Sunday, April 17, 2011

Cerpen : Tepak Sirih Untuk Maksu (non edited full version ala belasah)


Maksu sibuk membantu Maklong Halimah menyediakan juadah di dapur. Hari ini Pakngah Mansor hendak pulang ke kampung bersama sahabatnya. Menurut Pakngah Mansor, sahabatnya itu sudah lama hendak mengikutnya tetapi tidak pernah berkesempatan. Sahabat Pakngah Mansor memang berasal daripada Kuala Lumpur dan seluruh ahli keluarganya menetap di bandar besar itu. Disebabkan oleh keadaan itulah sahabat Pakngah Mansor teringin sangat hendak mengikut Pakngah Mansor, merasa masakan kampung dan merasai suasana kampung. Lagipun sudah banyak cerita yang didengarinya daripada Pakngah Mansor berkenaan keluarga mereka, maka bertambah kuatlah keinginannya hendak mengenali ahli keluarga Pakngah Mansor.

Hari ini Maklong menyediakan masak lemak daging salai bersama belimbing buluh dan beberapa jenis lauk lain. Masak lemak daging salai adalah lauk kegemaran Pakngah Mansor. Kebetulan pula semalam Paklong Mahmud ada membeli beberapa kilo daging. Sebahagian daripada daging itu sudah dimasak oleh Maksu semalam. Sebahagian lagi sengaja Paklong salai. Barangkali memang sudah rezeki Pakngah Mansor dan sahabatnya, maka dapatlah mereka makan masakan tersebut hari ini.

Lauk pauk yang sudah siap dimasukkan ke dalam mangkuk Maksu hidangkan di atas meja makan, kemudian tudung saji yang tergantung di dinding berhampiran meja tersebut Maksu telangkupkan ke atas mangkuk tersebut. Usai tugasnya, Maksu berlalu meninggalkan ruang dapur. Sambil melintasi ruang tamu, sempat mata Maksu menjeling ke arah jam dinding yang tergantung cantik di dinding. Sudah hampir jam dua belas tengahari. Pakngah Mansor masih belum sampai lagi. Di dalam pebualan telefon pagi tadi, Pakngah mengatakan akan sampai ke kampung ketika waktu makan tengahari kerana mereka akan bertolak pagi. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke rumah Paklong Mahmud tidaklah jauh mana. Hanya lebih kurang dua jam perjalanan sahaja.

Maksu masuk ke bilik. Maksu hendak mandi sekali lagi. Tubuh Maksu sudah terasa melekit setelah membantu Maklong Halimah tadi. Tuala mandi dan baju yang hendak dipakai Maksu bawa sekali ke dalam bilik air yang terletak di tingkat bawah. Bilik Maksu terletak di bahagian atas rumah batu dua tingkat itu. Bilik anak-anak Paklong Mahmud pula terletak di hadapan bilik Maksu. Bilik tetamu terletak bersebelahan bilik Maksu. Bilik itulah selalu Pakngah Mansor akan gunakan sekiranya dia pulang ke kampung. Bilik Paklong Mahmud pula di tingkat bawah. Bila ditanya kenapa Paklong mahu tidur di bilik bawah, jawapannya mudah sahaja. Sudah tua katanya, tidak larat hendak memanjat tangga setiap hari.

**********

Maksu yang hanya berkain batik dan berbaju kurung kedah keluar dari bilik air dengan kepala yang berbalut tuala. Maksu melintasi ruang tamu tanpa menyedari ada sepasang mata yang tidak berkelip memandangnya. Teguran daripada Pakngah Mansor menyedarkan Maksu bahawa ada tetamu di situ. Mungkin Pakngah Mansor sampai ketika Maksu sedang mandi tadi kerana sewaktu melintasi ruang tamu untuk ke bilik air, tidak pula nampak kelibat mereka di situ. Tersenyum simpul sahaja Maksu. Terasa sedikit segan kerana tetamu melihatnya berkeadaan selekeh sebegitu. Tetapi mujur juga Maksu membalut kepalanya dengan tuala. Jika tidak, tentu sahaja lebih malu apabila lagi rambutnya menjadi tontonan orang yang bukan muhrim.

Maksu berjalan menghampiri Pakngah Mansor yang sedang duduk di sofa. Tangan Pakngah Mansor disalam dan dicium. Kepala dianggukkan dan senyuman diberikan ketika Pakngah Mansor memperkenalkan sahabatnya kepada Maksu. Paklong Mahmud memang sudah elok duduk tersandar di salah satu sofa yang ada. Maklong Halimah pula tersenyum di sisi Paklong Mahmud melihat Maksu. Entah apalah yang difikirkan oleh Maklong Halimah di dalam kepalanya ketika itu. Usai berkenalan, Maksu meminta diri hendak segera ke bilik untuk mengeringkan rambut dan memakai tudung. Tentu Pakngah Mansor sudah terasa lapar. Selepas siap bertudung bolehlah mereka sekeluarga makan beramai-ramai.

Selepas menutup pintu bilik, Maksu duduk di birai katil sambil menggosok dadanya yang terasa berdebar-debar semenjak terpandang sepasang mata milik tetamu yang diperkenalkan sebagai Alif Syaqwan tadi. Terasa ada sesuatu yang berdetak di hati Maksu. Apakah rasa ini? Adakah ini cinta pandang pertama Maksu? Tidak mungkin! Maksu menggeleng, cuba menafikan perasaan serta anggapan yang melintas di dalam hati dan fikirannya.

Maksu segera bangun. Tuala yang menutupi rambut Maksu yang panjang separas pinggang itu dileraikan lalu disidaikan di penyidai tuala yang terdapat di dalam bilik Maksu. Pengering rambut yang elok terletak di atas almari solek Maksu capai lalu rambut yang masih lembab itu segera dikeringkan. Usai itu, Maksu mengoleskan sedikit krim pelembap ke wajahnya. Memang sudah menjadi kebiasaan Maksu memakai krim pelembap di wajahnya setiap kali selesai mandi. Rambut yang sudah kering itu diikat dan disanggulkan sebelum tudung yang sedia tergantung di dalam almari disarungkan ke kepala.

Setelah yakin dengan kekemasan penampilannya, Maksu turun semula ke tingkat bawah. Langkah kaki terus diatur menuju ke ruang dapur. Nasi yang masih panas di dalam periuk Maksu sendukkan ke dalam mangkuk besar lalu diletakkan di atas meja. Jug kosong yang sudah dibasuh dan dikeringkan dikeluarkan dari dalam kabinet. Maksu membancuh air Sunquick berperisa oren. Ais yang sudah lama membeku dikeluarkan dari dalam peti sejuk lalu dimasukkan ke dalam jug berisi air Sunquick yang sudah siap dibancuh. Usai, Maksu keluar semula ke ruang tamu dan menjemput semua ahli keluarga termasuk Alif Syaqwan untuk menjamu selera.

**********

Sekembalinya Alif Syaqwan ke Kuala Lumpur, dia merasa ada kelainan di dalam dirinya setelah dua hari menetap di rumah Paklong Mahmud. Layanan Paklong Mahmud sekeluarga menggembirakan hati Alif Syaqwan terutama sekali Maksu. Semenjak balik ke rumah, wajah Maksu sentiasa hadir di ruang mata Alif Syaqwan. Adakah hatinya sudah tertawan kepada Maksu, adik sahabat baiknya sendiri? Adakah ini cinta pandang pertamanya? Bagaimanakah hendak disampaikan perasaan hatinya kepada Maksu?

Pandangan pertama ketika Maksu baharu keluar dari dapur dengan kepala berbalut tuala dan wajah yang tiada sebarang calitan mekap masih lagi segar di ingatan Alif Syaqwan. Sungguh ayu wajah Maksu ketika itu. Ditambah pula dengan tingkah lakunya yang penuh kesopanan dan bicaranya yang lembut, membuatkan hati Alif Syaqwan berdebar-debar. Sudahkah gadis itu berpunya? Mungkin lebih baik jika dirisik sahaja daripada Pakngah Mansor kedudukan sebenar gadis itu. Jika belum berpunya, ada peluang untuk Alif Syaqwan mencuba memiliki hati gadis itu. Jika sudah berpunya, terpaksalah dia melupakan dan membuang jauh-jauh perasaan yang baharu berputik ini.

Tentang penerimaan keluarganya tidak sedikitpun Alif Syaqwan bimbangkan kerana mama dan papa pasti bersetuju dengan pilihannya. Lagipun mama dan papa sudah mengenali Pakngah Mansor, sahabatnya itu. Bukan sekali dua Pakngah Mansor bertemu mama dan papa. Sudah acapkali Alif Syaqwan mengajak Pakngah Mansor menjamu selera di rumahnya. Sikap Pakngah Mansor yang bersopan-santun dan begitu menghormati orang tua menambat hati mama dan papa. Mama dan papa pun sudah menganggap Pakngah Mansor seperti anak mereka sendiri. Tentu mama dan papa tidak menolak jika dicadangkan adik Pakngah Mansor sebagai calon menantu mereka.

Alif Syaqwan tersenyum sendiri. Sudah terlalu jauh dia berfikir sedangkan kedudukan sebenar gadis yang sentiasa di dalam fikirannya itu masih samar-samar lagi. Tidak sabar rasanya Alif Syaqwan hendak bertemu Pakngah Mansor di pejabat esok untuk merisik keadaan. Jika gadis itu masih belum berpunya, sesegera yang mungkin Alif Syaqwan akan meminta mama dan papa masuk meminang gadis itu. Umur Alif Syaqwan juga sudah menginjak ke angka dua puluh tujuh. Sudah seharusnya dia mempunyai keluarga sendiri. Rakan-rakan sebayanya kebanyakannya sudah beranak-pinak. Hanya dia sahaja yang masih bersendirian. Bukan tiada perempuan yang cuba menghampirinya, ramai tetapi tidak seorangpun yang berjaya membuat hatinya berdebar-debar seperti yang sedang dirasainya sekarang. Akhirnya Alif Syaqwan terlena bersama bayangan wajah Maksu di dalam fikirannya.

**********

Maksu tersenyum memandang jari manisnya yang sudah disarungkan sebentuk cincin belah rotan oleh mama Alif Syaqwan sebentar tadi. Tidak disangka lelaki itu akan menghantar rombongan peminangan hanya selepas seminggu tempoh perkenalan mereka. Tidak disangka rupanya kedua mereka mempunyai perasaan yang sama. Hati berdebar saat bertentang mata kali pertama dan mereka jatuh cinta pada pertemuan pertama. Bukan juga Maksu sewenang-wenangnya menerima Alif Syaqwan masuk ke dalam hidupnya, sudah berkali-kali Maksu melakukan solat istikharah memohon petunjuk Allah selepas hasrat hati Alif Syaqwan disampaikan kepadanya oleh Pakngah Mansor.

Pakngah Mansor juga gembira dengan keputusan yang telah dibuat oleh Alif Syaqwan untuk memperisterikan Maksu. Lelaki itu mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang suami dan pelindung kepada satu-satunya adik perempuan Pakngah Mansor. Mempunyai pekerjaan yang menjamin kehidupan, memiliki hati budi yang baik, mempunyai keluarga yang baik dan penuh kasih-sayang serta tidak memilih pangkat dan keturunan. Tentu Alif Syaqwan mampu memberi kebahagiaan dan perlindungan kepada Maksu setelah mereka berumahtangga nanti. Kuranglah sedikit tanggungjawab Pakngah Mansor dan Paklong Mahmud bila Alif Syaqwan mengambil alih tanggungjawab terhadap Maksu.

Paklong Mahmud pula menyerahkan kepada Maksu untuk membuat keputusan sendiri. Walaupun baharu seminggu mengenali Alif Syaqwan, namun dari caranya, Paklong Mahmud dapat melihat kesungguhan lelaki itu. Apatah lagi Pakngah Mansor juga amat bersetuju jika Maksu dijodohkan dengan Alif Syaqwan. Tentu lelaki itu memang dipercayai oleh Pakngah Mansor sementelah sudah bertahun-tahun mereka berkawan malahan bersahabat baik lagi. Jika hanya sekadar hendak mempermainkan perasaan Maksu, tidak mungkin lelaki itu terus menghantar rombongan peminangan. Malahan meminta untuk diadakan majlis perkahwinan secepat yang mungkin jika tuan empunya diri bersetuju untuk menerima pinangannya.

Tiga bulan tempoh ditetapkan untuk kedua-dua belah pihak melakukan persiapan. Sepanjang tempoh itu, mereka tidak bergelar tunangan. Majlis pertunangan hanya akan diadakan pada sebelah pagi hari yang sama dengan majlis akad nikah. Maksu yang meminta syarat sebegitu kerana tidak mahu berlaku apa-apa yang tidak diingini di dalam tempoh bertunang. Bukankah masa bertunang itu adalah masa yang penuh dengan dugaan. Darah manis kata orang. Sepanjang tiga bulan itu juga hanya beberapa kali sahaja mereka berjumpa. Itupun kerana menguruskan hal berkaitan majlis perkahwinan mereka dan sentiasa ditemani oleh Pakngah Mansor. Tidak sekalipun mereka keluar berduaan.

**********

Berseri wajah Maksu duduk bersimpuh di atas peterana yang disewa khas dari satu-satunya butik pengantin yang ada di pekan itu. Senyuman manis sentiasa terukir di seulas bibir Maksu yang merah bak delima merkah. Tambah berseri lagi dengan sepersalinan kebaya putih gading yang menyaluti tubuh langsingnya. Layah yang menghiasi kepala dilitupi tudung warna sedondon diperkemaskan oleh sahabat karib Maksu yang sentiasa berada di sisinya. Tidak henti-henti sahabat Maksu yang bernama Mariani itu memuji kecantikan Maksu.

Memang diakui Maksu kelihatan sungguh cantik malam itu. Wajahnya yang berseri bertambah bercahaya dilimpahi sinaran lampu yang menerangi seluruh ruang tamu rumah batu dua tingkat itu. Para tetamu yang dijemput hadir juga memuji-muji kecantikan Maksu. Tersipu-sipu Maksu menerima pujian mereka. Majlis pertunangan Maksu telah selamat diadakan pada sebelah pagi tadi. Hanya beberapa jam sahaja bergelar tunangan orang, majlis akad nikah telah dilangsungkan. Majlis persandingan kecil pula diadakan pada sebelah malam. Acara menepung tawar berlangsung dengan meriah. Para tetamu tidak melepaskan peluang. Pasangan mempelai diraikan dan didoakan mendapat keberkatan serta kebahagiaan sepanjang hayat.

Sepanjang majlis persandingan, Maksu sentiasa tersenyum. Terserlah riak kebahagiaan yang tidak terhingga di wajah Maksu. Sudah tiga bulan Maksu dan Alif Syaqwan bersabar menunggu hari bersejarah ini. Begitu juga dengan kaum keluarga. Usai majlis persandingan kecil, Maksu mengiringi suaminya ke muka pintu. Malam ini pengantin lelaki harus pulang semula ke rumahnya. Tidak dibenarkan pengantin lelaki bersama dengan pengantin perempuan sebelum selesai majlis persandingan besar. Maksu menyalami tangan suaminya dan kucupan kali kedua diterima di dahinya. Kucupan kali pertama singgah di dahinya selepas akad nikah siang tadi. Saudara mara yang ada hanya tersenyum menyaksikan adegan mesra itu. Suaminya terus-terusan merenung wajah Maksu tanpa bersuara.

Sehinggalah tubuhnya membolosi pintu kereta, baharulah lelaki itu meninggalkan pesanan supaya Maksu menjaga diri sebaiknya ketika ketiadaannya di sisi. Maksu hanya mengangguk tanda akan mematuhi pesanan yang dititipkan. Hanya selepas itu baharulah lelaki itu berpaling memandang ke arah lain. Sayu wajahnya hanya kelihatan di pandangan mata Maksu, tidak pada seluruh ahli keluarga yang lain. Maksu melambai tangan menghantar pemergian suaminya. Namun di hati Maksu ada debaran yang menggila. Mungkinkah Maksu sudah mula merindui suaminya? Atau mungkinkah ada sesuatu yang tidak diingini bakal berlaku?

Paklong dan Maklong membawa Maksu masuk ke dalam rumah selepas rombongan pihak lelaki hilang ditelan kegelapan malam. Maksu hanya menurut. Langkah diatur lemah ke bilik pengantin yang sudah dihias indah. Tidak kepada sesiapapun dicanangkan rasa hatinya. Maksu hanya diam menelan sendiri segala kebimbangan dan keraguan yang berlegar-legar di relung hati. Di dalam hati segunung doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar rombongan suaminya dilindungi Allah di dalam perjalanannya.

**********

Berita yang diterima sebentar tadi menghancurluluhkan hati Maksu. Meraung Maksu sebelum jatuh pengsan di dalam bilik sebaik mendapat tahu kecelakaan yang menimpa suami yang baru siang tadi melafazkan akad. Suami yang baharu sahaja menitipkan pesan supaya Maksu sentiasa menjaga diri sepanjang ketiadaannya di sisi sudah pergi meninggalkan Maksu. Rupanya pandangan sayu suaminya sebentar tadi adalah pandangan kali terakhir buat Maksu. Walaupun hanya sempat bercinta seketika sahaja namun rasa sayang Maksu terhadap suaminya sudah terlalu banyak.

Mungkin sudah ajal Alif Syaqwan sebegitu. Pertolongan ikhlasnya menyelamatkan mangsa kemalangan ngeri yang baharu sahaja berlaku ketika mereka sampai ke tempat kejadian telah menyebabkan tubuhnya tercampak ke tengah lebuhraya setelah dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu laju. Bertambah malang lagi apabila Alif Syaqwan yang sedang berusaha hendak bangun menyelamatkan dirinya telah dilanggar sekali lagi oleh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak. Alif Syaqwan menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat dibawa ke hospital.

Paklong Mahmud dan Pakngah Mansor memapah Maksu ke hospital untuk melihat jenazah suaminya. Walaupun pada awalnya mereka tidak mahu membawa Maksu kerana bimbang Maksu tidak mampu menahan kesedihan, namun akhirnya akur juga setelah Maksu merayu-rayu. Sanak saudara yang masih ada di rumah untuk menyediakan persiapan terakhir untuk majlis bersanding besar keesokan hari hanya mampu memandang Maksu dengan wajah simpati. Kasihan Maksu. Baharu sahaja bergelar seorang isteri namun sudah kehilangan suami pada malam pernikahan mereka. Tiada apa yang dapat dijadikan tanda ingatan daripada suaminya melainkan sebuah kenangan sedih. Maksu menjadi balu sebelum selesai majlis perkahwinannya.

Jenazah Alif Syaqwan disemadikan di tanah perkuburan Kampung Indah atas persetujuan kedua mertua Maksu. Itu adalah atas permintaan Maksu supaya dapat sentiasa berada hampir dengan pusara arwah suaminya. Supaya mudah bagi Maksu untuk menziarahi arwah suaminya. Mujur Maksu mendapat mertua yang bertimbangrasa.

**********

Sudah tiga bulan kejadian malang itu berlaku. Maksu pula semakin hari semakin berubah. Tiada lagi Maksu yang ceria seperti dahulu. Pemergian Alif Syaqwan membawa bersama semangat Maksu. Ia merubah Maksu daripada seorang gadis yang sentiasa tersenyum dan ceria kepada seorang yang pemurung. Hidup Maksu dipenuhi dengan kesedihan. Maksu kini hanya hidup di dalam dunianya sendiri bersama tangisan. Maksu belum dapat menerima ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah terhadapnya. Maksu masih meratapi nasib malangnya.

Paklong Mahmud seperti sudah putus asa. Maklong Halimah pula mendesak agak Paklong Mahmud berbuat sesuatu agar Maksu yang telah dianggap seperti anak sendiri itu kembali ke sifatnya yang asal. Maklong Halimah risau keadaan Maksu yang sudah semakin kurus dan tidak memperdulikan diri sendiri. Maksu hanya menghabiskan masa berulang-alik ke pusara arwah suaminya.

Pakngah Mansor dipanggil pulang ke kampung untuk membincangkan tentang Maksu. Akhirnya kata sepakat dicapai antara Pakngah Mansor, Maklong Halimah dan Paklong Mahmud. Maksu dibawa oleh Pakngah keluar dari Kampung Indah dan tinggal bersamanya. Walaupun pada mulanya Maksu tidak bersetuju mengikut Pakngah Mansor ke Kuala Lumpur kerana tidak mahu meninggalkan arwah suaminya bersendirian di kampung, tetapi akhirnya setelah dipujuk-pujuk oleh Maklong Halimah dan Paklong Mahmud serta Pakngah Mansor, Maksu bersetuju.

Dengan pertolongan rakan-rakannya, Pakngah mencarikan Maksu pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya. Selepas sebulan Maksu tinggal bersama Pakngah Mansor, baharulah Maksu mendapat pekerjaan. Kekosongan jawatan sebagai kerani teknikal di pejabat salah seorang rakan Pakngah Mansor menjadi peluang kepada Pakngah Mansor untuk mengubah kembali sikap Maksu. Segala yang dilakukan oleh Pakngah Mansor bertujuan agar Maksu akan dapat menerima hakikat kematian dan melupakan Alif Syaqwan sedikit demi sedikit apabila sibuk dengan pekerjaannya.

**********

Seawal jam lapan setengah pagi Pakngah Mansor sudah menghantar Maksu ke tempat kerjanya walaupun waktu pejabat hanya akan bermula pada jam sembilan pagi. Temuduga yang dijalankan beberapa hari lalu telah berjaya dilalui oleh Maksu dan akhirnya jawatan tersebut ditawarkan kepadanya. Semua itu atas bantuan Syamsul Amri, rakan Pakngah Mansor yang juga memegang jawatan Pengurus Teknikal di situ. Lelaki itu mengetahui niat Pakngah Mansor untuk mengembalikan semula semangat dan sikap Maksu.

Tanpa pengalaman bekerja, Maksu merasa sedikit kekok dengan suasana baru yang perlu dijalaninya. Namun dengan tunjuk ajar dan pengawasan daripada Syamsul Amri, sedikit demi sedikit Maksu dapat menyesuaikan dirinya. Sengaja lelaki itu memberikan kerja yang lebih kepada Maksu agar Maksu sentiasa sibuk dan tiada masa hendak memikirkan perkara lain. Lelaki itu meletakkan tanggungjawab melindungi Maksu di atas bahunya. Disebabkan itu, pekerja-pekerja lelaki yang datang ke pejabat juga tidak berani hendak mengusik Maksu.

Hari demi hari berlalu, dalam tidak sedar sudah lebih dua tahun Maksu bekerja di situ. Sikap Maksu sudah semakin kembali ke asalnya. Maksu sudah semakin ceria dan mampu menerima hakikat sebenar yang telah ditakdirkan ke atasnya. Perubahan itu menggembirakan Paklong Mahmud dan Maklong Halimah. Mereka berterima kasih kepada Syamsul Amri kerana sudi membantu untuk mengembalikan sinar kebahagiaan mereka.

Dalam diam juga Maksu tidak menyedari ada seseorang yang menyimpan perasaan kepadanya. Ada seseorang yang sudah jatuh cinta kepada Maksu. Cinta yang sudah lama dipendamkan untuk Maksu. Cinta yang tidak hanya tercipta kerana keayuan Maksu, tetapi kerana sikap dan tingkah laku Maksu. Cinta yang hadir kerana kesopanan dan lemah lembut tutur bicara Maksu. Cinta pandang pertama seperti yang berlaku pada Alif Syaqwan pada kali pertama bertentang mata dengan Maksu. Begitu juga yang terjadi kepada pencinta itu.

**********

Pagi-pagi lagi Maksu sudah bersiap. Keadaan dalam rumah juga sudah Maksu kemaskan semenjak malam tadi lagi. Semuanya Maksu siapkan selepas mendapat panggilan telefon daripada Paklong Mahmud tengah malam tadi yang meminta mereka dua beradik pulang ke kampung. Katanya ada perkara penting yang hendak dibincangkan. Perkara yang berkaitan dengan Maksu. Terbit juga rasa tanda tanya di dalam hati Maksu namun tidak terluah. Jika ditanyakan pada Pakngah Mansor sekalipun, belum tentu Maksu mendapat jawapan yang dikehendaki. Pakngah Mansor juga nampaknya seperti tiada bayangan langsung akan hal yang hendak diperkatakan nanti.

Pakngah Mansor memulakan perjalanan selepas selesai mengunci segala tingkap dan pintu rumah. Perjalanan yang hanya bertempoh dua jam itu terasa lama bagi Maksu yang penuh persoalan di dalam fikirannya. Pakngah Mansor pula hanya berdiam diri. Mungkin menyedari gejolak rasa yang dialami oleh Maksu menyebabkan Pakngah Mansor mengambil keputusan sebegitu. Mungkin Pakngah Mansor tidak mahu menambahkan keserabutan dan rasa tertanya-tanya Maksu.

Hampir tengahari kereta yang dipandu Pakngah Mansor memasuki halaman rumah Paklong Mahmud. Berkejaran Maklong Halimah menyambut kepulangan Maksu dengan senyuman melebar terukir di bibirnya. Anak-anak Maklong Halimah turut menyambut kepulangan Maksu. Paklong Mahmud hanya berdiri menunggu di muka pintu bersama senyuman yang tersungging di bibir. Ceria sahaja kelihatannya Maklong Halimah sekeluarga, bagaikan ada berita gembira yang menyelubungi kehidupan mereka.

Maksu dilayan tak ubah seperti pesakit yang baharu sedar setelah bertahun-tahun terlantar koma. Makanan disediakan, minuman juga diambilkan. Beg pakaian Maksu pula awal-awal lagi sudah dibawa masuk ke dalam bilik oleh Mohammad Alim, anak bujang Maklong Halimah. Rasa kehairanan sesekali menyelinap di sudut hati Maksu namun tiada keinginan hendak ditanyakan. Biarkanlah dahulu fikirnya. Mungkin seketika nanti akan terbongkar juga cerita. Barangkali kegembiraan dan layanan ini berkait rapat dengan perkara penting yang hendak dibincangkan nanti.

**********

Wajah ceria Maksu yang sedang menonton rancangan lawak jenaka di televisyen berubah serta-merta sejurus matanya tertancap tepak sirih yang dihulurkan oleh Paklong Mahmud. Maklong sudah merapati duduk di sisi Maksu. Diusap-usap bahu Maksu untuk meredakan perasaan Maksu. Sudah lebih dua tahun berlalu, namun nampaknya Maksu masih belum dapat melupakannya. Sangka mereka keceriaan yang menghiasi wajah Maksu dalam tempoh dua tahun ini menandakan Maksu sudah melupakan peristiwa sedih itu.

Airmata sudah mula bergenang di tubir mata Maksu. Hanya menunggu masa hendak gugur ke pipi sahaja. Maklong Halimah memeluk bahu Maksu untuk memberikan kekuatan. Paklong Mahmud berhati-hati menyampaikan hajat pemilik si tepak sirih. Menurut Paklong Mahmud, orangnya tidak jauh daripada Maksu malahan Maksu mengenalinya. Sudah lama pemilik si tepak sirih menyimpan perasaan kepada Maksu. Mendengarkan itu, Maksu meminta sedikit ruang untuk memikirkan dan melakukan solat istikharah sebagai memohon petunjuk Allah. Jika benar pemilik si tepak sirih itu adalah jodoh Maksu, pengganti tempat arwah Alif Syaqwan, Maksu pasti menerimanya dengan redha.

Maksu juga meminta dipertemukan dengan pemilik si tepak sirih. Tiba masa yang dijanjikan, si pemilik si tepak sirih memunculkan diri. Susuk lelaki yang muncul di dalam mimpi Maksu serupa dengan lelaki yang sedang berdiri di hadapan Maksu ketika ini. Lelaki yang sentiasa mengawasi dan menjadi pelindung Maksu semenjak Maksu meninggalkan Kampung Indah.

Benarlah jodoh pertemuan itu sudah ditetapkan oleh Allah semenjak setiap manusia itu hendak diciptakan. Dihidupkan seorang manusia itu, maka berserta dengan itu sudah siap tertulis berapa panjang usianya, siapa jodohnya dan mahupun bila ia ditemukan. Begitu juga dengan Maksu dan pemilik si tepak sirih. Jodoh rupanya sudah wujud di depan mata namun masanya belum tiba untuk direalisasikan. Rupa-rupanya arwah Alif Syaqwan hanyalah jodoh sementara buat Maksu manakala Syamsul Amri adalah jodoh sebenar yang telah tertulis buat Maksu di Loh Mahfuz.

(C) Azrina Nur Rusly, 17 April 2011

5 comments:

siti said...

best cite ni...

azrina nur rusly said...

thanks siti

puteraduyong said...

dah pasti ke syamsul amri jadi yang terakhir... :)

azrina nur rusly said...

dalam citer ni pastilah dia yg terakhir sbb saya dah tetapkan begitu. kalau realiti, tiada siapa yg tahu sbb rahsia allah, hanya allah sahaja yg tahu kan. :)

Anonymous said...

Sangat menarik. 4.5 stars.

.