Thursday, July 08, 2010

Cinta Si Tukang Kasut Bab 1


Semenjak menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengurusan Perniagaan, Shah masih belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan. Sudah puas Shah memohon pekerjaan di sektor swasta dan juga sektor awam namun nasib masih belum menyebelahinya.

Shah hanya membantu umi dan abi di kampung sementara mendapat tawaran pekerjaan yang banyak dipohonnya sebelum ini. Lahir sebagai anak tunggal di dalam keluarga, dia selesa mengisi masa lapang membantu umi dan abi. Selain itu dia juga ada membuat beberapa rekaan kasut.

Kepulangan Pak Su Mat ke kampung dua minggu lepas memberi peluang kepada Shah untuk mendapatkan pekerjaan. Walaupun pekerjaan itu tidak menawarkan gaji yang lumayan dan ruang kerja yang berhawa dingin namun Shah tidak segan silu untuk menerima tawaran tersebut.

Sudah dua minggu Shah mengikut Pak Su Mat ke bandar. Sudah dua minggu juga Shah membaiki kasut di depan Pasaraya Mesra. Dahulu Pak Su Mat yang membaiki kasut di di situ tetapi setelah Pak Su Mat mendapat peluang kerja sebagai seorang pemandu, Pak Su Mat mengamanahkan Shah untuk menggantikan tempatnya sementara mendapatkan pekerjaan yang lain.

Rasa malu ditolak jauh ke tepi. Memang diakui, rasa malu seringkali bertandang apatah lagi apabila gadis yang dipujanya dalam diam kadangkala menjeling jijik kepadanya. Mungkin pekerjaan sebagai tukang kasut dianggap pekerjaan yang tiada kelas dan masa depan. Pekerjaan yang tidak menjanjikan pulangan yang lumayan. Pekerjaan yang tidak mampu memberikan kesenangan.

Sebagai seorang graduan yang memiliki ijazah, sudah semestinya mengharapkan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan yang dimiliki. Begitu juga dengan harapan umi dan abi yang bersusah payah menghantarnya belajar hingga tamat. Sudah semestinya umi dan abi mengharapkan anak mereka mendapat pekerjaan yang baik dan membanggakan.

Mujur umi dan abi memahami kesusahan mendapat pekerjaan pada zaman sekarang. Ramai juga graduan lepasan universiti tempatan yang terkenal mahupun luar negara yang masih lagi tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka. Terlalu banyak persaingan dan disebabkan itu jugalah umi dan abi merestui pekerjaannya kini.

Shah bersyukur dikurniakan umi dan abi yang memahami pendiriannya. Bukan pekerjaan yang mempunyai kelas yang tinggi yang menjadi idamannya. Cukuplah sekadar ianya pekerjaan yang halal dan mampu memberikan ganjaran yang memuaskan sementara dia dapat merealisasikan impiannya.

Dia mempunyai cita-cita yang tinggi dalam hidupnya. Minatnya terhadap bidang perniagaan dan rekaan kasut telah tersemai sejak kecil lagi. Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Umi dan abi mempunyai sebuah kedai kasut di kawasan tempat tinggal mereka. Walaupun kedai itu hanyalah sebuah kedai papan dan menjual kasut-kasut yang tidak berjenama hebat, namun dari hasil jualannya umi dan abi membesarkan Shah sehingga berjaya mendapat segulung ijazah.

Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa berfikir panjang Shah menerima tawaran itu. Tawaran Pak Su Mat dimanfaatkan sepenuhnya. Peluang seperti itu boleh memberikannya pengalaman yang berharga. Pengalaman yang pastinya boleh membantu Shah dalam menguruskan perniagaan yang bakal dijalankannya nanti.

Perasaan malu tidak dapat digambarkan ketika kali pertama dia membuka tapak di situ. Dengan sebuah kotak berisi peralatan membaiki kasut dan sebuah bangku kecil, Shah menunggu pelanggan dengan sabar di tepi dinding hadapan pasaraya itu.

Seawal jam sembilan setengah pagi Shah sudah berada di hadapan pasaraya itu bersama peralatannya. Begitulah rutinnya setiap hari. Shah pasti akan siap sedia berada di situ sebelum pintu pasaraya dibuka kepada pelanggan pada jam sepuluh pagi setiap hari. Shah akan berada di situ sehingga malam. Dia hanya akan pulang ke rumah selepas pasaraya ditutup pada jam sepuluh malam.

Pernah juga Pak Su Mat menasihatinya supaya membuka tapak membaiki kasut itu sehingga jam enam petang sahaja. Tidak perlu bersusah payah sehingga ke malam namun Shah mempunyai alasannya yang tersendiri. Nasihat Pak Su Mat tidak pula disanggah malahan dia menerimanya dengan senyuman.

Hari pertama membuka tapak di situ, Shah telah disapa oleh seorang pekerja pasaraya itu. Gadis tinggi lampai berwajah manis, berambut panjang dan berkulit cerah persis seorang model itu bekerja di pasaraya itu sebagai juruwang. Dengan keramahan dan kecantikan wajahnya membuatkan Shah jatuh suka kepada gadis itu.

Gadis bernama Maya itu seringkali berbual dengannya sementara menunggu pintu pasaraya dibuka. Pelbagai perkara yang dibualkan bersama. Sikap peramah dan lemah lembut yang ada pada Maya menambahkan rasa suka di hati Shah terhadap gadis itu.

Saban hari perasaan suka itu bercambah dan akhirnya menjadi cinta. Kecantikan Maya mengaburi mata hati Shah dalam membuat pemilihan berdasarkan Islam. Terlupa akan aspek yang utama ditinjau dari hadis Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud : Dikahwini perempuan (dijadikan isteri) itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka utamakanlah perempuan yang mempunyai agama dan beruntunglah hidup kamu.

Shah memandang kecantikan Maya tanpa memperdulikan agamanya. Rasa cintanya semakin menebal kepada gadis itu. Setiap hari dia akan menghabiskan masa di hadapan pasaraya itu walaupun tidak seberapa pelanggan yang datang mendapatkan khidmatnya membaiki kasut mereka. Terlupa seketika dia dengan tujuan utamanya membuka tapak membaiki kasut di situ.

Tidak terfikirkan juga dia akan anggapan Maya terhadapnya yang hanya bekerja sebagai tukang kasut. Sangkanya Maya turut mempunyai rasa yang sama dengannya. Sangkanya cintanya berbalas oleh gadis manis itu. Seringkali juga mereka makan bersama jika gadis itu tidak mempunyai teman ketika menghabiskan waktu rehatnya.

Shah menganggap penerimaan Maya sama seperti penerimaannya terhadap gadis itu. Malahan mereka seringkali berbalas-balas pesanan ringkas melalui telefon menambahkan lagi keyakinan Shah terhadap gadis itu. Walau tiada kata-kata berbaur cinta yang mereka ucapkan, namun Shah percaya Maya turut berperasaan sama sepertinya.

Shah tidak kisah sekiranya dia mendapat pekerjaan yang lebih baik nanti dan Maya hanya seorang juruwang di pasaraya itu. Cintanya telah diserahkan kepada gadis itu. Dia tidak memandang kepada perbezaan tahap pendidikan itu. Dia juga tidak pernah berterus-terang akan kelulusan yang dimilikinya kepada gadis itu.

Baginya cinta yang ada dalam hatinya hanya milik Maya. Itulah cinta pertamanya. Gadis itulah yang berhak ke atas cintanya. Gadis itulah pemilik hatinya dan gadis itulah sebahagian dari tulang rusuknya yang hilang.

4 comments:

Hadi said...

AM, tahniah!
baru bab 1 je pun dah agak menarik. kalau ada tambah2 dialog pon lagi menarik rasanya. kasi panjang sikit. all the best ye! ;)

azrina nur rusly said...

hehehe.... thanks.. insyaallah... dlm bab 2 ada dialog untuk memanjangkan olahan. hehehe

Gee Muszisya said...

suka ar am...
olahan ayat yg baik..
menanti bab 2 lak...
all the best..chaiyok2...

Anonymous said...

Hmmmm...good move...btol kate geemus olahan ayat yg teratur, baik dan mudah faham.

Success has no ending failure has no final. So ap lg...teruskn usahamu..wlu apa sekali pown..sy sentiasa myokong dan terus myokong selagi ad usaha dalam dirimu...

Yg Ikhlas,

awk/sya

.