Wednesday, July 28, 2010

Luka bab 2


SURAT yang baru diterima tadi dibuka dengan rakus. Tidak sabar Taufiq hendak mengetahui isinya. Entahkan berita gembira entahkan sedih. Entah siapa pengirimnya juga menjadi tanda tanya di hati Taufiq.

Rasanya sudah agak lama Taufiq tidak menerima sebarang kiriman surat. Kali terakhir semasa Fatiha hendak pulang ke Malaysia tiga tahun lalu. Dan itu adalah berita yang paling menggembirakannya.

Fatiha. Entah ke mana gadis itu menghilangkan diri semenjak kejadian itu. Mungkin pergi membawa diri setelah cintanya dikhianati oleh insan-insan yang sangat dipercayai.

Sudah hampir tiga tahun juga Taufiq terputus hubungan dengan gadis itu. Langsung tiada khabar berita yang diterima. Entah apa khabar gadis itu kini. Entah bahagiakah ataupun derita dirinya ketika ini.

Berita gembira yang diterima tiga tahun lalu rupanya hanya seketika sahaja. Tidak sampai seminggu gadis itu kembali ke Malaysia, Fatiha telah diduga. Sungguh hebat dugaan yang diterima gadis itu.

Tidak sangka lelaki yang berjaya menduduki tempat teratas di dalam hati Fatiha tega mengkhianati gadis itu. Tidak langsung tahu menghargai kesetiaan gadis itu terhadapnya.

Jika diikutkan amarah di hati Taufiq, ingin sahaja dilayangkan penumbuk sulung ke wajah lelaki itu. Selama empat tahun Fatiha di luar negara. Selama empat tahun itulah gadis itu setia kepada lelaki itu. Setia kepada cinta mereka namun balasan yang diberikan kepada gadis itu hanyalah kekecewaan.

Kalaulah dahulu Taufiq tahu perkara ini akan berlaku, sudah tentu dia akan menentang habis-habisan kesudian Fatiha menerima cinta yang dihulurkan oleh Khairul. Namun itu semua tidak mungkin akan berulang kembali. Tidak mungkin dia dapat kembali ke masa dahulu. Tidak mungkin dia dapat menghalang kejadian itu dari berlaku.

Sakitnya hati Taufiq melihat kedukaan Fatiha melebihi dari sakit yang dirasai ketika cintanya ditolak oleh gadis itu dahulu. Sesungguhnya dia tidak rela gadis itu disakiti oleh sesiapa. Dia inginkan gadis itu sentiasa bahagia.

Taufiq kecewa. Tiada alamat pengirim tertulis di dalam surat itu. Hanya ada sebaris nama yang sangat dirindui oleh Taufiq di dalam bait-bait kata yang tersusun di atas lembaran kertas biru itu.

Bibirnya mengukir sedikit senyuman. Gembira apabila gadis itu masih lagi mengingatinya walaupun selama hampir tiga tahun ini langsung tiada berita yang diterima.

‘Tiha… Di mana awak berada? Saya rindukan awak. Jika awak tak mahu kembali ke sini… sekurang-kurangnya beritahulah saya di mana awak berada. Saya boleh ke sana menemui awak.’ Kata-kata itu hanya bergema di dalam hatinya sahaja. Tidak terluah pada zahirnya.

Helaian surat dilipat dan dimasukkan kembali ke dalam sampulnya lalu disimpan kemas di dalam laci. Sekeping gambar bersama Fatiha yang diambil sewaktu gadis itu hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara yang tersimpan di dalam laci itu dikeluarkan. Ditatap lagi gambar itu buat kesekian kalinya.

Sungguh Taufiq tidak dapat membuang terus rasa cintanya terhadap gadis itu. Masih membara rasa cintanya terhadap gadis itu walaupun telah dua kali dia ditolak. Namun tidak mungkin dia akan meluahkan sekali lagi rasa cinta itu kepada Fatiha. Dia tidak mahu terus kehilangan gadis itu.

Disimpan kembali gambar kenangan itu ke dalam laci. Dibawa langkah ke katil. Direbahkan diri di atas tilam lalu mata dipejam dengan harapan gadis itu akan muncul di dalam lenanya.

*******************
TELEFON bimbit yang sudah berpuluh kali berdering langsung tidak dihiraukannya. Dibiarkan sahaja deringan itu berhenti sendiri. Apatah lagi dari nombor yang sama. Langsung tiada keinginannya untuk menjawab panggilan.

Tidak cukup dengan panggilan, pesanan ringkas juga berlumba-lumba masuk ke peti simpanannya. Namun tidak satupun yang dibaca. Biarlah. Biarlah sampai penuh peti simpanannya dengan pesanan ringkas dari lelaki itu. Namun dia tidak akan menjawabnya.

Cukuplah lelaki itu mengkhianatinya. Cukuplah lelaki itu menyakiti hatinya dan mencurangi cinta mereka. Biarlah kali ini dia membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya. Biarlah dia pergi meninggalkan lelaki itu bersama kenangan semalam.

Lelaki itu pasti bahagia walaupun tanpa dirinya di sisi. Sedangkan selama dia di luar negara, lelaki itu tidak sedikitpun resah menantinya. Baharulah kini dia mengerti mengapa lelaki itu bersikap tidak endah dengan luahan kerinduannya selama mereka berjauhan. Rupanya lelaki itu mencuranginya.

Sejak Fatiha memutuskan hubungan mereka setelah kisah sebenar terbongkar, lelaki itu tidak putus-putus menghubunginya. Mungkin lelaki itu inginkan penjelasan darinya. Atau mungkin lelaki itu merasa egonya tercabar apabila Fatiha nekad meninggalkannya.

Mujur sahaja tiada sesiapa yang menetap di rumah peninggalan arwah orang tuanya. Hanya diamanahkan kepada jiran tetangga untuk menjaga keselamatan dan kebersihan rumah itu semasa ketiadaannya di Malaysia. Jika tidak tentu sahaja akan ada yang bising jika dibiarkan telefon bimbit itu terus berdering tanpa berjawab.

‘Ah! Kenapalah dia ni tak faham bahasa? Orang tak jawab tu maknanya orang tak sukalah. Apa lagi yang dia hendak?’ Berdetik persoalan di benaknya. Rasa terganggu dengan deringan yang tidak henti-henti namun hendak menjawabnya memang tidak sanggup rasa di hati. Pedihnya hingga tiada lagi rasa yang tertinggal di dalam hati.

Telefon bimbit yang berada di atas meja kopi di hadapannya itu berdering lagi. Entah untuk kali ke berapa deringan itu Fatiha tidak mengiranya. Perlahan jemarinya mencapai alat elektronik itu lalu butang hijau pada papan kekuncinya ditekan. Tidak langsung terfikir hendak melihat dahulu siapa gerangan pemanggilnya terus sahaja telefon dibawa ke telinga.

“Hello! Kenapa susah sangat nak jawab telefon?” Tanpa ucapan salam, terus sahaja pemanggil di sebelah talian menghambur pertanyaan.

“Assalamualaikum!” Sengaja Fatiha memberi salam. Sebagai peringatan supaya di lain kali lelaki itu akan tahu beradap.

“Waalaikumussalam!” Keras suara di seberang talian. Mungkin kemarahan semakin bertambah dengan layanan yang diterima.

“Awak nak apa lagi dari saya, Khairul? Sudahlah. Pergilah pada Sahana. Tak perlu awak hubungi saya lagi.” Terus sahaja Fatiha ke pokok utama persoalan. Tidak mahu berbasa-basi lagi apabila sudah tiada rasa yang tinggal di dalam hati apabila berkaitan dengan lelaki itu.

Talian di sebelah sana langsung tiada sebarang bunyi. Senyap. Sunyi. Mungkin lelaki itu terkejut dengan kata-kata Fatiha. Mungkin lelaki itu tidak menyangka rahsianya yang tersimpan selama ini sudah jelas nyata terbentang di hadapan mata Fatiha. Atau mungkin lelaki itu sedang mencari alasan untuk terus menutup kesalahannya.

“Apa yang Fa cakap ni? Sahana tu kan adik angkat kita. Takkan dengan adik angkat sendiri pun Fa nak cemburu.” Lembut lelaki bernama Khairul itu menutur kata. Hilang langsung nada kemarahannya sebentar tadi. Ketara kepura-puraannya saat itu.

“Sudahlah Khairul. Saya tak akan bercakap jika perkara tu tak benar. Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri awak memadu kasih dengan Sahana.” Mendatar sahaja suara Fatiha menutur kata. Sungguh jiwanya seperti telah mati. Tidak dapat menggambarkan sebarang perasaan lagi.

“Tapi Fa…” Tidak sempat lelaki itu hendak menghabiskan ayat, kata-katanya sudah dipintas oleh Fatiha.

“Sudahlah. Saya anggap awak sudah mati. Jangan hubungi saya lagi lepas ni. Semoga awak berbahagia. Selamat tinggal. Assalamualaikum!” Usai memberi salam, butang merah di papan kekunci telefon ditekan. Bahagian belakang telefon bimbit itu dibuka lalu kad sim yang ada di dalamnya dikeluarkan.

Mujur sahaja dia sememangnya ada membuat salinan semua nombor-nombor telefon ke dalam diari. Tidak menjadi masalah untuknya melupuskan kad sim tadi. Tidak mahu lagi sebarang hubungan dengan lelaki itu. Itu sahaja cara yang terbaik untuknya membuang terus lelaki itu dan segala kenangan bersamanya.

Itulah kali terakhir mereka berhubungan. Dan itulah hari terakhir Fatiha berada di rumah itu. Bersama siang yang beransur malam, Fatiha meninggalkan tanah kelahirannya. Pergi membawa diri jauh dari semua yang mengenalinya.Pergi jauh meninggalkan kenangan pedih semalam.

2 comments:

AZBK said...

kak buat adit tertanya-tanya... cemburu ? atau apa ? wahh akak ni tinggalkan tanda tanye.. ekekekek dia cemburukan adik angkat khairul tu ke .. sahana..? wahh ni yg wat adit nak tahu ni.........

sambung kak sambung.. esok nak baca..........

Maryam said...

adusss.... kenapa tiha mghilangkan diri?? kcian Taufiq... i Like taufiq... hu88.. akk cepat smbg n3 baru..

.