Tuesday, December 13, 2011

Kopi Susu Untuk Menantu (Versi Tidak Disunting)

BERDENTUM pintu utama ditutup kasar oleh Ryana sejurus kereta suaminya menjauh dan hilang dari pandangan. Senyuman lebar yang terlakar di bibirnya sebentar tadi hilang sekelip mata. Suaminya sudah pergi. Inilah masa untuk membalas dendam. Tubuhnya dipalingkan menghadap emak mertuanya yang sedang duduk di sofa. Kelihatan wajah tua itu sedikit terkejut dengan bunyi dentuman tersebut.

“Hei orang tua tak sedar diri! Cukup-cukuplah kau jadi ‘mem’ besar dalam rumah ni selama laki aku ada. Anak kesayangan kau tu pun dah ke luar kawasan. Lima enam bulan lagi baru balik. Sekarang, dalam rumah ni, aku ‘mem’ besar. Kau pergi ke dapur sekarang, buatkan aku kopi susu kaw. Lepas tu masak dan kemas rumah ni. Jangan nak senang lenang duduk mengangkang aje dalam rumah ni!” Bergema suara Ryana yang tinggi ke serata pelusuk ruang tamu. Mak Jah yang sedang mengemaskan ruang dapur bergegas ke depan. Sedangkan pembantu rumah itu pun terkejut mendengar suara Ryana yang lantang, apatah lagi emak mertua Ryana. Terkejut bukan kepalang orang tua itu dengan bahasa kesat yang tidak disangka keluar dari mulut menantunya.

“Mak bukan nak jadi ‘mem’ besar, Ryana. Mak ni kan mertua Ryana. Mak mertua sama juga tarafnya dengan mak Ryana sendiri. Lagipun, mak ni dah tua, nak. Mak tak larat nak buat kerja-kerja rumah lagi. Kaki mak ni pun dah tak boleh nak berjalan sangat.” Ryana tersenyum sinis mendengarkan kata-kata emak mertuanya. Huh! Lembut gigi dari lidah memberi alasan. Jangan ingat boleh duduk bersenang lenang sahaja dalam rumah ini. Sakit hati masih bersisa. Sakit kerana suaminya lebih memberi perhatian kepada emak mertuanya itu berbanding dirinya yang sedang hamil. Bukankah dia itu isteri kepada suaminya? Bukankah sepatutnya dia yang berhak mendapat lebih perhatian daripada suaminya itu. Bukannya perhatian itu diberikan kepada emak mertuanya. Tidak cukupkah dengan segala kesenangan yang ditaburkan kepadanya sehinggakan kasih sayang Imran juga hendak dibolot sepenuhnya?

“Apa kau kata? Sama taraf dengan mak aku sendiri? Hei, tolong sikit ye. Kau tu..., sekuman pun tak layak disamakan dengan mak aku. Mak aku kaya raya. Bukan macam kau, miskin hina. Kalau aku tak kawin dengan anak kau tu dulu, entah-entah, sekarang ni kau merempat kat bawah jambatan. Sudah! Aku taknak dengar apa-apa alasan lagi. Sekarang, kau pergi ke dapur, buat kopi susu aku cepat! Jangan menyemak depan mata aku ni lagi.” Sayu hati Latipah mendengar hamburan hinaan dari menantunya. Sungguh dia tidak menyangka begitu hina dirinya pada pandangan menantunya itu. Latipah bangun dari sofa dan melangkah lemah meninggalkan ruang tamu lalu menuju ke ruang dapur. Kopi susu yang diminta oleh menantunya itu harus disediakan segera sebelum wanita muda itu mengamuk lagi.

“Ada hati nak duduk relaks aje dalam rumah ni. Sudahlah makan pakai daripada harta kekayaan mak aku, berangan pulak nak sama taraf dengan mak aku.” Sempat telinga Latipah menangkap butir bicara yang dibebelkan oleh Ryana. Bertambah sedih hatinya. Sedih kerana tidak mampu menangkis segala hinaan yang dilontarkan kepadanya. Sedih kerana ditakdirkan lahir di dalam keluarga yang tidak berharta. Malahan melahir dan membesarkan Imran di dalam lingkungan kemiskinan.

“Mak Jah! Mari sini sekejap!” Mak Jah yang sudah kembali menyambung tugasnya di dapur bergegas masuk semula ke ruang tamu apabila namanya dipanggil oleh majikannya itu. Entah apalah yang diinginkan oleh wanita muda itu pula kali ini. Mak Jah juga berasa hairan dengan perubahan sikap majikannya yang secara tiba-tiba itu.

“Ada apa, Puan Ryana?”

“Mulai hari ni, biar orang tua tu buat semua kerja-kerja rumah. Memasak, mengemas dan mencuci.” Berubah riak wajah Mak Jah mendengar arahan majikannya itu. Pelik! Kalau semua kerja sudah diserahkan kepada Kak Tipah, apa pula yang hendak Mak Jah buat? Adakah khidmat Mak Jah sudah tidak diperlukan di rumah ini?

“Habis tu Puan Ryana, apa kerja yang Mak Jah nak buat kalau dah semua diserahkan pada Kak Tipah? Puan Ryana nak pecat Mak Jah ke?” Pertanyaan yang mengundang tawa kecil majikannya itu menambahkan debar di dada Mak Jah. Bertambah cuak wanita separuh usia itu.

“Mak Jah jadi ‘supervisor’ dia aje. Tugas Mak Jah pastikan orang tua tak sedar diri tu buat semua kerja-kerja rumah ni. Tapi Mak Jah kena ingat, nanti bila Imran balik, Mak Jah ambil balik tugas Mak Jah tu. Dan Mak Jah kena pastikan Imran tak tahu mak dia kena buat semua kerja-kerja rumah ni. Kalau rahsia ni bocor, Mak Jah ucapkan selamat tinggal sajalah pada rumah ni!” Kata-kata yang keluar dari mulut Ryana melegakan sedikit hati Mak Jah. Walaupun ada sedikit ugutan di hujung ayatnya, Mak Jah masih kelegaan kerana kerja sebagai pembantu di rumah itu masih lagi menjadi miliknya. Jika dia dipecat, sukarlah dia hendak menyara dirinya yang sebatang kara ini.

“Baik! Baik, Puan Ryana. Mak Jah akan pastikan perkara ni tak sampai ke pengetahuan Encik Imran.” Terangguk-angguk Mak Jah memberi janji. Tidak mengapa asalkan kedudukannya selamat. Jika dipecat dan dihalau keluar dari rumah itu, ke manalah dia hendak membawa diri? Dia sudah tiada siapa-siapa lagi selain majikannya itu semenjak arwah suaminya yang pernah menjadi pemandu kepada Datuk Ruziah dahulu meninggal dunia. Kepada majikannya itu sahajalah tempat dia menumpang hidup.

“Bagus, Mak Jah. Sekarang ni, tugas pertama Mak Jah adalah pergi pastikan orang tua tu tak bubuh racun dalam kopi susu saya.”

“Baik, Puan Ryana. Mak Jah minta diri dulu.” Mak Jah berlalu ke dapur usai mendengar arahan majikannya. Sesekali dia berpaling ke belakang. Tergeleng Mak Jah melihat riak puas di wajah majikannya itu. Mungkin hatinya puas dapat membalas dendam terhadap emak mertuanya sendiri.

*****

‘APALAH malangnya nasib aku. Aku sangkakan menantu aku tu baik budi orangnya. Tak sangka pula dia macam tu. Sampai hati dia buat aku macam ni. Orang gaji lebih dimuliakan daripada aku ni, mertua dia sendiri. Depan anak aku baik sungguh dia melayan aku. Di belakang, dia seksa aku. Ya Allah, tabahkanlah hati aku menempuh dugaan hidup ini. Bukakanlah pintu hati Ryana untuk berubah dan menghormati aku selayaknya.’

“Kak Tipah... Ooo.. Kak Tipah!” Bunyi ketukan beserta suara Mak Jah dari sebalik pintu bilik menyedarkan Latipah yang larut di dalam kesyahduan melayan perasaan. Tidak sedar sudah lama dia berteleku di atas sejadah. Tadinya dia sekadar hendak melaksanakan perintah Allah, melakukan solat maghrib yang menjadi tuntutan agama.

“Masuklah Jah, pintu tu tak berkunci.” Hanya suara yang dihantar menjemput Mak Jah masuk ke bilik. Kakinya tidak terdaya hendak digerakkan ke muka pintu. Mungkin akibat terlalu lama duduk bersimpuh. Atau mungkin kerana rasa ngilu yang sudah beberapa hari ditanggungnya.

“Kenapa ni, Kak Tipah? Tak sihat?” Soalan yang keluar dari mulut Mak Jah menerbitkan senyum berisi sayu di wajah Latipah. Sayu kerana orang yang langsung tiada pertalian dengannya sudi mengambil tahu akan kesihatan dirinya sedangkan menantunya sendiri tidak langsung peduli akan dirinya. Hanya tahu memberi arahan, meminta itu dan ini daripadanya.

“Entahlah, Jah. Kaki akak ni rasa tak larat sangat nak dibawa berjalan. Entah apalah penyakitnya. Dah dua tiga hari rasa ngilu aje betis akak ni.” Tangan yang sudah berkedut seribu dibawa ke betis. Jemari yang sudah kurang daya upayanya dilurutkan perlahan-lahan ke tempat yang terasa sakit dan ngilu.

“Tak apalah Kak Tipah. Akak berehatlah. Biar saya aje yang buat kerja-kerja rumah.” Rasa bersalah menerpa di sudut hati Latipah mendengar kata-kata Mak Jah yang sudah berjalan menghampiri pintu. Sudah tiga bulan dia menjadi hamba di rumah itu. Sudah acapkali Mak Jah menjadi mangsa amarah Ryana jika Mak Jah meringankan tangan membantu Latipah. Tidak sampai hati pula Latipah hendak terus membiarkan Mak Jah menjadi mangsa.

“Eh, jangan Jah. Tak apalah, kejap lagi akak buat. Nanti mengamuk pulak Ryana kalau dia tahu akak duduk rehat aje. Akak tak nak sebab akak, Jah pula yang kena marah.” Kata-kata tegahan Latipah yang hanya dijawab dengan gelengan Mak Jah menambahkan lagi rasa bersalah di hati tuanya.

“Saya tak kisah, Kak Tipah. Dah memang saya ni orang gaji dalam rumah ni. Akak tu mak mertua Ryana. Lagipun akak tak sihat. Akak rehatlah. Saya keluar dulu, kak. Nak buatkan kopi susu yang Ryana mintak tadi.” Senyuman yang nampak benar penuh dengan rasa bersalah diukirkan tatkala Mak Jah meminta diri. Sedikit demi sedikit senyum itu lenyap seiring daun pintu yang perlahan-lahan tertutup.

“Terima kasih, Jah. Allah sajalah yang membalas budi baik Jah.” Perlahan ucapan itu terluncur daripada bibir Latipah. Walaupun mungkin tidak didengari oleh Mak Jah, namun Latipah ikhlas mengucapkannya.

*****

RYANA melempar senyum kepada Mak Jah yang sedang berjalan menghala ke arahnya sambil membawa secawan kopi susu yang dimintanya tadi. Sudah terasa-rasa di kerongkong Ryana akan kesedapan minuman tersebut. Sudah terbau-bau akan aroma kopi bercampur susu yang wangi itu di rongga hidungnya.

Cawan yang sudah bertukar tangan segera dibawa ke mulut. Terasa sedikit berbahang apabila asap nipis daripada air kopi tersebut mengenai wajahnya. Dihembus sedikit air yang masih panas itu sebelum disisip isinya. Erk! Kenapa rasanya lain? Adakah faktor panas yang menyebabkan rasanya berbeza? Tidak mungkin!

“Mak Jah! Siapa yang buat kopi susu ni? Lain sangat rasanya ni.” Ryana memandang tepat ke wajah pembantu rumahnya itu sambil mengunjukkan cawan kaca yang sedang dipegangnya. Kemudian dibawa semula cawan tersebut ke bibir dan disisip perlahan isinya yang masih berasap sekali lagi. Memang berbeza sangat rasanya. Tidak sama seperti selalu. Tidak pekat dan tidak terasa 'kaw'.

“Maaf, Puan Ryana. Kopi tu..., Mak Jah yang buat.” Membulat mata Ryana mendengarkan jawapan dari ulas bibir Mak Jah. Ini sudah lebih. Mana pergi emak mertuanya? Kenapa Mak Jah pula yang mengambil alih tugas menyediakan kopi susu untuknya?

“Kenapa Mak Jah pulak yang buat? Orang tua tak sedar diri tu mana? Dah mampus? Ke tengah duduk mengangkang jadi ‘mem’ besar?” Sebenarnya, kopi susu buatan emak mertuanya itu sedap sangat, pekat dan 'kaw'. Disebabkan itulah dia mahu emak mertuanya yang menyediakan minuman tersebut untuknya. Lagipun hatinya masih geram terhadap emak mertuanya itu yang dirasakan merampas kasih sayang dan perhatian Imran terhadapnya. Jadi, sebagai membalas dendam, pada fikirannya, tindakan yang dilakukannya inilah yang selayaknya diberi kepada emak mertuanya itu.

“Kak Tipah tak sihat, Puan Ryana. Kakinya dah dua tiga hari sakit. Kesian dia, biarlah dia rehat dulu. Biar Mak Jah buat semua kerja rumah sementara menunggu Kak Tipah sihat semula.”

“Tak payah, Mak Jah! Saya tahu, semua tu alasan aje.” Ryana tersenyum sinis seketika, menarik nafas dalam dan kembali berwajah serius. Tangan yang memegang cawan diangkat tinggi dan akhirnya...,

Prang!

Berderai cawan yang dipegang oleh Ryana sejurus mencecah lantai. Habis berhamburan air kopi susu yang masih penuh di dalamnya. Terkedu Mak Jah memandang serpihan kaca yang bergabung dengan air kopi di atas lantai itu. Kering sungguh hati perempuan muda ini, bisik hati Mak Jah.

“Sekarang, Mak Jah pergi panggil orang tua tak sedar diri tu ke sini. Suruh dia kemaskan kaca pecah ni. Sebelum tu suruh dia buatkan kopi susu untuk saya. Haaa..., jangan lupa suruh dia masak nasi beriani pulak lepas dah siap kemas. Ni..., anak dalam perut saya ni nak makan.”

“Baiklah, Puan Ryana.” Mak Jah berlalu bersama rasa sebal di hati. Sebal mengenangkan sikap majikannya yang kelihatannya langsung tiada perikemanusiaan dan rasa hormat terhadap mertua sendiri.

‘Kenapalah busuk sangat hati perempuan ni. Langsung tak ada rasa belas kasihan terhadap mak mertua sendiri. Esok, Allah beri balasan susah nak bersalin, baru padan muka dia. Anaknya, dia hendak. Maknya tidak pula nak diterima.’ Mak Jah hanya mampu memprotes di dalam hati sahaja akan perbuatan majikannya itu. Tidak padan dengan keadaannya yang berbadan dua. Berbeza sungguh sikap dan perlakuan Ryana dengan ibunya, Datuk Ruziah. Datuk Ruziah itu, walaupun seorang usahawan wanita yang berjaya, tidak pula bersikap sombong dan bongkak. Tidak pernah Mak Jah melihat Datuk Ruziah memberi layanan buruk kepada orang lain.

*****

TUBUH tua itu terbongkok-bongkok mengelap lantai. Jari telunjuk yang berdarah terkena serpihan kaca, langsung tidak dihiraukan. Baginya, yang penting kerja harus dibereskan terlebih dahulu. Jari yang terluka itu boleh dibersihkan dan dibubuh ubat nanti. Namun sesekali wajahnya berkerut juga menahan kesakitan.

Ryana memandang wajah emak mertuanya. Terasa sedikit kasihan melihatkan raut wajah emak mertuanya yang menanggung kesakitan itu tetapi apa boleh buat, sakit di hatinya melebihi rasa kasihan yang wujud. Sakit kerana perhatian suaminya lebih banyak diberikan kepada emak mertuanya itu berbanding dirinya.

Kopi susu air tangan emak mertuanya dihirup penuh nikmat. Sedap sungguh. Tidak pernah Ryana merasa kopi susu sesedap ini di mana-mana waima di restoran mewah mahupun di hotel-hotel yang sering dikunjunginya. Malahan di Starbuck juga tidak dapat menandingi kesedapan air kopi buatan emak mertuanya itu. Patutlah suaminya suka sangat dengan kopi susu yang disediakan oleh emak mertuanya itu.

‘Tanya sama pokok, apa sebab goyang, nanti jawab pokok, angin yang goncang...,’ Belum sempat lagu yang menjadi nada deringnya habis, Ryana sudah menekan butang hijau di papan kekunci telefon bimbitnya itu. Nama pemanggil yang tertera di skrin juga sempat dilihat. Siapa lagi yang membuat panggilan jika bukan suami kesayangannya itu. Huh! Tentu sahaja suaminya itu hendak bertanyakan khabar emaknya.

Geram juga Ryana dengan suaminya itu. Dalam apa juga situasi, pasti emaknya yang didahulukan. Tidak bolehkah suaminya itu bertanyakan khabarnya terlebih dahulu? Sihatkah dia? Elokkah keadaan kandungannya? Ini tidak, emaknya itu juga yang dicari terlebih dahulu.

Pernah juga Ryana membangkitkan persoalan tentang perkara itu kepada suaminya satu ketika dahulu namun jawapan yang diterima tidak berpihak kepadanya. Sungguh tidak memuaskan hati. Kononnya syurga seorang anak lelaki terletak di bawah telapak kaki ibunya. Maka sudah semestinya suaminya itu wajib menghormati dan menjaga kepentingan emaknya selama emaknya masih hidup. Redha seorang ibu sangat penting kepada seorang anak. Itu kata suaminya yang membuatkan hatinya dipenuhi dendam.

“Hello... Waalaikumussalam, bang. Mak sihat. Tengah berehat dalam bilik. Ya, bang. Abang jangan risau, semua kerja rumah Mak Jah bereskan. Mak kerjanya tengok tv, makan dan tidur aje. Ingatkan taknak tanya tadi. Hehehe..., Ryana sihat. Baby pun ok je ni. Baik, bang. Jaga diri. Waalaikumussalam.” Puan Latipah hanya mampu menggeleng mendengar perbualan telefon antara Ryana dan Imran. Bijak sungguh Ryana menipu suaminya. Langsung tiada peluang Puan Latipah hendak berbual dengan anak tunggalnya itu. Ryana sahaja yang menguasai telefon. Mungkin Ryana bimbang Puan Latipah akan membocorkan rahsianya yang mendera emak mertua sendiri.

Ryana menjeling emak mertuanya sebelum berlalu masuk ke bilik. Puas hatinya dapat menghalang suaminya berbual dengan emak mertuanya itu. Padan muka! Ingat aku senang-senang hendak beri kau peluang mengadu pada suami aku? Jangan harap! Bisik hatinya penuh dendam membara.

*****

IMRAN tersenyum lebar. Berita yang baru diterima siang tadi menggembirakan hatinya. Syukur projek kali ini berjalan lancar. Dapatlah dia balik ke rumah lebih awal. Tempoh bertugas di luar kawasan selama enam bulan itu ternyata dapat disingkatkan menjadi tiga bulan sahaja. Esok Imran sudah boleh balik ke rumah. Dia tidak mahu memberitahu berita gembira ini kepada Ryana dahulu. Dia sengaja ingin membuat kejutan.

Selepas habis waktu bekerja tadi, Imran pergi ke bandar berhampiran untuk membeli cenderamata buat isteri dan emak kesayangannya. Tidak lupa juga untuk Mak Jah yang setia berkhidmat di rumahnya. Beberapa pasang kain sutera dipilih mengikut warna kesukaan ketiga-tiga wanita yang ada di rumah. Tentang coraknya pula, mujur sahaja pembantu kedai kain tersebut bermurah hati membantu Imran memilihnya. Ops, bukan bermurah hati tetapi memang sudah menjadi tugasan mereka membantu pelanggan.

Kain sutera yang sudah siap dibungkus, dimasukkan ke dalam beg pakaiannya. Pakaian kotor yang tidak sempat dihantar ke kedai dobi dimasukkan ke dalam plastik yang disediakan oleh pihak pengurusan hotel. Usai memastikan semua barangan peribadinya dimasukkan ke dalam beg, Imran mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja sisi katil. Nombor telefon bimbit Ryana segera didail. Bibirnya mengukir senyum tatkala suara isteri kesayangannya bergema di hujung talian.

Imran meletakkan semula telefon bimbit ke atas meja sisi selepas menamatkan perbualan. Tubuh direbahkan di atas katil untuk meluruskan segala urat dan sendi. Lampu dipadam dan mata dipejamkan untuk merehatkan diri sebelum memulakan perjalanan yang jauh esok.

*****

TOK! Tok! Tok!

“Ryana... Ryana... Mari minum petang, nak. Mak ada buatkan kopi susu dan kuih seri muka. Mari minum, sayang.” Sudah naik lenguh tangan Latipah mengetuk pintu. Sudah hampir hilang suaranya memanggil nama menantunya itu mengajak minum petang di bawah namun tiada tindakbalas yang diterima. Naik risau juga Latipah. Risau sekiranya berlaku apa-apa yang tidak baik terhadap menantunya yang sedang mengandung itu.

“Ryana...” Sekali lagi Latipah memanggil sambil tangannya memulas tombol pintu yang berkunci dari dalam. Masih juga tiada jawapan diterima.

“Kenapa ni, Kak Tipah?” Latipah segera berpaling apabila mendengar teguran Mak Jah.

“Ryana ni Jah. Dari tadi akak panggil, ajak dia minum petang tapi dia langsung tak menyahut. Sakit ke dia? Tengahari tadi pun akak tengok dia macam tak berapa sihat aje.”

“Kak Tipah tak cuba buka pintu bilik dia ni?”

“Dah tapi tak boleh. Berkunci.”

Tok! Tok! Tok!

“Puan Ryana... Puan Ryana...” Giliran Mak Jah pula mengetuk pintu bilik sambil memanggil-manggil nama majikannya itu. Risau juga Mak Jah jika terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada majikannya itu.

“Macam mana ni, Jah? Risau pula akak dibuatnya. Kalau tidur, tak mungkin dia tak sedar langsung. Bagai nak roboh dah pintu ni kita ketuk.” Jelas ketara riak kebimbangan di wajah Latipah. Timbul rasa kasihan di hati Mak Jah melihatkan kesungguhan Latipah menyayangi menantunya itu.

“Kak Tipah tunggu sini kejap. Saya pergi ambil kunci pendua.” Mak Jah segera berlalu meninggalkan Latipah. Langkah pantas diatur ke ruang tamu di mana kunci pendua diletakkan di dalam kotak berbentuk rumah yang dilekatkan ke dinding. Segera kunci dibawa ke bilik majikannya itu.

“Ya Allah, Ryana. Kenapa ni, nak? Cepat Jah, tolong angkat Ryana naikkan ke atas katil. Ryana...” Tergeleng Mak Jah dengan tindakan Latipah yang laju sahaja menerpa ke arah Ryana sebaik sahaja pintu berjaya dibuka oleh Mak Jah. Risau sungguh wanita itu nampaknya melihatkan keadaan menantunya yang terbaring di atas lantai.

“Sabar, Kak Tipah.” Sempat Mak Jah bersuara meredakan kerisauan Latipah sambil tangannya membantu mengangkat tubuh majikannya ke atas katil.

*****

KELETIHAN menempuh perjalanan jauh, menghilang tatkala kereta yang dipandu memasuki kawasan rumah yang sudah tiga bulan ditinggalkan. Tidak sabar rasanya Imran hendak menatap wajah isteri dan emaknya. Rindu benar walaupun setiap hari dia menghubungi isterinya bertanyakan khabar.

Beg berisi pakaian bersih dan cenderamata yang dibeli semalam, dikeluarkan dari tempat menyimpan barang di kereta. Tidak lupa juga plastik berisi pakaian kotor turut dikeluarkan sebelum mengunci pintu kenderaannya itu. Laju langkah diatur menuju ke pintu rumah bersama senyuman tersungging di bibir.

‘Ke mana pula semua orang pergi. Senyap sunyi aje. Diorang semua ni keluar ‘shopping’ ke? Tapi kereta Ryana ada ni. Takkanlah diorang keluar naik teksi pula.’ Hatinya berkata-kata tatkala berdiri di hadapan pintu rumah. Pelik apabila tiada sebarang bunyi yang dapat didengari dari dalam.

“Assalamualaikum!” Salam diberi sebaik sahaja pintu berjaya dibuka daripada luar namun terbiar tidak berjawab. Imran mengunci semula pintu dan berlalu ke ruangan mencuci untuk meletakkan pakaian kotornya di situ sementara beg berisi pakaian bersih ditinggalkan di tepi sofa. Sebelum kembali ke ruang tamu, sempat Imran menjengah ke ruangan dapur mencari kalau-kalau ada Mak Jah, emak mahupun isterinya di situ namun tiada seorang pun berada di situ. Hampa.

Imran kembali ke ruang tamu, mencapai beg pakaiannya yang diletakkan di tepi sofa dan menjinjingnya menaiki tangga menuju ke biliknya di tingkat satu rumah banglo dua tingkat itu. Tiada sebarang suara yang keluar dari mulutnya. Hanya kaki yang laju mendaki tangga membawa bersama harapan isterinya berada di bilik.

*****

RYANA tersedar setelah Mak Jah merenjiskan air sejuk ke mukanya. Berkerut wajahnya menahan kesakitan sambil memegang pangkal peha. Mungkin terseliuh ketika jatuh pengsan tadi. Bergenang air jernih di tubir matanya. Sekejap-sekejap tangannya merayap pula ke bahagian perut. Mungkin hendak memastikan kandungannya tidak apa-apa.

“Kenapa, nak? Kaki Ryana sakit? Mari mak urutkan.” Ryana menepis-nepis tangan Puan Latipah yang cuba memegang kakinya. Memang kakinya sakit tetapi dia tidak mahu emak mertuanya itu menyentuh tubuhnya. Bukan kerana jijik, tetapi kerana malu dengan sikapnya sendiri. Malu dengan ketulusan hati emak mertuanya yang masih sudi membantunya ketika sakit walaupun dirinya telah menghina dan mendera wanita tua itu.

“Kenapa ni, sayang? Tak apalah kalau Ryana tak mahu mak urutkan kaki yang sakit tu. Ryana rehatlah ya. Mak turun ke dapur dulu. Nanti mak ambilkan makanan bawa naik ke sini.” Latipah bangun perlahan-lahan dari birai katil. Mengatur langkah cermat ke arah pintu. Sesekali dia berpaling melihat menantunya yang berkerut menahan kesakitan.

“Kak Tipah, biar Jah aje yang turun ambil.” Mak Jah yang sudah meluru ke arah pintu segera ditahan oleh Latipah. Tidak jadi wanita itu menggantikan Latipah untuk turun ke dapur.

“Tak apalah Jah. Jah tolong temankan Ryana. Lagipun akak nak ambil minyak urut sekali.” Mak Jah kembali ke katil. Duduk di birai katil sambil cuba menenangkan majikannya yang sudah bergenang airmata menahan sakit.

*****

“MAK!”

“Eh, Imran! Bila kamu sampai? Mak tak dengar suara kamu beri salam pun?” Terkejut bercampur gembira Latipah apabila disapa oleh Imran di atas tangga. Dipeluk tubuh anak kesayangannya itu seketika sebelum dileraikan kembali.

“Im baru saja sampai mak. Tadi Im dah beri salam, tapi tak ada orang jawab. Ryana mana mak?” Segera tangan tuanya disalam dan dicium oleh Imran selepas pelukan dileraikan.

“Ada di bilik. Ryana pengsan tadi. Mak Jah temankan dia di atas. Im pergilah tengok dia, mak nak turun ambil makanan dengan minyak urut. Mak rasa kakinya terseliuh sikit.” Latipah dapat mengesan riak terkejut dan risau di wajah anaknya itu setelah mendengar berita tentang isterinya. Namun bijak sungguh Imran menyembunyikan perasaan terkejutnya itu di hadapan Latipah.

“Biar Im tolong mak.” Latipah menahan tatkala Imran turut sama melangkah menuruni tangga bersama-samanya.

“Tak apa, Im pergilah naik. Sekejap lagi mak naik semula. Pergilah.” Ditolak tubuh kekar anak kesayangannya itu mendaki sebahagian lagi mata tangga sebelum dia menyambung langkah turun ke dapur.

*****

IMRAN terkedu. Perbualan isterinya dengan Mak Jah sebentar tadi sungguh tidak dapat diterima akal. Sungguh! Sungguh Imran tidak menyangka isterinya tergamak berbuat begitu. Mendera emak mertua sendiri. Emak kesayangan Imran. Tidakkah isterinya itu tahu, jika tiada emaknya, Imran juga tidak akan ada di dunia ini?

Imran berpaling lemah tatkala bahunya disentuh seseorang. Dipamer senyuman yang ternyata nampak kepalsuannya. Sayu hatinya apabila membayangkan emaknya yang tidak sihat membuat kerja-kerja rumah. Sungguh Imran kecewa dengan sikap isterinya. Tetapi bagaimana emak masih mahu melayani Ryana dengan baik walaupun hatinya disakiti? Mulia sungguh hati emak.

“Kenapa berdiri di sini aje, Im? Masuklah ke bilik, tengok Ryana tu. Kesian dia.”

“Mak..., kenapa mak masih layan Ryana dengan baik walaupun dia dah sakitkan hati mak, dah menyusahkan mak?”

“Apa yang Im cakapkan ni? Ryana tu layan mak dengan baik selama Im tak ada. Dia tu menantu mak, isteri anak kesayangan mak ni.”

“Mak..., Im dah dengar sendiri perbualan Ryana dengan Mak Jah. Mak tak perlu nak sembunyikan apa-apa dari Im.”

“Tak apalah, Im. Mak tak simpan apa-apa perasaan kecil hati mahupun marah dengan Ryana. Mak faham. Orang mengandung ni, perangainya memang lain sikit.”

“Mak, maafkan isteri Im. Maafkan Im juga sebab tak pandai didik isteri untuk menghormati mak.”

“Sudahlah Im. Tak ada apa yang nak dimaafkan. Marilah masuk tengok isteri Im tu.”

*****

“SAYA malu, Mak Jah. Saya malu dengan emak abang Imran. Walaupun saya sakitkan hatinya, saya dera, saya hina dia, tapi dia tetap layan saya dengan baik. Sikit pun dia tak marah. Malahan dia ambil berat keadaan saya tadi. Saya rasa berdosa, Mak Jah. Kalaulah abang Imran tahu, tentu dia marah. Saya bukan sengaja, Mak Jah. Hati saya ni, sakit sangat. Saya cemburukan perhatian abang Imran yang lebih pada mak. Saya ni isteri dia, sedang mengandungkan anak dia tapi dia tak kisah sangat. Dalam apa-apa perkara yang dia buat, semua mak yang dilebihkan.” Teresak-esak Ryana menangis di dalam pelukan Mak Jah. Hilang segala egonya yang menggunung. Dilepas segala rasa yang terpendam di dalam hatinya kepada pembantu rumahnya itu.

“Sudahlah, Puan Ryana. Kak Tipah tu baik orangnya. Mak Jah tahu, dia sikit pun tak simpan rasa kecil hati. Baguslah Puan Ryana dah sedar, sedangkan meninggikan suara pada mak pun dah berdosa, inikan pulak menyeksa dan menyakitkan hati dia. Tak cium bau syurga nanti.” Ryana hanya mengukir senyum terpaksa. Terasa sedikit terpukul dengan kata-kata pujukan Mak Jah.

“Ya, Mak Jah. Saya malu. Kalaulah abang Imran tahu...,”

*****

RIAK wajah tanpa secalit senyuman yang ditunjukkan suaminya ketika masuk ke bilik mendebarkan hati Ryana. Sudah lamakah suaminya sampai? Adakah lelaki itu telah mendengar perbualannya dengan Mak Jah sebentar tadi. Jika ya, adakah suaminya kini sedang marah?

Sapaan bersama tangan yang dihulur langsung tidak disambut suaminya. Hanya selepas bahunya disentuh oleh emak, barulah suaminya itu menyambut huluran tangannya namun belum sempat tangan suaminya itu dicium, lelaki itu sudah menarik tangan dan meleraikan pegangan. Makin kuat debaran hati Ryana. Makin tebal rasa bersalah yang ditanggungnya.

“Bang..., maafkan Ryana.” Tangannya yang cuba digapai oleh isterinya itu dibawa ke rambut. Disisir rambut hitam berkilatnya dengan jemari itu tanpa mempedulikan ucapan maaf yang diluahkan isterinya.

“Bukan pada abang Ryana harapkan kemaafan tapi mak. Emak yang menanggung semua kesusahan akibat perbuatan Ryana yang tidak berperikemanusiaan tu. Abang malu pada mak. Malu sebab gagal mendidik Ryana menyayangi dan menghormati mak abang. Abang juga kecewa dengan Ryana. Abang tak sangka Ryana sanggup menipu abang.” Dihambur segala rasa yang terbuku di hati apabila pandangan matanya berlaga dengan emak. Jika diikutkan hati, dia tidak mahu bersuara tetapi melihatkan pandangan sayu emak, Imran terpaksa berkata-kata juga.

“Sudahlah, Imran. Mak dah lama maafkan Ryana. Mak tak kecil hati pun. Janganlah Imran ikutkan perasaan sangat. Ryana tu tengah mengandung, sakit pula. Redhalah, nak. Redha dengan ujian yang Allah turunkan untuk menguji iman kita.” Nasihat emak tidak dapat dicerna dengan baik. Mindanya berserabut antara malu kepada emak dan marah kepada isterinya.

“Entahlah mak. Imran letih. Imran nak berehat dulu. Kalau ikutkan perasaan marah, Imran tak mahu ada apa-apa ikatan lagi dengan perempuan yang tak tahu menghormati mak ni.”

“Astaghfirullah al azim! Bawa mengucap, nak. Jangan diikutkan hasutan syaitan. Pergilah berehat, tenangkan fikiran.”

*****

TERESAK-ESAK Ryana menangis di pelukan Latipah. Terasa basah bahunya dengan airmata penyesalan menantunya itu. Latipah berasa bersyukur doanya sudah dimakbulkan Allah. Menantunya sudah menyedari kekhilafan yang dilakukan. Pengakuan Ryana sebentar tadi meyakinkan Latipah tentang itu.

Hanya kerana cemburu yang memenuhi ruang hati, Ryana bertindak menggunakan akal fikiran yang telah dikuasai syaitan. Bersorak gembira makhluk yang sememangnya sudah bersumpah kepada Allah untuk menyesatkan umat manusia dan membawa manusia tersasar jauh dari landasan yang betul.

Dalam syahdu melayan tangis Ryana, bibir Latipah sempat mengukir senyum. Lucu mengenangkan sikap menantunya itu. Cemburu dan marah kerana terasa suaminya melebihkan emak sendiri namun dalam masa yang sama ketagih dengan kopi susu buatan mertua. Patutlah dihempas cawan berisi air kopi susu yang disediakan oleh Mak Jah dan dipaksa Latipah menyediakan yang lain sebelum membersihkan kotoran tersebut. Rupa-rupanya hendak menunjukkan protes agar seleranya dipenuhi.

*****

SUDAH seminggu berlalu semenjak kejadian yang menaikkan kemarahan suaminya. Sudah seminggu juga suaminya itu tidak bertegur sapa dengannya. Tidur pun berasingan. Puas Ryana memujuk dan merayu namun keras hati suaminya masih belum berjaya dilembutkan.

Kaki Ryana yang sakit akibat terjatuh di bilik kelmarin juga sudah semakin sembuh setelah diurut oleh emak mertuanya. Ryana juga sudah semakin rapat dengan mertuanya itu. Memasak bersama, menonton televisyen bersama, malahan sudah boleh bergosip bersama. Ditambah dengan kehadiran Mak Jah, cukuplah korum mereka.

Ryana juga belajar cara-cara membuat kopi susu 'kaw' daripada emak mertuanya. Bukankah emak mertuanya itu pakar membuat kopi susu 'kaw' dan suaminya serta dia pula peminat kopi susu tersebut. Lebih baik dia belajar cara dan ramuan menyediakan kopi yang betul supaya dapat dia memikat semula hati suaminya yang nampaknya seperti sudah berpatah arang berkerat rotan dengannya itu.

Emak mertuanya juga tidak keberatan menurunkan sedikit sebanyak ilmu untuk kebahagiaan rumahtangganya. Sungguh Ryana bersyukur dikurniakan seorang emak mertua yang baik dan penyayang. Memang patutlah suaminya melebihkan emaknya berbanding Ryana sendiri kerana emaknya mempunyai keperibadian yang tinggi walaupun bukan dilahirkan dan dibesarkan di dalam golongan berada. Sesungguhnya mereka miskin harta namun kaya dengan sifat terpuji yang tidak mampu ditandingi oleh Ryana.

*****

MELIHATKAN kemesraan antara isteri dan emaknya, Imran mengucap syukur kepada penciptanya. Sesungguhnya masa seminggu mengeraskan hati dari termakan pujuk rayu isterinya berjaya membuatkan isterinya semakin rapat dan sayang kepada emaknya. Fikirannya juga sudah tenang, sudah berjaya bebas dari pengaruh syaitan yang tidak pernah jemu menjalankan tugasnya.

Cukuplah seminggu mendiamkan diri. Cukuplah seminggu menjauhi isterinya yang sudah berkorban mengandungkan zuriatnya. Dia sedar dan redha akan kekhilafan yang dilakukan isterinya. Sesungguhnya Imran sedar, kekhilafan itu berpunca daripada dirinya yang gagal berlaku adil dalam membahagikan kasih-sayang kepada kedua-dua insan yang sangat disayanginya itu.

Imran berjanji, malam nanti segala kekusutan dalam perhubungannya bersama Ryana akan diselesaikan. Seikhlas isterinya menerima dirinya dan emak yang miskin untuk menjadi sebahagian dari keluarga, begitulah yang ingin Imran lakukan. Menerima segala kelebihan dan kekurangan Ryana seikhlas hati. Khilaf isterinya akan diperbetulkan dengan berhemah.

*****

“BANG, mari turun makan.” Selembut mungkin Ryana mengajak suaminya turun makan di dapur. Sudah seminggu suaminya tidak mempedulikannya. Puas dia memujuk, meminta maaf namun suaminya hanya mendiamkan diri. Malam ini Ryana nekad hendak memperbaiki semula hubungan mereka.

“Lepas solat, abang turun. Awak dah solat?” Terkejut Ryana mendengar suara suaminya yang lembut. Adakah suaminya sudah tidak marah lagi? Adakah suaminya sudah memaafkan kesilapannya?

“Be... Belum, bang.” Terketar-ketar suara Ryana menjawab soalan suaminya.

“Pergilah ambil wuduk, kita solat bersama.” Ryana hanya memandang suaminya yang sedang membetulkan kedudukan sejadah.

“Abang dah maafkan Ryana?” Terluncur juga pertanyaan daripada bibir Ryana namun dia berlalu ke bilik air selepas pertanyaannya tidak berjawab. Usai mengambil wuduk, Ryana membetulkan kedudukannya sebagai makmum di belakang suaminya yang sudah sedia menunggu. Malam itu mereka bersolat bersama dengan Imran sebagai imamnya.

“Ampunkan Ryana, bang. Ryana tipu abang, Ryana susahkan mak, sakitkan mak. Ampunkan Ryana, ya bang. Ryana buat semua ni sebab Ryana sayangkan abang. Ryana tak nak kehilangan kasih sayang abang.” Menitik airmata Ryana di atas tangan suaminya tatkala memohon ampun di atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukannya sesudah suaminya selesai membacakan doa. Terasa lapang hatinya apabila tangan suaminya mengusap lembut kepalanya.

“Abang tahu. Abang pun salah juga. Abang tak adil bahagikan kasih sayang dan perhatian abang. Abang pun minta maaf juga. Lepas ni kita sama-sama perbetulkan silap kita. Sudahlah. Mari kita turun. Perut abang dah rasa lapar ni.”

*****

LATIPAH tersenyum melihat anak dan menantunya berpimpin tangan menuruni tangga. Gembira sungguh hati Latipah apabila pasangan suami isteri itu sudah berbaik-baik semula. Dipanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana memakbulkan doanya agar hubungan pasangan itu kembali baik seperti sediakala. Senyuman yang terukir di bibir anak dan menantunya dibalas dengan senyuman lebar. Mak Jah yang sedang menyendukkan nasi ke dalam pinggan turut tersenyum.

“Duduk Ryana, Imran. Malam ni mak gembira sangat. Mak bahagia bila tengok kamu berdua dah berbaik-baik semula.” Imran tersenyum melihat riak bahagia di wajah emaknya. Sesungguhnya tiada yang lebih menggembirakan apabila seorang ibu itu bahagia dan redha dengan kebahagiaan anaknya.

“Alhamdulillah, mak. Ryana ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sudi maafkan kesilapan Ryana dan beri tunjuk ajar hingga rumahtangga Ryana pulih semula. Terima kasih, mak.” Sekali lagi Imran tersenyum apabila isterinya memeluk erat emak kesayangannya sebelum mereka sama-sama duduk menghadapi hidangan.

“Memang dah jadi kewajipan seorang mak untuk memahami dan beri tunjuk ajar kepada anak-anak. Mak akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Ryana dan Imran. Haaa..., mak ada hadiah untuk Ryana. Nanti lepas makan mak beri.”

“Terima kasih. Jemput makan, mak.”

*****

“RYANA...,”

“Ya, mak.” Ryana berpaling apabila mendengar namanya diseru oleh emak mertuanya. Serta-merta bibirnya mengukir senyum tatkala terpandang emak mertuanya menatang sebuah dulang berisi sebuah teko dan beberapa buah cawan.

“Nah! Hadiah mak untuk Ryana sebab beri kebahagiaan kepada Imran dan sudi terima kami sebagai sebahagian dari keluarga Ryana.” Cawan yang dihulurkan oleh emak mertuanya segera dibawa ke mulut, dihidu aromanya dan dihirup isinya dengan penuh nikmat.

“Terima kasih, mak. Inilah kopi tersedap dalam dunia!”

3 comments:

RM said...

hehehe..kalo ai jadik mak tipah tu, ai terajang je ryana tu smpai ke dinding..mencik ryana..mencik mencik..kopi susu utk anak hantu...

azrina nur rusly said...

hahaha... anak hantu tu kesayangan anak kak tipah tu. lalala

awekminicooper said...

sedih sgt baca.. memang hebat penulis ni ye. hehe

.