Tuesday, February 15, 2011

Sardin Berkuah Mak Bedah

Fatimah berlari-lari masuk ke rumah. Beg yang sarat berisi buku-buku sekolah dilemparkan ke atas kerusi rotan yang sudah lama menghuni ruang tamu rumah teres tiga bilik itu. Berjuntai tali begnya ke bawah kerusi melalui celah kusyen yang sudah lunyai. Perutnya yang semenjak tadi sudah berkeroncong kelaparan membawa langkah Fatimah ke ruang dapur yang menempatkan sebuah meja makan berkerusi empat yang juga sudah usang dan hanya menanti masa hendak roboh menyembah lantai.


Pinggan makan yang elok bertelangkup di atas rak segera dicapai lalu dibawa ke penjuru dapur. Di atas rak kayu tiga tingkat di sudut itu terletak kemas sebuah periuk nasi elektrik berjenama Elba yang comel yang boleh memuatkan tiga cawan beras untuk sekali masak. Itulah satu-satunya barang elektrik paling berharga di dalam rumah mereka yang telah dihadiahkan oleh majikan Mak Bedah. Penutup periuk yang diperbuat dari logam dan berpemegang plastik itu diangkat. Senduk putih bergambar bunga matahari di tangkainya yang elok terletak di dalam bekas sudu dicapai lalu nasi yang masih panas disendukkan ke dalam pinggan.


Usai menutup semula periuk nasi yang sudah berkhidmat lebih dari lima tahun kepada keluarga mereka, Fatimah segera membawa dirinya ke meja makan. Pinggan diletakkan di atas meja. Berkeriut bunyi kerusi itu sebaik sahaja punggungnya mencecah permukaan kerusi. Terasa sedikit bergoyang kerusi itu apabila Fatimah membetulkan kedudukannya. Janganlah kerusi ni roboh masa aku tengah makan pulak, hati Fatimah berbisik. Senyum bermain-main di kedua-dua ulas bibirnya.


Tangannya bergerak lincah mencapai pemegang tudung saji yang terletak elok di atas meja. Kelihatan semangkuk sardin berkuah sebaik tudung saji itu diangkat. 'Wah, seronoknya!' Berkata lagi hati gadis cilik itu. Sungguh, gadis itu sangat seronok setiap kali membuka tudung saji, matanya disajikan pula dengan sardin berkuah yang memang menjadi kegemarannya sejak kecil. Entah apalah yang istimewa dengan sardin berkuah itu, tiada siapa yang tahu. Hanya Fatimah, si gadis cilik itu sahaja yang ada jawapannya.


Disudukan sepotong ikan sardin ke dalam pinggannya. Kemudian disudukan pula kuahnya yang likat dan pekat serta penuh dengan hirisan bawang besar dan halia itu ke dalam pinggannya sehingga nasinya kelihatan banjir. Usai meletakkan sudu kembali ke dalam mangkuk, Fatimah mula menyuap dengan rakusnya. Belumpun sempat hancur nasi di dalam mulutnya dikunyah, terus sahaja ditelan. Kemudian disuapkan pula nasi yang lain ke dalam mulutnya. Begitulah seterusnya sehingga Fatimah selesai menghabiskan nasi di dalam pinggannya. Namun, walaupun makan dengan rakus, tidak pernah pula sekalipun nasi ataupun lauk tersekat di kerongkongnya.

Usai makan, Fatimah membawa pinggannya yang sudah kosong ke sinki lalu mencucinya sehingga bersih lalu diletakkan semula di atas rak. Fatimah kembali ke meja makan. Gelas plastik yang bertelangkup elok di dalam dulang di atas meja diisikan penuh dengan air suam dari dalam jag yang kemas bertutup di atas dulang yang sama. Air di dalam gelas itu diteguk rakus sehingga habis. Cawan yang sudah kosong dibiarkan sahaja di atas meja lalu kakinya mula mengatur langkah ke ruang tamu. Akhirnya ruangan dapur ditinggalkan sepi semula.

Selepas kenyang, baharulah Fatimah terasa rimas. Beg sekolah yang tergeletak di atas kerusi rotan dicapai dan disandangkan ke bahu lalu dibawa masuk ke dalam biliknya. Pintu biliknya dirapatkan semula lalu dikunci sebaik tubuhnya diloloskan ke dalam bilik. Sekali lagi beg sekolahnya yang sudah lusuh itu menjadi mangsa balingannya. Kasihan buku-buku yang penuh berisi ilmu di dalam beg itu. Terlontar ke sini-sana begitu sahaja. Tidak cukup dengan melontar begnya, kini giliran tubuhnya yang kurus itu pula dilemparkan ke atas tilam. Berkeriut bunyi katil itu menerima tubuhnya secara paksa sebegitu. Dengan rasa kekenyangan, Fatimah terlena.

********

Mak Bedah mengelap peluh yang memercik di dahi. Keletihan berjalan kaki di bawah panas terik matahari dari simpang jalan ke rumah tidak terasa. Di dalam hatinya hanya ingin segera sampai ke rumah dan menikmati juadah yang sudah disiapkannya seawal pagi sebelum ke tempat kerja. Sudah terbau-bau olehnya aroma sardin berkuah. Sudah terpandang-pandang olehnya kuah yang likat dan pekat. Langkah dipercepatkan lagi dan akhirnya Mak Bedah sampai ke rumah.


Walaupun perutnya sudah berdondang sayang akibat menahan lapar, tidak pula Mak Bedah berlari-lari masuk ke dalam dapur seperti Fatimah. Langkah diatur perlahan ke ruangan dapur namun serta-merta matanya terbeliak apabila memandang ke arah meja makan. Di atas meja, seekor binatang berbulu kuning yang berekor pendek sedang enak menjilat mangkuk sardin berkuah yang sudah hampir kosong. Mak Bedah mengucap panjang. Kelaparan yang menghambat memicu amarah. Mak Bedah segera melangkah ke arah bilik Fatimah. Pintu diketuk berkali-kali diiringi suara memanggil yang nyaring. Sebaik pintu terbuka, tersembul wajah Fatimah dari sebalik pintu.

"Eh, mak dah balik! Dah lama mak sampai?" Mak Bedah merenung tajam Fatimah dengan wajah yang penuh amarah. Tidak dihiraukan pertanyaan yang lahir dari seulas bibir anak gadisnya itu.

"Kenapa kamu tak simpan lauk di bawah tudung saji? Kamu tahu kan mak tak pernah makan di tempat kerja. Kamu tahu kan mak pasti balik makan di rumah setiap kali habis bekerja. Tapi kenapa kamu sengaja buat mak macam ni? Apa salah mak pada kamu? Apa yang mak dah buat pada kamu? Sampai hati kamu buat mak macam ni!" Teresak-esak Mak Bedah meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Fatimah hanya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Terasa pelik dengan situasi itu.

"Kenapa mak? Apa yang Timah dah buat?" Mak Bedah merentap tangannya yang baharu sahaja dipegang oleh Fatimah. Marah benar Mak Bedah.

"Kamu tanya mak apa yang kamu dah buat Timah? Kamu sengaja biarkan lauk tak bertutup. Kamu sengaja biarkan kucing jiran makan lauk yang susah payah mak masak pagi tadi. Kamu sengaja nak biarkan mak dengan adik-adik kamu yang lain mati kelaparan kan? Itu niat kamu kan? Nanti kalau mak dah mati, senanglah kamu nak buat apa yang kamu suka kan? Senanglah kamu nak bawak masuk mak kandung kamu tu dalam rumah ni kan?" Hilang sudah pertimbangan Mak Bedah. Terbocor sudah rahsia yang selama ini disimpan kukuh hanya gara-gara sardin berkuah yang sudah habis dimakan kucing.

Fatimah terkedu. Otaknya bekerja dengan ligat. Segala kata-kata yang keluar daripada mulut Mak Bedah diproses berulang kali. Benarkah apa yang baharu sahaja didengarinya tadi? Mak kandung? Siapa?

Mak Bedah tersedar. Wajah Fatimah yang keliru dan kebisuan Fatimah membuatkan Mak Bedar nanar. Mak Bedah segera mencapai beg duitnya di atas meja lalu melangkah ke luar. Tergesa-gesa Mak Bedah menyarung selipar dan tanpa pamitan Mak Bedah melangkah meninggalkan rumah menuju ke arah jalan.

"Mak! Mak! Tunggu mak!" Mak Bedah terus melangkah. Tidak sedikitpun Mak Bedah menoleh walaupun suara Fatimah memekik-mekik memanggilnya kedengaran semakin hampir. Mak Bedah sudah tidak marah lagi dengan kejadian sardin berkuah menjadi santapan kucing. Mak Bedah kini bimbang akan perkara lain. Mak Bedah takut Fatimah akan bertanya tentang perkara yang disebutnya tadi. Mak Bedah berharap Fatimah akan lupa akan perkara tadi menjelang petang. Mak Bedah benar-benar sayangkan Fatimah. Semenjak Fatimah masih seorang bayi, Mak Bedah sudah memeliharanya. Mak Bedah sudah menganggap Fatimah itu seperti anaknya sendiri.

PONNNNNNNNNNNNNNNNNN

"Allah!" Bunyi hon yang panjang dan nyaring beserta ungkapan Allah yang kedengaran menghentikan langkah Mak Bedah. Tubuh dipalingkan. Luruh jantungnya apabila terpandang Fatimah sedang menggeletek di atas jalan dengan tubuh yang dibasahi darah. Mak Bedah segera berlari ke arah Fatimah. Pemandu kereta yang telah melanggar Fatimah masih terduduk di dalam kereta. Mak Bedah meraung-raung sambil memangku kepala Fatimah yang sudah kaku.

********

Sudah sepuluh tahun kemalangan itu berlaku. Sudah sepuluh tahun Fatimah pergi meninggalkan Mak Bedah namun sehingga kini Mak Bedah tidak pernah lagi memasak sardin berkuah. Sehingga kini tidak pernah sebuahpun tin sardin yang berjaya masuk ke dalam rumah Mak Bedah. Sehingga kini tiada seorangpun daripada anak-anak Mak Bedah yang berani membawa masuk mahupun menyebut tentang sardin lagi walaupun mereka begitu rindukan sardin berkuah Mak Bedah.

Kertas putih bergaris-garis dan penuh bertulisan condong-condong namun kemas milik Fatimah itu Mak Bedah pandang lagi entah untuk yang ke berapa kali. Walaupun sudah berkali-kali Mak Bedah menatap kertas itu, namun setiap kali itu juga airmatanya meluncur laju. Kertas bertulisan resepi sardin berkuah kegemaran Fatimah. Resepi yang ditulis oleh Fatimah ketika Mak Bedah sibuk memasak suatu masa dahulu.

"Mak, nanti bila Timah dah habis sekolah, Timah nak bukak restoran. Timah nak masak lauk istimewa ni. Nama dia 'Sardin Berkuah Mak Bedah'."

Airmata Mak Bedah gugur lagi. Kenangan bersama Fatimah tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.

Berbalas Pantun - Azrina Nur Rusly Dan Shahrizad Sha Azizan

Azrina Nur Rusly

Layang-layang bertali benang
Dilanda ribut jatuh ke telaga
Kisah yang lama usah dikenang
Hanya menyakitkan jiwa dan raga

Shahrizad Sha Azizan

Layang-layang bertali benang
Dilanda ribut jatuh ke telaga
Yang jauh selalu terkenang-kenang
Menantikan jawapan , entahkan ada

Azrina Nur Rusly

Dilanda ribut jatuh ke telaga
Terjumpa oleh Siti Rabia
Menantikan jawapan entahkan ada
Entahkan dia sedang berbahagia

Shahrizad Sha Azizan

Dilanda ribut jatuh ke telaga
Telaga pula kering airnya
Tak mungkin begitu akan sikapnya
Sebelum dia pergi dia bilang dia cinta

Azrina Nur Rusly

Telaga pula kering airnya
Layang-layang tidak rosak masih boleh diguna
Sebelum dia pergi dia bilang cinta
Bicara manis lelaki, bolehkah dipercaya

Shahrizad Sha Azizan

Layang-layang tidak rosak masih boleh diguna
Esok boleh bermain lagi
Dia berjanji, bersumpah setia
Hanya sha saja di hati

Azrina Nur Rusly

Esok boleh bermain lagi
Bermain beramai-ramai di atas titi
Betulkah hanya Sha sahaja di hati
Entah-entah di sana ada lain yang menguliti

Shahrizad Sha Azizan

Bermain beramai-ramai di atas titi
Titi usang, semakin tua
Ya tak ya jugak, baru sha sedari
Entah-entah dia dah kahwin lari dengan si hawa... (janda anak tiga)

Azrina Nur Rusly

Titi usang semakin tua
Hendak melalui terasa ngeri
Sha sudah mula berprasangka
Hebat juga penangan iblisku ini

Shahrizad Sha Azizan

Hendak melalui terasa ngeri
Guna saja titian batu
Sha bukan ada prasangka, oh no, not me
Dah memang lelaki sikap begitu

Azrina Nur Rusly

Guna sahaja titian batu
Titian batu dibina, YB punya ihsan
Betul, memang sudah lelaki sikap begitu
Berserahlah kepada tuhan agar ditetapkan iman

Shahrizad Sha Azizan

Titian batu dibina, YB punya ihsan
Cantik dan kuat akan binaanya
Ku berserah, redha dalam iman
Biar Tuhan saja menentukannya

Monday, February 14, 2011

Kisah Kasih Sayang - Seloka Ala Belasah Tahap Melampau

Hari ini empat belas Februari
Kononnya sambut Valentine punya hari
Mawar merah dan coklat habis dibeli
Tokey-tokey semua senyum nampak gigi
Sebab hari ini pendapatan masyuk sekali

Si makwe sudah sengih sampai telinga
Si pakwe pula sudah mula garu kepala
Dalam kepala sudah berlegar satu perkara
Sekejap lagi pasti dia jadi mangsa
Keluar duit belikan makwe sekuntum bunga

Hari istimewa bunga tentu naik harga
Lalu depan kedai jeling-jeling tanda harga
Bila sudah nampak terus terbeliak biji mata
Buat-buat seluk poket padahal jari tengah mengira
Duit dalam poket entah berapa ringgit sahaja yang ada
Cukupkah tidak untuk beli tanda cinta

Empat belas Februari katanya hari berkasih-sayang
Ramai orang Islam ikut sambut walaupun sudah dilarang
Marah berapi-api bila orang kata dia bangang
Entah berapa kali pula mahu diulang
Bukankah hari-hari kita cinta dan sayang
Buat macam biasa tidak perlu berlambang-lambang

Mawar merah tanda cintaku setia katanya
Hati si makwe sudah mula berbunga-bunga
Pakwe dalam kepala sudah rangka satu agenda
Aku keluar duit beli bunga, sekejap lagi tubuh engkau aku punya
Si makwe dalam hati langsung tiada syak wasangka
Terus ikut saja walau dibawa ke mana
Demi cinta adik sanggup serah segala

Itulah dari dulu orang sudah bilang
Sambut Valentine bukan budaya Islam
Bila maruah sudah hilang
Masa depan siapa yang kelam
Haaaa... Menangis tidak berlagu siang malam

(C) Azrina Nur Rusly, 14 Februari 2011

Berbalas Pantun Dengan Pak Soffy Dan Shahrizad Sha Azizan di SELEKSI KUSAYANG

Amalan Penentu Balasan

Azrina Nur Rusly

Nenda bersemadi di hujung kampung
Kemboja merendang di tepi pusara
Janganlah kita berlagak sombong
Hidup manusia bukan selamanya

Kemboja merendang di tepi pusara
Gugur sekuntum menyembah bumi
Hidup manusia bukan selamanya
Persiapkan diri sebelum mati

Gugur sekuntum menyembah bumi
Diambil dara selit di telinga
Persiapkan diri sebelum mati
Agar nanti mendapat balasan syurga

(C) Azrina Nur Rusly, 13 Februari 2011

Pak Soffy

Anak dara pagi bermadah
Berlenggang-lenggok sampai ke hulu
Hendak ke syurga bukannya mudah
Harus menempuh ujian dahulu

Pagi-pagi menoreh getah
Getah diletak dalam kuali
Jalan kesyurga ditunjuk sudah
Pandailah kita utk melalui

Anak Mak Ani suka menari
Sambil menari tertendang baldi
Jalan ke syurga telah diberi
Buka AlQuran panduan abadi

Azrina Nur Rusly

Anak dara di awal pagi sudah bermadah
Madahnya indah menawan kalbu
Benar, hendak ke syurga bukannya mudah
Sebab itu dipesan persiapkan diri dahulu

Pagi-pagi ke kebun menoreh getah
Siap menoreh berehat sebentar memakan bahulu
Benar, jalan ke syurga ditunjuk sudah
Sebab itu dipesan persiapkan diri dahulu

Anak Mak Ani memang suka menari
Sambil menari mengalunkan lagu
Benar, jalan ke syurga sudah diberi
Sebab itu dipesan persiapkan diri dahulu

Baju direndam di dalam baldi
Baldi diletak di tepi perigi
Benar, Al-Quran itu panduan abadi
Marilah kita sama-sama menghayati

Shahrizad Sha Azizan

Baju direndam di dalam baldi
Baldi diletak di tepi perigi
Ilmu itu haruslah dicari
Untuk kebahagiaan di akhirat nanti

Siang malam saling berganti
Bulan bintang pandai menyinari
Sayang sungguh jika tidak peduli
Rahmat bekalnya dari Illahi

Berlian tidak, permata pun tidak
Kaca jernih semata-mata
Dunia nak, akhirat pun nak
Sama rata, timbanglah seadanya

Berbalas Pantun Dengan Shahrizad Sha Azizan, Laila Hanni Dan Awie Bakrie Azbeck

Azrina Nur Rusly


Kunang-kunang terbang tinggi

Berkelip-kelip indah cahayanya

Sebentar lagi bertukar hari

Harap Sha sudah bersedia


Laila Hanni


Berkelip-kelip indah cahayanya

Itulah dia si kunang-kunang

Sha terdiam tanpa suara

Menanti idea datang bertandang


Shahrizad Sha Azizan


Kunang-kunang terbang tinggi

Berkelip-kelip indah cahayanya

Jangan risau jangan worry

Sha dah beli kesemuanya


Kunang-kunang terbang tinggi

Berkelip-kelip indah cahayanya

Dah tiba, pun encik awie

Boleh membeli, rasa-rasanya?


Azrina Nur Rusly


Berkelip-kelip indah cahayanya

Buat penerang jalan ke perigi

Tentulah Encik Awie boleh membeli Sha

Kita tunggu sekejap lagi


Awie Bakrie Azbeck


Salam diberi pembuka kata

Kenyang perut suka hati

Maaf kan hamba tak tau apa-apa

Baru balik ni haa..nak buka pc


Azrina Nur Rusly


Si dara sunti suka melawa

Suka juga menyanyi ikut irama

Berbalas pantun kami pelawa

Harap En Awie sudi terima


Awie Bakrie Azbeck


Kaki sakit kena selumbar

Terpijak kaca tepi perigi

Org lain semua dh letak gambar

Tinggal Sha sorang je belum lagi


Shahrizad Sha Azizan


Kaki sakit kena selumbar

Terpijak kaca tepi perigi

Bukan tak nak share gambar

Sha di FB sebab nak promote TLC


Awie Bakrie Azbeck


Budak remaja menghisap shisha

Di kedai mamak Seksyen Lima Belas

Kesianlah kami wahai Sha

Bagi je la..janji ikklas


Baru ku tahu buah papaya

Manis rasa dlm berbiji

Oohh baru ku tahu siapa Sha

Ok2 ..good ,sorok kan sikit identiti


Shahrizad Sha Azizan


Kunang-kunang terbang tinggi

Berkelip-kelip indah cahayanya

Kalau ikut hati mahu diteruskan lagi

Tapi kena tidur dulu sebab esok, wa kerja... (beb)


Baru ku tahu buah papaya

Manis rasa dlm berbiji

Berhijab begitu pilihan Sha

Bukan bersembunyi tapi akur pada kehendak Illahi


Azrina Nur Rusly

Rendang sungguh pohon kuini

Rasa buahnya semanis madu

Berbalas pantun tamat di sini

Insyaallah disambung di lain waktu


Shahrizad Sha Abdullah


Rendang sungguh pohon kuini

Rasa buahnya semanis madu

Baiklah esok kita jumpa lagi

Good nite & thanks to you

Friday, February 11, 2011

Berlari Mencari Pasti - Versi Ala Belasah

Gagah kau berlari sepanjang hari
Ke sana dan ke mari
Tanpa tahu apa yang dicari
Hingga akhirnya langkah kakimu terhenti
Pabila keletihan menguasai diri

Tanpa izin kau labuhkan punggung di atas ketulan batu
Di tepi tasik yang tenang dan airnya tampak biru
Sebiru langit cerah yang membias di airnya yang hampir beku
Begitu juga hatimu yang satu
Tinggal diam, sayu dan berlagu pilu
Lalu kau teruskan renungan matamu
Ke seluruh pelosok alam kau pandang tanpa jemu

Lamanya kau berdiam di situ
Apa lagi yang masih kau ragu
Mulakanlah semula langkahmu yang kaku
Lupakan kisah-kisah sendu
Carilah semula apa yang ingin sangat kau temu
Dalam mimpimu itu

(C) Azrina Nur Rusly, 10 Februari 2011

Tuesday, February 08, 2011

Nota Ala Belasah Ilma (Akibat Tidurnya Terganggu)

Suasana awal pagi yang sunyi tiba-tiba diganggu oleh salakan anjing jiran di tingkat G yang semakin menjadi-jadi. Salakan itu menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang cuba hendak mengganggu ketenteramannya. Ilma mula naik berang. Baharu sahaja dia hendak masuk ke alam mimpi, anjing itu sudah potong stim. Lampu bilik yang sudah dipadamkan oleh Ilma sebelum dia membuat terjunan tiruk ke atas katilnya tadi dipasang kembali. Ilma berkira-kira hendak membuat tinjauan rambang pula ke tingkat bawah namun apabila matanya tertancap ke permukaan jam yang indah menghiasi dinding biliknya, terus sahaja Ilma mematikan niatnya. Sudah hampir jam dua pagi. Lebih baik lupakan sahaja niat untuk keluar daripada rumah.

Ilma bukannya apa. Bimbang jika terserempak sesuatu yang tidak dijangka. Jika perompak, gagah lagi Ilma hendak melarikan diri masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu seketat-ketatnya. Itu jika perompak. Apa pula kisahnya jika Ilma terserempak si manis berambut panjang mengurai berbaju putih yang menumpang di salah sebuah unit kosong berhampiran unit yang didiami oleh Ilma ini? Ke mana pula Ilma hendak melarikan diri? Persoalannya, jikapun ada tempat untuk Ilma bersembunyi, adakah Ilma mampu untuk mengheret langkahnya untuk melarikan diri dari makhluk tuhan paling seksi itu?

Ilma berjeda seketika. Menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum melepaskan kembali. Komputer riba yang sudah dimatikan tadi dihidupkan kembali. Itulah masalah Ilma. Jika sudah terjaga, pasti matanya sukar hendak dilelapkan kembali dan jika itu berlaku, tentu sahaja komputer riba berjenama Sony Vaio yang murah itu menjadi mangsanya. ‘Nasib kaulah lappy. Baru aje kena off dah kena on balik. Hehehe…’ Sempat lagi Ilma bermonolog.

Ilma sengaja tidak mahu log masuk ke akaun streamyxnya. Jika Ilma log masuk, sudah pasti Ilma akan berhenti menulis coretannya separuh jalan. Ini juga salah satu masalah yang membelenggu diri Ilma. Jika Ilma sudah mula berFacebook, pasti Ilma akan malas hendak mengusik karyanya yang lebih banyak tergantung daripada yang siap itu. Sudah berkali-kali juga Ilma dimarahi oleh sifunya kerana terlalu leka dengan laman komuniti itu hingga mengabaikan tugas yang telah diamanahkan untuk disiapkan.

Telinga Ilma sudah lali dengan sindiran dan kata nasihat berbaur marah yang diucapkan oleh sifunya setiap kali memperkatakan tentang manuskrip. Entahlah. Ilma sendiri tidak tahu sampai bila dia akan terus berjaya dilekakan oleh laman komuniti itu. Bukan Ilma tidak pernah mencuba untuk menghindari laman komuniti itu tetapi setiap kali terpandangkan permainan baru yang diwujudkan di situ, hati Ilma meronta-ronta hendak turut serta.

Eh, berbalik kepada kisah anjing menyalak tadi! Ilma sudah leka menulis coretannya hinggakan tidak sedar salakan anjing itu sudah lama berhenti. Mungkin gangguan tadi sudah tiada dan anjing itu sudah lena berselimut kedinginan angin malam. Mata Ilma terasa pedih. Mungkin kesan daripada tidak cukup tidur yang menyebabkan simpton mata pedih itu berlaku. Bukankah semalam Ilma langsung tidak berjaya melelapkan mata walau sepicingpun. Walau puas Ilma bergolek ke kiri, ke kanan, ke kiri lagi dan ke kanan semula namun Ilma tetap juga tidak mampu mengundang lena. Jangankan lena, hendak memejamkan matapun tidak berjaya. Sudahnya, Ilma ke tempat kerja dalam keadaan lesu tidak bermaya akibat tidak mendapat cukup rehat yang berkualiti.

Bercerita tentang tempat kerja, ada juga kisah yang hendak Ilma kongsikan bersama pembacanya. Kisah yang berlaku di pejabatnya sepanjang hari ini. Hari ini, hari pertama bekerja selepas bercuti panjang sempena perayaan Tahun Baru Cina. Pihak pengurusan bangunan Wisma ini pula agaknya tidak mahu menukarkan mahupun menaiktarafkan sistem penghawa dingin utama yang ada. Mungkin kerana hendak mengurangkan perbelanjaan barangkali. Ilma ke pejabat dengan rasa mengantuk dan lesu. Sesampai di pejabat, penghawa dingin utama pula tidak berfungsi. Aduh, malangnya nasib Ilma! Sudahlah panas di hati angkara mata yang buat hal, ditambah lagi dengan panas berbahang akibat masalah penghawa dingin utama. Malahan bertambah-tambah berbahang apabila kaunter dikunjungi ramai pelanggan dan deringan telefon yang tidak putus-putus.

Ada juga pelanggan yang datang, merungut kerana keadaan panas yang mereka alami. Alah! Itu baharu sekejap sahaja mereka mengalaminya. Ilma dari pagi hingga ke petang menghadapinya dengan redha sahaja. Betulkah Ilma redha? Rasanya Ilma redha dalam terpaksa. Apa lagi yang boleh Ilma lakukan selain redha. Hendak mengambil cuti, rasanya tidak patut Ilma lakukan di saat ramai pekerja masih bercuti menyambut Tahun Baru Cina ini.

Ada satu lagi yang Ilma hendak kongsikan dengan pembacanya. Ini berkenaan program tarian singa yang akan diadakan di pejabatnya esok. Seperti biasa, selepas sambutan Tahun Baru Cina, syarikat akan mengadakan tarian singa. Penarinya bukanlah dari kalangan pekerja, tetapi penari yang diupah khas. Ilma rasa dari persatuan sekolah cina. Tentang tarian singa itu bukanlah sesuatu yang hebat untuk diperkatakan. Ilma cuma hendak berkongsi teorinya tentang esok. Jika esok penghawa dingin utama masih mengalami masalah, bagaimanakah agaknya keadaan penari yang menjadi singa itu ketika mengadakan persembahan? Tidakkah tiba-tiba singa akan pitam kerana kepanasan? Hah, Ilma sudah mula dengan teori merepeknya!

Mata Ilma sudah semakin pedih. Jam di skrin komputer riba Ilma pula sudah menunjukkan pukul dua setengah pagi. Esok Ilma harus ke pejabat lagi. Jadi Ilma tamatkan coretannya setakat ini sahaja. Ilma tidak mahu padamkan lampu lagi. Biarlah Ilma tidur di dalam terang hingga ke pagi supaya Ilma tidak terlajak untuk bangun esok.

p/s: Coretan ini sebenarnya hendak dijadikan sebagai sebuah cerpen sewaktu jemari mula menaip perkataan yang pertama tadi. Tetapi bila diteliti semula coretan yang entah apa-apa ini, rasanya biarlah ia dimartabatkan sebagai sebuah nota ala belasah sahaja. Lagipun terasa malas pula hendak menyambungnya panjang-panjang. Kihkihkih

Sunday, January 30, 2011

Wahai Kekasihku Yang Dirindu - Coretan Ala Belasah

Alunan irama alam berlagu syahdu
Lembut membelai sukma yang lara
Tangis pilu sang perindu yang mendayu
Tatkala sayu merenung sang bulan yang bisu
Usai bertemu yang dirindu
Redup renungan sepasang mata yang kuyu
Tanda di dada sarat rindu yang terbuku
Terbias di raut wajah yang sayu
Walau sudah dilampias di atas sejadah itu

Dingin bayu yang berhembus
Di malam yang hampir sampai ke penghujung
Terasa menusuk menembusi kulit
Namun sang perindu yang pilu
Diam tidak berkutik di sudut itu
Membiarkan diri terus dibalut sayu
Tenggelam dalam rindu yang menggebu

Wahai kekasihku yang dirindu
Telah ku cuba melengkapkan diriku
Agar nampak sempurna di mataMu
Wahai kekasihku yang dirindu
Telah aku cuba pertahankan imanku
Agar terus kekal mantap kepadaMu
Wahai kekasihku yang dirindu
Jemputlah aku ke sisiMu
Jangan biarkan aku terus menunggu
Wahai kekasihku yang dirindu
Sesungguhnya aku sudah tidak sabar lagi
Untuk kembali menghadapMu

Thursday, January 27, 2011

Coretan Ala Belasah III

Masa yang cemburu terus berlalu
Meninggalkan aku yang termangu sayu berteman pilu di kalbu
Memendam rindu berlagu sendu
Dalam kepasrahan menanti hadirmu

Sejak berkurun aku ada di situ
Sejak berkurun aku setia menantimu
Pasrah berteman sebuah rindu yang menggebu
Rindu yang sememangnya aku khaskan untukmu

Sampai bila aku harus menunggumu
Adakah sehingga berakhirnya nafasku
Atau sehingga dirimu mengaku
Aku tidak lagi kau perlu

Jika kau tanyakan kembali kepadaku
Sungguhkah akan kataku itu
Pasti jawapanku tidak begitu
Kerana jika ku ikutkan hatiku
Aku tidak sanggup kehilanganmu
Dan selamanya ku ingin bersamamu

Namun jika kau mahu aku pergi darimu
Aku rela berlalu
Aku rela mengorbankan diriku
Demi kebahagiaanmu

Coretan Ala Belasah II

Aku:
Bagaimana aku jika Kau tidak redha
Bagaimana aku jika Kau menjauh
Bagaimana aku jika Kau tiada
Bagaimana aku?

Mereka:
Tanpa Dia kau akan tersasar
Tanpa Dia kau akan merana
Tanpa Dia kau akan musnah
Tanpa Dia kau akan mati

Kau:
Aku akan sentiasa memberimu redhaKu
Aku tidak akan sekalipun mengabaikanmu
Aku juga tidak akan meninggalkanmu
Aku akan sentiasa bersamamu
Selagi kau dekat padaKu dan mentaatiKu
Namun jika kau menduakanKu
Mahupun meninggalkanKu
Aku akan memberi pengajaran kepadamu
Bukan kerana Aku benci padamu
Tetapi kerana Aku sayang kepadamu
Dan mahu kau kembali ke jalanKu
Sebelum nyawamu Aku pisahkan dari badan

Wednesday, January 26, 2011

Amuk!!!

Hari ni sifu tersayang mengamuk sakan masa wa call dia tengahari tadi. Hehehe... Dia marah sebab wa ganggu dia tengah buat kerja. Lalalala...

Sifu wa ni penulis sepenuh masa, editor sepenuh masa, blogger politik sepenuh masa, surirumah oppsss surarumah sepenuh masa. Pendek kata, semuanya sepenuh masa la. Pendapatannya bergantung kepada hasil kerjanya yang sudah siap.

Sifu wa ni banyak projek yang disapunya. Dari projek yang diterima daripada publisher yang rata-rata merupakan kawan-kawannya, hinggalah ke projek berkaitan penulisan daripada agensi kerajaan terutamanya KEMAS. Haaa... Projek berkaitan agensi kerajaan la yang selalu menaikkan anginnya bila wa kacau. Hikhikhik...

Wa pun selalu sangat la kena perli dengan sifu wa ni. Itu semua gara-gara wa yang tak pernah amik serius dengan bidang penulisan nih. Sifu suruh wa siapkan manuskrip, bermula daripada buku kanak-kanak. Namun wa tak pernah amik berat nak siapkan. Maklum la, minat wa tersasar dari keinginan sifu.

Akhirnya sifu izinkan wa menulis manuskrip novel, bermula dengan genre mistik (masih lagi wa tak amik berat) hingga la dia mengizinkan wa buat genre apapun yang wa suka (termasuklah genre cinta tp dengan syarat hanya cinta islamik). Sifu buat macam tu sebab banyak sangat permintaan manuskrip. Katanya boleh ringankan sikit bebannya.

Di bawah adalah keratan perbualan wa dengan sifu pada tahun lepas.

Sifu : "Dah siap ke Cinta Si Penjahit Kasut?"

Wa : "Cinta Si Tukang Kasut la! Ada ke penjahit..."

Sifu : "Tak kisah la. Dah siap lum?"

Wa : "Lum."

Sifu : "Dah dua tahun tak siap-siap lagi. Orang dah banyak dah siap. Nak duit ke tak?"

Wa : "Nak la."

Sifu : "Siapkan la."

Wa : "Tade idea!"

Sifu : "Carik la. Kalau tunggu idea tu datang, sampai mati la tak siap-siap. Idea bukan pakai tunggu."

Wa : "Ye la."

Itu sebahagian aje dari perbualan wa dengan sifu tersayang. Di bawah ni pulak keratan perbualan wa dengan sifu tengahari tadi. Ini kes sifu bising wa kacau dia yang tengah sibuk siapkan kerja. Hehehe...

Wa : "Tengah buat apa?"

Sifu : "Kerja la. Sibuk sangat ni. Lum sempat makan, lum sempat tido lagi ni."

Wa : "Kerja apa?"

Sifu : " Ni la. 48 mukasurat dah dikosongkan. Ni nak kena siapkan layout lagi, nak masukkan gambar lagi."

Wa : "Lerrr... Pesal lak? Kan da siap."

Sifu : "Haaa... Tu la pasal."

Wa : "Tadi ada orang mengamuk kat blog sifu la."

Sifu : "Ah! Nanti-nanti la kita sembang. Tengah sibuk ni."

Wa pun putuskan line cam biasa. Kalau sifu da cakap camtu, ikutkan aje. Kalau melawan karang, mau dia offkan henpon. Kihkihkih. Sifu kalau takmo diganggu, dia off la henpon dia.

Tak lama lepas wa sampai kat opis lepas makan tadi (wa hari2 balik makan kat rumah, walaupun makanan wa beli je tp tetap nak makan kat rumah jugak), wa dengar ungu menyanyikan kekasih gelapku. Itu ringing tone yang wa guna. Hehehe... Sifu call wa la. Wa pun jawab ler. Tapi dalam hati ada sikit rasa heran jugak. Apa la yang sifu nak pulak kan. Tadi kata sibuk. Rupanya...

Wa : "Ye."

Sifu : "Masuk blog sifu guna email ni *********@*****.***, password ni **********."

Wa : "Ok!"

Sifu : "Dah?"

Wa : "Eh! Jap lagi la."

Sifu : "Ok! Nanti amik invite aje. Susah-susah tutup aje blog tu. Banyak gangguan la."

Wa : "Eh, apa pulak? Biar aje la. Blog best tu."

Lepas tu sifu putuskan line. Bengang la tuh. Wa suka masuk blog sifu yang itu sebab banyak cerita nostalgia. Sifu boleh ingat rentetan kehidupan dia dari kecik. Menarik cerita-cerita dia. Last sifu update blog pada awal tahun tuari. Pastu dia sibuk dengan kerja dan blog politik dia aje.

Dah la. Dah panjang lebar pulak wa membebel kat sini. Nanti kalau sifu tau nih, kena amuk lagi la pulak wa nih. Ye la kan, disuruh menulis manuskrip satu hari empat bab wa takleh buat, menceceh pepanjang kat blog wa boleh aje. Kihkihkih! Tapi itu la sifu yang wa sayang. Itu la sifu yang banyak ajar wa cara nak cari idea dan cara nak ingatkan kisah dari kecik sampai sekarang. Sifu yang banyak ajar wa pasal penulisan, pasal penerbitan walaupun wa tak pandai-pandai lagi kira campur tolak dalam pengiraan royalti penulis. Lalalala...

Tuesday, January 18, 2011

Kihkihkih!

Kihkihkih!

Sudah agak lama blogku ini tidak diupdate. Sudah penuh dengan sarang labah-labah gayanya. Bukan aku lupa untuk mengupdate, tetapi aku tak tahu nak coretkan kisah apa. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, otak aku membeku. Tiada langsung sebarang idea yang melintas.

Sementelah lagi aku kini mengalami masalah kesihatan. Tidaklah serius manapun, cuma demam dan selsema disertai batuk yang menggila. Bila berada di dalam keadaan sebegini, sudah semestinya minda tidak dapat berfikir dengan baik.

Nantilah! Tunggulah! Tunggu kesihatan aku pulih semula. Tunggu idea aku menderu-deru melintas di kepala. Di ketika itu nanti, akan aku coretkan entry yang merupakan kesinambungan karya-karyaku yang tergendala.

Kihkihkih!

Saturday, November 20, 2010

Siapa Curi Kaki Lembuku?



“MAK! Mak! Kenapa kaki lembu kita ada lima belas aje mak? Lagi satu mana?” Terjerit-jerit Ainun menyampaikan khabar kehilangan sebelah kaki lembunya. Setahu Ainun, ada enam belas kaki kesemuanya. Ke mana pula perginya lagi satu? Pelik juga bila Ainun fikirkan.

“Kamu biar betul Ainun. Tadi mak kira ada enam belas semuanya. Kamu ni salah kira agaknya tak? Kamu pandai kira ke tak? Cuba kamu kira sekali lagi!” Dengan langkah lemah bercampur malas Ainun berjalan ke arah besen besar berisi kaki-kaki lembu yang diletakkan di bawah khemah.

“Satu! Dua! Tiga!” Ainun sengaja meninggikan suaranya sewaktu proses pengiraan. Rasa tidak puas hati yang menggelodak di dalam dirinya yang menyebabkan dia mengambil tindakan kurang bijak begitu. Tunjuk protes!

Hajah Rusma hanya menggeleng sahaja dengan sikap anak gadisnya itu. Hendak ditegur, Ainun sudah dewasa. Sudah tahu malu. Nanti tentu sahaja anak gadisnya itu akan terasa malu jika ditegur di hadapan saudara mara yang lain.

“Empat belas! Lima belas! En.. Eh! Dah habis dah.” Hajah Rusma segera menuju ke arah anak gadisnya itu. Dijengukkan kepala ke dalam besen besar itu. Dialihkan pandangan ke arah Ainun. Dipandang sekali lagi ke dalam besen. Kemudian dipandang Ainun sekali lagi.

“Mana pergi lagi satu? Pertanyaan yang sama pula keluar dari mulut Hajah Rusma. Ainun menutup mulut dengan telapak tangan. Terasa lucu pula apabila ibu kesayangannya itu bertanya soalan yang sama.

“Itulah... Tadi mak takmo percaya cakap Ainun. Mak kata Ainun tak pandai kira. Haaaa... Ni mak pun dah tengok sendiri kan?” Ainun seperti ingin memulangkan paku buah keras pula kepada ibunya itu.

“Ainun Mardiyan!” Suara Hajah Rusma sudah meninggi. Dijeling anak gadisnya itu. Ainun terkesima. Segera dia berundur sedikit menjauhi ibunya yang bila-bila masa sahaja boleh berubah menjadi ketam. Jika sudah berubah, tentulah dia bakal menjadi mangsa cubitan dari ketam jadian itu.

Haji Rahim yang sedang membetulkan susunan kayu api yang sedang terbakar di tungku batu berhampiran khemah itu segera bangun dan meninggalkan tugasnya seketika. Nampaknya Haji Rahim mempunyai tugas yang lebih penting kali ini. Haji Rahim perlu menjadi pengadil untuk pertandingan kejar dan cubit.

Sejurus Hajah Rusma mengangkat tangan hendak mencubit anak gadisnya, segera tangan itu digapai oleh Haji Rahim. Diusap-usap tangan Hajah Rusma yang sudah berkedut itu dengan perasaan penuh kasih sayang. Saudara mara yang memandang hanya tersenyum simpul melihatkan kemesraan pasangan yang sudah pencen itu.

“Amboi Mak Long, Pak Long. Bukan main mesra lagi. Siap pegang-pegang tangan.” Tersipu-sipu Hajah Rusma diusik anak saudaranya. Haji Rahim hanya mengenyit mata kepada Hajah Rusma.

Ainun segera berlalu ke dalam dapur. Diselongkar apa sahaja yang terpandang di matanya. Akhirnya seluruh kawasan dapur habis bersepah diselongkar Ainun. Namun kaki lembu yang dicari tidak juga ditemui.

Ainun keluar semula ke bawah khemah. Berjalan terjingkit-jingkit apabila melalui ibunya. Tidak mahu tangan ibunya yang sudah terlepas dari pegangan ayahnya mencubitnya pula.

Namun nasib Ainun agak malang. Belum sempat melepasi tubuh ibunya, tangannya sudah menjadi mangsa cubitan berbisa ibunya. Menyeringai gadis itu menahan kesakitan. Bisa. Memang berbisa cubitan ala-ala ketam ibunya itu.

Haji Rahim tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Perkara yang cuba ditahan sudahpun terjadi. Sudahnya Haji Rahim hanya mampu meledakkan tawa. Dan tawa Haji Rahim semakin kuat dan menggema dengan 'vocal' tambahan daripada saudara mara yang ada.

**********

SHAH, Chad dan Fuad ketawa terkekeh-kekeh sambil menggosok-gosok perut masing-masing. Kenyang sungguh mereka malam ini. Penat lelah membantu di majlis korban yang diadakan di masjid pagi tadi berbaloi juga. Seperti biasa dapatlah mereka memanggang daging untuk makanan mereka malam ini.

“Weh! Tentu kecoh rumah Haji Rahim malam ni kan? Biasalah, malam-malam macam nilah selalunya diorang mulakan kerja-kerja merebus kaki-kaki lembu tu.” Chad mengangguk setuju dengan kata-kata Fuad. Shah pula masih lagi leka mencungkil serpihan daging yang melekat di celahan giginya yang agak jarang-jarang itu.

“Shah! Kau rasa diorang sedar tak?” Pertanyaan Chad memeranjatkan Shah. Tercucuk gusinya dengan pencungkil gigi yang diambil dari pokok kaktus milik Haji Rahim tadi. Berdarah gusinya. Hampir menangis Shah menahan sakit.

“Adoi, sakitlah! Apa ni Chad? Kan aku tengah cungkil gigi ni. Kenapa kau tepuk bahu aku? Kan dah tercucuk gusi aku ni!” Shah membalas dengan menumbuk bahu Chad. Chad berpaling menghadap Shah. Masing-masing sudah mendabik dada. Lagak masing-masing sudah seperti peserta sumo yang sedang bersedia hendak memasuki gelanggang.

“Sudahlah... Benda kecik pun nak gaduh la korang ni.” Fuad cuba menenangkan kedua-dua sahabatnya itu. Perut sudah kenyang, fikiranpun biasanya akan cergas. Itulah sifat Fuad yang sudah difahami oleh semua orang. Jika dalam keadaan lapar, Fuad seperti orang yang tidak pandai berfikir. Namun bila perutnya sudah terisi kenyang, pemikirannya mengalahkan orang yang paling genius.

“Eh! Berbalik pada soalan aku tadi. Korang rasa Haji Rahim sedar tak?” Chad mengulangi pertanyaan. Kali ini lebih kuat daripada tadi suaranya. Sengaja dia berbuat begitu agar Shah dan Fuad mengambil perhatian kepada soalannya.

“Ala... Tak usah risaulah. Satu aje aku ambik. Takkan Haji Rahim sedar. Kecik ajepun.” Shah cuba menyakinkan kedua-dua sahabatnya itu. Sudah kenyang apa lagi yang perlu dirisaukan. Jika Haji Rahim sedarpun sudah terlambat. Benda yang mereka ambil sudahpun tidak dapat dikembalikan lagi. Lagipun takkan Haji Rahim sanggup mengambil sisa mereka.

“Sudahlah. Esok kalau kita dengar Haji Rahim kecoh-kecoh, kita pergilah minta maaf. Ala... Paling habispun dia akan marah kita sekejap. Untung-untung lepas dia marah kita, dia akan pelawa pulak kita makan sup kaki lembu. Seperti selalu.” Sekali lagi Fuad bertindak sebagai penenang. Tidak ubah seperti morfin pula Fuad malam ini. Betul-betul tenang Chad dan Shah dengan kata-kata yang diluahkannya.

Ketiga-tiga sahabat itu meninggalkan ‘port’ mereka setelah memadamkan sisa-sisa unggun api. Jika tidak dipadamkan nanti ada pula kampung yang menjadi padang jarak padang tekukur. Sudahlah musim panas sekarang ini. Haba panas memudahkan proses pembakaran. Alamatnya berjerubulah seluruh Kampung Kelompang nanti.

**********

KETENANGAN pagi Kampung Kelompang diganggu dengan bunyi bising dari arah rumah Haji Rahim. Tidak lain tidak bukan datangnya dari Hajah Rusma yang masih lagi sibuk mencari sebelah lagi kaki lembunya yang hilang. Diselongkar sini, diselongkar sana namun masih juga belum bertemu.

Sudah puas Haji Rahim menasihati Hajah Rusma agar melupakan sahaja kaki lembu yang hilang itu. Mungkin bukan rezeki mereka namun Hajah Rusma tetap berdegil. Hajah Rusma tetap juga mahu mencari sehingga berjumpa. Sanggup Hajah Rusma bersengkang mata dari semalam.

Ainun pula awal-awal lagi sudah tertidur. Tidak terlarat dia hendak menemani ibunya itu mencari. Satu sahaja yang hilang. Bukannya dua atau tiga. Jika banyak yang hilang, tentu diapun turut kelam-kabut mencari sehingga berjumpa.

Kelibat tiga orang pemuda yang sedang berjalan menghampiri rumah Haji Rahim dipandang tajam oleh Hajah Rusma. Ainun yang sudah terbangun kerana bunyi bising ibunya turut keluar ke bawah khemah. Kelihatan agak berserabai anak gadis kesayangan Hajah Rusma pagi ini. Tidak sempat hendak mencuci muka dan mengemaskan rambut dahulu, terus sahaja keluar mendapatkan ibunya.

Chad, Fuad dan Shah yang melihat keadaan Ainun itu ketawa terbahak-bahak. Bukan kepalang terkejutnya Ainun. Disangkanya tiada orang lain selain ibu dan ayahnya sahaja di situ. Rupa-rupanya tiga orang bujang senang turut berada berhampiran khemah itu.

“Korang ni apahal datang pagi-pagi buta kat rumah orang ni?” Bukannya Chad tidak tahu helah Ainun. Gadis itu sengaja buat-buat marah untuk menutup rasa malu yang ditanggungnya tadi. Chad hanya tersengih menunjukkan giginya yang putih berkilat. Maklumlah, Chad menggosok gigi menggunakan ubat gigi Safi Kayu Sugi.

“Kami datang ni sebab nak minta maaf dengan Haji Rahim.” Shah memulakan bicara. Fuad yang masih belum menjamah sarapan pagi kelihatan ‘blur-blur’ sahaja. Biasalah... Kelaparan.

“Apa hal yang kamu bertiga dah buat sampai nak minta maaf dengan pakcik ni?” Lembut sahaja suara Haji Rahim melontar pertanyaan. Tentulah lembut. Haji Rahim bekas imam kampung. Haji Rahim mempunyai sifat-sifat terpuji yang banyak dicontohi oleh orang-orang kampung.

“Haji Rahim kena janji tak marah kami ye?” Shah masih lagi berbasa-basi. Hajah Rusma pula yang nampaknya naik angin. Melihatkan keadaan wajah Hajah Rusma yang sudah mula menyinga, Chad menyiku badan Shah. Apabila Shah menoleh ke arahnya, dimuncungkan bibirnya yang tidak mungil itu ke arah Hajah Rusma.

“Begini Haji Rahim. Kami dah buat salah dengan Haji Rahim. Kami dah ambil barang Haji Rahim tanpa kebenaran. Tapi kami ambil tak banyak. Satu aje.” Shah akhirnya berjaya menghabiskan ayatnya dalam satu nafas. Namun sebaik selesai bercakap, puas Shah menarik dan melepas nafas. Tidak ubah seperti ikan yang berada di atas darat. Semput.

“Ooooo... Kamu bertigalah yang mencuri ye? Kamu buat apa dengan kaki lembu tu? Kalau kamu mintak apa salahnya? Lagipun bukannya kamu tak biasa datang makan sup kaki lembu kat sini. Pandai pulak kamu mencuri ye?” Tanpa berlengah, Hajah Rusma terus sahaja menghamburkan kemarahan yang bersarang di dalam dadanya.

Terkebil-kebil ketiga-tiga pemuda itu. Shah memandang Fuad, Fuad memandang Shah. Chad pula memandang Fuad dan Shah. Terasa takut pula mereka melihat wajah Hajah Rusma yang sudah kemerah-merahan itu. Jika tidak diterangkan hal yang sebenarnya, pasti sekejap lagi bertukar warna menjadi hijau pula orang tua itu.

“Tapi kami bukan curi kaki lembu. Kami tak taupun kaki lembu Haji Rahim hilang. Kami datang ni pun sebab nak tumpang makan sup kaki lembu. Seperti selalu.” Kata-kata Chad mengendurkan sedikit rasa marah Hajah Rusma. Berubah riak menjadi hairan pula orang tua itu mendengar kata-kata pemuda itu.

“Habis tu kalau bukan kamu curi kaki lembu, yang kamu minta maaf tadi tu untuk apa? Apa yang kamu ambil?” Ainun terangguk-angguk sahaja tanda bersetuju dengan Haji Rahim. Seperti biasa, lembut sahaja Haji Rahim bertanya. Sejuk telinga ketiga-tiga pemuda itu mendengar. Hilang rasa takut yang menyelubungi mereka.

“Sebenarnya kami ambik duri kaktus Haji Rahim. Si Shah buat cungkil gigi lepas makan daging panggang malam tadi. Itu saja.” Penerangan Chad meledakkan tawa Haji Rahim sekeluarga. Mati-mati mereka menyangka tiga pemuda itu mencuri kaki lembu. Rupa-rupanya mereka hanya mengambil duri kaktus sahaja.

"Habis siapa yang curi kaki lembu kita?" Pertanyaan Ainun hanya dijawab oleh semua yang ada dengan hanya menjungkit bahu sahaja. Tiada siapa yang tahu siapa pencurinya.

Akhirnya Hajah Rusma dan Haji Rahim menjemput sahaja ketiga-tiga pemuda itu untuk menjamah sup kaki lembu yang sudah tidak cukup korumnya. Namun di dalam hati masing-masing tertanya-tanya... ‘Siapa Curi Kaki Lembuku?’

Nun di hujung simpang, Bobby, anjing kesayangan Uncle Tony, yang tinggal di sebelah masjid sedang menggonggong sesuatu di mulutnya.

Sunday, November 14, 2010

Cerpen - Diganggu Penunggu Tasik

MALAM kian larut. Bayu dingin berhembus menyegarkan. Air tasik yang tenang berkilau disinari panahan cahaya sang bulan yang kelihatan tergantung di dada langit. Hujung joran pancing yang dipacakkan di pinggir tasik sesekali kelihatan bergetar lembut. Mungkin itu petanda umpan sedang dijamah ikan-ikan yang lalu atau mungkin juga dilanggar arus air di dasar tasik yang tidak setenang di permukaannya.

Di tebing tasik kelihatan dua susuk tubuh sedang duduk bersebelahan unggun api yang nyalaannya malu-malu seperti gadis sunti kampung sedang dirisik bakal mertua. Sesekali terdengar bunyi desingan nyamuk yang diikuti bunyi tamparan yang entah mengenai sasaran ataupun tidak. Unggas rimba bersahutan melagukan irama alam tak ubah seperti sebuah orkestra yang mengiringi nyanyian penyanyi terkenal yang sedang mengadakan konsert di Istana Budaya.

Kepulan asap rokok dihembus dari rongga mulut sang pemancing yang setia menunggu umpannya diragut mangsa. Berlegar-legar seketika di udara dan kemudian hilang dibawa angin yang berlalu. Bagi sang pemancing, rokok merupakan teman setianya. Berguna sebagai ubat untuk menghilangkan kebosanan menunggu rezeki untuk dibawa pulang tersangkut di mata kail.

“Dah dua jam kita kat sini Man. Seekor ikan pun kita tak dapat lagi ni. Jangankan direntap, disentuh pun tidak umpan kita.” Khairul bersuara perlahan memecah keheningan malam yang kian merangkak ke pagi.

“Sabarlah. Mana tahu sekejap lagi tali pancing kita direntap ikan besar. Haaaa…. Makan ikan bakar kita esok.” Jawab Rosman untuk menyejukkan hati sahabatnya yang sentiasa setia bersamanya walau ke mana sahaja diajak memancing.

“Orang kata kononnya kat sini banyak ikan. Lempar tali kejap aje dah kena rentap. Tapi ni dah dua jam kita menunggu. Dah habis sekotak rokok aku hisap. Macam ini punya gaya, cepatlah aku mati diserang kanser jawabnya.” Khairul mengomel lagi. Terdengar keluhan kasar dari rongga mulutnya. Lebih geram apabila tangannya terpaksa bekerja keras menampar nyamuk yang tak sudah-sudah mencuba menyedut darahnya.

“Engkau ni Rul… tak sabar-sabar. Adat orang memancinglah. Ada kala rezeki melimpah, tak menang tangan nak layan tali yang direntap ikan. Ada kala rezeki tak menyebelahi kita, menunggu lamalah jawabnya.” Rosman menggeleng sambil menyabarkan sahabatnya itu.

Suasana sepi seketika. Baik Khairul mahupun Rosman, kedua-duanya memilih untuk tidak bersuara. Mungkin kehabisan cerita atau mungkin sedang melayan perasaan masing-masing sambil berlatarbelakangkan dendangan unggas rimba dan lagaan dedaunan yang disentuh desiran angin malam.

****************

LOLONGAN anjing liar mendayu-dayu memecah kesunyian. Semakin lama semakin sayu. Desir angin semakin kuat menghentam dedaunan. Bauan bunga tanjung yang semerbak mewangi tiba-tiba dihidu rongga hidung kedua-dua sahabat tersebut diiringi pelbagai bunyi-bunyian. Bulu roma mereka meremang. Keduanya saling berpandangan tanpa sepatah perkataan.

Burung jampuk yang entah dari mana muncul bertenggek di atas dahan sebatang pohon besar berhampiran tasik. Bunyi yang dikeluarkan terdengar agak menyeramkan. Khairul yang sudah biasa melalui keadaan sebegini terus berpandangan dengan Rosman.

Perlahan-lahan Khairul menyeluk sakunya lalu mengeluarkan telefon bimbit yang sedari tadi tidak digunakan. Butang-butang kekuncinya ditekan dengan cermat. Pembesar suara di telefon bimbitnya dikuatkan. Jemarinya lantas mencari rakaman ayat suci Al-Quran yang memang sudah sedia tersimpan. Apabila telah dijumpai apa yang dicarinya, dia lantas menekan butang ‘mainkan’ lalu bergemalah alunan bacaan ayat suci di tengah-tengah kawasan hutan itu.

Suasana malam kembali tenang setenang permukaan tasik yang disirami cahaya bulan penuh. Rosman merenung ke dada langit. Dia kelihatan seperti sedang mencongak-congak sesuatu. Seketika dia berpaling ke arah Khairul.

“Rul, kalau tak silap aku, malam ni lima belas haribulan melayu. Bulan penuh.” Matanya menyorot ke wajah sahabatnya itu.

“Eh! Iye ke? Tak perasan pula aku.” Balas Khairul. Pancaran cahaya bulan yang terang mengenai ke wajahnya. Terkesan oleh Rosman perubahan di wajah sahabatnya itu.

“Kau takut ke?” Soal Rosman separuh berbisik. Wajah Khairul direnungnya. Kelihatan sedikit tidak keruan sahabatnya itu.

“Isk! Apa pula kau cakap macam tu?” Balas Khairul sambil mencebik ke arah sahabatnya itu. Pandangan kemudian dilemparkan ke tengah tasik.

“Orang tua-tua kata tak elok keluar waktu-waktu bulan mengambang.” Tambah Rosman lagi. Niatnya hanya mahu mengusik Khairul yang sudah terkesan sedikit riak takut di dalam bicaranya.

“Isk! Mana ada aku takut. Bukankah kita dah selalu menghadapi benda-benda macam ni.” Jawab Khairul. Wajahnya kelihatan tidak senang dengan kata-kata Rosman. Rosman tersenyum memandang ke wajah Khairul. Dia tahu Khairul agak tersinggung dengan kata-katanya. Pasti Khairul merasakan Rosman memandang rendah akan keberanian yang dimilikinya.

“Kau janganlah terasa hati dengan aku Rul. Aku tak berniat langsung nak menyinggung perasaan engkau. Aku sekadar nak mengusik engkau saja.” Rosman menerangkan keadaan yang sebenarnya. Tidak mahu mengeruhkan hubungan persahabatan mereka yang sudah lama terjalin.

“Tak apalah Man, aku faham. Dah berapa lama kita berkawan? Takkanlah aku tak faham-faham sikap kau lagi.” Khairul cuba melindungkan rasa kecil hatinya dengan memberikan jawapan sebegitu sambil mengukir senyum. Rosman turut sama tersenyum.

**************

WAKTU terus berlalu. Khairul melihat jam yang melingkar kemas di pergelangan tangannya. Bantuan lampu suluh memang tidak diperlukan ketika ini, cukup dengan cahaya bulan yang menyinar terang. Jarum panjang menunjukkan ke angka enam manakala jarum pendek menunjukkan ke angka tiga.

“Dah tiga setengah ni Man. Dah tidur ke ikan-ikan ni semua agaknya. Langsung tak ada getar tali pancing kita tu. Atau umpan kita yang tak sesuai ke?” Khairul melahirkan rasa tidak puashatinya. Tidak pernah pula mereka menghadapi situasi sebegini sebelum ini.

“Apa pula umpan tak sesuainya. Selalu kita guna umpan yang sama juga. Tak pernah pula kita balik dengan tangan kosong. Kalaupun tak banyak, dua tiga ekor tetap ada.” Balas Rosman. Terasa geli hati juga dia dengan sikap Khairul yang agak tidak sabar malam ini.

Alunan ayat suci dari telefon bimbit Khairul tiba-tiba terhenti. Pantas Khairul menekan-nekan butang kekunci. Skrin kelam. Tiada sebarang cahaya atau tulisan yang tertera di skrin telefonnya.

“Argh! Bateri habis pula.” Getusnya sambil menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam saku seluar. Dicapai beg sandangnya yang diletakkan tidak jauh dari tempat dia melabuhkan punggung. Zip beg dibuka dan tangannya meraba-raba ke dalam beg mencari sesuatu. Wajahnya berubah. Mungkin barang yang dicarinya tidak ditemui.

“Kau cari apa Rul?” Soal Rosman apabila dilihatnya wajah sahabatnya itu berubah selepas tidak menjumpai apa yang dicarinya di dalam beg yang dibawanya.

“Aku cari bateri ‘spare’. Tak ada pula. Kalau tak silap, ada aku masukkan dalam beg ni tadi.” Nada suara Khairul kedengaran sedikit kecewa.

“Entah-entah kau lupa nak masukkan tak?” Rosman meneka. Jika tidak, tentu barang yang dicari mudah sahaja ditemui. Beg sandang Khairul itu tidaklah sebesar mana.

“Aku rasa aku dah masukkan tadi. Tak mungkin aku lupa pula. Benda penting tu.” Balas Khairul. Memang setiap kali mereka pergi memancing, Khairul tidak pernah lupa membawa bateri gantian untuk telefon bimbitnya.

“Tak apalah Rul. Kalau kau nak buat panggilan, kau guna ajelah telefon aku ni ha!” Rosman menyuakan telefon bimbit kepunyaannya ke arah Khairul.

“Tak apalah Man. Aku bukan nak buat panggilan kepada sesiapapun. Aku cuma nak mainkan bacaan ayat Quran tadi je.” Jawabnya sambil tersenyum. Rosman turut tersenyum memandang sahabatnya itu.

Dua sahabat itu mendiamkan diri. Suasana kembali dibalut sunyi. Hanya nyanyian unggas rimba mengiringi pergerakan waktu yang terasa begitu perlahan. Hembusan bayu yang semakin dingin membuatkan kelopak mata yang sudah terasa mengantuk menjadi semakin memberat.

“Man, kita biar ajelah joran kita kat situ. Aku rasa nak tidur kejap. Mengantuk sangat pula rasanya ni. Kau pun tidurlah juga. Aku tengok dah banyak kali kau menguap.” Khairul memberikan cadangannya apabila dilihatnya Rosman sudah terkuap beberapa kali. Rosman membalas pandangan Khairul lalu mengangguk tanda setuju dengan cadangan sahabatnya itu.

Pintu khemah kecil yang telah didirikan semenjak petang tadi dikuak sedikit oleh Khairul. Kemudian dia berpaling dan membetulkan sedikit jorannya. Rosman yang telah siap membetulkan kedudukan jorannya masuk ke dalam khemah. Perbuatannya itu kemudian diikuti oleh Khairul. Mereka merebahkan diri bersebelahan. Tanpa sempat bersembang, kedua-duanya hanyut di alam lena.

Tiba-tiba Khairul merasa kedinginan yang amat sangat. Dirabanya ke kanan dan ke kiri. Tak terasa tersentuh tubuh Rosman oleh tangannya. Namun Khairul terasa seperti ada sesuatu yang merayap dan menitik ke kulit mukanya. Panas. Lekit. Terasa geli.

Khairul meraba mukanya. Jemarinya terpegangkan sesuatu. Terasa sesuatu yang lembut dan lekit. Kelopak matanya yang berat dibuka. Khairul menjerit dan pandangannya terus kelam.

**********

MALAM menutup tirai. Rosman tersedar dari lena apabila terdengar alunan azan subuh dari telefon bimbitnya. Dia telah menetapkan azan mengikut waktunya di telefon bimbitnya itu menggunakan perisian yang didapati sewaktu melayari internet di pejabatnya beberapa bulan yang lalu.

“Rul, bangun. Dah subuh dah ni.” Tanpa menoleh, Rosman mengejutkan Khairul sambil tangannya meraba ke arah tempat tidur sahabatnya itu. Terasa kosong. Rosman segera berpaling.

“Dah bangun dulu budak ni rupanya.” Getus Rosman sendirian. Perlahan dia bangun dan keluar dari khemah. Dipandangnya ke sekeliling. Kelibat Khairul tidak kelihatan. Rosman berjalan ke arah tasik, mencuci muka dan mengambil wuduk. Dia lalu segera mendirikan solat Subuh.

Selesai menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah, Rosman mengambil jorannya yang dibiarkan terpacak di tebing tasik. Dipusingnya pemegang mesin perlahan. Tali tergulung semula. Ditukarkannya umpan yang masih bersisa di mata kail dan dilempar kembali mata kail itu ke tengah tasik. Joran yang sudah berumpan baru dipacakkan semula ke tanah.

Rosman menghidupkan semula unggun api yang sudah terpadam. Cerek yang masih lagi berbaki air di dalamnya diletakkan di atas batu yang dijadikan tungku di sekeliling unggun api tersebut. Air tersebut dibiarkan mendidih seketika sebelum membancuh kopi.

Air kopi yang masih berasap dituangkan ke dalam cawan yang turut dibawa. Dikeluarkan juga sebuku roti manis dari dalam bekas yang memang dikhaskan untuk mengisi bekalan makanan. Rosman membawa kopi dan roti tersebut ke tepi tebing. Walaupun sekadar roti dan kopi namun terasa nikmatnya makanan itu di dalam keadaan perut lapar setelah semalaman tidak menjamah makanan.

*************

ROSMAN memandang lagi ke sekeliling. Sudah setengah jam Rosman duduk di tepi tebing namun masih tidak kelihatan kelibat Khairul. Rosman merasa sedikit pelik.

“Mana pula perginya si Khairul ni. Buang air ke? Takkan lama sangat.” Rosman tertanya-tanya.

Dia bangun dan pergi melihat-lihat di celahan pokok yang berada berhampiran tasik. Sambil mencari-cari, Rosman memanggil nama Khairul namun tiada jawapan yang diterimanya. Rosman bertambah pelik. Dia terus mencari di kawasan sekitar itu sambil mulutnya tidak henti-henti menyeru nama Khairul.

Rosman masuk lebih dalam sedikit lagi ke celah rimbunan pokok-pokok besar yang ada di sekeliling tasik. Hampir sahaja Rosman tersungkur mencium tanah apabila tiba-tiba kakinya tersepak sesuatu. Dia lantas berpaling. Matanya tertancap ke arah banir sebatang pokok yang besar. Rosman sedikit terkejut apabila terpandangkan tubuh Khairul yang mengerekot di situ.

“Rul! Rul! Bangun. Apa kau buat tidur kat sini.” Rosman menggoncang badan Khairul untuk menyedarkannya. Senyap. Tiada jawapan mahupun pergerakan. Rosman menggoncangkan badan Khairul lagi. Masih sama. Diletakkannya jari ke hidung Khairul. Ada desah nafas. Dirasanya leher Khairul, ada terasa denyut nadinya. Cuba dikejutkannya lagi namun Khairul masih juga tidak sedar. Rosman agak panik.

Rosman mengumpulkan air embun yang berada di hujung daun lalu disapukannya air dingin itu ke muka Khairul. Masih tiada pergerakan. Rosman bertambah panik. Dicempungnya tubuh Khairul lalu dibawa balik ke khemah. Dicapai telefon bimbitnya yang ditinggalkan di dalam khemah lalu segera mendail nombor telefon kecemasan. Setelah memberikan butir-butir yang diminta, Rosman mematikan panggilan.

************

LEBIH kurang setengah jam menunggu, pihak polis tiba bersama anggota jabatan pertahanan awam. Keadaan Khairul diperiksa dan diberi rawatan segera. Khairul yang masih tidak sedarkan diri dihantar ke hospital.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak hospital untuk menyedarkan Khairul namun tiada perubahan yang berlaku. Pelbagai ujian dilakukan namun tiada sebarang penyakit yang dapat dikesan. Akhirnya selepas seminggu berada di hospital, doktor yang bertanggungjawab merawat Khairul mencadangkan agar dia dibawa pulang ke rumah untuk mendapatkan rawatan tradisional.

“Encik Rosman, saya ni seorang doktor yang berpegang kepada fakta sains tapi sebagai orang melayu, saya juga mempercayai kaedah tradisional. Saya rasa elok Encik Khairul dibawa balik dan cuba diubati mengikut cara tradisional pula.” Doktor Affendi yang berusia lingkungan empat puluhan yang merawat Khairul itu memberikan pandangan peribadinya.

“Kalau doktor dah cakap begitu saya akan ikhtiarkan cara kampung pula.” Jawab Rosman yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga Khairul sendiri.

Khairul dibawa pulang ke rumah setelah mendapat nasihat doktor yang merawatnya. Keluarganya telah mendapatkan khidmat seorang perawat tradisional untuk merawat Khairul. Menurut perawat tersebut, Khairul telah diganggu penunggu tasik.

Dengan izin Allah, setelah dirawat selama tiga hari dengan bantuan ayat-ayat suci Al-Quran dan pelbagai petua, Khairul telah mulai sedar. Namun begitu, dia tidak mampu menceritakan pengalamannya sebelum tidak sedarkan diri.

Tiada siapa yang tahu bagaimana rupa penunggu tasik yang telah dilihat oleh Khairul sebelum pengsan. Perkara tersebut terus kekal terpendam menjadi rahsia di dalam hati Khairul. Namun begitu, hobi memancingnya masih tetap diteruskan sehingga ke hari ini.

Saturday, October 30, 2010

Pemberhentian Penyiaran

Salam buat semua pembaca blog ini (sekiranya ada)

Rasanya penyiaran karyaku Cinta Si Tukang Kasut dan juga Luka yang pernah disiarkan di Penulisan2u akan diberhentikan buat masa kini. Jika diizinkan Allah mungkin ia akan disambung suatu masa nanti namun itu tidak dijanjikan. Lagipun siapalah yang kisah jika karya picisan tersebut tidak bersambung.

Pembabitanku di dalam bidang ini sekadar memeriahkan dunia penulisan. Tiada kepandaian mahupun bakat yang tersembunyi di dalam bidang ini. Karyaku juga tidak sebagus karya-karya lain. Aku hanya sekadar menambahbanyakkan sahaja hasil karya yang ada.

Aku juga tidak akan sesekali memberi komen atau kritikan pada karya-karya yang tersiar. Aku sedar aku tidak layak memberi sebarang komen.

Hurm... entry kali ini agak emosional sedikit rasanya. Mungkin karyaku hanya akan tersiar di blog ini sahaja. Mungkin!

.