Monday, July 12, 2010

Cinta Si Tukang Kasut Bab 3


Maya sedang rancak berbual sambil menikmati makan malam bersama seorang lelaki di dalam restoran makanan segera yang terletak di lobi bangunan kompleks beli-belah Ocean Mall itu. Mereka kelihatan begitu mesra seolah-olah sudah lama mengenali di antara satu sama lain. Mereka kelihatan seperti pasangan kekasih yang sedang asyik dilamun cinta.

Lelaki itu yang sedang bersama Maya itu kelihatan segak bergaya dengan mengenakan seluar ‘jeans’ dan kemeja yang dilipat lengannya hingga ke siku. Wajahnya yang kelihatan seperti kacukan memang sangat sepadan bersama Maya. Susuk tubuh yang tegap dan sasa menambahkan lagi kelebihan yang dimiliki oleh lelaki itu.

Mereka berdua makan sambil bersuap-suapan. Sesekali bibir lelaki itu mendarat di pipi Maya. Maya hanya membiarkan sahaja perbuatan lelaki itu sambil tersenyum lebar. Tiada langsung perasaan malu di dalam diri mereka walaupun perbuatan mereka itu menjadi perhatian pengunjung restoran lain yang sedang menikmati hidangan bersama keluarga masing-masing.

Semakin menjadi perhatian, semakin menjadi-jadi Maya menunjuk-nunjukkan kemesraannya kepada umum. Maya seolah-olah bangga bila mata-mata yang ada memandang ke arahnya. Bangga kerana memiliki teman lelaki yang kacak bergaya. Bangga memiliki teman lelaki yang romantik.

Terlupa langsung mereka dengan adab perhubungan antara lelaki dan wanita di dalam Islam seperti hadis yang bermaksud: “Demi Allah! Bahawa dicucuk seseorang daripada kalangan kamu di kepalanya dengan jarum besi adalah terlebih baik daripada ia bersentuhan dengan perempuan yang tidak halal baginya.”(Riwayat Tabarani).

Beberapa orang pelayan wanita di dalam restoran itu tertoleh-toleh ke arah Maya dan pasangannya. Sesekali mereka tersenyum apabila mata mereka bertembung dengan mata Maya mahupun pasangannya. Entah senyuman suka ataupun benci yang mereka lemparkan, hanya mereka sahaja yang tahu maksudnya.

Sesekali Maya membaca pesanan ringkas yang masuk ke telefon bimbitnya yang sengaja dibiarkan dalam ‘mode’ senyap. Hanya getaran sahaja yang menandakan ada pesanan baru diterima. Pesanan yang dibaca hanya dibiarkan tanpa membalasnya.

“Siapa sms tu sayang? Dari tadi abang nampak sayang asyik terima sms je. ‘Boyfriend’ ke?” Lelaki itu bertanya sambil sengaja memasamkan muka. Maya melemparkan senyuman mesra sambil mendekatkan wajahnya kepada lelaki itu.

“Mana ada bang. Maya sayang abang je. Mana ada orang lain dah.” Sebuah kucupan hinggap di pipi lelaki itu. Kucupan tanda hanya lelaki itu yang menjadi kekasihnya. Hanya lelaki itu yang disayanginya. Tiada orang lain di antara mereka.

Lelaki itu tersenyum lebar apabila serkap jarangnya mendapat habuan sebuah kucupan. Semakin lebar apabila Maya melentokkan kepala ke bahunya. Syaitan semakin bersorak kerana sepasang lagi umat Muhammad bakal berjaya disesatkan dalam dosa.

“Habis tu siapa yang sms sayang tadi? Sayang tak jawab pun. Terus padamkan aje abang tengok.” Lelaki itu masih lagi tidak berpuashati. Mungkin mahu habuan yang lebih besar barangkali.

“Hurm… Maya cerita tapi abang kena janji tak marah Maya tau.” Lelaki itu mengangguk dengan syarat yang diberikan oleh Maya.

“Ceritalah. Abang dengar ni.” Maya memandang ke dalam mata lelaki itu. Mungkin mencari keikhlasan di situ. Dia tersenyum apabila lelaki itu melemparkan senyuman kepadanya.

Maya menceritakan segalanya tentang perkenalannya dengan Shah kepada lelaki itu. Tiada satu pun yang tertinggal. Tentang pelawaan Shah untuk membawanya keluar makan malam itu juga turut diceritakan kepada kekasihnya itu.

Lelaki itu menumpukan sepenuh perhatian mendengarkan apa yang disampaikan oleh Maya. Sesekali kedengaran dia bertanya. Bersungguh-sungguh Maya bercerita sambil menyakinkan lelaki tu tentang Shah yang hanya dianggap sebagai kawan.

Lelaki itu hanya tersenyum. Tahu gadis itu sedang berusaha menyakinkannya. Terfikir di benaknya. Jika meminta apa-apa sebagai bukti dari gadis itu, tentu sahaja gadis itu tidak teragak-agak untuk memenuhinya.

“Abang tak marah Maya?” Lelaki itu menggeleng sambil tersenyum kepada Maya. Senyuman yang mempunyai muslihat di sebaliknya. Senyuman yang hanya dia sahaja yang mengetahui akan maksudnya.

“Sayang dah habis makan kan?” Lelaki itu berbisik mesra di cuping telinga Maya selepas habis gadis itu bercerita. Maya tersenyum sambil mengangguk. Lelaki itu menyisip baki minuman berkarbonat yang masih bersisa di dalam cawan di atas meja.

“Lepas ni kita nak ke mana bang?” Manja sahaja Maya bertanya kepada lelaki itu yang masih lagi tersenyum sambil menatap wajahnya. Senyuman menggoda terukir di bibirnya.

“Jom. Abang rasa nak menonton wayang la. Apa kata sayang?” Maya hanya mengangguk tanda setuju. Itulah rutin biasa yang mereka lakukan setiap kali keluar bersama. Makan dan menonton wayang.

Jemari lelaki itu disulamkan ke jemari Maya. Mereka bangun serentak dan berjalan keluar meninggalkan restoran segera itu. Berjalan berpimpinan tangan menuju ke arah lif. Tentu sahaja mereka ingin ke tingkat dua kerana di situlah terletaknya pawagam yang mereka kunjungi setiap kali bertemu.

Telefon bimbit Maya bergetar menandakan ada panggilan yang diterima. Isyarat hendak menjawab telefon diberikan kepada lelaki itu. Lelaki itu hanya menjawab dengan anggukan dan senyuman.

“Hello! Saya dah nak tidur ni awak. Lain kali saja kita berbual. Selamat malam.” Panggilan ditamatkan dan telefon bimbit disimpan semula ke dalam beg tangan yang tergantung kemas di bahu.

“Siapa telefon sayang?” Sengaja lelaki itu bertanya. Sudah dapat diagak siapa yang menelefon dengan cara gadis itu menjawab panggilan sebentar tadi. Tersenyum di dalam hati kerana gadis itu terus percaya dan setia kepadanya.

“Siapa lagi bang. Shah la yang telefon. Tak faham bahasa betul. Maya dah beri alasan nak tidur awal malam ni, dia telefon juga.” Lelaki itu mengusap-ngusap tangan Maya. Tersenyum Maya dengan perbuatan lelaki itu. Terasa lelaki itu begitu mengambil berat dan mempercayainya.



********



Filem yang ditonton telahpun selesai. Semua penonton yang ada di dalam panggung itu mula beransur-ansur keluar. Maya membetul-betulkan bajunya. Tersenyum apabila lelaki itu turut tersenyum kepadanya. Tertawa kecil dengan kesan gincu yang comot di bibir lelaki itu.

“Kenapa sayang ketawa? Apa yang lucunya?” Berkerut dahi lelaki itu. Pelik apabila Maya mentertawakannya. Entah apa yang melucukan gadis itu.

“Bibir abang comot.” Tersenyum lebar lelaki itu dengan jawapan Maya. Jemari Maya yang sedang mengelap kesan comot di tepi bibirnya dibawa ke bibir dan dikucup.

Memang sengaja dia mengambil tempat duduk untuk pasangan. Tiada pengadang di antara dua tempat duduk. Bolehlah dia merapatkan tubuh kepada gadis itu seperti kebiasaannya. Dengan keadaan yang gelap itu, dia bebas berbuat seperti tadi.

Mereka orang terakhir keluar dari pawagam. Seperti pasangan suami-isteri lagaknya mereka. Berjalan berpelukan ke arah tempat letak kereta. Sesekali bibir lelaki itu mendarat di pipi Maya dan gadis itu hanya tertawa dengan perbuatan lelaki itu.

Keduanya masuk ke dalam kereta. Pintu dikunci dan enjin dihidupkan. Bergerak perlahan kereta keluar dari tempat letak kereta bawah tanah itu. Keluar menuju ke jalanraya.

“Sayang ikut abang balik malam ni ye?” Soal lelaki itu kepada Maya yang kelihatan sedikit mengantuk. Gadis itu menoleh ke arah kekasihnya. Senyuman diberi.

“Maya tak nak la. Esok Maya kerja pagi. Lagipun kawan abang kan ada. Seganlah.” Lelaki itu kelihatan agak kecewa. Akalnya ligat berfikir. Syaitan turut memainkan peranan.

“Kawan abang mesti dah tidur. Dah lewat ni kan. Abang pun letih ni. Tak larat nak memandu. Maya tidur kat rumah abang saja la. Esok pagi-pagi abang hantar Maya balik. Ala… bukannya Maya tak biasa.” Wajah serius dipamerkan. Maya hanya mengangguk setuju. Bimbang sekiranya lelaki itu berkecil hati. Lagipun bukan dia tidak biasa tidur di rumah lelaki itu.

Sudah acapkali dia bermalam di situ jika mereka menonton tayangan lewat malam. Hubungan mereka juga sudah tiada mengikut batasan yang ditentukan Islam di antara pasangan yang bukan mahram. Mereka sudah lama terlupa akan sabda nabi yang bermaksud : "Janganlah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan." [HR Muslim]

Kereta berhenti di hadapan sebuah rumah teres setingkat yang telah gelap. Berpelukan keduanya masuk ke dalam rumah itu tanpa menyedari ada sepasang mata yang sedang memerhatikan mereka dengan perasaan yang bergelodak penuh kemarahan.

2 comments:

AZBK said...

sungguh bererti kisah ini... adit suka sangat kisah macam mampu memberikan kesedaran... sejujurnya kak ad.. bab 3 ni membuatkan adit rasa menyampah dengan watak Maya... pentingkan diri sendiri.. geram pun ada.. syabas kak... good job...

azrina nur rusly said...

tq adit.. banyak lagi nak perbaiki nih

.