Saturday, June 04, 2011

Cerpen Ala Belasah : Kalau Cinta, Katakanlah!

TING!

Lampu penunjuk arah yang menyala di bahagian atas pintu lif yang sebentar tadi menunjukkan angka tujuh sudah pun terpadam. Itu bermakna Ainur yang kegelisahan di dalam lif sudah sampai ke tempat tujuannya. Tanpa sempat menunggu pintu lif terbuka luas, Ainur buru-buru keluar tanpa memandang ke kiri dan ke kanan. Dia sudah terlewat masuk ke pejabat gara-gara kesesakan jalanraya yang luarbiasa tadi. Apatah lagi pagi ini pihak syarikat mengadakan mesyuarat mengalu-alukan kedatangan pengurus kewangan yang baharu. Pengurus baharu ini akan menggantikan pengurus kewangan sebelumnya yang baharu sahaja bersara.

“Aduh! Buta ke?” Naik angin Ainur apabila tiba-tiba tubuhnya tercampak ke tepi dinding setelah terlanggar dengan seseorang yang sedang berdiri betul-betul di hadapan pintu lif. Terasa sakit sangat lengannya terhantuk ke dinding konkrit. Mujur sahaja tidak luka.

“Maaf cik. Saya yang buta ke atau cik yang jalan tak guna mata?” Rozaimi membalas. Geram pula rasa di hatinya. Sudahlah gadis itu melanggar dia yang elok sahaja berdiri menunggu pintu lif terbuka, kini dia juga yang dikatakan buta. Adakah patut sebegini punya kacak bergaya dikatakannya buta. Melampau betul gadis itu. Namun dibantu juga gadis itu mengutip beg tangan yang turut terjatuh.

Pandangan mereka bersatu tatkala Rozaimi menyerahkan beg tangan itu kepada tuannya. Kedua-duanya terdiam, kelu seribu bahasa. Hanya rona merah yang kelihatan di wajah putih bersih gadis bertudung itu. Cantik sungguh gadis itu. Terpukau Rozaimi melihat wajahnya. Sungguh. Bagaikan bidadari yang turun dari kayangan. Beberapa saat masa berlalu, gadis itu tiba-tiba tertunduk. Rozaimi bagaikan tersedar dari mimpi yang indah lalu segera mengalihkan pandangannya ke arah pintu lif yang sudah tertutup.

“Maafkan saya. Ini beg tangan cik. Saya pergi dulu.” Tanpa menunggu gadis itu berkata apa-apa, Rozaimi terus berlalu ke arah pintu kecemasan. Naik tangga sahajalah jawabnya. Malu pula jika terus menunggu di situ. Sudahlah dia memandang wajah gadis itu sehingga gadis itu tertunduk malu tadi, ada hati pula hendak menunggu lama di situ lagi.

Ainur yang menyedari lelaki itu sudah pergi, segera berlalu ke ruang kerjanya. Dadanya masih lagi terasa berdebar-debar. Masih teringat wajah tampan lelaki yang dilanggarnya tadi. Haish... Malu betul. Sudahlah salah dia sendiri yang tergesa-gesa hingga terlanggar orang, siap menuduh orang itu buta lagi. Tidak apalah, mungkin orang itu bukan pekerja syarikat ini. Ainur tidak pernah melihat lelaki tampan itu di pejabat sebelum ini. Mungkin lelaki itu tersalah pejabat atau pun datang melawat temannya. Tetapi, jika datang melawat temannya, takkanlah seawal pagi begini. Ah! Pedulikan sahajalah.

“Nur, lambatnya kau sampai hari ni. Jom cepat, mesyuarat dah nak mula. Baru sekejap tadi Sherry interkom beritahu bos baru kau dah sampai kat bilik mesyuarat.” Terus sahaja Lili yang ruang kerjanya terletak di belakang meja Ainur mengajak gadis itu ke bilik mesyuarat sejurus gadis itu menampakkan wajahnya.

“Jalan sesak tadi, luarbiasa sesaknya. Dahlah aku terlewat bangun pagi tadi. Lepas tu berlaga pulak dengan entah mamat sesat mana ntah kat depan lif.” Sambil menerangkan punca kelewatannya, Ainur menyimpan beg tangannya ke dalam laci dan dikunci. Harus berjaga-jaga juga walaupun kesemua pekerja akan berada di dalam bilik mesyuarat. Manalah tahu, tiba-tiba ada pula yang mengambil kesempatan melarikan barang berharganya ketika dia berada di dalam bilik mesyuarat. Ops! Bukan hendak menuduh sesiapa, hanya sekadar langkah berjaga-jaga.

“Haaaa... Tu la aku dah cakap dari dulu lagi. Jangan suka berjaga sampai lewat malam tapi kau degil. Jap! Jap! Apa kau cakap tadi? Mamat sesat? Eh! Takpelah. Nanti kita sambung cerita, jom kita masuk bilik mesyuarat dulu.” Terkocoh-kocoh Ainur menyaingi langkah Lili yang boleh dikatakan separuh berlari itu. Maklumlah hendak melihat bos baharu yang khabarnya masih lagi belum berkahwin. Tetapi bukankah Lili itu sudah mempunyai suami. Tidak mungkin pula dia begitu teruja sehingga terlupa akan suaminya. Ah! Ainur... Ainur... Pandai sahaja membuat spekulasi.

*****

SEKALI lagi Ainur terkejut apabila lelaki yang dilanggarnya tadi pula yang sedang duduk di sebelah bos besar. Bertambah hebat debaran di dadanya. Ainur hanya tertunduk sahaja apabila lelaki itu memandang tepat ke arahnya. Ada senyuman di bibir merah itu. Entahkan senyuman ikhlas atau senyuman mengejek. Aduh, malunya Ainur! Lelaki itukah pengurus kewangan merangkap ketua baharunya? Alahai...

Lili menyedari perubahan wajah Ainur yang tiba-tiba menjadi pucat. Segera dia mencuit lengan gadis itu. Tersentak Ainur. Agak terkejut juga Lili dengan reaksi gadis itu yang seolah-olah tiada di dalam bilik mesyuarat. Entah ke mana fikirannya sudah melayang walaupun tubuhnya elok sahaja duduk di kerusi. Mata pun elok sahaja celik memandang bos baharu. Jangan-jangan sedang berangan berkejar-kejaran ala-ala filem hindustan dengan bos baharu. Maklumlah, bos baharu itu khabarnya masih bujang. Tampan pula. Sesuai sangat dengan Ainur yang masih belum berpunya.

Usai Rozaimi memperkenalkan dirinya sebagai pengurus kewangan yang baharu di syarikat itu, para pekerja jabatan kewangan pula diminta memperkenalkan diri masing-masing. Seorang demi seorang bangun memperkenalkan diri hinggalah tiba giliran Ainur. Gadis itu masih lagi tertunduk. Melihat gaya Ainur yang seperti berada di dalam alamnya sendiri, sekali lagi Lili mencuit lengan gadis itu. Kali ini reaksi yang lebih teruk pula yang timbul.

“Argh!!!” Menyedari semua mata tertumpu kepadanya, segera Ainur menekup mulut. Aduhai... Malu sekali lagi nampaknya. Kenapalah hari ini Ainur tidak habis-habis memalukan dirinya di hadapan lelaki tampan itu.

“Kau ni kenapa Nur? Cepatlah, bos suruh kenalkan diri. Semua orang dah selesai, tinggal kau seorang aje.” Dengan penuh berhati-hati Lili berbisik di telinga gadis itu, bimbang jika Ainur terkejut dan menjerit lagi. Tanpa berlengah, Ainur terus bangun untuk memperkenalkan dirinya. Tidak dipedulikan mata-mata yang memandangnya bersama senyuman gelihati yang masih bersisa .

“Saya Ainur, setiausaha pengurus kewangan sebelum ini. Lepas ini, Insyaallah saya juga yang akan menjadi setiausaha Encik Rozaimi sehinggalah Encik Rozaimi memohon tempat saya digantikan dengan orang lain.” Usai berkata-kata, Ainur terus duduk semula tanpa mempedulikan riak wajah bos baharunya yang berubah setelah mendengar kata-katanya.

Mesyuarat ditamatkan dengan sedikit jamuan. Ainur segera kembali ke mejanya setelah menjamah sepotong kuih bingka ubi. Pelik. Selalunya, setiap pagi, perut Ainur akan menjerit jika tidak sempat diisi. Berbeza pula hari ini. Ainur terasa kenyang walaupun semenjak pagi tadi tiada satu makanan pun yang sempat masuk ke dalam perutnya. Ah! Kuasa cintakah ini? Jika benar, beruntunglah mereka yang sedang bercinta. Tidak perlu bersusah-payah menyuap makanan ke mulut kerana sudah sedia kenyang dek penangan rasa cinta itu sahaja. Tetapi cintakah Ainur kepada lelaki yang baharu beberapa jam ditemui itu?

*****

SEMENJAK pertembungan yang tidak disengajakan itu, tumbuh satu perasaan asing di dalam hati Ainur dan Rozaimi. Apatah lagi keperluan tugas mereka yang membuatkan perasaan itu semakin lama semakin subur. Namun masing-masing hanya memendam sahaja perasaan itu. Masing-masing tidak berani hendak meluahkannya. Bimbang jika hanya bertepuk sebelah tangan walaupun nampak ketara kedua-duanya berkongsi rasa yang sama.

Zack, rakan baik Rozaimi semenjak mereka di universiti seringkali datang ke pejabat itu untuk berjumpa Rozaimi. Setiap kali itu jugalah Zack perasan akan pandangan tidak senang yang dilemparkan oleh Rozaimi dari dinding cermin yang memisahkan antara lelaki itu dengan Ainur apabila Zack bertanya sesuatu kepada Ainur.

“Bro, kalau cinta, katakanlah! Jangan nanti kau gigit jari bila Ainur yang kau suka tu dirembat orang.” Pernah juga Zack memberikan nasihat yang sama sebelum ini kepada Rozaimi namun hingga ke hari ini langsung tiada tindakbalas daripada lelaki itu. Sudah naik berbuih mulut Zack menyuruh Rozaimi berterus-terang namun lelaki itu begitu sukar hendak melakukannya. Bimbang juga Zack jika Rozaimi terlambat nanti. Alamatnya, sakitlah telinga Zack mendengar luahan kecewa rakan baiknya itu.

“Apa kau cakap ni Zack? Apa cinta-cinta? Aku mana ada perasaan apa-apa kat dia.” Susahnya hendak menyuruh seorang yang ego berterus-terang akan perasaannya yang sebenar. Zack hanya mampu menggeleng sahaja melihatkan riak bersahaja rakan baiknya itu. Nantilah, bila bunga yang dipuja sudah disunting kumbang lain, tahulah nasib kumbang seekor yang cukup tebal tembok keegoannya ini. Menggigit jarilah Rozaimi nanti.

“Iyelah tu. Jangan nanti satu hari kau datang dekat aku dengan muka serabut, pastu mengadu awek yang kau suka tu dah jadi hak orang lain, sudahlah. Masa tu memang kaw-kaw kau kena dengan aku.”

Rozaimi hanya membuat riak muka tidak bersalah sahaja mendengarkan kata-kata Zack. Bukan di dalam hatinya tiada rasa bimbang, dia juga ada terfikirkan kebenaran kata-kata Zack itu. Namun, terlalu sukar hendak meruntuhkan tembok keegoannya sendiri. Selama ini belum pernah dia yang berterus-terang tergila-gilakan seorang perempuan. Semuanya perempuan yang memulakan salam perkenalan dahulu dan seperti biasa, pasti dia akan menolak. Tiada langsung wujud rasa rugi selepas penolakan itu walaupun kebanyakannya mempunyai pakej yang lengkap. Namun kali ini, berlainan sekali perasaannya dengan gadis bernama Ainur ini.

*****

DARI sebalik dinding cermin, Rozaimi dapat melihat dengan jelas Zack menghulurkan sekuntum bunga mawar merah kepada Ainur. Geram sungguh rasa hati Rozaimi. Apatah lagi apabila gadis itu menghadiahkan senyuman yang sangat manis kepada Zack. Sudah beberapa kali Rozaimi ternampak keadaan sebegitu. Sebelum ini, Zack selalu datang ke pejabatnya untuk mengajaknya makan tengahari bersama dan menasihatinya agar berterus-terang akan perasaannya kepada gadis itu, namun kini semua itu tiada lagi.

Semenjak kebelakangan ini, boleh dikatakan setiap hari Zack akan datang ke pejabat ketika waktu makan tengahari dan Ainur akan keluar makan bersamanya. Ada apa-apakah yang telah berlaku di antara Ainur dan Zack? Apa sudah jadi dengan pertunangan Zack dengan Yasmin? Bukankah sepatutnya mereka kini sibuk menguruskan persiapan perkahwinan mereka yang dijangka akan diadakan pada penghujung tahun nanti?

Hati Rozaimi membara bila melihat Zack semakin hari semakin rapat dengan Ainur sehinggakan tiada peluang untuk dia mendekati Ainur. Tiada peluang dia hendak mengajak gadis itu makan bersama. Hai, menyesal pula lambat berterus-terang. Jika tidak, tentu gadis pujaan hatinya itu tidak serapat ini dengan Zack.

‘Tak guna punya kawan. Macam dah tak ada orang lain lagi yang dia nak kacau. Orang yang aku suka tu jugak yang dia nak usha.’

Marah dengan sikap Zack yang dirasakan seakan hendak memotong jalannya, Rozaimi bertindak menjauhkan diri dari lelaki itu. Namun kerana rasa cinta yang ada di dalam hatinya kepada Ainur dan rasa simpatinya kepada Yasmin, tunang Zack yang juga merupakan kawannya semenjak dari universiti, Rozaimi nekad akan melakukan sesuatu.

*****

“AWAK, boleh tolong saya tak?”

“Apa dia?”

“Tolong menyamar jadi awek saya.”

“Erkkk...”

“Tolonglah awak.”

“Tapi, kenapa saya?”

“Saya sebenarnya suka dekat sorang awek tu, dia pun saya nampak macam suka saya tapi dia tak pernah nak mengaku dia sukakan saya. Dah puas saya bagi ‘hint’ tapi tak jalan jugak. Ni, kalau dia tengok kita ni dia nampak cemburu, maknanya betullah dia suka saya. Nanti bolehlah saya berterus-terang dekat dia yang saya sukakan dia.”

“Ooo... Kalau macam tu oklah.”

“Orait, set!”

Sambil jemarinya sibuk menaip laporan yang diarahkan oleh Rozaimi untuk disiapkan pada petang itu juga, Ainur teringat semula perbualannya bersama Zack sewaktu mereka makan bersama tengahari tadi. Patutlah sejak akhir-akhir ini Zack selalu datang ke pejabat dan mengajaknya makan bersama. Dahulu lelaki itu selalu keluar bersama Rozaimi. Rupanya ada udang di sebalik batu.

Entah siapalah gadis bertuah yang akan memiliki seorang lelaki yang serba sempurna seperti Zack itu. Orangnya sangat peramah, romantik, tampan dan yang paling penting, lelaki itu sangat menghormati kaum wanita. Selama Ainur mengenali Zack, belum pernah lelaki itu cuba mengambil kesempatan ke atasnya. Itu yang membuatkan Ainur rasa selamat apabila keluar dengan lelaki itu.

*****

“MIN, saya rasa rancangan kita menjadi!” Ceria wajah Zack bertemu kekasih hatinya yang sudah hampir setahun menjadi tunangannya. Itulah satu-satunya gadis yang berjaya memiliki hati milik seorang lelaki bernama Zack walaupun ramai gadis yang lebih cantik dari Yasmin pernah mencuba merebut cintanya.

“Saya rasa pun begitu juga. Awak tahu, semalam Mi ada telefon saya. Dia tanya pasal pertunangan kita.” Riak wajah Zack yang ceria berubah sedikit. Hai, takkan cemburu pula Zack. Diri sendiri keluar dengan perempuan lain, tidak pula difikirkan cemburukah atau tidak Yasmin itu padanya.

“Habis tu awak jawab apa?” Terpamer senyuman di wajah Yasmin. Tercuit juga hatinya melihat reaksi Zack yang seolah-olah cemburu itu.

“Hai awak ni. Tentulah saya jawab kita masih bertunangan lagi. Ke betul awak ada hubungan dengan Ainur?” Makin cemberut wajah Zack dengan soalan yang tidak dijangka itu.

“Haish! Ada pulak cakap macam tu. Apa lagi yang dia cakap dengan awak?”

“Lepas dia tanya pasal tu, terus la dia cakap pasal hubungan awak dengan Ainur tu. Saya rasa dia nak suruh saya buat sesuatu la tu.” Tahu Zack sekadar ingin membantu merapatkan satu hubungan, Yasmin terus sahaja menyambung kata. Jika dipanjangkan lagi, merajuk pula lelaki kesayangan Yasmin itu nanti. Susah juga hendak memujuk lelaki bila sudah mula merajuk.

“Baguslah kalau macam tu. Susah betul nak buat kawan kita tu berterus-terang perasaan dia. Orang kalau dah cinta tu, katakan ajelah.”

“Ego la awak. Susah kalau ego tinggi sangat ni. Haaaa.. Lepas ni apa rancangan kita?”

“Macam yang kita bincangkan tu la. Nanti saya ajak Ainur keluar, lepas tu awak ajak kawan kita tu keluar. Kita buat-buatlah bertembung. Tapi nanti kita buat dramatik sikit. Bila jumpa nanti, awak berlakon marahkan Ainur. Awak katalah dia nak rampas saya daripada awak.”

“Ooo... Ok!”

Masing-masing sudah terbayangkan situasi dramatik itu nanti. Bagaimana Yasmin naik berang memarahi Ainur yang tidak tahu apa-apa. Bagaimana rupa Rozaimi yang melihat gadis pujaannya diserang oleh rakan baiknya sendiri disebabkan oleh seorang lelaki. Akhirnya kedua-duanya mengukir senyum yang hanya mereka berdua sahaja yang memahaminya.

*****

AINUR yang hanya berpakaian ringkas sahaja sudah siap menunggu Zack datang menjemputnya. Siang tadi Zack ada mengajak Ainur keluar menonton wayang. Menurutnya dia terdengar perbualan gadis yang diminatinya itu hendak pergi menonton malam nanti bersama kawannya. Ainur yang berniat hendak menolong seorang rakan itu, bersetuju sahaja. Fikir Ainur tiada salahnya menolong seorang kawan yang betul-betul serius hendak membina kebahagiaan bersama orang yang dicintainya.

Jam lapan malam Zack mengambil Ainur di rumahnya. Mereka terus ke sebuah restoran untuk menikmati makan malam sebelum ke pawagam untuk menonton wayang. Di luar pengetahuan Ainur, Rozaimi dan Yasmin sudah terlebih dahulu berada di dalam restoran itu. Usai makan, tiba-tiba meja mereka didatangi oleh seseorang.

“Apa ni awak? Kita kan dah bertunang, dah nak kawinpun, kenapa awak keluar dengan perempuan lain lagi?” Terkejut sungguh Ainur apabila mendengarkan perkataan tunang itu. Selama ini dia sangkakan Zack itu baru hendak menyatakan cintanya kepada gadis yang disukainya. Tidak sangka pula Zack sudah bertunang dengan gadis yang sedang naik berang ini.

“Sorry sayang, saya bukan sengaja nak menduakan awak.” Rozaimi sudah tersenyum sinis. Di dalam hatinya merasa sedikit puas apabila rakan baik yang kini sudah menjadi pesaingnya itu tertangkap oleh tunangannya. Namun senyumannya serta-merta padam apabila Yasmin tiba-tiba berpaling menghadap ke arah Ainur yang sudah terkedu.

“Hei perempuan! Dalam banyak-banyak lelaki, apasal tunang aku jugak yang kau nak rampas? Dah tak ada orang lain lagi ke yang kau nak kacau? Dah tak cukup lagi ke lelaki dalam dunia ni?” Pandai sungguh Yasmin melakonkan wataknya. Baik Ainur mahupun Rozaimi tidak nampak kepincangan lakonannya. Benar-benar mereka percaya Yasmin sedang mengamuk sekarang ini.

“Maaflah! Saya tak tahu pulak awak ni tunang Zack. Saya tak ada niat pun nak rampas dia dari awak. Saya cuma tolong dia aje.” Terketar-ketar Ainur menahan sebak. Tidak sangka niatnya yang baik disalahertikan. Tidak sangka sebegini penghinaan yang diterima atas pertolongan ikhlas yang dihulurkannya.

“Tolong apanya? Tolong jauhkan dia dari aku? Dasar perempuan sun...” Belum sempat Yasmin hendak menghabiskan ayat, Ainur sudah segera memotong. Bergetar suaranya menahan tangis yang hampir sahaja pecah.

“Awak! Tolong jangan tuduh saya yang bukan-bukan. Saya tak ada perasaan apa-apa pun pada Zack. Saya suka orang lain.” Yasmin dan Zack cuba menahan tawa. Tidak dinafikan wujud perasaan kasihan kepada gadis itu namun demi kerana kebahagiaan gadis itu dan Rozaimi, mereka abaikan dahulu perasaan itu. Nanti selepas segala-galanya selesai, baik Yasmin mahupun Zack pasti akan meminta maaf kepada mereka berdua.

“Jangan nak berbohonglah. Kalau betul kau suka orang lain, apasal kau boleh rapat dengan tunang aku. Siap boleh keluar sama-sama lagi!” Masih juga Yasmin mendesak. Geram juga dia. Entah kenapa susah sangat Ainur hendak mengaku dia sebenarnya sukakan Rozaimi.

“Betul! Saya suka orang lain.” Ainur masih mempertahankan dirinya. Jika bukan dia yang mempertahankan dirinya, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk berbuat begitu. Mungkin jika Rozaimi tahu perasaannya pada lelaki itu, tidaklah Ainur menghadapi situasi memalukan sebegini.

“Sapa?” Tinggi suara Yasmin. Tidak sabar dia hendak mendengar pengakuan dari mulut gadis itu. Biar Rozaimi mendengar sendiri. Susah. Hendak mengaku cinta pun terpaksa mereka membuat lakonan hingga melukakan hati orang yang tidak bersalah.

“Saya... suka... Rozaimi! Saya pergi dulu. Maaf!” Akhirnya, demi tidak mahu terus-terusan dituduh sebagai perampas tunang orang, Ainur terpaksa meluahkan apa yang terpendam di sudut hatinya.

Usai berkata, Ainur berlari meninggalkan restoran itu bersama airmata yang sudah mengalir di pipinya. Tiada apa lagi yang difikirkan oleh gadis itu melainkan mencari teksi dan pulang ke rumah. Malu sungguh dirasakan apabila banyak mata yang memandang kejadian tadi. Terasa sungguh terhina sedangkan tidak terlintas di hatinya hendak merampas hak sesiapa pun. Ainur tidak pernah diajar sebegitu. Juga terasa malu apabila Rozaimi mengetahui isi hatinya yang mencintai lelaki itu di dalam keadaan tegang sebegitu.

“Akhirnya! Bro, tugas kami dah selesai. Sekarang giliran kau pulak. Kalau cinta, katakanlah bro!” Sambil tersenyum, Zack menepuk bahu Rozaimi. Yasmin yang berada di hadapannya turut tersenyum. Melihat senyuman kedua rakan baiknya, Rozaimi berlari keluar dari restoran itu. Gadis kesayangannya harus dikejar. Perasaannya juga harus diluahkan kepada gadis itu.

*****

MATA Rozaimi melingas mencari kelibat Ainur. Sebaik matanya terarah ke jalanraya, pandangannya tertancap ke susuk tubuh Ainur yang sedang melintas jalan. Tentu sahaja gadis itu hendak mendapatkan teksi yang berada di seberang jalan. Rozaimi cuba mengejar gadis itu. Tanpa terduga terdapat sebuah kereta dipandu laju ke arah Ainur yang sudah pun berada di tengah jalan.

“Ainur!!!” Bunyi hon yang kuat mengiringi jeritan Rozaimi memanggil gadis kesayangannya.

“Arghhhhh!!!” Bergema jeritan Ainur bersama bunyi brek kereta yang yang nyaring di atas jalan.

“Awak, buka mata awak. Janganlah tinggalkan saya. Saya cintakan awak!”

Rozaimi mengangkat sedikit tubuh Ainur yang terbaring di atas jalan. Tidak dipedulikan kepala Ainur yang berdarah yang berada di atas ribanya. Apa yang lebih penting kini, dia mahu berterus-terang. Dia mahu gadis itu tahu bahawa di dalam hatinya ada cinta untuk gadis itu sebagaimana yang turut dirasakan oleh gadis itu.

Dia tidak mahu menyesal kerana gagal meluahkan cintanya. Namun mata Ainur semakin terpejam. Tiada tindakbalas daripada gadis itu lagi. Rozaimi menangis, benar-benar menangis, teresak dan makin lama makin kuat. Sesungguhnya penyesalan bertakung di relung hatinya. Dan penyesalan itu akan dibawa hingga ke akhir usianya.

*****

DI hospital sehari kemudian....

“Awak dah sedar? Alhamdulillah!” Rozaimi yang setia menunggu di sisi katil Ainur pantas menyapa apabila gadis itu kelihatan membuka matanya sedikit demi sedikit. Mungkin kerana silau oleh cahaya lampu yang memancar menerangi wad yang didiaminya.

“Di mana saya?” Berkerut wajah Ainur memerhati sekeliling yang serba putih. Tiada sesiapa di situ melainkan mereka berdua.

“Awak sekarang berada di hospital. Semalam awak kemalangan. Awak tak ingat?” Berubah riak wajah Rozaimi. Janganlah gadis itu hilang ingatan pula. Dia tidak mahu sekali lagi menebalkan muka meluah perasaan. Cukuplah sekali itu sahaja dia merendahkan egonya.

“Ya, saya ingat. Hurm... Awak... Betul ke apa yang awak cakap sebelum saya pengsan semalam?” Kali ini Ainur memandang tepat ke wajah Rozaimi. Dia mahu mendengar pengakuan yang sebenar-benarnya daripada lelaki itu. Teringat kembali akan kata-kata Zack sebelum ini, kalau cinta, katakanlah!

“Apa dia?” Rozaimi juga menatap wajah gadis di hadapannya itu dengan pandangan yang lembut. Pandangan yang sukar dinyatakan dengan perkataan. Hanya yang mengalami sahaja yang tahu erti pandangan itu.

“Betul ke awak cintakan saya?” Sekali lagi soalan yang sama dilontarkan Ainur. Kali ini dengan nada yang lebih tegas.

“Betul awak. Dah lama saya jatuh cinta dengan awak. Sejak perlanggaran kita dekat depan lif tu. Tapi saya tengok awak rapat dengan Zack, saya bengang. Zack tahu saya suka awak, tapi dia masih juga usha awak. Jadi saya ambil keputusan jauhkan diri.” Tahulah Ainur kenapa sejak kebelakangan ini Rozaimi melemparkan pandangan tidak senang apabila Zack datang ke pejabat mengajaknya makan bersama. Rupanya ada kes cemburu.

“Sebenarnya Zack minta tolong saya menyamar jadi kekasih dia. Katanya dia nak buat orang yang dia suka yang nampak macam suka dia tapi tak mahu berterus-terang tu cemburu. Kalau cemburu, maknanya suka dan nanti barulah dia nak berterus-terang. Tak sangka pulak kena serang dengan tunang dia tadi.” Timbul rasa kasihan di hati Rozaimi kepada gadis yang sedang terbaring di atas katil itu. Nasib baik hanya cedera ringan sahaja, kalau parah atau pun meninggal dunia, tidakkah gila jadinya Rozaimi.

“Oh, macam tu rupanya. Sebenarnya Zack memang dah bertunang dengan Min. Tak lama lagi kawin. Mereka saja buat rancangan nak buat kita mengaku perasaan masing-masing nampaknya.” Kelihatan rona merah di pipi Ainur mendengarkan penjelasan Rozaimi. Rupa-rupanya Zack hanya membuat helah semata-mata hendak menyatukan mereka sahaja. Kalau Ainur tahu itu semua hanya helah sahaja, tentu dia tidak akan lari meninggalkan restoran dan pasti selamat dari dilanggar kereta.

“Oh!” Jawapan ringkas Ainur menamatkan cerita tentang kejadian semalam. Kini hanya cerita tentang masa hadapan yang akan mereka bualkan setelah perasaan masing-masing sudah diluahkan.

*****

SELEPAS kejadian yang berlaku di restoran itu, Ainur dan Rozaimi semakin rapat. Perhubungan mereka menjadi bualan di pejabat. Manakan tidak, sudahlah bekerja bersama, sarapan bersama, makan tengahari bersama malahan pergi dan balik kerja juga bersama. Tidak pernah sekalipun Rozaimi membiarkan Ainur sendiri. Kalau boleh, dua puluh empat jam sehari dia mahu bersama Ainur dan hari ini seperti biasa, Rozaimi mengambil Ainur di rumah untuk ke pejabat bersama.

Tengahari itu, Yasmin dan Zack mengajak Ainur dan Rozaimi makan bersama. Rozaimi tiada halangan apa-apa cuma Ainur agak keberatan hendak memenuhi undangan mereka. Bukannya Ainur takut kejadian lama berulang lagi, cuma Ainur terasa segan dengan pasangan yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menyatukan dia dengan Rozaimi. Namun demi memenuhi permintaan Rozaimi, Ainur ikutkan sahaja.

“Nah! Jemputlah datang nanti ye.” Sementara menunggu makanan yang dipesan sampai, satu sampul surat berwarna biru lembut dihulurkan oleh Zack kepada Rozaimi. Tertera nama Ainur dan Rozaimi di muka sampul. Segera isinya dikeluarkan oleh Rozaimi. Terukir senyuman di bibir lelaki itu melihat kad undangan perkahwinan kedua rakan baiknya itu.

“Insyaallah, jika tak ada aral melintang, kami datang.” Sudah tentu Rozaimi akan menghadiri majlis perkahwinan kedua rakan baiknya yang sudah terlalu banyak menolongnya selama ini. Namun perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Jika ditakdirkan dia tidak dapat menghadiri majlis yang paling bermakna buat kedua rakannya itu, Rozaimi redha.

“Datang, jangan tak datang. Nanti boleh ambil berkat. Mana tahu lepas tu jodoh korang pulak sampai.” Terhambur ketawa Zack memandang wajah Rozaimi yang nampak tersipu. Lucu juga bila seorang lelaki yang kelihatan gagah dan tampan, tampak malu-malu begitu.

“Iyelah tu. Pandailah korang buat spekulasi.” Ainur yang sejak tadi diam membisu turut tersenyum mendengar kata-kata Rozaimi. Bukan spekulasi lagi hubungan mereka kini. Satu pejabat sudah sedia maklum akan percintaan mereka. Hebat sungguh lelaki nan seorang itu. Egonya tinggi melangit namun bila sudah berjaya diluahkan isi hatinya, kalau boleh, kepada seluruh dunia ingin dikongsikan berita gembira itu.

*****

TIGA bulan selepas majlis perkahwinan Zack dan Yasmin berlangsung, Rozaimi pula menamatkan zaman bujangnya. Terkejut juga Zack apabila mendapat undangan ke majlis perkahwinan mereka. Tidak ada berita pertunangan, tiba-tiba sahaja hendak menikah. Ada apa-apa rahsiakah sehingga majlis diadakan secara tiba-tiba sahaja? Namun setelah diselidiki, rupa-rupanya, ada yang sudah tidak sabar hendak berkeluarga.

“Akhirnya kawin jugak kawan kita tu ye bang. Dulu tak cinta konon. Padahal tahan hati bila kawan baik sendiri usha orang yang dia suka tu.” Pandangan ditala ke arah pelamin. Pasangan pengantin seperti pasangan diraja duduk bersimpuh dan bersila segak bersanding di atas pelamin yang dihias indah mengikut citarasa ala-ala istana zaman dahulu.

“Hahahaha... Itulah. Dah banyak kali abang cakap kat dia. Kalau cinta, katakanlah. Dia siap tak mengaku lagi tu.” Sambil melangkah beriringan ke arah pelamin, Yasmin turut tersenyum mendengar kata-kata Zack yang sudah tiga bulan menjadi suaminya yang sah.

“Hai pengantin! Tak cinta ye? Tapi macam mana boleh terkawin nih? Hehe..” Tersipu-sipu sang pengantin yang sedang bersanding. Sempat lagi Zack berbisik-bisik mengusik Rozaimi ketika menepung tawar.

“Hish! Jangan sebut lagi hal lama. Seganlah aku.” Sekilas dikerling Ainur yang sudah sah menjadi isterinya usai majlis akad nikah yang diadakan malam tadi. Kelihatan isterinya turut tersenyum.

“Tahu kau segan. Nasib baik kawan-kawan kau ni sporting. Kalau tak, alamat melepaslah kau.”

“Terima kasih sebab tolong satukan aku dengan isteri aku. Kalau korang tak tolong, entah-entah, tak merasalah korang makan nasi minyak aku.”

“Tak perlu berterima kasih dengan kitorang. Sepatutnya kau berterima kasih pada isteri kau yang mengaku cintakan kau masa Min serang dia tu.” Walaupun wajahnya ditambah alat solek, kelihatan jelas rona merah yang menghiasi wajah Ainur. Terasa malu apabila terkenangkan kembali pengakuan berani matinya beberapa bulan dahulu. Tidak disangka, dari situlah dia mendapat tahu perasaan Rozaimi juga sama sepertinya. Dan kini, mereka sudah pun sah menjadi pasangan suami-isteri.

*****

SETAHUN kemudian...

Riuh bunyi di dalam dapur menarik keinginan Ainur untuk melangkah ke situ. Matanya tertancap pada tubuh suaminya yang sedang sibuk membancuh milo. Kelentang-kelentung bunyi teko berlaga dengan sudu. Haish... Kalau lelaki yang membuat kerja dapur, memang begitulah keadaannya. Mungkin disebabkan itulah, wanita yang dipilih menjadi surirumah, menguruskan rumahtangga dan makan-minum keluarga. Lelaki pula menguruskan hal pencarian nafkah dengan kelebihan kudrat mereka.

“Sayang, pergi duduk sana la. Buat apa dekat dapur ni?” Kelibat isterinya yang berdiri di pintu masuk ke dapur dapat dipandang dari ekor mata. Sudah sarat benar isterinya itu. Hanya menunggu masa hendak melahirkan tanda cinta mereka.

“Nak masak la bang.” Itulah sikap isteri yang dicintainya. Tidak pernah sekalipun mengabaikan kepentingan suami dan rumahtangga. Walaupun kurang sihat, walaupun sudah sarat dan tidak larat melakukan kerja rumah, isterinya itu tetap juga tidak mahu berehat.

“Dah, tak payah masak. Pergi duduk sana. Biar abang yang masak.” Didorong tubuh isterinya ke kerusi meja makan. Dikucup dahi isterinya sebelum kembali menyambung kerja yang tertangguh tadi.

Hari minggu begini, sememangnya mereka suami-isteri akan bangun lambat sedikit daripada biasa. Usai solat subuh, mereka akan tidur semula walaupun di dalam Islam amat tidak menggalakkan perkara sebegitu. Bukannya apa, hari-hari sebegitulah Rozaimi hendak berbaring-baring merehatkan diri di atas katil lama sedikit bersama isterinya. Tetapi hari ini, Rozaimi sengaja bangun awal untuk membuat kerja rumah. Hari ini dia mahu isterinya berehat sahaja tanpa melakukan apa-apa kerja.

“Bang, kan tu tugas Nur.” Sekilas Rozaimi mengerling isterinya. Terbit senyuman di bibirnya melihatkan isterinya itu tidak senang duduk di kerusi. Tentu isterinya merasa serba-salah, atau mungkin kurang selesa apabila dilayan sebegitu. Maklumlah, semenjak mendirikan rumahtangga, isterinya hanya menjadi surirumah sepenuh masa. Isterinya yang menguruskan semua perkara berkaitan isi rumah walaupun puas Rozaimi menegaskan itu semua merupakan tanggungjawab seorang suami.

“Sayang, masak ni tugas suami. Tugas isteri melayan suami dan taat perintah suami selagi ia tidak melanggar perintah Allah. Sayang dah sudi mengandungkan anak abang pun dah cukup besar pengorbanan sayang tu. Tak terbalas abang.” Lembut bicara suaminya melegakan hati Ainur. Tidak salah dia memilih Rozaimi sebagai pasangan hidupnya. Rozaimi mempunyai sifat kepimpinan yang seharusnya ada pada seorang lelaki dan penyayang serta bertimbangrasa.

“Baiklah ab... Bang! Tolong bang!” Rozaimi yang sudah kembali menyambung kerja membancuh air milo, segera berlari ke arah isterinya yang sedang mengerang sambil memegang bahagian bawah perutnya. Berkerut wajahnya menahan kesakitan.

“Kenapa ni sayang? Dah sampai masa ke? Tapi due dua minggu lagi kan?” Pertanyaan demi pertanyaan terlontar akibat rasa cemas yang bertamu. Walaupun kesakitan, terasa lucu juga Ainur melihat kekalutan suaminya.

“Anak-anak abang ni dah tak sabar nak tengok dunia agaknya.” Dalam pada berkerut menahan sakit, sempat lagi Ainur menjawab soalan suaminya dengan gurauan.

“Amboi! Sempat lagi dia. Jom, abang hantar ke hospital.” Air milo yang masih belum siap dibancuh, ditinggalkan begitu sahaja. Tiada apa yang lebih penting kini melainkan isterinya yang sedang menahan kesakitan hendak melahirkan anak-anaknya. Satu pengorbanan yang cukup besar dilakukan isterinya dan tidak mungkin dia dapat membayar dengan wang ringgit.

*****

YASMIN sudah meluru masuk bersama senyum lebar ke dalam wad yang menempatkan Ainur bersama bayi-bayinya. Usai bersalaman dengan Ainur yang kelihatan sudah agak bertenaga, Yasmin terus menghampiri katil bayi. Teruja sungguh wajahnya memandang bayi-bayi comel yang masih belum membuka mata itu.

“Tahniah!” Sepatah ucapan bersama senyuman penuh makna mengiringi langkah Zack ke katil. Rozaimi yang setia berdiri di sisi isterinya yang menyandar di kepala katil, turut tersenyum. Huluran tangan Zack segera disambut dan ditarik tubuh rakan baiknya itu ke dalam pelukannya.

“Terima kasih, Zack.” Ucapan terima kasih yang tidak terhingga sebenarnya untuk rakan baiknya itu. Mujur Zack dan Yasmin sudi menghulur pertolongan, jika tidak, belum tentu kebahagiaan yang dikecapi Rozaimi kini berada di dalam genggaman.

“Amboi Mi, tak cinta konon. Dalam tak cinta, kau dulu yang dapat anak ni. Siap kembar pulak tu.” Terukir senyum lebar di wajah Rozaimi mendengar bisikan sindiran berbaur gurauan dari Zack. Ainur dan Yasmin pula berpandangan sesama sendiri melihat kedua rakan baik itu berpelukan agak lama. Entah apa yang dibisikkan sambil tersengih-sengih keduanya.

“Rezeki...” Sepatah jawapan Rozaimi meledakkan tawa Zack. Boleh pula jawapan pasrah sebegitu yang diberinya.

“Iyelah tu. Rezeki tu aku setuju. Tapi kalau tak cinta, takkan dah sampai dapat anak lebih dulu dari kami yang sama-sama cinta ni.” Ketawa besar Zack sekali lagi. Kali ini disertai oleh Yasmin yang turut mendengar kata-kata Zack yang sedikit kuat itu. Benar, jika tiada rasa cinta antara keduanya, tidaklah begitu menggelabah Rozaimi apabila Zack berlakon menyukai Ainur dahulu. Dan seperti kebanyakan novel yang pernah dibaca Yasmin, perkahwinan tanpa cinta, lambat membuahkan hasil kebahagiaannya berbanding Rozaimi dan Ainur.

Rozaimi hanya mampu tersenyum tanpa membalas. Dia mengambil tempat di sisi Ainur dan merangkul bahu isterinya itu sambil memandang Yasmin dan Zack yang sibuk mendukung si kembar. Benarlah kata orang, kalau cinta, katakanlah! Jika tidak dilafazkan, tidak mungkin kebahagiaan menjadi milik mereka kerana tanpa berterus-terang, tiada siapa yang akan tahu apa yang tersirat di hati manusia melainkan Allah yang Esa.

2 comments:

Anonymous said...

comel aahh :)
nice!

Anonymous said...

Saya agak bosan menekuni karya yang hampir menjadi "klon", jalan ceritanya sama dan tak ada saspens. Boleh diagak. Kurang realistik. Cuba tingkatkan usaha.

.