Thursday, June 17, 2010

Kesumat Memakan Diri

Di dalam sebuah kampung yang jauh di pedalaman Pahang, Haji Busu yang tidak mempunyai sanak saudara di negeri itu menyewa sebuah rumah milik ketua kampung. Haji Busu menyewa bersendirian rumah tersebut bersama isterinya. Haji Busu yang berasal dari Perak merantau ke kampung itu setelah kematian anak tunggalnya akibat menjadi mangsa dengki khianat orang. Setelah berpindah ke kampung itu, Haji Busu berazam untuk melupakan segala peristiwa sedih yang dialaminya.

Di kampung itu, Haji Busu menyara diri dan isterinya dengan hasil usaha bertukang rumah. Di sebelah malam pula, Haji Busu akan mengajar anak-anak orang kampung mengaji quran. Setiap malam rumah Haji Busu akan dipenuhi oleh kanak-kanak yang berguru dengannya. Begitu juga dengan orang-orang kampung yang berkelapangan di waktu malam, mereka juga datang memenuhi rumah Haji Busu mendengar suara Haji Busu yang lembut membacakan ayat-ayat al-quran ketika mengajar kanak-kanak tersebut.

Di sebelah rumah Haji Busu tinggal sebuah lagi keluarga yang juga menyewa rumah di atas tanah ketua kampung. Jirannya yang mempunyai seorang isteri dan dua orang anak lelaki itu telah lama menyewa di situ. Seorang dari anaknya telah mendirikan rumahtangga dan tinggal di tempat lain. Manakala seorang lagi anaknya masih bersekolah dan tinggal di asrama.

Haji Busu dan isterinya, Hajah Rosmah merupakan pasangan suami-isteri yang peramah dan baik hati. Dengan kebaikan hati dan sikap peramah mereka itu menyebabkan mereka disukai oleh orang kampung. Malahan ketika mengambil upah bertukang juga Haji Busu tidak menetapkan harga yang mahal. Sikanya yang bertolak ansur itu sangat disenangi oleh orang-orang kampung. Namun begitu, sikapnya yang peramah dan baik hati itu rupanya tidak disenangi oleh jirannya sendiri.

Setelah hampir setahun tinggal di situ, tiba-tiba Haji Busu jatuh sakit. Haji Busu mengalami sejenis penyakit yang ganjil. Seluruh tubuhnya dari kaki hingga ke kepala ditumbuhi kudis. Kulitnya mereput dan mengeluarkan bau yang busuk. Hajah Rosmah merasa hairan dengan keadaan yang menimpa suaminya itu. Orang-orang kampung yang datang setiap malam juga menjadi hairan. Haji Busu sudah tidak dapat mengajar kanak-kanak mengaji lagi. Kanak-kanak takut dan merasa jijik dengan keadaan tubuhnya yang dipenuhi kudis dan berbau busuk.

“Kenapa dengan abang Aji ni ye? Satu badan penuh kudis. Berbau pulak tu.” Suatu hari Hajah Rosmah menyuarakan rasa hairannya kepada Haji Busu.

“Entahlah Mah, abang pun tak tahu sebabnya. Abang dah tak tahan dengan keadaan badan abang ni.” Haji Busu merasa sedih dengan keadaan dirinya.

“Bang Aji, Mah rasa elok kita ke hospital. Di hospital bolehlah kita dapatkan rawatan yang betul dari doktor.” Hajah Rosmah memberikan cadangannya sambil memandang suaminya dengan wajah yang sedih.

“Bagus jugak tu Mah, abang pun dah tak tahan menanggung kesakitan ni. Selain menanggung sakit kudis-kudis ni, sendi-sendi di badan abang ni juga turut sakit.” Kata Haji Busu. Hajah Rosmah merasa kasihan melihat kesakitan yang ditanggung oleh suaminya itu.

“Bang Aji sabarlah ye. Esok kita pergi ke hospital.” Hajah Rosmah cuba menenangkan suaminya yang sedang kesakitan itu.

“Macam mana kita nak ke hospital Mah? Abang nak bangun pun tak larat ni, apatah lagi nak memandu kereta tu. Mah tu pulakbukannya pandai memandu. Kalau Mah pandai memandu, bolehlah Mah bawa kereta tu.” Kata Haji Busu kepada isterinya yang telah dinikahinya lebih empat puluh tahun itu.

“Bang Aji janganlah risau tentang tu. Esok Mah cuba minta tolong jiran sebelah rumah kita ni ye.” Ucap Hajah Rosmah sebelum mereka tidur malam itu.

Keesokan paginya, Hajah Rosmah ke rumah jirannya untuk mendapatkan pertolongan menghantar Haji Busu ke hospital. “Assalamualaikum.” Hajah Rosmah memberi salam sebaik sampai di depan pintu dapur rumah jirannya itu yang terbuka. Kelihatan jirannya itu suami isteri sedang bersarapan pagi.

“Waalaikumussalam. Oh! Kak Hajah. Masuklah kak.” Pelawa Saodah, jirannya itu.

“Tak apalah Odah, Kak Hajah datang sekejap je ni. Kak Hajah ada hal sikit nak mintak tolong dengan Samad.” Perlahan sahaja Hajah Rosmah menuturkan kata. Matanya diarahkan seketika kepada Samad yang sedang menikmati hidangan nasi lemak yang disediakan oleh Saodah. Kemudian dialihkan pandangannya semula kepada Saodah yang berada di depannya.

“Pertolongan yang macam mana tu Kak Hajah? Kalau mampu kami tolong, kami tak keberatan.” Ucap Saodah sambil berpaling seketika kepada suaminya yang diam tidak berkata apa dari tadi.

“Begini Odah, Bang Aji tu makin hari makin teruk kudisnya, seluruh badan dah berbau. Sendi-sendinya juga sakit. Kami nak ke hospital tapi dengan keadaannya yang macam tu, Bang Aji tak larat nak memandu. Kak Hajah pula tak pandai. Kalau boleh Kak Hajah nak minta tolong Samad hantarkan kami ke hospital.” Hajah Rosmah menerangkan hajatnya.

“Oh! Nanti saya tanyakan abang Samad ye Kak Hajah.” Saodah berpaling ke arah suaminya.

“Bang, Kak Hajah nak minta tolong abang hantarkan mereka ke hospital. Pergilah kejap bang.” Ucapnya.

“Malaslah aku nak pergi. Nanti kotor kereta aku.” Samad berkata dengan kasar.

“Gunalah kereta Bang Aji aje.” Hajah Rosmah memberi cadangan.

“Ye bang, kalau takut sangat kereta abang tu kotor, guna aje kereta Bang Aji.” Suara Saodah meninggi sedikit. Dia merasa malu dengan jawapan yang diberi oleh suaminya tadi.

“Aku malas. Banyak lagi kerja lain aku nak buat. Mintaklah tolong orang lain. Kan ramai yang datang ke rumah tu setiap malam. Ajaklah diorang pergi. Buat apa ajak aku.” Samad berkata sambil bangun dan masuk ke dalam bilik. Wajah Saodah sudah kemerahan menahan malu. Malu sungguh dia dengan Hajah Rosmah yang telah banyak membantunya menumpangkan pergi dan balik dari pasar sewaktu Haji Busu masih sihat.

“Maaflah Kak Hajah. Biar saya pergi pujuk abang Samad. Kak Hajah tunggu sekejap.” Kata Saodah.

“Tak apalah Odah, biar Kak Hajah mintak tolong Long Sahak aje.”

“Kak Hajah, maafkanlah kami ye. Entah kenapa abang Samad tu hari ni. Sepatutnya kami membantu. Kak Hajah dan Bang Aji pun dah banyak bantu saya.” Ucap Saodah dengan wajah serba-salahnya.

“Tak apa-apalah Odah. Kami membantu tak harap balasan. Kak Hajah mintak diri dulu ye.

“Assalamualaikum.” Hajah Rosmah sempat memberi salam sebelum berpaling.

“Waalaikumsalam.” Jawab Saodah sambil mask ke dalam bilik mencari suaminya.

Setelah tidak mendapat bantuan yang diharapkan dari jirannya itu, Hajah Rosmah pergi ke rumah Long Sahak yang berada di hujung kampung untuk meminta bantuannya menghantarkan Haji Busu ke hospital. Hajah Rosmah yang tidak pandai memandu kereta hanya berjalan kaki sahaja ke sana.

“Assalamualaikum.” Hajah Rosmah lantas memberi salam sebaik sampai di halaman rumah Long Sahak. Tajudin, anak teruna Long Sahak yang sedang membersihkan ranting patah di hujung halaman memandang ke arah Hajah Rosmah lalu tersenyum.

“Waalaikumussalam makcik. Makcik nak jumpa mak ke?” Tajudin datang dan bersalaman dengan Hajah Rosmah. Hajah Rosmah tersenyum.

“Makcik datang nak minta tolong ayah kamu hantarkan pakcik Busu kamu ke hospital.” Jawab Hajah Rosmah.

“Kenapa dengan pakcik Busu, makcik?” Soal Tajudin yang tidak tahu keadaan Haji Busu. Tajudin bekerja di Johor, dia cuma balik sekali-sekala sahaja ke kampung tetapi jika sekali balik bercuti, dia akan bercuti panjang.

“Entahlah Din, dah seminggu pakcik Busu kamu tu sakit, badannya dipenuhi kudis. Bau busuk pula tu. Kesian makcik tengok, nak tidur pun susah.” Jawab Hajah Rosmah.

“Takpelah makcik, biar saya tolong hantarkan. Makcik baliklah dulu, selepas saya mandi nanti, saya datang rumah makcik.” Tajudin memberikan janjinya.

“Baiklah, nanti kamu guna kereta pakcik Busu kamu aje ye. Kalau guna kereta kamu, takut kotor pulak nanti.”

“Baiklah makcik.” Balas Tajudin. Seketika Hajah Rosmah meminta diri untuk pulang ke rumah. Tajudin lantas masuk ke rumah untuk mandi dan bersiap.

Selepas makan tengahari, Tajudin menghantar Haji Busu ke hospital. Dia merasa kasihan melihat keadaan Haji Busu yang lemah dan dalam kesakitan. Ketika berada di hospital, doktor melakukan beberapa ujian. Doktor mengesahkan darah Haji Busu kotor. Haji Busu tinggal di wad hospital untuk menjalani rawatan Berbulan-bulan Haji Busu mendapatkan rawatan di hospital namun penyakit yang dihidapinya tidak juga sembuh malahan kulit tubuhnya semakin membusuk.

Haji Busu mencadangkan kepada Hajah Rosmah untuk menjemput sahabatnya, Haji Hussin yang menjalankan rawatan tradisional untuk datang membantunya. Hajah Rosmah lantas menelefon Haji Hussin dan menceritakan masalah yang dihadapi oleh suaminya. Haji Hussin bersetuju untuk datang membantu sahabatnya itu.

Suasana petang Khamis yang damai menyaksikan Haji Hussin menghadapi pelbagai dugaan ketika menuju ke arah rumah sahabatnya, Haji Busu. Haji Hussin yang telah dua tiga kali datang ke rumah Haji Busu tiba-tiba sesat pada hari itu. Haji Hussin merasakan dia akan menghadapi sesuatu yang luarbiasa.

“Agaknya permainan orang ni.” Sangkaan Haji Hussin rupanya benar belaka. Ketika Haji Hussin sampai di halaman rumah Haji Busu, dia dapat melihat satu lembaga hitam sedang duduk di atas tangga rumah Haji Busu. Lembaga hitam itu memandang ke arah Haji Hussin dengan pandangan marah dan bengis. Matanya besar dan merah menyala namun sedikitpun Haji Hussin tidak merasa gentar.

Haji Hussin memandang tepat ke arah lembaga tersebut. Mulutnya kumat-kamit membacakan sesuatu lalu dihembuskan ke arah lembaga tersebut. Serta-merta lembaga hitam tersebut hilang dari pandangan. Setelah berjaya menghalau lembaga hitam tersebut, Haji Hussin lantas naik ke rumah.

Sejurus Haji Hussin naik ke rumah, kelihatan Haji Busu memandang tajam ke arahnya. Wajahnya kelihatan seperti orang yang sangat benci dan marah apabila Haji Hussin cuba mendekatinya. Dia mendengus-dengus sambil matanya tidak berkelip memandang tajam ke arah Haji Hussin.

Haji Hussin lalu beristighfar. Sebaik terdengar Haji Hussin beristighfar, Haji Busu lantas menutup kedua-dua telinganya dengan tangan sambil menjerit-jerit.

“Panas! Panas! Panas!” Haji Hussin terus membacakan beberapa potong ayat al-quran. Haji Busu meronta-ronta. Beberapa orang penduduk kampung membantu memegang Haji Busu. Haji Hussin lantas memberi salam kepada Haji Busu namun tidak mendapat jawapan.

“Kenapa kau tak jawab salam aku. Kau ni islam ke kafir?” Haji Hussin lantas bertanya.

“Aku kafir, buat apa aku nak jawab salam kau, orang tua.” Haji Busu menjawab dengan suara yang parau. Semua yang berada di situ terkejut dan berpandangan sesama sendiri.

“Dari mana kau datang?” Soal Haji Hussin sambil mulutnya terus membaca ayat-ayat al-quran. Haji Busu meronta-ronta.

“Aku datang dari rumah sebelah.” Jawab syaitan yang berada di dalam tubuh Haji Busu dengan bangga.

“Buat apa kau kacau kawan aku ni? Apa yang dia dah buat salah pada kau?” Haji Hussin terus menyoal syaitan yang sedang mendiami tubuh Haji Busu.

“Aku nak dia mati.” Jawabnya lagi.

“Kenapa kau nak dia mati? Apa salah dia pada kau?” Soal Haji Hussin.

“Aku nak dia mati. Dia dah menyakitkan hati aku. Dia dah mengganggu ketenteraman aku.” Jawab syaitan itu lagi.

“Apa yang dia dah buat?” Soal Haji Hussin lagi.

“Dia kumpul orang kampung. Dia ajar budak mengaji. Tiap-tiap malam budak-budak buat bising, ganggu aku nak tidur. Budak-budak suka patahkan pokok-pokok bunga yang aku tanam.” Jawab syaitan yang mendiami tubuh Haji Busu itu lagi.

“Aku perintahkan kau keluar dari tubuh manusia ni. Pergi kau dari sini.” Haji Busu menjengilkan mata mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Haji Hussin.

“Aku tak mahu pergi. Aku nak dia mati.” Jawab Haji Busu.

Haji Hussin lantas mengambil air limau purut yang telah disediakan sebelum memulakan rawatan tadi lalu merenjiskan ke arah Haji Busu sambil mulutnya tak berhenti membaca ayat-ayat quran. Haji Busu meronta-ronta kesakitan. Kelihatan air mengalir keluar dari telinga dan hidungnya. Bau busuk memenuhi segenap ruang tamu rumah Haji Busu. Hajah Rosmah menangis di sudut ruang tamu rumah itu sambil dipujuk oleh Lang Tipah, isteri Long Sahak yang telah berada di situ sejak siang tadi.

Hari beransur gelap. Angin di luar rumah mula bertiup kencang. Kedengaran bunyi dedaun pokok berlaga sesama sendiri ditiup angin keras. Seketika kemudian hujan lebat turun menyimbah bumi diikuti guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung. Tiba-tiba muncul lembaga berbungkus kain kapan di belakang Haji Busu yang sedang duduk di atas tempat pembaringannya sambil dipegang oleh beberapa orang penduduk kampung. Mereka yang sedang memegangnya terkejut dan terus melepaskan pegangan lalu lari lintang-pukang ke belakang Haji Hussin.

“Kau dah mati, jangan kacau orang lagi. Pergi kau dari sini. Jangan datang-datang lagi.” Haji Hussin bersuara kasar.

“Aku boleh pergi tapi dengan satu syarat. Kau sediakan seekor kambing hitam sebagai korban menggantikan manusia ni.”

“Aku tak akan bersetuju. Aku tak ada sebarang perjanjian dengan syaitan. Baik kau berambus dari sini, kalau tidak aku sembelih kau sampai mati. Aku tahu asal-usul kau. Kau dah mati, kau hidup sebab ada yang memuja kau.” Haji Hussin mengugut sambil membaca beberapa potong ayat quran.

Sekelip mata lembaga berbungkus kain kapan yang berdiri di belakang Haji Busu hilang. Kelihatan asap nipis di tempat lembaga itu berdiri tadi. Tidak lama kemudian asap nipis itu menghilang. Haji Busu yang sedang duduk kelihatan seperti memuntahkan sesuatu namun tiada apa yang keluar melainkan angin yang sangat busuk sahaja. Setelah angin busuk itu dimuntahkan keluar oleh Haji Busu, tiba-tiba dia tersedar dan kelihatan terpinga-pinga. Serentak dengan itu, hujan lebat dan angin yang bertiup kencang di luar rumah berhenti dengan serta-merta.

“Awak ke mana tadi?” Haji Hussin bertanya kepada Haji Busu seraya tangannya menghulurkan segelas air yang telah didoakannya.

“Entahlah Ji, saya pun tak tahu kat mana saya tadi. Puas saya cari jalan balik tapi tak berjumpa.” Jawab Haji Busu sambil tangannya mencapai gelas yang dihulurkan oleh Haji Hussin. Setelah membaca bismillah dan berselawat ke atas nabi, air yang berada di dalam gelas itu diminumnya sehingga habis. Tekaknya yang terasa kering merasa lega semula setelah dibasahi air yang telah didoakan itu.

“Syukurlah awak dah sedar.” Ucap Haji Hussin. Semua yang ada di ruang tamu rumah itu tersenyum atas kejayaan Haji Hussin menghalau syaitan yang mengganggu Haji Busu. Hajah Rosmah yang berada di sudut ruang tamu berhenti menangis apabila melihat suaminya sudah sedar.

“Apa dah berlaku sebenarnya Ji?” Haji Busu bertanya kepada sahabatnya itu.

“Tak ada apa-apa. Awak diganggu sikit. Alhamdulillah, gangguan tu dah dapat kita buang. Tak apalah Ji, kejap lagi saya mandikan biar hilang kotor-kotor yang lekat kat badan awak tu.” Haji Hussin tidak mendedahkan kejadian sebenar yang menimpa Haji Busu adalah angkara jirannya sendiri walaupun dia tahu Haji Busu yang penyabar itu tidak akan berbuat apa-apa walaupun telah disakiti oleh orang lain.

“Ji, boleh ke saya sembuh dari penyakit kudis ni? Tak tahan badan saya sakit-sakit. Sendi-sendi pun turut sakit.” Ucap Haji Busu kepada sahabatnya itu.

“Insyaallah Ji, saya cuba bantu setakat yang saya mampu.” Balas Haji Hussin.

Haji Hussin meminta Hajah Rosmah menyediakan beberapa barangan yang diperlukan untuk memandikan Haji Busu. Lang Tipah membantu Hajah Rosmah menyediakan barangan tersebut. Setelah segala barang-barang yang diperlukan sudah tersedia, Haji Hussin lantas mencampurkan kesemuanya ke dalam satu tempayan tanah yang telah diisi dengan air telaga.

“Minta tolong bawa Haji Busu turun ke bilik air ni. Saya dah siapkan campuran air mandian ni.” Haji Hussin bersuara dari dalam bilik air. Hajah Rosmah lantas menuju ke arah suaminya.

“Mari bang Aji, kita turun ke bawah.” Perlahan-lahan Hajah Rosmah memapah suaminya turun ke bilik air sambil dibantu oleh Tajudin. Haji Busu didudukkan di atas sebuah bangku kecil di dalam bilik air tersebut. Haji Hussin mula memandikan sahabatnya itu. Air dijiruskan dari kepala sedikit demi sedikit sehingga habis. Daun sirih digunakan untuk menggosok kulit yang dipenuhi kudis. Haji Busu menggigil kesejukan apabila dijirus dengan air telaga yang diisi di dalam tempayan tanah itu.

Semenjak Haji Hussin memandikan Haji Busu dengan campuran bahan mandian yang disediakan, semakin hari Haji Busu semakin pulih. Kudis yang memenuhi tubuhnya telah kering dan hanya meninggalkan bekas parut sahaja.

Suatu petang Haji Busu berbual-bual bersama Hajah Rosmah di anjung rumah. “Mah, dah lama tak nampak jiran sebelah rumah kita keluar. Dia tak ada di rumah ke?” Soal Haji Busu kepada isterinya.

“Bang Aji, dengar cerita Lang Tipah di pasar tadi, jiran kita tu dibawa pergi oleh anaknya.Patutlah sejak Bang Aji sembuh dah lama tak nampak si Samad tu. Saodah pun tak ada. Dengarnya sakit macam bang Aji dulu. Eloklah tu bang Aji. Allah tu maha adil. Buat jahat dibalasnya jahat.” Hajah Rosmah merasa puas akan balasan yang menimpa jirannya itu.

“Kenapa awak cakap macam tu Mah? Apa salah dia kat kita?” Soal Haji Busu lagi.

“Bang Aji, dulu sakit bang Aji tu angkara dialah bang Aji oi. Entah apa yang didengkinya dengan kita sampaikan dipujanya orang yang dah mati nak buatkan kita keluar dari rumah ni. Patutlah bila kita mintak tolong hantar ke hospital, si Samad tu tak mahu. Dipujuk si Saodah pun tak mahu jugak dia.” Terang Hajah Rosmah mengenai kejadian yang telah menimpa suaminya dulu. Haji Busu hanya menggelengkan kepala mendengar cerita isterinya itu.

“Tak apalah Mah. Benda dah berlaku.” Ucap Haji Busu.

“Kasihan si Saodah tu Bang Aji, termalu dia dengan sikap si Samad tu bila orang kampung tahu sakit Bang Aji tu angkara perasaan dengki si Samad tu.” Hajah Rosmah memandang suaminya.

“ Nanti kalau jiran kita tu balik ke sini, kita sama-sama pergi melawat dia. Tak baik bermusuh sesama islam.” Haji Busu berkata sambil memandang isterinya dan tersenyum. Hajah Rosmah menggangguk tanda bersetuju dengan kata-kata suaminya.

3 comments:

Seng Wani said...

kesumat, dendam, irihati ,cemburu buta,khianat semuanya adalah sifat terkeji yang perlu di kikis dalam diri kita semua, tidak ada keputusan dan hasil yang baik terhadap semua sifat tersebut

azrina nur rusly said...

ye... sbb tu la saya selitkan dalam nukilan saya. huhu

Puteri said...

nice

.