Saturday, July 16, 2011

Cerpen Bertema II - Berpindah Ke Balik Papan

Rindu

SUDAH lama rasanya aku tidak balik ke kampung halaman. Semenjak aku melanjutkan pelajaranku ke luar negara, sehinggalah aku pulang semula ke tanahair dan mendapat pekerjaan di bandar, belum pernah sekali pun aku pulang menjenguk saudara mara yang berada di sana. Bukan sahaja sekadar tumpang bermalam semalam dua di rumah peninggalan arwah Tok Lang sementelah aku sudah tiada punya datuk dan nenek di kedua-dua belah ibu dan bapaku, menjenguk muka pun tidak pernah sama sekali. Entah apalah agaknya khabar mereka semua. Masih sihatkah atau sudah tiada lagi di dunia ini?

Sesekali timbul juga rasa rindu kepada teman-teman sekampung, yang sewaktu kecil sama-sama berbogel mandi di sungai, sama-sama berkubang di padang tatkala bermain bola di dalam deras hujan, tetapi keadaan masa tidak pernah mengizinkan untuk aku kembali merasai zaman silam. Itulah zaman paling indah yang pernah aku lalui dan jika tuhan mengizinkan, ingin sekali lagi rasanya aku melalui zaman indah itu. Namun aku pasti, itu cuma akan menjadi angan-angan yang tidak mungkin akan terlaksana.


Mengingati kisah silam, ingatanku kembali kepada sahabat karibku, Amri. Oh, hampir terlupa aku memperkenalkan diriku. Namaku Tajul, Tajul Ariffin. Di kalangan rakan-rakan sewaktu di kampung dahulu, aku dikenali sebagai Ipin. Jangan salah sangka, Ipin sahaja ya, bukan Upin dan Ipin itu.

Sewaktu di kampung, aku sangat rapat dengan Amri. Apa sahaja yang dilakukan, kami akan sentiasa melakukannya bersama. Tidak kiralah sama ada belajar di sekolah, mengaji al-Quran di rumah Imam mahu pun menceroboh kebun rambutan Pak Long Leman yang terletak di hilir sungai.

Bercerita tentang sungai, banyak kenangan pahit manis yang aku lalui bersama Amri di situ. Cubaan pertamaku untuk mengajarnya berenang, hampir sahaja menyebabkan Amri berpindah ke balik papan.

Berpindah ke balik papan. Ya, itulah peribahasa yang digunakan oleh Tok Lang ketika tubuh Amri yang lemah dibawa ke hospital. Teruk juga aku dimarahi oleh Tok Lang waktu itu. Katanya aku sengaja hendak menunjuk pandai. Terasa juga di hati kecilku waktu itu dengan kata-kata yang dihamburkan oleh Tok Lang terhadapku sedangkan niatku baik, sekadar ingin berkongsi pengetahuan dan kebolehan berenang dengan Amri. Tiada pula terlintas di benakku hendak menganiaya sahabat karibku sendiri.

Sesekali pernah juga otakku memberikan tanggapan yang jahat terhadap Tok Lang. Kononnya, Tok Lang lebih menyayangi Amri daripada aku, cucu saudaranya sendiri. Amri itu bukan siapa-siapa pada Tok Lang sedangkan aku ini cucu kepada adik kandung Tok Lang sendiri. Sudah tentu aku yang sepatutnya lebih disayangi daripada Amri yang hanya sekadar anak cucu kepada orang-orang sekampung Tok Lang sahaja.

Terkesima

BERPINDAH ke balik papan. Kali pertama aku mendengar ungkapan itu meluncur laju dari mulut Tok Lang, terkesima juga aku dibuatnya. Maklumlah, waktu itu aku masih kecil lagi. Usiaku baru mencecah sembilan tahun. Pada usia sembilan tahun, apalah sangat perumpamaan dan bidalan yang aku tahu. Kalau ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’, tahulah aku akan maksudnya.

Arwah ayah dan ibuku sewaktu hayatnya masih ada pun tidak rajin menggunakan kata bidalan di dalam perbualan seharian mereka. Arwah Tok dan Tok Wan juga tidak rajin menggunakan peribahasa di hadapan aku. Jika bersama arwah Tok Lang, aku yakin kaum keluargaku pasti akan menggunakannya almaklumlah, arwah Tok Lang dahulu sewaktu zaman mudanya merupakan pemantun terhandal di dalam kampung. Arwah Tok Lang memang sangat menyanjungi pantun seloka, gurindam dan yang sewaktu dengannya. Janganlah ada sesiapa yang berniat hendak mencabarnya berbalas pantun, nescaya akan pulang dengan malu yang besarlah nanti.

Dianggap gurauan

PAGI tadi aku ke pejabat seperti biasa. Ketika aku sampai ke pejabat, semua pekerja sudah sampai. Mereka semua aku lihat tekun membuat kerja. Ada juga yang tekun membuat kerja sendiri di sebalik ‘partition’ mereka, aku sedar perkara itu kerana aku terlebih dahulu merasai pengalaman berada di tempat mereka. Hehehe...

Setiap pagi, seperti biasa setiausahaku akan masuk ke bilikku setelah aku sampai di pejabat. Dia akan membacakan senarai temujanjiku sekiranya ada pada hari tersebut. Usai melakukan tugasnya itu, dia memberitahu tentang musibah yang telah menimpa pembancuh air di pejabat kami. Namanya Kak Timah.

Kak Timah seorang wanita yang peramah dan suka bergurau. Walaupun hidupnya susah tetapi dia tidak suka meminta-minta simpati orang. Aku sangat kagum dengan semangat hidup yang dimiliki oleh Kak Timah. Aku selalu berdoa agar aku turut diberikan semangat yang tabah sepertinya. Kak Timah sudah lama berkhidmat di sini. Semenjak aku mula berkhidmat sehinggalah aku kini sudah bergelar Pengurus.

“Encik Tajul, hari ini Kak Timah tak dapat datang. Saudaranya meninggal dunia. Jadi, kalau Encik Tajul nak minum, cakap saja dengan saya, nanti saya buatkan.”

“Oh! Bila berpindah ke balik papannya tu?”

“Meninggal dunialah Encik Tajul. Apa pula berpindah. Encik Tajul salah dengar agaknya ni?”

Aku pandang wajah setiausahaku. Betullah aku dengar dia sebut meninggal dunia. Bila masa pula aku dengar berpindah. Mamaikah setiausaha aku pagi ini?

“Betullah Hanim. Saya dengar apa yang awak sampaikan tadi.”

“Tapi tadi, Encik Tajul tanya bila berpindah ke balik papan. Saudara dia meninggallah Encik Tajul, bukannya berpindah! Lagi pun, saya tak pernah dengar nama tempat, Balik Papan. Kalau Balik Pulau tu ada lah. Letaknya nun di Pulau Pinang sana.”

“Betullah Hanim. Berpindah ke balik papanlah tu maksudnya. Orang yang meninggal dunia itu kan selepas dimasukkan ke liang lahad, jenazahnya akan ditutup dengan sekeping papan.”

“Alahai... Encik Tajul bergurau pula pagi-pagi ni,” ujar setiausahaku sambil tersenyum-senyum.

“Saya bukan bergurau. Itu peribahasa, Hanim. Peribahasa kan indah. Berpindah ke balik papan sebenarnya membawa maksud meninggal dunia. Jadi, sesiapa yang meninggal dunia boleh juga dikatakan berpindah ke balik papan.”

Haaa... Kan aku sudah membuka kelas syarahan pada pagi yang hening ini. Sama seperti aku dahulu, setiausaha aku juga terkesima mendengar peribahasa itu buat kali pertama. Terkebil-kebil dia berlalu keluar dari bilikku, meninggalkan aku tersengih kelucuan mengingatkan reaksi wajahnya sebentar tadi.

Musim buah

SELEPAS makan malam sebentar tadi, tiba-tiba sahaja tingkah laku isteri kesayangan aku menjadi manja semacam. Pelik pula aku rasakan. Tetapi selepas berbual-bual sebelum melelapkan mata tadi, barulah aku tahu puncanya. Rupa-rupanya dia hendak mengajak aku pulang ke kampung halamanku. Musim buah katanya. Amboi, sudah bertahun-tahun tidak menjejakkan kaki ke kampung, apabila musim buah sampai, tiba-tiba sahaja aku menunjukkan muka, nanti sudah tentu ada di kalangan orang kampung yang akan mengata kami.

Kalau hendak makan buah-buahan, di mana-mana pun boleh. Tidak hanya sekadar balik ke kampung baru dapat merasa makan buah-buahan. Kini terdapat banyak kedai menjual segala macam jenis buah-buahan tempatan yang didirikan. Hendak makan buah apa, cakap sahaja, pasti boleh diperolehi tanpa perlu menunggu musimnya tiba. Hendak makan durian pun sudah boleh diperolehi sepanjang tahun. Bukan seperti dahulu lagi, terpaksa menunggu musimnya.

Negara kini sudah maju. Pelbagai penyelidikan telah dan sedang dilakukan oleh para penyelidik sama ada di dalam jabatan kerajaan ataupun swasta untuk memenuhi keperluan rakyat. Terdapat juga jabatan kerajaan yang ditubuhkan semata-mata untuk membuat penyelidikan dan penambahbaikan di dalam penghasilan buah-buahan yang bermutu tinggi. Di samping itu, pelbagai ilmu pengetahuan juga diberikan kepada para peladang di dalam usaha melipatgandakan hasil tanaman mereka.

Namun, sayangkan isteri punya hal, aku pun mengambil jugalah cuti untuk pulang ke kampung pada hujung minggu nanti. Alang-alang mahu bercuti, aku mohon sehingga dua minggu. Kalau orang lain yang berpangkat seperti aku, bekerja pula di dalam sebuah syarikat multinasional, tentu sudah merancang untuk menghabiskan duit di tempat-tempat peranginan yang ada di dalam mahu pun di luar Malaysia tetapi aku, mengambil keputusan untuk bercuti di kampung sahaja.

Anak-anaklah yang paling seronok. Sejak kecil mereka tidak pernah tahu yang mereka juga mempunyai kampung seperti orang lain, namun apabila sudah besar, tiba-tiba sahaja mereka akan pulang bercuti di kampung. Terkejut bercampur teruja mereka jadinya.

Bersemangat betul anak-anak aku dengan percutian kali ini. Sejurus mendapat tahu cuti yang aku pohon sudah diluluskan oleh Tuan Pengarah, mereka terus sahaja mengemaskan beg pakaian masing-masing. Sesekali aku terfikir juga, adakah mereka seronok kerana akan balik ke kampung halaman, ataupun seronok kerana akan dapat makan buah-buahan secara percuma?

Seronok

SUDAH lama tidak pulang ke kampung bukanlah bermakna aku sudah lupa jalan untuk ke sana. Aku masih ingat jalannya. Bukankah itu tempat tumpah darahku, dan tempat aku dilahirkan? Mustahil aku akan melupakannya dengan mudah. Walaupun bertahun merantau, ibarat bangau yang tetap akan terbang ke belakang kerbau, begitu jugalah dengan aku. Aku pasti akan pulang juga ke kampung halaman walaupun selepas bertahun-tahun meninggalkannya.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baiklah di negeri sendiri. Seperti aku, menuntut ilmu di negara orang dan aku tetap pulang juga ke tanahair sendiri untuk mencari rezeki dan membantu menyumbang di dalam ekonomi negara. Tidak mustahil pada suatu hari nanti aku akan pulang dan menetap pula di kampung tanah tumpah darahku itu, kerana seindah dan sebaik mana pun tempat orang, tetap lebih baik lagi di tempat sendiri.

Hujung minggu yang dinanti-nanti sudah tiba. Seawal pagi, selepas menunaikan solat Subuh, kami sekeluarga bertolak pulang ke kampung. Anak-anak aku kelihatan begitu seronok. Isteri kesayangan aku pula, tidak usah dikata, memang sangat murah dengan senyuman. Sejak bangun daripada tidur, sehinggalah dia duduk di kerusi penumpang di sebelah aku, dan menemani di sepanjang pemanduan, tidak hilang-hilang senyuman itu dari bibirnya. Senyuman itu menambahkan lagi kecantikan isteri aku yang sudah sedia cantik bagai bulan empat belas ini.

Perjalanan yang jauh tidak terasa jauhnya apabila ditemani oleh anak-anak yang tidak henti-henti menyanyikan lagu Balik Kampung yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman suatu ketika dahulu, dan juga senyuman yang tidak lekang dari bibir merah bak delima merkah milik isteriku. Sungguh seronok, debaran yang tadinya terasa di dalam hati kerana tidak tahu bagaimanakah reaksi orang kampung apabila melihat kepulanganku dan apakah yang akan aku ditemui di sana nanti, hilang begitu sahaja.

Perubahan besar

INDAH! Itulah yang kurasakan di dalam hati saat menikmati keindahan yang terbentang di hadapan mata. Begitu jauh perbezaannya suasana kampung yang dapat aku lihat kini berbanding waktu aku kecil dahulu.

Mataku puas melilau mencari wajah-wajah teman lama yang suatu ketika dahulu sama-sama bermain berkejaran. Sebut sahaja di mana ceruk kampung yang tidak diredah, ke darat, ke baruh, ke hulu dan ke hilir, semuanya tetap diredah bersama. Di mana mereka? Aku rindu hendak bertemu, menatap mata ke mata dan berbual santak ke senja.

Sengihanku yang terukir sampai ke telinga rupanya menarik perhatian isteri kesayanganku yang masih berada di sebelah. Dicuitnya bahuku lalu diangkat dagunya sebagai isyarat inginkan jawapan daripadaku. Aku hanya melempar senyum sebagai menutup malu, tertangkap di kala fikiran menerawang kembali ke zaman silam.

Pemanduan kuteruskan, mencari rumah berbentuk limas yang telah lama tidak aku ziarahi. Di situlah dahulu tempat aku melelapkan mata, merehatkan diri dan menjalankan kehidupanku sebagai cucu saudara kepada Tok Lang. Tentu ada yang tertanya-tanya mengapa aku lebih banyak bercerita tentang Tok Lang daripada Tok dan Tok Wan aku sendiri. Biarlah aku kongsikan ceritanya nanti usai aku bercerita tentang perubahan besar yang berlaku di kampungku ini.

Perubahan besar! Ya, aku lihat kampungku mengalami perubahan yang besar, malahan boleh aku katakan sangat besar. Terlalu jauh bezanya berbanding waktu dahulu. Seiring dengan perubahan dunia, kampung halamanku juga berubah menjadi lebih gah.

Rumah-rumah sudah serba cantik dan baru. Tiada lagi rumah lama berbentuk limas seperti dahulu. Kini yang ada hanyalah rumah-rumah batu yang tersergam indah lengkap berpagar dan berpintu cantik dengan ukiran bunga-bunga kerawang. Tampak mewah penghuninya.

Kampung ini sudah tidak kelihatan kekampungannya lagi. Sudah bertukar menjadi sebuah penempatan golongan berpendapatan tinggi seperti yang terdapat di bandar-bandar besar. Cuma bezanya struktur rumah tidak teratur seperti di bandar, dan di sini mereka lebih mewah dengan pohon-pohon buah-buahan yang mengelilingi rumah. Dalam erti kata lain, penduduk kampung lebih berharta kerana mempunyai tanah yang lebih luas dan tidak perlu dipajak selama sembilan puluh sembilan tahun.

Sungai hilang

KETIKA melintasi sungai tempat aku mandi berbogel bersama Amri sewaktu kecil dahulu, biji mataku hampir tersembul melihat keadaannya yang sudah kering-kontang. Aduh! Rindunya aku pada kedinginan airnya yang mengalir perlahan.

Juraian akar dari pokok tempat aku membuat terjunan tiruk suatu ketika dahulu juga sudah tidak kelihatan lagi. Kering dan mati. Tiada apa yang tinggal lagi melainkan sebuah tunggul reput yang sudah pastinya kini dimiliki secara mutlak oleh sang anai-anai.

Batu berlumut di tengah-tengah sungai tempat aku duduk melepaskan lelah setelah puas berenang-renang dan bergurau senda bersama Amri, kini hanya tergeletak kesepian dan kekeringan. Sudah tiada lagi lumut yang menghiasinya. Hanya kering dan gersang di tengah-tengah alur sungai yang sudah tiada lagi airnya.

Rumah di tebing sungai sudah tiada lagi. Ke mana pergi penghuninya? Sudah berpindah ke balik papan barangkali! Dahulu rumah itu meriah dengan hilai tawa aku dan Amri ketika disajikan kudap-kudapan oleh Mak Senah yang tiada punya sebarang anak. Hanya kepada kami Mak Senah menumpang kasih dan kerana itulah kami bebas bergerak, makan dan minum di dalam rumahnya. Ah! Rindu juga kepada Mak Senah dan kudap-kudapan sedap air tangannya.

Kesedihan tidak membawa ke mana-mana

TOK dan Tok Wan sudah lama tiada. Semenjak aku dilahirkan, hanya beberapa tahun sahaja aku dapat menumpang kasih mereka, selebihnya hanya kepada Tok Lang tempat aku bermanja. Tok dan Tok Wan dijemput Ilahi tatkala mereka di dalam perjalanan ke rumah ibuku. Akibat kesedihan itulah, ibu membawa aku pulang dan menetap di kampung dan Tok Lang menjadi pengganti Tok serta Tok Wan yang sudah tiada.

Begitulah kisah Tok dan Tok Wan yang pernah diceritakan kepadaku serta bagaimana aku lebih banyak mengingati Tok Lang daripada Tok dan Tok Wan di dalam kehidupan aku, namun itu bukan pengakhir kisah hidupku. Kesedihan tidak akan terpisah daripada kehidupan manusia. Yang hidup pasti akan mati, yang datang pasti akan pergi. Itulah pusingan kehidupan yang sudah tersurat sejak azali.

Aku kehilangan Tok Lang ketika aku berada di tahun akhir pengajianku. Ketika aku sedang berperang dengan kuliah dan peperiksaan, juga berperang dengan kestabilan kewangan, aku menerima berita yang mendukacitakan, namun aku redha menerima ketentuan.

Kesedihan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Itulah pegangan yang aku sematkan di dalam hatiku dan kerana itulah aku bangkit daripada kedukaan serta berusaha mengembalikan kegembiraan. Akhirnya usahaku membuahkan hasil dan aku kembali ke tanahair dengan segulung ijazah penuh kepujian.

Lagi berita sedih

SEDANG aku memandu sambil memerhatikan perubahan yang sangat ketara di kampungku ini, aku terpandang seorang pemuda yang wajahnya saling tidak tumpah seperti wajah Amri sewaktu kecil dahulu di warung tepi jalan. Aku segera memberhentikan kenderaanku di bahu jalan. Aku segera turun dan melintasi jalan menuju ke tempat pemuda seiras Amri itu sedang duduk menikmati secawan kopi. Aku katakan kopi kerana warung itu diberi nama Kedai Kopi Wak Ali. Tentu sahaja air kopi yang menjadi sajian utamanya. Sama seperti Restoran Pizza Hut yang banyak berceracak di bandar-bandar besar yang sudah tentu sajian utamanya adalah pizza.

Tanpa silu kuhulurkan salam kepadanya lalu kutanyakan arah ke rumah sahabat karibku, Amri. Kelihatan perubahan di riak wajah pemuda itu. Diratahnya wajahku sepuas hati sehingga menimbulkan tanda tanya di sudut hatiku yang akhirnya terzahir di mulut.

“Kenapa lain benar pandangan saudara? Adakah apa-apa yang mencurigakan di wajah saya ni?”

Pertanyaanku rupanya menerbitkan senyum di bibir pemuda itu. Mungkin dia merasakan pertanyaanku itu agak lucu atau sekadar hendak menutup rasa malunya kerana menatap wajahku tanpa berkelip sebentar tadi.

“Boleh saya tahu pak cik ini siapa? Tapi jangan pak cik salah sangka pula dengan pertanyaan saya ini. Saya sekadar ingin tahu siapakah yang masih mencari ayah saya yang sudah beberapa tahun berpindah ke balik papan itu.” Sungguh pertanyaan pemuda itu berjaya membuatkan hati aku sedih lagi, namun aku bangga kerana anak muda seperti dia tidak kekok menggunakan peribahasa di dalam kehidupannya seharian.

Rumah Limas Tok Lang

KESEDIHAN tidak membawa ke mana-mana. Usai berbual serba sedikit dengan Saiful, pemuda seiras arwah Amri itu, pemanduan kuteruskan menuju ke destinasi. Rumah limas Tok Lang menjadi destinasi utamaku. Suatu ketika dahulu, rumah limas itu dikelilingi oleh pelbagai jenis pokok buah-buahan. Sebutkan sahaja jenisnya, pasti ada sebatang dua di atas tanah tapak rumah Tok Lang yang luasnya seperti sebuah padang bola sekolah itu.

Kereta kubelokkan masuk ke jalan kecil menuju ke rumah limas Tok Lang. Ah! Aku menggosok mata berulang kali. Betulkah apa yang aku nampak? Di hadapanku tersergam indah sebuah rumah batu bertingkat dua. Pokok buah-buahan yang menghijau dahulu sudah tiada lagi di tempat asalnya.

Kini yang terbentang di hadapan mataku hanyalah sebuah rumah yang dikelilingi oleh pohon-pohon bunga yang pelbagai. Tiada lagi pokok rambutan merimbun tempat aku bergayut tatkala buahnya merah ranum. Tiada juga cantik-cantik si tampuk manggis, di luar hitam, di dalam manis. Sudah habis ditarah pokok yang pernah menghasilkan buah berkulit ungu pekat yang isinya sangat manis.

Pohon durian yang menjulang ke langit, yang satu ketika dahulu pernah memberi pulangan lumayan buat Tok Lang juga sudah nampak ranting mati di pucuknya. Sudah tiada rezeki kami anak-beranak untuk menikmati buah-buahan percuma.

Tidak kenal

SAAT enjin kereta aku matikan di bawah pokok kemboja yang merendang penuh bunga, beberapa orang kanak-kanak berlarian keluar dari rumah. Mata-mata mereka memandang tajam ke arah kami yang masih lagi tidak keluar dari kereta. Seketika, berlarian semula semuanya ke dalam rumah dan keluar kembali ke muka pintu bersama seorang lelaki dewasa.

“Siapakah pak cik ini?”

Terkedu aku seketika sambil saling berpandangan dengan anak dan isteriku yang sudah pun berdiri terpaku di luar kereta sambil menghadap ke arah rumah batu bertingkat dua itu. Persoalan daripada lelaki itu sedikit memeranjatkan aku. Siapakah aku? Begitu lamakah aku tidak menjengah sehingga mereka tidak lagi mengenali aku, saudara mereka sendiri yang suatu ketika dahulu tinggal dan membesar bersama mereka?

“Tumpang tanya, bukankah ini rumahnya Tok Lang Said, bekas pemantun handalan kampung itu?” Soalanku dibalas dengan kerutan di dahi lelaki itu namun ada segaris senyum diukir di bibirnya.

“Benar, ini rumah arwah Tok Lang Said. Siapakah pak cik ini?” Sudah tua aku rupanya. Benarlah, sudah lama aku meninggalkan asal-usulku hingga akhirnya aku tidak dikenali lagi di sini.

“Saya Tajul Ariffin, cucu saudara Tok Lang Said,” ujarku ketika itu dan usai aku berkata, kerutan semakin ketara di dahi lelaki itu, namun itu hanya seketika sahaja sebelum senyuman melebar di bibirnya. Tubuhku ditarik ke dalam pelukannya sambil jelas kedengaran suaranya di telingaku.

“Pak cik Ipin rupanya. Saya Mamat, cicit Tok Lang Said.”

Giliran aku pula yang terkesima. Cicit Tok Lang Said? Anak siapakah pula dia? Mungkin menyedari kerutan di wajahku tatkala dia melonggarkan pelukan, jawapan kepada persoalan di benakku meluncur laju dari bibirnya.

“Saya anak kepada Saibah, cucu Tok Lang Said yang di Melaka. Eh, jemputlah masuk,” pelawanya kepada kami.

Wasiat

USAI berbual dan dijamu dengan sedikit makanan, aku dikhabarkan berita yang menggembirakan. Wasiat Tok Lang sebelum berpindah ke balik papan diserahkan kepadaku. Tanah dusun di baruh milik Tok dan Tok Wan diserahkan kepadaku untuk ditadbir sebaiknya.

Tidak pula aku tahu, selama ini ada wasiat yang dituliskan untukku. Tidak juga aku tahu, Tok Lang yang telah mentadbir harta pusaka peninggalan Tok dan Tok Wan bagi pihak aku selama ini dengan sejujurnya.

Selama ini aku sangka tanah dusun di baruh itu milik Tok Lang, rupa-rupanya ia milik Tok dan Tok Wan. Nampak gayanya merasa juga anak-anakku mempunyai tanah di kampung sendiri. Sudah pasti selepas ini aku akan bersara dan kembali ke sini, hidup sebagai orang kampung dan bersemadi dengan aman di kampung setelah berpindah ke balik papan.

Pesta Buah

MENUMPANG semalam dua di rumah Mamat mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanakku. Bercerita tentang kenakalan bersama rakan-rakan sebayaku terutamanya Amri yang sudah berpindah ke balik papan membangkitkan keseronokan dan kerinduan yang tidak terhingga.

Tercapai juga hasrat isteri kesayanganku yang teringin sangat merasai keseronokan makan buah-buahan di kampung sendiri, malahan, kini berpeluang untuk melakukannya di tanah sendiri. Pada petang yang penuh berkat sebelum kepulanganku ke bandar, aku buka peluang untuk bersama-sama berpesta buah di dusun peninggalan arwah Tok dan Tok Wan.

Berpindah ke balik papan. Pada suatu ketika nanti, aku juga akan berpindah ke balik papan dan untuk itu, kupohon agar jenazahku dapat disemadikan di tanah tumpah kelahiranku ini.

-Tamat-

1 comments:

n_endra said...

Balikpapan adalah nama sebuah kota di Provinsi Kalimantan Timur, Indonesia.
Ya, istilah telah pergi ke Balikpapan sering digunakan untuk menggantikan sebutan kematian. Namun, kami (saya dan teman2 kecil dulu) sering menggunakannya sebagai gurauan untuk "menyakat" (pinjam kata melayunya, semoga benar penggunaannya) teman bermain.
Saat kalimat telah pergi ke Balikpapan diucapkan, akan membuat teman menyangka bahwa seseorang itu memang telah pergi ke kota Balikpapan, walhal yang sebenarnya ia telah meninggal dunia.

.