Sunday, May 22, 2011

Cerpen ala belasah : Spageti Cili Padi

"MAMA! Nak air ma! Air! Pedas sangat ni!"

Mengelupur Ahmad Benjamin akibat kepedasan yang tidak dijangka. Sungguh! Ahmad Benjamin tidak menyangka spageti yang dimakannya tadi sepedas itu. Biasanya spageti yang mama masak masam-masam manis sahaja rasanya. Tapi kenapa pula spagetti hari ini lain macam sangat rasanya? Musykil pula Ahmad Benjamin dibuatnya. Namun musykil-musykil pun, laju juga Ahmad Benjamin menyuap. Sedap!

Terkedek-kedek Puan Jamilah membawakan segelas air sirap berais untuk anak kesayangannya itu. Sambil meletakkan gelas ke atas meja, sempat lagi Puan Jamilah melemparkan senyum kepada Ahmad Benjamin. Namun belum sempat gelas itu mencecah permukaan meja, pantas diambil oleh Ahmad Benjamin lalu sekelip mata, isinya habis diminum. Gelas yang kosong disuakan kembali kepada Puan Jamilah meminta tambahan.

"Pedas sangat ke Ben?

"Pedas la ma. Tapi kenapa rasanya tak macam selalu? Pelik sangat!"

"Pelik sangat? Apa pulak yang peliknya?"

"Iye la ma, selalu masam-masam manis aje rasanya tapi hari ni pedas gila!"

“Tapi mama tengok laju aje Ben makan.”

“Pedas tapi sedap!”

Lucu pula Puan Jamilah mendengar kata-kata Ahmad Benjamin sebentar tadi. Sudah tentulah pelik. Spageti itu bukan Puan Jamilah yang masak. Hari ini ada chef jemputan khas di rumah itu. Chef yang didatangkan khas dari kampung Puan Jamilah di Kuala Pilah.

**********

SEMENJAK balik dari luar negara, selera Ahmad Benjamin sudah berubah. Kalau dahulu Ahmad Benjamin suka sangat makan masakan kampung, terutama yang pedas-pedas, tetapi kini tidak lagi. Konon namanya berbunyi seperti orang Inggeris, maka selerapun hendak diInggeriskannya. Tidak makan makanan pedas, hanya makan makanan yang masam-masam manis. Makanan barat kononnya! Nampak sangat lupa daratannya anak Puan Jamilah yang seorang itu.

Puan Jamilah sebenarnya tidak suka dengan perubahan itu. Manakan boleh orang melayu sanggup melupakan makanan yang sudah sebati dengan diri semenjak kecil dan menukarkannya dengan makanan barat yang hanya baru beberapa tahun menjadi santapan. Itulah sebabnya Puan Jamilah mengundang anak sahabatnya yang juga merupakan anak angkat kesayangannya ke rumah mereka. Tujuannya hendak mengajar anaknya itu sekaligus mengubah semula seleranya supaya kembali seperti dahulu.

Bukan Puan Jamilah membenci makanan barat. Puan Jamilah juga suka makan makanan barat tetapi tidaklah sampai lupa terus dengan makanan negara sendiri. Sekali sekala jika hendak bertukar selera tidak menjadi satu kesalahan kepadanya, tetapi janganlah bertukar terus. Sudah ditakdirkan Ahmad Benjamin itu dilahirkan sebagai orang melayu, di dalam sebuah keluarga melayu beragama Islam malahan berasal pula dari kampung yang rata-rata penduduknya semua berketurunan melayu, mengapa hendak mengubah diri menjadi orang barat!

Hendak ditegur, Ahmad Benjamin itulah satu-satunya anak tunggal Puan Jamilah bersama arwah suaminya. Bimbang pula anaknya itu berkecil hati dengannya. Semenjak arwah suaminya meninggal dunia akibat lemas ketika mereka sekeluarga berkelah dahulu, Puan Jamilah tidak pernah berkahwin lain. Baginya cukuplah dia hidup dengan kenangan bersama arwah suaminya dan membesarkan Ahmad Benjamin sehingga menjadi seorang manusia yang berguna.

**********

DARI sebalik dinding yang memisahkan ruang makan dengan ruang tamu, Aisyah diam-diam mengintai ibu angkatnya melayan karenah anak kesayangannya itu. Puas ditahan ketawa yang hendak terburai. Haaa... Padan muka Ahmad Benjamin kali ini. Perasan sangat. Ingat dirinya itu orang Inggeris agaknya! Sengaja Aisyah memasak spageti itu dengan menggunakan cili padi yang banyak sebagai bahan utamanya selain daripada bahan-bahan yang lain. Aisyah memang suka sangat makan makanan yang pedas. Dan untuk mengajar Ahmad Benjamin, Aisyah tambahkan tahap kepedasannya.

Esok Aisyah bercadang hendak memasak pasta pula dan sudah semestinya ramuan utamanya adalah cili padi. Esok Aisyah akan tambahkan sedikit lagi kuantiti cili padi ke dalam masakannya. Biar lebih kaw! Apa barang makan makanan masam-masam manis berkeju sahaja. Tidak mencabar langsung. Lainlah jika makan masak lemak cili padi, tambahkan cili padi banyak-banyak ke dalam masakan, barulah ada umph!

Malas mengganggu dua beranak itu, Aisyah meninggalkan ruangan itu untuk kembali ke biliknya. Hasratnya hendak masuk ke dapur ditangguhkan dahulu. Tujuan Aisyah keluar dari bilik tadi sebenarnya hendak mengambil air suam untuk dibawa ke naik ke bilik. Memang Aisyah sudah biasa berbuat begitu sebelum tidur supaya apabila terjaga di tengah malam, dia tidak perlu bersusah-payah pergi ke dapur. Tidak mengapalah, Aisyahpun belum terasa mengantuk lagi. Sekejap lagi, apabila mata sudah terasa mengantuk, Aisyah akan turun semula ke dapur.

**********

BUNYI seperti orang menyelongkar sesuatu di dapur menarik perhatian Ahmad Benjamin yang sedang berbaring di atas sofa di ruang tamu. Tadi Ahmad Benjamin menonton televisyen di situ tetapi entah kenapa malam ini tiada rancangan yang menarik hatinya. Malas hendak naik ke bilik, Ahmad Benjamin berbaring sahaja dahulu di situ sementara menunggu matanya mengantuk. Tetapi belum sempat kantuknya datang, bunyi yang pelik pula kedengaran.

Bunyi pelik itu masih berterusan. Tiada lain yang timbul di dalam fikiran Ahmad Benjamin lagi selain daripada kemungkinan pencuri memasuki rumah mereka. Perlahan-lahan Ahmad Benjamin bangun. Dengan penuh berhati-hati Ahmad Benjamin mencari arah datangnya bunyi tersebut. Semakin hampir ke ruang dapur, bunyi itu semakin kuat.

Dalam samar-samar cahaya lampu jalan yang menerobos melalui cermin tingkap dapur yang tertutup rapat, dari sebalik dinding Ahmad Benjamin dapat melihat seorang perempuan berambut panjang sedang mengisi air suam ke dalam botol air. Kemudian perempuan itu mengambil pula sebiji gelas kaca dari dalam kabinet. Hati Ahmad Benjamin tertanya-tanya siapakah gerangan perempuan di dapurnya itu. Tidak mungkin dalam sekejap masa mama yang agak berisi bertukar menjadi kurus sebegitu.

Ketika perempuan berambut panjang itu mula beredar hendak meninggalkan dapur, dengan pantas Ahmad Benjamin menekan suis lampu dan berdiri di laluan keluar masuk ruang dapur. Akibat rasa terkejut, gelas kaca yang berada di tangannya terlepas jatuh ke lantai. Prang! Bergema bunyi kaca berderai di tengah malam yang sunyi diiringi bunyi jeritan nyaring seorang perempuan.

**********

PUAN Jamilah membersihkan darah di kaki Aisyah yang terluka akibat tertusuk kaca gelas. Meleleh airmata gadis itu menahan sakit. Ahmad Benjamin sudah tersengih-sengih dimarahi mamanya. Bertuah punya anak! Bukannya dia hendak takut, tersengih-sengih pula dia duduk di kerusi meja makan itu.

“Sikit aje ni Syah. Mama dah bersihkan luka tu, esok mama suruh Ben bawa Syah ke klinik.”

“Takpelah ma, terima kasih rawat luka Syah. Maaf ye ma, Syah pecahkan gelas mama.”

“Tak apa Syah, gelas tu mama tak hairan, keselamatan Syah tu yang mama risaukan. Ha, kamu ni Ben. Kenapa kamu terperanjatkan si Aisyah ni?”

“Manalah Ben tahu ma. Ben ingatkan pencuri tadi. Itu nasib baik Ben pasang lampu aje, kalau Ben ketuk dengan pasu kristal mama tadi, lagi naya.”

“Kamu ni! Kalau pencuri tak adanya dia nak bersopan-santun macam tu, dah tentu habis berselerak dapur mama diselongkarnya. Belajar sampai ke luar negara, tapi benda macam tu pun kamu tak boleh fikir!”

Masam riak wajah Ahmad Benjamin dimarahi Puan Jamilah di hadapan Aisyah. Membara hatinya walaupun gadis itu tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Bertambah membara apabila Puan Jamilah menyuruhnya menghantar air suam ke dalam bilik gadis itu. Sudah seperti orang gaji pula Ahmad Benjamin rasakan. Dengan separuh hati, Ahmad Benjamin bawakan juga air suam untuk Aisyah. Namun di sebalik rasa marah itu wujud satu perasaan lain apabila menatap wajah gadis itu. Ayu.

**********

“LUKA di kaki isteri encik tak apa-apa tapi suhu badannya tinggi sedikit. Kalau tak jadi keberatan, boleh saya tahu bagaimana kaki isteri encik boleh terkena kaca?” Sedikit tersentak Ahmad Benjamin apabila mendengar perkataan isteri yang keluar dari mulut doktor muda itu. Mungkin doktor itu menyangkakan Aisyah itu isterinya. Ini semua gara-gara mama. Jatuh saham Ahmad Benjamin di hadapan doktor muda yang cantik manis itu.

Tidak tergamak pula rasanya Ahmad Benjamin hendak membetulkan persepsi doktor itu terhadap hubungannya dengan gadis itu. Pasti gadis itu merasa malu kerana Ahmad Benjamin yang bukan mahram memapahnya masuk ke dalam klinik sebentar tadi. Bukankah bukan mahram tidak digalakkan bersentuhan melainkan keadaan darurat. Tetapi keadaan Ahmad Benjamin juga darurat juga rasanya. Darurat kerana mama tidak mahu menemaninya menghantar gadis itu ke klinik.

“Oh! Sebenarnya isteri saya terperanjat, terus terjatuh gelas yang dipegangnya. Pecah, tak sempat nak mengelak. Itu yang luka kakinya.” Kali ini giliran Aisyah pula yang terperanjat. Benar, kata-kata yang keluar dari mulut Ahmad Benjamin sungguh memeranjatkan Aisyah. Di dalam hati Aisyah mengutuk Ahmad Benjamin yang dirasakannya sesedap rasa mengaku dirinya isteri kepada lelaki itu. Ahmad Benjamin pula sempat mengerling ke arah Aisyah dan mengenyitkan sebelah mata. Senyuman sinis yang terukir di bibirnya.

“Ok, kalau macam tu, encik boleh bawa isteri encik balik. Pastikan isteri encik dapat rehat yang secukupnya dan jangan lupa ambil ubat di kaunter.” Penerangan panjang lebar daripada Ahmad Benjamin tadi menyakinkan doktor muda itu kemungkinan tiada berlaku penderaan fizikal kepada Aisyah. Wajah Aisyah juga seprti tiada riak ketakutan. Apa yang dapat dilihat oleh doktor itu hanyalah sedikit riak terkejut di wajah putih bersih itu.

“Baik, terima kasih doktor!”

Usai mengucapkan terima kasih, Ahmad Benjamin memimpin Aisyah keluar dari bilik doktor. Di luar bilik, Ahmad Benjamin membantu Aisyah duduk di kerusi menunggu yang terdapat di hadapan bilik doktor sebelum dia ke berlalu ke kaunter untuk mengambil ubat yang dipreskripsikan oleh doktor.

**********

AISYAH serba-salah ketika Ahmad Benjamin memapahnya masuk ke klinik dan kemudian memimpinnya keluar dari bilik doktor dan seterusnya ke kereta. Hendak ditolak pertolongan Ahmad Benjamin itu, bimbang pula jika lelaki itu terasa hati dan yang lebih dibimbangi lagi jika dia sendiri yang terjatuh akibat tidak dapat mengimbangkan badan. Sebelah kakinya yang tertusuk kaca semalam terasa berdenyut-denyut semenjak dari rumah lagi. Agak sukar juga Aisyah hendak berjalan dengan betul.

Aisyah menolak kemungkinan yang terlintas di dalam kepalanya. Tidak mungkin lelaki itu hendak mengambil kesempatan. Tetapi jika benar tidak, apakah maksud senyuman sinis yang tersungging di bibir lelaki itu tadi dan apakah makna kenyitan matanya pula. Malas Aisyah hendak berfikir lagi tentang perkara itu. Apa yang penting Aisyah ingin segera pulang ke rumah. Aisyah hendak makan ubat dan berehat.

**********

SUASANA di dalam kereta sunyi sahaja. Tiada perbualan yang berlaku di antara kedua manusia yang berada di dalamnya. Ahmad Benjamin menoleh sekilas ke arah Aisyah yang kelihatan sedang berkerut menahan kesakitan di kerusi penumpang di sebelahnya. Terbit pula rasa kasihan di hati Ahmad Benjamin. Betulkah kasihan ataupun ada putik cinta sedang bertunas di dalam hati Ahmad Benjamin terhadap gadis itu?

“Awak!”

“Hurm!”

“Sakit sangat eh?”

“Sakit jugaklah. Berdenyut-denyut.”

“Eh! Tadi kan doktor dah beri suntikan? Takkan masih sakit lagi kot.”

“Yelah awak, takkan baru sekejap sangat dah hilang terus sakitnya. Kena tunggu jugalah ubat tu beri tindakbalas.”

“Oh! Hehehe... Takpelah awak, kalau sakit sangat, cuba awak bawa tidur. Baringkan kerusi tu sikit. Nanti dah sampai rumah saya bangunkan awak.”

“Tak payahlah awak, saya masih boleh tahan. Lagipun dekat aje rumah.”

“Yelah, kalau awak dah cakap macam tu.”

Tiada lagi perbualan di antara Ahmad Benjamin dan Aisyah lagi. Bukan kerana Aisyah sudah tertidur, tetapi kerana Ahmad Benjamin tidak mahu mengganggu gadis itu. Biarlah gadis itu tidak rasa terbeban hendak menahan sakit dan dalam masa yang sama hendak melayannya berbual. Namun sekali-sekala sempat juga Ahmad Benjamin mengerling gadis yang sudah mula kelihatan mengantuk di sebelahnya itu.

**********

SUDAH lima minit kereta Ahmad Benjamin berhenti namun tiada tanda-tanda Aisyah akan tersedar. Hendak dibangunkan gadis itu, tidak sampai pula rasa di hati Ahmad Benjamin sedangkan baharu sahaja gadis itu terlelap. Mungkin disebabkan kesan ubat penahan sakit dan antibiotik yang disuntikkan ke dalam tubuh gadis itu oleh doktor yang merawatnya sudah bertindakbalas serta menyebabkan rasa mengantuk.

Ahmad Benjamin menggaru kepala yang tidak gatal. Hendak meminta pertolongan mama mengangkat Aisyah, tentu sahaja mama tidak larat. Hendak dibiarkan gadis itu di dalam kereta, kasihan pula. Akhirnya Ahmad Benjamin mengambil keputusan mencempung sahaja gadis itu ke dalam rumah dan dibaringkan di atas sofa ruang tamu.

Usai meletakkan Aisyah di atas sofa, Ahmad Benjamin mula mencari Puan Jamilah. Semenjak keretanya berhenti di hadapan rumah sehinggalah dia selesai membaringkan gadis itu di sofa, kelibat mamanya langsung tidak kelihatan. Ke mana pula mamanya pergi? Bahaya jika dia tinggal berdua sahaja dengan gadis bukan mahramnya itu di dalam rumah. Manalah tahu nasibnya kurang baik, tiba-tiba diserbu pegawai pencegah maksiat. Terpaksa pula kahwin secara percuma.

Ahmad Benjamin hendak mengadakan majlis kahwin secara besar-besaran, hendak jemput semua rakan-rakannya ke majlis perkahwinannya yang gilang-gemilang. Dia hendak ada cerita yang menarik tentang perkahwinannya jika hendak bercerita kepada rakan-rakan dan anak-anaknya nanti. Tidak sedaplah jika punca perkahwinannya disebabkan ditangkap basah. Tidak ada ‘sentimental value’.

Puas Ahmad Benjamin mencari Puan Jamilah di seluruh pelusuk rumah, di bilik, di dapur, di belakang rumah namun kelibat mamanya itu langsung tidak kelihatan. Mungkin mamanya keluar berbual di rumah jiran sekejap. Ahmad Benjamin putus asa hendak mencari lagi. Dia kembali semula ke ruang tamu. Dilabuhkan punggung di atas sofa tunggal menghadap ke arah Aisyah yang sedang terbaring lena.

**********

UCAPAN salam yang bergema di luar rumah mengejutkan Ahmad Benjamin yang sedang leka memerhatikan wajah Aisyah yang sedang lena. Tubuh segera dibawa ke muka pintu yang tertutup rapat. Sebaik pintu terbuka, terjengul wajah Danial, anak Kak Timah, jiran di sebelah rumahnya. Dania juga turut ada bersama kembarnya itu.

“Ada apa datang rumah abang tengahari ni?”

“Mak abang pesan tadi sebelum dia pergi rumah kenduri dengan mak kami suruh abang masakkan untuk Kak Aisyah.”

“Ha, ye la. Nanti abang masak.”

“Mak abang pesan suruh abang masak pedas-pedas untuk Kak Aisyah. Guna cili padi.”

“Kenapa cili padi? Sos aje tak boleh ke?”

“Mak abang kata Kak Aisyah tak boleh takde cili padi, nanti dia tak lalu makan. Kesianlah dia, dahlah abang buat dia sampai sakit, lepas tu abang tak bagi dia makan pulak.”

‘Cili padi? Pedas-pedas? Alahai... Masalah betul.’ Sempat Ahmad Benjamin bermonolog di dalam hatinya.

“Hah! Apa lagi kamu tunggu?”

“Mak abang pesan suruh kitorang tunggu kat sini sampai mak abang balik.”

“Kenapa pulak? Nak suruh korang jadi mata-mata gelap tengok abang masak ke tak ke?”

“Taklah! Mak abang kata bahaya. Hehehehe...”

**********

PERBUALAN Danial dan Ahmad Benjamin sedikit mengganggu lena Aisyah. Terpisat-pisat gadis itu bangun namun terduduk kembali apabila kakinya yang berpijak di lantai berdenyut-denyut. Pantas Ahmad Benjamin menghampiri gadis itu.

“Kenapa bangun? Sakit? Lapar?” Terasa malu pula Aisyah hendak menyatakan yang sebenarnya dia terjaga kerana perbualan antara lelaki itu dengan Danial. Sakit dan lapar itu memang betul ada menyumbang juga. Akhirnya Aisyah hanya mengangguk sahaja tanda mengiyakan soalan Ahmad Benjamin.

“Tunggu kejap ye, saya masak.”

“Awak nak masak apa?” Susahlah Aisyah jika lelaki itu memasak ikut seleranya sendiri. Jika pasta atau spageti yang lelaki itu hendak masak, Aisyah tidak kisah. Aisyah makan juga dua benda itu tetapi jika dimasak ala-ala barat, dengan tiada rasa pedasnya, tidak lalu di tekak Aisyah.

“Spageti tapi bercili padi!”

“Awak!”

“Ya!”

“Awak tak makan pedas ye? Dah tak makan masakan kampung?”

“Makan tapi tak tahan kalau pedas sangat.”

“Tapi mama awak kata, hari-hari awak makan spageti, pasta dan makanan sama jenis dengan tu aje. Mama awak masak masakan kampung pun awak tak nak makan katanya.”

“Bukan saya tak nak makan tapi mama saya masak pedas sangat. Macam spageti semalam tu, pedas betul. Tak pernah mama saya masak sepedas tu.”

“Awak, sebenarnya spageti semalam tu saya yang masak. Sengaja saya letak cili padi lebih.”

“Patutlah! Spageti tu sedap sebenarnya tapi pedas sangat. Macam mana awak buat?”

“Sebenarnya sama saja cuma saya tak gunakan sos yang masam-masam tu, saya gantikan dengan cili padi. Saya buat kering macam masak mee goreng cuma mee goreng guna cili kering yang dikisar. Awak kalau tak tahan pedas, boleh kurangkan kuantiti cilinya.”

“Saya ambilkan kertas, awak tuliskan resipinya ye?”

“Ok!”

**********

DARI hari ke hari Ahmad Benjamin sudah semakin selesa bersama Aisyah. Ternyata usaha Puan Jamilah berbaloi. Nampaknya Puan Jamilah bakal mendapat kegembiraan yang berganda. Perubahan sikap Ahmad Benjamin dan juga bakal mendapat menantu yang pandai masak. Ahmad Benjamin nampaknya seperti sudah jatuh suka kepada Aisyah. Apa sahaja yang dimasak Aisyah berselera sungguh Ahmad Benjamin memakannya. Walaupun kesemua masakan Aisyah mengandungi cili padi.

Puan Jamilah juga teramat suka jika Aisyah itu menjadi pilihan Ahmad Benjamin. Semenjak dahulu lagi Puan Jamilah teringin hendak bermenantukan Aisyah. Aisyah itu anak angkat kesayangannya. Apatah lagi sekarang ini gadis itu sudah berjaya mengubah sikap Ahmad Benjamin. Aisyah juga nampaknya seperti sudah suka kepada Ahmad Benjamin. Jika benar, mudahlah kerja Puan Jamilah.

Malam nanti Puan Jamilah bercadang hendak mendapatkan kepastian daripada keduanya. Jika kedua-duanya mempunyai perasaan yang sama, Puan Jamilah hendak mengambil langkah seterusnya. Puan Jamilah juga sudah lama teringin hendak bercucu. Terbayang dirinya sedang bermain-main dengan cucu. Senyuman tersungging di wajah Puan Jamilah. Bahagia.

Deringan telefon mematikan anganan Puan Jamilah. Panggilan telefon daripada mama Aisyah yang meminta gadis itu pulang segera ke kampung. Menurutnya ada perkara yang hendak dibincangkan dengan anaknya itu. Puan Jamilah berharap janganlah perkara berkaitan jodoh. Hendak bertanya lebih-lebih, malu pula Puan Jamilah jika dikatakan menjaga tepi kain orang walaupun Aisyah itu sudah dianggap sebagai anaknya sendiri.

**********

PUAN Jamilah rasa menyesal membenarkan Aisyah pulang sendirian pada hari itu walaupun kaki Aisyah sudah sembuh sepenuhnya. Kalau boleh Puan Jamilah tidak mahu Aisyah bersusah payah menaiki bas. Sudahlah sewaktu datang dahulu Aisyah menaiki bas. Kini hendak balik ke kampungpun Aisyah terpaksa menaiki bas juga sedangkan gadis itu sudah banyak membantunya. Aisyah sudah berjaya mengubah sikap Ahmad Benjamin.

Jika Ahmad Benjamin tidak ke mana-mana waktu itu, ingin sahaja Puan Jamilah menyuruhnya menghantarkan Aisyah pulang ke Kuala Pilah. Namun Ahmad Benjamin terpaksa berada di Alor Star kerana kekangan tugas. Puan Aisyah pula tidak boleh memandu untuk perjalanan yang jauh. Sekadar ke pasar atau kawasan yang berdekatan tidak menjadi masalah.

Panggilan telefon lewat senja hari kepulangan Aisyah ke kampung mengejutkan Puan Jamilah. Begitu juga dengan Ahmad Benjamin yang baharu pulang dari kerja luar. Aisyah ditimpa kemalangan sewaktu di dalam perjalanannya. Bas yang dinaiki Aisyah dilanggar oleh sebuah bas lain yang terbabas ke laluan bertentangan dan tercampak ke dalam gaung. Aisyah menghembuskan nafasnya yang terakhir di tempat kejadian.

Puan Jamilah nampak Ahmad Benjamin mengalirkan airmata. Sayu wajahnya menambahkan kesedihan di hati Puan Jamilah. Tentu anaknya itu merasa terlalu sedih dengan kematian Aisyah. Itulah kali pertama anaknya jatuh cinta kepada seorang perempuan dan cintanya tidak kesampaian. Pengakuan Ahmad Benjamin sewaktu Puan Jamilah menelifonnya malam tadi mengesahkannya.

**********

KERTAS putih bertulisan resipi pemberian Aisyah dibelek sekali lagi. Walaupun sudah berkali-kali dibaca namun tidak pernah timbul perasaan jemu di hati Ahmad Benjamin. Puan Jamilah yang melihat, hanya mampu menggeleng. Sudah puas dipujuk Ahmad Benjamin supaya menyimpan sahaja resipi itu namun tidak dipedulikan. Ahmad Benjamin masih tidak dapat melupakan Aisyah.

Kenangan bersama Aisyah masih kekal di ingatan Ahmad Benjamin. Walaupun hanya seketika sahaja mereka bersama dan bermula dengan peristiwa yang tidak dijangka, Ahmad Benjamin tidak dapat melupakan gadis itu. Dan yang paling penting, resepi yang diberikan oleh gadis itu memenuhi seleranya. Resepi spageti cili padinya.

Kehadiran gadis itu juga telah membuat Ahmad Benjamin kembali ke sikapnya yang lama. Dia sudah boleh makan makanan yang pedas yang dimasak oleh mamanya. Dia sudah tidak lagi hanya inginkan spageti sahaja setiap hari. Hebat betul penangan Aisyah terhadap kehidupan Ahmad Benjamin.

‘Mengapa Aisyah tidak menunggu Ahmad Benjamin balik dari Alor Star? Jika tidak, Aisyah tidak akan ditimpa kemalangan.’ Hati Ahmad Benjamin berkata-kata.

Ahmad Benjamin meraup muka. Teringat mamanya pernah menasihatinya agar mempercayai qada’ dan qadar. Ya, Ahmad Benjamin percaya, sangat percaya. Ajal maut itu sudah ditentukan Allah. Jika sudah sampai masanya, di dalam rumahpun boleh meninggal dunia. Kertas putih di tangan disimpan kembali. Usai, Ahmad Benjamin berlalu ke dapur. Sejam kemudian, aroma spageti cili padi bertebaran di dalam rumah.

**********

JIKA bukan kerana Aisyah, tidak mungkin Ahmad Benjamin berubah kembali. Benarlah kata orang, cinta boleh mengubah sikap seseorang. Cinta juga tidak mengenal tempoh perkenalan. Sesaat bertemu juga mampu membibitkan rasa cinta. Namun cinta juga boleh memusnahkan hidup seseorang. Cinta Ahmad Benjamin kepada Aisyah tidak kesampaian. Cinta yang terputus di tengah jalan. Terputus kerana takdir yang telah ditetapkan tuhan.

Kertas putih dipandang lagi dan akan terus dipandang sampai bila-bila.


5 comments:

atika said...

Alolo....apsal ko mati kan watak heroin....dari mula mcm kelako last2 sedih ka pulokk......huhu....lain kali ko jgn matikan watak heroin tau....hihi acah je
Komen-kejayaan anda berjaya!best!

azrina nur rusly said...

kihkihkih... wa memang anti heroin la. sbb tu matikan watak. lalalalalala

Anonymous said...

alorhh..heroin mati pulok...uwaah

azrina nur rusly said...

ahai

Anonymous said...

Pada saya menarik. Jalan cerita sikit berbeza dan tidak terlalu straight seperti jalan cerita drama Melayu. :D

.