Showing posts with label cinta si tukang kasut. Show all posts
Showing posts with label cinta si tukang kasut. Show all posts

Sunday, October 10, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 14



PAGI itu Neija kelihatan agak berlainan daripada selalu. Di tubuhnya tersarung sepasang baju kurung berbunga biru yang agak longgar. Tidak seperti kebiasaannya yang lebih gemar memakai kebaya mengikut potongan badan yang menampakkan susuk tubuhnya yang langsing. Di tangannya terjinjit beg plastik berisi sepasang kasutnya yang rosak.

Sejak malam tadi Neija sudah merancang idea ini. Dia ingin segera menjalankan rancangannya untuk mendekati Shah. Hatinya sakit bila melihatkan kemesraan Shah melayan Zaila, si tukang cuci itu. Di dalam hatinya penuh dengan kebencian. Seharusnya layanan baik dan mesra itu untuk dia. Bukannya untuk si tukang cuci yang tidak punya apa-apa kelebihan itu.

Dahulu Neija tidak kisah dengan keadaan itu. Sebelum dia mengetahui kelebihan yang ada pada diri si tukang kasut. Sangkanya si tukang kasut itu hanyalah seorang lelaki biasa yang tidak berpelajaran. Seorang tukang kasut yang akan meneruskan kehidupan sebagai seorang tukang kasut buat selama-lamanya.

Namun kini Neija harus pantas. Di zaman ini, lelaki seperti Shah itu sangat sukar ditemui. Seorang lelaki yang merendah diri, tidak menunjuk-nunjuk akan kelebihan yang dimilikinya serta tidak memilih orang untuk didekati. Jika dengan si tukang cuci itu, Shah boleh berkawan, tentu dengan Neija juga boleh.

Bersemangat Neija bangun pagi tadi. Seawal jam lima setengah pagi Neija sudah bangun dan menyiapkan sarapan. Pagi ini Neija membuat nasi goreng. Sengaja dia membawa sedikit dari nasi goreng yang dimasaknya itu ke pejabat untuk diberikan kepada Shah.

Neija harus menunjukkan sikap yang baik-baik sahaja kepada Shah supaya lelaki itu boleh menerima salam perkenalan daripadanya. Selepas itu nanti pandailah dia mencari jalan untuk menjauhkan Zaila daripada Shah. Biar lelaki itu hanya memandang kepadanya sahaja. Bukan kepada si tukang cuci itu.

Jam lapan pagi Neija sudah sampai di hadapan Wisma Hanija. Terjengah-jengah dia mencari Shah di tempat biasa lelaki itu membuka tapak membaiki kasut. Namun kelibat lelaki itu langsung tidak kelihatan. Neija hampa.

‘Mungkin dia belum sampai lagi agaknya. Tak apalah. Mungkin sekejap lagi adalah tu.’ Satu suara halus di dalam dirinya berkata-kata memujuk rasa resah yang menjentik hati. Langkah kaki dibawa masuk ke lobi Wisma Hanija. Terus ke mejanya. Nasi goreng yang dibawa diletakkan di atas meja manakala plastik berisi kasut yang rosak diletakkan di bawah meja.

Tidak sabar rasanya Neija menunggu Shah sampai. Sekejap-sekejap matanya melirik ke arah nasi goreng yang dibawanya. Sekejap-sekejap dia berjalan ke luar menjenguk si tukang kasut. Namun sehingga jarum jam di pergelangan tangannya menunjukkan ke angka sepuluh pagi, langsung tidak kelihatan kelibat lelaki itu. Bertambah hampa Neija. Wajahnya kelat.

Kecewa sungguh dirasakannya apabila rancangannya tidak menjadi hari ini. Ke mana pula lelaki itu pergi. Sakitkah dia? Atau lelaki itu sudah tidak mahu membuka tapak membaiki kasut lagi di situ? Persoalan demi persoalan menerjah kotak fikirannya.

Kelibat tukang cuci berbangsa India yang sedang mengelap lantai di hadapan lif di lobi itu menarik perhatian Neija. ‘Kenapa pula bukan Zaila yang mengelap lantai pagi ini. Apa yang sedang berlaku?’ Hati Neija tertanya-tanya.

Neija bangun dari kerusi yang sedang didudukinya lalu mengatur langkah ke arah tukang cuci yang sedang bersungguh-sungguh mengelap lantai. Segera dia menyapa wanita India itu sebaik tubuhnya menghampiri wanita itu.

“Kak Meena, kenapa akak yang lap lantai pagi ni? Zaila mana?” Selembut mungkin Neija mengeluarkan pertanyaan. Terasa sedikit hairan wanita India itu dengan tingkah Neija. Tidak pernah sekalipun gadis itu mahu menegurnya sebelum ini.

“Oh! Zaila ka? Dia cuti la ini hari. Balik kampung. Awak tak tahu ka?” Neija hanya terangguk-angguk dengan kata-kata yang baru menerjah ke pendengarannya itu. Kemudian, tanpa sebarang pamitan, segera dia meninggalkan wanita India itu untuk kembali semula ke mejanya.

‘Hurm… Zaila cuti balik kampung. Shah pula tak buka tapak baiki kasut hari ni. Macam berjanji pula diorang berdua ni. Tak apa. Aku akan siasat.’ Berkerut keningnya memikirkan hal itu sehingga tidak menyedari kehadiran Rizal, budak penghantar surat di hadapannya.

*****
KETIKA hampir masuk waktu solat Asar, kereta yang dipandu Pak Su Mat memasuki halaman rumah Umi dan Abi. Bergegas Umi ke muka pintu apabila terdengar bunyi enjin kereta dan hon di hadapan rumah. Shah segera turun mendapatkan Umi sebaik kereta berhenti di bawah pohon rambutan tepi halaman. Dipeluk tubuh tua Umi selepas tangan Umi disalam dan dicium.

Umi dan Abi begitu gembira sekali dengan kepulangan anak tunggal mereka ke kampung. Tambahan pula Shah pulang bersama teman. Sudah dewasa anak Umi dan Abi rupanya. Sudah pandai membawa teman wanita pulang ke kampung.

Pak Su Mat dan Mak Su Hawa ikut serta pulang ke kampung. Tidak sanggup mereka membiarkan Shah membawa pulang anak gadis orang dengan menaiki motosikalnya. Hendak disuruh menaiki bas ekspress sahaja, kasihan pula dengan Abanglong dan Kaklong yang akan terpaksa menjemput mereka di hentian bas apabila mereka sampai.

Usai bersalaman Pak Su Mat dan Mak Su Hawa dengan Umi dan Abi, Shah pula mengambil kesempatan memperkenalkan Zaila kepada mereka. Tersenyum gembira Umi apabila Zaila menyalami dan mengucup tangan Umi. Shah turut tersengih dengan penerimaan Umi dan Abi terhadap kedatangan Zaila.

Senang sungguh Umi dengan penampilan dan tingkah laku Zaila. Manis sahaja di pandangan mata Umi. Kerajinan gadis itu membantu Umi di dapur tidak menunjukkan sedikitpun rasa kekok gadis itu dengan kerja-kerja yang dilakukan. Memang sangat sesuai menjadi calon menantu.

Tidak sabar Umi hendak menerima menantu sebaik Zaila itu. Harapnya berkekalanlah hubungan Shah dan Zaila sehingga ke akhir hayat. Melalui pandangannya, Umi yakin gadis bernama Zaila itu pasti boleh membahagiakan satu-satunya anak Umi itu.

Pak Su Mat dan Mak Su Hawa juga turut berkenan dengan Zaila. Pernah juga Shah membawa Zaila pulang ke rumah Pak Su Mat untuk dikenalkan kepada mereka berdua. Gadis itu memang pandai menyesuaikan diri dan mengambil hati.

*****
MAJLIS persandingan rakan sekolah Shah di kampung tengahari itu berlangsung dengan meriah. Shah turut menghadiri majlis itu bersama Zaila, Umi dan Abi. Tidak ketinggalan juga Pak Su Mat dan Mak Su Hawa.

Ramai juga rakan sekolah Shah yang lain hadir ke majlis itu. Tertanya-tanya mereka akan gerangan gadis yang mendampingi Shah itu. Zaila tersipu malu apabila Shah memperkenalkan dirinya sebagai bakal isteri kepada rakan-rakan. Umi dan Abi juga turut bangga memperkenalkan gadis itu sebagai bakal menantu mereka kepada jiran tetangga yang bertanya.

Hati Zaila berbunga riang. Tidak disangka persetujuannya mengikut Shah pulang ke kampung mendapat restu Umi dan Abi Shah. Tidak disangka mereka menerimanya dengan baik seperti itu.

Zaila tidak menyangka hubungannya dengan Shah akan melangkah sejauh itu. Sangkanya lelaki itu hanya menganggapnya sebagai seorang kawan. Zaila sedar dirinya hanyalah seorang tukang cuci dan Shah bakal menjadi seorang eksekutif di Wisma Hanija. Namun semua itu tidak menjadi halangan kepada Shah dan keluarganya untuk menerima Zaila dengan baik.

*****
ZAILA melambai tangan ke arah kereta Pak Su Mat yang mula bergerak meninggalkan rumah yang disewa Zaila. Setelah kereta tersebut hilang dari pandangan, barulah Zaila mula melangkah masuk ke dalam rumah. Di tangan kirinya terdapat seplastik penuh buah-buahan yang dibekalkan oleh Umi Shah sebelum bertolak pulang petang tadi.

Pintu segera dikunci. Jemarinya pantas menekan suis lampu yang terletak di dinding berhampiran pintu. Suis kipas siling turut ditekan. Di dalam hatinya tertanya-tanya ke manakah kawan-kawan serumahnya pergi. Kosong dan gelap sahaja keadaan di dalam rumah.

Beg pakaian yang tergalas di bahu diletakkan di atas kerusi rotan di ruang tamu. Kakinya terus melangkah ke dapur bersama plastik berisi buah-buahan tersebut. Lampu dapur dinyalakan. Raga kecil yang elok tertangkup di atas rak pinggan dicapai lalu buah-buahan di dalam plastik dilambakkan ke dalamnya.

Raga tersebut diletakkan di atas meja makan yang terdapat di tepi dinding dapur. Tudung saji yang berada di atas meja diangkat. Langsung tiada sebarang makanan di bawahnya. Mungkin sejak siang kawan-kawan serumahnya keluar berhibur. Seperti biasa, hari Ahad memang merupakan hari mereka keluar mencuci mata.

Lampu dapur dipadamkan semula sebelum Zaila berlalu ke ruang tamu. Beg pakaiannya yang diletakkan di atas kerusi tadi dibawa masuk ke dalam bilik. Punggung dilabuhkan ke atas tilam yang berbalut cadar bercorak bunga.

Sehelai kain pasang pemberian Umi Shah dikeluarkan dari dalam beg dan diletakkan di atas tilam. Pakaian kotor dari dalam beg turut dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam bakul yang memang dikhaskan untuk pakaian yang belum bercuci. Tuala yang tersangkut di penyidai segera dicapai lalu langkah mula diatur ke bilik air.

Usai mandi dan menunaikan solat Isyak, Zaila berbaring di atas tilam sambil memegang kain pemberian Umi. Bibirnya mengukir senyum. Terasa bahagia menyelinap di hati dengan pemberian dan penerimaan keluarga Shah terhadapnya. Akhirnya Zaila terlena dengan tangannya masih lagi memegang kain tersebut dengan erat.

*****
PAK Su Mat dan Mak Su Hawa tidak habis-habis mengusik Shah di dalam kereta. Sehinggalah perjalanan mereka sampai ke destinasi, baharulah kedua suami isteri itu berhenti mengusik. Tersengih sahaja Shah tanpa mampu membalas usikan mereka.

Di dalam hatinya, Shah bersyukur kerana keluarganya menerima Zaila dengan senang hati. Sedikitpun tidak diungkit asal usul gadis itu mahupun pekerjaan yang dijawatnya. Malahan Umi dan Abi tidak segan silu memperkenalkan gadis itu sebagai bakal menantu mereka kepada jiran tetangga.

Jika cinta Shah dibalas oleh Maya dahulu, entah bagaimanalah penerimaan Umi dan Abi terhadap gadis itu. Dapatkah mereka menerima Maya seperti mana mereka menerima kehadiran Zaila agaknya. Entahkan dijegil oleh Umi gadis yang berpakaian agak seksi dan tidak memakai tudung itu sebaik sahaja turun dari kereta barangkali. Tersenyum-senyum Shah memikirkan segala kemungkinan itu.

Mujur Maya menolak cintanya dahulu. Shah tidak kesal. Cuma apa yang dikesalkan hanyalah kata-kata hinaan yang dilemparkan oleh Maya kepadanya dahulu. Tetapi semua itu rupanya mempunyai hikmah di sebaliknya.

Bermula dengan hinaan itulah Shah bertemu Zaila. Kesan daripada hinaan itulah Shah mengenali Datuk Jamal yang baik hati dan Aya yang memberitahu peluang kekosongan jawatan kepadanya. Sesungguhnya Shah berterima kasih juga dengan hinaan yang dilempar Maya kepadanya yang telah menyedarkannya tentang realiti kehidupan yang harus dihadapi tidak seindah khayalan.

Maya! Entah apa khabar gadis itu agaknya. Semenjak dilemparkan kata-kata hinaan dahulu, tidak pernah sekalipun Shah bertemu gadis itu. Namun lelaki yang mendampingi gadis itu selalu dilihat Shah di kawasan Wisma Hanija. Mungkin lelaki itu salah seorang pekerja di Hanija Engineering barangkali.

Mungkin gadis itu kini sedang bahagia bersama lelaki itu. Pangkat yang besar dan gaji yang banyak serta wajah yang tampan seperti yang dimiliki oleh lelaki itu menjadi buruan Maya. Sedangkan semua itu tiada pada diri Shah.

Shah juga telah menemui Zaila yang ikhlas menerima kekurangannya. Gadis itu tidak kisah dengan pekerjaannya. Tidak kisah akan rupa parasnya yang tidak tampan. Biarpun gadis itu hanyalah seorang tukang cuci, keikhlasan hatinya tidak diraguinya.

Tidak sabar rasanya Shah hendak menunggu siang. Esok dia akan menghadiri temuduga jawatan eksekutif pemasaran yang telah dipohon. Berkat doa dan restu Umi dan Abi serta sokongan Pak Su Mat dan Mak Su Hawa, Shah berharap akan berjaya menjawat jawatan tersebut.

Thursday, July 08, 2010

Cinta Si Tukang Kasut Bab 1


Semenjak menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengurusan Perniagaan, Shah masih belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan. Sudah puas Shah memohon pekerjaan di sektor swasta dan juga sektor awam namun nasib masih belum menyebelahinya.

Shah hanya membantu umi dan abi di kampung sementara mendapat tawaran pekerjaan yang banyak dipohonnya sebelum ini. Lahir sebagai anak tunggal di dalam keluarga, dia selesa mengisi masa lapang membantu umi dan abi. Selain itu dia juga ada membuat beberapa rekaan kasut.

Kepulangan Pak Su Mat ke kampung dua minggu lepas memberi peluang kepada Shah untuk mendapatkan pekerjaan. Walaupun pekerjaan itu tidak menawarkan gaji yang lumayan dan ruang kerja yang berhawa dingin namun Shah tidak segan silu untuk menerima tawaran tersebut.

Sudah dua minggu Shah mengikut Pak Su Mat ke bandar. Sudah dua minggu juga Shah membaiki kasut di depan Pasaraya Mesra. Dahulu Pak Su Mat yang membaiki kasut di di situ tetapi setelah Pak Su Mat mendapat peluang kerja sebagai seorang pemandu, Pak Su Mat mengamanahkan Shah untuk menggantikan tempatnya sementara mendapatkan pekerjaan yang lain.

Rasa malu ditolak jauh ke tepi. Memang diakui, rasa malu seringkali bertandang apatah lagi apabila gadis yang dipujanya dalam diam kadangkala menjeling jijik kepadanya. Mungkin pekerjaan sebagai tukang kasut dianggap pekerjaan yang tiada kelas dan masa depan. Pekerjaan yang tidak menjanjikan pulangan yang lumayan. Pekerjaan yang tidak mampu memberikan kesenangan.

Sebagai seorang graduan yang memiliki ijazah, sudah semestinya mengharapkan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan yang dimiliki. Begitu juga dengan harapan umi dan abi yang bersusah payah menghantarnya belajar hingga tamat. Sudah semestinya umi dan abi mengharapkan anak mereka mendapat pekerjaan yang baik dan membanggakan.

Mujur umi dan abi memahami kesusahan mendapat pekerjaan pada zaman sekarang. Ramai juga graduan lepasan universiti tempatan yang terkenal mahupun luar negara yang masih lagi tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka. Terlalu banyak persaingan dan disebabkan itu jugalah umi dan abi merestui pekerjaannya kini.

Shah bersyukur dikurniakan umi dan abi yang memahami pendiriannya. Bukan pekerjaan yang mempunyai kelas yang tinggi yang menjadi idamannya. Cukuplah sekadar ianya pekerjaan yang halal dan mampu memberikan ganjaran yang memuaskan sementara dia dapat merealisasikan impiannya.

Dia mempunyai cita-cita yang tinggi dalam hidupnya. Minatnya terhadap bidang perniagaan dan rekaan kasut telah tersemai sejak kecil lagi. Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Umi dan abi mempunyai sebuah kedai kasut di kawasan tempat tinggal mereka. Walaupun kedai itu hanyalah sebuah kedai papan dan menjual kasut-kasut yang tidak berjenama hebat, namun dari hasil jualannya umi dan abi membesarkan Shah sehingga berjaya mendapat segulung ijazah.

Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa berfikir panjang Shah menerima tawaran itu. Tawaran Pak Su Mat dimanfaatkan sepenuhnya. Peluang seperti itu boleh memberikannya pengalaman yang berharga. Pengalaman yang pastinya boleh membantu Shah dalam menguruskan perniagaan yang bakal dijalankannya nanti.

Perasaan malu tidak dapat digambarkan ketika kali pertama dia membuka tapak di situ. Dengan sebuah kotak berisi peralatan membaiki kasut dan sebuah bangku kecil, Shah menunggu pelanggan dengan sabar di tepi dinding hadapan pasaraya itu.

Seawal jam sembilan setengah pagi Shah sudah berada di hadapan pasaraya itu bersama peralatannya. Begitulah rutinnya setiap hari. Shah pasti akan siap sedia berada di situ sebelum pintu pasaraya dibuka kepada pelanggan pada jam sepuluh pagi setiap hari. Shah akan berada di situ sehingga malam. Dia hanya akan pulang ke rumah selepas pasaraya ditutup pada jam sepuluh malam.

Pernah juga Pak Su Mat menasihatinya supaya membuka tapak membaiki kasut itu sehingga jam enam petang sahaja. Tidak perlu bersusah payah sehingga ke malam namun Shah mempunyai alasannya yang tersendiri. Nasihat Pak Su Mat tidak pula disanggah malahan dia menerimanya dengan senyuman.

Hari pertama membuka tapak di situ, Shah telah disapa oleh seorang pekerja pasaraya itu. Gadis tinggi lampai berwajah manis, berambut panjang dan berkulit cerah persis seorang model itu bekerja di pasaraya itu sebagai juruwang. Dengan keramahan dan kecantikan wajahnya membuatkan Shah jatuh suka kepada gadis itu.

Gadis bernama Maya itu seringkali berbual dengannya sementara menunggu pintu pasaraya dibuka. Pelbagai perkara yang dibualkan bersama. Sikap peramah dan lemah lembut yang ada pada Maya menambahkan rasa suka di hati Shah terhadap gadis itu.

Saban hari perasaan suka itu bercambah dan akhirnya menjadi cinta. Kecantikan Maya mengaburi mata hati Shah dalam membuat pemilihan berdasarkan Islam. Terlupa akan aspek yang utama ditinjau dari hadis Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud : Dikahwini perempuan (dijadikan isteri) itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka utamakanlah perempuan yang mempunyai agama dan beruntunglah hidup kamu.

Shah memandang kecantikan Maya tanpa memperdulikan agamanya. Rasa cintanya semakin menebal kepada gadis itu. Setiap hari dia akan menghabiskan masa di hadapan pasaraya itu walaupun tidak seberapa pelanggan yang datang mendapatkan khidmatnya membaiki kasut mereka. Terlupa seketika dia dengan tujuan utamanya membuka tapak membaiki kasut di situ.

Tidak terfikirkan juga dia akan anggapan Maya terhadapnya yang hanya bekerja sebagai tukang kasut. Sangkanya Maya turut mempunyai rasa yang sama dengannya. Sangkanya cintanya berbalas oleh gadis manis itu. Seringkali juga mereka makan bersama jika gadis itu tidak mempunyai teman ketika menghabiskan waktu rehatnya.

Shah menganggap penerimaan Maya sama seperti penerimaannya terhadap gadis itu. Malahan mereka seringkali berbalas-balas pesanan ringkas melalui telefon menambahkan lagi keyakinan Shah terhadap gadis itu. Walau tiada kata-kata berbaur cinta yang mereka ucapkan, namun Shah percaya Maya turut berperasaan sama sepertinya.

Shah tidak kisah sekiranya dia mendapat pekerjaan yang lebih baik nanti dan Maya hanya seorang juruwang di pasaraya itu. Cintanya telah diserahkan kepada gadis itu. Dia tidak memandang kepada perbezaan tahap pendidikan itu. Dia juga tidak pernah berterus-terang akan kelulusan yang dimilikinya kepada gadis itu.

Baginya cinta yang ada dalam hatinya hanya milik Maya. Itulah cinta pertamanya. Gadis itulah yang berhak ke atas cintanya. Gadis itulah pemilik hatinya dan gadis itulah sebahagian dari tulang rusuknya yang hilang.

.