Monday, July 26, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 8


BADRUL memberhentikan kereta di hadapan Pasaraya Mesra. Matanya melilau seolah-olah mencari sesuatu. Maya yang terpandang wajahnya sebelum membuka pintu kereta merasa sedikit hairan.

“Kenapa bang? Abang cari apa?” Pertanyaan Maya sedikit mengejutkan Badrul. Tersengih seketika Badrul sebelum menjawab soalan Maya yang masih lagi menghadap ke arahnya.

“Tak ada. Tadi abang nampak kecoh-kecoh dekat depan pejabat abang masa abang nak jemput sayang tadi. Abang pun perhatikan saja dari jauh. Kemudian abang nampak bos abang, Datuk Jamal tengah bercakap dengan seorang tukang kasut. Rupa dia macam abang pernah nampak aje. Kalau tak silap abang macam tukang kasut yang ‘repair’ kasut kat sini tu.” Maya tertawa sebaik Badrul habis bercerita. Badrul kehairanan.

“Jadi… Tadi tu abang tengah cari tukang kasut tu la eh? Abang nak pastikan betul ke tukang kasut yang dekat depan pejabat abang tu orang yang sama dengan tukang kasut dekat sini tu?” Badrul mengangguk mendengarkan pertanyaan Maya.

“Betullah dia tu bang. Pagi tadi Maya dah maki dia. Itu sebab dia ada dekat sana. Malu la agaknya dengan orang-orang dekat sini. Kerja tukang kasut… Ada hati nak mengorat Maya.” Angkuh sungguh Maya berkata-kata. Badrul mencebik di dalam hati.

“Kenapa?” Soal Badrul ingin tahu.

“Pagi tadi bang. Dia nampak abang hantar Maya. Kemudian dia sibuk tanya Maya ke mana malam tadi. Siapa abang la. Tapi yang tak boleh tahan tu dia boleh cakap yang dia sayangkan Maya, dia cintakan Maya. ‘then’ dia boleh tanya siapa dia pada Maya.” Terhambur tawa usai Maya bercerita. Badrul turut ikut ketawa. Mungkin merasakan perkara itu sesuatu yang melucukan.

“Habis tu apa yang sayang cakap sampai dia pergi ke tempat lain?” Masih lagi Badrul ingin mengorek cerita yang telah berlaku. Tentu sahaja Maya telah mengucapkan sesuatu yang sangat menyakitkan hati hinggakan tukang kasut itu meninggalkan tempat biasa dia mencari rezeki.

“Maya cakap dengan dia… Abang ni kekasih Maya.. kerja besar. Maya suruh dia cerminkan diri dia… tengok sesuai ke tidak dengan Maya.” Masih lagi Maya ketawa. Bangga dengan penghinaan yang telah dilakukannya terhadap Shah pagi tadi. Badrul hanya tersenyum sambil mengangguk.

“Baiklah sayang, abang nak balik pejabat ni. Lambat nanti takut ada yang cari abang.” Maya yang masih menghadap ke arah Badrul mendekatkan wajahnya ke wajah Badrul. Satu kucupan hinggap di bibir Badrul. Tersengih Badrul sambil memandang Maya yang berpaling membuka pintu kereta. Kereta mendesup laju meninggalkan Pasaraya Mesra selepas Maya berlalu masuk menyambung tugas.

****************
PENGAWAL keselamatan yang sedang bertugas di hadapan bangunan Wisma Hanija melemparkan senyum kepada Shah yang sedang tersenyum ke arahnya. Perlahan pengawal keselamatan berbangsa India itu datang ke tempat Shah.

Melihatkan pengawal keselamatan itu sedang menuju ke arahnya, Shah meletakkan makanan yang diberikan oleh Datuk Jamal tadi ke atas kotak peralatannya. Bungkusan air disangkutkan ke paku khas yang terdapat di penjuru kotak.

“Aya…. Saya minta maaf susahkan Aya pagi tadi.” Pengawal keselamatan itu tersengih ke arah Shah. Teringat semula kejadian pagi tadi.

“Tara apa hal la. Saya cuma jalankan tugas. Itu Datuk Jamal sudah kasi izin sama awak… Saya pun tara boleh halau sama awak la.” Balas pengawal keselamatan itu sambil ketawa. Shah turut ketawa. Terasa lucu dengan kata-kata pengawal keselamatan itu.

“Aya sudah lama kerja sini ke?” Pengawal keselamatan itu mengangguk dengan pertanyaan Shah. Sesekali matanya melingas ke arah lobi Wisma Hanija.

“Saya sudah dua tahun kerja sini. Dulu saya kerja dekat tempat lain. Lepas syarikat tutup, saya minta kerja dekat sini. Sama itu Datuk Jamal la. Dia banyak baik punya orang.” Giliran Shah pula mengangguk. Tinggi pujian pengawal keselamatan itu kepada Datuk Jamal.

“Awak sudah lama ke bikin ini kerja?” Soal pengawal keselamatan itu kepada Shah. Laju Shah menggeleng.

“Baru lagi. Belum sampai satu bulan pun Aya.” Berkerut dahi pengawal keselamatan itu.

“Kenapa awak bikin ini kerja? Awak muda lagi. Awak tak sekolah ke?” Soal pengawal keselamatan itu. Shah tersenyum.

“Saya sudah habis sekolah Aya. Susah la nak dapat kerja bagus. Dari saya menganggur, baik saya ‘repair’ kasut kan. Ada juga hasil.” Mengangguk sahaja pengawal keselamatan itu dengan kata-kata Shah. Ada benarnya. Daripada menganggur, lebih baik lakukan sahaja kerja yang boleh mendatangkan hasil.

“Awak banyak bagus la. Cuba la tanya dalam ada kerja kosong ke tidak. Apa awak punya kelulusan?” Shah tersenyum dengan cadangan pengawal keselamatan itu.

“Saya ada ijazah saja Aya.” Jawapan Shah membuatkan pengawal keselamatan itu terkejut.

“Awak ada ijazah tapi bikin kerja ‘repair’ kasut saja? Rugi. Tak apa. Nanti saya tanya dalam ada kosong ke tidak. Kalau ada, saya cakap dengan awak.” Pengawal keselamatan itu meninggalkan Shah sebaik terlihat ada sebuah kereta berhenti di hadapan Wisma Hanija. Shah hanya menghantar langkah pengawal keselamatan itu dengan senyuman.

‘Baik hati juga pengawal tu. Datuk pun baik. Harap rezeki aku ada di sini.’ Hati Shah berkata-kata. Bungkusan makanan yang diletakkan di atas kotak tadi dibuka. Perut yang sedia lapar menjadi bertambah lapar melihatkan isi ayam yang wangi dan kelihatan sungguh menyelerakan. Sudu plastik yang ada segera dicapai. Dilap terlebih dahulu dengan tisu yang turut ada di dalam plastik itu. Laju sahaja Shah menyuap makanan ke dalam mulut usai berdoa.

*****************
SEBUAH kereta Mercedes berwarna hitam metalik sudah siap sedia berhenti di hadapan lobi Wisma Hanija. Seorang lelaki separuh abad keluar dari pintu sebelah pemandu. Berdiri sebentar di sebelah pintu sebelum berjalan ke arah lobi lalu menghilangkan diri ke dalam bangunan Wisma Hanija.

Seketika kemudian lelaki itu keluar semula sambil menjinjit sebuah beg bimbit. Di belakangnya kelihatan Datuk Jamal dan Haslinda sedang berjalan sambil berbual. Sempat lagi Datuk Jamal melemparkan senyum ke arah Shah yang sedang memandang ke arahnya. Shah membalas senyuman yang diberikan.

Lelaki separuh abad tadi membuka pintu bahagian hadapan dan menutup kembali setelah meletakkan beg di atas kerusi penumpang. Kemudian pintu bahagian belakang pula dibuka. Kedua beranak itu memboloskan diri ke dalam kereta sebelum kereta bergerak keluar dari kawasan Wisma Hanija.

Shah membelek jam yang berada di pergelangan tangan kanannya. ‘Dah pukul lima setengah.’ Bisik hatinya. Seketika kemudian kelihatan beberapa orang pekerja yang keluar dari Wisma Hanija menuju ke arah hentian bas di seberang jalan.

‘Dah waktu balik kerja agaknya ni. Aku kemas dululah. Esok pagi-pagi aku datang lagi sini. ’ Hatinya berkata lagi sambil tangan ligat mengemaskan peralatan yang berada di atas lantai masuk ke dalam kotak.

“Bang! Esok ada tak?” Sedikit terkejut Shah mendengar pertanyaan yang tiba-tiba. Matanya tertancap ke wajah gadis yang berdiri di sebelahnya. Tersenyum sedikit gadis itu kepadanya, Shah membalas senyuman itu.

“Ada dik. Kenapa? Ada kasut nak dibaiki ye? Bawalah esok. Hurm… Jam berapa pejabat buka ye?” Soal Shah kepada gadis itu.

“Lapan setengah bang. Ada kasut saya nak tukar tapak. Berapa ringgit abang ‘charge’?” Shah tersenyum mendengar pertanyaan gadis itu.

“Biasa kalau tukar tapak abang ‘charge’ lapan ringgit je dik. Tapi disebabkan adik ni pelanggan pertama, abang ambil lima ringgit aje. Boleh?” Tersengih gadis itu mendengar kata-kata Shah. Laju sahaja dia mengangguk setuju. Shah turut tersenyum dengan reaksi gadis itu.

“Wah! Bertuah saya jadi pelanggan pertama abang. Boleh dapat diskaun lagi. Terima kasih bang. Esok pagi-pagi saya bawa kasut tu ye bang?” Ujar gadis itu sebelum berlalu meninggalkan Shah meneruskan kerja mengemas.

Kotak peralatan yang sudah kemas disangkutkan ke bahu kiri. Bangku kecil yang menjadi alas duduk dipegang di tangan kanan. Sempat Shah melambai tangan kepada pengawal keselamatan yang masih lagi setia bertugas sebelum melangkah pergi meninggalkan bangunan Wisma Hanija.

Di tepi jalan Shah berpaling menghadap ke arah bangunan Wisma Hanija yang tersergam megah. Shah tersenyum. ‘Semoga rezeki aku ada di sini.’ Hati kecilnya berbisik kata sebelum langkah kaki diteruskan kembali ke Pasaraya Mesra.

3 comments:

SyaCha PQah Abdullah said...

huargh, mahu bab 8...
seronok...

Maryam said...

hu888....
bestlah kak....
nak komen dari bab 3 smpai bab8...
perasaan ketika membaca semua bab akak.. bermacam2 perasaan ada... benci, myampah, meluat, gembira, ceria... semua ada... macam astro, macam2 ada.. hu88..
akak cepatlah mskkan n3 baru.. hu88

azrina nur rusly said...

wah! tambah semangat nak sambung. tq2... kena carik idea mantap nih. idea... mari... datang la ke sini... aku menyeru... haha

.