Wednesday, October 05, 2011

Cerpen Bertema (Raya) - Pelita Malam Raya

“BOLEHLAH mak. Bukannya selalu pun. Setahun sekali aje.” Rengekan Arul meminta izin, tidak Mak Pah pedulikan walaupun pelbagai alasan telah Arul sogokkan. Beberapa pelita minyak tanah yang tergantung di tangan Arul pula berlaga sesama sendiri setiap kali dia menggerakkan tangan, menambahkan kerisauan Mak Pah. Bukannya sebuah dua yang hendak dipasangnya, ada banyak lagi di dalam plastik merah yang dijadikan bekas mengisi pelita tersebut. Berdasarkan saiz plastik tersebut, Mak Pah dapat mengagak ada lebih daripada sepuluh buah pelita di dalamnya.

“Memanglah setahun sekali aje Arul, tapi tunggulah sampai masanya dulu.” Wajah Arul yang mengharap, dipandang tidak lepas. Sayang benar Mak Pah dengan Arul tetapi air mukanya harus juga dijaga walau sebanyak mana pun sayangnya kepada anaknya itu. Tidak sanggup pula Mak Pah mendengar umpat keji jiran tetangga nanti jika anaknya itu diberi keizinan.

“Nak tunggu apa lagi mak? Minggu depan kan dah mula puasa.” Naik geram juga Mak Pah dengan kedegilan Arul. Sudah dikatakan tidak boleh, tetap juga Arul mahu Mak Pah memberikan keizinan. Memang benar-benar anaknya itu mengikut perangai arwah suaminya yang memang terkenal dengan sikap keras kepala, seboleh-boleh ingin mendapatkan apa sahaja yang dikehendaki.

“Arul... Kalau pun kamu gian sangat nak pasang pelita raya, tunggulah sampai dah masuk bulan Ramadhan. Kamu ni Arul, macam budak kecik!” Bagaimana lagi harus Mak Pah terangkan kepada Arul? Umurnya bukan mentah lagi. Sudah hampir dua puluh lima tahun. Jika berkahwin pun, mungkin sudah ada dua atau tiga orang anak.

Sudah namanya pelita raya, tunggulah malam raya nanti, barulah dipasangkan. Paling tidak pun, malam dua puluh tujuh likur nanti. Waktu itu nanti, belasahlah berapa puluh buah pun yang hendak dipasang, Mak Pah tidak kisah. Ini tidak, belum mula puasa, pelita raya sudah hendak dipasang. Malulah Mak Pah dengan jiran-jiran sekeliling. Puasanya belum tentu cukup sebulan tetapi semangat rayanya sudah berkobar-kobar sebelum waktunya. Mengalahkan budak kecil yang baru hendak merasa suasana raya pula lagaknya.

“Mak memang dah tak sayangkan Arul!” Mak Pah hanya mampu menggeleng tatkala Arul berlalu seusai menuturkan kata-kata tersebut. Biarkanlah. Sekejap lagi sejuk hatinya, tentu akan balik semula anak bongsunya itu ke rumah. Bukan sekali dua Arul pernah merajuk dengannya, sudah berkali-kali dan setiap kali itu jugalah Mak Pah akan membiarkan hati Arul sejuk sendiri. Apabila lapar perutnya, pandailah dia mencari Mak Pah semula. Ataupun bangkit sahaja daripada tidur nanti, Arul akan bersikap seperti tiada apa-apa yang berlaku sebelumnya.

Namun, tidak seperti selalu, kali ini puas Mak Pah menunggu rajuk Arul surut. Makanan yang Mak Pah sediakan untuk Arul sudah lama sejuk di bawah tudung saji namun tiada tanda-tanda anaknya itu akan balik ke rumah. Sudah puas Mak Pah memanaskan lauk pauk tersebut namun batang hidung Arul langsung tidak kelihatan. Kerisauan yang bergayut di tangkai hati Mak Pah tidak dapat diceritakan kepada sesiapa. Ke mana pula kamu pergi Arul? Mak risau. Baliklah sayang, hati Mak Pah berkata-kata.

Sungguh, kerisauan Mak Pah tidak bertepi. Airmata Mak Pah mengalir lagi. Setiap kali kenangan seminggu sebelum puasa itu menjelma di fikirannya, hati Mak Pah menjadi sayu. Entah apalah khabar anak lelaki bongsunya itu agaknya. Sudah sepuluh tahun kejadian itu berlalu, namun hati Mak Pah masih belum dapat menerima hakikat akan kehilangan Arul.

*****
AROMA rendang daging sudah memenuhi ruang dapur rumah kayu bercat merah bata itu. Aini, menantu sulung Mak Pah sibuk mengacau rendang daging yang sudah hampir masak untuk mengelakkan hangus dan berkerak di bahagian bawahnya. Suaminya pula sibuk menjaga lemang yang juga sudah hampir masak di tepi rumah.

Semenjak Arul menghilangkan diri, setiap tahun Along akan balik ke kampung bersama isteri dan anak-anaknya untuk beraya bersama emak. Along tidak mahu emak bersedih menunggu adik bongsunya yang hilang entah ke mana itu. Jika ada Along sekeluarga, sekurang-kurangnya anak-anaknya akan dapat memberikan keceriaan dan memesongkan sedikit kesedihan yang ditanggung oleh emaknya setiap kali menjelang hari raya.

Along mengerling emaknya yang sedang merebus ketupat bersama anak-anaknya yang sudah remaja manakala anak-anak Along yang masih kecil, sibuk menghurung pelita sambil bermain bunga api. Kelihatan emak seperti sedang menggosok kelopak mata. Along menggeleng. Ternyata di dalam keriuhan itu, emak masih sempat lagi mengalirkan airmata. Tentu emak sedang terkenangkan Arul yang sering membantunya menyediakan juadah raya setiap kali malam raya menjelma. Ke mana la kamu pergi Arul? Emak rindu sangat dengan kamu. Baliklah dik, hati Along berbisik sambil mengharap Arul akan kembali.

Sudah sepuluh tahun peristiwa itu berlaku, namun tidak juga emak dapat melupakannya dan membuang kesedihan itu dari hatinya. Emak masih diburu rasa bersalah. Along dapat merasakannya. Dari raut wajah emak apabila memandang pelita minyak tanah yang anak-anak Along pasangkan pada setiap malam menjelang raya, Along dapat melihatnya. Along pasti, jika dapat diputar masa dan diulang kembali tingkah dan kata-kata, tentu kejadian sedih itu akan ditukar menjadi cerita gembira. Ibu mana yang tidak sayang akan anak-anaknya? Along tahu, malahan Along sedar bahawa antara mereka dua beradik, memang Arul itu lebih disayangi oleh emak.

*****
SEPULUH tahun dahulu...

Hatinya sakit. Emak tidak peduli dengan perasaannya. Bersusah payah dia mendapatkan pelita yang banyak dari kedai Soon Teck, namun, emak langsung tidak mengendahkannya. Apa salahnya memasang pelita sebelum puasa? Bukannya ada undang-undang yang menetapkan bahawa pelita tidak boleh dipasang melainkan setelah tiba malam dua puluh tujuh likur ataupun sudah tiba malam raya. Emak sahaja yang sengaja melarangnya. Emak memang sengaja hendak menyekat kegembiraannya menyambut raya.

Dia sudah memasang tekad. Kali ini dia tidak mahu mengalah lagi. Jika emak sudah tidak suka kepada dirinya, biarlah dia pergi meninggalkan emak dan kampung. Biarlah dia membawa diri untuk mengubat luka di hati. Agaknya emak memang sudah tidak sayang kepadanya. Semenjak anak Along sudah semakin membesar, apa sahaja permintaannya, emak sudah tidak mahu turutkan lagi. Dia berasa tersisih. Emak nampaknya sudah lebih sayang kepada anak-anak Along berbanding dia. Buktinya malam ini, rajuknya tetap tidak emak pedulikan. Emak hanya membiarkan dia memujuk hatinya sendiri. Jika anak-anak Along merajuk, emak akan segera pula memujuk malahan sanggup memenuhi apa sahaja permintaan mereka.

Diam-diam dia mengemas pakaiannya. Tidak semua yang mahu dibawa, hanya beberapa helai baju dan seluar yang kelihatan agak baru sahaja dimuatkan ke dalam beg sandangnya. Usai berkemas, dia menyorokkan beg tersebut di bawah katil supaya tidak terlihat oleh emak. Dia berbaring di atas katil sementara menunggu emak tidur. Perut yang berkeroncong minta diisi, langsung tidak dihiraukannya. Biarlah! Selepas emak tidur nanti, dia akan meninggalkan rumah dan akan singgah di mana-mana kedai makan yang masih dibuka untuk mengisi perutnya.

Derap tapak kaki semakin jelas kedengaran menghampiri biliknya. Ah! Itu sudah tentu emak. Mana ada orang lain lagi yang tinggal di dalam rumah ini melainkan dia dan emak. Tidak mungkin Along pula, kerana abangnya itu sudah berkeluarga dan mempunyai rumah sendiri di bandar. Malas mahu berteka-teki, dia sengaja berbaring menghadap ke arah pintu bilik dan menindih mukanya dengan sebiji bantal. Dari celah bantal, dia mengintai siapakah yang sedang berjalan. Sah! Emak yang sedang menjenguk. Dia segera memejamkan mata apabila tubuh emak semakin mendekatinya. Rajuk di hati masih bersisa. Tidak sanggup rasanya menatap wajah emak. Bimbang jika semangatnya yang berkobar-kobar untuk meninggalkan rumah, padam begitu sahaja apabila memandang wajah sayu emak.

Terasa bahang tubuh emak menyerap ke kulitnya sebaik sahaja emak melabuhkan punggung di atas katil. Dia dapat merasakan tangan emak mengusap pipi dan membelai rambutnya selepas bantal yang menutupi muka dialihkan ke tepi. Sedaya-upaya ditahan kelopak mata supaya tidak terbuka sebelum emak meninggalkan bilik. Terdengar suara sayu emak menyatakan rasa sayang yang tidak berbelah bahagi terhadapnya tanpa emak menyedari cuping telinganya cukup terbuka dan hatinya cukup tersentuh mendengarnya.

Berkeriut bunyi katil tatkala emak bangun. Tiada lagi bahang tubuh emak. Tiada lagi ungkapan sayang. Hanya berganti dengan bunyi langkah emak yang semakin menjauh sehingga akhirnya kedengaran bunyi suis lampu dipetik dan pintu ditutup. Pasti emak sudah memadamkan lampu yang menerangi lorong yang menjadi laluan ke bilik dan menutup pintu bilik. Segera dia bangun, mengeluarkan beg galasnya dari bawah katil dan dengan perlahan kakinya memanjat tingkap bilik lalu terjun ke tanah. Dicapai sehelai kain batik emak yang bersidai di bawah rumah, lalu dimasukkan ke dalam beg sebelum digalas semula di bahu. Pandangan matanya menjelajah lama ke sekitar kawasan rumah sebelum dia memulakan langkah untuk pergi membina hidup baru.

*****
SEMINGGU lalu...

Hatinya tersentuh melihat wajah sayu sang suami yang sedang leka memandang pelita yang terpasang. Setiap kali menyambut raya, begitulah keadaan suaminya. Duduk merenung api pelita yang meliuk ditiup angin malam. Walaupun tinggal di kota besar, tidak sekalipun suaminya itu lupa hendak memasang pelita minyak tanah di malam-malam terakhir menjelang raya. Tidak seperti jiran tetangga yang lebih gemar memasang lampu berwarna-warni menerangi sekeliling kawasan rumah, suaminya lebih memilih pelita minyak tanah sebagai pelengkap malam rayanya.

Terkadang dia terfikir, mungkin ada rahsia tersembunyi di sebalik keengganan suaminya menggantikan amalan memasang pelita yang sudah kolot itu dengan lampu berwarna-warni sahaja apabila setiap kali diajukan cadangan. Wajah yang sayu merenung api pelita itu juga makin menambahkan rasa syaknya. Sudah lebih lima tahun dia menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Syahrul Zaman, dan setiap kali malam raya, begitulah keadaan suaminya. Ingin ditanya, bimbang pula berubah mood suaminya itu tetapi rasa yang bergejolak di hatinya sudah tidak tertahan lagi.

*****
SEHARI sebelum raya...

“Ehem!” Sebelum berpaling, airmata yang bergenang di tubir mata segera diseka apabila mendengar deheman isterinya, Badariah. Diamati wajah tertanya-tanya isteri yang sudah lebih lima tahun dinikahinya tanpa kehadiran emak dan Along itu. Isteri yang selama ini tidak pernah tahu bahawa dia masih mempunyai emak dan abang kandung yang tentu sahaja sedang menanti kepulangan suaminya ini.

“Abang buat apa di luar ni? Sejuk ni bang, demam nanti.” Lembut suara isterinya menegur, menambahkan lagi rasa sayu di hati. Dia bersyukur dikurniakan isteri yang sentiasa berada di sisinya di dalam susah dan senang. Isteri yang dikenali ketika kali pertama dia menjejakkan kaki ke bandar itu selepas meninggalkan rumah. Isteri yang tidak kedekut berkongsi kasih sayang ibu dan ayahnya dengan seorang lelaki yang sepertinya. Bukan seperti dia yang tamakkan kasih sayang emak hingga sanggup meninggalkan emak akibat cemburu.

“Tak buat apa-apa. Saja menikmati suasana malam-malam penghujung puasa ni.” Sengaja diukir senyum di bibir. Tidak mahu isteri yang dicintainya itu mengesan kesedihan yang bergelodak dalam hati.

“Bang, kalau Bada tanya sesuatu, abang janji tak marah ya.” Wajah bersungguh ingin tahu isterinya dipandang tidak lepas. Terbit sedikit tanda tanya di hatinya, perkara apa yang ingin ditanyakan oleh isterinya nan seorang itu.

“Takkan tanya pun abang nak marah. Tanyalah!” Senyuman puas di wajah isterinya sedikit merisaukan Arul namun sedaya upaya ditenangkan dirinya menanti soalan yang ingin ditanyakan keluar dari mulut isterinya.

“Setiap kali kita nak menyambut raya, Bada selalu nampak abang sedih dan termenung sambil pandang api pelita. Bada rasa pelik. Terasa macam abang ada pendam rahsia pula. Betul ke abang ada rahsia, bang? Kenapa tak nak kongsikan dengan Bada? Bada ni kan isteri abang. Abang tak percayakan Bada?” Rupanya selama ini isterinya itu sudah menyedari perubahan sikapnya setiap kali hadirnya bulan Ramadhan dan Syawal. Namun dipendamkan sahaja rasa ingin tahu itu sendirian. Bertambah melimpah sayang Arul kepada isterinya itu. Bertuah badan mendapat isteri yang begitu prihatin.

“Kalau abang cerita, Bada janganlah marah abang pula. Abang tahu, Bada seorang isteri yang baik. Seorang anak yang begitu taat kepada orang tua. Tak seperti abang...” Tidak dapat Arul meneruskan kata-katanya. Airmata lelakinya bergenang di pelupuk mata. Sayu. Sungguh sayu terasa di sudut hatinya. Jika diteruskan, tidak mustahil bakal menitis airmatanya di hadapan isterinya itu.

“Kenapa abang cakap macam tu? Bada tengok abang begitu hormat dengan ayah dan ibu. Abang melayan mereka macam ibu dan ayah kandung abang sendiri.” Diusap tangan suami yang diletakkan di atas pehanya. Usapan untuk memberi semangat kepada suami yang dikasihi dan dihormatinya itu.

“Sebenarnya, abang layan ibu dan ayah Bada begitu sebab abang rasa bersalah. Abang bersalah pada mak abang yang abang tinggalkan sepuluh tahun dahulu.” Benar. Akhirnya menitis juga airmata Arul di hadapan isterinya usai sahaja dia melontarkan kata.

“Astaghfirullahalazim! Kenapa boleh jadi macam tu bang?” Terkejut bukan kepalang Badariah mendengar pengakuan suaminya. Bagaimana mungkin suaminya yang begitu lemah lembut dan baik melayani ibu dan ayahnya, tergamak meninggalkan ibu kandung sendiri? Mustahil, tetapi suaminya sendiri sudah mengakui, tentu sahaja perkara itu benar-benar berlaku.

“Entahlah! Abang pun tak tahu kenapa abang nekad nak tinggalkan mak dulu.”

“Tentu ada sebabnya abang buat macam tu.”

“Puncanya kecil aje. Abang kecil hati dengan mak. Abang nak pasang pelita raya seminggu sebelum puasa tapi mak abang tak izinkan. Lagipun abang cemburu dengan layanan mak abang terhadap anak-anak Along yang lebih daripada abang yang merupakan anak bongsu mak.” Terasa hendak juga Badariah menghamburkan tawa mendengar jawapan suaminya itu. Perkara sekecil itu pun menjadi punca bertahun dia membawa diri. Tentang cemburu itu tidak sangat Badariah kisahkan. Tentang pelita raya itu yang benar-benar mencuit hatinya. Boleh pula hendak memasang pelita raya seminggu sebelum puasa. Kalau seminggu sebelum raya, moleklah juga.

“Abang... Abang... Seminggu sebelum puasa abang nak pasang pelita, memanglah mak abang tak izinkan. Kalau Bada pun, Bada tak setuju juga. Lainlah kalau seminggu sebelum raya. Bang... Sebab tu abang asyik termenung sayu aje bila tengok pelita raya, ya bang?”

“Abang sedih. Abang rindukan mak abang tapi abang tak berani nak balik. Abang tak tahu sama ada mak abang masih terima abang lagi atau tidak. Along pun, entah kan dia boleh terima abang ataupun dia dah bencikan abang.” Simpati Badariah memuncak mendengarkan keluhan suaminya itu. Anak mana yang tidak merindukan ibu kandungnya sendiri? Apatah lagi anak yang bongsu, yang paling manja seperti suaminya itu. Timbul satu cadangan di dalam fikirannya. Cadangan yang pastinya boleh menggembirakan hati semua pihak.

“Bang, apa kata raya tahun ni kita balik beraya di rumah mak abang? Bada pun teringin juga nak jumpa mertua Bada. Ibu dan ayah pasti tak ada halangan. Boleh ya bang? Bada kemaskan pakaian malam ni juga. Abang jangan sedih-sedih lagi ya.” Senyuman yang terbit di ulas bibir suaminya, dibalas dengan senyuman yang paling manis. Pasti sokongan moral yang sebegitulah yang selama ini didambakan oleh suaminya. Tidak sia-sia dia memberikan cadangan tersebut. Kegembiraan suaminya bermakna kegembiraan buatnya juga.

*****
MALAM raya...

Dari jauh, liukan api pelita yang terpasang di setiap sudut halaman rumah Mak Pah sudah kelihatan. Sebuah kereta pelbagai guna juga elok terparkir di sudut halaman. Betul-betul di bawah pohon kemboja yang merendang, penuh bunga di setiap hujung pucuknya. Sepuluh tahun dahulu, pohon kemboja itu tidaklah serendang ini. Bunganya juga tidak banyak.

Kereta yang dipandu Arul diparkir bersebelahan kereta pelbagai guna itu. Bau harum bunga kemboja menusuk ke hidung tatkala pintu kereta dibuka. Segarnya suasana kampung. Udaranya harum. Sungguh, terubat sedikit kerinduan Arul terhadap kampung halaman yang sudah lama ditinggalkan.

Emak! Mana emak? Tidak sabar rasanya Arul hendak menatap wajah emak. Menyalami dan mencium tangan emak, kemudian merangkul emak ke dalam pelukan. Sudah terlalu lama Arul meninggalkan emak.

Badrul, anak tunggal Arul dan Badariah hanya berdiri diam di sisi ibunya sejurus keluar dari kereta. Matanya meliar memerhatikan ke seluruh kawasan yang tidak pernah dikunjunginya itu. Badariah hanya tersenyum melihat reaksi anaknya. Sudah tentu si kecil itu tertanya-tanya, rumah siapakah yang mereka kunjungi. Rumah yang begitu asing baginya, yang hanya pernah dilihat di dalam drama yang ditayangkan di televisyen.

“Rumah siapa ni ibu?” Badariah tersenyum lagi. Sudah dijangka soalan itu akan terkeluar dari ulas bibir anak tunggal kesayangannya itu.

“Inilah rumah nenek Badrul!” Raut tidak percaya terpamer di wajah anak tunggalnya itu. Badariah terus meleret senyum. Kelakar melihatkan reaksi Badrul.

“Bukanlah ibu. Rumah nenek di bandar. Tiap-tiap tahun kita beraya dengan nenek kat sana.”

“Itu nenek sebelah ibu. Ini pula rumah nenek sebelah ayah.” Badrul masih tidak berpuas hati. Matanya meliar lagi memandang ke seluruh kawasan rumah yang terang benderang itu dan kemudian beralih ke wajah ibunya semula.

“Betul ke ibu?” Masih juga si kecil itu inginkan kepastian. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah ibunya tanda dia benar-benar mengharapkan jawapan yang betul dan bukan sekadar gurauan.

“Betullah, sayang.”

“Yeahhhh... Bad pun ada kampung macam kawan-kawan Bad yang lain. Seronoknya!” Melonjak gembira si kecil itu mendengarkan penerangan ibunya. Gembira bukan kepalang kerana selama ini dia hanya berpeluang mendengar cerita daripada kawan-kawan sahaja. Dan kali ini, dia berpeluang merasai sendiri suasana hari raya di kampung.

*****
ALUNAN takbir raya bergema ke serata pelusuk kampung. Asap nipis yang naik ke udara di bahagian belakang rumah menerbitkan senyum di bibir Arul. Pandangannya berlaga dengan pandangan Badariah tatkala dia menoleh ke arah isterinya itu. Tidak seperti selalu. Malam ini jelas terpancar kegembiraan di raut wajah Arul. Badariah turut berkongsi kegembiraan itu. Rasa syukur dipanjatkan pada Ilahi apabila tiada lagi wajah sayu suaminya merenung api pelita.

“Tentu diorang ada kat belakang rumah. Biasanya malam raya mak akan rebus ketupat di situ. Along pula akan bakar lemang.” Laju sahaja Arul mengatur langkah menuju ke bahagian belakang rumah emak.

“Ketupat? Lemang? Yeahhhhh... Dapat tengok orang bakar lemang!” Badrul turut berlari-lari anak mengikut langkah Arul yang laju.

“Seronoknya anak ibu ni!” Badariah turut sama melajukan langkah. Bimbang juga jika anak kecilnya itu jatuh tersadung batu tatkala berlari-lari anak mengikut ayahnya yang nampak begitu tidak sabar hendak bertemu emak.

“Mestilah ibu. Selalu dengar aje cerita kawan-kawan. Seronoknya dapat tengok sendiri!” Menggeleng sahaja Badariah dengan jawapan Badrul. Sungguh, begitu ketara keseronokan yang terpancar di wajah anaknya itu, sama seperti ayahnya.

*****
“ASSALAMUALAIKUM!”

Emak terkaku. Ketupat yang sedang diangkat di tangannya menggunakan sepit makanan, terjatuh ke dalam air yang mendidih. Terpercik mengenai tangan namun langsung tidak dihiraukan kepanasan yang dirasai. Along pula sudah berlari ke arah emak apabila anak-anaknya menjerit-jerit memanggilnya. Arul turut berlari ke arah emak. Tidak disangka begitu sekali reaksi emak apabila mendengar suaranya.

“Arul! Arul anak mak!” Sayu suara emak memanggil anak bongsu kesayangannya. Kesakitan di tangan tidak dihiraukan. Along yang cuba memegang tangan emak untuk diletakkan susu sebagai penyejuk, ditepis tangannya oleh emak. Terkedu Along seketika. Begitu sekali emak bereaksi namun tiada sedikitpun timbul perasaan marah di hati Along. Along tahu emak begitu merindui Arul.

Emak cuba bangkit untuk merangkul Arul namun jatuh terduduk semula. Kakinya yang kebas akibat duduk terlalu lama menghalang pergerakannya. Ditambah lagi dengan tangan yang terkena air panas, yang sudah mula dirasakan kesakitannya. Along segera membantu emak berdiri walaupun ditepis berkali-kali tangannya oleh emak.

“Mak, biar Along bantu mak bangun. Tangan mak sakit tu.” Along tetap juga membantu emak untuk berdiri. Walaupun emak menepis tangan Along, tidak mahukan bantuan, namun Along tidak mengendahkan.

“Tak! Tangan mak tak sakit. Along, itu Arul kan? Arul dah balik kan? Mak nak peluk dia!” Bergenang airmata Along apabila sambil bangun, emak menggapai-gapai tangan hendak memeluk anak bongsunya.

“Ya, mak. Arul dah balik! Adik Along dah balik, mak!” Along memeluk bahu emak. Menyokong emak berdiri dan Along hanya melepaskan pegangan apabila Arul meluru memeluk tubuh emak.

“Mak! Ampunkan Arul mak! Arul rindukan mak!” Bergema tangisan kedua beranak itu melepaskan kerinduan yang menggunung. Manakala Along dan isterinya pula hanya memandang sambil menyeka airmata yang sudah pun mengalir sama.

*****
BADARIAH mengesat pelupuk mata. Pelukan kedua beranak yang erat menimbulkan rasa sayu di hatinya. Begitu besar kerinduan yang ditanggung mereka, akhirnya terlerai juga pada malam raya yang terang benderang disinar api pelita yang disusun begitu banyak di sekitar kawasan mereka menyediakan juadah raya.

Badrul pula sudah berketawa riang, berkejaran sambil bermain bunga api bersama sepupu-sepupunya yang baru dikenali. Tiada apa yang difikirkan oleh kanak-kanak itu melainkan keseronokan menikmati keindahan malam raya yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.

Senyuman dilemparkan tatkala Arul menggamitnya menghampiri emak. Salam yang dihulur usai dirinya diperkenalkan dibalas rangkulan erat oleh emak ke tubuhnya. Terharu! Badariah terharu dengan sambutan yang diterima daripada emak. Lerai pelukan emak, isteri Along pula memeluknya. Betul-betul seperti pertemuan jejak kasih jadinya suasana malam itu. Tidak dipeduli oleh emak akan tangan yang sudah semakin berdenyut-denyut.

*****
“BANG, bawalah emak ke klinik. Teruk juga lecur tangan mak tu. Kalau dibiarkan, melarat nanti.” Badariah yang duduk di sebelah Arul di meja makan menyiku lengan suaminya sambil mulut dimuncungkan ke arah emak yang sesekali berkerut muka menahan kesakitan. Segera Arul menghampiri emak yang duduk di hujung meja.

“Mak, jom Arul hantar mak ke klinik ya. Tangan emak tu tak boleh dibiarkan, melarat nanti.”

“Takpelah, Arul. Sikit aje ni. Tadi pun Along dah letak susu. Mak bawa tidur nanti, eloklah dia.” Mak Pah bangun dan meninggalkan meja makan. Perlahan-lahan langkah diatur menuju ke bilik. Arul membantu memapah emak.

“Mak, janganlah cakap macam tu. Arul tak nak apa-apa jadi pada mak. Arul sayangkan mak, sayang sangat!”

“Arul, mak pun sayangkan Arul. Mak bersyukur, akhirnya mak dapat juga jumpa Arul sebelum mak meninggal. Dah puas hati mak. Kalau mak meninggal pun, mak tak terkilan.” Sayu suara Mak Pah menuturkan kata-kata. Benar, Mak Pah gembira dapat berjumpa kembali dengan anak kesayangannya sebelum dia menutup mata. Itu sungguh seribu rahmat baginya.

“Mak... Jangan cakap macam tu mak. Arul belum puas bermanja dengan mak.” Arul turut berbaring di sebelah Mak Pah. Dipeluk tubuh tua itu.

“Haish... Dah tua-tua pun nak bermanja dengan mak lagi. Malu dengan anak kamu tu.” Mak Pah menolak sedikit tubuh Arul. Segan pula jika dilihat oleh Badrul. Sedangkan si kecil itu pun tidak berkepit sahaja dengan ibunya, ini kan pula ayahnya yang sudah berumur, bermanja seperti anak kecil.

“Tak kiralah mak, Arul nak bermanja dengan mak juga. Malam ni Arul tidur sini dengan mak ya?” Arul makin mengeratkan pelukannya. Terasa tidak sanggup hendak berpisah dengan emak walaupun hanya berlainan bilik sahaja. Masih belum puas lagi rasanya Arul bermanja dengan emak.

“Tak payahlah. Pergilah tidur dengan anak isteri Arul kat dalam bilik tu. Mak tak ubah apa-apa pun bilik tu. Sama aje macam dulu.”

“Alaaaa... Bolehlah mak.”

“Dahlah. Pergi tidur sana. Mak dah mengantuk ni. Tolong padamkan lampu dan tutupkan pintu tu sebelum kamu keluar.” Lambat-lambat Arul bangun juga. Dikemaskan selimut yang membaluti tubuh tua emak. Sebuah kucupan diberikan di dahi emak sebelum Arul berlalu menuju ke pintu bilik.

“Selamat malam, mak. Arul sayang mak!”

“Mak pun sayang kamu. Sayang sangat!”

*****
BENGKAK mata Arul. Merah. Tanah yang masih lembab bertabur bunga pelbagai warna direnung tanpa kelip. Sungguh hatinya sedih tidak terhingga. Saat gembira hanya seketika dapat dirasainya. Emak sudah pergi. Tiada lagi tangan emak memeluknya erat. Tiada lagi suara emak menyatakan sayang tidak berbelah bahagi kepadanya.

Tidak sangka, malam raya kali ini merupakan malam pertemuan dan malam terakhir Arul bersama emak. Keengganan emak dihantar ke klinik membuatkan sakit di tangan emak melarat dan membawa kepada demam. Demam itu pula menjadi sebab emak meninggalkan dunia yang fana serta anak cucu yang masih memerlukan kasih-sayang emak.

Along sudah balik ke rumah emak, meninggalkan dia sendirian di sisi pusara emak. Pesanan Along sebentar tadi terbang dibawa angin lalu. Tidak dapat Arul menahan airmatanya yang berterusan gugur. Belum sempat dia membahagiakan emak, dia sudah ditinggalkan. Hanya sempat memohon keampunan sahaja tanpa sempat menghabiskan hari raya bersama emak. Kini, hanya dapat bersama pusara emak, pusara yang hanya diam membisu walau sudah puas dia merayu agar emak bangkit semula.

Perlahan-lahan Arul bangkit. Menggulung tikar mengkuang yang menjadi alas duduknya lalu berjalan meninggalkan jasad emak bersemadi di pusara. Kali terakhir Arul menoleh tatkala tubuh sudah sampai ke pintu pagar kawasan perkuburan, bayangan emak sedang tersenyum melambai dari celahan pohon renek yang berceracak di dalam kawasan itu, makin jauh dan menghilang. Arul menarik nafas panjang, berjalan meninggalkan tanah perkuburan tanpa menoleh lagi ke belakang.

-TAMAT-

2 comments:

LiTtLe MiSs.. said...

dah baca sebahagian...sedih sgt..bahas yg akak guna pun memang best. akan sambung bila berkesempatan.. :)

Nur Hafizah Hussain said...

best..sedey..bergenang air mata..

.