Friday, July 30, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 9



PAGI itu Shah bangun dengan azam yang baru. Dia ingin melupakan kejadian yang telah merobek hati dan menjatuhkan maruahnya. Dia ingin meneruskan hidup dan mencapai cita-citanya. Lagipun semalam pengawal keselamatan di Wisma Hanija itu telah memberikannya jalan untuk memperbaiki nasibnya.

Shah berpakaian kemas pagi itu. Dia mengenakan seluar ‘jeans’ dan ‘tshirt’ berkolar yang dimasukkan ke dalam. Rambutnya yang sedikit panjang dan sentiasa diikat telah dipotong pendek.

Sepasang kasut kulit miliknya yang sesuai dipakai dengan semua jenis seluar dikeluarkan dari dalam kotak. Kasut itu jarang dipakai. Kasut yang direka dan dijahitnya sendiri itu hanya dipakai jika hendak menghadiri temuduga sahaja. Namun kali ini Shah bercadang hendak memakainya semasa bekerja pula.

Shah ingin kelihatan kemas di hadapan pekerja-pekerja di Wisma Hanija. Mana tahu dengan imejnya yang kemas itu dia mendapat peluang untuk bekerja di dalam bangunan itu. Mungkin juga Datuk Jamal yang baik hati itu akan memberikan Shah peluang mengisi sebarang kekosongan jawatan di syarikat miliknya itu.

Mak Su Hawa tersenyum sebaik terpandang kelibat Shah yang baru keluar dari biliknya. Berbeza sungguh gaya anak saudara suaminya itu pagi ini. Selalunya lelaki itu berseluar jeans lusuh dan kemeja leher bulat sahaja.

“Kemasnya kamu hari ni. Ada temuduga ke?” Mak Su Hawa melontarkan pertanyaan kepada Shah yang baharu sahaja duduk di meja makan. Tangannya ligat menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggan. Pinggan yang telah penuh berisi nasi goreng disuakan kepada Shah.

Shah mengambil nasi goreng yang dihulurkan oleh Mak Su Hawa. Sudu yang elok tergantung di pemegangnya dicapai. Disuap sesudu nasi goreng ke dalam mulut sebelum menjawab pertanyaan Mak Su Hawa tadi.

“Tak adalah Mak Su. Saja je Shah ubah imej. Shah sekarang dah tak ‘repair’ kasut kat depan pasaraya tu lagi.” Mak Su Hawa sedikit terkejut. Terasa hairan juga. Kenapa pula Shah beralih tempat. Bukankah di hadapan Pasaraya Mesra itu Shah boleh mendapat ramai pelanggan. Di situ selalu menjadi perhatian penduduk kawasan sekitar untuk membeli belah barang keperluan harian.

“Kenapa kamu pindah? Kat depan pasaraya tu kan selalu ramai orang.” Shah melempar senyum. Mana mungkin dia akan memberitahu Mak Su Hawa akan penghinaan yang diterimanya semalam. Biarlah perkara itu menjadi kenangan semalam yang terlipat kemas di ingatannya.

“Saja je Mak Su. Tukar angin. Bosan pula asyik tempat yang sama. Asyik nampak orang yang sama aje.” Ligat sahaja akalnya mencari alasan yang bernas. Tidak mahu kelihatan seperti berbohong walaupun sememangnya dia sedang berbohong kepada ibu saudaranya itu.

“Ke mana kamu pindah?” Masih belum habis lagi rupanya soal siasat dari Mak Su Hawa. Terasa gelihati pula Shah memikirkannya.

“Hehe… Mak Su ni tanya macam polis pencen. Shah pindah kat depan Wisma Hanija, Mak Su.” Mak Su Hawa turut tersenyum dengan usikan Shah. Ada-ada sahaja cara anak saudara suaminya itu hendak mengenakannya.

“Ada pula polis pencen dikatanya kita. Mak Su risaukan kamu. Mak Su tak mahu kamu tersilap jalan. Kalau apa-apa jadi pada kamu, apalah yang Mak Su dan Pak Su nak jawab pada umi serta abi kamu nanti.” Terharu Shah mendengar kata-kata ibu saudaranya itu. Beruntung Pak Su Mat beristerikan Mak Su Hawa yang cantik dan baik hati. Mak Su Hawa juga seorang yang penyayang.

“Ye Mak Su. Shah tahu Mak Su dengan Pak Su sayangkan Shah sebab itulah Mak Su ambil tahu hal Shah. Shah pun sayangkan Mak Su dengan Pak Su sama macam Shah sayangkan umi dan abi. Dekat sini… Mak Su dan Pak Su ibarat umi dan abi Shah.” Tersenyum Mak Su Hawa dengan kata-kata Shah. Memang benar apa yang diucapkannya itu. Memang Mak Su Hawa sayangkan Shah seperti anaknya sendiri. Sementelah dia sendiri tidak mempunyai zuriat.

“Ha! Berbalik perkara tadi. Kenapa pula kamu ubah imej bila dah pindah ke depan Wisma Hanija tu?” Masih lagi belum puas hati Mak Su Hawa dengan jawapan-jawapan yang telah diberikan. Memang betul-betul seperti seorang polis menyoal pesalah.

“Eh! Belum habis lagi ye Mak Su. Haha! Tak adalah Mak Su. Dekat situ tempat korporat. Semalam Shah ada sembang-sembang dengan ‘guard’ kat situ. Bila dia dapat tahu Shah ada ijazah, dia janji nak tanyakan kerja kosong kalau-kalau ada yang sesuai untuk Shah kat dalam Wisma tu. Lagipun Mak Su, semalam Shah dah jumpa pemilik Wisma Hanija tu sendiri. Baik betul orangnya Mak Su.” Bersemangat sungguh Shah bercerita. Terlupa terus akan kesedihan dihina Maya dan dihalau pengawal keselamatan semalam.

“Kalau begitu baguslah Shah. Jaga imej. Jaga peribadi. Jaga juga percakapan. Jangan cari pasal dengan orang. Berbaik-baik dengan orang. Untung-untung ada rezeki kamu dekat dalam Wisma Hanija tu.” Nasihat Mak Su diterima dengan hati terbuka. Di dalam hati Shah turut berdoa agar dipermudahkan rezekinya di situ.

*******************
TERSENYUM lebar gadis itu apabila kelibat Shah makin menghampirinya. Di tangan kirinya tergantung satu plastik berisi kasut yang dijanjikan semalam. Di tangan kanannya pula terdapat satu bungkusan teh yang masih berasap.

“Maaflah abang lambat sikit sampai. Dah lama ke adik tunggu?” Gadis itu menggeleng dan tersenyum. Risau juga Shah sekiranya gadis itu marah kerana terpaksa menunggu lama. Hari ini Shah datang dengan menaiki bas sahaja. Malas hendak membawa motosikalnya. Tidak tahu hendak diletakkan di mana pula nanti. Diapun masih belum biasa dengan kawasan Wisma Hanija itu lagi.

“Tak adalah bang. Saya pun baru je sampai ni. Tadi lepas ‘punch card’ saya pergi bersarapan dulu. Ha! Air ni untuk abang.” Gadis itu menghulurkan bungkusan teh itu kepada Shah. Nampak ikhlas wajahnya. Terasa segan pula Shah hendak menerima mahupun menolaknya.

“Eh! Takpelah dik. Buat susah-susah je. Lagipun abang dah sarapan dekat rumah tadi.” Bungkusan teh itu tetap juga dihulurkan kepada Shah. Walaupun segan namun terpaksa juga Shah menerima pemberian gadis itu. Tidak mahu pula dikata tidak sudi oleh gadis itu.

“Tak susah manapun bang. Bukannya saya kena bancuh air tu. Saya order aje dekat kedai tu tadi.” Sedikit tertawa gadis itu dengan kata-katanya sendiri. Shah ikut tertawa.

“Terima kasihlah dik. Ha! Mana dia kasutnya?” soal Shah setelah bungkusan teh tadi disangkutkan di paku khasnya. Segera gadis itu mengunjukkan plastik berisi kasut di tangan kirinya kepada Shah.

Shah mengambil plastik itu lalu mengeluarkan isinya. Dibelek-belek sebentar kasut itu sebelum bersuara. Kasut itu diletakkan di sebelah kotak peralatannya yang belum sempat dibuka.

“Sikit je ni dik. Takpelah. Tinggalkan kat sini dulu. Nanti abang tukarkan tapaknya. Tengahari ataupun petang nanti adik datanglah ambil.” Gadis itu mengerling jam di pergelangan tangan sebelum mengangguk.

“Baiklah bang. Tengahari nantilah saya datang ambil. Lagipun dah lapan setengah ni. Sekejap lagi terserempak dengan Datuk pula.” Gadis itu tersenyum dan berlalu. Menghilang ke dalam bangunan Wisma Hanija yang tersergam megah.

Shah tersenyum memandang kasut itu. ‘Inilah rezeki pertama aku kat sini. Alhamdulillah. Dapat kasut untuk dibaiki, dapat air percuma juga.’ Bergema kata-kata syukur itu di dalam hatinya.

Kotak peralatan segera dibuka. Alatan yang biasa digunakan dikeluarkan dan diletakkan di atas lantai. Getah-getah untuk tapak disusun kemas di dalam kotak. Satu darinya dikeluarkan dari kotak dan jemarinya mula lincah bekerja menukarkan tapak kasut pelanggan pertamanya.

****************
HASLINDA yang leka memerhatikan Shah melayan gadis tadi terkejut apabila mendengar hon dari kereta di belakangnya. Tanpa memandang cermin pandang belakang, Haslinda terus sahaja menekan pedal minyak. Mujur sahaja menggunakan kereta bergear automatik. Kalau tidak tentu sahaja mati enjinnya tadi akibat kelam-kabut memasukkan gear.

Kereta terus dipandu masuk ke kawasan letak kereta bawah tanah Wisma Hanija. Hari ini Haslinda memandu sendiri ke pejabat seperti biasa. Semalam terpaksa menumpang kereta papanya disebabkan kereta kesayangannya itu tidak dapat dihidupkan enjinnya.

Puas juga dia diketawakan oleh mama dan papanya semalam setelah mengetahui punca kerosakan. Rupanya hanya mengalami masalah bateri lemah sahaja. Selepas ditukar oleh mekanik yang dipanggil datang ke rumah, terus sahaja enjinnya dapat dihidupkan dengan mudah.

Kereta dipandu terus ke kotak letak kereta yang memang telah dikhaskan untuknya. Masih lagi Haslinda tidak turun dari kereta walaupun enjin sudah dimatikan. Masih lagi dalam proses menenangkan diri akibat terkejut tadi. Teringat pula kepada kereta yang menekan hon di belakang keretanya tadi.

‘Kereta siapalah agaknya yang buat aku terkejut tadi tu. Nasib baik aku tak ada sakit jantung… Kalau tidak dah arwah aku tadi.’
Bisik hatinya. Mata melilau memandang ke kawasan letak kereta bawah tanah itu dari dalam keretanya. Mencari-cari kereta tadi tetapi tiada kelihatan.

Tersandar seketika Haslinda di kerusi pemandu. Terfikir-fikir mengapa dia boleh terleka memerhatikan si tukang kasut itu tadi. Sukakah dia? Atau cemburukah dia? Ah! Hati sedang cuba mentafsir perasaan.

****************
BADRUL mengetuk cermin tingkap kereta Haslinda. Dia tahu gadis itu masih belum keluar dari kereta. Mungkin masih terkejut dengan insiden tadi. Entah apa yang menarik perhatian gadis itu tadi sehinggakan berhenti di jalan masuk ke tempat letak kereta bawah tanah itu.

Sedikit kelucuan apabila sekali lagi gadis itu terkejut. Masih berkhayal lagi gadis itu. Entah apalah yang sedang difikirkannya. Seperti memikirkan masalah besar pula lagaknya.

“Kenapa Cik Linda? Ada masalah ke?” Terpacul soalan dari Badrul sebaik cermin tingkap diturunkan sedikit oleh Haslinda.

“Eh! Encik Badrul. Tak… Tak ada apa-apa. Encik Badrul nak ke mana?” Masih belum dapat berfikir dengan tenang lagi gadis itu. Soalan yang tidak logik pula yang terluncur dari bibirnya. Haslinda tersenyum sendiri dengan kekalutannya.

“Saya nak masuk kerjalah Cik Linda. Cik Linda pula buat apa kat dalam kereta ni?” Soalan Haslinda sengaja dijawab dengan soalan juga oleh Badrul. Sengaja ingin mengenakan gadis itu. Terdiam sahaja Haslinda. Tiada rasa hendak meneruskan perbualan.

Entah kenapa Badrul tidak berapa suka dengan gadis itu sedangkan gadis itu tidak pernah mengganggu kerjanya walaupun dia seringkali lewat dan culas dalam tugas. Mungkin kerana fizikal gadis itu barangkali.

Kalaulah gadis itu kurus dan cantik seperti Maya, tentu sahaja Badrul akan cuba memikatnya. Siapa yang tidak mahu gadis cantik dan anak pemilik Wisma Hanija. Sudah tentu hidup akan senang lenang dan boleh mewarisi kekayaannya. Kepada siapa lagi Datuk Jamal akan menurunkan segala harta kekayaannya kalau bukan kepada satu-satunya anak tunggalnya itu. Tetapi malang sungguh, gadis itu gempal dan kolot.

4 comments:

Maryam said...

kak ad.... adakah gadis yg xbernama e2 adalah heroin cete cinta situkang kasut itu..
wahhhhhhhhhhhhhhhhhhhh............
akak cepat smbg n3 baru...........
hu88888........

azrina nur rusly said...

hehehe... kejutankah?

Anonymous said...

Demi minatku membaca novel ini.. maka ku akan mengikuti juga kisah ini.. semalam tak sempat bace.. tadi dari tepi pantai tadi teringin nak habiskan bacaan.. terus ke pergi cc sekejab baca CSTK bab 9....

menarik... adit teruja sgt kak....

cepat2 sambung CSTK ni kak ad...

dah sambung gitau adit... adit akan baca... x nak terlepas walau satu bab pun.. pls pls..

***

skrg adit dah benci dua org..

MAYA dan BADRUL !!!!!!!

walau camne pun adit suka watak shah.....

err haslinda.. blum lagi.. tapi mcm haslinda je heroin citer neh... hehehehehehe

syabas kak ad...

DARI - Adit Zulfatah

azrina nur rusly said...

thanks adit sudi ikuti enovel kak ad. hehehe... haslinda tu baik.. tp gadis tak bernama tu pun baik kan. ahaks

.