Tuesday, September 07, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 12



MASA berlalu begitu pantas. Diam tak diam sudah hampir tiga bulan Shah membuka tapak membaiki kasut di hadapan Wisma Hanija. Setiap hari seawal jam lapan pagi sudah bermula rutin kehidupan Shah di situ walaupun waktu pejabat di situ hanya bermula pada jam lapan setengah pagi.

Jikalau dahulu sewaktu di hadapan Pasaraya Mesra, Shah akan datang awal dan pulang lewat hanya disebabkan oleh tarikan rasa cintanya kepada Maya. Namun kini di hadapan Wisma Hanija, Shah menunjukkan sikap berdedikasinya kerana ingin mencari peluang untuk lebih berjaya.

Sikap berdedikasinya itu jugalah yang membuatkan bilangan pelanggannya semakin hari semakin bertambah. Bukan sahaja di kalangan pekerja Wisma Hanija malahan di kalangan ahli keluarga mereka juga telah mengetahui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Shah.

Bermula dengan hanya membaiki kasut serta menggantikan lapik tumit yang rosak, kini Shah bergerak maju melebarkan jaringan perkhidmatannya dengan menerima tempahan membuat kasut mengikut citarasa yang diinginkan oleh pelanggan. Tidak lupa Shah memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas rezeki yang dilimpahkan kepadanya.

Begitu juga hubungan Shah dan juga Zaila. Semakin hari semakin akrab keduanya. Sentiasa sahaja mereka dilihat makan bersama ketika waktu makan tengahari mahupun berbual di awal pagi sebelum Zaila memulakan tugas.

Tidak sedikitpun dikisahkan oleh Shah akan tanggapan orang terhadap hubungan mereka. Walaupun Zaila hanya pekerja rendah di situ namun tiada secuitpun Shah merasa malu untuk makan bersama atau berbual mesra bersama gadis itu. Baginya tugas sebagai tukang cuci bukanlah suatu kerjaya yang hina.

Haslinda pula sedikit demi sedikit sudah mula belajar menerima kenyataan. Mungkin tidak tertulis di Loh Mahfuz jodohnya dengan si tukang kasut. Mungkin mereka hanya ditakdirkan sebagai kenalan. Perancangan Allah tentu sahaja lebih baik daripada segala perancangan yang dibuat manusia.

Jalinan hubungan antara Shah dan Datuk Jamal juga semakin lama semakin bertambah baik. Seringkali mereka berbual bersama terutama ketika Datuk Jamal melintasinya untuk ke Restoran Nasi Ayam Istimewa. Namun masih belum Shah mahu menggunakan peluang yang ada untuk cuba masuk ke dalam Wisma Hanija.

*****
“SELAMAT pagi Aya!” Pengawal keselamatan berbangsa India yang dipanggil Aya itu tersenyum sambil mengangkat tangan membalas ucapan selamat pagi dari Shah. Laju pula langkah lelaki itu dihayun ke tempat Shah membuka tapak membaiki kasut.

“Selamat pagi Shah. Ada baik ka ini hari?” Bahu Shah ditepuk-tepuk sambil bibirnya tak lekang dari mengukir senyum. Ketara kelihatan giginya yang agak kekuningan. Mungkin disebabkan tabiat merokoknya yang menjadikan giginya sebegitu. Atau mungkin juga tabiat suka meminum minuman kerasnya yang menyumbang ke arah pencemaran keputihan dan kesihatan giginya.

Memang tidak dinafikan lelaki berbangsa India ini terlalu kuat merokok. Bila ditegur dan dinasihatkan, ada sahaja alasannya untuk memenangkan tabiatnya itu. Sehinggakan Shah sendiri merasa malas hendak menegur lagi. Ibarat mencurah air ke daun keladi sahaja. Tiada setitispun yang tertinggal bertakung di atas permukaan daun.

“Baik. Wah! Aya nampak gembira hari ni. Ada apa-apa ke Aya?” Ketawa besar lelaki itu mendengarkan kata-kata Shah.

“Ayo Shah. Ini hari gaji la. Sebab itu la saya suka.” Giliran Shah pula tersengih dengan jawapan yang diberi pengawal keselamatan itu. Patutlah lelaki itu tak putus-putus mengukir senyuman. Rupanya hari yang memang dinanti-nantikannya sudah tiba.

Shah menyusun peralatan yang biasa digunakan seperti selalu. Kasut pelanggan yang diterima sebelum balik semalam dikeluarkan dari kotak. Lincah jemarinya menggantikan getah di tumit kasut itu yang sudah haus sehingga menampakkan besi di dalamnya.

Tekun sungguh dia melakukan kerjanya. Sekejap sahaja sudah siap sepasang kasut digantikan lapik tumit yang baru. Aya hanya mendiamkan diri memerhati perlakuan Shah dari awal sehingga selesai tugasnya.

Kasut yang sudah siap dibaiki itu dimasukkan semula ke dalam plastiknya lalu diletakkan di sebelah bangku kecil yang menjadi alas punggungnya. Hanya menunggu tuan punya kasut itu untuk datang mengambil kasutnya. Shah mengenakan bayaran sebanyak lapan ringgit untuk menukar tapak atau tumit sepasang kasut.

“Shah! Awak ada dengar tak?” Shah memandang tepat ke wajah Aya. Agak berminat Shah dengan pertanyaan lelaki itu.

“Dengar apa Aya? Datuk bagi bonus ke?” Sekali lagi pengawal keselamatan berbangsa India itu menghambur tawa. Lucu dengan soalan yang diutarakan oleh Shah.

“Ayo… Bukan itu macam la Shah. Semalam saya dengar Datuk mahu cari eksekutif. Itu lama punya eksekutif sudah berhenti. Ikut dia punya suami pergi luar negara.” Bersungguh-sungguh Aya menyampaikan berita gembira itu kepada Shah.

“Betul ke Aya?” Teruja Shah dengan perkhabaran yang baru diterima. Kalimah Alhamdulillah bergema di dalam hatinya. Akhirnya kesabarannya membuahkan hasil. Walaupun baru mendengar kekosongan yang ada, hatinya telah berbunga riang. InsyaAllah… Semoga ada rezekinya untuk menjawat jawatan itu.

“Betul la Shah. Kalau tak percaya, awak pergi la tanya sama itu penyambut tetamu.” Terangguk-angguk Shah dengan kata-kata Aya. Senyuman gembira masih lagi terukir di bibirnya.

“Terima kasih Aya. Nanti sekejap lagi… Saya pergi jumpa sama dia.” Rasa tidak sabar sesekali terlintas juga di hatinya namun masih berjaya dikawal lagi. Tidak perlu terburu-buru. Jika memang sudah rezekinya, tidak perlu dirisaukan lagi. Allah tentu sahaja sudah merancang apa yang terbaik untuk dirinya.

“Ok Shah. Saya mahu sambung saya punya kerja.” Lelaki itu berlalu meninggalkan Shah yang sudah mula memegang pensel dan buku ‘sketch’nya setelah melihat Zaila menuju ke situ. Kembali semula ke meja khas untuknya di sebelah kiri pintu utama Wisma Hanija. Meneruskan tugas dan sekaligus memberi peluang kepada pasangan itu untuk berbicara.

*****
ZAILA berjalan perlahan menghampiri ruang kerja Shah. Di tangannya tergantung sebungkus teh tarik yang masih berasap. Segaris senyum manis terukir di bibirnya. Senyuman yang mempunyai dua makna. Gembira kerana masih dapat melihat kehadiran Shah di situ seawal pagi dan juga gembira dengan peluang yang diberikan oleh Aya.

Shah yang sedang ralit melakar rekaan kasut tidak menyedari kehadiran gadis itu. Jemarinya lincah melakar beberapa rekaan kasut lelaki dan wanita. Terpancar kegembiraan dan kepuasan di wajah Shah ketika melakar.

“Assalamualaikum bang.” Ucapan salam sedikit mengejutkan Shah. Segera diangkat wajahnya. Tersenyum apabila wajah Zaila terpampang di hadapan matanya.

“Waalaikumussalam. Dah lama ke Ila sampai? Maaflah abang tak perasan. Leka sangat melakar tadi.” Buku lakaran dan pensel disimpan di dalam kotak peralatannya. Pandangan kini ditumpukan sepenuhnya ke arah Zaila.

“Takpe bang. Ila pun baru je sampai ni. Rekaan baru ye bang? Cantik.” Memang diakui hasil lakaran yang dibuat oleh Shah kelihatan cantik. Malahan Zaila juga sudah mendapat sepasang kasut rekaan Shah.

“A’ah. Nanti abang buatkan sepasang lagi untuk Ila.” Pantas Zaila menggeleng. Terasa segan hendak menerima pemberian Shah lagi. Bimbang nanti dikatakan mengambil kesempatan pula atas kebolehan lelaki itu.

“Ala… Tak payah la susah-susah bang. Ila dah ada kasut dah. Nak buat apa kasut banyak-banyakpun bang. Kerja Ila ‘cleaner’ aje. Kasut yang abang buatkan untuk Ila sebelum ni pun Ila belum pakai lagi.” Sedikit tertunduk Zaila selepas menuturkan kata-kata. Bimbang Shah menyangka dia tidak sudi memakai kasut rekaan lelaki itu.

“Kerja apapun tak kisah Ila… Apa yang penting… Kerja tu halal. Hasil yang kita perolehi tu halal. Barulah berkat hidup kita. Haaa… Satu lagi. Kenapa tak pakai kasut tu? Tak sudi?” Zaila menggeleng sekali lagi. Lebih laju dari tadi.

“Tak ada la bang. Ila sayang nak pakai. Takut rosak. Eh! Tak apa la bang… Ila masuk kerja dulu ye.” Shah hanya mengangguk selepas mengerling sekilas jam di pergelangan tangannya dan Zaila berlalu meninggalkan Shah setelah bungkusan teh tarik bertukar tangan.

****
BORANG permohonan yang telah lengkap diisi itu diletakkan ke dalam bekas surat atau fail yang bertulis perkataan keluar di atas meja penyambut tetamu yang terletak di lobi Wisma Hanija itu. Tersenyum gadis penyambut tetamu bernama Neija itu menghantar langkah Shah sehingga ke pintu utama.

Dalam hatinya sedikit terkejut apabila membaca butir-butir yang tercatat di bahagian kelayakan borang itu tadi. Tidak disangka si tukang kasut itu memiliki ijazah dalam jurusan pengurusan perniagaan. Sangkanya si tukang kasut itu tidak berpelajaran sebab itulah lelaki itu kelihatan senang dan tidak malu didampingi oleh tukang cuci.

Jika dia tahu lelaki itu berpelajaran tinggi dan mempunyai potensi yang tinggi untuk menjawat jawatan yang bagus di dalam Hanija Engineering, tentu awal-awal lagi dia telah memikat lelaki itu. Hendak memikat Badrul, satu-satunya lelaki kacak bergaya dan berjawatan tinggi di dalam Wisma Hanija sudah tentu tidak berjaya kerana lelaki itu sudah memiliki kekasih secantik model. Jikapun diterima, tidak mahu dia sekadar dijadikan sebagai watak sampingan ataupun seperti alat gantian sahaja.

Neija tersenyum sendiri. Ada sesuatu yang berlegar di fikirannya. Senyum di bibirnya makin meleret. Tak ubah seperti perempuan jahat di dalam kartun ‘Barbie in the Swanland’ yang telah berjaya mendapatkan pengakuan cinta suci dari putera yang telah diperdayanya.

‘Tak apa. Tunggu la lepas si tukang kasut itu menjawat jawatan eksekutif nanti. Tahulah aku nak buat apa. Baru ada kelas nak mengaku teman lelaki. Berputih mata la kau si tukang cuci. Kau memang tak layak untuk orang berpangkat-pangkat ni. Kalau dah tukang cuci tu memang tak akan dapat bersaing dengan aku.’ Kata-kata jahat itu hanya bergema di dalam fikirannya sahaja. Semakin bertambah lagi nekadnya bila terpandang Zaila yang sedang menyapu lantai lobi.

5 comments:

apit said...

salam..wah!makin bertambah menarik ni..hehe..shah dah isi borang keje kat wisma tu..mesti datuk tu tak sangka shah ni ada kelulusan..hmm,ade awek baru lak si penyambut tetamu ye..hehe..syabas kak ad,tak sabar nak tunggu sambungannya..hehe

adrin_malina said...

insyaallah... haha.. kak ad pun makin pening nak buat ayat. lalalala

Nurulsham saidin said...

Bagus la cerita ni. Ayat cantik, ada ilmu bantu. Penukangan cerita yang matang. Tak publish novel ni?

adrin_malina said...

ala kak nurul... malu saya. baru belajar menulis ni.. tak pasti diterima penerbit ke tak hasilnya nanti...

Noraz_Ikha said...

wah....ada watak jahat baru keluar....maya mana? rindu nk tgk watak dia wahaha

.