Thursday, February 17, 2011

Gulai Labu Ikan Kering - Versi Tidak Diedit

Hujan yang menyimbah bumi semenjak pagi masih belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Jika berterusan begini sehingga ke malam, sudah tentu paras air di Sungai Merah akan naik. Pak Dol dan Mak Wan keresahan di serambi rumah papan bertiang tinggi itu. Bukan Pak Dol dan Mak Wan risaukan paras air yang akan naik dan berkemungkinan boleh menyebabkan banjir di kampung itu. Pak Dol dan Mak Wan sebenarnya risaukan satu-satunya anak tunggal mereka, Tajul, yang keluar berjumpa kawannya semenjak petang tadi.

Tajul berusia dalam lingkungan empat belas tahun. Masih bersekolah di tingkatan dua Sekolah Menengah Kampung Sungai Merah dan berulang alik ke sekolah hanya dengan berjalan kaki sahaja. Sekolah Menengah Kampung Sungai Merah didirikan tidak jauh dari penempatan penduduk, bertujuan memberi kemudahan kepada anak-anak penduduk Kampung Sungai Merah menimba ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk keperluan hidup mereka di masa hadapan. Setiap hari Tajul akan berjalan kaki ke sekolah bersama-sama Johari, sahabat baik yang juga merupakan rakan sekelasnya. Manakala di sebelah petang pula, selepas mereka makan dan solat di rumah masing-masing, mereka akan belajar bersama-sama di rumah Johari.

"Bang, ke mana saja si Tajul ni, dari tadi tak balik-balik lagi. Wan risaulah bang. Selalunya waktu-waktu begini, anak kita tu dah ada di rumah. Tu ha, lauk gulai labu dengan ikan kering yang dimintanya Wan masakkan tadi, dah hampir sejuk di atas meja tu. Wan risaulah bang." Mak Wan mula menyuarakan kebimbangan yang bertandang di dalam hatinya. Memang benar, anak tunggalnya itu tidak pernah pulang lewat ke rumah. Apatah lagi musim hujan sebegini. Mulalah di hati Mak Wan timbul perkara-perkara yang tidak enak.

Pak Dol mengalihkan pandangan daripada wajah Mak Wan ke halaman. Suasana yang dingin dan kelam itu turut menimbulkan rasa kebimbangan di hati Pak Dol. Berbohonglah jika dikatakan Pak Dol tidak merasa apa-apa tentang kelewatan itu. Jika hendak diikutkan hati, mahu sahaja Pak Dol meredah hujan yang masih menggila itu mencari anak kesayangannya. Sebagaimana isterinya, Mak Wan menyayangi Tajul, lebih lagi dalam hati Pak Dol kasih-sayangnya kepada anak tunggal kesayangannya itu. Tajul itulah satu-satunya zuriat yang dia perolehi semenjak bernikah dengan Mak Wan. Itupun setelah lebih sepuluh tahun mereka mendirikan rumahtangga dan setelah puas mereka berubat ke sini dan ke sana, baharulah mereka dikurniakan seorang cahayamata sebagai penyeri hidup mereka.

Hujan masih belum berhenti. Kebimbangan di dalam hati Pak Dol dan Mak Wan makin memuncak. Tanpa berlengah, Pak Dol bangun dari sila lalu terus masuk ke rumah. Tidak lama kemudian, Pak Dol keluar semula bersama dua kaki payung dan sebuah lampu suluh di tangannya. Sehelai baju sejuk turut membaluti tubuh Pak Dol yang semakin dimamah usia.

"Abang nak ke rumah Johari sekejap ni Wan. Nak tengok kalau-kalau ada anak kita di situ." Usai berkata, Pak Dol terus sahaja menuruni anak tangga. Selipar yang sudah hampir hilang warnanya disarungkan ke kaki. Bukannya Pak Dol tidak mampu membeli selipar baharu, tetapi untuk apa membazir jika yang lama masih elok dan boleh digunakan lagi.

"Wan nak ikut bang!" Mak Wan bergegas bangun hendak masuk ke dalam. Sudah tentu hendak mengambil sekaki payung lagi dan mengambil selendang menutupi kepalanya yang hanya dilitupi anak tudung. Namun belum sempat langkah Mak Wan sampai ke muka pintu, Pak Dol sudah bersuara dari kaki tangga.

"Tak payahlah awak ikut. Awak tunggu saja di rumah. Manalah tahu kalau sekejap lagi anak kita tu balik pula. Biar abang seorang saja yang pergi ke rumah Johari. Lagipun hujan ni. Awak tu bukannya sihat sangat. Abang pergi dulu." Tegas suara Pak Dol sebelum terus melangkah meninggalkan Mak Wan sendirian mematikan keinginan Mak Wan untuk turut sama menjejaki Tajul di rumah Johari.

Mak Wan hanya mampu memandang tubuh Pak Dol yang makin hilang ditelan kegelapan malam. Apabila tubuh Pak Dol sudah tidak kelihatan, Mak Wan masuk ke rumah dan mengunci pintu. Bahaya jika Mak Wan terus berada di luar bersendirian. Walaupun belum pernah berlaku kejadian tidak diingini di Kampung Sungai Merah, namun sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras, Mak Wan tidak mahu mengambil sebarang risiko.

********

Mak Wan yang sudah hampir terlena di kerusi rotan yang terdapat di ruang tengah rumah bergegas ke pintu apabila mendengar suara Pak Dol yang sedang galak mengetuk pintu dari luar. Terdorong sedikit tubuh Mak Wan ke belakang apabila dirempuh oleh tubuh Pak Dol sejurus pintu terbuka. Wajah Pak Dol kelihatan serba-salah. Tanpa menunggu lama, terus sahaja Mak Wan memuntahkan soalan.

"Lama abang pergi! Macam mana bang? Mana Tajul? Ada dia di rumah Johari? Kenapa abang tak bawa dia balik sekali?" Bertubi-tubi soalan menyentuh gegendang telinga Pak Dol yang tidak senang duduk di kerusi. Pak Dol merasa serba-salah. Hendak diberitahu akan keadaan sebenar, bimbang isterinya itu tidak dapat menerima ketentuan. Jika tidak diberitahu, tidak sampai pula rasa di hati Pak Dol.

"Wan, awak sabar ya dengan apa yang abang nak cakapkan ni." Degup jantung Mak Wan sudah tidak sekata. Hatinya dipagut bimbang yang makin keterlaluan. Sudahlah itu sahaja zuriat yang dia ada. Janganlah berlaku perkara buruk kepada anak kesayangannya itu.

"Apa dia bang? Kalau Tajul tidur di rumah Johari, saya tak kecik hatipun. Biarkanlah dia. Mungkin dia nak mengulangkaji dengan Johari agaknya. Tak apalah bang, biar saya ke dapur kejap. Saya nak simpan lauk gulai labu dengan ikan kering tu ke dalam petiais. Esok boleh dipanaskan." Mak Wan terus melangkah ke dapur, cuba meninggalkan Pak Dol di ruang tengah rumah sendirian.

Pak Dol mengikuti langkah Mak Wan ke dapur. Hatinya bagai disayat sembilu apabila mendengar kata-kata isterinya itu tadi. Tentu ada sedikit rasa terkilan di hati isterinya itu. Pak Dol dapat merasainya melalui kata-kata yang diluahkan oleh isterinya itu tadi. Gulai labu dan ikan kering itu kegemaran Tajul dan isterinya sudah bersusah-payah memasaknya senja tadi. Namun jika Mak Wan tahu perkara yang sebenarnya terjadi, sudah tentu isterinya itu bertambah sedih.

Mak Wan yang sudah selesai menyimpan gulai labu dan ikan kering ke dalam petiais menyedari riak serba-salah di wajah Pak Dol. Ditarik kerusi yang kosong di sebelah tempat yang diduduki Pak Dol. Disentuh lembut tangan Pak Dol yang diletakkan di atas meja.

"Kenapa ni bang? Semenjak abang masuk ke rumah tadi sampailah sekarang, muka abang nampak lain macam saja. Ada apa-apa yang dah berlaku ke bang?" Lembut Mak Wan melontar pertanyaan. Pak Dol menoleh sekilas ke wajah Mak Wan. Terlihat sinar mengharap di mata Mak Wan. Pak Dol nekad. Biarlah dia berterus-terang sahaja. Sebentar tadipun hampir-hampir sahaja dia memberitahu perkara yang sebenar sebelum dicantas bicaranya oleh Mak Wan.

"Wan, sebenarnya anak kita tak ada di rumah Johari." Berubah riak wajah Mak Wan. Terkejut bukan kepalang apabila mendengar kata-kata yang baru sahaja disampaikan oleh Pak Dol.

"Tak ada? Habis tu, ke mana dia bang?" Mak Wan sudah mula menangis. Inilah yang paling tidak disukai oleh Pak Dol. Mak Wan tidak pandai mengawal perasaannya. Bimbang pula Pak Dol meneruskan ceritanya. Bimbang isterinya itu jatuh sakit pula. Tetapi jika tidak diberitahu, bimbang perkara lain pula yang berlaku.

"Wan, Johari kata, petang tadi lepas mereka siapkan kerja sekolah, mereka pergi ke tepi sungai. Tajul tergelincir jatuh ke sungai. Johari takut. Dia lari balik ke rumah." Bicara Pak Dol terhenti apabila Mak Wan sudah melurut jatuh daripada kerusi yang didudukinya. Mak Wan pengsan. Segera Pak Dol merenjiskan air ke muka Mak Wan hingga tersedar.

"Wan, awak jangan bimbang. Saya dah beritahu orang kampung. Tadipun kami dah cari sekejap di sungai tapi hari kan masih hujan. Paras air Sungai Merah dah naik. Lagipun gelap di situ. Sudah mereka nak mencari. Esok, bila hari dah terang sikit, kita dengan penduduk kampung akan cari Tajul sekali lagi. Sudahlah, awak pergilah tidur dulu. Nanti kalau awak sakit, susah." Mak Wan langsung tidak berganjak. Hanya mematung diri di atas lantai. Otaknya masih ligat memikirkan berita yang baru didengari. Walang hatinya. Satu-satunya anak yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari di dalam rahimnya, yang susah payah dilahirkan dan dibesarkan dengan sepenuh kasih-sayang, kini hilang di Sungai Merah. Entah apalah nasib anaknya itu. Entahkan hidup entahkan mati. Tanpa sedar, airmata mengalir di pipi Mak Wan. Mak Wan teresak, makin lama makin kuat dan akhirnya bertukar menjadi raungan hiba.

********

Pagi-pagi lagi warung Kak Limah Janda sudah dipenuhi orang kampung. Tidak pernah pula semeriah itu keadaannya, apatah lagi jika hujan pada malam sebelumnya. Selalunya mereka akan melekat di rumah, bersarapan di rumah jika dalam keadaan sebegitu namun berlainan pula hari ini. Ramainya seperti hendak menyambut pesta. Tidak ketinggalan juga Tok Penghulu yang turut sama memeriahkan suasana. Tidak menang tangan Kak Limah Janda melayan permintaan pelanggannya pagi itu.

Dari kejauhan kelihatan seorang lelaki berjambang nipis berjalan perlahan menghampiri warung Kak Limah Janda. Lelaki bernama Wak Herman itu berasal daripada Jawa Barat, Indonesia tetapi sudah lama bermastautin di Kampung Sungai Merah. Rumah Wak Herman tidak jauh daripada Sungai Merah. Memang sudah menjadi rutin Wak Herman pada setiap pagi untuk datang bersarapan di warung Kak Limah Janda. Tiada terdetik niat lain di hati Wak Herman dengan berbuat begitu, walaupun sudah banyak cakap-cakap yang kurang manis sampai ke pendengarannya, namun sedikitpun tidak dipedulikannya. Hubungan baiknya dengan Kak Limah Janda hanyalah sebagai penjual dan pembeli sahaja, tidak lebih dari itu.

Wak Herman mengambil tempat berhampiran tempat membancuh air. Usai meminta segelas kopi 'o' pekat, Wak Herman mula memakan nasi lemak yang siap dibungkus yang diletakkan di dalam pinggan di atas meja. Sambil Wak Herman makan, telinganya menangkap perbualan yang agak menarik di meja sebelahnya. Seorang budak muda sedang berbual tentang kehilangan Tajul di Sungai Merah. Wak Herman terus memasang telinga tetapi hanya seketika sahaja apabila kedengaran suara Tok Penghulu mengajak semua penduduk kampung yang ada ke Sungai Merah untuk menyambung kerja-kerja pencarian yang terhenti tadi malam. Wak Herman meneruskan suapannya. Air kopi 'o' yang berasap nipis dihembus sedikit sebelum diminum. Usai menjelaskan bayaran, Wak Herman segera berlalu dari situ.

********

Penduduk kampung Sungai Merah masih meneruskan pencarian. Beberapa orang anak muda diarahkan untuk menyelam ke dasar sungai. Mujur pagi ini hujan sudah berhenti dan paras air kembali ke asalnya. Sebahagian lagi penduduk kampung menjalankan pencarian di sekitar tebing sungai dan di celah-celah semak yang ada di situ. Manalah tahu jika Tajul berenang naik ke tebing dan terdampar di celahan senduduk.

Mak Wan di tepi tebing sudah bengkak mata menangis dari tadi malam. Tidak sepicingpun dia dapat melelapkan matanya. Jika diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia pergi ke Sungai Merah malam tadi untuk mencari sendiri anak kesayangannya itu. Mak Som, ibu Johari berada di sisi Mak Wan, menemani dan menenangkannya. Terdetik juga rasa bersalah di hati Mak Som kerana Johari lari balik ke rumah selepas Tajul jatuh ke Sungai Merah malahan anaknya itu turut merahsiakannya akibat ketakutan.

Semua orang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Mak Wan masih terhenjut-henjut bahu menangis. Mak Som pula sibuk memujuk dan menenangkan Mak Wan. Tok Penghulu sibuk memerhatikan anak-anak buahnya mencari Tajul. Tidak seorangpun perasan akan Wak Herman yang sedang menggendong seseorang di atas tangannya. Wak Herman berhenti di belakang Mak Som dan Mak Wan.

"Assalamualaikum!" Mak Som segera menjawab salam yang diberi. Mak Wan pula langsung tiada kedengaran suara yang keluar melainkan esak tangis sahaja semenjak tadi. Mak Som segera berpaling. Dilihatnya Wak Herman berdiri tegak sambil menggendong seseorang yang tidak sedarkan diri dan berbalut di dahi. Segera Mak Som memberitahu Mak Wan akan kehadiran Wak Herman. Mak Wan bangun dan berlari ke arah Wak Herman. Dipeluk tubuh Tajul yang terkulai yang berada di atas gendongan Wak Herman. Bercucuran airmata Mak Wan. Sangkanya anaknya itu sudah meninggal dunia.

Usaha mencari dihentikan setelah Wak Herman membawa Tajul ke situ. Tidak terhingga bersyukurnya Pak Dol dan Mak Wan akan kebesaran Allah mendatangkan pertolongan di dalam bentuk itu kepada mereka. Aroma gulai labu dan ikan kering akan kembali memenuhi ruang dapur Mak Wan dan Pak Dol selepas ini.

Tuesday, February 15, 2011

Sardin Berkuah Mak Bedah

Fatimah berlari-lari masuk ke rumah. Beg yang sarat berisi buku-buku sekolah dilemparkan ke atas kerusi rotan yang sudah lama menghuni ruang tamu rumah teres tiga bilik itu. Berjuntai tali begnya ke bawah kerusi melalui celah kusyen yang sudah lunyai. Perutnya yang semenjak tadi sudah berkeroncong kelaparan membawa langkah Fatimah ke ruang dapur yang menempatkan sebuah meja makan berkerusi empat yang juga sudah usang dan hanya menanti masa hendak roboh menyembah lantai.


Pinggan makan yang elok bertelangkup di atas rak segera dicapai lalu dibawa ke penjuru dapur. Di atas rak kayu tiga tingkat di sudut itu terletak kemas sebuah periuk nasi elektrik berjenama Elba yang comel yang boleh memuatkan tiga cawan beras untuk sekali masak. Itulah satu-satunya barang elektrik paling berharga di dalam rumah mereka yang telah dihadiahkan oleh majikan Mak Bedah. Penutup periuk yang diperbuat dari logam dan berpemegang plastik itu diangkat. Senduk putih bergambar bunga matahari di tangkainya yang elok terletak di dalam bekas sudu dicapai lalu nasi yang masih panas disendukkan ke dalam pinggan.


Usai menutup semula periuk nasi yang sudah berkhidmat lebih dari lima tahun kepada keluarga mereka, Fatimah segera membawa dirinya ke meja makan. Pinggan diletakkan di atas meja. Berkeriut bunyi kerusi itu sebaik sahaja punggungnya mencecah permukaan kerusi. Terasa sedikit bergoyang kerusi itu apabila Fatimah membetulkan kedudukannya. Janganlah kerusi ni roboh masa aku tengah makan pulak, hati Fatimah berbisik. Senyum bermain-main di kedua-dua ulas bibirnya.


Tangannya bergerak lincah mencapai pemegang tudung saji yang terletak elok di atas meja. Kelihatan semangkuk sardin berkuah sebaik tudung saji itu diangkat. 'Wah, seronoknya!' Berkata lagi hati gadis cilik itu. Sungguh, gadis itu sangat seronok setiap kali membuka tudung saji, matanya disajikan pula dengan sardin berkuah yang memang menjadi kegemarannya sejak kecil. Entah apalah yang istimewa dengan sardin berkuah itu, tiada siapa yang tahu. Hanya Fatimah, si gadis cilik itu sahaja yang ada jawapannya.


Disudukan sepotong ikan sardin ke dalam pinggannya. Kemudian disudukan pula kuahnya yang likat dan pekat serta penuh dengan hirisan bawang besar dan halia itu ke dalam pinggannya sehingga nasinya kelihatan banjir. Usai meletakkan sudu kembali ke dalam mangkuk, Fatimah mula menyuap dengan rakusnya. Belumpun sempat hancur nasi di dalam mulutnya dikunyah, terus sahaja ditelan. Kemudian disuapkan pula nasi yang lain ke dalam mulutnya. Begitulah seterusnya sehingga Fatimah selesai menghabiskan nasi di dalam pinggannya. Namun, walaupun makan dengan rakus, tidak pernah pula sekalipun nasi ataupun lauk tersekat di kerongkongnya.

Usai makan, Fatimah membawa pinggannya yang sudah kosong ke sinki lalu mencucinya sehingga bersih lalu diletakkan semula di atas rak. Fatimah kembali ke meja makan. Gelas plastik yang bertelangkup elok di dalam dulang di atas meja diisikan penuh dengan air suam dari dalam jag yang kemas bertutup di atas dulang yang sama. Air di dalam gelas itu diteguk rakus sehingga habis. Cawan yang sudah kosong dibiarkan sahaja di atas meja lalu kakinya mula mengatur langkah ke ruang tamu. Akhirnya ruangan dapur ditinggalkan sepi semula.

Selepas kenyang, baharulah Fatimah terasa rimas. Beg sekolah yang tergeletak di atas kerusi rotan dicapai dan disandangkan ke bahu lalu dibawa masuk ke dalam biliknya. Pintu biliknya dirapatkan semula lalu dikunci sebaik tubuhnya diloloskan ke dalam bilik. Sekali lagi beg sekolahnya yang sudah lusuh itu menjadi mangsa balingannya. Kasihan buku-buku yang penuh berisi ilmu di dalam beg itu. Terlontar ke sini-sana begitu sahaja. Tidak cukup dengan melontar begnya, kini giliran tubuhnya yang kurus itu pula dilemparkan ke atas tilam. Berkeriut bunyi katil itu menerima tubuhnya secara paksa sebegitu. Dengan rasa kekenyangan, Fatimah terlena.

********

Mak Bedah mengelap peluh yang memercik di dahi. Keletihan berjalan kaki di bawah panas terik matahari dari simpang jalan ke rumah tidak terasa. Di dalam hatinya hanya ingin segera sampai ke rumah dan menikmati juadah yang sudah disiapkannya seawal pagi sebelum ke tempat kerja. Sudah terbau-bau olehnya aroma sardin berkuah. Sudah terpandang-pandang olehnya kuah yang likat dan pekat. Langkah dipercepatkan lagi dan akhirnya Mak Bedah sampai ke rumah.


Walaupun perutnya sudah berdondang sayang akibat menahan lapar, tidak pula Mak Bedah berlari-lari masuk ke dalam dapur seperti Fatimah. Langkah diatur perlahan ke ruangan dapur namun serta-merta matanya terbeliak apabila memandang ke arah meja makan. Di atas meja, seekor binatang berbulu kuning yang berekor pendek sedang enak menjilat mangkuk sardin berkuah yang sudah hampir kosong. Mak Bedah mengucap panjang. Kelaparan yang menghambat memicu amarah. Mak Bedah segera melangkah ke arah bilik Fatimah. Pintu diketuk berkali-kali diiringi suara memanggil yang nyaring. Sebaik pintu terbuka, tersembul wajah Fatimah dari sebalik pintu.

"Eh, mak dah balik! Dah lama mak sampai?" Mak Bedah merenung tajam Fatimah dengan wajah yang penuh amarah. Tidak dihiraukan pertanyaan yang lahir dari seulas bibir anak gadisnya itu.

"Kenapa kamu tak simpan lauk di bawah tudung saji? Kamu tahu kan mak tak pernah makan di tempat kerja. Kamu tahu kan mak pasti balik makan di rumah setiap kali habis bekerja. Tapi kenapa kamu sengaja buat mak macam ni? Apa salah mak pada kamu? Apa yang mak dah buat pada kamu? Sampai hati kamu buat mak macam ni!" Teresak-esak Mak Bedah meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Fatimah hanya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Terasa pelik dengan situasi itu.

"Kenapa mak? Apa yang Timah dah buat?" Mak Bedah merentap tangannya yang baharu sahaja dipegang oleh Fatimah. Marah benar Mak Bedah.

"Kamu tanya mak apa yang kamu dah buat Timah? Kamu sengaja biarkan lauk tak bertutup. Kamu sengaja biarkan kucing jiran makan lauk yang susah payah mak masak pagi tadi. Kamu sengaja nak biarkan mak dengan adik-adik kamu yang lain mati kelaparan kan? Itu niat kamu kan? Nanti kalau mak dah mati, senanglah kamu nak buat apa yang kamu suka kan? Senanglah kamu nak bawak masuk mak kandung kamu tu dalam rumah ni kan?" Hilang sudah pertimbangan Mak Bedah. Terbocor sudah rahsia yang selama ini disimpan kukuh hanya gara-gara sardin berkuah yang sudah habis dimakan kucing.

Fatimah terkedu. Otaknya bekerja dengan ligat. Segala kata-kata yang keluar daripada mulut Mak Bedah diproses berulang kali. Benarkah apa yang baharu sahaja didengarinya tadi? Mak kandung? Siapa?

Mak Bedah tersedar. Wajah Fatimah yang keliru dan kebisuan Fatimah membuatkan Mak Bedar nanar. Mak Bedah segera mencapai beg duitnya di atas meja lalu melangkah ke luar. Tergesa-gesa Mak Bedah menyarung selipar dan tanpa pamitan Mak Bedah melangkah meninggalkan rumah menuju ke arah jalan.

"Mak! Mak! Tunggu mak!" Mak Bedah terus melangkah. Tidak sedikitpun Mak Bedah menoleh walaupun suara Fatimah memekik-mekik memanggilnya kedengaran semakin hampir. Mak Bedah sudah tidak marah lagi dengan kejadian sardin berkuah menjadi santapan kucing. Mak Bedah kini bimbang akan perkara lain. Mak Bedah takut Fatimah akan bertanya tentang perkara yang disebutnya tadi. Mak Bedah berharap Fatimah akan lupa akan perkara tadi menjelang petang. Mak Bedah benar-benar sayangkan Fatimah. Semenjak Fatimah masih seorang bayi, Mak Bedah sudah memeliharanya. Mak Bedah sudah menganggap Fatimah itu seperti anaknya sendiri.

PONNNNNNNNNNNNNNNNNN

"Allah!" Bunyi hon yang panjang dan nyaring beserta ungkapan Allah yang kedengaran menghentikan langkah Mak Bedah. Tubuh dipalingkan. Luruh jantungnya apabila terpandang Fatimah sedang menggeletek di atas jalan dengan tubuh yang dibasahi darah. Mak Bedah segera berlari ke arah Fatimah. Pemandu kereta yang telah melanggar Fatimah masih terduduk di dalam kereta. Mak Bedah meraung-raung sambil memangku kepala Fatimah yang sudah kaku.

********

Sudah sepuluh tahun kemalangan itu berlaku. Sudah sepuluh tahun Fatimah pergi meninggalkan Mak Bedah namun sehingga kini Mak Bedah tidak pernah lagi memasak sardin berkuah. Sehingga kini tidak pernah sebuahpun tin sardin yang berjaya masuk ke dalam rumah Mak Bedah. Sehingga kini tiada seorangpun daripada anak-anak Mak Bedah yang berani membawa masuk mahupun menyebut tentang sardin lagi walaupun mereka begitu rindukan sardin berkuah Mak Bedah.

Kertas putih bergaris-garis dan penuh bertulisan condong-condong namun kemas milik Fatimah itu Mak Bedah pandang lagi entah untuk yang ke berapa kali. Walaupun sudah berkali-kali Mak Bedah menatap kertas itu, namun setiap kali itu juga airmatanya meluncur laju. Kertas bertulisan resepi sardin berkuah kegemaran Fatimah. Resepi yang ditulis oleh Fatimah ketika Mak Bedah sibuk memasak suatu masa dahulu.

"Mak, nanti bila Timah dah habis sekolah, Timah nak bukak restoran. Timah nak masak lauk istimewa ni. Nama dia 'Sardin Berkuah Mak Bedah'."

Airmata Mak Bedah gugur lagi. Kenangan bersama Fatimah tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.

Berbalas Pantun - Azrina Nur Rusly Dan Shahrizad Sha Azizan

Azrina Nur Rusly

Layang-layang bertali benang
Dilanda ribut jatuh ke telaga
Kisah yang lama usah dikenang
Hanya menyakitkan jiwa dan raga

Shahrizad Sha Azizan

Layang-layang bertali benang
Dilanda ribut jatuh ke telaga
Yang jauh selalu terkenang-kenang
Menantikan jawapan , entahkan ada

Azrina Nur Rusly

Dilanda ribut jatuh ke telaga
Terjumpa oleh Siti Rabia
Menantikan jawapan entahkan ada
Entahkan dia sedang berbahagia

Shahrizad Sha Azizan

Dilanda ribut jatuh ke telaga
Telaga pula kering airnya
Tak mungkin begitu akan sikapnya
Sebelum dia pergi dia bilang dia cinta

Azrina Nur Rusly

Telaga pula kering airnya
Layang-layang tidak rosak masih boleh diguna
Sebelum dia pergi dia bilang cinta
Bicara manis lelaki, bolehkah dipercaya

Shahrizad Sha Azizan

Layang-layang tidak rosak masih boleh diguna
Esok boleh bermain lagi
Dia berjanji, bersumpah setia
Hanya sha saja di hati

Azrina Nur Rusly

Esok boleh bermain lagi
Bermain beramai-ramai di atas titi
Betulkah hanya Sha sahaja di hati
Entah-entah di sana ada lain yang menguliti

Shahrizad Sha Azizan

Bermain beramai-ramai di atas titi
Titi usang, semakin tua
Ya tak ya jugak, baru sha sedari
Entah-entah dia dah kahwin lari dengan si hawa... (janda anak tiga)

Azrina Nur Rusly

Titi usang semakin tua
Hendak melalui terasa ngeri
Sha sudah mula berprasangka
Hebat juga penangan iblisku ini

Shahrizad Sha Azizan

Hendak melalui terasa ngeri
Guna saja titian batu
Sha bukan ada prasangka, oh no, not me
Dah memang lelaki sikap begitu

Azrina Nur Rusly

Guna sahaja titian batu
Titian batu dibina, YB punya ihsan
Betul, memang sudah lelaki sikap begitu
Berserahlah kepada tuhan agar ditetapkan iman

Shahrizad Sha Azizan

Titian batu dibina, YB punya ihsan
Cantik dan kuat akan binaanya
Ku berserah, redha dalam iman
Biar Tuhan saja menentukannya

Monday, February 14, 2011

Kisah Kasih Sayang - Seloka Ala Belasah Tahap Melampau

Hari ini empat belas Februari
Kononnya sambut Valentine punya hari
Mawar merah dan coklat habis dibeli
Tokey-tokey semua senyum nampak gigi
Sebab hari ini pendapatan masyuk sekali

Si makwe sudah sengih sampai telinga
Si pakwe pula sudah mula garu kepala
Dalam kepala sudah berlegar satu perkara
Sekejap lagi pasti dia jadi mangsa
Keluar duit belikan makwe sekuntum bunga

Hari istimewa bunga tentu naik harga
Lalu depan kedai jeling-jeling tanda harga
Bila sudah nampak terus terbeliak biji mata
Buat-buat seluk poket padahal jari tengah mengira
Duit dalam poket entah berapa ringgit sahaja yang ada
Cukupkah tidak untuk beli tanda cinta

Empat belas Februari katanya hari berkasih-sayang
Ramai orang Islam ikut sambut walaupun sudah dilarang
Marah berapi-api bila orang kata dia bangang
Entah berapa kali pula mahu diulang
Bukankah hari-hari kita cinta dan sayang
Buat macam biasa tidak perlu berlambang-lambang

Mawar merah tanda cintaku setia katanya
Hati si makwe sudah mula berbunga-bunga
Pakwe dalam kepala sudah rangka satu agenda
Aku keluar duit beli bunga, sekejap lagi tubuh engkau aku punya
Si makwe dalam hati langsung tiada syak wasangka
Terus ikut saja walau dibawa ke mana
Demi cinta adik sanggup serah segala

Itulah dari dulu orang sudah bilang
Sambut Valentine bukan budaya Islam
Bila maruah sudah hilang
Masa depan siapa yang kelam
Haaaa... Menangis tidak berlagu siang malam

(C) Azrina Nur Rusly, 14 Februari 2011

Berbalas Pantun Dengan Pak Soffy Dan Shahrizad Sha Azizan di SELEKSI KUSAYANG

Amalan Penentu Balasan

Azrina Nur Rusly

Nenda bersemadi di hujung kampung
Kemboja merendang di tepi pusara
Janganlah kita berlagak sombong
Hidup manusia bukan selamanya

Kemboja merendang di tepi pusara
Gugur sekuntum menyembah bumi
Hidup manusia bukan selamanya
Persiapkan diri sebelum mati

Gugur sekuntum menyembah bumi
Diambil dara selit di telinga
Persiapkan diri sebelum mati
Agar nanti mendapat balasan syurga

(C) Azrina Nur Rusly, 13 Februari 2011

Pak Soffy

Anak dara pagi bermadah
Berlenggang-lenggok sampai ke hulu
Hendak ke syurga bukannya mudah
Harus menempuh ujian dahulu

Pagi-pagi menoreh getah
Getah diletak dalam kuali
Jalan kesyurga ditunjuk sudah
Pandailah kita utk melalui

Anak Mak Ani suka menari
Sambil menari tertendang baldi
Jalan ke syurga telah diberi
Buka AlQuran panduan abadi

Azrina Nur Rusly

Anak dara di awal pagi sudah bermadah
Madahnya indah menawan kalbu
Benar, hendak ke syurga bukannya mudah
Sebab itu dipesan persiapkan diri dahulu

Pagi-pagi ke kebun menoreh getah
Siap menoreh berehat sebentar memakan bahulu
Benar, jalan ke syurga ditunjuk sudah
Sebab itu dipesan persiapkan diri dahulu

Anak Mak Ani memang suka menari
Sambil menari mengalunkan lagu
Benar, jalan ke syurga sudah diberi
Sebab itu dipesan persiapkan diri dahulu

Baju direndam di dalam baldi
Baldi diletak di tepi perigi
Benar, Al-Quran itu panduan abadi
Marilah kita sama-sama menghayati

Shahrizad Sha Azizan

Baju direndam di dalam baldi
Baldi diletak di tepi perigi
Ilmu itu haruslah dicari
Untuk kebahagiaan di akhirat nanti

Siang malam saling berganti
Bulan bintang pandai menyinari
Sayang sungguh jika tidak peduli
Rahmat bekalnya dari Illahi

Berlian tidak, permata pun tidak
Kaca jernih semata-mata
Dunia nak, akhirat pun nak
Sama rata, timbanglah seadanya

Berbalas Pantun Dengan Shahrizad Sha Azizan, Laila Hanni Dan Awie Bakrie Azbeck

Azrina Nur Rusly


Kunang-kunang terbang tinggi

Berkelip-kelip indah cahayanya

Sebentar lagi bertukar hari

Harap Sha sudah bersedia


Laila Hanni


Berkelip-kelip indah cahayanya

Itulah dia si kunang-kunang

Sha terdiam tanpa suara

Menanti idea datang bertandang


Shahrizad Sha Azizan


Kunang-kunang terbang tinggi

Berkelip-kelip indah cahayanya

Jangan risau jangan worry

Sha dah beli kesemuanya


Kunang-kunang terbang tinggi

Berkelip-kelip indah cahayanya

Dah tiba, pun encik awie

Boleh membeli, rasa-rasanya?


Azrina Nur Rusly


Berkelip-kelip indah cahayanya

Buat penerang jalan ke perigi

Tentulah Encik Awie boleh membeli Sha

Kita tunggu sekejap lagi


Awie Bakrie Azbeck


Salam diberi pembuka kata

Kenyang perut suka hati

Maaf kan hamba tak tau apa-apa

Baru balik ni haa..nak buka pc


Azrina Nur Rusly


Si dara sunti suka melawa

Suka juga menyanyi ikut irama

Berbalas pantun kami pelawa

Harap En Awie sudi terima


Awie Bakrie Azbeck


Kaki sakit kena selumbar

Terpijak kaca tepi perigi

Org lain semua dh letak gambar

Tinggal Sha sorang je belum lagi


Shahrizad Sha Azizan


Kaki sakit kena selumbar

Terpijak kaca tepi perigi

Bukan tak nak share gambar

Sha di FB sebab nak promote TLC


Awie Bakrie Azbeck


Budak remaja menghisap shisha

Di kedai mamak Seksyen Lima Belas

Kesianlah kami wahai Sha

Bagi je la..janji ikklas


Baru ku tahu buah papaya

Manis rasa dlm berbiji

Oohh baru ku tahu siapa Sha

Ok2 ..good ,sorok kan sikit identiti


Shahrizad Sha Azizan


Kunang-kunang terbang tinggi

Berkelip-kelip indah cahayanya

Kalau ikut hati mahu diteruskan lagi

Tapi kena tidur dulu sebab esok, wa kerja... (beb)


Baru ku tahu buah papaya

Manis rasa dlm berbiji

Berhijab begitu pilihan Sha

Bukan bersembunyi tapi akur pada kehendak Illahi


Azrina Nur Rusly

Rendang sungguh pohon kuini

Rasa buahnya semanis madu

Berbalas pantun tamat di sini

Insyaallah disambung di lain waktu


Shahrizad Sha Abdullah


Rendang sungguh pohon kuini

Rasa buahnya semanis madu

Baiklah esok kita jumpa lagi

Good nite & thanks to you

Friday, February 11, 2011

Berlari Mencari Pasti - Versi Ala Belasah

Gagah kau berlari sepanjang hari
Ke sana dan ke mari
Tanpa tahu apa yang dicari
Hingga akhirnya langkah kakimu terhenti
Pabila keletihan menguasai diri

Tanpa izin kau labuhkan punggung di atas ketulan batu
Di tepi tasik yang tenang dan airnya tampak biru
Sebiru langit cerah yang membias di airnya yang hampir beku
Begitu juga hatimu yang satu
Tinggal diam, sayu dan berlagu pilu
Lalu kau teruskan renungan matamu
Ke seluruh pelosok alam kau pandang tanpa jemu

Lamanya kau berdiam di situ
Apa lagi yang masih kau ragu
Mulakanlah semula langkahmu yang kaku
Lupakan kisah-kisah sendu
Carilah semula apa yang ingin sangat kau temu
Dalam mimpimu itu

(C) Azrina Nur Rusly, 10 Februari 2011

Tuesday, February 08, 2011

Nota Ala Belasah Ilma (Akibat Tidurnya Terganggu)

Suasana awal pagi yang sunyi tiba-tiba diganggu oleh salakan anjing jiran di tingkat G yang semakin menjadi-jadi. Salakan itu menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang cuba hendak mengganggu ketenteramannya. Ilma mula naik berang. Baharu sahaja dia hendak masuk ke alam mimpi, anjing itu sudah potong stim. Lampu bilik yang sudah dipadamkan oleh Ilma sebelum dia membuat terjunan tiruk ke atas katilnya tadi dipasang kembali. Ilma berkira-kira hendak membuat tinjauan rambang pula ke tingkat bawah namun apabila matanya tertancap ke permukaan jam yang indah menghiasi dinding biliknya, terus sahaja Ilma mematikan niatnya. Sudah hampir jam dua pagi. Lebih baik lupakan sahaja niat untuk keluar daripada rumah.

Ilma bukannya apa. Bimbang jika terserempak sesuatu yang tidak dijangka. Jika perompak, gagah lagi Ilma hendak melarikan diri masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu seketat-ketatnya. Itu jika perompak. Apa pula kisahnya jika Ilma terserempak si manis berambut panjang mengurai berbaju putih yang menumpang di salah sebuah unit kosong berhampiran unit yang didiami oleh Ilma ini? Ke mana pula Ilma hendak melarikan diri? Persoalannya, jikapun ada tempat untuk Ilma bersembunyi, adakah Ilma mampu untuk mengheret langkahnya untuk melarikan diri dari makhluk tuhan paling seksi itu?

Ilma berjeda seketika. Menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum melepaskan kembali. Komputer riba yang sudah dimatikan tadi dihidupkan kembali. Itulah masalah Ilma. Jika sudah terjaga, pasti matanya sukar hendak dilelapkan kembali dan jika itu berlaku, tentu sahaja komputer riba berjenama Sony Vaio yang murah itu menjadi mangsanya. ‘Nasib kaulah lappy. Baru aje kena off dah kena on balik. Hehehe…’ Sempat lagi Ilma bermonolog.

Ilma sengaja tidak mahu log masuk ke akaun streamyxnya. Jika Ilma log masuk, sudah pasti Ilma akan berhenti menulis coretannya separuh jalan. Ini juga salah satu masalah yang membelenggu diri Ilma. Jika Ilma sudah mula berFacebook, pasti Ilma akan malas hendak mengusik karyanya yang lebih banyak tergantung daripada yang siap itu. Sudah berkali-kali juga Ilma dimarahi oleh sifunya kerana terlalu leka dengan laman komuniti itu hingga mengabaikan tugas yang telah diamanahkan untuk disiapkan.

Telinga Ilma sudah lali dengan sindiran dan kata nasihat berbaur marah yang diucapkan oleh sifunya setiap kali memperkatakan tentang manuskrip. Entahlah. Ilma sendiri tidak tahu sampai bila dia akan terus berjaya dilekakan oleh laman komuniti itu. Bukan Ilma tidak pernah mencuba untuk menghindari laman komuniti itu tetapi setiap kali terpandangkan permainan baru yang diwujudkan di situ, hati Ilma meronta-ronta hendak turut serta.

Eh, berbalik kepada kisah anjing menyalak tadi! Ilma sudah leka menulis coretannya hinggakan tidak sedar salakan anjing itu sudah lama berhenti. Mungkin gangguan tadi sudah tiada dan anjing itu sudah lena berselimut kedinginan angin malam. Mata Ilma terasa pedih. Mungkin kesan daripada tidak cukup tidur yang menyebabkan simpton mata pedih itu berlaku. Bukankah semalam Ilma langsung tidak berjaya melelapkan mata walau sepicingpun. Walau puas Ilma bergolek ke kiri, ke kanan, ke kiri lagi dan ke kanan semula namun Ilma tetap juga tidak mampu mengundang lena. Jangankan lena, hendak memejamkan matapun tidak berjaya. Sudahnya, Ilma ke tempat kerja dalam keadaan lesu tidak bermaya akibat tidak mendapat cukup rehat yang berkualiti.

Bercerita tentang tempat kerja, ada juga kisah yang hendak Ilma kongsikan bersama pembacanya. Kisah yang berlaku di pejabatnya sepanjang hari ini. Hari ini, hari pertama bekerja selepas bercuti panjang sempena perayaan Tahun Baru Cina. Pihak pengurusan bangunan Wisma ini pula agaknya tidak mahu menukarkan mahupun menaiktarafkan sistem penghawa dingin utama yang ada. Mungkin kerana hendak mengurangkan perbelanjaan barangkali. Ilma ke pejabat dengan rasa mengantuk dan lesu. Sesampai di pejabat, penghawa dingin utama pula tidak berfungsi. Aduh, malangnya nasib Ilma! Sudahlah panas di hati angkara mata yang buat hal, ditambah lagi dengan panas berbahang akibat masalah penghawa dingin utama. Malahan bertambah-tambah berbahang apabila kaunter dikunjungi ramai pelanggan dan deringan telefon yang tidak putus-putus.

Ada juga pelanggan yang datang, merungut kerana keadaan panas yang mereka alami. Alah! Itu baharu sekejap sahaja mereka mengalaminya. Ilma dari pagi hingga ke petang menghadapinya dengan redha sahaja. Betulkah Ilma redha? Rasanya Ilma redha dalam terpaksa. Apa lagi yang boleh Ilma lakukan selain redha. Hendak mengambil cuti, rasanya tidak patut Ilma lakukan di saat ramai pekerja masih bercuti menyambut Tahun Baru Cina ini.

Ada satu lagi yang Ilma hendak kongsikan dengan pembacanya. Ini berkenaan program tarian singa yang akan diadakan di pejabatnya esok. Seperti biasa, selepas sambutan Tahun Baru Cina, syarikat akan mengadakan tarian singa. Penarinya bukanlah dari kalangan pekerja, tetapi penari yang diupah khas. Ilma rasa dari persatuan sekolah cina. Tentang tarian singa itu bukanlah sesuatu yang hebat untuk diperkatakan. Ilma cuma hendak berkongsi teorinya tentang esok. Jika esok penghawa dingin utama masih mengalami masalah, bagaimanakah agaknya keadaan penari yang menjadi singa itu ketika mengadakan persembahan? Tidakkah tiba-tiba singa akan pitam kerana kepanasan? Hah, Ilma sudah mula dengan teori merepeknya!

Mata Ilma sudah semakin pedih. Jam di skrin komputer riba Ilma pula sudah menunjukkan pukul dua setengah pagi. Esok Ilma harus ke pejabat lagi. Jadi Ilma tamatkan coretannya setakat ini sahaja. Ilma tidak mahu padamkan lampu lagi. Biarlah Ilma tidur di dalam terang hingga ke pagi supaya Ilma tidak terlajak untuk bangun esok.

p/s: Coretan ini sebenarnya hendak dijadikan sebagai sebuah cerpen sewaktu jemari mula menaip perkataan yang pertama tadi. Tetapi bila diteliti semula coretan yang entah apa-apa ini, rasanya biarlah ia dimartabatkan sebagai sebuah nota ala belasah sahaja. Lagipun terasa malas pula hendak menyambungnya panjang-panjang. Kihkihkih
.