Tuesday, August 25, 2009

Konvo








16hb Ogos 2009, adik aku konvo kat UKM. Dia dah ada degree Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dah la sekarang ni. Tinggal aku ajelah yang belum habis ni.

Orang tua aku gembira dalam sedih dengan kejayaan adik aku menghabiskan pengajiannya sehingga berjaya memegang segulung ijazah. Tahniah Ayien.

Ketika adik aku baru mengambil jubahnya dan dibawa pulang, dia mencuba menyarungkan jubah tersebut ke tubuhnya. Serta-merta abah memejamkan mata mengusir kesedihan. Dan menitislah airmata kesedihan apabila terkenangkan arwah adik perempuan aku yang tidak sempat menyarung jubah konvonya walaupun telah berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Perbankan Di Luar Pesisir.

Arwah adik aku meninggal dunia sebaik tamat pengajiannya, yang sampai di tangan kedua orang tuaku hanyalah surat penggilan untuk majlis konvo arwah adikku itu. Hati orang tua mana yang tidak sedih kan. Disebabkan itulah orang tuaku menangis kesedihan bercampur kegembiraan dengan kejayaan adikku yang ini.

Lepas ni insyaallah giliran aku pulak tapi mungkin dalam 2 ke 3 tahun lagi. Hehe...

Perjalanan ke Uniten

Semalam pagi aku ada final exam paper last, English For Workplace Communication. Malam membawa ke pagi tu hujan turun. Aku agak jalan mestilah jem sebab mesti ramai pengguna jalanraya menggunakan kereta menggantikan motosikal so aku pun ajaklah abah keluar rumah awal sikit pagi tu. Lebih kurang pukul tujuh pagi kitorang dah berada di atas jalan. Sewaktu sampai di Tol Sg Rasau, kenderaan belum banyak sangat lagi. Begitu juga dengan Tol Batu Tiga, kenderaan masih ok lagi.

Sebaik melepasi Tol Batu Tiga, kenderaan mula sesak terutama ketika menghampiri susur masuk. Namun begitu, keadaan tersebut masih lagi tidak menimbulkan sebarang kesan kepada pemanduan kami. Tetapi ketika kami telah sampai di kawasan Bandar Sunway (kami melalui lebuhraya persekutuan), terdapat sebuah kereta honda vtec di hadapan kami. Pemandunya seorang wanita.

Apa yang membengangkan aku adalah, dengan keadaan jalan yang sebegitu, dia boleh memandu dengan lemah lembut dan begitu berhati-hati. Nak tahu kenapa aku kata dia memandu dengan begitu berhati-hati? Sebabnya, di hadapan dia ada ruang kosong sehingga tiga biji kereta boleh masuk lagi. Begitu jauh jarak pemanduannya dengan kereta di hadapan.

Letih gila perasaan aku mengikut di belakang kereta dia. Banyak kereta menyusup masuk di hadapan kereta dia. Huh! Sakit gila hati aku. Dahlah bawak kereta sikit punya slow, dah serupa orang nak makan angin aje. Nasib baik sampai di PJ, dia tukar haluan ke lorong tiga aka lorong slow. Lega rasa hati aku. Selepas tu barulah dapat meneruskan perjalanan aku dengan gembiranya.

Aku sampai di Uniten pukul lapan lebih, exam pukul sembilan lebih. Dapat jugak aku menghabiskan membaca modul yang aku tak sempat nak baca sebelum ni. Inilah sebenarnya keburukan sikap aku. Suka membaca di saat-saat akhir.

Saturday, August 15, 2009

Proses Mengemas Rumah

Malam ni aku buat proses pengemasan rumah. Bermula dengan bahagian dapur dulu. Punyalah banyak sampah, sampai empat plastik sampah small size. Huhu... Ternak sampah aku rupanya selama ni.

Sekarang dah pukul 1.30 pagi tapi aku tak settle kemas lagi dapur tu. Tak larat aku. Sakit belakang aku ni. Esok ajelah aku sambung kemas lagi. Aku pun nak sapu, mop lantai tu sekali. Tiga bilik tidur nak kena kemas lagi. Ruang tamu lagi. Bilik air dan toilet nak kena cuci.

Nak basuh baju lagi esok. Hurm... Inilah rutin setiap minggu, except kemas rumah tu la. Kemas rumah yang sebenar-benar kemas cuma sekali dalam dua minggu ataupun sebulan. Selalu kemas biasa-biasa je. Esok kena kemas betul-betul sebab family aku nak datang. Hari Ahad ni kan konvo adik aku kat UKM so rumah aku sebagai rumah persinggahan la.

Bahagian depan rumah pun nak kena kemas jugak esok. Barang motor adik lelaki aku bersepah-sepah kat luar tu. Dah aku pesan jangan sepahkan dia buat jugak. Siap dengan kotak ekzos dia bagai. Kasut-kasut bersepah-sepah. Uh!

Friday, August 14, 2009

Gula.....





Tak tau la kenapa susah sangat nak dapat gula sekarang ni. Terutama bila dah dekat nak musim perayaan ni. Hambarlah kuih-muih dan minuman juadah berbuka puasa nanti. Alamatnya biskut raya nanti setakat manis-manis buah ajelah rasanya. Hehehe...

Tiga empat hari lepas adik aku yang bekerja di bahagian receiving Giant Hypermarket berdekatan rumah aku ni inform aku bekalan gula baru datang dua pallette. Dia belikan aku enam paket gula berat sekilo tu (dengan duit akulah tu). Kemudian dia beritahu aku yang hari kedatangan dua pallette tu jugaklah stok tu habis. Gila laju.

Tengahari tadi masa balik makan tengahari, adik aku beritahu stok gula ada datang lagi dua pallette. Pihak pengurusan dah bagi limit pembelian dua kilo aje bagi sorang customer. Hurm.. Aku nak singgah Giant petang ni, beli stok gula. Takut nanti krisis gula ni berlarutan, macam mana nak buat kuih raya nanti. lagipun kat rumah aku tu gula sangat penting. Susu pulak kurang digunakan. Kalau abah datang je baru laku susu kat rumah ni.

Petang nanti nak beli stok tepung jugak. Tak mustahil lepas ni krisis tepung pulak, pastu beserta dengan krisis minyak masak. Malam tadi kat tv3 ada siarkan pasal kegagalan penyeludupan bahan-bahan asas tu semua. Lengkap dengan minyak masaknya, dengan gulanya dan tepungnya. Semua nak seludup ke negara jiran. Mentang-mentang boleh jual mahal kat sana, diseludupnya sampai negara sendiri pun tak cukup bekalan. Apa la punya bodoh manusia.

Lepas keje hari ni aku nak beli gula dua kilo + tepung dua kilo, adik aku dua kilo, adik lagi sorang dua kilo, semua dah enam kilo. Esok beli lagi. Lusa beli lagi. Hari-hari beli. Lelama jadik stor gula dan tepung. Hahahaha......

Tuesday, May 26, 2009

Marah.....

Tak sangka aku.... setelah lama aku menghilang dari forum tu.... bila aku kembali semula ke situ ada pulak orang yang marah dengan aku. Simpan dendam apa...?

Seingat aku, sebelum aku menghilang, aku takde memberi harapan pada siapa-siapa. Sepatutnya kehilangan dan kembalinya aku semula takde siapa yang nak terasa marah ataupun dendam.

Argh! Pening kepala aku memikirkannya. Aku ni dah la tengah pening dengan hal keluarga, adik aku sakit teruk kat kampung, orang tua aku susah, aku sendiri kurang sihat, adik-adik aku yang tinggal dengan aku ni yang tak berkerja. Susah hati aku ni. Banyak bil aku nak tanggung, dengan makan

Sems baru dah start ni. Tiga subject yang aku ambil nak kena baca lagi. Ada beberapa keje lagi nak buat dalam masa yang sama. Diri aku rasanya macam dah tak terurus ni. Aku tau sebab aku dah mula sakit ni. Selalunya kalau diri tak terurus, makan tak betul, mulalah aku sakit

Dah la.. nanti sambung lagi

Tuesday, May 19, 2009

Lama Dah Tak Update

Dah lama tak update blog ni. Musim bizi sikit la ni. Sems baru dah nak mula. Penulisan cerita mistik aku pun belum siap-siap lagi ni. Huhu....

Sems ni aku tamak sikit. Aku amik 3 subjek walaupun sems Mei ni adalah sems pendek. Menangis la aku nak menyiapkan assignment nanti.

Nak menyiapkan kompilasi cerita pendek aku ni pun sampai tertidur-tidur aku di atas kusyen membuatnya. Mana lagi nak mengadap kerja. Masa ni la pulak kerja kat opis berlambak, sampai terpaksa amik ot.

Dah sampai masa badan terbiar la gamaknya ni. Kena bersedia untuk mengadap demam penat ler pulak. Asyik bizi dengan kerja, assignment, kerja sambilan. Hehehe... Badan kena perah dulu ar. Nanti bila keadaan di office dah tenang takde ot, kerja sambilan pun dah takde, sems dah abis baru la masa untuk penjagaan badan. Ahaks.

Tuesday, April 28, 2009

Balik kampung....

Jumaat lepas aku balik ke kampung bersama abah dan seorang adikku. Lebih kurang jam 3 petang aku bertolak dari Klang ke kampung. Balik kali ini aku melalui jalan lebuhraya persekutuan dan masuk ikut Tol Sungai Besi. Sorang dari adik aku yang sedang menduduki peperiksaan akhir di UKM nak balik sekali so aku pun ikut la jalan tu untuk ke sana pick up dia.

Kebiasaannya kalau balik kampung aku akan melalui Elite Highway masuk Tol Bukit Raja dan keluar di Tol Seremban ataupun Tol Senawang. Duit tol lebih kurang RM11 ke RM12.50. Kalau terpaksa mengambil adik aku di UKM, bertambah la duit tol lagi. Kali ni aku ajak abah ikut jalan KL, masuk ikut Tol Sungai Besi dan keluar di Tol Bangi. Kemudian masuk semula Tol Bangi dan keluar di Tol Seremban. Nyata duit tol yang perlu dibayar adalah lebih rendah dari mengikut Tol Bukit Raja.

Aku bukannya apa. Kalau boleh nak kurangkan perbelanjaan tu, nak kurangkan duit tol, almaklum la, adik aku balik saja je, tak menyumbang langsung duit minyak atau tol. Ye la kan, tambang dia ke UKM pun aku yang kena support, macam mana la dia nak share perbelanjaan kan.

Ada la sikit gambar aku snap waktu dalam perjalanan balik tu. Tapi rasa malas pulak nak upload. Nanti-nanti la, bila senang aku upload kat sini. Dan rasanya nanti la aku sambung entri ni, kepala rasa sakit pulak. Cerita yang aku cuba tulis tu pun hanya dapat disiapkan 4 mukasurat saja hari ni.Itupun tunggang langgang ayatnya. Hehehe... almaklum la budak baru belajar.

Tuesday, April 14, 2009

Projek Sukarela @ Taiping





Bulan lepas aku mengikuti program sukarela anjuran company tempat aku kerja ni. Dorang jalankan dorang punya corporate responsibility ler tu kot. Buat program teenz.fm kat Taiping Golf Resort, Taiping, Perak.







Program tu diadakan pada hari Sabtu 28hb Mac 2009. Aku gerak dari Klang pada pagi 27hb tu. Sampai di sana tengahari. Lepas check-in bilik, mandi² dan rehat² dulu sementara tunggu pukul 2.30 petang. Bukannya apa... dalam jadual kul 2.30 tu ada perjumpaan dan masa tu kami para angels (panggilan buat kami yg datang secara sukarela ni) akan diberi tunjuk ajar terlebih dulu tentang apa yg akan kami lakukan esoknya.





Selepas habis perjumpaan tu, kami diberi pelepasan untuk makan dan menunaikan solat. Kemudian jam 8.45 malam kami diminta berkumpul sekali lagi untuk melakukan tugasan menyediakan dewan, menyusun meja, membahagikan tugas dan sebagainya. Semua angels diberikan tugas mengagihkan coklat kepada para pelajar sekiranya mereka dapat menjawab soalan yg diberi oleh fasilitator. Dan tugas tambahan yang aku dapat pula adalah memegang mikrofon. Tugas ni senang je.. Aku cuma perlu tengok siapa yg fasilitator tunjuk dan ke situ la aku akan menuju untuk memberikan mikrofon. Hehehehe...











Kalau nak diikutkan ketidakcukupan rehat, memang la letih tp hari tu tak terasa letih semua tu. Seronok pulak bila tengok pelajar² tu gembira. Kalau la diberi peluang lagi menyertai program sebegini, aku nak sangat pergi.

Kemudian bila selesai program petang tersebut, sekali lagi kami para angels berkumpul untuk debriefing. Waktu ni la kami akan diberi peluang merenung kembali andai ada kesilapan yg dilakukan semasa program berlangsung dan diketika ini juga la kami diberi peluang meluahkan apa yang kami rasa sewaktu menjalankan program ini.

Selepas habis debriefing, kami dijamu dengan barbeque. Kami berkumpul di cafe resort beramai². Waktu ini semakin terasa kemesraan antara angels. Maklum la... walaupun satu company tapi opis lain². Jarang² jumpa dan berhubung. Tapi bila bersama dalam program ini terasa hubungan erat, macam adik-beradik walaupun berlainan bangsa.











Selesai makan dan bersembang, memasing mula ler mencari bilik. Almaklum la.... hujan pulak waktu tu. Dengan keadaan masing² tak cukup tidur, tak cukup rehat tapi perut yg kenyang, memasing balik ke bilik, mandi dan berehat. Kemudian lepas mandi, aku menonton tv kejap. Cerekerama waktu tu. Kelakar ceritanya. Otai Rempit kalau tak silap aku. Hehehe.... (yg tgh lepak atas katil tu member sebilik aku)

Habis cerekarama, dorang ajak pi pekan Taiping, minum². Mengikut aje la aku kawan sebilik aku ni. Tp.. hehehehe.... dorang singgah minum kat kedai mamak pulak. Aku apa lagi... masuk ke kedai terus menuju ke petiais carik air kotak. Tak kisahkan hujan, aku minum air kotak sejuk tu. Hehehehe...

Kemudian, esoknya check-out jam 12 tghari. Pagi tu bos ajak ramai² pergi mandi sungai. Pegi ler kami ke Kampung Bukit Jana, berdekatan sangat ngan Taiping Golf Resort ni. First sampai je, waktu nak turun sungai, nampak benda alah ni. (maaf la... seksa nak upload gambar). Nampak macam pemujaan je.

Aku gerak ke bahagian atas sikit dari tempat tu, kat situ dah siap kawan² yg lain berendam. Hehehe.... laju jugak airnya. Tak stabil aku kat dalam air tu. Sib baik ler kekawan lain tolong pegangkan aku... hehehehe....Kemudian pukul 11, bos dah panggil naik sumer org sbb nak check-out kul 12. Ahaks. Tak puas mandi sungai tp terpaksa gerak. Huhu.....

Nanti sambung lagi ar.... ada keje pulak nak buat.

Tuesday, March 10, 2009

Course



Dah lama rasanya tak update blog ni. Kehidupan lately ni sibuk sikit. Mana nak mikirkan pasal hutang², nak mikirkan pasal study, nak mikirkan pasal adik² lagi. Huhu...

Gambar kat atas tu masa aku pi course bulan lepas. Course tu diadakan kat KL, kat Coronade Hotel, Bukit Bintang. Letih mengadap keramaian orang dua hari tu. Mana lagi nak berebut ngan masa, nak berebut dengan orang jugak. Dua hari naik komuter kena berdiri bersesak KL ke Klang. Huhu...

Jumaat dan Ahad lepas aku ada midterm exam. Bulan depan final pulak. Rasanya lepas final exam la baru aku ada masa nak update blog ni lagi. La ni nak tumpukan kat study pulak. Bukan apa... takut tak terjawab lak nanti. Masa midterm tu pun bagai nak rak aku baca dan fahamkan tapi bila masuk ke dewan exam tu... idea tak mari pulak. Dah la masanya sejam je, ada pulak student lain yang kuar dewan tak sampai setengah jam lepas start.

Dah la idea tak mari, gelabah pulak tu bila nengok orang lain punya la cepat kuar dewan. Dalam hati aku berkata... " terer sungguh dorang ni, setengah jam dah settle jawab'. Huhu...

Harap² final nanti jangan la idea aku tak mari lagi. Nak upkan balik pointer aku ni...

Thursday, February 12, 2009

Sudut Perah Otak






Nak kongsi sudut perah otak ngan korang semua. Hehehe....

Kat sini la aku habiskan masa siapkan assignment aku selain dari kat opis. Hahaha... Jangan tak caya... Kat opis pun aku leh buat assignment, buleh baca buku jugak walaupun tengah waktu keje.

Sudut perah otak ni baru 2 3 hari aku siapkan. Sebelum ni sudut perah otak aku kat dalam bilik. Sejak pc aku buat hal, aku gunakan laptop adik. So sebab laptop buleh angkut sini sana, selalu ler dok guna kat ruang tamu ni. Bila dah rasa selesa kat ruang tamu, aku pun angkut ler meja komputer ni keluar dan jadikan kat ruang tamu ni sebagai sudut perah otak. Hehehe... Sambil study, sambil buat assignment leh jugak jeling-jeling tengok tv.

Ngantuk ler pulak. Tadi penat dah perah otak buat assignment, masih belum siap lagi. Tak larat nak abiskan tadi. Tinggal soalan last, kemudian nak touch up sikit-sikit sini sana, tambah case rujukan sikit. Nak pi tido la dulu, nak rehatkan tak ni kejap. Esok kat opis nak perah lagi tuk settlekan assignment tu. Siap satu ni, ada dua lagi assignment menanti.

Tuesday, February 10, 2009

Gambar Dari Email.....




Cantik sungguh gambar ni. Dapat dari email tadi tapi betul ke lokasinya kat Kedah nun? Menarik sangat. Teringin nak pegi tengok sendiri kebiruan airnya tu. Mesti suasananya nyaman maklum la ada air terjun dan pepohonan hijau yang merimbun.

Tengah² pening nak menyiapkan assignment ni, tengok kejap gambar yang memberi ketenangan. Idea yang tadi ketandusan terjana kembali. Alhamdulillah... Otak kembali bertugas memikirkan jawapan kepada persoalan yang telah diberikan.

Sebenarnya aku pun takde apa nak buat kat opis ni kalau takde client yang datang. Lagipun aku telah berjanji kepada diri aku sendiri bermula kelmarin aku takmo main game lagi kat Harmoni tu. Bukan untuk selamanya tapi sekurang²nya sehingga aku selesaikan ketiga² assignment yang ada ni dan sehingga aku habis membaca modul. Huhu... 6 dan 8hb Mac nanti ada midterm. Subjek Company Law dan Management Accounting. Adik aku kata, Company Law kena banyak baca. Management Accounting pulak subjek yang susah.

Aku rasa semua subjek yang aku amik ni susah. Hehe... Almaklum la.. Dah tua², pemikiran dah tak setajam dulu tapi gatal nak sambung study. Aku kena struggle dengan masa, dengan kerja² rumah yang wajib dibuat dan juga dengan pembelajaran aku ni. Alhamdulillah... Sems kali ni aku agak rajin menelaah buku. Mungkin sebab sems² yang lepas pointer aku tak cantik kot. Aku harap dapat ler perbaiki pointer aku yang teruk tu. Kalau tak, sesia la aku kuarkan duit untuk sambung study aku ni.

Aku stop kejap buat assignment, penat fikiran aku memikirkan jawapan dan idea nak diwacanakan kat ruangan yang telah aku formatkan tuk assignment tu. Nak memikirkan ayat dalam English tak semudah memikirkan ayat dalam bahasa melayu. Nak buat dalam bahasa melayu takut aku tersilap translate pulak, almaklum la bahan rujukan lebih banyak dalam English. Walaupun aku dah beli 3 4 bijik kamus termasuk la kamus untuk istilah perniagaan namun aku masih kurang yakin untuk menterjemah.

Tak mengapa la kalau aku pening sikit atau tidur kurang sikit kerana lebih banyak masa terpaksa diberi untuk menyelesaikan assignment ni, asalkan aku tak tersilap mentafsir. Tersilap tafsir nanti tersalah pulak fakta. Bila dah tersalah fakta, tentu la jawapan aku pun akan jadik salah. Huhu.. Bila dah salah, tentu la markah akan kurang dan automatik pointer aku akan jatuh lagi.

Sems ni semua subjek aku amik online. Itu bermakna aku kena lebih banyak memberikan masa untuk study. Almaklum la, study sendiri. Buku wajib baca. Soalan past year dah aku print dan bukukan, aku bercadang nak buat latihan nanti. InsyaAllah...

Hurm... Nak sambung buat assignment balik kejap. Pastu nak balik makan pulak....

Tuesday, February 03, 2009

Cek Ganti Dah Siap!!!!!

Jumaat lepas aku terima panggilan dari EPF Putrajaya, pemberitahuan yang cek bagi bagi cek tamat tempoh aku tuari dah siap dan boleh dicollect kat EPF Klang. So, semalam aku yang bercuti sempena Hari Wilayah (walaupun aku keje kat Klang) pi ler ke pejabat EPF kat bangunan MAIS.

Kalau ikutkan hati malas aku nak pi semalam sebab malam sebelumnya tu aku tak tidur. Penat buat assigment dan rehatkan minda dengan main game kat forum harmoni. Hehehe... Biasa la aku, kalau dah start main game Parasites tu memang aku lupa waktu.




Ini ler cek tu, dibayar kepada UNITEM, Universiti Terbuka Malaysia. Dah habis dah simpanan akaun II aku tu aku keluarkan untuk naiktaraf pendidikan aku ni. Mana tahan setakat SPM je, gaji kecik sangat. Tak cukup untuk perbelanjaan aku yang bertanggungjawab besar ni.




Kalau ler jumlah tu leh masuk poket aku.... Hehehe.... Walaupun jumlahnya tak banyak tapi macam² perkara buleh aku buat dengan jumlah tu. Leh ler aku settlekan hutang bil tipon + streamyx yg agak besar jumlahnya ni. Leh bayar bil api dan air. Leh bayar bil Astro.

Kawan aku kata buleh withdraw sikit dari jumlah tu.. tapi urusan kena buat dengan OUM ler. Takde masa la nak pegi sana. KL tu... kalau dari LRT PWTC tu dekat sangat ngan OUM, takyah aku susah payah naik teksi atau jalan kaki ke sana, mau rajin aku berulang ke sana. Ini tak.... nak menunggu teksi kat The Mall tu tuk ke OUM punya la payah. Pastu nak kuar dari OUM tu dah tentu² nak kena jalan kaki. Huhu...

Tapi cek ni nak kena gak bagi ke OUM secepat mungkin ni. Aritu aku register, amik modul sumer guna warranty borang EPF je. Kalau lelambat aku hantar cek ni takut pulak jadik cam tuari, sampai tamat tempoh. Ekeke...

Nak apply cuti ke tak hari Jumaat ni...? Hurm... Nanti ler kena tanya kawan dulu prosedur nak withdraw duit sikit dari OUM tu. Tapi segan ler pulak ngan kawan tu. Lagipun sayang pulak ngan cuti yg sikit je jumlahnya tuk setahun tu.

16 dan 17hb Februari ni aku kena pi course 2 hari kat KL. Kat Coronade Hotel. Cam tahun lepas course 3 hari kat Coronade tu jugak. Penat ler ulang alik dari Klang ke KL. Dah ler komuter penuh sesak ngan orang nak pi balik keje. Huhu...

Friday, January 30, 2009

Sakit Kepala Pulak.....

Tengah malam tadi tetiba je kepala belah kanan aku ni sakit sangat, kemudian mata sebelah kanan pulak sakit bagai nak terkeluar biji mata. Aku bawak lelapkan mata tu dengan harapan sakitnya hilang. Pejam celik pejam celik... langsung aku terlelap sampai ke pagi.

Pukul 6 pagi alarm berbunyi mengejutkan aku tuk bangun menjalankan rutin harian. Tapi biasa la... senario pagi kan. Suasana yang nyaman, dengan badan yang belum cukup kerehatan, almaklum la... malam tadi pukul 2 pagi baru membaringkan diri. Hehehe.... Macam biasa, alarm yang menjerit² tu aku offkan dan aku pejamkan mata lagi. Pukul 7.30 pagi adik aku yang bangun menggosok baju kejenya mengejutkan aku pulak. Ahaks...

Mujur ada adik. Kalau tidak... gamaknya jadik macam semalam la. Tidur tak sedar diri, sekali celik mata je dah pukul 8 pagi. Masuk keje pukul 8.30 pagi. Mengelupur aku bersiap ke opis. Macam lipas kudung aku berjalan ke opis. Ngam² 8.30 aku sampai. Huhu....

Pagi ni bangun je tido kepala masih sakit. Tidak berkurangan malahan makin bertambah sakit. Nak amik MC arini tak boleh pulak sebab ramai cuti kat section aku ni. So aku ke klinik untuk amik ubat tahan sakit aje la. Hehehe... Nak jadikan cerita... Tadi masa pi klinik, aku lalu depan klinik satu lagi ni. Staff klinik tu ada kat depan klinik tengah tunggu pintu dibuka. Aku selamba je lalu depan diorang dan diorang pun selamba je tengok aku.

Kemudian.. Bila aku sampai ke klinik favourite aku... sekali nampak notis kat pintu... OPEN ON 02/02/2009 MONDAY. Hampeh tul. Tutup pulak klinik tu. Terpaksa la aku pi klinik yg aku dah selamba lalu tadi. Huhu....

Terasa segan pulak nak masuk selamba kat klinik tu. So aku terpikir nak masuk kat Aladdin jap, beli sotong dan ayam sikit, pastu baru masuk klinik. Ahaks... Sekurang²nya nampak tadi aku lalu selamba sebab nak pi beli lauk je la. Ekeke... Power jugak alasan aku tu.

Tak jumpa doktor pun tadi... cuma mintak ponstan je. Balik ke opis... Aku makan seketul roti 60 sen perisa berkrim coklat dan air suam. Pastu aku telan sebijik ponstan. Huh! Hilang dah sakit kepala ni. Jap lagi buleh la aku pulun baca buku lagi.

Kring!! Kring!! Argh! Tipon orang belakang berbunyik pulak. Tuan dia cuti. Kena la jawab pulak dulu.....

Wednesday, January 28, 2009

Appraisal.....

Dah sampai pulak musim appraisal untuk tahun 2008. Borang pun dah sampai ke tangan aku ni. Tinggal nak isi tugas je lagi.

Aku dah mintak sidia buatkan untuk aku form tu guna pagemaker, so aku cuma perlu buka file dan taip aje apa yg aku nak tulis.Hehehe...

La ni aku tengah download pagemaker kat pc aku kat opis ni. Lambat giler prosesnya. Penat pulak aku nunggu. Dari sebelum lunch tadi aku download, sampai la ni tak abis lagi.

Nanti bila dah buleh run kat pc aku, aku siapkan cepat² benda ni sebab pagemaker yang aku download cuma trial tuk 30 hari je. Hehehe....

Kat rumah pun sama jugak. Trial 30 hari. Kelmarin aku download. Tapi sekejap je rasanya. Mungkin sebab internet connection kat opis ni lambat sikit kot. Tu yang buatkan proses download tu rasa cam bertahun nak settle. Huhu....

Nak sambung main game dulu la. Release tension cari bahan untuk assignment. Nanti² ada cerita baru aku tulis lagi.

Thursday, January 22, 2009

Alamak!!!!! Ada Hantu² Di Kejiranan Aku La....

Korang percaya wujudnya hantu? Aku percaya jugak la hal ni. Hehehe....

Kali ni aku nak kongsi cerita mengenai kewujudan hantu di kejiranan aku yang baru je aku dapat tahu pagi ni sebelum aku pegi kerja. Huhu...

Aku selalu nampak pintu unit tepi sekali kat tingkat yang aku duduki sentiasa terbuka. Unit tu selang sebuah je dari pintu unit aku. Dah lama jugak la unit tu dikosongkan. Sebelum ni ada bebudak kilang yang tinggal kat situ. Bila dorang pindah, unit tu kosong sekejap. Tak lama kemudian masuk sekumpulan lagi bebudak kilang. Tapi dorang tinggal tak lama kat situ. Entah kenapa tetiba je dorang pindah.

Kemudian bila aku lalu-lalang kat depan unit tu, aku nampak pintunya sentiasa terbuka. Keadaan kat dalam memang ler bersepah dengan sampah² tinggal. Lama lepas tu, bila aku lalu, aku tengok dalam rumah dah bersih. Aku agak² tuan rumah datang bersihkan. Bebaru dua tiga hari lepas tuan rumah tu datang tengok rumah dan tutup pintu tapi kelmarin dan semalam bila aku lalu, pintu masih terbuka jugak.

Depan unit tu pulak, ada orang indonesia menyewa. Selalu jugak la dia pasang cd mengaji ke, ceramah agama ke kuat² kat rumah. Tapi orang tu pun tak tinggal lama. Sekarang dah pindah dah. Tak tahu la kenapa dorang pindah.

Sebelah unit tu pulak unit kosong. Dulu kawan adik aku, budak sabah menyewa kat situ. Sekarang ni dia dah pindah. Dah lebih setahun dua kot unit tu kosong. Tengah tahun lepas ada sorang cina datang mengamuk² kat rumah tu. Tarik² cermin tingkap sampai luka tangan. Darahnya menitik² kat tembok dan lantai depan unit tu. Sampai sekarang ada lagi kesan darah tu kat situ. Takde sapa bersihkan sebab masa dia mengamuk tu, mana ada orang yang tinggal kat situ.

Yang nak aku kongsi cerita ni mengenai apa yang aku dengar pagi tadi. Adik aku kata, kat unit tepi tu ada toyol. Memula aku terkejut dan macam tak percaya la tapi dia kata dia dengar budak² bermain riang melompat² dalam unit yang pintunya terbuka tu. Waktu tu dia melepak kat tangga. Kemudian penat duduk, dia pergi menyandar kat dinding unit tu. Ada tingkap kat dinding tu. Kat belakang dia tu la benda tu bermain².
Huhu...

Kemudian dia cakap kat unit kosong yg budak sabah duduk dulu tu pun ada hantu jugak tp tak tau spesies apa. Dia kata waktu lalu depan tu, tetiba je dengar bunyi air paip terbuka dengan kuatnya. Bunyi macam paip pecah tu. Aku pun pernah dengar sekali. Waktu tu tak pasti pukul berapa aku lalu. Hairan gak aku sebab selalu takde dengar bunyi air terbuka tu, lagipun unit tu takde orang tinggal. Aku perhati juga la ke dalam unit tu melalui cermin tingkap yang pecah sekeping tu tapi tak nampak apa² yang mencurigakan. Adik aku kata bunyi tu tak sentiasa kedengaran. Kadang tengahari, malam, awal pagi. Malam tadi aku lalu depan rumah tu takde pulak aku dengar bunyi air tu.

Kelmarin aku nampak budak indonesia depan unit aku ni terhendap² kat tingkap unit yg ada kedengaran bunyi air tu. Hehehe... Aku rasa la kan, dia pun pelik dengar bunyi tu. Tu sebab dia pegi tengok. Patut la sejak kebelakangan ni kalau aku keluar ampai baju pukul 1 pagi 2 pagi tu aku rasa semacam je. Tak macam dulu. Dulu ampai baju kul 1 2 3 pagi tu rasa cam ampai baju di siang hari je.

Unit sebelah aku ni, yang berada tengah² antara unit aku ngan unit tepi tu pun kosong jugak. Ditinggalkan dalam keadaan lampu dan kipas ruang tamu yang terpasang. Aku rasa tuan rumah kot yang buat camtu. Ada kaitan ke perpindahan dorang semua dengan benda mistik ni ye...?

Bagi aku selagi aku tak terganggu, aku tak peduli benda tu semua. Dalam rumah aku sendiri ni pun ada benda lintas², ada benda main tampar² pintu, ada benda yang dok mengasak² adik aku tido. Tapi segala gangguan tu dulu la, sekarang walau aku berada sorang kat rumah pun dah takde lagi gangguan tu. Cuma sesekali je agaknya dorang nak mengusik aku. Hehehe... Agaknya dorang tengok aku lagi hantu daripada dorang kot.

Kalau betul la ada toyol kat unit kosong tu.... hurm... kena letak duit dalam quran la. Hehehe...
.