Tuesday, October 05, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 13




SEMUA surat dan dokumen yang berada di dalam bekas surat ataupun fail diasingkan mengikut jabatan masing-masing. Begitu juga borang permohonan yang telah diisi oleh Shah sebentar tadi.

Borang tersebut diletakkan bersama surat-surat yang diterima untuk Jabatan Sumber Manusia.

Usai mengasingkan semua surat dan dokumen yang diterima mengikut jabatan masing-masing, Neija mula menjalankan tugasnya. Kesemua surat tersebut dimasukkan ke dalam peti surat ataupun lebih dikenali sebagai ‘pigeon hole’ oleh para pekerja Hanija Engineering. Peti surat tersebut ditempatkan di lobi Wisma Hanija dengan setiap satunya bertulis nama setiap jabatan.

Berkebaya pendek mengikut potongan badan dan berkain kipas, melenggang-lenggok Neija kembali ke mejanya selepas habis mengagihkan kesemua surat dan dokumen. Tak ubah seperti itik pulang petang gayanya.

Sampai di meja, gagang interkom mula diangkat. Setiap jabatan yang menerima surat dihubungi untuk pemberitahuan. Begitulah tugas Neija setiap hari selain dari menjawab panggilan telefon dan melayan tetamu yang datang ke Wisma Hanija.

Neija berasal dari kampung. Keluarganya bukanlah dari golongan yang berada. Disebabkan itulah Neija berazam hendak mendapatkan seorang suami yang berjawatan tinggi dan bergaji besar supaya dia boleh hidup senang dan masa hadapannya terjamin.

Sudah hampir lima tahun Neija bekerja di situ sebagai penyambut tetamu. Sijil SPM yang hanya sekadar cukup makan sahaja tidak melayakkan Neija untuk menjawat jawatan yang lebih baik. Mujur juga Neija mempunyai perwatakan yang agak menarik, berkulit putih dan berwajah ayu.

Berbekalkan kelebihan itulah Neija diterima masuk di situ. Kebetulan Hanija Engineering waktu itu memerlukan seorang penyambut tetamu setelah penyambut tetamu yang sedia ada meletakkan jawatan kerana mengikuti suaminya berpindah ke tempat lain.

Kebanyakan pekerja wanita yang pernah bekerja di Wisma Hanija hanya akan berhenti kerja sekiranya hendak mengikut suami berpindah ke tempat lain ataupun hendak menjadi surirumah sepenuh masa. Manakala pekerja lelaki pula akan bertahan bekerja di situ sehingga pencen.

Semua itu disebabkan oleh sikap Datuk Jamal yang begitu menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja-pekerjanya. Gaji yang ditawarkan kepada pekerja setimpal dengan tugas yang diberikan. Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat turut dikongsi bersama para pekerja melalui imbuhan bonus di setiap hujung tahun.

Pihak syarikat juga mengadakan hari keluarga dan trip percutian setiap tahun untuk semua pekerja. Begitu juga dengan kursus-kursus yang bersesuaian disediakan kepada pekerja-pekerja untuk memantapkan lagi kebolehan mereka. Malahan pihak syarikat juga memberi cuti belajar dan menanggung separuh dari yuran pengajian sekiranya ada di antara pekerja syarikat yang berkelayakan ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

*****
BORANG permohonan Shah telah sampai ke Jabatan Sumber Manusia. Kerani yang bertanggungjawab membantu eksekutif menguruskan bahagian pengambilan pekerja sudah sedia meletakkan tarikh terima di bahagian penerimaan borang itu sebelum borang tersebut diserahkan kepada eksekutif yang berkenaan untuk disemak.

Setelah borang permohonan disemak oleh eksekutif bahagian pengambilan pekerja baru, borang tersebut akan diserahkan kepada pengurus Sumber Manusia. Di tahap ini pengurus akan mengambil kira segala aspek untuk memastikan sama ada terdapat keperluan untuk menambah pekerja ataupun tidak.

Selepas memastikan terdapat keperluan dan juga peruntukan untuk menambah pekerja, pengurus Sumber Manusia akan memastikan kelayakan yang ada pada seseorang calon itu menepati kriteria yang diperlukan oleh sesebuah jawatan yang dipohon. Hanya selepas melalui proses itu baharulah seseorang calon itu akan dipanggil untuk menghadiri temuduga.

Begitu juga dengan borang permohonan Shah. Setelah melalui segala proses itu nanti, baharulah Shah akan dipanggil untuk menghadiri temuduga sekiranya menepati kriteria yang diperlukan. Sekiranya Shah berjaya melepasi temuduga itu nanti, Baharulah Shah akan ditawarkan jawatan yang telah dipohon.

*****
HASLINDA menyemak borang yang telah diserahkan kepadanya. Borang permohonan yang tidak bergambar dan tidak disertakan sekali sijil-sijil seperti yang dinyatakan di dalam bahagian kelayakan itu dibelek lagi.

Memang terdapat keperluan untuk menambah pekerja buat masa ini. Peruntukan juga memang telah sedia ada. Haslinda meluluskan permohonan tersebut. Borang yang telah diluluskan itu akan diserahkan kembali kepada orang bawahannya untuk proses pemberitahuan menghadiri temuduga.

Jemarinya yang agak berisi segera mencapai gagang interkom yang berada di sudut kiri mejanya. Nombor sambungan bilik Datuk Jamal didail. Dia menunggu seketika sebelum gagang sebelah sana diangkat oleh Datuk Jamal.

“Assalamualaikum papa.” Haslinda menghulur salam sebaik terdengar suara Datuk Jamal menyapa di hujung talian.

“Waalaikumussalam. Ada apa sayang?” Mesra suara Datuk Jamal menjawab salam.

“Pa… Linda luluskan satu permohonan kerja ni pa. Kita kan nak cari pengganti eksekutif bahagian pemasaran yang dah berhenti tu. Kali ni lelaki pula pa.” Tanpa berbasa-basi, laju sahaja Haslinda menyampaikan berita yang ingin diberitahu kepada papanya itu.

Begitulah sikap Haslinda. Walaupun dia merupakan pengurus di Jabatan Sumber Manusia dan sudah menjadi tugasnya untuk mempertimbangkan segala hal berkaitan pekerja, namun dia masih meminta pendapat Datuk Jamal di dalam setiap keputusan yang sudah dan bakal dibuatnya.

“Oh! Eloklah tu. Siapa calonnya?” Tersenyum Haslinda dengan respon yang diberikan papanya. Terasa sedikit bangga mempunyai seorang papa yang sentiasa memberi nasihat dan menyokong keputusan yang dibuatnya.

“Tak ada gambar ni pa tapi namanya Mohamad Shahrizal bin Mohamad Zainul. Berkelulusan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.” Berkerut dahi Datuk Jamal di hujung talian sebaik mendengar nama yang disebutkan oleh Haslinda.

“Shahrizal? Lulusan UKM? Hurm…” Datuk Jamal mengulang perlahan nama yang baru didengarinya. Seolah-olah pernah didengar nama tersebut tetapi tidak pula diingati di mana dia mendengarnya.

“Kenapa pa? Papa kenal ke?” Kehairanan Haslinda dengan tingkah papanya itu.

“Hurm… Entahlah. Macam papa pernah dengar nama tu sebelum ni. Tak apalah… nanti masa temuduga tu bolehlah kenal siapa orangnya.” Tersenyum Haslinda di hujung talian. Tahu papanya masih lagi cuba mengimbas ingatan.

“Tak apalah pa. Linda bercadang nak adakan temuduga hari Isnin minggu hadapan. Nanti adalah masa untuk Linda siapkan soalan yang nak ditanya. Calon tu pun ada masa nak siapkan diri mencari maklumat tentang syarikat kita dan hal-hal semasa. Hurm… Papa masuk sekali masa temuduga tu ye. Nanti bolehlah papa nilaikan sama ada sesuai atau tidak dia menyertai syarikat kita.” Sengaja Haslinda memberitahu lebih awal cadangan hari temuduga itu kepada Datuk Jamal supaya pada waktu tersebut Datuk Jamal dapat meluangkan masanya.

“Bagus. Inilah yang papa nak dengar. Beri peluang calon tu menyiapkan diri dulu supaya mudah baginya menjawab soalan-soalan anak papa yang mementingkan kesempurnaan ni. Haa.. Satu lagi… Badrul dah tahu ke?” Tersenyum-senyum Haslinda dengan kata-kata Datuk Jamal. Sudah dapat diagak juga olehnya pertanyaan tentang Badrul itu.

“Belum lagi papa. Nanti bila kerani Linda dah siapkan surat panggilan temuduga tu, Linda akan beritahu Badrul. Lagipun, sebagai pengurus Jabatan Kewangan, Badrul wajib ada sewaktu temuduga tu berlangsung.” Satu lagi keputusan bijak yang dibuat oleh Haslinda melahirkan senyuman di bibir Datuk Jamal.

“Alhamdulillah… Anak papa dah semakin bijak membuat keputusan dan pertimbangan. Tak lama lagi bolehlah papa bersara.” Terasa bangga Datuk Jamal dengan sikap Haslinda yang komited terhadap kerja yang dilakukannya. Ternyata anak gadisnya itu tidak sekadar seorang anak yang hanya tahu hidup dengan bergantung pada harta kekayaan orang tua sahaja.

“Ish! Ke situ pula papa ni. Linda masih mentah lagi dalam hal pengurusan ni papa. Masih banyak lagi yang perlu Linda pelajari. Eh! Takpe la papa, nanti waktu makan kita sambung berbual lagi ye pa. Linda nak serahkan borang permohonan ni kepada kerani Linda.” Perbualan ditamatkan usai berbalas salam antara kedua beranak itu.

*****
TELEFON bimbit yang berada di dalam poket seluarnya bergetar sambil mengeluarkan bunyi. Shah yang sedang leka melakar segera meletakkan pensil dan buku lakaran di dalam kotak. Poket seluar di bahagian kanan hadapan diseluk untuk mengeluarkan telefon bimbit yang masih rancak bernyanyi.

Skrin telefon yang berkelip-kelip dipandang sekilas sebelum jarinya menekan butang hijau lalu segera dilekapkan alat elektronik itu ke telinga. Kedengaran suara perempuan di hujung talian. Rasa tertanya-tanya yang menyerbu di fikiran Shah hilang tatkala si pemanggil mengenalkan diri dan menyatakan tujuannya menghubungi Shah.

Melebar senyum di bibir Shah usai menamatkan perbualan di telefon. Perbuatannya itu menimbulkan tanda tanya di hati Aya yang berada di meja bersebelahan pintu masuk utama Wisma Hanija. Pantas lelaki India itu menghayun langkah menghampiri Shah yang masih lagi tersenyum.

“Ayo Shah. Awak punya muka ada senyum juga. Apa sudah jadi?” Shah yang leka membelek telefon bimbitnya sedikit tersentak mendengar pertanyaan yang datang secara tiba-tiba. Hilang senyuman manis yang menghiasi wajahnya sebentar tadi. Namun itu hanya seketika sahaja. Sejurus terpandang wajah lelaki India itu yang tersengih di hadapannya, senyuman manis memekar semula di bibirnya.

“Eh! Bila Aya sampai?” Shah melabuhkan punggung semula ke atas bangku kecil setelah telefon bimbit yang sudah puas dibeleknya tadi disimpan semula ke dalam poket seluar.

“Baru saja Shah. Ada berita gembira ka? Awak punya ‘girlfriend’ telefon?” Shah menggeleng mendengarkan pertanyaan yang baru keluar dari mulut lelaki India itu.

“Oh! Takdelah Aya. Saya baru dapat panggilan untuk datang temuduga Isnin nanti.” Kali ini giliran Aya pula menyungging senyum di bibir. Tidak sangka begitu cepat sekali Shah dipanggil menghadiri temuduga sedangkan baru pagi tadi lelaki itu mengisi borang permohonan. Tangannya yang besar menepuk-nepuk bahu Shah.

“Wah! Baguslah Shah. Semoga awak berjaya dapat itu kerja.” Shah terangguk-angguk dengan kata-kata lelaki India itu.


“InsyaAllah Aya. Harap-harap kali ini saya ada rezeki.” Shah kembali menyambung lakarannya. Senyuman masih menghiasi wajahnya. Jelas kegembiraan yang memenuhi hatinya terpancar melalui seri senyuman di wajahnya itu.

0 comments:

.