Wednesday, March 19, 2008

Kenapa Jadi Begini....?



Sahabat....

Kerana aku menyayangimu.... aku lontarkan segala keraguanku. Aku campakkan segala kekecewaanku. Aku kuatkan hatiku menerima kenyataanmu.

Sahabat....

Kerana aku mengasihimu.... aku tak jemu menghulurkan nasihat kepadamu. Aku ikhlas memberikan teguran kepadamu.

Sahabat....

Kerana aku tak mahu kehilanganmu.... aku sanggup berkongsi suka dukamu. Aku sanggup terima segala kekuranganmu. Aku rela mendengar celotehmu walaupun di ketika itu aku terlalu penat atau mengantuk.

Sahabat....

Aku tahu kau sedang bersedih kerana kekasihmu kehilangan barang yang banyak berjasa kepadanya. Aku tahu kau sedang kecewa kerana urusan pertunanganmu terpaksa kau tangguhkan demi untuk membantu kekasihmu. Aku sangat bersimpati denganmu tetapi janganlah kerana nasihat yang telah aku berikan kepadamu, kau meragui keikhlasanku.

Sahabat....

Aku tahu kau telah menemui seorang lelaki yang kau anggap adalah jodoh yang telah ditentukan Allah untukmu. Aku tahu bagimu dia adalah yang terbaik untukmu. Tapi kau mungkin tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Segala yang telah tersurat untukmu sejak azali.

Sahabat....

Aku tidak mencemburui kebahagiaanmu bersamanya. Aku tidak sedikitpun menyimpan rasa tidak senang melihat kau meniti kebahagiaan. Sebaliknya aku turut merasa bahagia melihat kau menghitung detik-detik untuk membina mahligai bersamanya. Tapi aku ingin mengingatkanmu tentang takdir Allah.

Sahabat....

Mungkin sekarang kau merasa Allah telah mentakdirkan kau bertemu dengannya. Mungkin kau merasa, Allah mentakdirkan jodohmu dengannya. Tapi sahabat, kau harus ingat satu perkara. Hidup ini hanya pinjaman. Cinta itu juga adalah satu rasa nikmat yang hanya dipinjamkan oleh Allah kepada kita. Sampai waktunya segala pinjaman itu akan ditarik semula.

Sahabat....

Aku ingin kau tahu bahawa aku merindui saat-saat kita gembira bersama. Buangkanlah prasangka dan amarahmu. Seandainya aku bersalah padamu, aku pohonkan kemaafan darimu. Sesungguhnya aku ingin kau tahu bahawa segala nasihatku kepadamu sebelum ini adalah demi kebaikanmu. Tetapi seandainya nasihatku adalah duri yang hanya menambahkan kesakitan kepadamu, kau maafkanlah aku.

Jagalah dirimu sebaiknya sahabatku kerana sesungguhnya aku amat menyayangimu.





.