“TENGGELAM dalam kesayuan ku seorang
Biarpun dulu berjanji bersama
Ucap rayuanmu kau putarkan
Sehingga kini masih kupercaya
Rindu dan dendam menjadi pegangan
Tak mungkin kulepaskan
Biarpun terluka dalam dada
Kata-katamu menghiris hatiku
Di dalam sendu
Aku tatapi potret-potret wajahmu
Hingga kuterbayang kenangan bersamamu
Di saat-saat bahagia
Kau kejam dan ...”
Belum sempat Datul menghabiskan nyanyian sumbangnya, mikrofon yang berada di tangannya dirampas oleh Puan Zaleha. Serentak itu, set karaoke yang sedang ligat bekerja turut terpadam. Merah padam wajah Puan Zaleha menahan amarah. Sakit telinganya mendengar Datul terjerit-jerit berkaraoke di ruang tamu rumah teres setingkat itu. Kalaulah ada bilik kedap bunyi di rumah peninggalan arwah suaminya itu, teringin juga Puan Zaleha menyembunyikan dirinya di situ.
“Apa ni ma? Datul tak habis nyanyi lagi!” Geram Datul apabila Puan Zaleha merampas mikrofonnya ketika dia sedang seronok menyanyi. Baharu masuk bahagian korus pula itu. Bahagian yang paling Datul suka sekali, yang mencabar kekuatan vokalnya. Hehehe... Berangan sekejap Datul menjadi seorang penyanyi.
“Banyaklah kamu punya tak habis nyanyi. Dah berpuluh buah lagu dah kamu melalak, masih tak puas-puas lagi?” Sambil melilitkan wayar ke badan mikrofon, sempat lagi Puan Zaleha bersoaljawab dengan anak gadisnya yang tampak tidak berpuashati dengan tindakannya itu. Sudah hampir dua jam menyanyi, masih belum puas lagi anak gadisnya itu. Memang bertuah punya anak.
“Ala... Bukannya selalu pun ma. Hujung minggu aje nak rehat-rehatkan minda. Haaaa... Masa ni la nak ‘release tension’, nyanyi-nyanyi, barulah berbaloi-baloi cuti hujung minggu.” Datul membuat gaya seperti iklan di televisyen pula sambil membalas kata-kata Puan Zaleha.
“Amboiii... Kamu tahu kamu punya berbaloi ajelah ye? Habis mama ni tak tahu nak bercuti ke? Penat gegendang telinga mama ni bekerja hari ni kamu tahu tak?”
“Apasal pulak gegendang telinga mama penat?” Aduhai... Apalah malang nasib Puan Zaleha mendapat anak yang loyar buruk sebegini. Ini sudah tentu akibat suka sangat menonton rancangan hiburan lawak jenaka yang banyak disiarkan di televisyen dewasa ini. Jika tidak pun, mungkin diwarisi daripada Puan Zaleha sendiri.
“Yelah, penat dengar kamu menyanyi. Kalau sedap tak apalah, ini tidak, bukan main sumbang lagi! Datul... Datul... Kamu tolong mama berkemas pun lagi bagus daripada kamu melalak tak tentu arah ni.” Jangan harap Datul boleh menang apabila berloyar buruk dengan Puan Jamilah. Jangan tidak tahu, Puan Jamilah itu dahulu lebih hebat lagi loyar buruknya. Jika tidak, masakan arwah suaminya dahulu boleh terpikat kepadanya. Disebabkan dirinya yang suka berjenaka dan tidak mudah ambil hati dengan kata-kata oranglah yang membuatkan arwah suaminya yang memang terkenal dengan sikap seriusnya itu jatuh cinta kepadanya.
“Mama ni... Esok dah nak kena kerja, hari ni bagi peluang la Datul rehat-rehat.” Mimik muka kasihan dipamerkan oleh Datul. Itu tidak lain dan tidak bukan, hendak memancing simpati Puan Zalehalah itu. Anak manjalah katakan.
“Susah bercakap dengan kamu ni, Datul. Esok, bila kamu dah ada anak sendiri, tahulah nasib kamu!” Sebenarnya, Puan Zaleha bukanlah serius sangat dengan kata-katanya itu tadi. Bukan ada apa pun yang perlu dikemaskan lagi. Semuanya sudah Puan Zaleha bereskan, dari mengemas rumah, hinggalah hal masak-memasak. Lagi pun Puan Zaleha bukannya bekerja. Duit pencen arwah suaminya sebagai bekas tentera cukup untuk perbelanjaannya dua beranak. Malahan Datul juga ada menghulurkan sebahagian dari wang gajinya untuk perbelanjaan rumah.
Naik malas Puan Zaleha mahu bercakap lagi dengan anak tunggalnya itu. Umurnya sudah menginjak dua puluh lapan tahun, tetapi perangai manjanya mengalahkan remaja belasan tahun. Tahunya hendak berhibur sahaja. Namun, mujur juga Datul hendak juga bekerja sebaik habis belajar. Buatnya, bekerja pun dia tidak mahu, lagi pening kepala Puan Zaleha. Akhirnya Puan Zaleha berlalu ke dapur. Buat cekodok bilis lagi bagus dari melayan perangai loyar buruk anak gadisnya itu, fikirnya. Kenyang juga perut di waktu petang-petang redup begini.
**********
CEKODOK yang masih panas di dalam piring, dicapainya seketul lalu segera dibawa ke mulut. Sebelum digigit, sempat juga Datul meniup-niup dahulu untuk menyejukkan cekodok itu. Kalau masih panas itu terus sahaja dikunyah, mahu melecur lidahnya nanti. Kalau sudah melecur, siapa yang susah kalau bukan dirinya sendiri. Dan sudah tentu susah dia hendak makan masakan mamanya yang sedap-sedap nanti.
“Datul... Mama tanya kamu sikit, boleh?” Datul mengangkat muka memandang wajah mamanya. Lain macam sahaja riak mamanya, seperti ada perkara penting yang hendak ditanyakan.
“Apa dia ma?”
“Kamu tu, dah ada calon ke belum?” Haishh... Hal jodoh lagi rupanya. Mati-mati Datul ingatkan mamanya ada masalah negara yang besar hendak dibincangkan. Bosan pula asyik subjek yang sama sahaja dibangkitkan. Tetapi subjek yang membosankan itulah yang menjadi subjek kesukaan mamanya. Apa yang boleh Datul lakukan lagi selain melayan sahaja. Itulah satu-satunya mama yang Datul ada. Tiada dua, tiada tiga kerana tidak pernah pula Datul mendengar arwah papanya ada mempunyai isteri lain semasa hayatnya dahulu.
“Calon apa ma?” Sengaja Datul buat-buat tidak tahu. Padahal di dalam kepalanya sudah berkira-kira hendak mengenakan mamanya. Hah! Mamanya kalau sudah terkena, pasti akan senyap sendiri.
“Calon suamilah, takkan ayah tiri pulak!” Datul perasan riak wajah mamanya sedikit berubah. Tentu mamanya panas hati apabila soalannya dijawab dengan soalan juga oleh Datul.
“Calon suami tu tak adalah ma, kalau mama nak calon ayah tiri, memang ada yang Datul berkenan dah ma.” Hah! Hajat hendak mengenakan si Datul, akhirnya Puan Zaleha sendiri yang terkena. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Tersengih Datul memandang wajah cemberut mamanya itu.
Datul menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis yang terbit dari air kopi yang masih panas itu mengeluarkan aroma yang sangat wangi. Kopi jenama apalah yang mamanya gunakan agaknya, punya rasa yang sedap dan bau yang sangat wangi. Jangan-jangan mama gunakan kopi cap Kapal Api, sekali minum, boleh lepas sampai ke bulan tanpa perlu menaiki roket. Tersengih-sengih Datul mengingatkan iklan itu yang pernah disiarkan di televisyen satu ketika dahulu.
“Haaa... Yang kamu tersengih-sengih ni kenapa pulak Datul? Ingatkan calon suami ke?” Cawan berisi air kopi yang dihulurkan oleh Datul segera diambil oleh Puan Zaleha, lalu diletakkan di hadapannya. Matanya masih tidak lepas dari wajah anak gadisnya itu. Cantik. Anak gadisnya itu berkulit putih, seperti arwah suaminya dahulu. Rambutnya ikal mayang dan bermata bundar. Mustahil tiada lelaki yang tidak terpikat dengan anak gadisnya itu.
“Hishhh mama ni. Datul mana ada masa nak fikir pasal calon suami! Dah la ma, tak nak cerita pasal tu lagi. Ada jodoh nanti, kawin la Datul. Mama janganlah risau.” Melihatkan reaksi anak gadisnya yang seakan tidak senang dengan topik yang dibincangkan, Puan Zaleha tidak lagi meneruskan perbualan. Cawan yang berada di hadapannya dibawa ke mulut. Diminum beberapa teguk isinya sebelum diletakkan semula ke atas meja.
Diperhatikan wajah anak gadisnya yang leka menyuap cekodok ke dalam mulut. Nampak berselera sungguh. Puan Zaleha memang bersyukur dengan sikap anak gadisnya yang tidak memilih makanan. Apa sahaja yang dimasak oleh Puan Zaleha, semuanya sedap bagi Datul. Cuma satu perkara itu sahaja yang Puan Zaleha terkilankan. Tentang jodoh anak gadisnya itu.
Susah sungguh hendak berbincang tentang jodoh dengan Datul. Puan Zaleha tahu, pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Datul daripadanya. Entah-entah anak gadisnya itu sudah punya teman lelaki namun dirahsiakan daripadanya. Atau barangkali Datul menunggu seseorang yang dirasakannya sangat istimewa dalam hidupnya.
**********
DATUL berbaring-baring di atas tilam di dalam biliknya. Usai makan malam tadi, Datul sudah meminta izin Puan Zaleha hendak masuk tidur lebih awal. Alasannya, takut tidak tersedar pagi nanti. Maklumlah, sudah dua hari bercuti. Bimbang juga jika otak masih memikirkan esok juga adalah hari cuti. Alamatnya, cuti kecemasanlah Datul nanti.
Suram suasana di bilik Datul. Hanya diterangi sedikit imbasan cahaya lampu jalan yang mencuri-curi masuk melalui cermin tingkap yang terselak langsirnya. Sungguh, ia tidak langsung mampu membantu Datul melelapkan matanya malam ini. Perbualan dengan mamanya petang tadi, kembali berlegar-legar di fikirannya.
Sudah acapkali Datul mengelak setiap kali mamanya mula menyentuh tentang isu jodoh. Bukan Datul tidak mahu berumahtangga, memberikan cucu kepada mamanya, namun sudah tersurat jodohnya lambat sampai. Datul redha dengan ketentuan Ilahi. Lagi pun tiada sesiapa dapat menggantikan tempat tertinggi di dalam hati Datul yang telah terlebih dahulu dipenuhi oleh satu nama yang pemiliknya sudah lama tidak Datul temui.
Datul mengeluarkan sebuah album lama dari dalam laci meja soleknya. Diselak helaian demi helaian. Bibirnya mengukir senyum melihat gambar-gambar dirinya bersama rakan-rakan sekolah yang dirakamkan ketika sambutan majlis Hari Guru. Ketika itu, Datul dan Fazli mengambil bahagian dalam satu persembahan bersama. Wajah Fazli yang sedang tersenyum manis di dalam gambar direnung lama. Tanpa sedar, fikirannya menerawang ke masa silam. Kembali ke zaman persekolahan yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan.
***********
“DATUL... Datul...” Datul segera menoleh ke arah suara yang memanggil. Suara yang sangat dikenalinya. Entah apa lagilah yang dikehendaki oleh budak lelaki seorang ini daripadanya. Semenjak mereka membuat persembahan bersama ketika sambutan Hari Guru, tidak habis-habis Fazli mengekorinya. Naik rimas Datul hendak melayannya. Ada-ada sahaja yang hendak ditanya. Ada-ada sahaja yang hendak dicerita. Kadang-kadang cerita yang tiada kaitan dengan diri Datul pun, heboh budak lelaki seorang ini hendak berkongsi.
“Apa benda? Lecehlah kau ni Fazli. Asyik nak berkepit dengan aku aje. Cuba kau pergi campur dengan Tajul ke, dengan si Napi tu ke. Ini tidak, mana aku pergi, kat situ jugak kau nak pergi.”
“Ala Datul. Aku suka kawan dengan kau. Kau baik, tak macam diorang tu. Diorang tu suka buli aku.”
“Buat fitnah saja kerja kau ni Fazli. Tak pernah pun aku nampak diorang buli kau!”
“Memanglah kau tak pernah nampak, Datul. Depan kau, diorang tunjuk baik. Belakang kau, diorang buli aku.”
“Dahlah. Apa benda yang kau nak cerita pula kali ni? Cepat, telinga aku dah bersedia nak dengar ni.”
“Aku malulah nak cakap...”
“Kalau malu, tak payah cakap!”
“Tapi...” Belum sempat Fazli menghabiskan kata, Datul sudah berlari meninggalkannya sendirian di situ. Fazli hanya mampu memandang langkah gadis itu dengan pandangan penuh sayu.
“Bye!!” Tanpa sedar, laungan selamat tinggal yang kedengaran dari kejauhan itulah rupanya yang menjadi kalimah terakhir Datul buat Fazli.
***********
“KORANG ada nampak Fazli tak?” Meluncur juga pertanyaan itu daripada mulut Datul akhirnya. Puas juga Datul menahan gejolak rasa ingin tahu yang berpusaran di dalam fikirannya. Semenjak masuk ke dalam kawasan sekolah, jangankan bayang, malahan kelibat Fazli pun langsung tidak kelihatan. Sakitkah dia? Atau ada apa-apa perkara burukkah yang terjadi kepadanya? Selalunya ada sahaja budak lelaki yang seorang itu di sekitarnya.
“Kau tak tahu ke Datul? Atau... Kau saja buat-buat tak tahu?” Soalan yang ditanya, soalan pula yang diberi sebagai jawapan. Pelik bercampur geram dirasakan oleh Datul. Betullah si Napi ini kurang berfikir. Jika Datul tahu, tidak perlu ditanya lagi soalan itu kepada mereka.
“Kalau aku tahu, apa gunanya aku bersusah-payah mengeluarkan suara aku yang lemak merdu ni bertanya kat korang? Jadi, eloklah kiranya tuan hamba menerangkan kepada hamba hal yang sebenarnya.” Hah! Sudah keluar loyar buruk gadis genit seorang ini. Bahasa pertuturan sewaktu di Zaman Kesultanan Melaka pula yang digunakannya. Itu sudah pasti Datul sudah mula masuk mood gila-gilanya. Namun, mood gila-gilanya itu terpadam terus setelah mendengar kenyataan yang dibentangkan oleh Napi di hadapannya.
“Fazli dah pindah. Minggu lepas tu minggu terakhir dia sekolah di sini. Ayah dia ditukarkan ke Kedah. Semua orang dah tahu!”
“Dia tak cakap dengan aku pun.” Lemah suara Datul. Lain sungguh perasaannya mendengar baris ayat yang keluar daripada mulut Napi. Tanpa kata, Datul berlalu meninggalkan Napi, berlalu membawa hatinya yang tercalar.
‘Fazli... Kenapa kau pergi tak beritahu aku? Kenapa mesti aku orang yang terakhir tahu berita sedih ni?’
Bunyi ketukan di pintu bilik berselang-seli dengan suara Puan Zaleha, menerbangkan kenangan Datul ketika zaman persekolahan dahulu. Entah apa lagi yang mamanya itu mahukan daripadanya. Jika hendak berbicara soal jodoh, sudah jelas terang lagi bersuluh Datul tidak berminat. Malas-malas Datul turun dari katil. Pintu bilik yang berkunci dibuka selaknya. Terjengul wajah mamanya di muka pintu bersama sekeping surat.
“Ini surat kamu. Rabu lepas mama terima tapi maaflah, mama terlupa nak beri pada kamu.”
“Rabu lepas? Lama dah tu ma.”
“Alah, tak lama manalah. Hari ni baru Ahad. Bukalah. Mama teringin juga nak tahu isinya.”
“Esok ajelah Datul buka surat ni ma. Datul ngantuk ni, nak tidur dulu. Esok Datul ada kursus motivasi, kena pergi awal.”
Datul hanya memandang langkah Puan Zaleha yang makin lama makin jauh meninggalkan dirinya terkulat-kulat di muka pintu. Rasa bersalah menerjah hatinya. Sedar mamanya itu terasa hati dengan jawapannya tadi. Hai Datul, berdosa jika seorang anak menyakitkan hati ibunya. Apatah lagi jika sampai mengalir airmata si ibu. Surat di tangan dipandang lagi. Tiada keinginan langsung hatinya untuk melihat isi surat itu ketika ini namun digagahi juga untuk membukanya. Ternyata tiada apa yang menarik berkenaan surat itu.
Datul kembali ke katil. Tubuh direbahkan di atas tilam. Dengan tangan disilangkan di atas dahi, terbayang lagi wajah mamanya sebentar tadi. Rasa bersalah semakin kuat terasa. Akhirnya, Datul bangun mendapatkan mamanya. Lebih baik memohon kemaafan mamanya dahulu sebelum tidur. Jika tidak, andainya dia tidur malam ini dan tidak bangun-bangun lagi buat selamanya, dosa menyakitkan hati mamanya akan dibawa bersama hingga ke hari kebangkitan semula.
**********
DEWAN yang menempatkan peserta kursus motivasi kecemerlangan disertai oleh Datul masih belum lagi dipenuhi oleh para peserta. Masih banyak lagi kerusi yang kosong termasuklah yang berada di sebelah tempat duduk Datul. Sambil menunggu peserta memenuhi dewan, Datul sempat melemparkan pandangan ke seluruh pelusuk dewan. Tiba-tiba matanya tertancap pada seorang peserta lelaki yang baharu sahaja memboloskan diri di pintu.
‘Wow, kacaknya dia tapi wajahnya macam pernah nampaklah!’
Datul segera mengalihkan pandangannya apabila menyedari lelaki tersebut memandang ke arahnya sambil melemparkan senyum. Secara automatik, jemarinya membetul-betulkan rambutnya yang sudah siap sedia kemas itu. Itulah sikap Datul yang tidak pernah berubah semenjak sekolah hingga kini.
Datul menumpukan pandangannya pada papan putih yang terdapat di hadapan dewan. Namun begitu, hanya pandangannya sahaja di situ, tidak fikirannya. Datul masih lagi terfikirkan lelaki tadi. Ulas senyumnya seperti pernah dilihat sebelum ini tetapi tidak dapat Datul pastikan di mana.
Bunyi derap tapak kasut yang semakin mendekat menambahkan debar di dadanya. Haish... janganlah lelaki kacak itu duduk di sebelah Datul. Jika ya, tentu tidak keruan Datul jadinya nanti. Sudahlah hati bergetar terpandangkan raut wajah lelaki itu yang cukup kacak dirasakannya. Apatah lagi dengan senyumannya yang cukup manis. Argh! Datul sudah terpikat.
“Hai... Ada orang duduk di sini?”
“Ermm... Ha.. Hai... Tak.. Tak ada.” Haish Datul, kenapa pula tiba-tiba sahaja menjadi gagap. Janganlah menjatuhkan saham sendiri, bentak hatinya.
“Kalau macam tu, boleh saya duduk di sini?”
“Boleh! Boleh! Silakan.”
“Saya Fazli. Cik?” Namanya sama seperti pemilik cinta yang ada di dalam hati Datul. Diakah orangnya? Kalau benar dia, Datul adalah orang yang paling gembira. Bertemu cinta pertamanya semula.
“Saya Datul, Syaidatul Akmal”
“Syaidatul Akmal? Dulu sekolah di Seri Mahkota?” Datul memandang tepat ke wajah lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Lelaki itu juga tahu dia bersekolah di Seri Mahkota. Diakah?
“Ya, kenapa?”
“Awak tak ingat saya lagi?” Datul mengamati wajah Fazli. Tahi lalat yang berada di sudut bibir lelaki itu mengingatkan Datul kepada Fazli yang sama bersekolah dengannya di Seri Mahkota dahulu. Mungkinkah lelaki yang berada di sebelahnya ini adalah Fazli yang itu?
“Jangan kata awak Fazli Skema yang selalu kena buli dengan Napi tu...” Melihat senyuman Fazli, sahlah jangkaannya betul. Patutlah hatinya berdebar tatkala pandangan mata mereka bertaut.
“Haaaa... Betullah tu. Sayalah Fazli yang selalu kena buli tu. How’s life? Sudah berpunya?” Gembira Fazli apabila Datul dapat mengingatinya semula. Harap-harap jawapan pada persoalannya nanti adalah sesuatu yang menggembirakan.
“Siapalah yang sudi nak berkawan dengan saya ni awak...” Bertambah mekar senyum Fazli. Ada peluang untuknya mengisi ruang kosong di hati gadis itu, fikirnya. Namun, dia tidak menyedari yang ruang kosong itu sudah lama diisinya.
‘Kalaulah awak tahu Fazli yang sesungguhnya dalam hati saya ini hanya ada nama awak sahaja dari dahulu hinggalah sekarang. Tidak pernah sedetik pun saya melupakan awak, melupakan kenangan sewaktu kita bersama di alam persekolahan kita. Kalaulah awak tahu betapa hati saya merintih kehilangan awak dahulu.’ Namun kata-kata itu hanya mampu terluah di dalam hati Datul sahaja.
“Jadi awak masih kosonglah ni?” Di dalam hati Fazli sudah rasa kegembiraan yang tiada tolok bandingnya. Ternyata tidak sia-sia dia menolak segala cinta yang dihulurkan kepadanya semenjak berpisah dengan Datul. Begitu juga dengan calon yang dicadangkan oleh kedua orangtuanya. Semuanya ditolak gara-gara di dalam hatinya hanya ada cinta untuk Datul sahaja.
“A’ah. Awak pula?”
“Oh! Saya bahagia sekarang. Cuba awak tengok ni... Comel tak?” Sekeping gambar kanak-kanak lelaki yang berada di atas dukungan sambil memaut erat lehernya dari belakang yang ditunjukkan kepada Datul. Gambar yang diambil ketika dia melawat abang sulungnya sekeluarga yang tinggal di luar negara tahun lalu. Itulah kebahagiaannya selain kenangan bersama Datul dahulu. Nampaknya tidak sia-sia dia menunjukkan gambar itu. Perubahan riak wajah Datul menampakkan ada sesuatu. Adakah Datul kecewa?
“Comel. Tahniah sebab dah menjadi seorang bapa.” Senyuman yang terbit di ulas bibir Fazli umpama belati yang menghiris lumat hati Datul. Sungguh Datul kecewa. Riak wajah Fazli menggambarkan kebahagiaan yang kini sedang dikecapinya. Berlainan dengan Datul yang masih lagi belum mampu membuka hatinya untuk didiami oleh insan lain.
“Eh, ini bukan anak saya la. Ini Pejal, anak abang saya. Dia memang mesra dengan saya, maklumlah, saya ni seorang aje Pak Usunya yang masih bujang.” Sebelah kening Fazli yang sengaja dijungkitkan bersama senyuman yang terukir mendebarkan dada Datul. Ketara sangatkah riak kecewa di wajahnya tadi? Ah! Malunya.
Perbualan mereka terhenti ketika penceramah memulakan sesinya. Seluruh perhatian ditumpukan kepada penceramah di hadapan dewan hingga usai kursus tersebut dijalankan. Dan keduanya terpaksa berpisah lagi namun pertemuan mereka tidak berakhir di situ sahaja. Pertemuan demi pertemuan berlanjutan hingga akhirnya dua jiwa yang punya satu rasa yang sama tenggelam dalam hangatnya gelora cinta.
**********
“MA, kalau Datul cakap sesuatu mama jangan marah ye?” Puas sudah Datul berfikir bagaimana cara hendak bercerita dengan mamanya tentang permintaan Fazli siang tadi. Rasa seperti terlalu tergesa-gesa sedangkan mereka baharu sahaja bertemu beberapa minggu bertemu semula.
“Cakaplah, tapi mama tak dapat janji tak marah. Kalau perkara tu tak elok, terpaksalah mama marah juga.” Bimbang juga jika tiba-tiba anak gadisnya itu mengaku ada melakukan perbuatan yang melanggar hukum agama pula. Jika ada, tidak mungkin Puan Zaleha akan mendiamkan sahaja. Walaupun dia tidak terlalu menekankan aspek agama terhadap anak gadisnya itu, namun untuk membiarkan Datul melakukan sesuatu yang di luar batasan, tidak baginya.
“Yelah. Sebenarnya ma, baru-baru ni Datul terjumpa semula kawan lama Datul masa sekolah dulu.” Wajah mamanya kelihatan serius. Takut pula Datul hendak meneruskan ceritanya.
“Jadi?” Puan Zaleha menyampuk apabila dilihatnya Datul terdiam.
“Dulu dia ada nak cakap sesuatu dengan Datul tapi Datul tak mahu dengar. Lepas tu dia pindah.”
“Habis tu?” Hairan pula Puan Zaleha melihat cara Datul bercerita kali ini. Terhenti-henti. Tidak seperti selalu. Biasanya setiap kali bercerita, lancar sahaja mulutnya berkata-kata.
“Rupa-rupanya dulu dia nak cakap yang dia sukakan Datul.” Ceria wajah Datul apabila menyebut perkataan ‘suka’ itu.
“Datul pula macam mana?” Puan Zaleha dapat mengagak anak gadisnya turut menyukai lelaki itu. Dari riak wajahnya yang ceria, Puan Zaleha sudah dapat meneka. Puan Zaleha lebih dahulu makan garam, sekilas ikan di air, sudah dapat dikesan yang mana jantan dan yang mana betina.
“Datul pun sukakan dia. Masa sekolah tu Datul rimas dengan dia, tapi lepas dapat tahu dia pindah, baru Datul rasa kehilangan.” Ukiran senyum terbit di bibir Puan Zaleha mendengar kata-kata Datul. Tidak lama lagi bermenantulah Puan Zaleha. Sudah lama sangat Puan Zaleha teringin bercucu.
“Jadi, apa masalahnya? Dia dah kawin? Atau Datul dah suka orang lain?”
“Tak la ma. Datul hanya suka dia dari dulu sampai sekarang. Ini cinta pertama Datul ni ma.”
“Eloklah tu. Apa pula yang jadi masalahnya?”
“Masalahnya, kami baru aje terjumpa setelah bertahun-tahun terpisah. Datul memang betul-betul cintakan dia, dan dia pun nampaknya macam betul-betul cintakan Datul tapi Datul tak pasti ma. Datul tak tahu betul ke tidak dia cintakan Datul, nak hidup bersama Datul, dapat menjaga dan melindungi Datul sampai akhir hayat. Datul tak dapat nak buat keputusan. Ma... Dia ajak Datul kawin!” Betul sangkaan Puan Zaleha. Gembira sungguh mendengar kata-kata Datul. Dipeluk erat anak gadisnya itu seketika.
“Datul buatlah keputusan mengikut kata hati Datul, cuma satu aje mama nak pesan.”
“Apa dia ma?”
“Sebelum Datul buat keputusan, Datul minta dulu petunjuk Allah. Buat solat istikharah beberapa kali. Insyaallah, jika kita betul-betul memohon kepadaNya untuk menunjukkan kepada kita pilihan yang terbaik untuk kita, Dia tak akan menghampakan kita.”
“Baiklah ma, nanti Datul buat.”
“Tapi mama harap dapat dengar keputusan yang baik la. Hehe... Mama dah lama teringin nak main-main dengan cucu.” Ucapan bernada gurauan tetapi mempunyai maksud yang benar-benar penuh harapan diluahkan oleh Puan Zaleha.
“Ma...” Merona merah wajah Datul diusik mamanya. Belum apa-apa sudah menyebut tentang bermain dengan cucu mamanya yang seorang ini. Terasa malu pula Datul.
**********
“YA ALLAH, pemilik seluruh alam dan sekalian isinya, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan apa yang tidak aku ketahui dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan setiap sesuatu yang ghaib.
Ya Allah, tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, aku bermohon padaMu, ampunkanlah segala dosaku, kedua ibubapaku, kaum keluargaku dan seluruh umat Islam di seluruh dunia sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Ya Allah, tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, aku memohon kepadamu, sekiranya lelaki bernama Fazli ini adalah tercipta sebagai jodoh yang baik untukku, untuk agamaku, kehidupanku dan akibat persoalanku, baik di masa kini atau di masa akan datang, maka berikanlah aku petunjuknya dan permudahkanlah aku membuat keputusan serta kurniakanlah keberkatan kepadaku dalam menempuh kehidupan bersamanya. Tetapi sekiranya lelaki bernama Fazli ini bukan tercipta sebagai jodoh yang baik untukku, untuk agamaku, kehidupan dan akibat persoalanku, baik di masa kini atau masa akan datang, maka palingkanlah dia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya, lalu takdirkanlah yang baik-baik sahaja untukku di mana sahaja adanya, kemudian kurniakanlah keredhaanMu padaku dengan apa-apa yang baik itu.”
Usai berdoa, Datul merebahkan diri di atas katil. Sudah tiga malam Datul melakukan solat Istikharah seperti yang disarankan oleh Puan Zaleha kepadanya lewat perbualan minggu lepas. Dan sudah dua kali dia didatangi mimpi kehadiran seorang lelaki yang berpotongan seperti Fazli. Mungkinkah benar Fazli adalah jodoh yang telah ditetapkan kepadanya? Datul ingin melihat pula petunjuk yang akan diberi sekiranya ada untuk permintaan kali ketiganya ini kepada Allah. Jika petunjuk yang sama, maka Datul akan membuat keputusan yang menggembirakan semua orang.
**********
“AWAK, kalau benar awak ikhlas hendak memperisterikan saya, bawalah keluarga awak jumpa mama saya. Jika mama saya merestui, saya akan terima lamaran awak.” Datul tertunduk seusai menghabiskan kata-kata yang membuatkan dia bertemu Fazli hari ini. Terasa ringan kepalanya selepas berjaya meluahkannya.
“Betul ni? Awak tak main-main dengan saya?” Masih lagi Fazli seperti tidak percaya. Benarkah apa yang baharu sahaja menerobos pendengarannya sebentar tadi? Jika benar, sejuta syukur dipanjatkan kepada Ilahi.
“Saya serius ni. Memanglah saya ni gila-gila sikit, tapi tentang hidup, saya tak akan main-main.”
“Syukur kepada Allah! Terima kasih, sayang. Betullah petunjuk yang saya dapat lepas lakukan solat istikharah. Memang awak yang ditakdirkan sebagai jodoh saya.” Fazli meraup wajahnya berkali-kali. Dia benar-benar gembira.
“Awak pun buat solat istikharah juga?” Datul seperti tidak percaya lelaki itu juga sepertinya, melakukan solat istikharah untuk memohon petunjuk. Mungkin benar jodoh mereka ditakdirkan untuk bersama.
“Iyelah sayang, awak ingat persoalan masa depan saya, saya nak buat main-main aje? Hehe.. Hujung minggu nanti, saya bawa keluarga saya jumpa mama awak ye, sayang. Tak sabar saya nak jumpa bakal mertua. Lagi tak sabar nak miliki anak bakal mak mertua saya tu.” Berkerut wajah Fazli apabila secara spontan jemari Datul sudah hinggap di lengannya bersama sebuah cubitan yang dihadiahkan oleh gadis itu.
“Isk, gatal!” Cemberut wajah Datul namun dia sedikit termalu apabila teringatkan tindakan spontannya mencubit Fazli. Mujur juga Fazli memakai kemeja berlengan panjang, maka tidak tersentuh kulit mereka.
**********
SEAWAL pagi Puan Zaleha sudah membuat persiapan untuk menyambut kehadiran tetamu istimewa. Abang sulungnya yang tinggal di kampung sejak semalam sudah tiba di rumahnya. Walaupun keluarga Fazli datang sekadar untuk merisik dan bertanya sahaja, Puan Zaleha mengharapkan bantuan abang sulungnya itu untuk mewakili dirinya dan Datul. Jika arwah suaminya masih hidup, tidak perlulah Puan Zaleha menyusahkan abang sulungnya itu.
Tetamu dijangka sampai ketika waktu makan tengahari nanti. Pagi-pagi lagi Datul sudah dikerah ke pasar membeli barangan basah untuk dijadikan juadah makan tengahari. Hari ini Puan Zaleha hendak menyediakan masakan kampung. Masak lemak cili api daging bersama kentang, ayam masak merah, kerabu mangga, sayur kangkung goreng belacan dan ulam-ulaman. Biar terbuka selera tetamunya nanti. Datul juga dikerah memasak bersamanya sebagai latihan. Mudah-mudahan satu-satunya anak daranya itu akan diterima dengan baik setelah memasuki keluarga Fazli nanti.
Juadah yang sudah siap terhidang di atas meja ditutup elok dengan tudung saji supaya tidak dihinggapi lalat. Kebersihan harus dijaga. Bukankah di dalam Islam amat menitikberatkan tentang kebersihan. Bukan sahaja tubuh badan, makanan yang disediakan dan juga persekitaran, malahan hati dan jiwa juga harus dijaga kebersihannya. Puan Zaleha percaya, bermula dengan rezeki yang diterima, makanan yang dimakan dan amalan yang dilakukan, dapat memberikan kebersihan hati dan jiwa.
Datul sudah siap berhias. Walaupun berpakaian ringkas namun kelihatan cantik dan kemas. Puan Zaleha berpuas hati melihat penampilan anak gadisnya yang lengkap bertudung. Mungkin sudah sampai masa anak gadisnya berubah. Sebelum ini puas juga Puan Zaleha menyuruh Datul memakai tudung tetapi ada-ada sahaja alasannya untuk mengelak. Kali ini, Datul sendiri yang memakainya tanpa disuruh. Cantik!
“Cantiknya anak mama ni bertudung. Kan betul cakap mama dulu, anak mama bila bertudung nampak lebih cantik.”
“Ma... Datul bertudung bukan sebab nak cantik la.”
“Mama tahu. Datul bertudung sebab nak jaga aurat kan? Sebelum ni lagi mama dah cakap kan, menutup aurat itu dituntut oleh agama kita. Baguslah kalau anak mama dah sedar keperluan bertudung. Haaaa... Itu pun tetamu kita dah sampai. Pergi ke dapur. Nanti bila mama panggil, baru keluar.” Sengaja Puan Zaleha menyuruh Datul ke dapur. Tidak manis pula jika anak gadisnya itu ada sekali bersamanya menyambut bakal suaminya bersama keluarga yang datang. Elok anak gadisnya itu keluar bersama air yang sudah siap dibancuh, lebih manis nampaknya.
“Baik ma.” Lambat-lambat Datul berlalu ke dapur. Namun sempat dia berdiri di sebalik dinding yang membahagikan ruang tamu dan ruang dapur. Teringin juga Datul melihat dahulu keluarga Fazli.
**********
DATUL mengintai tetamu yang datang dari belakang dinding. Kelihatan mamanya dan Pak Long Zaidi mempelawa tetamu masuk ke rumah. Hatinya tercuit tatkala melihat seorang perempuan yang kelihatan cantik beriringan masuk bersama Fazli. Jika hendak dikatakan adiknya, sebelum ini Fazli ada menyatakan dirinya anak bongsu. Lagi pun, Fazli hanya dua beradik, abangnya yang menetap di luar negara dan Fazli sendiri. Siapa pula gadis itu? Hati Datul sudah berbolak-balik.
Sedang hatinya tertanya-tanya, kedengaran suara mamanya memanggil namanya. Ditilik seketika penampilan dirinya sebelum keluar bertemu keluarga Fazli bersama sedulang air buat tetamu membasah tekak. Begitu berhati-hati Datul melangkah. Ditambah lagi dengan debaran di dalam dadanya yang semakin menggila. Datul harus menjaga reputasinya di hadapan keluarga Fazli.
Dimaniskan wajah apabila tiba di ruang tamu di mana keluarga Fazli sedang duduk berbincang dengan Pak Long Zaidi dan mamanya. Di sofa berangkai dua pula kelihatan gadis tadi duduk di sebelah Fazli. Apabila pandangan mereka bertemu, sengaja gadis itu mendekatkan tubuhnya kepada Fazli. Hati Datul sedikit membara apabila Fazli bagaikan tidak peduli dengan perbuatan gadis itu. Siapakah dia? Arghhh... Siapakah gadis itu?
Air teh ‘o’ yang sudah siap dituang ke dalam cawan, dihulurkan kepada semua tetamu. Apabila tiba kepada Fazli, gadis yang masih belum diperkenalkan kepada Datul itu pula yang mencapainya sebelum diberi kepada Fazli. Dan lelaki itu, dengan tanpa rasa bersalah terus sahaja menghirup air yang dihulurkan kepadanya. Bengkak hati Datul melihat kemesraan itu. Namun sedaya upaya disembunyikan riak cemburunya.
Usai berkenalan dan berbincang tentang hubungan Fazli dan Datul, kesemua tetamu menjamah hidangan yang disediakan. Sekali lagi Datul diserang rasa cemburu apabila gadis bernama Ros yang diperkenalkan sebagai anak angkat di dalam keluarga Fazli itu melayan Fazli di meja makan. Di dalam hati Datul timbul perasaan curiga tentang hubungan mereka. Benarkah gadis itu sekadar adik angkat kepada Fazli atau mereka ada hubungan istimewa. Pelik pula Datul lihat cara gadis itu memandangnya, seperti hendak memberitahu bahawa Datul sudah mengganggu haknya.
**********
MAJLIS pertunangan berlangsung dengan meriah sebulan selepas pertemuan dua keluarga. Datul bahagia. Begitu juga dengan Fazli namun panas yang disangka sampai ke petang, rupanya ditimpa hujan di tengahari. Kebahagiaan yang tercipta seketika cuma. Ada hati yang cemburu dengan kebahagiaan mereka. Dan sesuatu yang akhirnya membuat hati keduanya terluka terjadi tanpa diduga.
“Abang, tolong Ros bang.” Ros meluru mendakap tubuh Fazli sejurus pintu dibuka. Terkejut Fazli apabila adik angkatnya itu begitu berani bertindak begitu. Segera Fazli menjauh sedikit sebaik berjaya meleraikan pelukan gadis itu.
“Kenapa ni Ros? Apa yang dah berlaku?” Tubuh Ros kelihatan sedikit terdedah dengan pakaian yang terkoyak di sini-sana. Wajah gadis itu juga kelihatan seperti orang takut. Gadis itu duduk di sofa sambil menangis.
“Ad... Ada o... Ada orang cuba nak rogol Ros masa Ros nak datang sini tadi. Nasib baik orang tu tak sempat buat apa-apa, Ros dapat lari.” Selesai berkata-kata, Ros menyambung tangisnya.
“Kenapa Ros datang sini. Abang tinggal sorang aje kat rumah ni. Mama dan papa tak ada di rumah. Nanti kalau ap...”
Tok! Tok! Tok!
Belum sempat Fazli menghabiskan ayat, bunyi ketukan di pintu menghentikan percakapannya. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Kalau mama, tak mungkin akan mengetuk pintu pula. Mama ada kuncinya sendiri. Bergegas Fazli ke pintu utama. Berubah riak wajahnya apabila wajah enam orang lelaki berkopiah berdiri di hadapan pintu.
Lelaki berkopiah yang dijemput masuk ke rumah hanya menggeleng melihatkan keadaan pakaian Ros yang duduk di sofa. Tidak pula gadis itu menutup tubuhnya yang terdedah. Hanya membiarkan sahaja lelaki-lelaki berkopiah itu memandangnya. Ketika lelaki berkopiah itu menyebutkan tuduhan, tidak pula gadis itu mahu menafikan walaupun puas Fazli merayu dia menceritakan kisah sebenar. Dan sekali lagi wajah Fazli berubah pucat ketika wajah mama dan papa muncul di hadapan pintu. Akhirnya, di luar kerelaannya, Fazli terpaksa menikahi adik angkatnya itu untuk menutup malu keluarga.
**********
DATUL menangis di dalam bilik sendirian. Perut yang terasa lapar tidak dihiraukan. Dibiarkan sahaja isi perutnya menjerit-jerit meminta makanan. Hatinya yang terluka perlu dirawat dahulu. Perkhabaran yang baharu sahaja diterima daripada keluarga Fazli sebentar tadi membuatkan jiwanya kacau. Fazli terpaksa menikahi adik angkatnya setelah ditangkap khalwat. Kenapa Datul harus menerima nasib sebegini. Datul kecewa. Kejam. Fazli memang kejam, ini adalah cinta Datul yang pertama. Dan cintanya terputus di tengah jalan setelah dikhianati.
Usai menangis, Datul ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dan dengan hati yang sedih, Datul melakukan solat taubat. Walaupun disarankan mengadakan solat taubat di sepertiga malam, namun Datul melakukan juga ketika malam masih muda. Usai, Datul menunaikan pula solat isyak. Jiwanya gundah dan lebih baik dia meluahkan kesedihannya kepada Allah. Datul berdoa, memohon kepada Allah memberikannya ketenangan dan kekuatan dalam menempuhi dugaan yang diterima.
Deringan telefon bimbit mengejutkan Datul dari keasyikan memohon keredhaan Allah. Telekung yang tersarung di tubuhnya, dibuka dan disangkutkan di penyidai. Telefon bimbit yang masih belum penat berbunyi segera dicapai. Membulat matanya melihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Fazli! Entah apa lagi yang lelaki itu hendak. Tidak puaskah hatinya melukakan hati Datul. Tidak cukupkah lagi kekecewaan yang telah diberikan.
Malas-malas Datul menjawab panggilan. Walau di dalam hatinya kecewa, namun rasa cintanya masih tebal buat lelaki itu. Walaupun lelaki itu kejam namun ini cintanya yang pertama. Tidak mungkin dengan mudahnya dia dapat melupakan dan menanam kebencian terhadap lelaki yang dicintainya semenjak zaman persekolahan lagi.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam. Sayang, dengar penjelasan abang!” Sudah ber’abang’ pula Fazli. Datul dapat merasakan cinta lelaki itu kukuh buatnya. Tetapi, kenapa sampai boleh ditangkap khalwat hingga menyebabkan pertunangan mereka terpaksa diputuskan?
“Apa lagi yang awak nak jelaskan? Cepatlah cakap, saya nak tidur ni. Esok nak kerja.”
“Sayang, percaya cakap abang. Abang tak buat apa-apa dengan Ros. Dia hampir dirogol masa nak datang rumah abang dan masa abang nak suruh dia balik, rumah abang diserbu pencegah maksiat. Abang pun tak tahu macam mana boleh jadi macam tu. Bila abang minta Ros ceritakan hal sebenar, dia taknak. Dia asyik menangis aje. Mama dan papa pula balik dan nampak kejadian tu, dengan pakaian Ros yang terkoyak, mama paksa abang bertanggungjawab.”
“Entahlah awak, saya tak tahu nak percaya atau tidak cakap awak. Apa yang saya tahu, awak kejam. Ini cinta saya yang pertama dan awak dah hancurkannya. Sudahlah, semoga awak berbahagia. Assalamualaikum.” Belum sempat Fazli menjawab, Datul pantas memutuskan talian. Cerita Fazli tentang kejadian yang menyebabkan hatinya dilukai itu berlegar-legar di dalam kepalanya. Hendak percaya atau pun tidak.
**********
“BERHENTI!” Suara seorang lelaki yang kedengaran dari luar pintu rumah mengejutkan semua orang yang sedang tekun menyaksikan majlis pernikahan Fazli dan Ros. Terhenti lafaz akad yang sedang diucapkan oleh Fazli. Semua mata tertumpu kepada lelaki itu.
“Kenapa ni? Awak ni siapa?” Papa Fazli meluru ke pintu rumah. Terkejut juga apabila perjalanan majlis tiba-tiba sahaja diganggu.
“Maafkan saya, pakcik. Saya datang ni sebenarnya nak berterus-terang dengan keluarga Ros.” Mendengarkan tujuan kedatangan lelaki itu berkaitan dengan Ros, segera Fazli bangkit dari silanya. Pintu rumah segera dituju. Disarung selipar yang ada di muka pintu. Lengan lelaki itu ditarik menjauh sedikit daripada pintu.
Mereka duduk di gazebo. Papa Fazli turut berada di situ. Selepas lelaki itu menerangkan hal sebenar yang berlaku di antara dia dan Ros, Fazli naik berang. Dicekak kolar baju lelaki itu namun sempat dileraikan oleh papanya sebelum kepalan tangannya sampai ke wajah lelaki itu. Tindakan lelaki itu meninggalkan Ros yang sudah mengandungkan anaknya menyebabkan Fazli terpaksa menanggung akibatnya. Pertunangannya terputus di tengah jalan akibat tindakan Ros memerangkapnya demi menyelamatkan diri dari malu.
“Papa, sekarang papa dah dengar kan cerita sebenarnya. Fazli taknak teruskan pernikahan ni. Biarlah Amir yang menggantikan tempat Fazli. Sekarang, Fazli nak pergi ke rumah Datul. Fazli nak sambung semula pertunangan kami.” Papa Fazli tidak mampu menghalang kehendak Fazli. Tahu salahnya kerana mendesak Fazli memikul tanggungjawab yang ternyata bukan perbuatannya.
“Fazli, selesai majlis nanti kita pergi rumah Datul ye nak. Tapi sekarang, jom kita teruskan majlis. Bawa Amir ke dalam. Biar kita nikahkan Amir dengan Ros.” Mereka bertiga meninggalkan gazebo, masuk ke rumah dan semua yang ada di dalam rumah merasa pelik apabila bukan Fazli yang duduk di hadapan kadi tetapi digantikan dengan lelaki yang tidak mereka kenali. Namun, majlis terus dijalankan setelah papa Fazli memaklumkan hal sebenar kepada kadi.
**********
KEDATANGAN Fazli sekeluarga disambut baik oleh Puan Zaleha. Dia sudah tahu tujuan besan tidak jadinya itu datang kali ini. Fazli sudah menghubungi sebelum mereka datang. Puan Zaleha bersyukur apabila Fazli sudah terbukti tidak bersalah dan tidak mencurangi Datul. Puan Zaleha amat mengharapkan anak gadisnya akan mendapat kebahagiaan dengan orang yang benar-benar dicintainya. Dan kebahagiaan itu pasti akan menjadi milik anaknya sedikit masa lagi.
“Kami minta maaf sebab memutuskan pertunangan anak-anak kita sebelum ni, Leha.” Mama Fazli memulakan bicara.
“Tak apalah Kak Dah. Benda tak kita jangka kan? Adalah hikmahnya di sebalik apa yang berlaku tu. Syukur, benda dah selesai. Dah tahu Fazli tak salah dalam hal ni.” Fazli tersenyum mendengar kata-kata bakal ibu mertuanya. Gembira kerana masih diterima dengan baik oleh Puan Zaleha. Dan dia sangat berharap akan diterima semula juga oleh Datul. Cintanya benar-benar tulus untuk Datul. Sejak dahulu tiada perempuan lain yang berjaya merampas cintanya yang telah dikhaskan untuk Datul.
“Datul pula macam mana Leha? Dia sudi ke terima anak kami semula?” Riak kebimbangan terpamer pada wajah kedua orangtua Fazli. Bimbang jika gadis itu tidak mahu menerima anak mereka yang sudah tertutup pintu hatinya kepada perempuan lain. Jika ditolak cintanya oleh Datul, bimbang pula jika Fazli akan membujang hingga ke tua.
“Kak Dah jangan risau, saya tahu Datul akan terima Fazli. Anak saya tu memang dah lama sayangkan Fazli, sejak sekolah. Dia dah tahu perkara yang berlaku ni hanya satu salah faham. Dia dah setuju nak sambung semula jika Fazli minta.” Fazli sekeluarga meraup muka, bersyukur diberi kemudahan dalam menyelesaikan salah faham yang berlaku.
“Kalau macam tu, bulan depan kita langsungkan pernikahan budak-budak ni Leha. Kak Dah tak mahu ada salah faham berlaku lagi. Susah hati Kak Dah selagi diorang ni tak disatukan.”
“Baiklah Kak Dah, nanti saya uruskan persiapan bagi pihak saya.”
Pertemuan dua keluarga memeterai persetujuan untuk satu perjalanan hidup dua hati yang sudah lama saling menyinta. Di balik dinding, ada hati yang sedang diamuk gelora. Namun, gelora yang membadai di dalam hati terpaksa dikawal apabila namanya dipanggil ke ruang tamu. Datul melangkah penuh sopan dengan bibir mengukir senyuman paling manis bersama sedulang air kopi pelepas dahaga.
Pandangan dua pasang mata bertaut. Bicara mata menzahirkan rasa yang terbenam di dasar hati yang sedang hebat melagukan irama rindu, semakin lama semakin kuat dan mendayu syahdu. Cinta yang disemai di jiwa makin tumbuh subur dan kukuh berakar umbi. Semoga kebahagiaan menjadi milik mereka selamanya. Perjalanan cinta yang kejam, namun ini cinta pertama. Cinta pertama Datul dan Fazli, bakal terzahir akhirnya.
Lagu ‘Kejam’ dan ‘Ini cintaku yang pertama’ tidak akan berkumandang lagi di dalam rumah. Kini Datul sudah menemui kebahagiaannya bersama Fazli, insan yang menduduki tempat tertinggi di dalam hatinya. Ini cinta pertama mereka dan cinta pertama itu dibawa ke akhir hayat.
4 comments:
best la...
boleyh tahan laa...
thanks sudi baca
bahasa meleleh la..susah nak faham
Post a Comment