Wednesday, November 01, 2017

Roti, Aiskrim Dan Air Tangan Mak.

Image may contain: food

Tadi makcik makan roti dengan aiskrim. Sedap. Mungkin sebab aiskrim yang sejuk, bersatu dengan roti di dalam mulut, dikunyah lalu ditelan dan mengenyangkan perut, maka ianya dikira makanan yang sedap. Ataupun sebab ia ala-ala moden sikit, makanya ia jadi pilihan makcik malam ni. Namun, sambil makan roti dan aiskrim, makcik teringat ketika zaman kanak-kanak makcik. Susahnya nak dapat makan aiskrim dan makanan ringan.

Dulu-dulu, ketika makcik masih budak-budak, keluarga makcik susah. Hendak berbaju baru, memang tak dapatlah macam orang lain. Tunggulah hari raya tiba, barulah dapat berbaju baru. Itupun, daripada jenis kain yang murah. Asalkan dapat dibuat baju baru, makcik sudah cukup bersyukur.

Baju sekolah, kasut sekolah, beg sekolah, semua pakai selagi boleh. Makcik ke sekolah berkasut getah (makcik panggil kasut plastik). Tak mudah koyak, kalau kotor, tak perlu risau. Lap je dengan kain basah, dah bersih semula. Baju sekolah tak usah ceritalah. Pakai sampai kusam warnanya. Pakai basuh, pakai semula. Maklumlah, abah makcik tak dapat nak belikan dua tiga pasang baju setahun. Beg sekolah pula daripada jenis kain. Makcik ingat, beg sekolah makcik jenis beg sandang tepi, berwarna hijau.

Bab makan pula, makcik tak berkira. Asal boleh mengenyangkan, makcik telan je. Lauk yang paling biasa jadi juadah harian sudah tentulah jenis yang ada di sekitar rumah. Nak goreng kangkung, pergi saja redah paya orang. Nak makan pucuk paku, sambil balik dari kebun getah abah, boleh kutip saja sepanjang perjalanan. Kalau bernasib baik terjumpa cendawan busut atau cendawan kukur dalam kebun getah abah, bolehlah dibuat gulai (masak lemak cili api). Bertambah-tambahlah makan nanti.

Lauk yang paling kerap makcik makan masa kecil-kecil dulu adalah nangka muda. Abah makcik rajin menanam pokok. Dulu, sekeliling rumah makcik banyak pokok buah. Rambutan tak sempat masak, makcik dah panjat dah gagas buahnya. Jambu batu, siap main cop sedahan seorang dengan adik beradik makcik. Buah limau manis, tak perlu beli. Nak makan, petik je di pokoknya. Durian belanda, sampai jatuh-jatuh buahnya ke tanah dek subur dan lebat buahnya. Cempedak, nangka, pisang, tak payah beli, petik je di pokoknya bila masak.

Mak makcik memang kreatif. Dengan nangka muda, mak makcik boleh buat pelbagai jenis lauk. Paling sempoi, mak makcik akan celur nangka muda dan buat sambal belacan untuk cicahnya. Sedap. Tak payah lauk lain lagi dah, boleh bertambah nasi berpinggan. Tapi susahlah sikit nak bertambah sebab beras pun susah nak beli. Selain tu, mak makcik kadang-kadang tumis garing nangka muda tu dengan ikan bilis, kadang-kadang bercili api, kadang-kadang tak bercili. Paling sedap mak makcik akan buat gulai (masak lemak cili api) sama ada campur ikan bilis atau campur ayam yang abah bela sendiri. Sedap, berebut-rebut kami adik beradik makan.

Abah ada tanam pokok keladi gulai dan keladi telur di belakang rumah. Makanya, bila dah ada isi, mak akan rebus keladi telur tu buat kudap-kudapan. Kalau tiba hari mak menggulai keladi, makcik cuma akan makan batangnya saja. Makcik tak suka isinya, sampailah sekarang. Isi keladi gulai je makcik tak makan, keladi telur tu laju pulak makcik telan.

Kalau nak diceritakan, banyak lagi tapi cukuplah makcik bercerita sampai sini dulu. Nanti-nanti, bila berkesempatan, makcik bercerita lagi. Lagipun, bila teringat kisah dulu-dulu, makcik rasa sekarang juga nak balik kampung jumpa mak dan abah makcik yang dah semakin dimamah usia.

0 comments:

.