Saturday, March 06, 2010

Terhiris Hatiku

Masa aku tulis entry ni, aku baru je habis dengar lagu rock lama. Tak tau la tajuk apa lagu tu tapi hujung sekali ayatnya... Terhiris hatiku. Akupun apa lagi, terus je amik ayat tu jadik tajuk entry kali ni.

DVD lagu ni aku baru je burn tengahari tadi. Aku masukkan semua lagu-lagu yang sedap telinga mendengar la. Kebanyakannya lagu cinta ler tapi versi rock. Dan dalam ni jugak aku masukkan sekali lagu Wali Band. Dan disebabkan disc tu boleh masuk banyak lagu, aku cuma baru guna sikit je space dia tadi. Nanti bila ada lagu lagi aku tambah ler pulak.

Dari semalam aku layan lagu Airmata Kekasih nyanyian kumpulan Leon. Giler sedap lagu tu. Kemudian lagu Biarlah Berjauhan, lagu Kapilla. Asyik seh layan lagu rock ala-ala orang frust ni. Terasa macam diri sendiri pulak yang berada kat tempat tu.

Kepala aku rasa macam bengal je la ni. Tak tau kenapa. Mungkin sebab aku banyak sangat fikir kot. Atau mungkin juga sebab fikiran aku yang memang tak tenang dan sentiasa berada dalam keadaan tak selamat ni agaknya la. Entah la... Aku tak tau nak buat apa dah ni. Masalah aku sekarang dah makin berat. Terlalu berat berada dalam pemikiran aku hingga aku rasa dah tak sanggup menanggungnya.

Aku layan lagu Okey kejap...

Luka 4

“Ish! Baju apa aku nak pakai ni?” Bibirnya tiba-tiba mengukir senyuman. Dalam kepalanya sudah terfikir satu idea. “Baik aku mandi siap-siap, kalau Encik Amri sampai nanti, aku tengok pakaian dia dulu. Kalau dia nampak formal, aku sarung aje baju kurung tapi kalau dia nampak santai, aku sarung jeans dengan t-shirt. Bagus Tiha, you’re brilliant.”

Selesai mandi Fatiha duduk santai di depan tv sambil menunggu lelaki itu datang menjemputnya. Buletin Utama menjadi santapan matanya ketika itu. Konsentrasinya sedikit terganggu apabila mendengar bunyi hon kereta di hadapan rumah. “Bos dah sampai. Tiha, mari kita jalankan operasi kita.” Fatiha berbicara kepada dirinya sendiri sambil ketawa kecil. Terasa lucu dengan perbuatan sendiri.

Amri yang menyandar di badan kereta diperhatikan dari sebalik langsir tingkap. Lelaki itu nampak santai dengan hanya berseluar jeans dan t-shirt. Telefon bimbit yang berbunyi minta dijawab pantas dicapai dan panggilan yang sememangnya sudah diketahui siapa pemanggilnya dijawab sambil kakinya melangkah laju ke bilik. Setelah menamatkan panggilan, Fatiha pantas menyarung jeans dan t-shirt, mengemaskan rambut serta menyembur sedikit wangian sebelum keluar. Tas tangan dan kunci rumah yang sudah sedia diletakkan di atas sofa ruang tamu dicapai. Pintu dikunci kemas sebelum dia menapak ke arah Amri yang sedang tersenyum memandangnya.

Fatiha terasa jantungnya berdegup kencang ketika pandangan mereka bersatu. Cepat-cepat dia melarikan anak matanya. Terasa seperti ada satu perasaan pelik yang wujud ketika itu. ‘Ish! Kenapa dengan aku ni?’ Hati Fatiha berkata-kata. Amri yang kehairanan melihat gadis itu yang kelihatan seperti sedang mengelamun berdehem beberapa kali.

Fatiha tersedar apabila terasa tangannya disentuh. Wajahnya merona merah apabila pandangannya jatuh pada tangan Encik Amri yang sedang memegang tangannya. Segera dia menarik tangannya kembali. Amri yang baru tersedar segera meminta maaf di atas keterlanjurannya menyentuh tangan gadis itu. Fatiha yang kehilangan kata-kata hanya mampu menggangguk sahaja sambil tersenyum malu.

Fatiha hanya berdiam tanpa sepatah kata sepanjang perjalanan ke restoran yang menjadi pilihan Amri. Pandangan ditebarkan ke luar tingkap sambil melayan perasaan. Amri turut sama berdiam dan terus fokus pada pemanduan. Sesekali matanya mengerling ke arah gadis di sebelahnya.

“Nampak ke pemandangan di luar tu?” Amri sengaja ingin memecahkan kesunyian antara mereka berdua. Gadis di sebelahnya berpaling memandang wajahnya. Terukir secalit senyuman di wajah manis itu. Senyuman itulah yang membuatkan hati lelakinya tersentuh waktu kali pertama terpandang dahulu. Senyuman gadis itu dibalas mesra. Terlihat akan rona merah di wajah gadis itu. Mungkin terasa malu dengan pertanyaannya sebentar tadi.

Kereta diberhentikan di hadapan sebuah restoran ala Thai yang dikelilingi hiasan lampu berwarna-warni. Dari dalam kereta Fatiha dapat melihat pengunjung memenuhi restoran itu. ‘Mungkin makanan yang dihidangkan di sini sedap barangkali, sebab itulah ramai yang datang makan di sini.' Fatiha sekadar meneka di dalam hati. Lelaki di sebelahnya itu dipandang. Kelihatan lelaki itu sudah mematikan enjin dan bersedia untuk keluar dari kereta.

“Jomlah Tiha. Kalau kita duduk dalam kereta aje, tak kenyangnya perut kita ni.” Sempat lagi lelaki itu mengusik Fatiha sebelum membuka pintu kereta. Cemberut wajah Fatiha. Terasa pedas diperli walaupun niat lelaki itu hanyalah sekadar ingin mengusiknya.

Penggera kereta ditekan setelah pasangan itu keluar dari kereta. Perlahan Fatiha mengatur langkah ke arah restoran. Dua gadis manis yang berpakaian seperti gadis Thai tersenyum menyambut mereka di pintu restoran. Fatiha membalas senyuman yang dilemparkan. Salah seorang dari gadis itu menunjukkan meja yang telah ditempah lebih awal oleh Amri selepas lelaki itu berkata sesuatu dengannya.

Seorang pelayan lelaki datang menuangkan air sejuk ke dalam gelas yang sedia ada di atas meja sebaik mereka melabuhkan punggung di atas kerusi. Selepas pesanan mereka dicatatkan di dalam buku kecil, pelayan itu meninggalkan pasangan itu. Fatiha mengamati suasana di dalam restoran itu. Cantik hiasan dalamannya. Nampak eksklusif dan romantik dengan penataan cahaya yang sedikit suram. Meja yang mereka duduki juga kelihatan sangat romantic suasananya.

“Apa benda yang Encik Amri nak cakapkan pada saya tadi?” Fatiha bersuara selepas tiada sebarang kata yang keluar dari mulut lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu hanya menatap wajahnya sedari tadi. Terasa malu pula Fatiha dengan keadaan itu. Tak pernah lagi ada lelaki yang menatap wajahnya di dalam suasana sebegini selain lelaki yang pernah melukakan hatinya dulu.

“Kita makan dulu ye Tiha. Nanti lepas makan saya beritahu. Satu lagi, jangan panggil saya Encik Amri kalau kita di luar pejabat ye. Panggil saja saya Am. Kalau Tiha nak panggil abang lagi bagus.” Lembut kata-kata yang lahir dari mulut lelaki itu. Hilang sedikit rasa ingin tahu Fatiha terhadap perkara penting yang hendak disampaikan oleh lelaki itu. Mungkin terlalu penting hingga tidak boleh diluahkan di melalui telefon sahaja. Tetapi sedikit pelik pula Fatiha rasakan bila lelaki itu meminta dia mengubah gelaran.

Selepas menunggu lebih kurang dua puluh minit, pesanan mereka dihantar ke meja oleh pelayan yang sama. Mereka menjamu selera dalam suasana yang senyap. Kedengaran hanya alunan muzik instrumental di seluruh ruang restoran itu menemani suapan mereka. Sesekali lelaki itu menjeling ke arah gadis di hadapannya yang kelihatan sopan menyuap nasi putih berlaukkan tomyam campur yang dipesan tadi. Semakin bertambah rasa cintanya kepada gadis itu.

Usai makan, Amri melambai pelayan untuk datang mengemaskan meja. Amri membisikkan sesuatu kepada pelayan itu. Terangguk-angguk pelayan itu dengan senyuman tersungging di bibirnya. Pelayan itu berlalu selepas selesai membersihkan meja. Alunan muzik instrumental yang memenuhi ruang restoran berhenti. Seketika kemudian bergema alunan muzik selamat hari jadi di seluruh ruang menggantikan muzik instrumental tadi.

Seorang pelayan menghampiri meja mereka dengan menatang sebiji kek diiringi beberapa orang lagi sambil menyanyikan lagu selamat hari jadi. Usai lagu dinyanyikan, Amri menyuruh Fatiha meniup lilin. Bergema bunyi tepukan selepas lilin terpadam. Mereka ditinggalkan berdua untuk meraikannya. Terpana Fatiha apabila lelaki itu menyuap sepotong kecil hirisan kek ke mulut Fatiha. Merona merah wajahnya menahan malu apabila lelaki itu terus-terusan tersenyum.

“Fatiha Asma binti Abdullah, sudi tak Tiha menjadi kekasih Am dan seterusnya menjadi teman hidup Am hingga ke akhir hayat?” Terkedu Fatiha mendengar luahan kata-kata lelaki itu. Merembes airmata di pipinya. Segera dia bangun dan berlari keluar meninggalkan Amri yang terkejut dengan tindakannya. Pantas lelaki itu mengejarnya.

Kelihatan Fatiha berdiri di sisi kereta di luar restoran itu. Sisa airmata masih melekat di pipinya. Amri menghampiri Fatiha. Lelaki itu kelihatan serba salah dan keliru. Tidak tahu kenapa begitu tindakbalas dari gadis kesayangannya itu. Penggera kereta ditekan. Fatiha terus memboloskan diri ke dalam kereta. Amri turut sama masuk ke dalam kereta. Enjin dihidupkan. Begitu juga penghawa dingin. Pandangannya terarah kepada Fatiha.

“Kenapa Tiha menangis? Tiha tak suka apa yang Am buat? Tiha tak suka Am?” Jemari gadis itu diraih. Sedikit hairan kerana gadis itu tidak menarik semula tangannya. “Kita balik ye.” Kereta dihalakan ke jalanraya dan pemanduan diteruskan ke rumah Fatiha tanpa sebarang suara dari keduanya.
.