Tuesday, February 15, 2011

Sardin Berkuah Mak Bedah

Fatimah berlari-lari masuk ke rumah. Beg yang sarat berisi buku-buku sekolah dilemparkan ke atas kerusi rotan yang sudah lama menghuni ruang tamu rumah teres tiga bilik itu. Berjuntai tali begnya ke bawah kerusi melalui celah kusyen yang sudah lunyai. Perutnya yang semenjak tadi sudah berkeroncong kelaparan membawa langkah Fatimah ke ruang dapur yang menempatkan sebuah meja makan berkerusi empat yang juga sudah usang dan hanya menanti masa hendak roboh menyembah lantai.


Pinggan makan yang elok bertelangkup di atas rak segera dicapai lalu dibawa ke penjuru dapur. Di atas rak kayu tiga tingkat di sudut itu terletak kemas sebuah periuk nasi elektrik berjenama Elba yang comel yang boleh memuatkan tiga cawan beras untuk sekali masak. Itulah satu-satunya barang elektrik paling berharga di dalam rumah mereka yang telah dihadiahkan oleh majikan Mak Bedah. Penutup periuk yang diperbuat dari logam dan berpemegang plastik itu diangkat. Senduk putih bergambar bunga matahari di tangkainya yang elok terletak di dalam bekas sudu dicapai lalu nasi yang masih panas disendukkan ke dalam pinggan.


Usai menutup semula periuk nasi yang sudah berkhidmat lebih dari lima tahun kepada keluarga mereka, Fatimah segera membawa dirinya ke meja makan. Pinggan diletakkan di atas meja. Berkeriut bunyi kerusi itu sebaik sahaja punggungnya mencecah permukaan kerusi. Terasa sedikit bergoyang kerusi itu apabila Fatimah membetulkan kedudukannya. Janganlah kerusi ni roboh masa aku tengah makan pulak, hati Fatimah berbisik. Senyum bermain-main di kedua-dua ulas bibirnya.


Tangannya bergerak lincah mencapai pemegang tudung saji yang terletak elok di atas meja. Kelihatan semangkuk sardin berkuah sebaik tudung saji itu diangkat. 'Wah, seronoknya!' Berkata lagi hati gadis cilik itu. Sungguh, gadis itu sangat seronok setiap kali membuka tudung saji, matanya disajikan pula dengan sardin berkuah yang memang menjadi kegemarannya sejak kecil. Entah apalah yang istimewa dengan sardin berkuah itu, tiada siapa yang tahu. Hanya Fatimah, si gadis cilik itu sahaja yang ada jawapannya.


Disudukan sepotong ikan sardin ke dalam pinggannya. Kemudian disudukan pula kuahnya yang likat dan pekat serta penuh dengan hirisan bawang besar dan halia itu ke dalam pinggannya sehingga nasinya kelihatan banjir. Usai meletakkan sudu kembali ke dalam mangkuk, Fatimah mula menyuap dengan rakusnya. Belumpun sempat hancur nasi di dalam mulutnya dikunyah, terus sahaja ditelan. Kemudian disuapkan pula nasi yang lain ke dalam mulutnya. Begitulah seterusnya sehingga Fatimah selesai menghabiskan nasi di dalam pinggannya. Namun, walaupun makan dengan rakus, tidak pernah pula sekalipun nasi ataupun lauk tersekat di kerongkongnya.

Usai makan, Fatimah membawa pinggannya yang sudah kosong ke sinki lalu mencucinya sehingga bersih lalu diletakkan semula di atas rak. Fatimah kembali ke meja makan. Gelas plastik yang bertelangkup elok di dalam dulang di atas meja diisikan penuh dengan air suam dari dalam jag yang kemas bertutup di atas dulang yang sama. Air di dalam gelas itu diteguk rakus sehingga habis. Cawan yang sudah kosong dibiarkan sahaja di atas meja lalu kakinya mula mengatur langkah ke ruang tamu. Akhirnya ruangan dapur ditinggalkan sepi semula.

Selepas kenyang, baharulah Fatimah terasa rimas. Beg sekolah yang tergeletak di atas kerusi rotan dicapai dan disandangkan ke bahu lalu dibawa masuk ke dalam biliknya. Pintu biliknya dirapatkan semula lalu dikunci sebaik tubuhnya diloloskan ke dalam bilik. Sekali lagi beg sekolahnya yang sudah lusuh itu menjadi mangsa balingannya. Kasihan buku-buku yang penuh berisi ilmu di dalam beg itu. Terlontar ke sini-sana begitu sahaja. Tidak cukup dengan melontar begnya, kini giliran tubuhnya yang kurus itu pula dilemparkan ke atas tilam. Berkeriut bunyi katil itu menerima tubuhnya secara paksa sebegitu. Dengan rasa kekenyangan, Fatimah terlena.

********

Mak Bedah mengelap peluh yang memercik di dahi. Keletihan berjalan kaki di bawah panas terik matahari dari simpang jalan ke rumah tidak terasa. Di dalam hatinya hanya ingin segera sampai ke rumah dan menikmati juadah yang sudah disiapkannya seawal pagi sebelum ke tempat kerja. Sudah terbau-bau olehnya aroma sardin berkuah. Sudah terpandang-pandang olehnya kuah yang likat dan pekat. Langkah dipercepatkan lagi dan akhirnya Mak Bedah sampai ke rumah.


Walaupun perutnya sudah berdondang sayang akibat menahan lapar, tidak pula Mak Bedah berlari-lari masuk ke dalam dapur seperti Fatimah. Langkah diatur perlahan ke ruangan dapur namun serta-merta matanya terbeliak apabila memandang ke arah meja makan. Di atas meja, seekor binatang berbulu kuning yang berekor pendek sedang enak menjilat mangkuk sardin berkuah yang sudah hampir kosong. Mak Bedah mengucap panjang. Kelaparan yang menghambat memicu amarah. Mak Bedah segera melangkah ke arah bilik Fatimah. Pintu diketuk berkali-kali diiringi suara memanggil yang nyaring. Sebaik pintu terbuka, tersembul wajah Fatimah dari sebalik pintu.

"Eh, mak dah balik! Dah lama mak sampai?" Mak Bedah merenung tajam Fatimah dengan wajah yang penuh amarah. Tidak dihiraukan pertanyaan yang lahir dari seulas bibir anak gadisnya itu.

"Kenapa kamu tak simpan lauk di bawah tudung saji? Kamu tahu kan mak tak pernah makan di tempat kerja. Kamu tahu kan mak pasti balik makan di rumah setiap kali habis bekerja. Tapi kenapa kamu sengaja buat mak macam ni? Apa salah mak pada kamu? Apa yang mak dah buat pada kamu? Sampai hati kamu buat mak macam ni!" Teresak-esak Mak Bedah meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Fatimah hanya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Terasa pelik dengan situasi itu.

"Kenapa mak? Apa yang Timah dah buat?" Mak Bedah merentap tangannya yang baharu sahaja dipegang oleh Fatimah. Marah benar Mak Bedah.

"Kamu tanya mak apa yang kamu dah buat Timah? Kamu sengaja biarkan lauk tak bertutup. Kamu sengaja biarkan kucing jiran makan lauk yang susah payah mak masak pagi tadi. Kamu sengaja nak biarkan mak dengan adik-adik kamu yang lain mati kelaparan kan? Itu niat kamu kan? Nanti kalau mak dah mati, senanglah kamu nak buat apa yang kamu suka kan? Senanglah kamu nak bawak masuk mak kandung kamu tu dalam rumah ni kan?" Hilang sudah pertimbangan Mak Bedah. Terbocor sudah rahsia yang selama ini disimpan kukuh hanya gara-gara sardin berkuah yang sudah habis dimakan kucing.

Fatimah terkedu. Otaknya bekerja dengan ligat. Segala kata-kata yang keluar daripada mulut Mak Bedah diproses berulang kali. Benarkah apa yang baharu sahaja didengarinya tadi? Mak kandung? Siapa?

Mak Bedah tersedar. Wajah Fatimah yang keliru dan kebisuan Fatimah membuatkan Mak Bedar nanar. Mak Bedah segera mencapai beg duitnya di atas meja lalu melangkah ke luar. Tergesa-gesa Mak Bedah menyarung selipar dan tanpa pamitan Mak Bedah melangkah meninggalkan rumah menuju ke arah jalan.

"Mak! Mak! Tunggu mak!" Mak Bedah terus melangkah. Tidak sedikitpun Mak Bedah menoleh walaupun suara Fatimah memekik-mekik memanggilnya kedengaran semakin hampir. Mak Bedah sudah tidak marah lagi dengan kejadian sardin berkuah menjadi santapan kucing. Mak Bedah kini bimbang akan perkara lain. Mak Bedah takut Fatimah akan bertanya tentang perkara yang disebutnya tadi. Mak Bedah berharap Fatimah akan lupa akan perkara tadi menjelang petang. Mak Bedah benar-benar sayangkan Fatimah. Semenjak Fatimah masih seorang bayi, Mak Bedah sudah memeliharanya. Mak Bedah sudah menganggap Fatimah itu seperti anaknya sendiri.

PONNNNNNNNNNNNNNNNNN

"Allah!" Bunyi hon yang panjang dan nyaring beserta ungkapan Allah yang kedengaran menghentikan langkah Mak Bedah. Tubuh dipalingkan. Luruh jantungnya apabila terpandang Fatimah sedang menggeletek di atas jalan dengan tubuh yang dibasahi darah. Mak Bedah segera berlari ke arah Fatimah. Pemandu kereta yang telah melanggar Fatimah masih terduduk di dalam kereta. Mak Bedah meraung-raung sambil memangku kepala Fatimah yang sudah kaku.

********

Sudah sepuluh tahun kemalangan itu berlaku. Sudah sepuluh tahun Fatimah pergi meninggalkan Mak Bedah namun sehingga kini Mak Bedah tidak pernah lagi memasak sardin berkuah. Sehingga kini tidak pernah sebuahpun tin sardin yang berjaya masuk ke dalam rumah Mak Bedah. Sehingga kini tiada seorangpun daripada anak-anak Mak Bedah yang berani membawa masuk mahupun menyebut tentang sardin lagi walaupun mereka begitu rindukan sardin berkuah Mak Bedah.

Kertas putih bergaris-garis dan penuh bertulisan condong-condong namun kemas milik Fatimah itu Mak Bedah pandang lagi entah untuk yang ke berapa kali. Walaupun sudah berkali-kali Mak Bedah menatap kertas itu, namun setiap kali itu juga airmatanya meluncur laju. Kertas bertulisan resepi sardin berkuah kegemaran Fatimah. Resepi yang ditulis oleh Fatimah ketika Mak Bedah sibuk memasak suatu masa dahulu.

"Mak, nanti bila Timah dah habis sekolah, Timah nak bukak restoran. Timah nak masak lauk istimewa ni. Nama dia 'Sardin Berkuah Mak Bedah'."

Airmata Mak Bedah gugur lagi. Kenangan bersama Fatimah tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.

2 comments:

Pa'ah Mohd Isdris said...

Apa ni kak ad , baru je nak kecur ayaq luiq tengok sardin tu pagi2 .... tiba2 kak buat cerpen sedih pulak pagi ni .

azrina nur rusly said...

kihkihkih... sedih sikit je tu.

.