Monday, May 16, 2011

Sudah Takdirnya Begitu Bab 1



TIDAK sabar rasanya Hafiz hendak sampai ke rumah. Perjalanan yang memakan masa tidak sampai setengah jam dari pejabat ke rumah itu dirasakannya terlalu lama. Di dalam hatinya berharap Luna masih ada lagi di kotak sembang. Tidak puas rasanya berbual ketika waktu bekerja. Jika di rumah, tentu sahaja boleh terus-terusan berbual tanpa ada sebarang gangguan panggilan telefon ataupun diminta berjumpa bos.

Buru-buru Hafiz memarkir motosikalnya di dalam garaj. Masuk sahaja ke dalam bilik, terus komputer ribanya dihidupkan. Sementara menunggu talian internet disambungkan, Hafiz menukar pakaian. Mandi? Seperti biasalah. Sudah puas berbual dengan Luna nanti, baharulah Hafiz memikirkan tentang perkara lain.

Hari ini Hafiz mengenakan sehelai baju kemeja berleher bulat yang dipadankan dengan sehelai seluar pendek. Ah! Pakaian tidak menjadi hal. Lagipun Hafiz hanya hendak bersembang maya sahaja. Bukannya berbual secara berdepan untuk dijaga sangat penampilannya. Hafiz rasa Luna juga tentu sepertinya. Berpakaian seadanya sahaja. Lainlah jika Luna ‘online’ dari komputer di kafe siber, itu baharulah harus menjaga ketertiban berpakaian.

Laman sesawang Penulisan2u dibuka. Tetikus laju sahaja diarahkan ke bawah mencari kotak sembang yang terletak di bahagian kanan laman tersebut. Matanya tajam memerhatikan nama Luna. Hampa. Nama gadis pujaannya tidak kelihatan. Tetikus dihalakan pula ke bahagian ikon. Ucapan salam diklik. Usai, butang hantar pula diklik dan terteralah kalimah assalamualaikum bertulisan jawi di kotak sembang tersebut. Beberapa orang rakan maya yang ada di situ pantas menjawab salam yang dihulur namun hati Hafiz masih belum puas selagi gadis pujaannya tidak muncul.

Muka jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Sudah hampir jam enam setengah petang, tentu sahaja Luna sudah sampai di rumah. Setahu Hafiz, waktu bekerja gadis itu bermula dari jam sembilan pagi hingga lima petang sahaja. Kedudukan pejabat dari rumahnya bukanlah jauh sangat. Jika berjalan kaki tidak sampaipun lima belas minit perjalanan. Jika menaiki bas, sekelip mata sahaja sudah sampai. Lainlah jika gadis itu singgah membeli-belah dahulu ataupun berjanji temu. Janji temu? Harap tidaklah. Jika benar, habislah peluang Hafiz untuk menjalin hubungan yang serius dengan gadis manis itu.

Manis? Ya, Luna memang manis. Gambar yang dikongsi di profil laman sosial ‘Facebook’ menyokong kenyataan itu. Dengan bentuk muka bujur sirih, mata yang bundar, kening yang lebat dan lesung pipi menghiasi ketika tersenyum, sangat menarik. Walaupun Luna tidak tergolong di dalam kelompok gadis cantik tetapi gadis itu cukup sempurna di mata Hafiz.

Penunjuk tetikus dibawa pula ke ikon ‘Yahoo Messenger’. Diklik bahagian kiri tetikus dan muncul tetingkap kecil di skrin komputer ribanya. Kata laluan dimasukkan dan butang daftar masuk ditekan. Sejurus kemudian, tetingkap yang sama menunjukkan senarai rakan-rakan Hafiz yang ada di atas talian. Mata Hafiz tajam menjelajah hingga habis senarai yang tertera. Sah! Tiada nama Luna di atas talian. Berkerut dahi Hafiz memikirkan ke mana gadis yang sudah mengisi penuh ruang hatinya itu pergi.

‘Haish! Mana pulak awek ni pegi. Takkan ‘offline’ pulak kot? Geram betullah!’ Namun kata-kata itu hanya bergema di dalam hati Hafiz sahaja. Mana mungkin Hafiz akan meluahkan kata-kata itu di bibirnya. Tentu sahaja dia dikatakan mereng jika kata-katanya itu didengari oleh adiknya yang telinga lintah itu. Dan yang paling ditakuti Hafiz, perkara itu akan sampai ke pengetahuan mama dan papanya.

Bukannya Hafiz hendak sangat menyembunyikan perkara sepenting itu namun belum tiba masanya. Isi hati gadis itu sendiri belum diketahui. Entah apa perasaan gadis itu terhadapnya. Entah-entah gadis itu hanya menganggap Hafiz seperti rakan-rakan maya yang lain. Malulah Hafiz jika papa dan mama tahu hanya Hafiz sahaja yang tergila-gilakan Luna sedangkan gadis itu langsung tiada apa-apa perasaan padanya.

**********

MATA Luna tidak lepas dari memerhatikan teman baiknya yang sedang beratur membeli makanan. Suasana di dalam restoran makanan segera itu boleh dikatakan agak sibuk juga hari ini. Mungkin disebabkan sudah habis waktu bekerja maka ramai orang yang singgah makan dahulu sebelum pulang ke rumah. Dan yang paling penting sudah hujung bulan. Para pekerja syarikat swasta baharu sahaja mendapat gaji. Begitu juga dengan Luna.

Teman baik Luna itu juga seorang pekerja di sebuah syarikat swasta. Sudah lama mereka tidak berjumpa. Lebih kurang setahun juga mereka tidak berjumpa selepas masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Teman Luna itu menyambung pelajarannya secara separuh masa di sebuah institusi pengajian swasta. Jadi masanya terlalu terhad untuk disia-siakan. Bertemu Luna kali ini juga kerana masing-masing sudah saling merindu.

Hampir lima belas minit beratur di kaunter, teman baik Luna yang bernama Safiya itu kembali semula ke meja mereka. Di tangannya ada sebuah dulang berisi dua set makanan segera. Satu set makanan diletakkan di hadapan Luna, tidak lupa juga satu bekas plastik berisi sos. Mereka mula menjamah hidangan sebaik sahaja Safiya duduk di hadapan Luna.

“Kenapa sampai tiga ketul Fiya? Kalau awak ambil yang set ‘snack plate’ sajapun dah cukup dah. Makan ayam ni tak boleh banyak, muak!” Safiya tersenyum mendengar rungutan teman baiknya itu. Bukan dia tidak tahu tabiat Luna. Gadis itu memang tidak berapa gemar makan ayam terutama bahagian yang berdaging seperti di bahagian dada dan peha. Disebabkan itulah sengaja dia meminta bahagian bertulang untuk temannya itu.

“Alah Lun, bukannya bahagian dagingpun yang Fiya ambil untuk awak! Itu, cuba tengok betul-betul. Nampak besar tapi cuma bahagian bertulang saja. Makanlah. Fiya tahu kegemaran awak la.” Luna sudah tersengih-sengih mendengar jawapan Safiya sambil jarinya yang runcing mencubit sedikit demi sedikit ayam goreng di dalam pinggannya.

Sambil makan, mereka berbual-bual. Dari perkara berkaitan zaman kanak-kanak, waktu persekolahan sehinggalah ke perkara semasa. Tidak lupa juga mereka bercerita tentang hal-hal yang berlaku di tempat kerja. Safiya juga banyak berkongsi cerita tentang kelas separuh masa yang diambilnya kini. Bagaimana sukarnya dia membahagikan masa antara kerja dan belajar.

Sambil berbual, sempat juga Luna memerhatikan suasana di sekelilingnya. Seketika matanya terhenti pada seorang gadis yang sedang leka tersenyum-senyum menghadap komputer riba di satu sudut restoran makanan segera itu. Luna sempat mencuit lengan Safiya dan menunjukkan ke arah gadis itu dengan hanya menggunakan bibirnya yang dijuihkan sedikit.

“Tengok tu. Sengih-sengih budak perempuan tu depan laptop. Entah apalah yang menggelikan hatinya. Jangan-jangan dia tengah ‘chatting’ tak?” Luna sudah mula mengeluarkan teorinya. Safiya hanya menggeleng.

“Awak ni Lun. Pandai-pandai aje kata orang tu tengah ‘chatting’. Entah-entah dia tengah baca komik ‘online’ ke, mana kita tahu kan? Haaaa... Jangan-jangan awak yang biasa ‘chatting’ sambil tersenyum-senyum depan komputer tak?” Serkap jarang Safiya yang betul mengena pada sasarannya itu mengundang senyum malu Luna. Tidak sangka, hendak mengenakan orang, diri sendiri pula yang terkena.

Kata-kata Safiya mengingatkan Luna kepada Hafiz. Jam di pergelangan tangan dijeling sekilas. Sudah hampir tiga jam mereka berbual di dalam restoran makanan segera itu. Orang ramai juga sudah semakin berkurangan. Mujur juga tiada had masa ditetapkan untuk setiap pengunjung duduk menjamu selera, jika tidak, sudah tentu mereka salah seorang daripada orang yang akan dihalau keluar.

“Fiya, dah hampir tiga jam kita di dalam ni. Jomlah kita beredar. Saya ada kerja sikit nak buat di rumah ni.” Cawan kertas berisi air berkarbonat berperisa strawberi segera dicapai dan dibawa ke mulut sejurus selesai berkata-kata. Luna segera menyedut minuman untuk menghabiskannya. Rugi jika tidak dihabiskan, duit bukan mudah hendak dicari. Itu prinsip hidup Luna yang dipegangnya semenjak mula bekerja.

“Alah, bukannya Fiya tak tahu apa kerja yang awak nak buat tu. Awak nak masuk ‘CB’ kan? Nak sembang dengan abang Hafiz awak tu kan?” Luna membeliakkan matanya. Mana pula Safiya tahu tentang Hafiz. Mungkinkah Safiya juga salah seorang ahli di kotak sembang tersebut?

“Sudah! Tak payah nak terkejut. Fiya tahulah. Fiyapun salah seorang ahli dalam kotak sembang tu. Fiya selalu nampak awak berbual dengan abang Hafiz awak tu. Bukan main rancak lagi sampai tak perasan orang sekeliling. Lun, awak ada apa-apa ke dengan abang Hafiz awak tu?” Hampir tersedak Luna mendengar soalan Safiya yang bersahaja itu. Pantas Luna menggeleng.

“Mana ada apa-apalah! Kawan-kawan di situ aje. Sama macam dengan orang lain juga.” Mustahil Luna akan mengaku walaupun di dalam hatinya memang ada sedikit perasaan yang berlainan setiap kali berbual dengan Hafiz. Perasaan yang tidak sama seperti berbual dengan ahli-ahli yang lain.

“Iyelah. Tak payahlah mengaku. Nanti bila dah ada orang lain yang masuk jarum, jangan mengadu dengan Fiya. Dah, jom!” Selamba sahaja Safiya berkata-kata. Usai menghabiskan kata-kata yang berbau ugutan itu, Safiya segera bangun sambil menggalas beg komputer ribanya ke bahu.

Mereka berdua berpisah di hadapan pintu restoran makanan segera itu selepas bersalam-salaman. Luna tidak menemani Safiya ke perhentian bas. Laluan mereka bertentangan. Luna tidak perlu menaiki bas. Rumahnya dekat sahaja. Lagipun mereka hanya berjumpa di pusat membeli-belah berhadapan pejabat Luna. Luna tahu, Safiya tidak akan lama menunggu bas. Di perhentian bas itu mudah sahaja mendapat bas. Memang banyak bas yang melalui kawasan itu setiap hari.

Luna segera berjalan pulang ke rumah. Di dalam kepalanya hanya terfikir hendak membuka laman sesawang Penulisan2u sahaja. Tidak sabar rasanya hendak sampai ke rumah. Adakah Hafiz masih ada di dalam kotak sembang. Teringat pesanan Hafiz di kotak sembang sebelum ‘offline’ petang tadi. ‘Jumpa sekejap lagi!’ Ya, Itulah pesanan Hafiz tadi.

Masuk sahaja ke dalam rumah, komputer riba yang berada di dalam mood tidur diaktifkan semula. Talian internet yang sudah disetkan kepada mood automatik memudahkan kerjanya. Terus sahaja laman sesawang Penulisan2u dibuka. Tetikus diarahkan ke bawah mencari kotak sembang. Luna tersenyum. Nama Hafiz ada tertera di situ. Namun senyumannya hanya seketika. Ada sebaris kata-kata ditujukan kepada Hafiz oleh seorang ahli lain. Ya, seorang ahli lain yang menggunakan nama perempuan. Kata-kata Safiya sebentar tadi bagaikan terngiang-ngiang di telinganya.

8 comments:

mLov said...

org ketiga??? errrr....

Merpati Puteh said...

best..

atika said...

Errr.....ok coz baru bab 1.....mcm nak terus baca......idea jgn kantoi arrrrr.....kasi suspen lg!

azrina nur rusly said...

hehehe... baikkkk bosssss

apit said...

fuh..tiga jam dok lepak KFC..ape la yg diborakkan lame sangat tu..hehee

azrina nur rusly said...

hehehehehe. setahun tak jumpa kan. ahaks

Ayu Azuri said...

kak rina,
cecepat la sambung bab seterusnye.. Da lame x mbace novel ni.. Hehehe..

Noridah said...

wahh, penulis novel ke?...

.