Tuesday, May 04, 2010

Airmata Kekasih

Dia masih diam berteleku di atas batu di hujung pantai yang semakin sunyi. Di situlah tempat dia memberi sumpah dan janji akan setia. Dan akhirnya kesetiaan yang dijanjikan itu dikhianatinya sendiri. Dan kini dia kembali untuk menebus kekhilafannya namun sayang, ternyata dia terlewat.


*******************

“Sal jangan risau, abang pergi demi untuk kebahagiaan masa depan kita.” Salbiah hanya tertunduk menahan airmata dari mengalir. Salbiah sememangnya tidak rela melepaskan Fikri ke bandar. Dia takut Fikri akan berubah hati seperti kebanyakan drama yang ditontonnya di televisyen.

“Tapi Sal risau. Sal risau abang akan berubah hati. Sal tahu di bandar tu ramai gadis-gadis cantik dan berpelajaran tinggi. Sal ni apalah yang ada.” Fikri menggenggam jemari gadis itu. Diseka airmata yang mengalir di pipi gadis itu dengan hujung jarinya.

“Sal jangan cakap macam tu. Abang berjanji akan setia pada cinta kita. Bila abang dah cukup duit, abang akan minta mak dan ayah abang bincangkan hal majlis perkahwinan kita dengan keluarga Sal. Kita akan hidup bahagia bersama.” Salbiah cuba mengukir senyum dengan janji yang diberikan oleh lelaki itu. Fikri sudah bertekad untuk meninggalkannya di situ. Mahu tidak mahu Salbiah terpaksa menerima keputusan yang telah Fikri buat.

“Sal harap abang akan tepati janji abang. Sal akan setia menunggu abang di sini.” Salbiah cuba mengukir senyum namun ketara senyuman itu tidak mampu menutup perasaan ragu yang bersarang di hatinya. Jemari yang kemas berada di dalam genggaman Fikri ditarik perlahan. Terkedu lelaki itu dengan tingkahnya.

************************

Dia meraup muka. Lautan yang luas masih menjadi santapan matanya. Ombak yang bergelora, tak ubah seperti perasaannya tika itu. Rasa bersalah, sedih, menyesal semua bercampur menjadi satu. Kesal dia mempermainkan perasaan seorang gadis yang begitu menyayanginya. Seorang gadis yang tidak peduli akan kemiskinannya. Seorang gadis yang sanggup menerima apa saja keputusannya.

************************

Fikri berjaya mendapat pekerjaan yang baik di bandar. Sungguh-sungguh dia bekerja berdasarkan niat hendak mengumpul duit secukupnya agar gadisnya yang ditinggalkan di kampung akan menjadi miliknya secepat mungkin. Namun, takdir tuhan mengatasi segala. Fikri berubah. Semuanya kerana kehadiran Alyssa di dalam hidupnya. Gadis bandar yang bijak bergaya, punya pekerjaan yang menjamin masa depan dan sangat menggoda.

Fikri semakin melupakan kewujudan Salbiah yang setia menunggunya. Dia alpa dengan cinta bertunjangkan nafsu bersama Alyssa. Hidupnya bahagia dalam kekaburan. Bahagia dalam kenikmatan dunia. Bahagia dalam dosa hingga sanggup memutuskan ikatan pertunangan dengan Salbiah yang terus setia menunggunya di kampung.

**************************

Semalaman Salbiah menangis. Semenjak keluarga Fikri pulang dari membawa perkhabaran yang tidak terduga itu, Salbiah mengurung diri di dalam bilik. Keraguannya akhirnya menjadi nyata. Fikri telah melupakannya bersama segala janji-janji yang telah mereka meterai bersama.

Puas Salbiah merenung diri. Ditilik apa kesilapan yang telah dilakukan hingga menyebabkan dia terhukum sebegitu. Tiada ternampak akannya sebarang kesilapan. “ Apa dosa aku ya Allah.... hingga aku terhukum begini?” Lemah ungkapan itu terluah dari bibirnya.

Dibawa langkah kaki ke sudut bilik. Meja solek yang menghuni sudut itu dihampiri. Kerusi yang kemas tersisip di bawah meja ditarik keluar. Punggung dilabuhkan di atasnya. Pantas jemarinya menarik laci yang tertutup rapat. Sebuah album yang merakam seribu kenangan manis waktu jari manisnya disarungkan cincin ditarik keluar. Diselak satu persatu helaiannya. Ditatap semula riak gembira yang terpancar di wajahnya waktu itu. Dialihkan pandangan ke cermin yang berada di hadapannya. Berbeza sungguh imej wajahnya yang terbias ketika ini.

Helaian demi helaian diselak perlahan. Ada sendu mengiringi. Ada rawan yang ditangisi di hati. Pilu di hati tidak dapat diselindungkan lagi. Berderai airmatanya lagi. Helaian terakhir yang kemas di pegangan ditutup semula lalu disimpan di tempat asalnya. Ditutup kembali laci itu dan kaki terus melangkah membawa diri ke katil kayu yang kemas berbalut cadar berwarna biru. Tubuh dibaringkan perlahan di atas tilam. Bantal bersarung warna sama dicapai dari susunannya lalu diletak perlahan mengalas kepala. Mata dipejam rapat dengan harapan kesedihan yang sedang ditanggung akan hilang sebaik mata kembali dicelikkan nanti.

***********************

“Kita putus.” Fikri terkedu. Tidak disangka lamarannya ditolak oleh Alyssa yang dibangga-banggakannya malahan perhubungan mereka yang sudah tidak mengenal halal haram itu turut musnah.

“But why Lyssa? I nak bertanggungjawab atas perbuatan kita. Bukankah you kata you cintakan I?” Cuba dipujuk gadis itu namun sia-sia. Hanya ungkapan yang lahir dari bibir Alyssa yang menyedarkan betapa bodohnya dia.

“You ingat you boleh menumpang harta kekayaan keluarga I hanya dengan pengakuan I cintakan you? You silap Fikri. I bukan bodoh. You tak layak menjadi suami I. You hanya orang kampung yang makan gaji dengan papa I. You hanya layak dengan gadis kampung yang pernah jadi tunang you dulu.” Serta-merta wajah Salbiah muncul di fikirannya. Terasa menyesal meninggalkan gadis itu dahulu.

Fikri terduduk di kerusi. Alyssa sudah hilang dari pandangan. Jambangan bunga dan kotak baldu berisi sebentuk cincin masih berada di atas meja. Mata-mata pelanggan restoran mewah itu yang menala kepadanya tidak diendahkan. Perlahan dia bangun. Beberapa keping not lima puluh ringgit ditarik keluar dari dompetnya lalu ditinggalkan di atas meja. Kotak cincin diambil lalu digenggam. Langkah diatur meninggalkan tempat itu.

Hatinya nekad. Dia akan kembali ke pangkuan Salbiah untuk menuntut kemaafan dan kembali menyambung cinta yang telah terputus. Kotak cincin yang berada digenggamannya dipandang. Senyuman diukir. Terbayang cincin itu tersarung di jari manis Salbiah.

***********************

Riuh rendah suara kanak-kanak berkejaran di halaman. Kerusi meja yang tersusun kemas di bawah khemah berwarna putih merah sudah dipenuhi tetamu. Pelaminan yang cantik terhias di serambi rumah kayu bertangga batu itu menjadi perhatian. Sepasang mempelai kelihatan sepadan bergandingan di atasnya. Tersenyum simpul diusik sanak saudara yang sedang menepung tawar.

Seraut wajah yang sentiasa menghantui siang dan malamnya menjadi perhatian. Ditatap tanpa berkelip seraut wajah yang kelihatan berseri itu dari kejauhan. Jauh di sudut hatinya menyesali akan kekhilafan yang pernah dilakukan terhadap pemilik wajah itu. Diseka airmata yang bergenang di tubir mata. Perlahan langkah diatur menjauh meninggalkan keriuhan itu.

************************

Panggilan telefon yang diterima siang tadi merentap semangatnya. Kerja-kerja yang sedang dilakukan terus sahaja ditinggalkan tanpa sempat untuk diselesaikan. Terkejut juga setiausahanya apabila dengan tiba-tiba dia meninggalkan pejabat tanpa sebarang pesanan. Telefon bimbit turut dimatikan. Tidak mahu menerima sebarang kejutan lagi. Sudah cukup rasanya kejutan yang diterima tadi.

Beberapa helai pakaian dari dalam almari dicapai lalu dimasukkan ke dalam beg. Disusun kemas sebelum dimasukkan ke dalam bonet kereta. Pintu rumah dirapatkan dan dikunci kemas sebelum kaki melangkah ke arah kereta yang sudah siap dihidupkan enjinnya. Tubuh diboloskan ke kerusi bahagian pemandu. Pintu kereta ditutup dan tali pinggang keledar disematkan melingkari tubuh. Perjalanan dimulakan dengan ucapan bismillah serta zikir memuji Allah mengiringinya.

Hari hampir tengah malam ketika kereta yang dipandu memasuki kawasan kampung. Sengaja dia melalui jalan yang telah lama tidak dilaluinya. Suasana sekeliling rumah kayu bercat merah bata itu kelihatan terang-benderang. Khemah-khemah telah siap dipasang. Kerusi meja telah siap disusun. Kelihatan juga beberapa orang yang mungkin saudara-mara pemilik rumah sedang memasak air di tepi rumah. Sayu hatinya memandang ke arah rumah itu lalu pandangan ditala kembali ke jalan lalu pemanduan diteruskan hingga memasuki halaman rumahnya.

*******************

Tetamu yang hadir memeriahkan majlis persandingan kedua mempelai sudah meninggalkan rumah itu setelah majlis selesai. Saudara-mara juga turut pulang ke rumah masing-masing setelah selesai mengemaskan apa yang perlu. Tinggallah Salbiah sekeluarga menghabiskan saki-baki periuk belanga yang belum bercuci.

Kemesraan pasangan pengantin baru itu diperhatikan dari kejauhan. Tidak sanggup lagi menonton adegan demi adegan. Dicapai tisu yang terletak di atas papan pemuka kereta lalu dilap airmata yang masih bersisa di pipinya. Kotak berbalut cantik di atas kerusi penumpang dipandang sepi. Enjin dihidupkan lalu kereta meluncur perlahan meninggalkan rumah itu.

*******************

Ombak yang menghempas ke batu seolah badai yang menghempas di pantai hatinya. Laut yang bergelora seakan perasaannya yang berkocak hebat di dalam. Seribu penyesalan yang bertandang di hatinya sudah tidak berguna lagi. Dia sudah kehilangan insan yang sangat dicintainya.

Kenangan indah waktu bersama terimbas lagi di matanya. Mengalir lagi airmatanya walau cuba ditahan. Sungguh kehilangan ini sangat memedihkan. Mungkin inilah yang dirasai oleh Salbiah ketika dia tegar meninggalkan gadis itu untuk bersama orang lain. Hatinya menangis. Airmata penyesalannya masih mengalir di mata dan di hati.

‘Maafkan aku kekasih... Airmata ini akan sentiasa mengiringi kehidupanmu meniti bahagia.’

0 comments:

.