Friday, August 20, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 11



DATUK Jamal kehairanan. Ke mana pula perginya Haslinda. Kononnya hendak balik ke pejabat sekejap mengambil telefon bimbit yang tertinggal. Namun sudah hampir satu jam Datuk Jamal berada di dalam Restoran Nasi Ayam Istimewa itu bersendirian. Langsung tiada bayang anak gadisnya itu kelihatan.

Didail nombor telefon bimbit Haslinda. Ada nada deringan namun tiada berjawab. ‘Isk! Mana pula budak ni pergi? Telefon tak jawab. Bayangnya pun langsung tak nampak. Nak makan ke tidak budak ni agaknya.’ Datuk Jamal melepas keluhan.

Pelik juga bila difikirkan. Bukannya jauh sangat jarak di antara Restoran Nasi Ayam Istimewa dengan pejabat mereka. Cuma lebih kurang lima minit masa perjalanan jika berjalan kaki.

Didail pula nombor telefon setiausaha anaknya itu. Risau juga jika terjadi apa-apa kepada anak kesayangannya itu. Talian bersambung selepas dua kali nada deringan.

Memang itulah etika menjawab telefon yang ditekankan di dalam syarikat milik Datuk Jamal itu. Telefon tidak boleh dibiarkan berdering melebihi tiga kali. Tidak kira sama ada sedang sibuk atau tidak, panggilan yang diterima harus dilayan sebaik mungkin.

"Hanija Engineering. Nurul speaking. May I help you?” Kedengaran suara setiausaha Haslinda di hujung talian.

“Nurul, Datuk Jamal ni.” Terus sahaja Datuk Jamal memperkenalkan diri. Tidak mahu setiausaha anaknya itu tertanya-tanya.

“Oh! Ada apa yang boleh saya tolong Datuk?” Terasa sedikit hairan juga di hati Nurul. Ada hal apakah Datuk Jamal menelefon ke situ.

“Linda ada dalam bilik dia?” Pertanyaan Datuk Jamal menambahkan lagi perasaan pelik yang bermain-main di fikiran Nurul. Bukankah tadi Datuk Jamal sendiri yang datang ke bilik Cik Haslinda. Mereka keluar makan bersama.

“Sebentar Datuk, saya tengokkan di dalam bilik Cik Haslinda.” Nurul meminta izin terlebih dahulu.

“Baiklah.” Gagang diletakkan dahulu di tempatnya selepas butang ‘hold’ ditekan. Telinga Datuk Jamal dijamu dengan alunan muzik lembut sementara menunggu di talian.

Bergegas Nurul ke pintu bilik Cik Haslinda. Ditinjau seketika ke dalam bilik Cik Haslinda melalui pintu separuh cermin itu. Bergegas juga dia kembali ke mejanya apabila kelibat Cik Haslinda kelihatan di dalam biliknya.

“Hello Datuk. Cik Haslinda ada dalam bilik dia Datuk. Datuk nak saya sambungkan talian ke bilik Cik Haslinda?” Terangguk-angguk Datuk Jamal di seberang talian walaupun tahu Nurul tidak dapat melihatnya.

“Tak apalah Nurul. Sekejap lagi saya bercakap dengan dia. Terima kasih.” Jari Nurul yang sudah bersedia di atas butang ‘flash’ ditarik semula. Tidak jadi untuk menekan butang yang bakal menyambungkan talian Datuk Jamal ke bilik Cik Haslinda.

“Sama-sama Datuk.” Gagang diletakkan usai menjawab salam yang diberi oleh Datuk Jamal.

*****
HASLINDA tersandar di kerusi kulit di dalam biliknya. Terpejam mata mengingatkan apa yang baru sahaja dilihatnya sebentar tadi. Terfikir apakah yang sedang dirasai di dalam hatinya apabila melihat adegan mesra di antara si tukang kasut dan juga ‘cleaner’ itu.

‘Apa hubungan mereka agaknya? Ah! Kenapa hati aku ni rasa lain? Adakah ini yang dinamakan cemburu? Tak mungkin aku cemburukan si tukang kasut tu. Tak mungkin!’ Hati dan akal Haslinda saling bertingkah kata.

Cuba dilontar segala rasa yang wujud di dalam hati. Cuba dibuang adegan yang telah tertayang di depan matanya yang masih lagi berputar di ingatannya. Terasa sukar.

Laci mejanya ditarik perlahan. Telefon bimbit yang diletakkan di dalam laci itu dicapai perlahan lalu salah satu butangnya ditekan untuk mengaktifkan skrin. Tertera pesanan panggilan tidak berjawab.

Butang menu ditekan lalu dicari aplikasi untuk panggilan tidak berjawab. Terdapat dua panggilan dari Datuk Jamal. Haslinda terkesima. Terbit rasa bersalah di dalam hatinya kerana melayan rasa sehingga terlupa akan papanya yang ditinggalkan di Restoran Nasi Ayam Istimewa tadi.

Nombor telefon bimbit Datuk Jamal segera didail. Hanya sekali deringan sahaja talian sudah bersambung. Kedengaran suara Datuk Jamal di hujung talian.

“Hello!” Teragak-agak Haslinda hendak berkata-kata. Bimbang jika papanya terasa hati dengan sikapnya itu.

“Hello sayang!” Sekali lagi Datuk Jamal menyapa. Kali ini sedikit lembut dari jawapan yang pertama.

“He… Hello papa!” Sedikit tergagap Haslinda menjawab.

“Kenapa sayang?” Lembut suara Datuk Jamal. Sengaja dibiarkan lembut supaya anak gadis kesayangannya itu tidak merasa takut di hujung talian.

“Pa… Linda minta maaf ye. Linda ada hal sikit tadi sampai terlupa nak pergi semula ke sana. Maafkan Linda ye pa.” Berkali-kali Haslinda meminta maaf. Walaupun merupakan anak tunggal dan anak kesayangan Datuk Jamal bersama Datin Rohani namun tidak pernah gadis itu berani berbuat sesuatu yang boleh mendatangkan amarah keduanya.

“Tak apalah sayang. Papa tak kisah. Cuma papa risau kalau apa-apa jadi kat sayang tadi. Itu sebablah papa telefon. Ha! Sayang nak makan apa? Papa bungkuskan ni.” Tersenyum Haslinda mendengar kata-kata papanya itu. Terasa melayang kerisauan yang membelenggu hatinya tadi.

“Linda nak makan nasi goreng USA pula hari ni. Papa tolong bungkuskan ye. Nanti Linda bayar balik kat papa. Hehehe…” Sempat lagi gadis itu berseloroh. Terdengar hamburan tawa Datuk Jamal di talian.

Talian diputuskan selepas selesai kedua beranak itu berbual. Terasa lapang dada Haslinda setelah meminta maaf. Namun perasaannya kembali galau bila teringat semula adegan di hadapan Wisma Hanija tadi.

Dipejam mata serapatnya bertujuan membuang ingatan itu dari layar fikiran. Namun semakin Haslinda cuba untuk melupakan, semakin kuat ingatannya. Akhirnya Haslinda mengalah. Dibiarkan sahaja ingatan itu kekal di situ. Namun di hati tersemat kata, ‘biar waktu yang menentukan segalanya.’

*****
SHAH tersenyum sendiri. Teringat kembali peristiwa sewaktu makan bersama Zaila tadi. Bergetar hatinya bila mengingati gadis itu. Masih terasa lagi sentuhan jemari gadis itu di wajahnya.

Datuk Jamal kehairanan melihat Shah tersenyum sendiri. Entah apa yang sedang difikirkannya sehingga tidak perasan dengan kehadiran Datuk Jamal di hadapannya. Datuk Jamal sengaja berdehem agak kuat.

Shah seperti baru tersedar dari khayalan yang panjang. Terkejut mendengar deheman Datuk Jamal. Terus tersenyum keseganan apabila terpandang wajah Datuk Jamal yang sedang tersenyum di hadapannya.

“Apa yang difikirkan tu Shah sampai tersenyum-senyum sendiri?” Pertanyaan Datuk Jamal menambahkan lagi rasa segan yang bersarang di hati Shah.

“Tak ada apa Datuk.” Tersenyum sahaja Datuk Jamal dengan jawapan yang dilontarkan oleh Shah. Masakan Datuk Jamal akan percaya jawapan berdalih seperti itu.

“Iyelah tu Shah. Macam mana hari ini? Dah ada pelanggan?” Anggukan dari Shah membuahkan senyuman di bibir Datuk Jamal. Turut gembira dengan rezeki yang diterima oleh Shah.

“Tapi baru dapat seorang je Datuk dari pagi hingga sekarang.” Ujar Shah.

“Tak apa Shah. Bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan kepada kita walaupun tak sebanyak mana. Sebagai umat Islam kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan limpahan kurnia Allah kepada kita. Mungkin hari ini diberikannya seorang pelanggan kepada Shah. Esok lusa mungkin dilipatgandakanNya. Perancangan Allah hanya Dia sahaja yang tahu Shah. Kita sebagai hambaNya harus redha.” Terangguk-angguk Shah mendengarkan kata-kata Datuk Jamal.

“Ya Datuk. Saya berterima kasih sangat pada Datuk yang berikan saya peluang mencari rezeki di sini.” Datuk Jamal terus tersenyum.

“Semua ni pun bukan hakmilik saya. Semuanya pinjaman dari Allah kepada saya. Elok juga saya kongsikan dengan orang lain peluang mencari rezeki ni, dapat juga saya ganjaran pahala.” Shah hanya mengangguk mengiyakan kata-kata Datuk Jamal yang sungguh baik hati.

“Baiklah Shah. Saya minta diri dulu. Nanti kelaparan pula puteri saya di atas tu. Entah apa anginnya tadi. Katanya nak balik ke pejabat sekejap ambil telefonnya tapi terus tak turun-turun. Jenuh juga saya menunggu tadi.” Datuk Jamal berlalu meninggalkan Shah menyambung angan selepas bersalaman dengan lelaki itu. Tersenyum Shah menghantar langkah Datuk Jamal hingga hilang dari pandangan.

Terasa bertuah Shah dipertemukan dengan seorang insan yang berhati mulia seperti Datuk Jamal. Walaupun kaya dan bergelar Datuk namun tidak ada secebis kesombongan dalam dirinya. Semua orang dilayan sama rata.

Terfikir Shah kepada peristiwa dia dihina Maya. Mungkin ini adalah hikmah yang tersembunyi dari kejadian memalukan yang telah menimpa dirinya itu. Teringat Shah akan dua sabda Rasulullah yang pernah dibacanya di dalam sebuah blog yang pernah dilayarinya ketika mencari bahan untuk menyiapkan ‘assignment’nya dahulu.

“Sedekah tidak mengurangi sebahagian dari harta, dan Allah tidak menambah kepada seorang hamba kerana maaf melainkan kemuliaan, dan seseorang tidak bertawadhu’ kerana Allah, melainkan Allah meninggikannya.” (Ibnu Qudamah, dalam kitab Minhajul Qashidin, hlm. 233)

Dari Uqbah bin Amir, dia berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Wahai Uqbah, bagaimana jika kuberitahukan kepadamu tentang akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama? Hendaklah menyambung hubungan persaudaraan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, hendaklah engkau memberi orang yang tidak mahu memberimu dan maafkanlah orang yang telah menzalimimu.” (HR Ahmad, al-Hakim, dan al-Baghawy)

‘Syukur kepadaMu ya Allah, tuhan sekalian alam yang memberikan keteguhan dan sifat kemaafan di hatiku. Semoga limpahan rahmatMu sentiasa bersamaku. Amin.’ Sempat Shah memanjatkan doa kepada Allah atas segala yang telah dan bakal dialaminya.

Thursday, August 19, 2010

Asmara Harum Kemboja bab 3



TARMIZI membuka mata. Dia berada di sebuah taman yang dipenuhi pepohon kemboja yang lebat berbunga. Haruman kemboja memenuhi setiap sudut dan ruang.

Dia terpaku melihat keindahan yang terbentang di hadapan matanya. Lidahnya kelu. Di dalam hati tertanya-tanya. ‘Di mana aku sekarang?’

Tarmizi memejam mata kembali. Cuba untuk kembali ke alam nyata. Namun apabila kelopak mata terbuka, masih lagi ia melihat pemandangan yang sama.

Dedaunan berlaga dilanda semilir angin. Sekuntum kemboja putih melayang jatuh ke kakinya. Tarmizi menunduk. Mengutip kuntuman yang masih segar. Dibawa ke hidung lalu dihidu baunya.

Haruman kemboja memenuhi rongga hidung. Haruman yang telah dilupuskan dari ingatannya selama bertahun-tahun. Namun kini dirinya dikelilingi oleh haruman itu. Di suatu tempat yang serasa seperti tidak pernah dijejaki oleh sepasang kakinya itu.

Tarmizi tertoleh-toleh. Mencari-cari sebarang tanda kewujudan manusia di tempat yang dirasakan begitu asing bagi dirinya. Di dalam hatinya berdoa semoga akan ada insan yang ditemui di sini.

Cahaya rembulan menyinari keseluruhan taman. Suasana terang-benderang. Tarmizi mengukir senyum tatkala pandangan matanya tertumpu ke arah sesusuk tubuh yang sedang berdiri membelakanginya.

‘Alhamdulillah. Ada juga orang nak ditanya.’ Detik hatinya. Laju langkah kaki diatur ke arah susuk tubuh yang masih lagi belum berpaling.

Rambut panjang mengurai ditutupi sebahagiannya dengan selendang panjang. Susuk tubuh berkebaya pendek mengikut potongan badan itu leka mengutip kuntuman kemboja yang gugur ke tanah.

Bagai menyedari kehadiran Tarmizi, gadis itu berpaling menghadap ke arahnya. Wajahnya sungguh ayu. Tarmizi kelu. Tiada sebarang suara yang keluar dari mulutnya. Seulas bibirnya bagaikan terkunci melihat keindahan yang terpampang di hadapan matanya.

Gadis itu tersenyum. Bertambah terserlah keayuannya bersama sepasang lesung pipi di kiri dan kanan pipinya. Kulit wajahnya bersih. Sungguh berseri. Bermata bundar bercahaya. Hidung mancung terletak. Bibir bak delima merkah.

Tarmizi seperti pernah melihat gadis cantik itu. Dikerah segala ingatannya kembali ke masa silam. Kembali ke lima belas tahun lampau. Ligat sel-sel otaknya berusaha untuk cuba mengingati kisah lalu.

Gadis itu menghampirinya. Sekali lagi dilemparkan senyuman menawan. Tarmizi ingin bertanya namun bibirnya masih terkunci tanpa suara.

“Akhirnya kanda kembali juga kepada Kesuma.” Gadis itu memulakan bicara. Tarmizi kebingungan. Terpana dengan kalimah yang baru sahaja diucapkan oleh gadis itu.

‘Kembali?’ Hatinya diusik tanda tanya. Pandangan matanya tidak beralih dari wajah bersih gadis itu. Dia seolah terpaku di situ. Terpaku menatap seraut wajah ayu itu.

“Ya. Akhirnya kanda kembali. Sudah lama Kesuma menantikan kanda kembali ke sisi Kesuma.” Sekali lagi gadis itu mengucapkan kalimah kembali. Hati Tarmizi semakin dijentik rasa hairan. Masih berusaha mengimbas kenangan silam. Namun masih juga tidak ditemui jawapannya. Berkerut wajahnya memikirkan.

*****
AMANDA terjaga ketika lenanya di puncak nikmat. Sedikit terganggu bila tubuh yang hanya dibaluti sepasang baju tidur digigit kedinginan. Dia bangkit. Ingin mencari selimut yang entah di mana terhumban.

Tingkahnya terhenti. Hati dipagut rasa hairan. Pelik melihat wajah suaminya yang berkerut penuh persoalan. Digoncang sedikit tubuh suaminya yang berbaring lena di sisinya.

“Bang! Bang! Bangun bang.” Terpisat-pisat Tarmizi mencelikkan mata. Bingkas lelaki itu bangun. Melingas mata memerhati sekeliling. Seolah ingin mengenalpasti di mana dia berada kini.

Terkejut Amanda dengan reaksi Tarmizi. Lengan sasa suaminya itu segera diusap. Bertujuan menyalurkan sedikit ketenangan kepada lelaki itu.

“Kenapa bang?” Lembut Amanda melontar pertanyaan. Ditahan rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam dada. Tidak mahu suami yang baru sedikit tenang merasa terdesak.

“Tak ada apalah sayang. Abang cuma bermimpi. Sudahlah…. Mari kita tidur.” Hanya anggukan yang mampu dibalas Amanda. Tidak mahu memanjangkan cerita yang tak mungkin akan dirungkai oleh Tarmizi di ketika itu.

Tarmizi kembali merebahkan diri di atas katil. Mata yang masih bersisa rasa kantuk segera dipejamkan. Ingin cuba mengundang lena untuk kembali bertandang. Amanda yang sudah berdiri di sisi katil menarik selimut menutupi tubuh si suami yang sudah kembali memejamkan mata.

“Nak ke mana tu sayang?” Langkah Amanda terhenti seketika di ambang pintu. Berpaling ke arah Tarmizi yang sedang merenungnya dengan pandangan penuh tanda tanya. Senyuman manis diukir.

“Nak ke dapur bang. Dahaga. Abang nak minum? Sayang ambilkan ye?” Tarmizi sekadar menggeleng sebelum kembali memejam mata. Tanpa berlengah, Amanda menghilang ke dapur memenuhi tuntutan alam.

Usai menghilang dahaga, Amanda kembali semula ke bilik. Membetulkan selimut yang menutupi tubuh kedua cahayamata yang sudah lama terlena sebelum kembali merebahkan tubuh di sisi Tarmizi. Mata dipejam hingga lena kembali bertandang.

*****
TARMIZI kembali semula ke situ. Di taman yang dipenuhi pepohon kemboja yang lebat berbunga. Dikelilingi haruman kemboja yang menusuk rongga hidung.

Terasa sejuk lengan kirinya. Sedikit terkesima Tarmizi apabila jemari runcing milik gadis yang menggelarkan dirinya Kesuma menyentuh lengannya. Dipandang wajah gadis itu sekali lagi. Masih seperti tadi. Tetap ayu berselendang panjang bersama senyuman yang sentiasa terukir di bibir.

Senyuman berbalas. Tarmizi tidak menolak bila lengannya dilingkari lengan gadis itu. Terasa ada sesuatu yang bergetar dalam dirinya.

Beriringan mereka berjalan di bawah pepohon kemboja. Perlahan menyusuri lorong di celahan pohon yang merendang. Menuju ke pinggir anak sungai di hujung taman.

“Kita duduk sebentar di sini ya kanda?” Langkah berhenti di sebatang kayu rebah. Gadis bernama Kesuma itu melabuhkan punggung di atas batang kayu. Tarmizi turut duduk di sisinya.

Tarmizi masih lagi menatap seraut wajah ayu itu. Kesuma hanya tersenyum sambil membalas pandangan Tarmizi. Tiada kata yang terucap di antara keduanya. Hanya elusan angin malam yang membelai.

“Awak siapa? Di mana saya berada ni?” Bertalu-talu soalan dilempar Tarmizi. Tidak berubah riak wajah Kesuma dengan pertanyaan itu. Masih lagi manis mengukir senyuman.

“Kanda sudah lupakan Kesuma? Kanda sudah lupakan tempat ini?” Anggukan Tarmizi sebagai jawapan yang mungkin telah mencarik hati gadis itu. Wajah yang sentiasa basah dengan senyuman berubah riak. Tampak sayu dan pilu.

Tarmizi merasa serba salah. Pautan di lengan perlahan terlerai. Hati yang bergetar mula rasa tidak keruan. Seolah bakal kehilangan sesuatu yang bernilai.

“Kanda di tempat Kesuma. Di tempat kita selalu bertemu melepas rindu suatu masa dahulu. Di tempat kanda melafaz janji akan setia bersama Kesuma sampai bila-bila.” Terkedu Tarmizi dengan jawapan gadis itu.

Puas dipaksa otak mengimbas kenangan lalu namun tiada apa yang wujud di skrin ingatannya tentang gadis itu. Apa yang tertayang di layar ingatannya hanyalah peristiwa paling sedih yang pernah berlaku dalam hidupnya.

Peristiwa dia dihalau oleh ayahnya lima belas tahun dahulu dan di hari yang sama itulah dia kehilangan ibu tercinta. Hanya itulah satu-satunya kenangan dari lima belas tahun lampau yang tidak sesaatpun pernah terlupa dari ingatannya.

Pandangan ditebar ke tengah anak sungai. Terlihat kemilau cahaya bulan bersatu di arus air yang menghilir. Berkilau umpama butiran berlian disimbah cahaya bergemerlapan.

Tarmizi memeluk tubuh. Terasa kedinginan dihembus bayu malam. Menggigit hingga ke tulang hitam.

“Kita akan bertemu lagi kanda. Jika kanda terhidu haruman kemboja, itu tandanya Kesuma datang menuntut janji!” Tarmizi terkedu. Gadis itu tiba-tiba berdiri lalu melangkah meninggalkan Tarmizi sendiri. Semakin lama semakin menjauh dan menghilang ditelan kabus.

“Kesuma! Tunggu! Kesuma!” Tarmizi cuba mengejar. Namun kehampaan bertamu bila semua yang berada di hadapan matanya lenyap dari pandangan. Tiada langsung kemilau cahaya. Hanya kelam. Hitam.

*****
TARMIZI bingkas duduk sejurus tersedar. Di kejauhan kedengaran azan Subuh sedang berkumandang. Ditoleh ke sisi. Terlihat Amanda yang masih lena di bawah selimut. Diam tidak berkutik sedikitpun.

Ditebarkan pula pandangan ke arah dua cahayamatanya yang berada di atas tilam di lantai bilik. Sama seperti ibu mereka, keduanya turut lena. Berselimut hingga ke paras leher.

Tarmizi bangun. Perlahan turun dari katil. Tidak mahu mengejutkan Amanda yang mungkin sedang enak dibuai mimpi. Berjalan berjingkit Tarmizi ke pintu bilik. Ditolak perlahan pintu bilik yang tidak berkunci lalu memboloskan diri.

Pintu yang terbuka terkatup semula. Yakin Tarmizi sudah tiada di dalam bilik itu, Amanda segera membuka mata. Ada titis jernih bertakung di tubir mata itu.

Hati yang tersayat tertanya-tanya siapakah pemilik nama Kesuma yang meniti di bibir suaminya. Siapakah Kesuma yang hadir di dalam lena lelaki kesayangannya.

Derap langkah kedengaran menghampiri bilik. Airmata yang menunggu masa untuk gugur segera diseka. Dipejam semula mata yang sudah hilang kantuknya.

Thursday, August 05, 2010

Asmara Harum Kemboja bab 2


AMANDA sibuk membantu Mak Som menyediakan hidangan makan malam di dapur. Mikael dan Melissa duduk di ruang tamu menonton televisyen. Menyeringai sahaja kedua-dua kanak-kanak itu melihat telatah Sin Chan di kaca televisyen.

Tiada siaran Astro di rumah Pak Ali. Baik Ceria mahupun Mustika. Bukan Pak Ali tidak mampu untuk membayar sewa bulanannya. Tiada siapa sebenarnya yang mahu menonton pelbagai rangkaian yang ditawarkan oleh syarikat penyiaran swasta itu.

Pak Ali hanya mementingkan siaran berita sahaja. Sekali-sekali pasangan tua itu akan menonton tayangan filem lama lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Itu semua boleh diperolehi di siaran percuma ehsan Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia. Daripada membazir membayar sewa, lebih baik tiada melanggan langsung.

Pernah juga anak cucu yang pulang ke kampung bertanyakan tentang itu kepada Pak Ali. Namun itulah jawapan yang selalu diberikannya kepada mereka. Tidak mahu membazir duit kepada sesuatu yang tidak penting.

Sikap berjimat cermat Pak Ali suami isteri itulah yang membolehkan mereka menyimpan duit di dalam Tabung Haji. Sudah dua kali mereka ke Tanah Suci menunaikan rukun Islam yang terakhir. Menunaikan fardhu haji bagi mereka yang berkemampuan.

Mujur sahaja Tarmizi sudah mendidik anak-anaknya agar sentiasa bersederhana dalam segala hal. Tidaklah anak-anaknya itu mempersoalkan juga kekurangan itu. Mudah sahaja mereka menyesuaikan diri.

Hari sudah beransur senja. Suasana pun sudah bertukar gelap. Tarmizi dan Pak Ali masih lagi rancak berbual-bual di beranda. Sudah berbelas tahun tidak berjumpa, tentu sahaja banyak cerita yang hendak dikongsikan bersama.

Mikael meninggalkan ruang tamu. Berjalan menghampiri Tarmizi yang leka berbual. Perlahan kanak-kanak lelaki itu melabuhkan punggung di sisi Tarmizi. Riak wajahnya sedikit berlainan.

“Kenapa ni El? Masuk ke dalamlah tengok kartun dengan kakak. Papa nak berbual dengan Tok Ali ni. Budak-budak kan tak baik dengar orang tua berbual. Kan papa dah ajar dulu. El lupa ye?” Pak Ali hanya tersenyum mendengar Tarmizi menasihati anaknya. Tidak teringin langsung hendak menyampuk.

“Tapi pa…” Tarmizi menjegilkan mata ke arah Mikael. Serba-salah kanak-kanak itu hendak meneruskan kata-kata. Terasa kasihan pula Pak Ali melihat wajah kanak-kanak itu.

“Tak apalah Mizi… Biarlah dia duduk sini. Bukannya cerita apapun. Kalau dia dengar pun, sekurang-kurangnya dia tahu kisah kamu masa kecil dulu. Boleh juga dia tahu pasal arwah mak dan ayah kamu.” Tarmizi kehilangan kata. Dibiarkan sahaja Mikael duduk di sisinya demi menjaga hati lelaki tua yang berada di hadapannya itu.

“Pa…” Mikael merapatkan tubuhnya kepada Tarmizi. Terasa hairan pula Tarmizi akan sikap anak lelakinya itu. Selalunya tidak pula Mikael bersikap sebegini.

“Kenapa ni El? El nak cakap apa-apa ke?” Tarmizi memandang tepat ke wajah Mikael. Pak Ali hanya berdiam. Turut menunggu kanak-kanak itu meluahkan apa yang tersimpan di hatinya.

“Pa… El takut. Tadi El bau wangi sangat. El tanya kakak… kakak kata tak ada bau apa-apapun.” Sedikit terkejut Tarmizi dengan kata-kata anaknya itu. Wajah Pak Ali turut berubah riak.

Tarmizi dan Pak Ali saling berpandangan. Isyarat dihantar tanpa bersuara. Hanya melalui pandangan mata. Tarmizi mengeluh. Terasa kisah yang cuba dipadamkan dulu tidak lupus. Kini muncul kembali setelah kepulangannya ke situ.

***************
HARI sudah lewat malam. Mikael dan Melissa sudah tertidur kekenyangan di hadapan televisyen. Amanda dan Mak Som turut serta dengan perbualan Tarmizi bersama Pak Ali.

Pelbagai cerita yang disampaikan oleh Pak Ali kepada Tarmizi. Semuanya berkisar tentang kampung itu. Tentang rumah peninggalan arwah ayahnya yang hampir roboh. Tentang kerinduan yang ditanggung Tuan Haji Yahya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya terhadap satu-satu zuriatnya itu. Juga tentang kekesalannya menghalau Tarmizi dahulu.

Tarmizi tidak mampu menahan sebak. Menitis airmata kesedihan bercampur rasa bersalah. Amanda mengusap belakang Tarmizi untuk menenangkannya. Diseka airmata yang menitis di wajah suaminya itu dengan jemarinya yang runcing.

“Anak-anak dah tidur ke sayang?” Pertanyaan Tarmizi dijawab dengan anggukan dan senyuman oleh Amanda yang berada di sisinya. Tahu suaminya itu bertanya hanya kerana ingin mengalihkan rasa sedih yang ditanggung.

“Kejutkan mereka. Kita nak balik dah ni.” Terasa sebak Tarmizi hendak meneruskan perbualan. Amanda mula mengangkat punggung namun ditahan oleh Mak Som.

“Tak payahlah kejutkan budak berdua tu. Biarkan mereka tidur. Penat tu. Dah lewat malam ni, kamu sekeluarga tidur ajelah di sini. Tidur kat bilik depan tu.” Pak Ali mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata isterinya.

“Tidur sini ajelah Mizi, Amanda. Kalau nak balik, esok pagi-pagi aje kamu balik ke pekan. Dah lewat ni. Kereta kamu kan dekat halaman rumah arwah ayah kamu. Takkanlah kamu nak bawa anak-anak kamu ke sana. Rumah tu dah lama kosong. Kalau apa-apa jadi nanti… Kan susah.” Minda Tarmizi mencerna kata-kata Pak Ali. Terfikir juga dia ke situ tadi. Bimbang juga jika anak-anaknya diganggu.

Berpandangan seketika Tarmizi dan Amanda mencari kata sepakat. Amanda melempar senyum. Mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Pak Ali dan Mak Som.

“Nanti tidak ke kami menyusahkan Pak Ali dan Mak Som?” Tersenyum Pak Ali dan Mak Som mendengar pertanyaan Tarmizi. Mana mungkin mereka merasa terbeban sedangkan di rumah itupun hanya mereka berdua sahaja yang tinggal.

“Manalah ada membebankan Mizi, Amanda. Kami lagi suka kalau kamu bermalam di sini. Kalau kamu sekeluarga nak tinggal di sini sementara rumah kamu tu diperbaikipun… Lagi kami suka.” Kata-kata Pak Ali mengundang senyuman lebar di bibir tua Mak Som.

Sudah agak lama hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di rumah itu. Kadangkala terasa sunyi juga. Anak cucu mereka hanya pulang bila musim perayaan sahaja. Ketika itu barulah terasa meriahnya rumah itu.

“Betul kata Pak Ali kamu tu Mizi. Kamu tinggal ajelah di sini dengan kami. Tak payahlah kamu membazir duit bayar sewa hotel tu. Nanti dah siap kerja baikpulih rumah arwah ayah kamu… dah bersih… bolehlah kamu pindah masuk rumah tu. Terhibur juga kami dengan anak-anak kamu tu. Dah lama juga rumah ni tak meriah dengan kanak-kanak.” Terasa serba-salah pula Tarmizi hendak menolak pelawaan kedua orang tua yang baik hati itu. Terfikir juga Tarmizi. Mungkin mereka rasa kesunyian.

“Yelah… Kalau dah macam tu kata Pak Ali dan Mak Som. Kami berterima kasihlah dengan Pak Ali dan Mak Som sudi tumpangkan kami. Tapi esok kami tak bermalam di sini Pak Ali.” Lebar senyuman yang terukir di bibir Mak Som tadi perlahan-lahan surut. Amanda menyinggul sedikit lengan suaminya. Isyarat mata diberi menunjukkan ke arah Mak Som. Tarmizi memahami keadaan itu.

“Mak Som… Janganlah Mak Som berkecil hati dengan kami. Bukan kami tak sudi tinggal di sini. Sebenarnya esok saya ada urusan sedikit di pekan. Saya janji… selesai urusan saya, kami akan datang tinggal di sini dengan Mak Som dan Pak Ali sementara menunggu rumah arwah ayah saya siap dibaikpulih.” Lembut Tarmizi melontar kata. Rasa terpujuk hati Mak Som yang sudah sedikit kecewa. Senyuman kembali terukir di wajahnya.

Terasa senang hati Tarmizi dan Amanda melihat senyuman yang kembali menghiasi wajah tua Mak Som yang sudah dianggap seperti ibu sendiri itu. Terasa serba-salah juga sebentar tadi membuatkan orang tua itu terasa hati.

“Kalau dah begitu kata kamu Mizi, esok Mak Som kemaskan bilik lain untuk Melissa dan Mikael pula.” Masih lagi senyuman menghiasi wajah Mak Som. Barangkali kerana terlalu gembira akan mendapat teman berbual.

“Tak payah susah-susah Mak Som. Budak berdua tu boleh tidur dengan kami. Lagipun si Mikael tu penakut sikit orangnya.” Menggeleng sahaja Mak Som dengan kata-kata Tarmizi.

“Tak ada susahnya Mizi. Bilik tengah tu aje. Dah kemas pun cuma nak menukar cadarnya aje. Dah berhabuk agaknya. Anak-anak Mak Som dah lama tak balik. Tak ada orang guna bilik tu. Lagipun budak-budak tu dah besar Mizi, tak elok tidur dengan kamu lagi.” Terpaksa Tarmizi akur sahaja dengan kata-kata Mak Som. Tidak mahu membuat hati orang tua itu terusik lagi.

**************
SUASANA makin hening. Jam di dinding bilik sudah menunjukkan hampir pukul satu pagi. Mata Tarmizi masih tidak mahu terpejam. Sudah puas dipaksa namun lena tidak mahu juga bertandang.

Tarmizi berkalih. Dipandang wajah isterinya yang telah lena. Terasa sedikit cemburu kerana isterinya itu dengan mudah sahaja dapat melelapkan mata berbanding dia yang masih lagi berjaga.

Dipandang pula kedua-dua anaknya. Mikael dan Melissa. Kedua-duanya sudah lama lena di atas dua buah tilam bujang yang dibentang di atas lantai bilik itu.

Tarmizi keresahan. Hidungnya tercium bau yang sudah lama dilupakan dari ingatannya. Semakin lama semakin kuat bau itu dirasakannya. Hatinya berdebar. Dipejamkan juga mata yang masih berdegil. Dipaksa agar tidak terbuka. Tidak sanggup dia hendak menjamu matanya dengan pemandangan yang sudah lama disimpan dalam kotak kenangan.

Ayat-ayat suci dibacakan di dalam hati dengan harapan hatinya yang berdebar akan tenang. Juga dengan harapan agar bau wangi yang menerpa deria baunya itu segera berlalu, menghilang bersama hembusan angin malam.

Terasa angin dingin berhembus di wajahnya bersama harum kemboja yang semerbak memenuhi rongga hidung. Mata yang enggan dibuka makin lama makin memberat dan akhirnya Tarmizi terlena. Lena bersama harum kemboja.

Tuesday, August 03, 2010

Tiga Hari Dua Malam bab 1


SEMESTER akhir sudahpun tamat. Lega rasanya apabila sudah berjaya menghabiskan pengajian selama tiga tahun ini. Banyak rancangan yang sudah diatur Remy sempena meraikan tamatnya pengajian yang dianggap sebagai penyeksaan terhadap otaknya.

Selama tiga tahun ini Remy bertungkus lumus belajar. Tidak mahu menghampakan kedua orang tuanya yang menaruh harapan tinggi kepadanya. Lagipun Remy ingin menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya yang lain.

Remy tidak berasal dari keluarga yang senang. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang sederhana namun penuh kasih-sayang. Ibu dan ayah sangat menitikberatkan hubungan kekeluargaan.

Mujur juga Remy dapat meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia. Tidaklah susah untuk Remy selalu pulang ke kampung menjenguk keluarganya yang hanya berada di Kajang.

Setiap bulan Remy akan pulang ke kampung. Di waktu itulah dia akan menyemak kerja-kerja sekolah adik-adiknya. Dia mahu adik-adiknya turut berjaya melanjutkan pelajaran ke university seperti dirinya.

Di dalam kampus Remy merupakan seorang pelajar yang aktif. Banyak persatuan yang disertainya. Banyak juga acara sukan di peringkat antara universiti yang disertai oleh Remy. Boleh dikatakan nama Remy agak terkenal di dalam Universiti Putra Malaysia itu.

Walaupun Remy bukanlah orang yang senang, dia bertuah kerana dilahirkan dengan pakej yang lengkap. Dia mempunyai kebijaksanaan malahan dia juga mempunyai raut wajah dan susuk tubuh yang menarik. Ramai pelajar perempuan yang jatuh hati kepadanya.

Tetapi Remy tidak pernah menerima mana-mana huluran cinta dari pelajar-pelajar perempuan yang cuba mendekatinya. Remy hanya menganggap mereka semua sebagai kawan sahaja. Dia tidak mahu memikirkan soal cinta ketika masih belajar.

Bagi Remy belajar itu lebih penting dari segalanya. Cinta di waktu belajar hanya akan mengganggu konsentrasinya di dalam pelajaran. Dia ingin berjaya dahulu. Selepas itu baharulah dia akan memikirkan soal mencari pasangan.

Sedikitpun Remy tidak hairan apalagi cemburu apabila melihat rakan sekuliahnya yang sering belajar mahupun keluar makan bersama pasangan masing-masing. Baginya itu semua tidak penting. Dia tidak kisah jika makan bersendirian atau belajar bersendirian.

Remy percaya akan ketentuan tuhan. Ibu selalu mengingatkannya tentang itu. Jodoh pertemuan semuanya kuasa Allah. Jika Allah berkehendakkan, sekelip mata sahaja jodoh yang telah ditentukan untuk setiap hambaNya akan dipertemukan.

Tetapi ada sesuatu yang menggusarkan hati Remy sejak akhir-akhir ini. Julia. Gadis bernama Julia itu masih lagi belum berputus asa. Walaupun telah berkali-kali Remy menolak namun gadis itu masih tidak jemu mencuba mendapatkan cintanya.

*****************
SUDAH lama Julia menaruh hati kepada Remy. Sejak mereka berada di tahun satu lagi Julia sudah menunjukkan minatnya kepada Remy tetapi tidak pernah Remy mahu mengambil tahu. Julia sangat meminati gaya Remy yang kelihatan biasa itu.

Pernah beberapa kali Julia menyuarakan rasa hatinya kepada Remy namun tidak pernah lelaki itu mahu menerimanya. Entah apa kurang dirinya hinggakan Remy langsung tidak mahu menerimanya. Malahan memandang kepadanya pun Remy tidak sudi.

Surat-surat yang dikirimkan kepada Remy melalui teman sebilik Remy juga dikembalikan kepadanya. Sungguh-sungguh Remy tidak sudi. Terasa malu juga Julia kepada rakan sebilik Remy itu. Mujur juga teman sebilik Remy itu merupakan kekasih teman sebilik Julia. Tidaklah perkara yang memalukan itu tersebar ke serata kampus.

“Ju! Ju! Cuba kau tengok sana!” Daliana memuncungkan mulutnya ke arah pintu kafetaria. Julia yang sedang menyisip minuman meletakkan gelas yang dipegangnya lalu memalingkan wajah ke arah yang ditunjukkan oleh Daliana.

“Eh! ‘Boyfriend’ kau dengan Remylah.” Balas Julia tanpa memandang Daliana. Hatinya melonjak riang. Matanya masih tidak lepas memandang satu-satunya lelaki yang dicintainya.

“Ju! Sudah-sudahlah tu. Nanti diorang perasan pula kau pandang sampai nak tembus tu. Malulah. Buat biasa-biasa je sudahlah. Janganlah ‘over’ sangat.” Nasihat Daliana sambil mencuit lengan Julia. Tersengih sahaja Julia ditegur teman sebiliknya yang juga merupakan sahabat karibnya itu.

“Kau buat biasa je tau Ju. Aku nak panggil diorang datang duduk sekali dengan kita. Kau jangan buat perangai pula. Malu kita nanti.” Julia tersengih. Mengangguk tanda setuju dengan amaran Daliana.

“Muka aku comot tak? Rambut aku tak kusut kan?” Soal Julia sambil membetul-betulkan rambut dan mengesat mukanya dengan tisu yang baru diambil di dalam beg tangannya. Tersengih-sengih sahaja Julia. Serasa tidak sabar menunggu pujaan hatinya itu sampai ke meja mereka.

“Tak adalah. Semua elok je aku tengok. Ingat... Kau jangan bagi malu aku pula.” Risau sungguh Daliana sekiranya Julia buat perangai di depan kekasihnya Johari dan Remy. Bukan Daliana tidak tahu yang Julia terlalu obses dengan Remy selama ini.

Bimbang juga sekiranya Julia berbuat sesuatu yang memalukan semata-mata untuk menarik perhatian Remy. Mereka kini berada di dalam kafetaria. Malu jika pelajar-pelajar lain yang ramai di dalam kafetaria turut sama memandang.

Rasa sedikit menyesal juga Daliana memberitahu kedatangan kedua-dua lelaki itu tadi. Sepatutnya didiamkan sahaja. Kalau begini caranya penerimaan Julia, lebih elok jika dia berdiam sahaja tadi.

Ah! Nasi sudah menjadi bubur. Perkara sudah terjadi. Tidak guna Daliana hendak menyesal lagi. Mahu atau tidak, terpaksalah Daliana menghadapi juga sebarang kemungkinan.

*****************
JOHARI dan Remy berjalan menghampiri meja yang diduduki oleh Daliana dan Julia. Julia sudah tersenyum-senyum. Di dalam hatinya melonjak riang kerana dapat duduk semeja dengan pujaan hatinya.

Berlainan pula dengan Remy. Dia keresahan. Sungguh dia tidak mahu berlamaan di situ. Dia tidak mahu Julia menaruh harapan lagi. Tetapi untuk meninggalkan Johari di situ tidak mungkin baginya kerana mereka telah berjanji hendak bersama-sama ke perpustakaan usai makan nanti.

“Hai! Dah lama ke awak berdua duduk di sini?” Johari melontar pertanyaan apabila dilihatnya dua buah pinggan yang kosong dan sudah agak kering di atas meja.

“Dah lama jugalah awak. Kami dah nak per... Aduh!” Daliana terjerit kecil. Dia menggosok-gosok kakinya yang ditendang Julia di bawah meja.

“Kenapa awak?” Cemas Johari bertanya kekasih hatinya itu yang tiba-tiba sahaja terjerit ketika sedang bercakap.

“Eh! Tak... Tak ada apa-apa awak. Kaki saya... Terhantuk dekat kaki meja.” Jawapan spontan Daliana mengundang tawa Julia. Namun cepat ditekup mulutnya dari mengeluarkan bunyi.

Remy hanya berdiam. Tidak langsung mengeluarkan sebarang suara. Wajah Julia juga langsung tidak dipandangnya sedikitpun. Di dalam hatinya hanya ingin cepat pergi dari situ.

Julia sengaja merapatkan sedikit tubuhnya dengan Remy yang duduk di sebelahnya. Remy gusar.
Wajahnya jelas menunjukkan ketidaksenangannya dengan perbuatan Julia.

Daliana menyinggul Johari yang berada di sebelahnya. Dia hanya memberi isyarat mulut sahaja ke arah Remy dan Julia. Ketara sungguh wajah Remy yang kegelisahan.

“Eh! Tak apalah awak. Saya pergi dulu ye. Julia... Saya pergi dulu. Ada kerja nak buat. Jom Remy!” Johari terpaksa bertindak menyelamatkan suasana. Bimbang juga jika Julia berbuat yang tidak-tidak.

Remy bingkas bangun. Memang itu yang dia tunggu-tunggu. Tidak betah dia mahu berada berdekatan dengan Julia. Tanpa sepatah kata Remy berlalu bersama Johari.

Tiada apa yang dapat Julia katakan lagi. Dia hanya mampu memandang pujaan hatinya itu berlalu meninggalkan kafetaria dan menghilang di sebalik dinding bangunan.

Masam sahaja wajah Julia. Kecewa kerana tidak dapat berlamaan dengan Remy. Geram kerana Johari dan Daliana seolah tidak mahu memberi peluang kepadanya.

‘Tak apa. Hari ini hari engkau. Satu masa nanti sampailah hari untuk aku pula. Tengoklah nanti.’ Hatinya berbisik nekad. Direnung sahabat karibnya itu dengan pandangan yang tidak dapat dimengertikan.

Sunday, August 01, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 10



KASUT pelanggan pertamanya itu sudah siap ditukarkan tapak baru. Kemas hasil kerja Shah. Begitu teliti dia menjalankan tugasnya. Sememangnya perkara berkaitan kasut memang menjadi kegemaran Shah. Tidak kira dari segi membuat rekaan, menjahit mahupun membaiki kasut yang rosak.

Shah mengerling jam di pergelangan tangannya. Jam sudah menunjukkan ke hampir pukul satu tengahari. Gadis itu masih belum muncul lagi. Perut Shah sudah mula berkeroncong. Hendak meninggalkan tempat itu, bimbang pula jika gadis itu turun ketika dia tiada. Hendak menunggu, perutnya sudah terasa sangat lapar.

‘Tak apalah. Tunggu kejap lagi. Dia rehat pukul satu agaknya.’ Hatinya berbisik sendiri. Diselak-selak lagi buku motivasi tulisan Dr. Fadzilah Kamsah yang dibaca tadi untuk menghilangkan kebosanan.

Masih lagi terasa bosan. Shah meletakkan buku tersebut ke tepi. Dikeluarkan pula buku ‘sketch’ yang sentiasa dibawa bersama. Dikeluarkan juga bekas pensel yang berisi pensel-pensel khas untuk melukis. Diambil sebatang pensel ‘graphite’ jenama bruynzeel yang selalu digunakan untuk melakar.

Shah mula melakar beberapa ‘design’ kasut. Laju sahaja jemarinya mengalunkan pensel itu ke kiri dan ke kanan. Leka dia melakar hingga tidak disedari kehadiran Datuk Jamal dan Haslinda di situ.

“Ehem!” Sengaja Datuk Jamal berdehem untuk menarik perhatian Shah yang tenggelam dalam dunia lakarannya. Segera Shah mengangkat muka. Sedikit terkejut dengan kehadiran Datuk Jamal ke situ.

“Maafkan saya Datuk. Tak perasan Datuk sampai.” Datuk Jamal hanya tersenyum melihat Shah yang agak kalut menyimpan buku ‘sketch’ dan pensel ke dalam kotak. Haslinda di sisi turut tersenyum.

“Pandai awak melakar, Shah. Cantik.” Puji Datuk Jamal. Shah tersipu-sipu. Selama ini tidak pernah lagi sesiapapun melihat hasil lakarannya apatah lagi memujinya.

“Tak adalah Datuk. Biasa aje tu. Conteng-conteng. Saya tak ambil ‘Art’ pun masa ‘study’ dulu.” Datuk Jamal tertarik dengan kata-kata Shah. Tentu pemuda yang sedang duduk di hadapannya itu seorang yang berpendidikan tinggi. Cara percakapannya dan cara pemakaiannya tidak menunjukkan dia seorang yang tidak berpelajaran.

Kali pertama Datuk Jamal mengenali Shah, lelaki itu nampak agak selekeh dengan rambut berikat dan pakaian yang tidak berapa kemas. Hari ini berbeza sungguh penampilan lelaki itu. Walaupun masih berseluar ‘jeans’, dia kelihatan kemas dengan baju berkolar yang dimasukkan ke dalam dan berkasut kulit.

Dijeling sekilas kepada anak gadisnya yang berada di sisi. Tak lepas mata Haslinda memerhatikan Shah. Datuk Jamal berdehem lagi. Haslinda tersedar. Tersenyum malu sambil memandang ke arah jalan.

“Awak dah makan Shah?” Pertanyaan Datuk Jamal disambut gelengan dari Shah. Datuk Jamal menelek jam di tangan. “Dah pukul satu lebih ni. Awak tak lapar ke? Jomlah sekali dengan saya. Boleh juga kita berkenalan.” Datuk Jamal menyambung kata.

Haslinda sudah tersenyum. Tidak tahu kenapa di dalam hatinya bersorak riang. Tetapi jawapan yang kedengaran dari mulut Shah mematikan senyumannya. Hati yang bersorak riang terus sahaja berasa hampa.

“Tak apalah Datuk. Terima kasih. Lain kali sajalah kita makan sekali. Saya tengah menunggu pelanggan saya datang mengambil kasutnya yang sudah siap saya baiki. Janji tengahari ni.” Datuk Jamal sedikit hampa. Dikerling lagi anak gadisnya yang langsung tidak bersuara di sisinya.

“Kalau macam tu tak apalah. Kami pergi dulu. Nanti bila senang kita makan sekali.” Shah hanya mengangguk dan tersenyum. Rasa serba-salah menolak pelawaan Datuk Jamal yang mungkin boleh memberikannya peluang kerjaya di dalam Wisma Hanija. Namun janjinya kepada pelanggan adalah lebih utama.

Reputasinya harus dijaga. Tidak hanya di hadapan Datuk Jamal malahan di hadapan pekerja-pekerja di Wisma Hanija itu termasuklah pengawal keselamatannya sekali. Itu tentu sahaja boleh membantunya mendapat peluang.

****************
ZAILA berlalu. Hasratnya hendak singgah mengambil kasut dari tukang kasut itu terpaksa ditangguhkan dahulu apabila dilihatnya Datuk Jamal dan Cik Haslinda berada di situ. Terasa sedikit segan dengan ketuanya itu.

Diteruskan langkah ke gerai tepi jalan berhampiran Wisma Hanija. Gajinya sebagai seorang tukang sapu di dalam Wisma Hanija tidak mampu untuk dia makan di restoran setiap hari. Di gerai tepi jalan itulah tempat dia membeli makanan tengaharinya.

Dibeli sebungkus nasi berlaukkan kari ayam dan sayur taugeh. Sebungkus lagi nasi berlaukkan ikan goreng dan sayur taugeh pula dimasukkan ke dalam plastik yang berasingan. Dua bungkus sirap limau turut dibeli.

Usai membayar harga makanan, Zaila kembali ke Wisma Hanija. Datuk Jamal dan Cik Haslinda sudah tiada di situ. Dari jauh kelihatan Shah kegelisahan. ‘Abang tu lapar agaknya.’ Hatinya berdetik.

Dilajukan langkah ke arah Shah. Senyuman diukir sebaik tiba di hadapan lelaki itu. Leka Shah menyambung lakarannya tadi hinggakan kehadiran gadis itu tidak disedari.

“Bang!” Sedikit terkejut Shah mendengar sapaan gadis itu. Mengangkat muka dan tersenyum membalas senyuman gadis di hadapannya itu.

Zaila menghulurkan plastik berisi nasi bungkus yang dibeli kepada lelaki itu. Shah teragak-agak hendak mengambilnya. Terasa segan pula. Pagi tadi gadis itu membelikannya air. Tengahari ini gadis itu membelikannya makanan pula.

“Apa ni dik?” Gadis itu tersenyum mendengar pertanyaan dari Shah. Tentu sahaja lelaki itu nampak apa yang ada di dalam plastik itu.

“Nasi bungkuslah bang. Maaflah sebab saya lambat datang ambil kasut saya. Saya nampak Datuk Jamal dengan Cik Haslinda ada dekat sini tadi. Segan pula saya nak datang. Itu yang saya pergi bungkus makanan dulu. Ambillah bang. Saya ikhlas. Lagipun boleh saya tumpang makan kat sini dengan abang sekali.” Masih lagi bungkusan belum bertukar tangan. Gadis itu tetap menghulurkannya juga.

“Kenapa susah-susah dik. Abang bukannya tak ada duit. Ada ni ha. Saja je tunggu adik datang tadi. Nak pergi makan dulu takut adik datang, abang tak ada pula kan.” Terangnya sambil tangan menyambut huluran gadis itu. Tersenyum gadis itu apabila bungkusan plastik sudah bertukar tangan.

Tanpa dipelawa gadis itu duduk di sebelah Shah. Sandal yang sedang dipakainya ditanggalkan dan dijadikan alas duduk. Shah menggeleng.

“Kenapa bang?” Soal gadis itu ingin tahu.

“Nanti cepatlah rosak sandal tu. Ambil bangku ni buat alas.” Shah mengangkat sedikit punggungnya. Bangku kecil yang sedang didudukinya dihulurkan kepada gadis itu. Helaian akhbar yang ada di dalam kotaknya diambil dan dijadikan alas duduknya pula.

Zaila mencapai bangku itu sambil tersenyum. Dibuka bungkusan makanan yang dibeli tadi. Shah turut sama mengikut perbuatan gadis itu. Bungkusan makanan gadis itu dikerlingnya. Hairan mengapa gadis itu membelikannya kari ayam sedangkan gadis itu hanya membeli ikan goreng untuk dirinya sendiri.

“Dik! Salah plastik agaknya ni.” Tegur Shah sambil menghulurkan bungkusan makanannya kepada gadis itu.

“Betul bang. Memang saya belikan abang kari ayam tu.” Tersenyum seketika gadis itu sebelum kembali meneruskan suapan yang terhenti.

“Kenapa belikan abang kari ayam sedangkan adik makan ikan goreng saja.” Gadis itu mengangkat muka sekali lagi. Tersenyum ke arah Shah.

“Saja je bang. Nak beli dua-dua kari ayam, mahal sangat pula nanti.” Tertawa sedikit gadis itu dengan jawapannya sendiri. Memang benar katanya. Walaupun gerai di tepi jalan, harga makanannya mengikut harga semasa juga. Naik harga barang, naik jugalah harga lauk-pauk yang dijual.

Shah mengoyakkan sedikit daging ayam yang berada di dalam bekas polisterinnya. Diletakkan cebisan daging itu ke dalam bekas polisterin yang dipegang gadis itu. Sedikit terkejut gadis itu dengan kelakuan Shah.

“Eh! Abang makanlah. Saya dah makan ayam semalam.” Kata-kata gadis itu mengundang tawa Shah. Tersembur sedikit makanan yang sedang dikunyahnya. Cepat-cepat gadis itu mengelap kesan comot di tepi bibir Shah.

Terkedu Shah dengan tindakan reflek gadis itu. Zaila menyedari keterlanjurannya. Cepat-cepat ditarik tangannya. Kedua-duanya terdiam. Tertunduk malu. Kelu.

Ada getaran di hati Zaila tatkala jemarinya berada di wajah lelaki itu. Ada getaran di hati Shah tatkala jemari gadis itu menyentuh wajahnya.

Nun di kejauhan, ada sepasang mata yang memandang. Ada sekeping hati yang sedang berperang. Berperang antara perasaan cemburu dan keliru.
.