Thursday, February 17, 2011

Gulai Labu Ikan Kering - Versi Tidak Diedit

Hujan yang menyimbah bumi semenjak pagi masih belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Jika berterusan begini sehingga ke malam, sudah tentu paras air di Sungai Merah akan naik. Pak Dol dan Mak Wan keresahan di serambi rumah papan bertiang tinggi itu. Bukan Pak Dol dan Mak Wan risaukan paras air yang akan naik dan berkemungkinan boleh menyebabkan banjir di kampung itu. Pak Dol dan Mak Wan sebenarnya risaukan satu-satunya anak tunggal mereka, Tajul, yang keluar berjumpa kawannya semenjak petang tadi.

Tajul berusia dalam lingkungan empat belas tahun. Masih bersekolah di tingkatan dua Sekolah Menengah Kampung Sungai Merah dan berulang alik ke sekolah hanya dengan berjalan kaki sahaja. Sekolah Menengah Kampung Sungai Merah didirikan tidak jauh dari penempatan penduduk, bertujuan memberi kemudahan kepada anak-anak penduduk Kampung Sungai Merah menimba ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk keperluan hidup mereka di masa hadapan. Setiap hari Tajul akan berjalan kaki ke sekolah bersama-sama Johari, sahabat baik yang juga merupakan rakan sekelasnya. Manakala di sebelah petang pula, selepas mereka makan dan solat di rumah masing-masing, mereka akan belajar bersama-sama di rumah Johari.

"Bang, ke mana saja si Tajul ni, dari tadi tak balik-balik lagi. Wan risaulah bang. Selalunya waktu-waktu begini, anak kita tu dah ada di rumah. Tu ha, lauk gulai labu dengan ikan kering yang dimintanya Wan masakkan tadi, dah hampir sejuk di atas meja tu. Wan risaulah bang." Mak Wan mula menyuarakan kebimbangan yang bertandang di dalam hatinya. Memang benar, anak tunggalnya itu tidak pernah pulang lewat ke rumah. Apatah lagi musim hujan sebegini. Mulalah di hati Mak Wan timbul perkara-perkara yang tidak enak.

Pak Dol mengalihkan pandangan daripada wajah Mak Wan ke halaman. Suasana yang dingin dan kelam itu turut menimbulkan rasa kebimbangan di hati Pak Dol. Berbohonglah jika dikatakan Pak Dol tidak merasa apa-apa tentang kelewatan itu. Jika hendak diikutkan hati, mahu sahaja Pak Dol meredah hujan yang masih menggila itu mencari anak kesayangannya. Sebagaimana isterinya, Mak Wan menyayangi Tajul, lebih lagi dalam hati Pak Dol kasih-sayangnya kepada anak tunggal kesayangannya itu. Tajul itulah satu-satunya zuriat yang dia perolehi semenjak bernikah dengan Mak Wan. Itupun setelah lebih sepuluh tahun mereka mendirikan rumahtangga dan setelah puas mereka berubat ke sini dan ke sana, baharulah mereka dikurniakan seorang cahayamata sebagai penyeri hidup mereka.

Hujan masih belum berhenti. Kebimbangan di dalam hati Pak Dol dan Mak Wan makin memuncak. Tanpa berlengah, Pak Dol bangun dari sila lalu terus masuk ke rumah. Tidak lama kemudian, Pak Dol keluar semula bersama dua kaki payung dan sebuah lampu suluh di tangannya. Sehelai baju sejuk turut membaluti tubuh Pak Dol yang semakin dimamah usia.

"Abang nak ke rumah Johari sekejap ni Wan. Nak tengok kalau-kalau ada anak kita di situ." Usai berkata, Pak Dol terus sahaja menuruni anak tangga. Selipar yang sudah hampir hilang warnanya disarungkan ke kaki. Bukannya Pak Dol tidak mampu membeli selipar baharu, tetapi untuk apa membazir jika yang lama masih elok dan boleh digunakan lagi.

"Wan nak ikut bang!" Mak Wan bergegas bangun hendak masuk ke dalam. Sudah tentu hendak mengambil sekaki payung lagi dan mengambil selendang menutupi kepalanya yang hanya dilitupi anak tudung. Namun belum sempat langkah Mak Wan sampai ke muka pintu, Pak Dol sudah bersuara dari kaki tangga.

"Tak payahlah awak ikut. Awak tunggu saja di rumah. Manalah tahu kalau sekejap lagi anak kita tu balik pula. Biar abang seorang saja yang pergi ke rumah Johari. Lagipun hujan ni. Awak tu bukannya sihat sangat. Abang pergi dulu." Tegas suara Pak Dol sebelum terus melangkah meninggalkan Mak Wan sendirian mematikan keinginan Mak Wan untuk turut sama menjejaki Tajul di rumah Johari.

Mak Wan hanya mampu memandang tubuh Pak Dol yang makin hilang ditelan kegelapan malam. Apabila tubuh Pak Dol sudah tidak kelihatan, Mak Wan masuk ke rumah dan mengunci pintu. Bahaya jika Mak Wan terus berada di luar bersendirian. Walaupun belum pernah berlaku kejadian tidak diingini di Kampung Sungai Merah, namun sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras, Mak Wan tidak mahu mengambil sebarang risiko.

********

Mak Wan yang sudah hampir terlena di kerusi rotan yang terdapat di ruang tengah rumah bergegas ke pintu apabila mendengar suara Pak Dol yang sedang galak mengetuk pintu dari luar. Terdorong sedikit tubuh Mak Wan ke belakang apabila dirempuh oleh tubuh Pak Dol sejurus pintu terbuka. Wajah Pak Dol kelihatan serba-salah. Tanpa menunggu lama, terus sahaja Mak Wan memuntahkan soalan.

"Lama abang pergi! Macam mana bang? Mana Tajul? Ada dia di rumah Johari? Kenapa abang tak bawa dia balik sekali?" Bertubi-tubi soalan menyentuh gegendang telinga Pak Dol yang tidak senang duduk di kerusi. Pak Dol merasa serba-salah. Hendak diberitahu akan keadaan sebenar, bimbang isterinya itu tidak dapat menerima ketentuan. Jika tidak diberitahu, tidak sampai pula rasa di hati Pak Dol.

"Wan, awak sabar ya dengan apa yang abang nak cakapkan ni." Degup jantung Mak Wan sudah tidak sekata. Hatinya dipagut bimbang yang makin keterlaluan. Sudahlah itu sahaja zuriat yang dia ada. Janganlah berlaku perkara buruk kepada anak kesayangannya itu.

"Apa dia bang? Kalau Tajul tidur di rumah Johari, saya tak kecik hatipun. Biarkanlah dia. Mungkin dia nak mengulangkaji dengan Johari agaknya. Tak apalah bang, biar saya ke dapur kejap. Saya nak simpan lauk gulai labu dengan ikan kering tu ke dalam petiais. Esok boleh dipanaskan." Mak Wan terus melangkah ke dapur, cuba meninggalkan Pak Dol di ruang tengah rumah sendirian.

Pak Dol mengikuti langkah Mak Wan ke dapur. Hatinya bagai disayat sembilu apabila mendengar kata-kata isterinya itu tadi. Tentu ada sedikit rasa terkilan di hati isterinya itu. Pak Dol dapat merasainya melalui kata-kata yang diluahkan oleh isterinya itu tadi. Gulai labu dan ikan kering itu kegemaran Tajul dan isterinya sudah bersusah-payah memasaknya senja tadi. Namun jika Mak Wan tahu perkara yang sebenarnya terjadi, sudah tentu isterinya itu bertambah sedih.

Mak Wan yang sudah selesai menyimpan gulai labu dan ikan kering ke dalam petiais menyedari riak serba-salah di wajah Pak Dol. Ditarik kerusi yang kosong di sebelah tempat yang diduduki Pak Dol. Disentuh lembut tangan Pak Dol yang diletakkan di atas meja.

"Kenapa ni bang? Semenjak abang masuk ke rumah tadi sampailah sekarang, muka abang nampak lain macam saja. Ada apa-apa yang dah berlaku ke bang?" Lembut Mak Wan melontar pertanyaan. Pak Dol menoleh sekilas ke wajah Mak Wan. Terlihat sinar mengharap di mata Mak Wan. Pak Dol nekad. Biarlah dia berterus-terang sahaja. Sebentar tadipun hampir-hampir sahaja dia memberitahu perkara yang sebenar sebelum dicantas bicaranya oleh Mak Wan.

"Wan, sebenarnya anak kita tak ada di rumah Johari." Berubah riak wajah Mak Wan. Terkejut bukan kepalang apabila mendengar kata-kata yang baru sahaja disampaikan oleh Pak Dol.

"Tak ada? Habis tu, ke mana dia bang?" Mak Wan sudah mula menangis. Inilah yang paling tidak disukai oleh Pak Dol. Mak Wan tidak pandai mengawal perasaannya. Bimbang pula Pak Dol meneruskan ceritanya. Bimbang isterinya itu jatuh sakit pula. Tetapi jika tidak diberitahu, bimbang perkara lain pula yang berlaku.

"Wan, Johari kata, petang tadi lepas mereka siapkan kerja sekolah, mereka pergi ke tepi sungai. Tajul tergelincir jatuh ke sungai. Johari takut. Dia lari balik ke rumah." Bicara Pak Dol terhenti apabila Mak Wan sudah melurut jatuh daripada kerusi yang didudukinya. Mak Wan pengsan. Segera Pak Dol merenjiskan air ke muka Mak Wan hingga tersedar.

"Wan, awak jangan bimbang. Saya dah beritahu orang kampung. Tadipun kami dah cari sekejap di sungai tapi hari kan masih hujan. Paras air Sungai Merah dah naik. Lagipun gelap di situ. Sudah mereka nak mencari. Esok, bila hari dah terang sikit, kita dengan penduduk kampung akan cari Tajul sekali lagi. Sudahlah, awak pergilah tidur dulu. Nanti kalau awak sakit, susah." Mak Wan langsung tidak berganjak. Hanya mematung diri di atas lantai. Otaknya masih ligat memikirkan berita yang baru didengari. Walang hatinya. Satu-satunya anak yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari di dalam rahimnya, yang susah payah dilahirkan dan dibesarkan dengan sepenuh kasih-sayang, kini hilang di Sungai Merah. Entah apalah nasib anaknya itu. Entahkan hidup entahkan mati. Tanpa sedar, airmata mengalir di pipi Mak Wan. Mak Wan teresak, makin lama makin kuat dan akhirnya bertukar menjadi raungan hiba.

********

Pagi-pagi lagi warung Kak Limah Janda sudah dipenuhi orang kampung. Tidak pernah pula semeriah itu keadaannya, apatah lagi jika hujan pada malam sebelumnya. Selalunya mereka akan melekat di rumah, bersarapan di rumah jika dalam keadaan sebegitu namun berlainan pula hari ini. Ramainya seperti hendak menyambut pesta. Tidak ketinggalan juga Tok Penghulu yang turut sama memeriahkan suasana. Tidak menang tangan Kak Limah Janda melayan permintaan pelanggannya pagi itu.

Dari kejauhan kelihatan seorang lelaki berjambang nipis berjalan perlahan menghampiri warung Kak Limah Janda. Lelaki bernama Wak Herman itu berasal daripada Jawa Barat, Indonesia tetapi sudah lama bermastautin di Kampung Sungai Merah. Rumah Wak Herman tidak jauh daripada Sungai Merah. Memang sudah menjadi rutin Wak Herman pada setiap pagi untuk datang bersarapan di warung Kak Limah Janda. Tiada terdetik niat lain di hati Wak Herman dengan berbuat begitu, walaupun sudah banyak cakap-cakap yang kurang manis sampai ke pendengarannya, namun sedikitpun tidak dipedulikannya. Hubungan baiknya dengan Kak Limah Janda hanyalah sebagai penjual dan pembeli sahaja, tidak lebih dari itu.

Wak Herman mengambil tempat berhampiran tempat membancuh air. Usai meminta segelas kopi 'o' pekat, Wak Herman mula memakan nasi lemak yang siap dibungkus yang diletakkan di dalam pinggan di atas meja. Sambil Wak Herman makan, telinganya menangkap perbualan yang agak menarik di meja sebelahnya. Seorang budak muda sedang berbual tentang kehilangan Tajul di Sungai Merah. Wak Herman terus memasang telinga tetapi hanya seketika sahaja apabila kedengaran suara Tok Penghulu mengajak semua penduduk kampung yang ada ke Sungai Merah untuk menyambung kerja-kerja pencarian yang terhenti tadi malam. Wak Herman meneruskan suapannya. Air kopi 'o' yang berasap nipis dihembus sedikit sebelum diminum. Usai menjelaskan bayaran, Wak Herman segera berlalu dari situ.

********

Penduduk kampung Sungai Merah masih meneruskan pencarian. Beberapa orang anak muda diarahkan untuk menyelam ke dasar sungai. Mujur pagi ini hujan sudah berhenti dan paras air kembali ke asalnya. Sebahagian lagi penduduk kampung menjalankan pencarian di sekitar tebing sungai dan di celah-celah semak yang ada di situ. Manalah tahu jika Tajul berenang naik ke tebing dan terdampar di celahan senduduk.

Mak Wan di tepi tebing sudah bengkak mata menangis dari tadi malam. Tidak sepicingpun dia dapat melelapkan matanya. Jika diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia pergi ke Sungai Merah malam tadi untuk mencari sendiri anak kesayangannya itu. Mak Som, ibu Johari berada di sisi Mak Wan, menemani dan menenangkannya. Terdetik juga rasa bersalah di hati Mak Som kerana Johari lari balik ke rumah selepas Tajul jatuh ke Sungai Merah malahan anaknya itu turut merahsiakannya akibat ketakutan.

Semua orang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Mak Wan masih terhenjut-henjut bahu menangis. Mak Som pula sibuk memujuk dan menenangkan Mak Wan. Tok Penghulu sibuk memerhatikan anak-anak buahnya mencari Tajul. Tidak seorangpun perasan akan Wak Herman yang sedang menggendong seseorang di atas tangannya. Wak Herman berhenti di belakang Mak Som dan Mak Wan.

"Assalamualaikum!" Mak Som segera menjawab salam yang diberi. Mak Wan pula langsung tiada kedengaran suara yang keluar melainkan esak tangis sahaja semenjak tadi. Mak Som segera berpaling. Dilihatnya Wak Herman berdiri tegak sambil menggendong seseorang yang tidak sedarkan diri dan berbalut di dahi. Segera Mak Som memberitahu Mak Wan akan kehadiran Wak Herman. Mak Wan bangun dan berlari ke arah Wak Herman. Dipeluk tubuh Tajul yang terkulai yang berada di atas gendongan Wak Herman. Bercucuran airmata Mak Wan. Sangkanya anaknya itu sudah meninggal dunia.

Usaha mencari dihentikan setelah Wak Herman membawa Tajul ke situ. Tidak terhingga bersyukurnya Pak Dol dan Mak Wan akan kebesaran Allah mendatangkan pertolongan di dalam bentuk itu kepada mereka. Aroma gulai labu dan ikan kering akan kembali memenuhi ruang dapur Mak Wan dan Pak Dol selepas ini.

2 comments:

azman JINKAMEN said...

bestt

Anonymous said...

Yup. Best tapi pendek. Izinkan copy ya.

.