Saturday, July 24, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 7


BADRUL dan Maya bergandingan memasuki pintu Restoran Nasi Ayam Istimewa. Begitu mesra Maya memaut lengan Badrul. Tersenyum lebar Badrul apabila Maya berbisik sesuatu di cuping telinganya.

Haslinda yang sedang menikmati nasi goreng ayam tiba-tiba terhenti suapannya. Sudu dan garfu yang sedang dipegang di kedua belah tangannya diletakkan di tepi pinggan. Pinggan yang masih banyak berisi makanan ditolak ke tepi. Disisip air belimbing yang berada di dalam gelas di hadapannya sedikit sebelum mengelap mulut dengan tisu yang telah tersedia di atas meja.

Datuk Jamal memandang ke wajah Haslinda. Rasa hairan mengetuk pintu hatinya. Pelik terasa apabila anak gadisnya itu menolak pinggan makanan yang masih berbaki. Tidak pernah anaknya itu membazirkan makanan sebelum ini. Tentu ada sesuatu di fikirannya.

“Kenapa ni sayang? Dah sudah makan ke? Banyak lagi nasi tu. Tak baik membazir makanan. Orang yang suka membazir ni kawan syaitan.” Lembut Datuk Jamal bertanya sambil diselangi dengan nasihat yang berguna. Haslinda kelihatan serba-salah. Perlahan tangan kanannya menarik semula pinggan yang telah ditolak ke tepi sebentar tadi.

Nasi di dalam pinggan dikuis-kuis dan disuap perlahan ke mulut. Mati seleranya sebaik terlihat adegan mesra Badrul bersama seorang perempuan cantik yang tidak dikenalinya tadi. Kecewa hatinya yang memang telah lama menyukai Badrul dalam diam.

Badrul seorang lelaki yang kacak bergaya, bertubuh sasa. Sesekali Haslinda terfikir juga mana mungkin Badrul akan menyukai dia yang bertubuh gempal dan bertudung. Rupanya memang benar tekaan Haslinda selama ini. Gadis yang cantik berambut panjang persis model itu yang menjadi citarasa Badrul.

Haslinda menyuap baki nasi goreng ayam tadi ke dalam mulut. Dikunyah perlahan. Seolah mengikut sunah nabi lagaknya. Mengunyah makanan sebanyak empat puluh empat kali kunyahan baharulah ditelan.

Sesekali matanya dilarikan ke arah Badrul dan pasangannya yang duduk di sudut restoran yang sedikit terlindung. Datuk Jamal turut menoleh ke arah tersebut. Menggeleng sahaja Datuk Jamal dengan perlakuan Haslinda. Tahulah punca kenapa anak gadisnya bersikap begitu.

Datuk Jamal tahu Haslinda menyukai Badrul dalam diam. Namun tiada apa yang boleh dilakukan sekiranya Badrul telah memilih pasangannya sendiri. Cinta tidak boleh dipaksa. Mungkin satu hari nanti Haslinda akan menemui cinta yang telah ditentukan Allah untuknya.

“Sayang, tadi papa ajak tukang kasut tu makan dengan kita sekali tapi dia menolak.” Datuk Jamal cuba memancing ‘mood’ anak gadisnya itu. Mungkin dengan bercerita mengenai tukang kasut itu, ‘mood’ anak gadisnya akan berubah.

Tepat sekali jangkaan Datuk Jamal. Haslinda begitu berminat mendengar mengenai tukang kasut itu. Wajahnya kelihatan ceria dan teruja apabila Datuk Jamal memulakan bicara.

“La… Kenapa dia menolak, pa?” Tersenyum Datuk Jamal mendengar pertanyaan anak gadisnya itu. Tahu anak gadisnya itu merasa sedikit hampa dengan penolakan itu.

“Entahlah. Katanya tak lapar lagi.” Haslinda hanya mengangguk dengan jawapan yang diberikan oleh Datuk Jamal. Tahu tentu itu hanya satu alasan untuk menolak.

“Dah tengahari macam ni mana ada orang tak lapar lagi, pa. Lainlah kalau orang tu ada masalah. Tak lalu makan.” Tersungging senyum di bibir Datuk Jamal dengan kata-kata anak gadisnya itu.

“Macam anak papa ni tadi eh?” Sengaja Datuk Jamal mengusik anak gadisnya itu. Ingin menceriakan suasana. Sekaligus ingin mengorek rahsia yang terpendam dalam hati anak kesayangannya itu.

“Eh! Mana ada pa.” Wajah Haslinda yang putih menjadi kemerahan. Terasa malu apabila diusik begitu. Serba tidak kena. Sekejap menguis nasi di dalam pinggan. Sekejap mengacau straw di dalam gelas.

“Tak mengaku pula ye.” Semakin bertambah rasa malu Haslinda apabila Datuk Jamal masih terus-terusan mengusik. Disisip lagi air belimbing di dalam gelas lalu ditolak menjauh.

“Betullah pa. Mana ada Linda suka tukang kasut tu. Baru je nampak hari ni. Mustahil boleh suka dalam masa satu hari.” Tersenyum sahaja Datuk Jamal dengan alasan yang baru sahaja diberi oleh anak tunggalnya itu. Bukannya satu perkara mustahil. Jika sudah Allah berkehendakkan begitu, tiada siapa yag mampu menolaknya.

“Habis tu… sayang suka Badrul?” Datuk Jamal memandang tepat ke wajah Haslinda. Tepat ke anak matanya.

“Papa… Kenapa cakap macam tu?” Soalan berbalas soalan. Haslinda kelihatan serba-salah. Nampak keresahan untuk menjawab soalan yang diberikan.

“Sayang…. Papa dah lama perhatikan. Papa tahu, sayang suka pada Badrul.” Haslinda tertunduk. Rasa malu dan sedih berbaur. Malu apabila perasaannya disedari oleh Datuk Jamal. Sedih apabila perasaan itu tidak berbalas.

“Pa… Memang Linda sukakan Badrul tapi dia dah ada pilihan dia sendiri.” Sedikit bergetar suara Haslinda.

“Kenapa sayang tak berterus-terang dengan dia yang sayang sukakan dia?” Haslinda mengangkat wajah. Memaku pandangan ke wajah Datuk Jamal.

“Papa sendiri nampak pilihan dia kan? Kurus, cantik, moden. Papa tengoklah Linda ni. Kolot. Bertudung. Gemuk pula tu. Dia tak akan pandang Linda, pa.” Datuk Jamal menggeleng mendengar jawapan Haslinda. Terlalu merendah diri anak gadisnya itu. Wajah anak gadisnya dipandang penuh kasih-sayang. Terasa kasihan juga apabila ditakdirkan anak gadisnya menghadapi kemelut begitu.

“Sayang… Kalau sayang tak cuba, sayang tak akan tahu jawapannya.” Datuk Jamal cuba meniupkan semangat dan keyakinan kepada anak tunggalnya itu. Bukannya Haslinda tidak cantik. Cuma Haslinda tidak bernasib baik apabila memiliki tubuh yang gempal. Haslinda juga tidak suka bergaya seperti kebanyakan anak-anak kenalannya yang hanya pandai menghabiskan harta ibu bapa.

“Tak apalah papa. Linda ni bukan ‘taste’ dia.” Datuk Jamal tersenyum lagi walaupun di dalam hati ada rasa sedih melihatkan Haslinda yang seolah sudah putus asa dengan diri sendiri.

“Kalau sayang nak, papa boleh bincangkan dengan Badrul.” Membulat mata Haslinda. Laju sahaja dia menggeleng. Datuk Jamal tertawa sedikit dengan respon anaknya itu.

“Pa… Linda tak mahu dia terima Linda sebab papa. Linda nak biarlah Linda diterima kerana diri Linda sendiri.” Begitu berkeyakinan Haslinda berkata. Bangga Datuk Jamal dengan pendirian yang dimiliki oleh Haslinda.

“Kalau dah begitu kata sayang…. Papa ikut saja. Tapi sayang kena janji dengan papa.” Berkerut dahi Haslinda dengan kata-kata Datuk Jamal. Sedikit tertanya-tanya di dalam hati janji apa pula yang harus dibuatnya.

“Janji apa pula ni pa?” Terpacul pertanyaan. Tidak sabar rasa hati hendak menunggu Datuk Jamal menghabiskan kata-kata.

“Sayang janji tak akan sedih-sedih lagi sampai hilang selera makan kerana Badrul tu.” Tersengih Haslinda mendengarkan janji yang dimaksudkan oleh Datuk Jamal. Sungguh penyayang papanya itu. Tidak sesekali mahu anaknya bersedih disebabkan orang lain.

“Papa ni….” Datuk Jamal tertawa lagi. Lapang rasa hati bila anak gadis kesayangannya sudah tersenyum kembali. Mudah sahaja memujuk Haslinda yang sememangnya tidak banyak karenah.

“Yelah… Yelah… Papa cuma nak anak papa ni gembira. Itu saja. Ha! Kalau dah tak mahu makan, jom kita balik ke pejabat. Dari tadi nasi tu dikuis-kuis saja. Tak ada juga yang disuap ke mulut.” Mengangguk sahaja Haslinda dengan kata-kata papanya. Ditolak pinggan ke tepi lalu ditarik gelas yang masih berisi. Disisip air yang masih berbaki hingga habis sebelum pulang ke pejabat.

**************
DATUK Jamal menghulurkan bungkusan makanan dan air kepada Shah yang sedang duduk bersandar di tepi dinding Wisma Hanija. Shah agak terkejut. Tidak sangka Datuk Jamal itu seorang yang begitu prihatin dan baik hati. Walaupun pelawaannya telah ditolak oleh Shah tadi namun tetap juga dia membelikan makanan untuk Shah. Shah rasa terharu.

Beberapa orang pekerja yang sedang melalui kawasan itu hanya memandang ke arah mereka. Rasa malu menerpa. Shah teragak-agak hendak menerima pemberian itu. Takut akan disalahanggap oleh orang yang melihat. Mungkin mereka akan beranggapan dia seorang pengemis yang meminta sedekah dengan cara membaiki kasut.

“Ambillah. Jangan malu. Saya ikhlas.” Shah memandang ke wajah Datuk Jamal. Kemudian ke wajah Haslinda yang berada di sisi Datuk Jamal.

“Tak apalah Datuk. Saya masih kenyang lagi.” Masih lagi Shah cuba menolak.

“Ambillah. Saya tahu awak lapar. Dah hampir petang ni. Mustahil awak tak lapar. Makanlah. Nanti kalau sakit, macam mana awak nak mencari rezeki?” Lembut sahaja Datuk Jamal memujuk Shah menerima pemberiannya. Sememangnya dia ikhlas. Juga rasa kasihan apabila melihat Shah disakiti oleh pengawal keselamatannya tadi.

“Ambillah awak. Papa saya ikhlas nak belanja awak makan.” Haslinda pula bersuara. Cuba memujuk Shah menerima.

“Maaflah Datuk, cik. Saya tak berniat nak menyusahkan.” Datuk Jamal dan Haslinda hanya tersenyum. Bungkusan makanan bertukar tangan.

“Eh! Mana ada menyusahkan. Ha! Siapa nama? Dari tadi berbual tapi nama pun tak tahu lagi.” Shah mengangguk dan tersenyum dengan pertanyaan Datuk Jamal. Haslinda turut tersenyum. Nampak manis wajahnya dihiasi senyuman.

“Nama saya Shah, Datuk.” Datuk Jamal mengangguk-ngangguk.

“Oh! Saya tentu kamu dah kenal. Kenalkan… ini anak tunggal saya, Haslinda. Dia bekerja dengan saya.” Giliran Shah pula mengangguk. Hanya senyuman diberi. Hendak bersalaman rasanya tidak manis dipandang orang. Haslinda bukan mahramnya.

Teringat pula Shah akan tafsir yang pernah dibacanya : Bahawasanya ini semua (bersalaman di antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram) membawa kepada usaha menikmatinya, disebabkan berkurangnya sifat taqwa kepada Allah di zaman ini, hilangnya sikap amanah, dan kosongnya nilai kehati-hatian. (al-Amin asy-Syanqitihi, Adhwa’ul Bayan fii Idhahal Qur’an bil Qur’an, 6/257)

“Oh! Begitu.” Hanya itu sahaja yang mampu dijawab oleh Shah. Terlintas di fikiran Shah. Haslinda anak seorang Datuk dan mempunyai pekerjaan yang baik hanya bergaya biasa malahan bertudung pula sedangkan Maya yang hanya seorang juruwang kelihatan begitu moden. Maya bercakap begitu angkuh apabila mengakui mempunyai teman lelaki yang kaya tetapi tidak pula Haslinda yang bersifat sederhana walaupun anak orang kaya. Berbeza sungguh kedua wanita itu.

“Baiklah Shah, saya nak naik ke pejabat. Nanti kita berbual lagi. Ini kad saya.” Shah mengambil kad yang dihulurkan oleh Datuk Jamal. Dibelek-belek seketika sebelum disimpan ke dalam poket.

“Terima kasih Datuk.” Datuk Jamal hanya tersenyum dan mengangguk sebelum berlalu meninggalkan Shah di situ.

4 comments:

BillyNain said...

salam...best cita ni kak adrin
selalu follow dkt p2u
skrg follow dkt blog pula

adrin_malina said...

salam billy. terima kasih follow citer akak. baru belajar menulis ni. masih banyak kelemahan.

Adit Zulfatah Adit Sufian said...

:(

sedihnya.. sedih sgt dgn latar belakang kisah hidup shah.. cepat kak... nextt bab 8 !!!!!!! nak tahu sgt apa jadi dgn maya yg sombong tu....

Anonymous said...

cepat2 smbg lg..xsabar neh nk tahu citer seterusnya...

Keep it up !!

.