Saturday, July 31, 2010

Asmara Harum Kemboja bab 1





Sebuah kereta Toyota merah perlahan-lahan memasuki kawasan halaman rumah usang milik arwah Tuan Haji Yahya lalu berhenti di bawah sepohon rambai yang merendang. Sudah lama rumah itu tinggal. Tiada siapa yang memperdulikannya.

Semenjak Tuan Haji Yahya meninggal dunia, tiada seorangpun yang pernah datang ke rumah itu. Jangankan hendak membantu membersihkan kawasan rumah itu, hendak mengambil buah-buahan yang banyak di sekeliling rumah itu pun tidak ada yang sanggup.

Pokok buah-buahan yang lebat berbuah setiap tahun tiada siapa yang berani mahu mengambilnya. Baik untuk dimakan sendiri mahupun dijual kepada orang lain. Hanya jatuh ke bawah, mereput dan menjadi baja organik.

Akhirnya rumah yang tinggal itu menjadi makanan anai-anai sahaja. Semakin hari semakin using, mereput dan hanya menunggu masa menyembah bumi. Tiada siapa yang peduli.

Pintu kereta di bahagian pemandu terbuka perlahan. Keluar seorang lelaki berpakaian santai dan berdiri menghadap ke rumah itu. Tanpa menoleh kiri dan kanan, terus sahaja lelaki itu mengorak langkah menuju ke rumah yang sudah hampir roboh itu.

Seketika kemudian pintu sebelah penumpang dan pintu belakang pula terbuka. Seorang wanita berambut perang melangkah keluar diikuti sepasang kanak-kanak dari kiri dan kanan pintu belakang kereta. Berdiri berderetan mereka bertiga menghadap ke arah rumah itu.

Jiran sebelah rumah yang sedang menikmati minum petang di beranda terjenguk-jenguk kehairanan. Tertanya-tanya siapa yang sudi datang ke rumah tinggal yang telah dipenuhi semak samun itu.

*********************
PAK Ali bangun dari sila lalu turun ke tanah. Selipar jepun yang sudah hilang warnanya disarungkan ke kaki. Panjang-panjang langkah dihayun ke arah rumah arwah Tuan Haji Yahya yang dikunjungi tetamu.

Menyusup saja tubuh kurus Pak Ali melalui celahan pagar buluh yang menjadi sempadan antara tanah miliknya dan tanah arwah. Tiada ucapan salam yang dihulur Pak Ali memandangkan susuk wanita dan kanak-kanak yang kelihatan seperti bangsa asing itu diragui anutan agamanya.

Ketiga-tiga manusia yang sedang ralit memerhati keadaan rumah itu terkejut apabila tiba-tiba sahaja Pak Ali sudah berada di hadapan mereka. Sedikit terjerit wanita berambut perang itu. Kedua-dua kanak-kanak itu pula cepat-sepat lari bersembunyi di belakang wanita itu.

Pak Ali hanya tersengih menampakkan barisan giginya yang sudah hampir habis luruh dari cengkaman gusi. Bukan sengaja Pak Ali hendak menakutkan mereka.Tangan segera diangkat untuk menyabarkan.

Lelaki yang tadi hilang di dalam rimbunan semak samun bergegas semula ke halaman. Mungkin kerana terdengar jeritan wanita itu tadi. Serta-merta lelaki itu melempar senyum kepada Pak Ali dan dibalas juga oleh Pak Ali yang masih kehairanan.

Lelaki itu tidak sedikitpun terkejut dengan kehadiran Pak Ali. Langsung juga tidak bertanya siapakah dia. Lagaknya seperti dia mengenali Pak Ali yang sedang berdiri di hadapannya.

Lelaki itu terus menghulurkan tangan kanannya kepada Pak Ali. Senyuman masih lagi melekat di bibirnya. Tubuh tua itu diraih ke dalam pelukannya seketika. Selepas meleraikan pelukan barulah dirinya diperkenalkan kepada Pak Ali yang kebingungan.

“Apa khabar Pak Ali?” Lelaki itu memulakan kata. Pak Ali nyata terkejut apabila lelaki itu menyebut namanya. Tertanya-tanya Pak Ali gerangan lelaki itu. Tidak pernah sekalipun Pak Ali melihat lelaki itu di dalam kampung sebelum ini.

“Alhamdulillah. Siapa kamu ni? Macam mana kamu kenal Pak Ali?” Tersenyum saja lelaki itu mendengarkan pertanyaan Pak Ali. Sudah tentulah lelaki tua itu akan kehairanan apabila dirinya dikenali oleh tetamu yang tidak diundang.

“Tentulah saya kenal Pak Ali. Walaupun saya dah lama tinggalkan kampung ni, saya masih ingat lagi orang-orang yang pernah baik dengan saya dulu.” Bertambah terkejut lagi Pak Ali dengan jawapan yang diberi oleh lelaki itu. Terus saja diamati wajah putih kuning lelaki yang masih tersenyum ke arahnya itu.

“Kamu orang kampung ni? Siapa mak bapak kamu?” Masih lagi Pak Ali tidak berpuashati. Selagi tidak diketahui siapakah gerangannya lelaki muda itu, selagi itulah hatinya tidak puas.
“Pak Ali, takkan sudah tak kenal dengan saya? Saya Tarmizi, anak Haji Yahya.” Menepuk dahi Pak Ali mendengarkan jawapan lelaki muda itu.

“MasyaAllah! Kamu Tarmizi? Betulkah kamu Tarmizi? Yang dulu selalu melawan cakap ayah kamu tu? Betul kamu ni Tarmizi yang itu?”

“Betullah Pak Ali. Sayalah Tarmizi yang kena halau dari kampung dulu sebab memalukan arwah ayah. Sayalah juga Tarmizi yang menjadi penyebab kematian emak dulu.” Sayu lelaki itu berkata. Teringat kembali kejadian yang berlaku lima belas tahun dulu.

“Ke mana kamu menghilang selama ni? Tak pernah sekalipun kamu balik ke sini sejak kejadian tu. Waktu ayah kamu meninggal dulu pun kamu tak balik juga. Merajuk benar kamu dengan ayah kamu tu ya.” Sayu wajah Tarmizi.

Wanita berambut perang yang masih memerhatikan perbualan dua lelaki itu berjalan menghampiri Tarmizi. Berdiri wanita itu di sisinya. Dipaut lengan kanan Tarmizi dengan tangan kirinya. Diusap-usap lengan Tarmizi dengan tangan kanannya. Mungkin berniat untuk menenangkan perasaan lelaki itu.

Tarmizi memperkenalkan wanita itu kepada Pak Ali. “Ini isteri saya Pak Ali. Nama dia Amanda.” Amanda menghulurkan tangan kanannya ke arah Pak Ali. Segera Pak Ali menyambut tangan wanita itu. Sedikit terkejut dia apabila wanita itu mencium tangannya. Bijak betul Tarmizi mendidik isterinya yang berlainan bangsa itu tentang rasa hormat terhadap orang yang lebih tua.

Digamit pula sepasang kanak-kanak yang masih lagi berdiri terpaku di hadapan kereta. Berlari-lari anak keduanya menghampiri Tarmizi. Giliran kedua-dua kanak-kanak tersebut pula untuk diperkenalkan kepada Pak Ali.

“Ini Melissa dan yang ini adiknya Mikael. Mereka berdua ni kembar Pak Ali.” Tersenyum lagi Pak Ali apabila kedua-dua kanak-kanak itu turut menyalami dan mencium tangannya.

“Anak kamu ni? Comel.” Tarmizi hanya mengangguk tanda menyetujui kata-kata Pak Ali. Memang ramai yang memuji anak-anaknya. Mungkin disebabkan mereka lahir hasil kacukan dua bangsa barangkali yang membuatkan mereka mempunyai wajah yang sebegitu.

“Eh! Dah lama kita berborak di sini. Marilah ke rumah Pak Ali. Kita sambung berborak sambil minum kopi. Kebetulan Mak Som kamu ada buat kuih bingka tadi. Bolehlah kamu merasa seorang sedikit.”

“Wah! Langkah kanan juga saya ke mari. Dah lama betul tak merasa kuih bingka yang paling sedap dalam kampung ni.” Ujar Tarmizi sambil tersenyum. Pak Ali turut tersenyum dengan pujian itu. Sememangnya kuih bingka buatan Mak Somlah yang paling sedap di dalam kampung itu.

Tarmizi sekeluarga membuntuti Pak Ali ke rumahnya. Kereta ditinggalkan sahaja di halaman rumah arwah ayahnya. Kali ini tidak pula Pak Ali menyusup keluar melalui celah pagar sahaja. Dibawa tetamu sekeluarga itu ke rumahnya melalui jalan yang sebenarnya.

Sambil berjalan sempat mereka berbual-bual. Sesekali terdengar ketawa kedua-dua lelaki itu. Mungkin bercerita tentang perkara lucu yang pernah dialami dulu suatu masa dahulu.

11 comments:

Noraz Ikha said...

bab 2 please ehehe

azrina nur rusly said...

insyaallah... bakal menyusul.

BillyNain said...

novel mistik...sgt minat genre jenis ni...gud luck kak adrin

azrina nur rusly said...

thanks billy... kak ad try buat sebaik mungkin.

AZBK said...

menarik,.....

cover pun cantik.....

chaiyok2x kak!...

azrina nur rusly said...

tq2 dit. kak ad cuba...

apit said...

kasi seram kaw2 kak ad..hehe..permulaan cerita pn dah menarik..xsabar nak tunggu bab 2..

azrina nur rusly said...

thanks... akan dicuba untuk menyeramkannya. tp lau kak ad takut caner? tak abis la citer ni. hahaha

DALIA NA ZA said...

macam mana lak si penulis lak jadi takut...ekekekeke...
errr...kalau takut takpe...aku teman kat sebelah.... :P

sha said...

kak ad..sukanya citer ni...best la plak..hehehe...kalau citer misteri sha lbh suka baca dr tengok citer...hehehehe

momo said...

kak ad..haha..momo dapat bayangkan cerita ni dalam suasana yang seram..hahaha..chaiyokk kak ad..

.