Kotak berisi segala peralatan membaiki kasut sudah berada di tempatnya seperti biasa. Di tepi dinding bahagian hadapan Pasaraya Mesra. Sebuah bangku kecil juga sudah turut tersedia namun tidak kelihatan pula pemiliknya di situ. Mungkin pemiliknya sedang mencari sesuatu di restoran ataupun gerai berhampiran untuk dijadikan habuan perut pagi ini barangkali.
Sebuah kereta Honda Vtec berwarna hitam metalik yang dipandu perlahan oleh seorang lelaki muda bergaya korporat berhenti di hadapan pasaraya itu. Pintu sebelah penumpang terbuka dan melangkah keluar seorang gadis yang sangat dikenali di situ. Maya. Maya keluar dari perut kereta sambil tersenyum. Sebelum menutup pintu kereta masih sempat lagi berkucupan pasangan kekasih itu tanpa rasa segan dan silu.
Shah yang sedang melangkah ke arah ruangan kerjanya hanya tertunduk menahan perasaan terpandangkan babak romantik itu. Tiada riak terkejut yang terpamer di wajahnya. Seolah perkara itu sudah biasa di pandangan matanya.
Bungkusan teh tarik yang dibeli dari restoran mamak seberang jalan yang bersetentang dengan pasaraya sebentar tadi digantungkan di paku kecil yang sengaja diletakkan di penjuru kotak peralatannya. Paku itu memang dikhaskan untuk menggantungkan bungkusan air yang dibeli sebagai penghilang dahaga.
Maya melangkah penuh gaya ke arah pasaraya yang masih belum dibuka. Seperti biasa, dia pasti akan datang berbual bersama Shah sementara menunggu pintu dibuka. Shah masih lagi tertunduk. Pura-pura sibuk menyusun peralatannya yang sememangnya sudah sedia tersusun kemas.
“Hai Shah! Dah sarapan?” Ceria sahaja Maya bertanya sejurus sampai di hadapan Shah. Mendongak seketika Shah ke wajah Maya sebelum pandangan dijatuhkan semula ke kotak peralatan.
“Siapa hantar Maya tadi?” Terus terpacul soalan yang cuba ditahan-tahan sedari tadi. Akalnya menegah namun mulutnya bertindak tidak seperti yang diarahkan. Sedikit terkejut Maya dengan soalan yang tidak dijangka itu.
“Kenapa Shah nak tahu?” Soalan Shah dibalas dengan soalan juga. Terasa aura kemarahan sudah mula mahu menunjukkan diri. Shah menarik nafas dalam dan menghembus kasar. Cuba menenangkan diri.
“Semalam Maya ke mana sebenarnya?”Maya tersentak. Cuba mengawal situasi dirinya. Cuba mencerna alasan. Terdiam sebentar gadis itu. Sedaya-upaya dia cuba mengingatkan semula alasan apa yang telah diberi ketika menolak pelawaan Shah semalam.
“Kan Maya kata Maya nak tidur awal semalam? Masa Shah telefon semalam… Maya dah tidur. Panggilan Shah tu buat Maya terbangun. Lepas jawab panggilan… terus Maya tak boleh tidur sampai pagi.” Maya mereka alasan. Cuba membuatkan Shah rasa bersalah mengganggu lenanya.
Shah meramas-ramas jari cuba mengekalkan tahap kesabaran yang semakin menipis. Masih lagi gadis itu ingin bermain sembunyi-sembunyi dengannya. Masih lagi gadis itu tidak mahu berterus-terang. Malahan berani pula membuat tuduhan yang tidak berasas.
“Betul ke Maya tidur awal semalam? Bukan Maya menonton tayangan lewat malam ke? Di mana Maya tidur semalam?” Terhambur juga pertanyaan demi pertanyaan dan berbaur sindiran dari Shah. Akal dan hati sudah tidak mampu menahan kesabaran yang sudah menghilang. Terkedu seketika Maya mendengarkan.
“Shah jangan nak buat fitnah. Maya tidur rumah Maya la. Mana pula Maya nak tidur lagi. Tayangan lewat malam apanya lagi kalau Maya dah lena di atas katil dari senja semalam?” Masih lagi Maya cuba menegakkan benang yang basah. Tidak mahu mengalah dengan soalan yang ternyata akan membuka rahsia keburukannya.
“Tak usahlah Maya nak tipu Shah. Shah dah tahu semuanya. Shah dah nampak dengan mata kepala Shah sendiri. Cuba Maya beritahu Shah sekarang. Siapa Shah ni pada Maya. Tempat Maya berteman waktu Maya sunyi? Tempat Maya menghambur kemarahan kalau Maya ada masalah di tempat kerja? Pernah tak Maya fikirkan perasaan Shah? Shah sayangkan Maya. Shah cintakan Maya.” Terluah juga segala apa yang tersimpan di dalam hati Shah buat gadis kesayangannya itu. Cinta di hatinya masih utuh buat gadis itu walaupun setelah apa yang dilihatnya semalam.
Maya terkejut dengan pengakuan Shah. Tidak disangka seorang tukang kasut yang tidak terjamin masa depan, ada hati hendak bercinta dengannya. Tidak sedarkan akan kekurangan dirinya. Maya cantik persis model. Apa kelas bertemankan seorang tukang kasut.
Lainlah Badrul, kekasih hatinya. Lelaki itu lengkap segalanya. Mempunyai pekerjaan yang menjamin masa depan, kacak, tegap dan sasa. Segalanya lengkap pada lelaki itu. Itulah ciri-ciri yang patut ada pada lelaki yang layak mendampingi Maya.
Jika hendak dibandingkan Shah dan Badrul, bagaikan langit dan bumi. Hendak menyara diri sendiripun belum tentu Shah mampu, inikan pulak hendak bertemankan Maya. Tidak sedar diri langsung. Maya mencebik. Meluat melihat Shah. Meluat apabila teringat kembali luahan perasaan Shah terhadapnya tadi. Memang betul-betul tukang kasut itu tidak sedar diri.
“Hey! Dengar sini baik-baik. Lelaki tadi tu namanya Badrul. Kerja besar, pengurus kewangan di sebuah syarikat pembinaan yang berprestij. Gaji dia besar, ada kereta besar. Kacak bergaya. Orang macam tu baru sesuai dengan aku. Engkau sedar tak diri kau ni. Tukang kasut. Engkau dengar tak? Engkau tu… tukang kasut aje. Ada hati nak bercinta dengan aku.” Shah terkedu. Pedih hatinya mendengar kata-kata hinaan yang dilemparkan oleh gadis yang sangat dicintainya itu.
“Pendapatan kau baiki kasut ni pun entah berapa sen aje sehari. Entahkan cukup entahkan tidak kalau aku minta belikan gincu aku. Dah la takde rupa, takde harta pula tu. Ada hati nak jadi kekasih aku. Cuba kau balik rumah, kau ambil cermin. Kalau kat rumah kau takde cermin, aku boleh beri kau duit untuk beli cermin. Kau cerminkan muka kau tu. Tengok sesuai ke tidak dengan aku. Orang macam engkau ni kan… dengan ‘cleaner’ tu ha baru sesuai.”
Angkuhnya Maya melempar hinaan. Shah tertunduk menahan perasaan. Perasaannya bercampur baur. Rasa sedih, marah dan malu bercampur-baur. Tidak pasti apakah warna wajahnya ketika itu apabila pekerja-pekerja pasaraya yang sudah ramai berkumpul di situ mendengar penghinaan Maya terhadapnya.
Terdengar beberapa orang pekerja berbisik sesama sendiri dan tertoleh-toleh kepadanya. Sudah pasti mereka sedang mengumpat dirinya yang seperti dakwaan Maya tidak sedar akan diri sendiri. Ada hati hendak memiliki gadis secantik Maya sedangkan pekerjaannya hanyalah sebagai seorang tukang kasut. Seorang tukang kasut yang hanya menumpang membaiki kasut di satu sudut pasaraya itu. Seorang tukang kasut yang tiada rupa dan tiada berharta.
Mungkin jika dia mempunyai kedai sendiri, baru Maya akan memandangnya. Mungkin Maya akan menerimanya dan tidak menghinanya seperti yang baru berlaku sebentar tadi. Shah malu dengan dirinya sendiri. Lebih malu lagi kepada orang sekeliling yang melihat dan mendengar kejadian tadi. Pilu rasa hatinya.
Sangkanya gadis itu tidak memandang paras rupa. Tidak memandang harta benda sebagai syarat untuk didampingi. Rupanya segala itu adalah syarat utama untuk memiliki dirinya. Ada harta, ada rupa, tanpa ikatan yang sah pun boleh berdampingan dengannya.
Tidak disangka sebegitu sekali Maya menghina dia. Selama ini dia mengenali gadis itu sebagai seorang yang bersopan, lemah lembut dalam menutur kata. Sikapnya juga kelihatan polos dan naïf. Sama sekali Shah tidak menyangka di sebalik kelembutan dan kenaifan gadis itu tersembunyi suatu rahsia yang besar.
Di sebalik kesopanan dan kepolosan gadis itu rupanya tersembunyi sikap sebenarnya yang telah jauh hanyut dalam keseronokan duniawi. Telah lupa akan dosa dan pahala. Terlupa akan ada hari pembalasan di mana segala dosa yang telah dilakukan akan dihitung dan diberi hukuman setimpal.
Pintu pasaraya mula dibuka. Pekerja-pekerja mula beransur masuk untuk memulakan tugas. Maya berjalan dengan angkuh meninggalkan Shah sendirian menahan hiba di situ. Tanpa menoleh ke belakang, Maya terus berjalan. Shah hanya mampu memandang pemergian gadis itu bersama cintanya yang turut dibawa bersama.
Peralatan yang sudah dikeluarkan tadi dimasukkan semula ke dalam kotak. Disusun semula seperti asalnya. Air teh tarik yang sudah mula sejuk diteguk rakus sehingga habis. Plastik yang telah kosong dicampakkan ke dalam tong sampah yang ada di pintu masuk pasaraya itu.
Kotak peralatan dan bangku kecil sebagai alas duduk diangkat lemah. Langkah dibawa ke tempat lain. Shah meninggalkan kawasan Pasaraya Mesra tempat dia mencari rezeki dan tempat cintanya bersemi tanpa menoleh ke belakang lagi.
Langkah dihayun tanpa arah tujuan. Hanya mengikut langkah kaki. Di mana berhenti, di situlah kotak peralatan akan dibuka. Di situlah rezeki akan dicari. Rezeki ada di mana-mana. Mungkin di hadapan Pasaraya Mesra bukan tempat yang sesuai untuk Shah. Siapa tahu di tempat lain rezekinya melimpah ruah. Atau mungkin juga di tempat lain dia akan bertemu cinta sejatinya.
14 comments:
... alangkah baik kalau aku jadi si tukang kasut
uik! kenapa?
siannya shah :(
kakak..syahdunya adit baca kisah shah ni kak...... novel akak berkesan kak...
terima kasih adit
yeayyhh...
you go maya...
>>niCk<<
yep aku pun teringin nak jadi seperti si tukang kasut itu...
alahai ad...kesian tul kat shah tu..sambung ad...tersentuh tul..huhu
insyaallah... hehe.. sian dia kan
otak punya pompuan!!!! nsb baik la ko just dlm novel jak..kalau kat luar..bersepai muka ko aku tumbuk...huh! hahahaa..tetiba emo jap..kekekekeke.....nak ag kak ad...
ekeke... ganas sha... takut maya
aduhai, bab 1 n 2 bace, senyum jerk, msuk bab 3 n 4...hati da mule panas, bab 5, tah berapi agaknye...
nasib si tukang kasut..tiada berharta dia dipandang hina..alangkah kejamnya pandangan mata setiap yang memandang..apakah salah mencari rezeki yang halal ?
aduhai pit... huhu... sedihnya
Post a Comment