampung. Sengaja dia melalui jalan yang telah lama tidak dilaluinya. Suasana sekeliling rumah kayu bercat merah bata itu kelihatan terang-benderang. Khemah-khemah telah siap dipasang. Kerusi meja telah siap disusun. Kelihatan juga beberapa orang yang mungkin saudara-mara pemilik rumah sedang memasak air di tepi rumah. Sayu hatinya memandang ke arah rumah itu lalu pandangan ditala kembali ke jalan lalu pemanduan diteruskan hingga memasuki halaman rumahnya.

*******************

Tetamu yang hadir memeriahkan majlis persandingan kedua mempelai sudah meninggalkan rumah itu setelah majlis selesai. Saudara-mara juga turut pulang ke rumah masing-masing setelah selesai mengemaskan apa yang perlu. Tinggallah Salbiah sekeluarga menghabiskan saki-baki periuk belanga yang belum bercuci.

Kemesraan pasangan pengantin baru itu diperhatikan dari kejauhan. Tidak sanggup lagi menonton adegan demi adegan. Dicapai tisu yang terletak di atas papan pemuka kereta lalu dilap airmata yang masih bersisa di pipinya. Kotak berbalut cantik di atas kerusi penumpang dipandang sepi. Enjin dihidupkan lalu kereta meluncur perlahan meninggalkan rumah itu.

*******************

Ombak yang menghempas ke batu seolah badai yang menghempas di pantai hatinya. Laut yang bergelora seakan perasaannya yang berkocak hebat di dalam. Seribu penyesalan yang bertandang di hatinya sudah tidak berguna lagi. Dia sudah kehilangan insan yang sangat dicintainya.

Kenangan indah waktu bersama terimbas lagi di matanya. Mengalir lagi airmatanya walau cuba ditahan. Sungguh kehilangan ini sangat memedihkan. Mungkin inilah yang dirasai oleh Salbiah ketika dia tegar meninggalkan gadis itu untuk bersama orang lain. Hatinya menangis. Airmata penyesalannya masih mengalir di mata dan di hati.

‘Maafkan aku kekasih... Airmata ini akan sentiasa mengiringi kehidupanmu meniti bahagia.’
.