Thursday, August 05, 2010

Asmara Harum Kemboja bab 2


AMANDA sibuk membantu Mak Som menyediakan hidangan makan malam di dapur. Mikael dan Melissa duduk di ruang tamu menonton televisyen. Menyeringai sahaja kedua-dua kanak-kanak itu melihat telatah Sin Chan di kaca televisyen.

Tiada siaran Astro di rumah Pak Ali. Baik Ceria mahupun Mustika. Bukan Pak Ali tidak mampu untuk membayar sewa bulanannya. Tiada siapa sebenarnya yang mahu menonton pelbagai rangkaian yang ditawarkan oleh syarikat penyiaran swasta itu.

Pak Ali hanya mementingkan siaran berita sahaja. Sekali-sekali pasangan tua itu akan menonton tayangan filem lama lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Itu semua boleh diperolehi di siaran percuma ehsan Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia. Daripada membazir membayar sewa, lebih baik tiada melanggan langsung.

Pernah juga anak cucu yang pulang ke kampung bertanyakan tentang itu kepada Pak Ali. Namun itulah jawapan yang selalu diberikannya kepada mereka. Tidak mahu membazir duit kepada sesuatu yang tidak penting.

Sikap berjimat cermat Pak Ali suami isteri itulah yang membolehkan mereka menyimpan duit di dalam Tabung Haji. Sudah dua kali mereka ke Tanah Suci menunaikan rukun Islam yang terakhir. Menunaikan fardhu haji bagi mereka yang berkemampuan.

Mujur sahaja Tarmizi sudah mendidik anak-anaknya agar sentiasa bersederhana dalam segala hal. Tidaklah anak-anaknya itu mempersoalkan juga kekurangan itu. Mudah sahaja mereka menyesuaikan diri.

Hari sudah beransur senja. Suasana pun sudah bertukar gelap. Tarmizi dan Pak Ali masih lagi rancak berbual-bual di beranda. Sudah berbelas tahun tidak berjumpa, tentu sahaja banyak cerita yang hendak dikongsikan bersama.

Mikael meninggalkan ruang tamu. Berjalan menghampiri Tarmizi yang leka berbual. Perlahan kanak-kanak lelaki itu melabuhkan punggung di sisi Tarmizi. Riak wajahnya sedikit berlainan.

“Kenapa ni El? Masuk ke dalamlah tengok kartun dengan kakak. Papa nak berbual dengan Tok Ali ni. Budak-budak kan tak baik dengar orang tua berbual. Kan papa dah ajar dulu. El lupa ye?” Pak Ali hanya tersenyum mendengar Tarmizi menasihati anaknya. Tidak teringin langsung hendak menyampuk.

“Tapi pa…” Tarmizi menjegilkan mata ke arah Mikael. Serba-salah kanak-kanak itu hendak meneruskan kata-kata. Terasa kasihan pula Pak Ali melihat wajah kanak-kanak itu.

“Tak apalah Mizi… Biarlah dia duduk sini. Bukannya cerita apapun. Kalau dia dengar pun, sekurang-kurangnya dia tahu kisah kamu masa kecil dulu. Boleh juga dia tahu pasal arwah mak dan ayah kamu.” Tarmizi kehilangan kata. Dibiarkan sahaja Mikael duduk di sisinya demi menjaga hati lelaki tua yang berada di hadapannya itu.

“Pa…” Mikael merapatkan tubuhnya kepada Tarmizi. Terasa hairan pula Tarmizi akan sikap anak lelakinya itu. Selalunya tidak pula Mikael bersikap sebegini.

“Kenapa ni El? El nak cakap apa-apa ke?” Tarmizi memandang tepat ke wajah Mikael. Pak Ali hanya berdiam. Turut menunggu kanak-kanak itu meluahkan apa yang tersimpan di hatinya.

“Pa… El takut. Tadi El bau wangi sangat. El tanya kakak… kakak kata tak ada bau apa-apapun.” Sedikit terkejut Tarmizi dengan kata-kata anaknya itu. Wajah Pak Ali turut berubah riak.

Tarmizi dan Pak Ali saling berpandangan. Isyarat dihantar tanpa bersuara. Hanya melalui pandangan mata. Tarmizi mengeluh. Terasa kisah yang cuba dipadamkan dulu tidak lupus. Kini muncul kembali setelah kepulangannya ke situ.

***************
HARI sudah lewat malam. Mikael dan Melissa sudah tertidur kekenyangan di hadapan televisyen. Amanda dan Mak Som turut serta dengan perbualan Tarmizi bersama Pak Ali.

Pelbagai cerita yang disampaikan oleh Pak Ali kepada Tarmizi. Semuanya berkisar tentang kampung itu. Tentang rumah peninggalan arwah ayahnya yang hampir roboh. Tentang kerinduan yang ditanggung Tuan Haji Yahya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya terhadap satu-satu zuriatnya itu. Juga tentang kekesalannya menghalau Tarmizi dahulu.

Tarmizi tidak mampu menahan sebak. Menitis airmata kesedihan bercampur rasa bersalah. Amanda mengusap belakang Tarmizi untuk menenangkannya. Diseka airmata yang menitis di wajah suaminya itu dengan jemarinya yang runcing.

“Anak-anak dah tidur ke sayang?” Pertanyaan Tarmizi dijawab dengan anggukan dan senyuman oleh Amanda yang berada di sisinya. Tahu suaminya itu bertanya hanya kerana ingin mengalihkan rasa sedih yang ditanggung.

“Kejutkan mereka. Kita nak balik dah ni.” Terasa sebak Tarmizi hendak meneruskan perbualan. Amanda mula mengangkat punggung namun ditahan oleh Mak Som.

“Tak payahlah kejutkan budak berdua tu. Biarkan mereka tidur. Penat tu. Dah lewat malam ni, kamu sekeluarga tidur ajelah di sini. Tidur kat bilik depan tu.” Pak Ali mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata isterinya.

“Tidur sini ajelah Mizi, Amanda. Kalau nak balik, esok pagi-pagi aje kamu balik ke pekan. Dah lewat ni. Kereta kamu kan dekat halaman rumah arwah ayah kamu. Takkanlah kamu nak bawa anak-anak kamu ke sana. Rumah tu dah lama kosong. Kalau apa-apa jadi nanti… Kan susah.” Minda Tarmizi mencerna kata-kata Pak Ali. Terfikir juga dia ke situ tadi. Bimbang juga jika anak-anaknya diganggu.

Berpandangan seketika Tarmizi dan Amanda mencari kata sepakat. Amanda melempar senyum. Mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Pak Ali dan Mak Som.

“Nanti tidak ke kami menyusahkan Pak Ali dan Mak Som?” Tersenyum Pak Ali dan Mak Som mendengar pertanyaan Tarmizi. Mana mungkin mereka merasa terbeban sedangkan di rumah itupun hanya mereka berdua sahaja yang tinggal.

“Manalah ada membebankan Mizi, Amanda. Kami lagi suka kalau kamu bermalam di sini. Kalau kamu sekeluarga nak tinggal di sini sementara rumah kamu tu diperbaikipun… Lagi kami suka.” Kata-kata Pak Ali mengundang senyuman lebar di bibir tua Mak Som.

Sudah agak lama hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di rumah itu. Kadangkala terasa sunyi juga. Anak cucu mereka hanya pulang bila musim perayaan sahaja. Ketika itu barulah terasa meriahnya rumah itu.

“Betul kata Pak Ali kamu tu Mizi. Kamu tinggal ajelah di sini dengan kami. Tak payahlah kamu membazir duit bayar sewa hotel tu. Nanti dah siap kerja baikpulih rumah arwah ayah kamu… dah bersih… bolehlah kamu pindah masuk rumah tu. Terhibur juga kami dengan anak-anak kamu tu. Dah lama juga rumah ni tak meriah dengan kanak-kanak.” Terasa serba-salah pula Tarmizi hendak menolak pelawaan kedua orang tua yang baik hati itu. Terfikir juga Tarmizi. Mungkin mereka rasa kesunyian.

“Yelah… Kalau dah macam tu kata Pak Ali dan Mak Som. Kami berterima kasihlah dengan Pak Ali dan Mak Som sudi tumpangkan kami. Tapi esok kami tak bermalam di sini Pak Ali.” Lebar senyuman yang terukir di bibir Mak Som tadi perlahan-lahan surut. Amanda menyinggul sedikit lengan suaminya. Isyarat mata diberi menunjukkan ke arah Mak Som. Tarmizi memahami keadaan itu.

“Mak Som… Janganlah Mak Som berkecil hati dengan kami. Bukan kami tak sudi tinggal di sini. Sebenarnya esok saya ada urusan sedikit di pekan. Saya janji… selesai urusan saya, kami akan datang tinggal di sini dengan Mak Som dan Pak Ali sementara menunggu rumah arwah ayah saya siap dibaikpulih.” Lembut Tarmizi melontar kata. Rasa terpujuk hati Mak Som yang sudah sedikit kecewa. Senyuman kembali terukir di wajahnya.

Terasa senang hati Tarmizi dan Amanda melihat senyuman yang kembali menghiasi wajah tua Mak Som yang sudah dianggap seperti ibu sendiri itu. Terasa serba-salah juga sebentar tadi membuatkan orang tua itu terasa hati.

“Kalau dah begitu kata kamu Mizi, esok Mak Som kemaskan bilik lain untuk Melissa dan Mikael pula.” Masih lagi senyuman menghiasi wajah Mak Som. Barangkali kerana terlalu gembira akan mendapat teman berbual.

“Tak payah susah-susah Mak Som. Budak berdua tu boleh tidur dengan kami. Lagipun si Mikael tu penakut sikit orangnya.” Menggeleng sahaja Mak Som dengan kata-kata Tarmizi.

“Tak ada susahnya Mizi. Bilik tengah tu aje. Dah kemas pun cuma nak menukar cadarnya aje. Dah berhabuk agaknya. Anak-anak Mak Som dah lama tak balik. Tak ada orang guna bilik tu. Lagipun budak-budak tu dah besar Mizi, tak elok tidur dengan kamu lagi.” Terpaksa Tarmizi akur sahaja dengan kata-kata Mak Som. Tidak mahu membuat hati orang tua itu terusik lagi.

**************
SUASANA makin hening. Jam di dinding bilik sudah menunjukkan hampir pukul satu pagi. Mata Tarmizi masih tidak mahu terpejam. Sudah puas dipaksa namun lena tidak mahu juga bertandang.

Tarmizi berkalih. Dipandang wajah isterinya yang telah lena. Terasa sedikit cemburu kerana isterinya itu dengan mudah sahaja dapat melelapkan mata berbanding dia yang masih lagi berjaga.

Dipandang pula kedua-dua anaknya. Mikael dan Melissa. Kedua-duanya sudah lama lena di atas dua buah tilam bujang yang dibentang di atas lantai bilik itu.

Tarmizi keresahan. Hidungnya tercium bau yang sudah lama dilupakan dari ingatannya. Semakin lama semakin kuat bau itu dirasakannya. Hatinya berdebar. Dipejamkan juga mata yang masih berdegil. Dipaksa agar tidak terbuka. Tidak sanggup dia hendak menjamu matanya dengan pemandangan yang sudah lama disimpan dalam kotak kenangan.

Ayat-ayat suci dibacakan di dalam hati dengan harapan hatinya yang berdebar akan tenang. Juga dengan harapan agar bau wangi yang menerpa deria baunya itu segera berlalu, menghilang bersama hembusan angin malam.

Terasa angin dingin berhembus di wajahnya bersama harum kemboja yang semerbak memenuhi rongga hidung. Mata yang enggan dibuka makin lama makin memberat dan akhirnya Tarmizi terlena. Lena bersama harum kemboja.

.