Saturday, February 27, 2010

Makanan, Netbook Acer, Tempat Kerja Dan Tarian Singa

Cerita Makanan







Nak cerita pasal makanan dulu. Dua minggu lepas aku buat roti canai. Faham-faham saja la, aku kan tak makan kat kedai mamak. So hari tu teringin nak makan roti canai. Aku pun uli ler tepung sekilo. Nak jadi cerita, ntah cemana aku boleh lupa nak letak telur dalam campuran tepung tu. Patut ler aku uli-uli keras je. Aku letak ler telur kemudian. Sib baik jadik jugak. Lepas buat ball, dapat ler dua puluh lebih. Lepas tebar, goreng dan makan, ada ler lebih lagi. So aku goreng suku masak dan aku simpan dalam peti ais. Maka jadilah roti canai segera.
















Bab masakan harian tu biasalah. Aku jarang-jarang masak yang susah-susah. Aku selalu masak yang simple-simple. Aku kongsi ler sikit gambar masakan tu. Ayam sos bernenas, asam pedas ikan patin, roto sosej, ayam serai bersantan dan peria berlada. Kek coklat dan kek kelapa aku dah lama tak buat. Teringin pulak nak makan tapi tak ada masa nak buat. Ada masa nanti aku buat ler.


Cerita Netbook






Bulan lepas aku beli satu netbook Acer harga RM1299. Laptop yang aku guna sebelum ni hak milik adik aku. Bila dia dapat jadik cikgu ganti kat kampung, dia bawak sekali ler laptop dia. Sekali dengan Maxis Broadband. So susah ler aku nak buat kerja. Nak menulis cerita tak dapat, nak buat assignment pun tak dapat. Bukan tak ada desktop kat rumah ni. Ada cuma keyboard dia susah sikit nak tekan.

Dalam netbook ni aku cuma letak benda-benda yang aku nak guna aje. YM aku tak install. Malas. Adik aku kalau nak chatting, diorang pakai desktop ler. Aku dah sound awal-awal, jangan install YM.


Cerita Tempat Kerja Dan Tarian Singa Di Office




Aku ni kerja duduk dekat kaunter aje. Isikan borang, bukakan akaun. Kalau kat bank, pelanggan kena isi borang sendiri kan. Tapi kat tempat aku, aku kena isikan borang, fotostatkan ic diorang semua. Perasan tak semangat kenegerian aku? Cuba perhati betul-betul dekat skrin PC tu. Hehehe....







Ni pulak tarian singa yang buat kat office 23hb aritu. Tiap tahun memang ada panggil diorang buat tarian singa ni. Naik pekak ler telinga kejap. Diorang punya dewa kekayaan datang lambat sikit aritu. Singa dah habis menari, dah keluar pintu, baru ler dewa datang. Dapat ler sorang sebiji limau. Kaya ler aku tahun ni. Hehehe...

Branch head ler tu yang tengah terima barang dari singa tu. Bos department aku ada jugak ler menyibuk kat situ. Tak nampak dia kat situ sebab aku malas nak snap gambar dia. Hahaha...

Panas ler. Nak pi mandi kejap. Rajin-rajin nanti post entry lagi.

Shaquan





Ini anak saudara aku yang paling kecik. Anak adik aku, Azmira. aku pun tak berapa pasti sangat nama budak kecik ni. Aku rasa macam Mohd Shaquan Nuzumi bin Mohd Syahrizal kot. Kalau silap sorry la ye Shaq. Makteh terlupa la nama si kecik yang suka merajuk ni.

Si kecik ni lahir kat Klang. Masa tu mak dia yang dah sarat tu ikut abah ngan mak aku datang umah aku. Aku ada exam masa tu. Kebetulan dia sakit kat sini. So hantar la dia ke Hospital Ampuan Rahimah, Klang. Bersalin la kat sini. Lepas bersalin, demam pulak. lebih kurang seminggu la dia jadik penghuni hospital. Lepas dah sihat, terus husband dia bawak balik kampung aku.

Dia berpantang kat umah mak aku. Aku balik kampung dulu, aku tengok dia dah semangat, dah agak besar. Dia suka lelap atas dukungan aku. Huhu. Bila aku balik sekali lagi raya cina bebaru ni, dia dah besar. Makin semangat. Suka sangat duduk atas dukung. Sampai naik lenguh tangan aku. Hehehe...

Si kecik ni kuat merajuk. Masa aku balik tu, ada satu hari aku nak pergi pasar malam. Dia dah senyum2 nak ikut ler tu. Aku nak bawak tapi kakak aku ngan mak aku tak nak sebab takut kitorang balik lambat, nanti si kecik tu nangis nak susu cemana pulak. So tinggal ler dia kat rumah. Aku balik malam tu, dia tak pandang pun muka aku. Puas aku tegur2 takmo dia senyum, last2 pas aku pujuk2 baru ler dia mengadu. Rupanya merajuk sebab kena tinggal. Dengan kakak aku, dengan mak aku pun dia merajuk jugak. Wallawei...

Si kecik ni belum pandai bercakap, dia lahir bulan sebelas tahun lepas. Dia baru nak belajar meniarap tapi lambat sebab tak larat angkat kepala. Hehehe... Nanti sekali lagi aku balik tak tau ler dia pandai apa. Tapi yang penting, dia memang manja dengan aku. Mak dia kata, tak tahu kenapa dia suka sangat berdukung dengan aku.

Lepas ni entry pasal makanan, tarian singa kat opis dan netbook.

Friday, February 26, 2010

Financial Accounting Untuk Semester Januari

Pertengahan bulan depan aku ada midterm. Ada tiga subjek. Financial Accounting, Human Resources Management dan Principles of Microeconomic. Financial Accounting ada assignment. Tarikh akhir hantar 7hb Mac tapi tutor extend sampai 23hb Mac. Best betul cuma banyak kira-kira so agak pening jugak la.

Tadi baru aku buat muka depan dan draf soalan satu. Isi penting dah buat cuma nak huraikan aje lagi. Soalan dua tak usik lagi. Lepas ni aku buat la sikit lagi. Tak dapat nak mengadap kat situ aje sebab cerita nak kena buat jugak.

Tadi adik amik RM40 buat beli telefon dari kawan dia. Tu duit belanja sekolah. Tinggal baki lagi RM60. Tu nak kena cukupkan jugak untuk sebulan. Aku nak cover belanja dia macam tak dapat dah sebab takut tak cukup nak cover duit rumah.

Argh! Aku malas nak cakap lagi pasal duit ni. Sakit ati aku. Pening kepala aku.

Thursday, February 25, 2010

Hari Ini Hari Terakhir.....

Hahahaha!!!!!

Tengok tajuk macam suspen je kan? Tapi tak ada apa sebenarnya. Hari ini hari terakhir kerja untuk minggu ni. Esok cuti Maulidur Rasul. Sabtu dan Ahad memang hari cuti aku. Minggu Isnin baru mula kerja semula. Yeay!

Tengahari tadi tengok screen telefon ada misscall dari abah. Bukan saja misscall tu, aku ler yang tak perasan telefon aku berbunyi. Maklum ler, telefon simpan dalam laci. So, aku telefon ler balik. Abah bagitau yang abah dah bank inkan duit sekolah adik. Baki RM50 abah suruh belikan susu adik.

Disebabkan hujan lebat tengahari tadi, aku tak dapat ler balik makan dekat rumah. Aku pun pegi ler Klang Parade, kuarkan duit dekat ATM machine dalam KP dan terus masuk Giant belikan susu. Habis dah RM20.90. Untuk makan tengahari aku, cukup ler aku beli kuih seringgit. Lagipun pagi tadi dah makan nasi lemak sambal sotong.

Abah pesan tadi, duit RM50 tu belikan susu, bagi tiga empat ringgit kat Aman, tiga empat ringgit kat Iwan dan belikan deodorant adik. Lebihnya buat ler beli gula. Huhu.....

Eh! Tetiba pulak rasa rindu. Hahaha...

Wednesday, February 24, 2010

Aku Bengang!!!!!!!!

Entah kenapalah aku hari ni... Dekat pejabat tadi banyak sangat kerja. Walaupun kerja tak susah, tak perlu angkat batu berat atau sampai kembang tangan kena air, hanya berdepan dengan client dan mengadap komputer buat payment dan open account namun penatnya sungguh terasa. Dengan kelam kabut mengejar masa, serabut meja aku dengan transfer formnya, dengan activation formnya, juga dengan opening formnya, macam dilanda tsunami. Huhu...

Novel Aku Kan Novelis! yang aku bawa gi opis, konon-konon untuk dibaca langsung tak bersentuh. Tak sempat nak baca. Ini semua sebab kaunter bau nak listing kat Bursa esok, JCY. Entah berapa ler harga buka esok agaknya.

Tadi aku beli pencil case satu. Harga dia RM5.99. Aku beli kat Giant aje. Tu pun sebab aku nak pergi bank kuarkan duit RM50 tuk buat belanja sekolah adik dan beli barang dapur sikit. Terpaksa kuarkan duit tu sebab duit RM20 yang sedia ada dekat aku ni, aku bagi kat adik lelaki aku yang tetiba sakit nak ke hospital. Buat isi minyak kete. Adik aku tu memang sakit teruk tuari, tapi dah beransur pulih. Datang tinggal dengan aku dah sebulan lebih. Mak suruh dia datang sini sebab mak takmo dia duk kampung. Kat kampung ramai bebudak dadah, polis selalu masuk tangkap orang. Mak takmo anak dia kena lokap, takde duit nak jamin. Sebab tu jugaklah adik bongsu aku datang sekolah kat sini, tinggal dengan aku. Untuk mengelakkan dia bercampur ngan budak-budak gam dan dadah.


Fikiran aku serabut sikit sekarang ni. Ramai sangat yang aku nak kena tanggung. Banyak sangat yang aku nak kena beli, nak kena bayar. Bil tinggi. Naik sakit kepala aku memikirkan macam mana nak cover semua perbelanjaan. Kalaulah gaji aku tinggi....

Tuesday, February 23, 2010

Pergilah Air Mata

Aku tak habis lagi baca novel ni. Sedih. Aku memang betul-betul menghayati watak-watak dalam novel ni sampaikan meleleh airmata aku. Betullah aku ni penyedih. Aku dah baca sikit cerita ni dekat e-novel dan akhirnya aku beli versi cetak. Hahaha.. Yang sebenarnya, aku baca dulu endingnya, kemudian baru aku mula baca dari depan.

Ada enam lagi nak baca tapi aku rasa kena slow sikit ler sebab nak kena siapkan assignment pulak dulu. Lagipun tengah bulan depan aku ada mid term exam. Harus kena baca buku tu. Harus juga kena buat latihan sebab subjek perakaunan kewangan untuk sem ni.

Hari ni aku langsung tak jenguk karya-karya aku. Tak sambung novel motivasi, tak juga sambung e-novel. Cerpen pun aku tak jenguk. Leka betul aku dengan novel yang baru beli ni. Juga novel dan bahan bacaan yang aku pinjam dari perpustakaan negara ni. Sekarang minat membaca aku timbul balik ler.

Jam dah menunjukkan ke pukul dua belas empat puluh lima. Aku nak cari tilam dan bantal. Nak cuba sambung berkarya dalam posisi berbaring pulak.

Monday, February 22, 2010

Novel

Cerita 1

Hari Sabtu aku turun KL. Aku singgah kat kedai buku Popular. Aku jumpa novel Pergilah Air Mata dengan Aku Kan Novelis so aku beli la. Mahal jugak PAM tu. RM28.00. Pagi ni baru nak mula baca tapi terganggu-ganggu ler kan. Almaklumlah, membaca waktu tengah kerja.

Perut aku hangin ler. Rasa meletup-letup kat dalam perut tu. Nak kata kena gastrik, aku makan dah pagi tadi. Nasi goreng lagi. Pesal ek? Ke sebab aku makan sambal tempoyak malam tadi? Atau sebab aku makan lambat hari Sabtu dan Ahad tu? Entahlah. Harap-harap tak lama ler sakitnya. Tak larat aku nak menanggung

Hari ni masih kurang staff lagi kat department aku ni. Cuti sakan diorang ni. Tak apa. Nanti raya puasa, aku pulak cuti sakan.

Cerita 2

Ni cerita hal di rumah. Semalam aku sampai rumah lebih kurang pukul lapan malam. Lepas mandi, aku makan nasi. Lepas makan nasi, aku nak buat air Indocafe ler. Sekali angkat balang gula, gula dah habis. Susu pulak dah tiga hari aku dapat tau habis

Pagi tadi adik bongsu aku sebelum ke sekolah dah cakap dgn aku. Susu tepung dia dah tinggal sikit. Hai la! Susu tepung tu bukan dia sorang yang minum, dia share dengan abang dia. Pening jugak kepala aku ni. Banyak belanja betul sebulan dua ni. Beras aje dah nak masuk kampit ke empat (beras 10 kilo) dah ni. Mana lagi dengan gula susunya. Lauk pauknya.

Yang bekerja cuma la aku dan adik perempuan aku. Yang tinggal kat rumah aku termasuk aku sekali lima orang. Duit masuk sikit, duit keluar banyak. Macam mana nak balance. Disuruh bekerja, pergi la tiga empat hari. Kemudian lepak rumah. Kekadang bila aku fikir-fikir balik, letih la hidup aku ni. Langsung tak dapat beli apa untuk diri sendiri

Aku tak boleh nak pentingkan diri sendiri aje. Aku kena fikirkan untuk semua sekali yang tinggal dengan aku. Tapi kemampuan aku tak ada berlebihan. Macam mana aku nak buat. Sampai bila la agaknya hidup aku sebegini akan berterusan....

Migraine Dan Cerita Ceriti

Sewaktu entry ini ditaip, kepala aku tengah sakit yang teramat, dengan bunyi letupan mercun sebagai muzik latar. Mata dah tak boleh nak dibuka ni. Aku rasa dah tiba masa aku kena mencari tilam dan bantal tapi aku nak habiskan dulu la satu entry ni.

Cerita 1

Nak bercerita tentang pengalaman aku menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur petang semalam. Aku sememangnya sudah tahu akan gelagat anak-anak sekolah zaman sekarang yang sudah semakin terlupa akan adab sopan dan juga batasan perhubungan. Tapi semalam aku amat terkejut bila mana kejadian berlaku di depan mata aku sendiri. Malahan berlaku di tepi jalanraya.

Ada lima orang remaja, dua perempuan dan seorang lelaki. Dalam pengamatan aku, mereka semua dalam lingkungan 14,15 dan 16 tahun barangkali. Susunan tempat duduk (mereka duduk di atas penutup longkang), lelaki 1, perempuan 1, perempuan 2, lelaki 2 dan lelaki 3.

Mula-mula lelaki 1 letak tangan atas bahu perempuan 1, duduk rapat-rapat. Aku agak diorang pakwe makwe la. Kemudian, perempuan 2 pergi mencangkung di depan lelaki 3, merapat ke depan dan mula memeluk lelaki 3. Ini yang buat aku terkejut. Lama kemudian, perempuan 2 duduk kembali di tempatnya.

Dua bas dah berlalu dan mereka masih di situ. Kemudian, perempuan 2 datang mencangkung semula di depan lelaki 3, menarik dagu lelaki 3 dan mula merapatkan muka ke muka. Posisi kelihatan seperti hendak bercium pulak aku tengok. Kemudian, perempuan 2 mula memeluk lelaki 3 dari hadapan. Malu aku bila perempuan yang lebih-lebih ni.

Mata aku dah sakit, perasaan dah boring lalu aku keluarkan kamera. Bukan bertujuan untuk mengambil gambar diorang tapi sekadar nak tengok gambar anak saudara aku yang paling kecik. Diorang yang sedari tadi memang dah terpandang-pandang ke arah aku, perasan aku memegang kamera. Dan kebetulan, sebuah bas lagi sampai. Kelima-lima mereka dengan segera bergerak ke tepi jalan dan masih sempat lagi si perempuan 2 mencium pipi kiri dan kanan lelaki 3 tadi.

Di tepi jalan, dengan bas yang sudah hampir sampai, dengan aku yang sedang memandang. Agak-agaknya di mana rasa malu diorang. Atau mereka rasa bangga bila orang nampak mereka muda-muda belia, yang makan dan pakai masih di bawah tanggungan ibu bapa sudah mempunyai pakwe dan makwe serta boleh berpeluk sakan di hadapan orang. Harap sangat perkara sebegini tak terjadi kepada adik-adik aku baik lelaki mahupun perempuan.

Cerita 2

Tadi sewaktu nak menaiki bas di Klang untuk balik ke rumah. Aku nampak bas ada dua dah isi penumpang. Satu di tepi jalan dan satu lagi di kawasan lapang. Aku tuju ke bas yang di tepi jalan, tak sempat nak sampai, bas dah jalan. So aku tunggu bas lagi dua buah yang tengah beratur tu buka pintu. Mana tahu dua2 bas tu jalan terus masuk kawasan lapang.

Aku gerak ke kawasan lapang di mana ada sebuah bas yang sedang menaikkan penumpang. Sampai turn pompuan india depan aku, budak jaga depan bas tu tak bagi naik, dia suruh gi ke tepi jalan sbb bas tu nak gerak ke sana. Aku pun tak dibagi naik. Dengan beg aku yang berat-berat, kepala aku yang sakit, aku pun mula naik angin.

Aku bengang, aku hamburkan kemarahan aku. Kejap ke sini, kejap ke sana. Menyusahkan. Budak lelaki tu bagi alasan ler bas belah malam mmg tunggu kat tepi jalan. Mangkuk. Kalau betul kenapa bas sebelum tu penuhkan orang kat kawasan lapang tu aje. Kenapa yang dah naik sebelum aku tu boleh naik kat situ. Geram betul aku. Tambah geram bila budak tu cakap, "Jangan marah kak. Akak ni asyik nak marah je." Kepala hotak dia berjambul. Ada dia nak tolong angkatkan beg aku yang berat sarat dengan buku-buku tu? Hampeh!

Aku naik ler bas tu dari tepi jalan je. Dua tiga kali kena ke sini sana. Letih. Nasib ler dapat duduk. Kalau kena berdiri agaknya lagi bertambah bengang aku. Hampir nak sampai ke Klang Parade, driver berhenti kat stesyen minyak isi minyak dulu. Aku turun ler kat situ dan menapak balik ke rumah.

Cerita di rumah, nanti ler aku taip pulak. Kepala makin berdenyut ni. Letupan mercun belum jugak berhenti lagi. Aku nak ambil tilam bantal ni, nak bentang kat ruang tamu. Aku ada bilik tapi aku lebih suka tidur kat ruang tamu je. Luas dan selesa. Aku tidur dulu.....

Thursday, February 18, 2010

Sudah Agak Lama

Hurm! Sebenarnya tak tahu nak update apa kat blog ni. Tak berapa nak ada idea yang bernas untuk dimuatkan ke dalam blog ni. Hendak bercerita soal masakan, dah lama rasanya aku tak masak.

Kongsi pengalaman sewaktu balik ke kampung masa raya cina baru ni. Nak dijadikan cerita, aku balik pagi raya. Tunggu bas dari rumah ke Klang punyalah lama sebab semua bas yang datang penuh. Sampai di Klang, nak naik bas ke Kuala Lumpur pulak sikit punya ramai manusia berkerumun di setiap pintu bas yang datang.

Tak terkecuali aku dan adik² aku yang dua orang tu. Beg aku yang besar tersandang di belakang badan aku sedikit pun tak menjadi masalah kepada pergerakan aku. Malahan ia membantu aku dalam perebutan. Hahaha! Iyelah, aku dah bayar tiket, tinggal nak naik tangga bas aje, ada pulak orang lain yang potong depan aku. Masa tu baru nak bayar tambang, giler bengang ler aku. Aku rempuh je dengan beg aku yang besar tu.

Tapi yang kesiannya adik perempuan aku ler. Sebaik naik atas bas dia tercari-cari telefon dia kat dalam poket dan dalam beg. Sah telefon dia dah kena seluk. Aku try call, panggilan ketiga terus hp tu dioffkan. Setan punya manusia. Masa orang sibuk tu ler dia buat jahat.

Nak beli lain, duit belum ada so aku bagi ler pinjam hp Samsung aku yang agak lama tu kat dia. So kalau ada sesapa yang contact nombor hotlink aku tapi tak dapat, faham² aje la ye. Buat masa ni nombor celcom aje yang aktif. Itu pun bernasib baik sebab telefon Sony tu yang aku letakkan dalam poket seluar masa nak berebut tak kena seluk jugak.

Masa aku balik ke Klang semula, kat Bas Stand Klang, KL jadik lagi penyelukan hp. Depan mata aku diorang berebut-rebut sampai terjerit-jerit naik bas. Kemudian satu mamat myanmar kot kalau tak silap aku dok teraba-raba poket cari hp. Lepas dia dah naik bas, dia turun balik carik kot² hp dia jatuh bawah bas

Aku rasalah, mamat kurus cekeding yang sama berebut pastu dia blah pi menyandar kat dinding kedai tu ler yang buat keje seluk hp tu. Sebab apa aku kata macam tu..? Sebabnya aku nampak dia sama menyibuk waktu orang berebut tu, kemudian dia balh masa orang dah makin kurang. Lepas tu masa dia kat tepi kedai tu dia macam simpan sesuatu kat dalam poket dan dia boleh dengan senang hatinya hisap rokok. Lepas tu (lagi) dia blah ke tempat lain. Mungkin menyibuk kat bas lain pulak.

Aku kalau dapat tukang seluk hp adik aku tu, mau aku patahkan tangan dia. Orang susah payah kerja cari duit nak beli hp tu, dia senang² hati dok mencuri. Hampeh punya orang.

Saturday, February 13, 2010

Rentetan Kisah Berita Dunia

Entahlah. Tak tahu nak cakap macam mana tentang keadaan dunia zaman sekarang ni. Banyak sangat kisah-kisah yang menyayat hati berlaku sejak kebelakangan ni. Kalau tengok berita ataupun menjengah ke blog-blog orang lain, cerita yang boleh didapati kebanyakannya agak menyedihkan.

Kelmarin kat office aku jengah satu blog yang berada di link blog ondscene. Dalam tu banyak kisah semasa terutamanya berita yang terdapat di dalam akhbar. Satu kisah yang membuat aku hampir menitiskan airmata telah aku baca waktu tu. Kisah berkenaan bayi yang dibuang kalau tak silap aku di tangga masjid. Memang aku silap. Mangsa diletakkan di atas lantai di tepi pintu pagar masjid jamek kat Melaka. Bayi yang seluruh badannya teruk bertanda akibat dihurung dan digigit semut. Bayi tu aku tengok gambarnya putih gebu, cantik tapi nasibnya malang dikandung oleh seorang perempuan yang bersifat binatang. Bayi yang malang yang sebaik dilahirkan dia dibuang.

Pada pengamatan aku, ibu dan bapa bersifat binatang yang telah berkompromi menghasilkan bayi itu tentu berwajah elok berdasarkan pada wajah bayi tersebut. Tapi apa gunanya wajah yang elok kalau sifat dan pemikirannya mengalahkan binatang. Setahu aku kebanyakan binatangpun tak sanggup membunuh anak sendiri melainkan haruan yang makan anaknya. Buaya yang ganas pun tahu sayangkan anaknya.

Tak habis lagi dengan kesedihan dan kegeraman membaca kisah bayi terbuang itu, tadi sekali lagi pandangan dan pendengaran aku disogokkan dengan berita yang hampir sama. Tapi kali ini lebih zalim lagi. Bayi lelaki yang berumur sehari itu dibuang ke dalam tong sampah lalu tong sampah itu dibakar. Mungkin untuk menghapuskan bukti barangkali. Mayat bayi tersebut kelihatan besar dan sempurna. Adakah dia dibunuh terlebih dahulu sebelum dibakar atau dibakar lalu mati? Bagaimanakah agaknya cara kematiannya? Adakah mati semasa dilahirkan atau dimatikan selepas dilahirkan?

Seeloknya manusia yang tidak berakal sebegini direjam sampai mati. Ataupun diikat di dalam karung guni lalu direndamkan di dalam air. Biar matinya terseksa. Tapi hairan jugak aku, mereka telah merasa sakit melahirkan bayi tersebut tapi bayi itu pula dimatikan lalu dibuang sesuka hati. Tidak menimbulkan sebarang rasa sedihkah bila kesakitan yang ditanggung sebelum itu terbalas dengan pembuangan itu. Adakah dengan pembuangan itu menghasilkan rasa puas kepada mereka? Entahlah...

Bukan aku nak mengajar perkara yang tidak betul ataupun mengajar orang menyembunyikan dosa kerana dosa yang terwujud tetap tidak dapat dihapuskan dari pengetahuan Allah. Aku sekadar tidak mahu bayi yang telah diberikan Allah nyawa walaupun dia hasil dari perhubungan yang tidak sah dibunuh dan dibuang merata. Kalaulah... kalaulah sudah tahu diri termengandung, sebelum ia berdenyut bernyawa di dalam rahim, makanlah apa-apa yang boleh mengelakkan ia terus membesar dan hidup di situ. Atau pergilah berjumpa doktor. Janganlah dibiarkan ia terus membesar, bernyawa dan seterusnya lahir ke dunia dan kemudiannya dimatikan lalu dibuang di mana-mana. Kasihan pada bayi yang tidak berdosa itu.

Kalaulah... kalaulah sudah melahirkan ia, janganlah dibunuh atau dibuang. Seeloknya serahkanlah ia kepada sesiapa yang sudi menerimanya untuk dibesarkan dan dididik sebaiknya.Sesungguhnya ramai manusia di dalam dunia ini yang kepingin mendapatkan anak tetapi tidak diberi rezeki untuk memilikinya. Jika diserahkan kepada manusia sebegini, tentu boleh menambah catatan baik untuk mengimbangi catatan buruk di kiri kanan bahu apabila mereka merasa bersyukur dan gembira.

Aku belum lagi bergelar seorang ibu, bahkan seorang isteripun aku belum berpeluang menyandang gelarannya, namun aku terasa sangat sakit di hati bila mendengar berita sebegini. Aku amat berharap tiada seorangpun dari keturunan aku yang akan berbuat zalim seperti kisah di atas. Kalaulah ada, sepak terajang aku beri percuma kepadanya.

Thursday, February 04, 2010

Sup Ayam Tomato Untuk Makan Malam



Semalam aku bercuti. Tujuan nak ke KWSP uruskan hal pengeluaran pendidikan dan terus ke JPN untuk temankan adik bongsu aku yang nak tukar alamat yang tersalah cetak kat mykad dia. Lepas dah settle hal penting, masa nak balik rumah, singgah kejap dekat The Store beli barang sikit.

Lepas dah bayar, terus pi kat bus stand, amik bas Seranas kaler biru kuning. Nak dijadikan cerita, aku naik last. Adik aku yang lelaki dan perempuan naik dulu. Adik yang lelaki bayarkan RM2.40 untuk tiga orang. Sekali masa aku dah naik bas, driver jerit kata sorang lagi tak bayar tambang. Aku hangin ler. Aku pandang adik aku yang dah duduk kat belakang. Dia kata dah bayar. Aku tanya, bayar berapa sebab masa tu driver bas dok bising kata bayar RM1.60 je sambil tunjuk duit RM1.60 yang ada kat atas tapak tangan dia. Adik aku kata dia bayar RM2.40 ler.

Aku pusing, pandang kat driver pastu terus aku tanya. "Tambang berapa sen sorang?" Dia jawab, lapan puluh sen. Aku terus jalan ke belakang kat adik aku. Aku tanya lagi adik aku. Pastu aku suruh adik aku pi cakap ngan driver. Sekali adik aku pi depan, dia tunjuk kat tong duit tu. Hahaha... Adik aku bayar tambang betul dan dia tak bayar atas tapak tangan driver, dia masukkan dalam tong duit. Agaknya mesti driver tu malu. Lepas tu ramai lagi yang bangun pi bayar.

Sekali hp driver berbunyi. Dia pick up call, dengar slang Indon pulak. Wah! Satu point lagi. Ini syarikat bas memang degil, duk gajikan lagi driver Indonesia. Lepas tu budak India yang duduk kat sebelah adik aku (aku duk seat depan dia) sibuk ler buka lagu kat hp dia. Kalau lagu omputeh ke, ok la jugak lagi. Ini dia duk bukak lagu tamil. Pening kepala aku. Dah la bukak kuat macam dia aje yang ada hp.

Sampai rumah aku terus keluarkan ayam dari dalam tempat beku. Kemudian aku sempat ler mengamuk kejap tengok sinki penuh dengan pinggan mangkuk. Aku basuh ler kejap kasi kosong sinki tu. Lepas tu aku siap-siapkan barang tumisan (yang penting halia kena lebih la). Settle tu, aku terus masak. Jadi ler sup ayam tomato. Ikan masin kembung aku suruh adik lelaki aku tolong gorengkan sementara aku duk basuh-basuh salad.

Lepaskan tu aku hidangkan semua atas meja dan panggil adik-adik aku makan. Kebetulan semalam member aku datang tidur rumah aku satu malam. Makan ramai-ramai ler. Settle makan, aku tengok tv. Kemudian malam lebih kurang jam sebelas lebih, aku sambung buat bab 2 novel motivasi aku sampai ler jam dua pagi. Lepas tu aku makan sikit. Dah sudah makan, aku sambung sikit lagi bab 2 kemudian terus tidur.




.