Tuesday, July 20, 2010

Cinta Si Tukang Kasut bab 6


“Encik tak boleh duduk ‘repair’ kasut di sini. Sini tempat persendirian. Tempat orang-orang korporat. Sila pergi dari sini encik sebelum Datuk Jamal tahu.” Baru lima belas minit Shah duduk di situ, seorang pengawal keselamatan berpakaian seragam biru kehitaman datang memberi amaran kepadanya.

“Tolonglah encik. Izinkanlah saya berteduh cari rezeki kat sini sekejap. Petang nanti saya pergi.” Kelihatan bengis wajah pengawal keselamatan itu apabila Shah tidak mahu berganjak daripada situ. Takut sekiranya ada orang yang mengadu kepada Datuk Jamal. Bimbang sekiranya Datuk Jamal menganggap mereka tidak menjalankan tugas sebaiknya.

“Kalau encik masih berdegil, saya terpaksa ambil tindakan terhadap encik. Jangan salahkan saya jika saya berkeras dengan encik. Saya dah cakap baik-baik dengan encik tapi encik tak mahu dengar.” Sambil bercakap, tangan pengawal keselamatan itu ligat mencampakkan segala peralatan yang berada di atas lantai ke dalam kotak yang sedia terbuka. Shah terkedu. Terkejut dengan perbuatan pengawal keselamatan itu.

Shah segera menahan perbuatan pengawal keselamatan itu yang sedang cuba mengangkat kotak. Mungkin pengawal keselamatan itu bercadang hendak membuang kotak peralatannya ke luar pagar bangunan itu. Berlaku sedikit kekecohan di situ. Beberapa orang pekerja yang melalui kawasan itu untuk ke restoran berhampiran mula berkerumun untuk menyaksikan apa yang sedang berlaku.

“Papa… kenapa orang berkerumun dekat situ? Mari kita pergi tengok, pa.” Haslinda menarik tangan Datuk Jamal ke situ. Pekerja yang menyedari kedatangan Datuk Jamal dan Haslinda ke situ mula bersurai.

“Kenapa ni? Apa yang sedang berlaku?” Mendengarkan suara Datuk Jamal, pengawal keselamatan itu terus memberhentikan tindakannya sebentar tadi. Shah kelegaan. Dia mula mengutip beberapa alatan yang terjatuh dari kotak sewaktu perebutan tadi.

“Begini Datuk. Saya dah arahkan tukang kasut ni pergi dari sini tapi dia berdegil.” Pengawal keselamatan itu cuba membela tindakan yang dilakukannya tadi. Datuk Jamal memandang ke arah Shah yang sedang mengutip peralatannya.

“Habis tu apa yang awak buat tadi?” Masih lagi Datuk Jamal tidak berpuashati. Terasa sedikit kasihan sebenarnya dengan pemuda itu. Wajahnya kelihatan sedang menghadapi masalah yang besar.

“Se… Sebenarnya Datuk, saya bercadang nak letakkan kotak peralatannya di luar pagar tetapi dia melawan. Itulah puncanya berlaku kekecohan tadi.” Tergagap-gagap pengawal keselamatan berbangsa India itu menerangkan tindakan yang diambilnya untuk menghalau Shah daripada situ.

“Kamu tak boleh berkasar dengan orang lain. Walaupun dia hanya seorang tukang kasut, kamu harus menghormatinya juga sebab dia pun manusia. Saya percaya kalau kamu bercakap dengan baik, menerangkan dengan baik sebab musababnya, tentu dia tidak akan berdegil.” Tertunduk pengawal keselamatan itu mendengar apa yang diperkatakan oleh Datuk Jamal.

Memang diakui Datuk Jamal seorang yang sangat bertimbangrasa. Segala tindakan yang diambil akan disiasat dengan sewajarnya. Kata-katanya juga lembut. Jarang Datuk Jamal meninggikan suara kepada para pekerjanya. Disebabkan sikapnya itulah dia dihormati dan disayangi oleh semua pekerja.

Haslinda yang berada di sisi Datuk Jamal hanya mendiamkan diri. Tidak mahu masuk campur. Namun dia asyik memerhatikan Shah yang sedang menyusun alatan yang bertaburan tadi ke dalam kotak. Lelaki itu kelihatan seperti berada di dalam dunianya sendiri. Tidak peduli pada keadaan sekeliling.

“Pa! Pa!” Haslinda memanggil perlahan sambil mencuit lengan Datuk Jamal yang berada di sisinya. Datuk Jamal yang sudah selesai berurusan dengan pengawal keselamatan tadi berpaling kepada anak gadisnya itu.

“Ada apa sayang?” Lembut kedengaran pertanyaan dari Datuk Jamal. Senyuman turut menghiasi wajahnya. Tidak pernah wajah itu lekang dengan senyuman. Mungkin kerana itulah Datuk Jamal kelihatan muda dari usia sebenarnya.

Haslinda memuncungkan sedikit mulutnya ke arah Shah. Ada sesuatu yang menarik pada lelaki itu di pandangannya. Datuk Jamal turut memandang ke arah yang diisyaratkan Haslinda.

“Pa… Tukang kasut tu nampak macam ada masalah je kan, pa? Dari tadi Linda perhatikan. Dia macam tak kisah dengan keadaan sekeliling. Kesian pula Linda tengok.” Itulah Haslinda binti Datuk Jamal. Sikap prihatin dan mudah kasihan diwarisi dari Datuk Jamal dan ibunya Datin Rohani.

“Tak apa sayang. Kita ajak dia makan sekali ye. Nanti bolehlah kita tanya apa masalahnya. Kalau boleh kita tolong, kita tolong dia. Papa tengokpun… macam baik je budaknya.” Tersenyum Haslinda dengan saranan dari Datuk Jamal.

“Elok juga tu pa. Bolehlah kita berkenalan.” Masih lagi tak lekang senyuman dari bibir Datuk Jamal. Sedikit tercuit rasa hatinya dengan kata-kata anak gadis kesayangannya tadi. Timbul niat hendak mengusik.

“Kita ke ataupun Linda je yang nak berkenalan? Haha!” Tercetus tawa Datuk Jamal melihatkan wajah cemberut anak gadisnya. Namun hanya seketika sahaja apabila anak gadisnya itu terus berlalu meninggalkannya sendirian tanpa berkata apa-apa.

“Maafkan saya Datuk. Saya pun tak tahu di sini tak boleh membuka tapak membaiki kasut. Saya cuma hendak mencari rezeki yang halal saja Datuk. Dari tadi asyik dihalau saja saya ni. Izinkanlah saya berteduh di sini sekejap Datuk. Petang nanti saya pergi dari sini.” Kasihan Datuk Jamal mendengarkan luahan hati Shah. Tidak sangka masih ada yang tidak berperikemanusiaan menghalau orang yang cuba mencari rezeki yang halal.

“Tak apalah. Awak teruskanlah usaha awak ni. Buka saja tapak membaiki kasut di sini. Saya izinkan.Nanti saya akan beritahu pengawal keselamatan supaya membenarkan awak mengambil sedikit ruang.” Tersenyum Shah mendengarkan jawapan dan keizinan Datuk Jamal. Rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih ada lagi insan yang berhati mulia.

**********
Badrul memberhentikan kereta seketika sebaik keluar dari tempat letak kereta bawah tanah Wisma Hanija. Matanya tertumpu pada Datuk Jamal yang sedang berbual dengan seorang tukang kasut.

'Rasa macam pernah nampak tukang kasut tu. Tapi di mana agaknya ye?’ Hatinya berkata. Tidak teringat tukang kasut yang sama pernah dilihat di hadapan Pasaraya Mesra pagi tadi.

Badrul meneruskan pemanduan keluar dari kawasan Wisma Hanija menuju ke Pasaraya Mesra. Rasa kantuk yang masih bersisa terpaksa dibiarkan sahaja sebaik menerima panggilan telefon dari Maya tadi.

Entah apa lagi yang gadis itu mahukan darinya. Semalam mereka sudah menghabiskan masa bersama semalaman. Adakah gadis itu masih rindu padanya ataupun gadis itu sekadar ingin berteman ketika waktu makannya. Walau apapun alasannya, Badrul tetap juga menuruti kemahuan gadis itu.

**********
Datuk Jamal menuruti langkah anak gadisnya yang sudah terlebih dahulu melangkah ke restoran berhampiran bangunan Wisma Hanija. Restoran Nasi Ayam Istimewa menjadi tumpuan mereka tengahari itu. Restoran yang dimiliki oleh seorang peniaga yang bermula dari sebuah gerai kecil tepi jalan itu sentiasa dipenuhi pengunjung.

Untung sahaja Datuk Jamal memang menjadi pengunjung tetap restoran itu. Tidaklah risau jika tiada tempat duduk yang masih kosong untuk mereka dua beranak.

Haslinda telah sedia menunggu Datuk Jamal di satu sudut restoran itu. Belum ada sebarang pesanan yang dibuat lagi memandangkan tadi Datuk Jamal bercadang hendak mempelawa tukang kasut itu makan bersama.

‘Eh! Papa seorang saja? Mana tukang kasut tu?’ Hatinya tertanya-tanya. Sedikit tercari-cari Haslinda akan tukang kasut yang tidak kelihatan bersama Datuk Jamal. Terasa sedikit hampa juga kerana tidak berpeluang mengenali tukang kasut itu.

‘Ah…. Hati! Agak pelik kerana terasa hampa bila kelibat tukang kasut itu tidak kelihatan. Terasa hampa bila tidak dapat berkenalan dengan tukang kasut itu. Adakah aku ada perasaan terhadapnya?Tak mungkin!’ Hati Haslinda berkata-kata. Berkerut sedikit keningnya memikirkan. Datuk Jamal yang sedang menghampiri anak tunggalnya itu sedikit kehairanan melihat wajah anak gadisnya yang seakan-akan sedang memikirkan sesuatu yang serius.

“Kenapa ni sayang?” Haslinda sedikit tersentak dengan soalan yang tiba-tiba sahaja kedengaran di corong telinganya. Merah padam wajahnya. Terasa malu berkeadaan khayal sebegitu. Tidak pernah dia tertangkap ketika dalam keadaan sebegitu dengan papanya itu. Tentu ada sahaja nanti soalan yang akan diutarakan oleh papanya itu untuk mengorek rahsia hatinya.

“Tak ada apa-apa, pa. Teringat kerja yang belum siap tadi.” Jawapan dari anak gadisnya itu mengundang tawa Datuk Jamal. Kerja apanya yang difikirkan oleh anak gadisnya itu sedangkan sepanjang pagi ini mereka hanya bermesyuarat sahaja. Sudah sahlah anak gadisnya itu memikirkan perkara yang tidak berkaitan langsung dengan kerja. Tidak apa. Masih ada banyak masa untuk mengorek rahsia hati anaknya itu.

2 comments:

Gee Muszisya said...

uit heroin dh muncul ke...
sambung2 ad..
apa jadi lepas ni ek..*_^

apit said...

hehe..heroin sudah muncul bersame dengan bapanya..perkembangan watak yang bagus kak ad..

.