Tuesday, May 24, 2011

Sudah Takdirnya Begitu bab 2

USAI membersihkan diri, Luna kembali ke meja belajar yang diletakkan di sudut bilik tidurnya. Di situ diletakkan sebuah meja, sebuah rak buku dan sebuah meja komputer yang digunakan sebagai tempat menyimpan beberapa buah kamus yang dimilikinya. Rak buku yang ada itu sudah penuh diisi dengan pelbagai jenis buku dan novel pelbagai tajuk. Di atas meja komputer itu ditempatkan pula sebuah radio lama yang masih elok keadaannya. Ketika bosan, radio itulah yang menjadi peneman Luna dengan dendangan lagu pelbagai genre.

Di sudut itu Luna jadikan sebagai tempat membaca dan membuat kerja-kerja penulisannya. Luna memang meminati bidang penulisan. Disebabkan itulah Luna rajin membuka laman sesawang Penulisan2u. Di situ Luna mendapat pelbagai ilmu. Terdapat ramai penulis yang dilahirkan daripada situ. Kadang-kadang terdapat juga penulis yang berbual di kotak sembang. Peluang itulah yang selalu Luna intai untuk bertanya sebarang kemusykilan mengenai penulisan.

Luna juga rajin membaca karya hasil penulisan penulis-penulis yang lama dan baru yang menghantar karya mereka ke situ. Daripada situ juga Luna dapat belajar demi menambahkan kemahiran menulisnya. Bakat sahaja tidak berguna jika tidak ditambah dengan ilmu yang perlu untuk memantapkan lagi skil yang ada. Pendapat itulah yang sentiasa Luna pegang. Novel yang sudah diterbitkan daripada penulis yang bermula di situ seperti Sarah Marissa yang menulis novel bertajuk Bila Hati Kata Sayang sudahpun Luna miliki. Beberapa buah novel hasil tulisan beberapa orang penulis lain yang bermula dari situ juga telah berada di dalam simpanan Luna.

Skrin komputer riba yang gelap sudah kembali terang setelah Luna menggerakkan sedikit tetikusnya. Luna lebih suka menggunakan tetikus yang disambungkan ke komputer ribanya menggunakan kabel. Sudah terbiasa dengan cara lama begitu membuatkan Luna kekok menggunakan tetikus yang sudah siap terbina di papan kekunci komputer ribanya itu. Luna tidak kisah jika orang hendak mengatakan dia kolot ataupun ketinggalan zaman. Bagi Luna, yang penting keselesaannya.

Luna menghalakan pandangannya ke arah kotak sembang. Perbualan di kotak sembang kelihatan semakin rancak. Luna rasa teruja hendak turut serta namun dia takut hendak meneruskan hasratnya. Dia tidak mahu menyapa atau disapa Hafiz. Biarlah Hafiz hendak menuduh dia mungkir janji sekalipun. Biarlah! Dia tidak peduli. Hatinya masih terasa pedih membaca sebaris ayat yang ditujukan kepada Hafiz oleh ahli bernama Aira tadi. Hafiz pula kelihatan melayan pertanyaan Aira itu dengan mesra sekali. Adakah Hafiz sebenarnya ada hubungan dengan Aira?

Cemburu? Selintas terfikir di fikiran Luna. Mengapa hatinya terasa pedih apabila melalui situasi itu sedangkan antara mereka tiada apa-apa hubungan. Adakah sebenarnya di dalam hati Luna sudah terdetik rasa cinta untuk Hafiz. Benarkah begitu sedangkan mereka masing-masing tidak pernah bertemu, tidak pernah mendengar suara dan tidak pernah meluah rasa.

Mesej yang dihantar Hafiz sebentar tadi di kotak sembang sedikit melegakan perasaan Luna. Nampaknya Hafiz sudah mahu mengundurkan diri. Selepas ini bolehlah Luna mengaktifkan dirinya pula. Tetapi mengapa kini selepas berpeluang, tiada lagi perasaan teruja seperti tadi. Adakah perasaan teruja itu hanya datang ketika ada Hafiz di situ?

‘Ah! Malaslah nak fikirkan tentang ni. Jodoh pertemuan, ajal dan maut tu kan ketentuan Allah. Serahkan saja padaNya. Tahulah Allah mengatur kehidupan hambaNya.’ Masih sempat Luna bermonolog sendiri sebelum jemarinya mula menekan papan kekunci komputer riba kesayangannya. Salam yang dihulurkan kepada semua ahli yang sedang rancak berbual di kotak sembang itu pantas dijawab oleh semua ahli yang ada. Luna menyimpul senyum. Keramahan rakan-rakan maya di sini mengembalikan semula kegembiraannya.

**********

HAFIZ tersenyum lebar di hadapan skrin komputer ribanya. Luna baharu sahaja muncul di kotak sembang. Salam yang dihulur gadis itu kepada semua ahli yang ada segera dijawab di dalam hati. Senang hati Hafiz bila gadis pujaannya sudah menunjukkan diri. Hafiz mula menyusun kata tetapi belum sempat butang hantar ditekan, seorang ahli lain bertanya alamat ‘Yahoo Messenger’ Luna. Dalam hati Hafiz timbul sedikit perasaan cemburu tetapi ia hanya seketika sahaja. Perasaan cemburunya hilang apabila akal logiknya turut bersetuju dengan pertanyaan itu.

‘Bagus juga budak tu tanya, boleh juga hantar mesej kat Luna guna YM. Senang sikit. Tak ada sesiapapun yang tahu.’ Hati kecil Hafiz berbisik. Bibirnya mengukir senyum. Gembira sungguh kerana idea hendak bertanya itu tidak pernah terlintas di fikiran Hafiz. Tetapi tidakkah Hafiz pernah terfikir hendak menghubungi Luna melalui kotak pesanan di ‘Facebook’ sahaja? Itulah Hafiz, dalam bijak, ada juga terselit lurus bendulnya.

Hafiz masih lagi berdiam diri di hadapan skrin. Dia menunggu Luna memberikan alamat emelnya di kotak sembang itu. Tetingkap kecil ‘Yahoo Messenger’nya sudah siap tertera di skrin. Tetikus sudah siap sedia di tangannya agar mudah dia memotong dan melekatkan sahaja alamat emel yang diberikan ke tetingkap ‘yahoo messenger’nya. Sekali lagi Hafiz tersenyum sebaik sahaja alamat yang ditunggu-tunggu muncul di skrin. Akhirnya!

**********

SAFIYA tersenyum-senyum sendiri di hadapan skrin komputer ribanya. Tercuit hatinya melihatkan gelagat rakan-rakan maya yang sedang rancak berbual di kotak sembang itu. Pelbagai kerenah tersaji. Ada yang terjerit-jerit memanggil teman-teman yang dikenali walaupun jeritan itu langsung tidak didengari. Ada juga yang sibuk menyanyi hinggakan penuh kotak itu terisi dengan pelbagai lirik lagu. Usik-mengusik pula tak perlu dipertikaikan lagi. Ada sahaja yang menjadi mangsa usikan. Kadang-kadang sehingga ada yang merajuk dan bergaduh akibat usikan yang keterlaluan.

Senyuman di kedua ulas bibir Safiya serta-merta terpadam. Matanya masih lagi tertumpu di skrin komputer. Suasana yang ceria di kotak sembang tadi tiba-tiba sahaja bertukar menjadi gamat. Ada pula ahli yang baharu masuk terus berbuat kecoh sekaligus menaikkan kemarahan ahli lama yang sedang rancak bergurau-senda. Masing-masing mula membentangkan pendapat sendiri apabila sesi soaljawab makin rancak. Masing-masing tidak mahu mengalah dan tetap mempertahankan pendapat sendiri.

‘Degil betul mamat ni. Orang dah kata tak boleh guna huruf besar, dia nak juga guna. Saja aje cari pasal. Nak kena ‘ban’ la tu!’ Sambil memerhatikan soaljawab yang makin rancak di kotak sembang, sempat lagi Safiya bermonolog di dalam hati. Hanya di dalam hati sahajalah, jika bercakap sendiri nanti terkejut pula rakan sebiliknya. Sia-sia sahaja dia dikatakan tidak berapa betul, berbual di alam maya sampai bercakap sendiri.

Safiya tersenyum-senyum apabila nama Luna muncul di skrin. Lambat pula teman baiknya itu memunculkan diri sedangkan sudah lama dia sampai di rumah. Manakala Safiya sendiri yang terpaksa menaiki bas untuk sampai ke rumahpun sudah beberapa minit menyertai perbualan di kotak sembang itu.

Entah apalah yang dibuat oleh teman baiknya itu tadi. Hendak kata sibuk memasak, mereka sudah makan tadi sebelum pulang ke rumah masing-masing. Lagipun Luna tinggal dengan keluarganya. Sudah tentu apabila pulang ke rumah, makanan sudah siap terhidang di atas meja. Hanya menunggu untuk dijamah sahaja.

Luna bukan seperti Safiya. Luna beruntung mendapat pekerjaan berhampiran tempat tinggal keluarganya. Luna boleh tinggal bersama keluarganya, tidak perlu bersusah-payah mengeluarkan duit sendiri untuk perbelanjaan makan dan sewa rumah. Luna juga tidak perlu bersusah-payah memasak. Berbeza dengan Safiya yang terpaksa menyewa rumah dan memasak sendiri. Teman-teman serumah dengan Safiya masing-masing lebih suka makan di luar. Mereka jarang memasak di rumah.

‘Hai, ni sekejap lagi adalah yang panas ni.’

Memang benar telahan Safiya. Kelihatan Hafiz muncul di skrin apabila pemilik nama samaran ‘Fuad’ terus-terusan mengasak Luna dengan perbagai soalan. Kelihatannya seperti dia ingin mencuba memikat Luna. Tersenyum lagi Safiya sambil matanya sesekali menjeling ke arah teman sebilik yang sedang berbaring di atas katil.

**********

SATU tetingkap kecil tiba-tiba muncul sejurus Luna mendaftar masuk ke akaun ‘Yahoo Messenger’nya. Tanpa sebarang perasaan syak, terus sahaja butang tambah diklik. Jejaka_hensem yang meminta untuk menjadi rakan kini sudah sah menjadi rakannya. Baharu sahaja Luna memegang tetikus untuk meminimakan tetingkap ‘Yahoo Messenger’nya, satu tetingkap lain pula muncul.

Jejaka_hensem : As-salam

Bella_luna : Waalaikumussalam

: Sapa nih?

Jejaka_hensem : Cuba teka!

Bella_luna : Maaflah, saya tak berminat main teka-teki. Oklah, saya nak buat keje sikit.

Jejaka_hensem : Ok! Ok! Janganlah marah. Hafiz nih.

Bella_luna : Oh! Mana dapat id saya ni?

Jejaka_hensem : Dekat CB tadi.

Bella_luna : Bukan ke tadi awak kata nak away?

Jejaka_hensem : Saya saja aje cakap nak away.

: Lama sangat tunggu awak online. Bosan jawab soalan mengada-ngada Aira tuh.

Bella_luna : Mengada-ngada? Bukan dia gf awak ke?

Jejaka_hensem : Sapa cakap?

Bella_luna : Saya cakap! Tadi nampak awak mesra aje dengan dia.

: Takut pulak saya nak menyampuk. Takut mengganggu!

Jejaka_hensem : Oooo... Ni kira awak cemburu la ni ye?

: Hehehehe... Saya mana ada apa-apa dengan dia.

: Saya suka awak aje.

Bella_luna : Hurm... Oklah awak, saya nak buat keje sikit.

Jejaka_hensem : Awak, saya serius nak kawan dengan awak.

: Ni nombor telefon saya. 0122751338. Nanti sms saya ye.

Bella_luna : Insyaallah. As-salam.

Jejaka_hensem : Waalaikumussalam.

Luna tersenyum. Nombor telefon yang tertera di skrin komputer ribanya segera disimpan ke dalam aplikasi buku telefon yang terdapat pada telefon bimbitnya. Rupanya selama ini Luna tidak bertepuk sebelah tangan. Perasaan mereka sama. Hafiz juga seperti Luna. Masing-masing menyimpan perasaan suka di antara satu sama lain walau hanya berbicara melalui maya.

**********

DI dalam bilik, Hafiz tersenyum sendiri. Gambar di profil ‘Facebook’ Luna dipandang lagi. Gembira sungguh hati Hafiz selepas berjaya meluahkan perasaannya kepada Luna. Di dalam hati Hafiz sangat berharap gadis itu akan menerimanya. Hafiz perasan dari perbualan mereka di ‘Yahoo Messenger’ tadi kelihatan Luna seperti cemburu dengan Aira. Orang kata cemburu tandanya sayang. Ini bermakna, Luna ada perasaan padanya.

‘Harap-harap Luna hantar sms.’ Hati kecil Hafiz berbicara sendiri. Benar, Hafiz sangat mengharapkan gadis itu menghubunginya. Tidak dengan panggilan sekalipun, cukuplah sekadar pesanan ringkas sahaja. Bila sudah ada nombor telefonnya nanti, pandailah Hafiz hendak menghubunginya. Hafiz benar-benar ingin menjalin perhubungan dengan gadis itu. Hati Hafiz sudah terpikat.

Alunan lagu dari telefon bimbit mengejutkan Hafiz yang sedang leka melayan angan. Telefon bimbit yang terletak di atas meja sisi katilnya segera dicapai. Skrin telefon dipandang. Hatinya sudah bersorak gembira. Nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefon bimbitnya menunjukkan ada panggilan masuk namun hanya dua kali deringan, alunan lagu tersebut telah terhenti. Hatinya kuat menyatakan nombor itu milik Luna.

Seketika kemudian, alunan lagu dari telefon bimbitnya sekali lagi bergema. Kali ini pesanan ringkas pula yang masuk. Butang hijau di papan kekunci telefon bimbitnya segera ditekan. Terpampang mesej yang baharu diterima tadi. Sah! Memang betul tekaannya. Nombor itu kepunyaan Luna. Gembira tidak terhingga Hafiz mendapat pesanan ringkas itu. Walaupun sekadar ucapan salam dan sebaris nama milik gadis itu sebagai pengenalan sahaja, itu sudah cukup menggembirakannya. Apa yang penting, nombor telefon milik Luna sudah berjaya didapatkan. Pantas nombor itu disimpan di dalam senarai rakan-rakan di telefon bimbitnya dan nama ‘Sayang Luna’ diletakkan sebagai nama pemilik nombor itu.

**********

LUNA yang baharu masuk ke bilik semula selepas mengambil air suam di dapur agak terkejut apabila mendengar alunan lagu ‘Biarlah Rahsia’ nyanyian Dato’ Siti Nurhaliza berkumandang. Sungguh Luna sangat meminati artis popular itu. Walaupun selepas artis itu mendirikan rumahtangga, minat Luna terhadap artis wanita yang sudah layak digelar biduanita itu tidak pernah luntur sehinggakan lagu dendangan artis ternama itu digunakan sebagai nada dering telefon bimbitnya yang berjenama Sony Ericsson keluaran beberapa tahun yang lalu.

Bukan Luna tidak mampu membeli telefon yang lebih canggih tetapi Luna lebih suka menggunakan telefon yang satu itu. Rasa sudah serasi dengan dirinya. Lagipun untuk apa membeli telefon baharu jika fungsinya sama sahaja. Luna hanya menggunakan telefon untuk perkara yang penting sahaja. Cukuplah sekadar boleh menghantar pesanan ringkas dan membuat serta menerima panggilan. Tidak perlu ada aplikasi yang terlalu canggih untuk membolehkan dia ber’facebook’ melalui telefon, itu semua tidak penting untuk Luna.

Baharu sahaja Luna hendak menekan butang hijau untuk menjawab panggilan, nada dering tersebut sudahpun berhenti. Tertera mesej di skrin telefon bimbitnya. ‘Lima panggilan tidak berjawab’. Amboi, sampai lima panggilan tidak berjawab. Siapakah gerangannya yang rajin menelefon Luna sehingga lima kali itu.

Butang-butang di telefon bimbitnya ditekan. Luna ingin melihat nombor yang telah membuat panggilan ke telefon bimbitnya itu. Namun belum sempat Luna menjelajah aplikasi yang terdapat di dalam telefon bimbitnya, telefonnya itu berbunyi sekali lagi. Tertera nama Hafiz di skrin telefon bimbitnya. Berdebar-debar Luna hendak menjawab tetapi di dalam masa yang sama hatinya melonjak gembira. Akhirnya ditekan juga butang hijau di papan kekunci telefon bimbitnya itu.

Luna tersenyum sendirian selepas panggilan ditamatkan sejam kemudian. Nampaknya perkenalan mereka yang bermula di kotak sembang akan berlanjutan. Perbualan bersama Hafiz tadi membuktikannya. Hafiz sudah meluahkan perasaannya melalui telefon sebentar tadi. Hafiz juga berharap mereka dapat bertemu suatu hari nanti. Luna juga berharap begitu. Tetapi dapatkah pertemuan itu berlaku?

2 comments:

apit said...

biar betik ? kak ad puji siti nurhaliza tu..kekekee

azrina nur rusly said...

hehehehe....

.