Wednesday, July 14, 2010

Cinta Si Tukang Kasut Bab 5

Badrul memecut laju kereta Honda Vtec hitam kesayangannya. Sudahlah terlambat bangun pagi tadi. Terpaksa pulak menghantar Maya ke tempat kerjanya. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia mengambil cuti kecemasan hari ini. Tetapi mengenangkan ada mesyuarat penting yang harus dihadiri jam sepuluh nanti, terpaksa juga Badrul masuk ke pejabat.

Tidak sempat hendak bersarapan dengan Maya terlebih dahulu pagi ini seperti kebiasaannya. Selalunya Maya akan bermalam di rumahnya jika keesokan harinya merupakan hari cuti gadis itu. Badrul akan turut mengambil cuti untuk menghabiskan masa bersama gadis itu. Namun hari ini Maya diminta datang bekerja menggantikan salah seorang juruwang yang mengambil cuti sakit. Badrul pula terpaksa menghadiri mesyuarat.

Tubuhnya masih lagi keletihan. Terasa lesu. Hanya tidur beberapa jam sahaja semalam. Asyik menguliti tubuh montok Maya di dalam pelukan. Tetapi tidak bagi gadis itu. Bagaikan tiada terkesan padanya tidur yang kurang. Cergas sahaja tubuhnya. Langsung tiada nampak kelesuan.

Rasa kantuk juga masih tidak hilang. Bagaimanalah dia hendak menghabiskan masa di dalam bilik mesyuarat nanti. Terpaksalah setiausahanya yang cantik manis itu menyediakan secawan nescafe pekat untuknya terlebih dahulu sekejap lagi.

Kereta sudah memasuki kawasan letak kenderaan bawah tanah Wisma Hanija. Terus sahaja Badrul memandu ke petak yang telah dikhaskan untuknya. Itulah untungnya menjawat jawatan yang tinggi di sini. Kebajikan pekerja memang sentiasa terjaga. Bukan sahaja dari segi bayaran gajinya malahan hingga ke tempat letak kenderaan juga mendapat layanan istimewa.

Segera Badrul mengunci pintu kereta. Langkah dihayun laju menuju ke arah lif. Mujur tidak perlu menunggu lama. Kalau tidak terpaksalah dia mencari alasan keterlewatannya nanti.

Badrul tergesa-gesa meluru ke biliknya sebaik pintu lif terbuka. Tidak perasan akan gadis yang berdiri di hadapan pintu lif. Terduduk gadis itu di atas lantai akibat dilanggar oleh tubuh Badrul yang sasa.

“Aduh!” Kedengaran suara gadis itu menjerit kecil. Badrul segera menghulurkan tangan membantu gadis itu bangun. Sempat benaknya menyumpah-nyumpah keadaan itu.. Sudahlah terlambat, berlaku kemalangan pula.

“Maafkan saya Cik Linda. Saya nak cepat tadi… tak perasan Cik Linda ada kat depan lif. Cik Linda tak apa-apa?” Dalam hatinya tertawa kelucuan melihatkan wajah gadis yang agak gempal itu berkerut menahan kesakitan.

“Tak apalah Encik Badrul. Saya naik ke atas dulu. Jangan lupa ada mesyuarat jam sepuluh nanti.” Sempat lagi gadis itu mengingatkan Badrul sebelum masuk ke dalam lif.

Badrul menatap jam di pergelangan tangan kanannya. Membulat matanya apabila terpandang jarum jam yang menunjukkan waktu hampir ke jam sepuluh pagi. Bertambah lebar langkahnya menuju ke biliknya.

“Tina… buatkan saya nescafe pekat sekarang juga. Cepat sikit. Saya nak masuk ‘meeting’ ni. Ha! Satu lagi. Fail yang saya pesan tadi awak dah siapkan ke?” Setiausahanya yang sudah biasa dengan sikapnya yang sering lewat masuk ke pejabat itu hanya tersenyum.

“Dah siap bos. Nescafe pekat dan fail yang bos nak dah sedia kat atas meja.” Tersenyum Badrul mendengar jawapan yang diberikan oleh setiausahanya itu. Hebat. Gadis itu sudah memahami keperluannya.

***********

Hampir tengahari mesyuarat bersurai. Badrul kelegaan. Dia ingin segera balik ke biliknya. Tak lain tentu sahaja dia hendak melelapkan mata. Sedari tadi puas dia menahan kelopak matanya daripada tertutup. Menyumpah-nyumpah juga di dalam hati tadi apabila Datuk Jamal, pemilik Hanija Engineering merangkap pemilik Wisma Hanija sendiri mempengerusikan mesyuarat.

Seperti kebiasaaan, jika Datuk Jamal turun padang sudah pasti banyak perkara yang akan dibincangkan. Sudah tentu mesyuarat akan berjalan dalam tempoh masa yang panjang. Datuk Jamal pasti akan mengulas panjang perkara-perkara yang dibangkitkan.

Itu yang Badrul tidak suka. Dia bosan berada di dalam bilik mesyuarat. Semua muka-muka tua sahaja yang harus dipandang. Langsung tiada wajah-wajah muda yang manis jelita yang boleh menambah semangat. Hanya ada seorang sahaja wanita muda di dalam bilik mesyuarat itu.

Cik Haslinda binti Datuk Jamal atau lebih dikenali sebagai Cik Linda Tembam. Gelaran itu hanya Badrul sahaja yang tahu. Hanya Badrul sahaja yang menggelar gadis itu dengan panggilan itu.

Tersenyum Tina melihatkan ketuanya yang kelam-kabut masuk ke bilik. Lagak seperti dikejar hantu. Itu tak lain tak bukan hendak tidurlah agaknya. Berseronok hingga ke pagi. Musibahnya diri sendiri juga yang menanggung keletihan.

“Tina, saya nak lelapkan mata kejap. Kalau ada ‘call’ masuk, awak catatkan aje ye. Nanti saya ‘call’ balik.” Sempat Badrul berpesan kepada setiausahanya itu sebelum meloloskan diri ke dalam bilik.

“Bos tak nak pergi makan ke? Atau bos nak saya ‘order’ makanan segera untuk bos? Ataupun bos nak saya bungkuskan untuk bos? Sekejap lagi saya nak keluar beli makanan juga ni bos.” Badrul berpaling semula ke arah setiausahanya itu. Baik sungguh gadis itu. Mujur sahaja sudah berpunya. Jika tidak mahu juga Badrul mencuba nasib.

Kalau dibandingkan setiausahanya itu dengan Maya, cantik lagi setiausahanya itu. Sentiasa berpakaian sopan walaupun menjawat jawatan setiausaha kepada seorang pengurus kewangan yang masih bujang. Gadis itu sentiasa nampak manis dan ayu dengan tudung yang melitupi kepalanya. Wanita seperti itulah yang layak untuk dijadikan isteri.

Sesungguhnya Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nur ayat ke 26 yang bermaksud : Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. Mereka inilah yang terlepas daripada apa yang mereka mengatakan; bagi mereka, keampunan dan rezeki yang mulia.

Mata Badrul memandang Tina dari atas ke bawah. Tidak senang duduk rasanya setiausahanya itu dengan sikapnya itu. Tidak pernah-pernah dibuatnya memandang setiausahanya itu seperti kucing ternampak ikan. ‘Apa kena bos aku hari ni? Pandang orang macam nak telan.’ Terdetik sesuatu di benak Tina. Risau juga dia. Bukan boleh dipercayai ketuanya itu.

“Ehem!” Deheman Tina menyedarkan Badrul yang hanyut seketika dalam keasyikan menatap wajah manis setiausahanya itu. Tersipu-sipu Badrul menyedari kealpaan diri. Segera dia berlalu tanpa berkata apa-apa kepada setiausahanya itu.

Tina yang sedang bersiap-siap hendak keluar makan tengahari agak terkejut apabila Badrul keluar semula dari biliknya. Nampak tergesa-gesa lelaki itu. Wajahnya juga tidak berapa ceria. Mungkin tidak senang kerana rehatnya terganggu.

“Tina, awak nak keluar makan ye? Saya ada ‘lunch appointment’ kat luar. Lambat sikit saya masuk. Kalau ada sesiapa cari saya, awak ‘just’ ambil pesanan aje ye.” Tina hanya sempat mengangguk sebelum ketuanya itu tergesa-gesa meninggalkan pejabat.

************

Shah terus berjalan mengikut langkah kaki. Sambil sebelah tangan menjinjing sebuah bangku kecil. Sebelah tangan lagi memegang kotak peralatan yang talinya sedia tersangkut di bahu. Wajahnya kelihatan sedih. Tidak bersemangat.

Kejadian di depan Pasaraya Mesra sebentar tadi sangat memalukan. Hilang semangat Shah untuk meneruskan perjuangan hidupnya di pekan ini. Luluh hatinya untuk mengejar cita-citanya mempunyai sebuah kedai membaiki, mereka dan membuat kasut sendiri di pekan ini.

Tiada orang yang terus berada di puncak. Semuanya bermula daripada bawah untuk maju dan mencapai cita-cita. Melainkan jika seseorang itu menggunakan taktik kotor ataupun sememangnya dilahirkan dalam keluarga kaya. Bagi orang seperti Shah yang hanya mempunyai umi dan abi yang hidup sederhana, usaha bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu adalah cara yang paling berkesan untuk mencapai kejayaan.

Sudah beberapa tempat Shah berhenti, membuka peralatan membaiki kasutnya namun dihalau oleh pengawal mahupun pemilik bangunan yang ditumpanginya. Tidak tahu kenapa mereka menghalaunya. Bukan dia mengambil ruang yang besar apatah lagi mengganggu perniagaan mereka. Dia hanya menumpang untuk mencari rezeki yang halal.

Panas terik mentari terasa membakar kulit. Shah berhenti di depan sebuah bangunan tinggi. Ruang kosong yang tidak terkena pancaran matahari yang terik menjadi sasarannya. Bangku kecil yang berada di tangan kanannya diletakkan di atas lantai. Kotak peralatan turut diletakkan di atas lantai.

Punggung dilabuhkan di atas bangku kecil. Jemarinya ligat membuka kotak peralatan. Shah mula mengeluarkan barangan asas yang digunakan. Tin kiwi, berus dan kain lap dikeluarkan. Getah-getah yang digunakan untuk dijadikan tapak kasut disusun kemas di dalam kotak. Di situlah dia akan mencari rezeki. Itupun jika tidak dihalau lagi oleh pengawal ataupun pemilik bangunan.

Ramai juga yang lalu-lalang di depannya. Namun tiada seorang pun yang singgah. Mungkin mereka tidak tahu adanya khidmat membaiki kasut. Tidak mengapa. Shah terus sabar menunggu pelanggan yang sudi. Mungkin akan ada rezekinya nanti.

Shah teringat firman Allah di dalam ayat ke enam Surah Hud yang bermaksud : Tidak ada sesuatu yang melata di muka bumi ini, kecuali ditanggung oleh Allah Taala rezekinya dan dia (Allah) mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya, semua (tertera) di kitab yang jelas.

Ayat itu menyakinkan Shah bahawa rezeki ada di mana-mana sahaja di muka bumi ini. Apa yang penting hanyalah usaha yang bersungguh. Tersedar Shah akan kealpaannya dalam mengejar impian. Beristigfar dia menyesali khilaf sendiri.

7 comments:

AZBK said...

sabar shah......mungkin dia bukan jodohmu....ko kerja je..cari duit.. nanti bila ko dah kaya shah......ramai pompuan pandang ko.....cari yg baik2 shah..jgn cari yg mcm MAYA tu...

:(

Gee Muszisya said...

kesabaran akan ada ganjarannya satu hari nanti..semoga shah tabah menghadapi ranjau hidup yg berliku...moga dia akan ketemui insan yg secocok dgannya...bila heroin nak muncul ad??..hehehe

azrina nur rusly said...

hahaha.... jap lg muncul la heroin.

Anonymous said...

errrr....letak nama aku sebagai heroin boleh...? hahahahaha... (daliazulia)

azrina nur rusly said...

hahaha... citer baru ar

SyaCha PQah Abdullah said...

huarrrrrggggghhhh....!!!

apit said...

badrul dan maya hanyut dalam keseronokan duniawi..shah sudah mula sedar nampaknya..makin menarik..heroin baru nk muncul..hehee

.