Pesanan yang dihantar oleh Shah tengahari tadi masih belum mendapat balasan dari Maya. Hari sudah menginjak ke petang. Shah nekad hendak meluahkan perasaannya kepada Maya dan disebabkan itulah dia ingin membawa gadis itu keluar malam ini. Makan-makan dan seterusnya berbincang dari hati ke hati akan perasaan masing-masing.
Mundar-mandir Shah di dalam rumah. Mak Su Hawa yang hanya memerhati dari dapur gelagat Shah kehairanan. Selama lebih dua minggu anak saudara suaminya itu tinggal bersama mereka, tidak pernah lagi dia berkeadaan sebegitu. Bimbang juga dia sekiranya anak saudara suaminya itu menghadapi masalah ataupun terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat.
Shah masih lagi tidak senang duduk. Matanya tidak lekang dari telefon bimbit yang berada di dalam genggamannya. Sekejap dia duduk di sofa. Sekejap dia bangun ke tingkap. Sekejap-sekejap dia merenung jam di dinding. Langsung tidak sedar akan Mak Su Hawa yang sedang menghampirinya.
“Kamu ni kenapa Shah? Dari tadi Mak Su tengok kamu macam cacing kepanasan aje. Kamu ada buat salah ke?” Mak Su Hawa tidak dapat lagi menyembunyikan kebimbangannya. Akhirnya terpacul juga pertanyaan dari mulutnya.
“Tak ada apa-apalah Mak Su.” Sedikit tersentak Shah mendengar suara Mak Su Hawa yang tiba-tiba saja hampir sangat dengannya. Tersengih sahaja Shah menyembunyikan rasa terkejut dan juga perkara yang sebenar dari pengetahuan Mak Su Hawa. Belum sampai masanya untuk Mak Su Hawa tahu tentang Maya. Nanti apa pula kata Mak Su Hawa. Belum ada kerja yang tetap sudah pandai hendak bercinta.
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa kamu macam tu? Risau pulak Mak Su tengok kamu ni. Kamu berhutang dengan Ah Long ke?” Tersentak Shah mendengarkan pertanyaan dari Mak Su Hawa. Terasa hendak ketawa juga ada di dalam hatinya. Bagaimanalah Mak Su Hawa boleh terfikir sampai ke situ pula.
“Ish! Ke situ pulak Mak Su ni. Mana ada Shah berhutang dengan sesiapa. Cukup lagi hasil membaiki kasut tu Mak Su. Mak Su jangan risau eh.” Terasa lega hati Mak Su Hawa mendengar jawapan dari anak saudara suaminya itu. Jika betul tekaannya tadi, entah bagaimanalah hendak dibuat kalau konco-konco Ah Long datang mencari hingga ke rumah. Mana hendak diletakkan muka menanggung malu dari jiran tetangga.
“Kalau kamu dah cakap macam tu takpe la. Ha! Kamu dah solat Asar ke? Dah nak Maghrib pulak dah ni.” Masih sempat lagi Mak Su Hawa mengingatkan akan tanggungjawab menunaikan solat yang menjadi satu kewajipan kepada umat islam. Walau sesibuk mana atau serisau manapun hati, tanggungjawab yang satu itu tidak harus dilupakan.
“Dah Mak Su.” Shah melemparkan senyum kepada Mak Su Hawa yang masih lagi nampak belum berpuashati. Cuba untuk berlagak selamba seperti tiada masalah atau kerisauan yang melanda. Dengan harapan Mak Su Hawa akan termakan dengan kata-kata dan alasannya.
“Ye la. Mak Su ke dapur dulu. Kejap lagi Pak Su kamu balik, tak ada apa pulak yang nak dimakan dek orang tua tu.” Berlalu Mak Su Hawa ke dapur menyambung tugas sebagai seorang surirumah sepenuh masa.
Lapang dada Shah setelah kelibat Mak Su Hawa hilang di sebalik dinding dapur. Begitulah sikap Mak Su Hawa. Jika ada sesuatu yang kelihatan mencurigakan, pasti akan cuba disiasat perkara itu hingga jelas. Mujur Shah masih sempat mereka alasan.
Telefon di tangan segera dipandang namun hampa apabila masih belum ada sebarang balasan daripada Maya. Shah kembali mundar-mandir. ‘Kenapa pulak dia tak jawab sms ni. Dia tak sudi ke nak keluar dengan aku? Tapi semalam dia macam ok je.’ Hatinya berkata-kata.
Sekali lagi Shah menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit Maya dengan harapan gadis itu akan membalasnya. Gegaran di telefon bimbitnya membuatkan Shah tersenyum lebar. Skrin telefon bimbitnya segera ditatap.
‘Satu pesanan diterima’ terpampang di skrin. Laju sahaja jemarinya menekan kekunci telefon. Pesanan ringkas yang baru diterima dari Maya dibaca dengan penuh harapan.
Namun senyuman lebar di bibirnya tidak mampu bertahan lama. Balasan dari Maya tidak seperti yang diharapkan. Maya menolak pelawaannya. Kecewa sungguh Shah dengan penolakan itu. Gadis pujaannya menolak pelawaannya untuk bertemu.
Terduduk Shah di atas sofa. Tersandar sambil mata terpejam. Berfikir-fikir mengapa Maya menolak. Sedih kerana hajatnya untuk berterus-terang meluahkan perasaannya tidak kesampaian.
Mak Su Hawa bergegas ke ruang tamu apabila mendengar ucapan salam yang berulang-kali. Menggeleng apabila terpandangkan Shah yang tidak berganjak dari sofa walaupun suara memberi salam telah berkali-kali kedengaran.
Pintu utama dibuka dari dalam. Tersenyum Mak Su Hawa kepada suaminya yang baru pulang. Senyuman berbalas tatkala Mak Su Hawa mencapai tangan Pak Su Mat untuk disalami.
“Lambat awak buka pintu hari ni. Kenapa? Awak tengah buat apa tadi?” Lembut soalan yang meluncur dari mulut Pak Su Mat kepada isteri tercintanya. Hati yang sedikit panas tadi menjadi sejuk dengan sambutan mesra dari Mak Su Hawa.
“Hawa tengah masak tadi bang. Ingatkan Shah ada kat sofa tu ha, boleh la dia tolong bukakan pintu. Mana tau dia terlelap pulak dekat situ.” Mak Su Hawa memuncungkan bibir ke arah Shah yang tersandar sambil terpejam mata di sofa.
Shah hanyut dalam fikirannya. Hanyut dalam keresahan. Hanyut dalam kekecewaan akibat penolakan Maya. Mata terpejam namun bukan lena. Segala perbualan Mak Su Hawa dan Pak Su Mat masuk ke pendengarannya namun tidak singgah di otak. Tidak diproses maklumat yang diterima dan diluah kembali tanpa ada yang tertinggal sedikitpun di ingatan.
“Smart budak tu. Nak ke mana dia tu?” Mata Pak Su Mat masih lagi terarah kepada Shah yang masih statik di sofa. Selalunya tidaklah sebegitu bergaya Shah bila berada di rumah. Sekadar berseluar sukan dan berbaju singlet sahaja. Hari ini kelihatan kemas dan bergaya dengan seluar ‘jeans’ dan ‘tshirt’ berkolarnya.
“Entahlah bang. Tadi ada jugak Hawa tanya dia tapi tak ada apa-apa katanya. Mundar-mandir aje Hawa tengok dari tengahari tadi.” Sempat juga Mak Su Hawa mengadu sambil tangannya ligat mengunci pintu.
Pak Su Mat memaut bahu Mak Su Hawa sambil berjalan menjauh dari pintu. Masih lagi mesra pasangan itu walaupun telah lama hidup bersama. Malahan semakin erat dan romantik. Mungkin kerana telah terbiasa hidup hanya berdua di dalam rumah itu sebelum ini.
“Nantilah abang tanya dia. Ha! Awak masak apa malam ni?” Menoleh seketika Pak Su Mat ke arah Shah yang kelihatan sedang menatap skrin telefon bimbitnya. Entah waktu bila anak saudaranya sudah terjaga sedangkan baru seketika tadi masih tersandar dengan mata terpejam rapat.
“Masak biasa aje bang. Abang pergi la mandi dulu. Nanti Hawa hidangkan.” Mak Su Hawa melerai pautan tangan yang melingkari bahunya. Terasa sedikit segan dengan Shah walaupun anak muda itu seolah tidak kisah sahaja dengan kemesraan mereka.
“Ye la.” Dijeling sekilas Shah sebelum Pak Su Mat berlalu ke bilik sambil tersenyum. Mak Su Hawa kembali ke dapur menyiapkan hidangan sementara menunggu Pak Su Mat siap mandi dan menunaikan solat.
Mak Su Hawa kembali ke ruang tamu usai menghidang makanan di atas meja. Mata tertancap ke arah Shah yang sudah berdiri sambil menyimpan telefon bimbit ke dalam poket seluar. Kelihatan keruh sahaja wajah anak muda itu di pandangan mata Mak Su Hawa. Seolah sedang menghadapi masalah yang berat lagaknya. Rasa terpanggil Mak Su Hawa hendak bertanya namun bimbang akan menambahkan kekeruhan di wajah itu. Akhirnya dibiarkan sahaja pertanyaan itu berligar di fikirannya.
Pak Su Mat yang sedang melangkah menuju ke arahnya hanya dipandang tanpa suara. Shah duduk kembali apabila Pak Su Mat melabuhkan punggung ke atas sofa berhadapan dengannya. Mak Su Hawa turut duduk di sisi Pak Su Mat.
Shah cuba mengukir senyum namun ketara senyumannya nampak sumbang. Sedaya upaya dia cuba untuk kelihatan seperti tiada apa-apa yang berlaku di hadapan Pak Su Mat dan Mak Su Hawa. ‘Sebelum aku kena soal, lebih baik aku keluar dulu.’ Benaknya mencerna helah.
“Pak Su, Mak Su, Shah keluar sekejap ye.” Pak Su Mat berpandangan dengan Mak Su Hawa. Tidak pernah-pernah Shah meminta izin untuk keluar selepas Maghrib semenjak dia tinggal bersama mereka.
“Kamu nak ke mana malam-malam ni Shah?” Risau juga hendak membiarkan anak saudaranya itu keluar malam. Takut jika anak saudaranya itu terlibat dengan gejala tidak sihat. Shah kini telah menjadi tanggungjawabnya.
“Nak cari buku ‘sketch’, Pak Su. Tak perasan dah habis.” Mujur akalnya cepat mencipta alasan demi alasan untuk melepaskan diri.
“Esok kan boleh beli. Ni dah malam-malam ni tak payah la keluar lagi. Jom kita makan. Mak Su kamu dah siap masak dah tu.” Terasa sedikit hampa dengan jawapan Pak Su tetapi akalnya sudah terlebih dahulu mencipta alasan baru.
Akhirnya berjaya juga Shah mendapat keizinan daripada Pak Su Mat dan Mak Su Hawa. Segera dia meninggalkan rumah tanpa sempat menjamah makanan.
3 comments:
kesiannyaaa kat shah.....maya da ada pilihan hati sendiri ke? or ada sesuatu yg menghalang....
Cepat2 sambung ya!
hehehe... insyaallah... dlm bab 3
menarik..
Post a Comment